Tuesday 19 March 2013

NamaKu Bukan Flora..... 45





BAB 45

Aku menapak di halaman KDUT dengan langkah longlai. Terasa berat sahaja hatiku hendak berkunjung ke  sini semula setelah dua hari mengambil cuti sakit ditambah lagi dengan tiga hari mengikuti percutian rombongan KDUT. Satu jangka masa yang kukira panjang juga untuk aku melupakan seketika tentang kerja – kerjaku di sini. Tambahan pula kepalaku sedang sarat memikirkan hajat hati mak dan Mak Long yang menjadi bebanan berat kepadaku. Aku berharap sangat jikalau Aqel mampu mengeluarkan aku daripada kemelut ini setelah aku tidak mampu mempengaruhi mak yang nampak berkobor – kobor sangat hendak bermenantukan Aqel. Aqel memang lelaki pilihan pertama mak untuk dijadikan menantunya sekali gus teman hidupku. Aku melepaskan keluhan kecilku. Mengapakah Aqel begitu menambat hati mak?

Aku memulakan langkahku, melewati pintu utama dengan langkah longai. Hari tidak bersemangat melandaku lagi. Tidak disangka – sangka di ruang legar lobi ini aku bertembung dengan Aqel. Sempat juga kami saling berpandangan tanpa sebarang sapaan. Aku hampir – hampir mendahului  menyapa Aqel, namun melihat Aqel tidak menunjukkan reaksi mahu berbual denganku, kupadamkan sahaja niatku itu. Laju sahaja langkah Aqel menjarakkan dirinya daripadaku. Mungkin Aqel masih merajuk lagi. Aku melepaskan keluhanku lagi. Rasa bersalah pula kepada Aqel. Memang tindakanku semalam agak keterlaluan. Aku tidak sepatutnya berbicara sedemikian di depan mak sedangkan selama ini Aqel tidak pernah mengungkit halku dengan Haqem di depan mak mahupun di depan Mak Long. Kesal sebab aku gagal menjadi sahabat yang setia kepada Aqel. 

“Ya Allah.... Engkau permudahkanlah perjalananku hari ini...” bisikku berbicara sendiri lalu menolak daun pintu dengan langkah kanan menapak masuk ke dalam bilik ini. Aku berharap kerja – kerja yang kutinggalkan selama lima hari ini akan membuatkan aku lupa perkara yang sedang bergolak dalam benakku tika ini. Aku meletakkan fail di tepi meja. Sekejap lagi aku menyusunnya di rak fail yang disediakan.

Aku melontar pandangan pada jam di dinding. Jarum panjang sudah menjangkau ke angka 12 manakala jarum pendek menghampiri angka 1. Sudah waktu rehat sekarang. Betapa khusyuknya aku menyelesaikan tugasku sehingga aku tidak menyedari peredaran masa yang terlalu pantas. Alhamdulillah.... Allah memperkenankan permohonanku. Separuh daripada hari ini berjalan dengan baik. Aku mencapai sebotol air mineral di tepi meja, lalu memusing penutupnya. Dengan kalimah Allah, aku terus meneguk air mineral ini. Terasa nikmatnya tatkala membasahi tekakku. Kuteguk lagi untuk beberapa kali. Hari ini cukuplah sekadar sebotol air mineral sebagai pengalas perutku. Memandangkan aku tidak berselera, maka aku tidak bercadang untuk makan tengah hari.

“Awak hanya minum air kosong sahaja? Awak tidak mahu makan tengah harikah?” ada suara lelaki menyapaku. Laju aku melontar pandanganku ke muka pintu. Haqem sedang melangkah masuk sambil tersenyum. Kedatangan Haqem ini sedikit mengejutkan aku. Haqem singgah sekejap di sofa di sudut bilik ini, lalu meletakkan beg kertas di tangannya di atas meja. Kemudian bergerak menghampiriku. Seminit kemudian Haqem sudah terpacak di depanku sambil memandangku. Terasa renungan mata Haqem begitu dalam sehingga menusuk hatiku. Aku merasakan ada getaran dalam diriku. Haqem tersenyum lagi.

“Mari kita makan sama – sama. Saya ada beli makanan tadi” tutur Haqem mempelawaku. Kupandang wajah Haqem. Nampak sayu sahaja sepasang mata milik Haqem ini. Bagaikan Haqem sedang menanggung bebanan perasaan selama ini. Aku sedar Haqem pasti terhukum atas tindakanku selama ini. Aku membenci Haqem tanpa usul periksa.

“Haqem, awak terseksa selama ini?” tiba – tiba sahaja persoalan itu meluncur laju dari celah bibirku. Haqem menatapku. Seketika aku dan Haqem saling beradu pandangan.

“Nanti saya cerita kepada awak. Sebelum itu, kita makan dahulu” tutur Haqem berjenaka buat aku tersenyum. Aku mengangguk.

“Mari...” ajak Haqem mendahuluiku melangkah ke sofa di sudut bilik ini. Aku bingkas bangkit dari dudukku. Haqem sudah mengeluarkan beberapa jenis makanan yang dibeli lalu menghindangnya di atas meja. Aku melabuhkan dudukku di sofa bertentangan dengan Haqem.

“Ini nasi goreng makanan laut istimewa untuk awak. Awak mesti sukakan...” tutur Haqem sambil meletakkan nasi itu di depanku. Rasa terharu menjalar dalam diriku.

“Terima kasih Haqem” tuturku menghargai keprihatinan Haqem ini.

“Habiskan nasi ini, tahu. Tadi saya terpaksa berbaris panjang hendak beli nasi goreng ini. Orang kata restoran di depannya itu sedap nasi gorengnya. Jadi hari saya cubalah hendak merasanya. Awak makanlah dahulu, selepas itu baru boleh komen sedap atau tidak” tutur Haqem berjela dengan cerianya. Aku mengangguk.

“Nasi goreng di sana memang sedap” sahutku. Haqem menatapku.

“Saya sudah beberapa kali pergi ke situ dan makan nasi goreng ini” jelasku. Haqem tersenyum. Senyuman Haqem tidak seindah senyumannya dahulu. Mungkin kemanisan senyuman itu sudah pudar dek terluka dengan tindakanku selama ini. Barangkali juga kerana aku bukannya lagi kekasih hati Haqem. Terlalu kukuh tembok penghalang yang memisahkan aku dengan Haqem.  

“Minta maaflah sebab menyusahkan awak terpaksa berbaris hendak membeli nasi goreng ini” tuturku rasa bersalah.

“Saya pun hendak minta maaf juga” sahut Haqem menghairankanku.

“Sebenarnya saya sering perhatikan awak. Saya tahu di mana awak suka makan, di mana awak akan menghabiskan masa rehat awak, malah saya masih ingat awak memang suka makan nasi goreng makanan laut. Tadi lama juga saya tunggu awak di restoran itu namun awak tidak juga muncul – muncul. Nasib baik jangkaan saya tepat yang awak berada di bilik ini sekarang” tutur Haqem menyentakkanku. Selama ini Haqem sering memerhatikan aku?

“Minta maaflah Lia, saya memang tidak boleh biarkan awak terlepas daripada pandangan mata saya” jelas Haqem tanpa berselindung. Betulkah aku begitu penting buat Haqem.

“Saya pun minta maaf juga sebab banyak menyusahkan hidup awak selama ini” tuturku perlahan. Haqem geleng kepala.

“Semua yang saya lakukan selama ini adalah demi kebaikan awak. Biarpun awak membenci dan menyalahkan saya, saya tidak peduli. Namun sejak akhir – akhir ini saya seakan tidak mampu setenang itu lagi” ujar Haqem diiringi dengan senyuman tawarnya. Haqem melepaskan keluhannya.

“Saya memang hidup sengsara selama ini. Saya tidak mampu melupakan awak. Saya terseksa apabila awak menjauhi saya. Saya menderita sebab tidak dapat bersama awak. Paling melukai perasaan saya apabila mama dan Bella menyakiti awak. Saya mahu melindungi awak” tutur Haqem serius. Kupandang wajah Haqem.

“Saya mahu melindungi dan menjaga awak selama – lamanya” tegas Haqem buat aku terpaku. Besar sungguh hajat hati Haqem.     

“Adakah saya berpeluang untuk melakukannya, Lia? Masihkah saya ada di hati awak?” soal Haqem menyentakkanku. Aku tergamam dan terpaku. Kupandang wajah Haqem yang sudah bersedia menantikan jawapanku. Sukar untukku berbicara dalam hal ini.

“Saya sudah lapar ini. Boleh kita makan sekarang” tuturku mengubah topik perbualan. Haqem tersenyum. Hakikatnya aku tidak mahu terburu – buru memberi jawapannya.
 
“Oh.... makan ... makan... Lia” tuturnya Haqem mengarahkan aku menikmati nasi goreng ini. Aku terus memulakan suapanku. Begitu juga dengan Haqem. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Haqem. Cuba menyelami perasaan Haqem saat ini. Barangkali Haqem kecewa kerana aku tidak mampu menjawab persoalannya tadi. Lima minit berlalu, aku dan Haqem hanya fokus pada makanan masing – masing. Sesi makan tengah hari kami berlangsung dengan sunyi sepi. Aku yang bercadang tidak mahu makan tengah hari tadi tiba – tiba sahaja berselera. Sebetulnya aku tidak mahu mensia – siakan tenaga Haqem berbaris untuk membeli nasi goreng ini. Perkara ini bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh Haqem memandangkan status dirinya yang tidak biasa hidup sukar.

“Assalamualaikum....Lia...” suara Marnie kedengaran di sebalik pintu yang sudah terkuak sedikit. Serentak aku dan Haqem berpaling ke muka pintu. Kelibat Marnie kelihataan sepenuhnya. Bulat anak mata Marnie menatapku dan Haqem. Nampak dia terkejut.

“Encik Haqem ada di sini rupanya. Encik Aqel tidak ikut samakah?” soal Marnie langsung tidak mahu memisahkan aku dengan sebaris nama itu. Aku angkat bahu. Tidak tahu di mana Aqel berada sekarang. Yang pastinya Aqel sedang marahkan aku sekarang. Haqem juga tidak mampu menjawab persoalan Marnie, lantas aku dan Haqem hanya membiarkan pertanyaan Marnie berlalu. Marnie datang merapati kami sambil silih berganti menatapku dan Haqem. Dia diburu kesangsian sekarang.

“Awak sudah makan rupanya. Saya baru sahaja hendak ajak awak temankan saya makan” keluh Marnie tidak gembira. Haqem tersenyum.

“Awak terlambat Marnie” tutur Haqem kepada setiausahanya ini.

“Itulah Encik Haqem datang sini senyap – senyap, langsung tidak mahu beritahu saya. Kalau tidak boleh juga saya ikut sama tadi” leter Marnie bagaikan tidak puas hati kepada Haqem. Haqem hanya tersenyum. Langsung tidak ambil hati dengan bebalan Marnie ini.

“Encik Aqel tidak marahkah Encik Haqem datang sini?” soal Marnie tersengih. Aku menelan liur. Mujur juga tidak tersedak mendengar pertanyaan Marnie ini. Besar anak mataku menatap Marnie.

“Saya sudah ajak dia datang sini tetapi dia kata ada hal. Saya sudah meminta izin Aqel untuk makan bersama Lia” tutur Haqem tenang. Kupandang Haqem. Betulkah Haqem lakukan semua itu? Bukankah Haqem sudah mengetahui kebenaran tentang hubunganku dengan Aqel?

“Tabiklah dengan Encik Aqel. Betul – betul gentleman. Memang buat ramai gadis terpikat kepada dirinya. Oppss..... maaf Lia” Marnie terus menutup mulutnya sambil tersengih menatapku. Bicara Marnie langsung tidak berbekas di hatiku. Apa yang perlu aku risaukan. Aku bukannya kekasih Aqel, jauh sekali tunangnya.

“Saya harus pergi sekarang. Kamu berdua teruslah berbual – bual” suara Haqem mencelah. Haqem sudah bangkit dari duduknya, bila – bila masa sahaja akan memulakan langkahnya.

“Haqem......” panggilku sambil mendongak menatap Haqem.

“Terima kasih sebab belanja saya makan” tuturku. Haqem mengangguk dan tersenyum. Kemudian terus sahaja mengatur langkah meninggalkan aku dan Marnie. Kelibat Haqem lenyap di sebalik pintu. Aku mengalih pandanganku kepada Marnie. Ternyata Marnie sedang menatapku.

“Kenapa?” soalku kurang senang dengan pandangan Marnie.

“Awak dan Encik Haqem memang ada hubungan istimewakah?” soal Marnie.
“Apa?” soalku terkejut mendengar pertanyaan Marnie ini.

“Encik Haqem bawa makan di sini untuk makan tengah hari bersama awak. Kemudian awak panggil dia Haqem sahaja. Nampak mesra sangat. Awak jangan cari fasal Lia, Datin Sofea dan Cik  Bella itu tidak mampu awak tentang. Lagipun Encik Aqel itu sudah cukup sempurna untuk awak” tutur Marnie bersungguh – sungguh dengan wajah seriusnya.

“Awak janganlah cakap yang bukan – bukan Mar” keluhku.

“Betulkah awak dan Encik Haqem tiada hubungan istimewa?” soal Marnie. Aku mengangguk. Kelihatan Marnie menarik nafas lega.

“Tetapi saya tengok Encik Haqem itu nampak suka kepada awaklah” komen Marnie curiga. Aku menggeleng.

“Tidakkan dia hendak benci saya pula. Dia suka semua orang di KDUT inilah” tingkahku cuba mematikan perasaan curiga yang sedang melanda diri Marnie saat ini.

“Betul, tetapi tidak semua gadis di KDUT ini pernah makan berdua – duaan bersama Encik Haqem. Saya yang sudah bertahun – tahun menjadi setiausahanya ini pun tidak pernah makan bersama Encik Haqem” tutur Marnie menguatkan hujahnya.

“Oh.... macam itukah? Kasihannya awak, Mar” sahutku cuba mengusik Marnie sekali gus menjadikan perkara ini tidak serius. Marnie menjelingku. Aku tersenyum.

 “Jangan rapat sangat dengan Encik Haqem, bahaya untuk awak. Saya dapat rasakan bahawa Cik Bella dan Datin Sofea sudah curiga kepada kalian. Mana tahu Encik Haqem ada cakap sesuatu kepada mereka” tutur Marnie memberi peringatan.

“Saya tahu Mar, Datin Sofea selamanya tidak akan menyukai saya” sahutku kecewa. Selamanya saya tidak akan berjaya mengambil hati Datin Sofea.

“Lain benar bunyinya bicara awak ini” tutur Marnie sangsi lagi. Aku senyum.

“Marilah saya temankan awak makan” tuturku mengubah topik perbualan.

“Aik.... tidak kenyang lagikah?” soal Marnie sinis.

“Tetiba sahaja saya rasa mahu makan banyak hari ini” sahutku tersenyum.

“Apa yang buat awak stres sangat ini? Encik Aqel, Encik Haqem atau Datin Sofea dan Cik Bella?” soal Marnie bertalu – talu. Berkerut dahiku menatap Marnie. Tidak mengerti apa yang sebenarnya ingin dikatakannya kepadaku.

“Saya kalau stres makan banyak, tahu” tutur Marnie memberi penjelasan terhadap bicaranya sendiri. Rupanya dia masih mahu membicarakan tentang diriku. Aku mencebik.

“Awak mahu saya temankah atau tidak ini?” soalku berwajah serius.

“Mestilah mahu awak temankan” sahut Marnie laju.

“Jikalau macam itu baik awak diamkan diri sahaja” tuturku memberi amaran keras.
 Tersengih Marnie menatapku. Mahu tidak mahu Marnie terpaksa patuh pada permintaanku. Nampak saat ini dia terdesak sangat minta aku menemani dirinya. Mesti dia kebuluran sangat sekarang. Kasihan Marnie. Aku tersenyum sendiri.

“Lia, Encik Aqel dengan Ranialah. Tengok di sana itu...” tutur Marnie terkejut. Laju aku mengalih pandanganku ke arah yang ditunjukkan oleh Marnie. Memang betul Aqel sedang makan bersama Rania yang sedang tersenyum lebar. Kelihatan ceria sungguh Rania berada di sisi Aqel. Aku tumpang rasa lega. Mungkin ini permulaan yang baik untukku.

“Kita duduk sini” tutur Marnie sudah memilih sebuah meja. Aku menurut sahaja tanpa bantahan. Terus sahaja melabuhkan punggung bertentangan dengan Marnie yang masih melontar pandangan ke arah Aqel dan Rania. Nampak dia berminat sangat kepada pasangan itu. 

“Awak tengok apa itu? soalku buat – buat tidak mengerti. Marnie mengalih pandangan kepadaku.

“Awak dan Encik Aqel bergaduhkah? Kalian ada masalahkah?” soal Marnie bersungguh – sungguh. Aku tersenyum. Jauhnya imaginasi Marnie.

“Tidaklah” sahutku bersahaja.

“Betulkah? Tadi saya tengok awak bersama Encik Haqem. Sekarang Encik Aqel bersama Rania pula. Bukan biasa saya tengok Encik Aqel begini” tutur Marnie masih berasa sangsi. Aku tersenyum.

“Mereka mesti ada hal hendak dibincangkan” sahutku berprasangka baik. Sebetulnya aku berbesar hati andai Aqel sudah mahu berbaik – baik dengan Rania semula. Memang perkara ini yang aku harapkan terjadi.

“Kenapa dengan awak ini, Lia? Perhatian awak sudah beralih kepada Encik Haqemkah?” soal Marnie buat aku terdiam seketika. Aku bertindak keterlaluankah? Nampak sangatkah aku ini bukan kekasih Aqel?

“Dalam hubungan kita mesti saling percaya – mempercayai. Saya yakin dengan apa yang Aqel lakukan” tuturku cuba memuaskan hati Marnie.

“Orang yang sudah pudar kasih sayangnya sahaja mampu berkata begini” sahut Marnie buat aku terdiam lagi. Aku terus sahaja kematian akal untuk berdebat dengan Marnie.

“Barangkali saya bukan kekasih fanatik seperti awak, Mar” tuturku mengusik Marnie sambil tersenyum. Cuba keluar dari keseriusan ini. Marnie geleng kepala.

“Hati dan perasaan awak sudah berbelah bahagi sekarang?” tutur Marnie meningkah bicaraku.

“Maksud awak?” soalku menuntut penjelasan lanjut terhadap bicaranya itu.

“Awak tahu apa yang saya maksudkan” ujar Marnie tidak mahu memberi penjelasan lanjut. Senyap. Marnie melambaikan tangannya kepada pekerja restoran ini.

“Awak mahu makan apa?” soalnya. Aku menggeleng.

“Minum?” soal Marnie lagi. Aku menggeleng sekali lagi.

“Kata tadi mahu makan banyak hari ini” tutur Marnie. Aku senyum.

“Kenapa tiba – tiba sahaja hilang selera makan?” soal Marnie mengenakanku.

“Awak buatlah pesanan sekarang” arahku tidak mahu pekerja restoran ini menunggu lama untuk mencatat pesanan Marnie. Marnie mengerlingku, lantas membuat pesanan. Hari ini semuanya berlaku secara kebetulan. Malangnya Marnie yang menyaksikan semua itu. Bertambah malang apabila aku yang menjadi mangsa yang dihujani pelbagai soalan oleh Marnie. Betapa runsingnya fikiranku terpaksa berhadapan dengan kerenah Marnie tika ini. Mesti Marnie ingat hubungan percintaanku dengan Aqel berantakan sekarang. Kemudian aku mula memikirkan bicara Marnie tentang Haqem. Betulkah perhatianku sudah beralih kepada Haqem? Bermakna aku mengambil berat tentang Haqem.

“Oh... Lia, awak ada di sini rupanya. Saya baru sahaja lepas makan dengan Aqel” suara Rania yang menyapaku menyentakkanku. Rania yang tersenyum – senyum berdiri di sebelah Aqel sudah terpacak di depanku dan Marnie. Kutatap Aqel. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Namun tiada sebarang sapaan. Bagaikan orang asing yang saling tidak mengenali.

“Encik Aqel silalah duduk. Mungkin mahu temankan Lia duduk di sini” suara Marnie memecah kesepian. Laju aku berpaling menatap Marnie. Bahasa isyarat kuhantar kepadanya. Aku tidak memerlukan Aqel berada di sini, apatah lagi ketika dia sedang bersama Rania. Aku harus memberi ruang dan peluang yang lebih banyak kepada Aqel dan Rania untuk berdua – duaan.

“Hey....tidak apa. Kalian berdua harus pergi sekarang” tingkahku mendahului suara Aqel memberi jawapannya. Rania tersenyum. Marnie terkebil – kebil menatapku.

“Saya dan Aqel memang ada urusan penting sekarang” sahut Rania menyokong bicaraku. Aqel tetap dengan wajah bersahajanya. Nyatanya Aqel kembali pada perwatakan dingin membekunya. Melihat aku bagaikan tiada perasaan.

“Mari Aqel kita pergi....” ajak Rania seraya mencapai tangan Aqel. Terlopong mulut Marnie menatap gelagat Rania itu.

“Awak biarkan Encik Aqel pergi bersama perempuan lain? Awak hanya berdiam diri tengok perempuan lain pegang tunang awak?” soal Marnie bertalu – talu dengan perasaan tidak puas hati sambil menatapku. Aku hanya membisukan diriku.

“Kalau sudah sampai tahap begini reaksi awak memang hati awak sudah tidak ada kepada Encik Aqel” tutur Marnie membuat kesimpulan sekali gus memanjangkan diamku. Rasanya diam itu lebih baik berbanding berkata – kata.

TATKALA kereta Waja mak yang kupandu  memasuki perkarangan halaman rumah, kulihat kereta Peugeot RCZ Sports Coupe Aqel ada di sini. Tidak semena – mena hatiku berdebar – debar. Mungkin Aqel datang bersama dengan Mak Long. Barangkali ada hal serius yang perlu dibincangkan dengan mak. Aku menarik nafas dalam – dalam. Mula rasa gelisah. Bagaikan berat sahaja langkahku hendak menapak masuk.

“Assalamualaikum.....” sapaku menapak di muka pintu sambil anak mataku liar memerhatikan sekeliling ruang tamu. Senyap. Kelibat mak dan Aqel tidak kelihatan.

“Mak.... Lia sudah balik” ujarku memaklumkan tentang kepulanganku kepada mak. Aku menjengukkan kepalaku di muka pintu dapur. Mak dan Aqel tidak berada di situ. Laju aku berpaling ke bilik air tatkala mendengar bunyi curahan air. Mungkin Aqel yang berada di bilik air sekarang. Aku melangkah ke bilik mak. Kutolak perlahan daun pintu, lalu menjengukkan sedikit kepalaku ke dalam bilik ini. Mak sedang solat, lantas kututup kembali.

“Awak baru sampaikah?” suara Aqel menyapaku. Laju aku berpaling.

“Aqel....!” Aku terjerit besar dan tergamam. Aqel yang nampak tersentak mendengar jeritanku terkebil – kebil menatapku.

“Siapa suruh awak pakai baju saya” marahku dengan pandangan tajam.

“Aa.... baju awakkah ini? Kenapa besar sahaja saiznya” sahut Aqel bersahaja.

“Memang pun baju saya. Kenapa awak pakai” marahku lagi.

“Mak yang bagi pinjam kepada Aqel. Baju Aziq kecil tidak muat untuk Aqel” suara mak mencelah. Aku berpaling. Mak muncul dengan telengkung yang masih dipakainya. Mesti tidak sempat membukanya tatkala mendengar jeritanku tadi.

“Mengapa mak suruh dia pakai” rungutku tidak senang.

“Aqel tolong mak angkat akuarium kecil di luar rumah ini tadi. Tiba – tiba sahaja airnya melimpah keluar. Habislah basah baju Aqel, jadi mak pinjamkanlah baju kamu kepada Aqel. Tidakkan pula mak hendak suruh Aqel pakai baju opah mak” tutur mak berjela sempat juga berloyar buruk. Aqel tersengih – sengih mendengar bicara mak. Aku mencebik.

“Itulah kerja tidak hati – hati. Sekarang menyusahkan orang lain pula” keluhku.

“Apa yang susahnya hanya pinjamkan baju kamu. Maklah yang menyusahkan Aqel sebenarnya. Kamu janganlah kedekut sangat” rungut mak menegurku.

 “Hakikatnya kita memang perlukan lelaki dewasa dalam rumah ini. Tidak semua kerja boleh dilakukan oleh tenaga perempuan” tutur mak menjangkit pada perkara lain pula. Mak tersenyum menatap Aqel. Senyuman yang penuh makna tersirat.

“Awak janganlah risau, esok saya akan kembalikan baju awak ini” tutur Aqel bersuara setelah berdiam diri seketika.

“Baguslah. Jangan lupa cuci bersih – bersih tahu” rungutku sambil menjeling Aqel.

“Kamu janganlah ambil hati dengan kata – kata Lia ini, Aqel. Sebenarnya orang lain tidak pernah pakai baju dia, sebab inilah dia melenting sangat” tutur mak tersenyum. Langsung tidak mengendahkan kemarahanku ini.

“Oh.... jadi beruntunglah Aqel sebab jadi orang pertama yang pakai baju dia ini, Mak Usu” sahut Aqel. Mak dan Aqel tergelak. Menambah rasa geramku.

“Sebenarnya Aqel pun tidak pernah pakai baju orang lain dan tidak pernah suruh orang lain pakai baju Aqel” tutur Aqel berkongsi maklumat dengan mak. Aku mencebik.

“Kalau begitu awak tanggalkan sekarang baju saya ini” pintaku meradang.

“Betulkah?” soal Aqel masih tersenyum menatapku.

“Yalah...” sahutku geram.

“Kamu sanggupkah tengok Aqel separuh bogel, Lia?” soal Mak menyedarkanku. Serentak Aqel dan mak ketawa. Terasa aku diperbodohkan.

“Geramnya...” rungutku kerana senang – senang dipermainkan oleh mak dan Aqel. Aku terus sahaja meninggalkan mak dan Aqel. Tidak tahan berhadapan dengan mak dan Aqel yang menjadi seteruku saat ini.

“Kamu pergi solat Asar sekarang. Lepas itu minum sama – sama nanti” laung mak kepadaku yang sedang mengorak langkah mendaki anak tangga ke tingkat atas ini.

“Merajuklah Lia itu...” tutur Puan Suraya sambil tersenyum menatap Aqel.

“Tidak apa Mak Usu, nanti Aqel pujuk dia” sahut Aqel membuatkan senyuman Puan Suraya semakin mekar. Teruja hatinya mendengar bicara pemuda ini.

“Tahankah hendak pujuk Lia seumur hidup Aqel?” soal Puan Suraya menguji.

“Insya – Allah, Aqel akan cuba Mak Usu” sahut Aqel tersenyum sekali gus membahagiakan hati Puan Suraya. Bicara Aqel bagaikan janji pemuda ini kepada dirinya.

“Sekarang kamu sudah jadi tuan pada baju di tubuh kamu itu” tutur Puan Suraya.

“Kalau anak gadis Mak Usu yang garang itu mendengar cakap Mak Usu ini, mengamuk dia nanti” tutur Aqel berjenaka.

“Kongsilah jadi pemilik baju ini” sahut Puan Suraya dengan senyuman kian lebar. Aqel hanya tersenyum panjang. Tidak tahulah sama ada dia memahami atau tidak bahasa kiasan Puan Suraya yang sarat dengan makna yang tersirat itu.

Aku meletakkan sejarah dan telengkung di tempat biasa. Kemudian berpaling ke muka pintu. Terasa berat sahaja kakiku hendak melangkah keluar bertemu dengan Aqel lagi. Jikalau bukan kerana mak, sudah pasti aku tidak akan memunculkan diri di depan Aqel semula. Aku menolak daun pintu bilikku. Langkahku belum pergi jauh. Laju sahaja aku berpaling menoleh ke arah bilik solat yang sedang terkuak pintunya. Nampak Aqel baru sahaja selesai berdoa lalu bangkit dari sejadah itu. Ada juga perlunya Aqel menukar bajunya. Aku cuba berfikiran lebih rasional serta merelakan hati agar tidak kisah tentang baju yang menyaluti tubuh Aqel ketika ini. Oh.... baju teddy bear merah kesayanganku! Aduh.... bertambah comel Aqel memakainya.

“Awak mengintip sayakah?” suara Aqel singgah di telingaku. Aku tersentak. Aqel sedang menatapku buat aku serba salah. Tersilap tingkah pula aku.

“Awak buat apa terpacak di sini? Awak mahu mengintip sayakah?” soal Aqel mengulangi pertanyaannya tadi. Aku mendengus.

“Saya risau awak mencuri barang di rumah ini” sahutku helah bela diri. Aqel terus sahaja tertawa. Teruk sangatkah alasanku ini? Namun yang pasti alasan ini langsung tidak munasabah.     
“Saya memang ada curi sesuatu di rumah ini” tutur Aqel setelah ketawanya reda.

“Apa yang awak curi?” soalku laju.

“Saya telah curi hati awak sebab itu awak suka curi – curi tengok saya. Mesti awak sudah terpikat kepada sayakan” tutur Aqel bersahaja.

“Ya Allah.... perasannya lelaki seorang ini..” cemuhku dengan anak mata yang membesar. Aqel tergelak lagi. Betul – betul tidak sangka Aqel akan berbicara begini.

“Saya selesa pakai baju awak ini. Wangilah...” tutur Aqel mengenyitkan matanya. Nakal. Aku mengetap bibir. Geram. Aqel sengaja hendak buat darahku bergelora.

“Jangan lupa lepas cuci baju itu cepat pulangkan” arahku.

“Mak Usu sedang tunggu di bawah itu. Mari...” ajaknya lalu melewatiku yang masih terpacak berdekatan dengan pintu bilik ini tanpa mengendahkan arahanku sebentar tadi. Aku mengekori langkah Aqel.

“Aqel...!” panggilku semula. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling ke arahku semula.

“Walau apapun kesalahan Rania terhadap awak, saya berharap awak akan kembali bersama dia. Saya memang memerlukan pertolongan awak tika ini. Dengan cara ini sahaja masalah saya akan selesai. Saya tidak mampu melakukannya sendirian” tuturku mengharapkan pengertian Aqel biarpun aku tidak berterus terang kepada Aqel tentang hajat hati mak dan Mak Long terhadap kami berdua. Aku beranggapan bahawa Aqel tidak mengetahui perkara ini dan aku tidak bercadang hendak memaklumkan kepadanya.

“Awak mahu saya maafkan kesalahan Rania dan menerimanya semula demi kepentingan awak?” soal Aqel serius. Perlahan – lahan aku mengangguk dan cuba lebih memahami bicara Aqel ini. Betulkah Rania telah melakukan kesalahan serius sehingga Aqel meninggalkannya? Apakah kesalahan Rania itu? Begitu beratkah kesalahan itu sehingga mereka berpisah?

“Awak sungguh pentingkan diri sendiri, Flora” Aqel tersenyum sinis menatapku. Aku menelan liurku. Kejamkah aku?

“Saya tiada pilihan lain Aqel” ujarku rasa bersalah.

“Tiada siapa yang suruh awak buat pilihan pun” tingkah Aqel. Kupandang Aqel. Perlukah aku berterus terang sahaja kepada Aqel?

“Saya tidak dapat penuhi hajat hati mak dan Mak Long. Saya tidak mampu hendak jadi isteri awak” tuturku perlahan. Aqel langsung tidak nampak terkejut mendengar bicaraku ini. Ternyata Aqel sudah mengetahui perkara ini.

“Aqel.... saya ingin menebus kesalahan saya kepada Haqem. Selama ini saya berprasangka buruk kepada Haqem. Rupanya Haqem juga terseksa selama ini. Saya rasa bersalah kepada Haqem. Tidak sanggup saya hendak melukakannya lagi” luahku perlahan. Aqel melepaskan keluhannya. Ditatapnya wajahku.

“Buatlah apa yang terbaik untuk awak. Paling penting awak bahagia dengan tindakan awak” tutur Aqel langsung tiada halangan.

“Terima kasih Aqel. Awak memang benar – benar memahami” Lega. Aku melontar pandangan jauh – jauh. Terbayang wajah mak dan Mak Long. Mak dan Mak Long mesti kecewa denganku. Bagaimana aku hendak berterus – terang kepada mak tentang hal ini? Bagaimana pula penerimaan Mak Long? Aku bertindak ikut gerak hatiku agar aku tidak menyesal di kemudian hari nanti. Aku juga tidak mahu rasa bersalah seumur hidupku. Aku mahu membahagiakan Haqem walaupun hanya sedetik.

“Maka inilah keputusan muktamad awak untuk hidup bersama Haqem?” suara Aqel memecah keheningan ini. Aqel menatap wajahku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan.

“Soal jodoh adalah ketentuan Allah. Andai Haqem adalah lelaki yang Allah utus untuk menjadi teman hidup saya, saya akan terimanya dengan senang hati. Andai sebaliknya yang berlaku, saya akan redha” tuturku menjawab persoalan Aqel.

“Awak mesti bertegas untuk mendapatkan sesuatu yang awak mahukan” ujar Aqel menyangkal bicaraku.

“Saya tidak boleh paksa semua orang menyukai dan menerima saya, Aqel” tegasku. Sejak sekian lama aku tidak mampu menambat hati Datin Sofea untuk menerimaku menjadi sebahagian ahli keluarganya.

“Awak risaukan penerimaan Datin Sofea?” soal Aqel mengerti perkara yang bergolak dalam hatiku. Aku melontar pandanganku jauh – jauh. Pertanyaan Aqel tidak kujawab.


8 comments:

  1. Asalamualaikum, benar2 lama menunggu :)

    Tapip sakit hati sekaligus kecawa dengan pernyataan lia yaitu Saya tidak dapat penuhi hajat hati mak dan Mak Long. Saya tidak mampu hendak jadi isteri awak”
    terbayang seperti apa perasaan aqel :(
    berharap lia merasakan ketulusan aqel saat lia benar2 kehilangan aqel.

    hehehehe tak rela jika aqel diperlakukan seperti itu oleh lia:D

    Thank sebab dah posting & Nak lagi sist:)

    ReplyDelete
  2. heheheh memang lama pun nak n3. bz sgt apatah lg br nak tukar tmpt keja br. insyaallah bab seterusnya menjanjikan sesuatu yg mendebarkan n lbh romatik bikin tersenyum sendiri hehehe. tq baby mio n tq asih. tq u all

    ReplyDelete
  3. hi... saya nie new follower blog nie.. saya suka citer nie... tp kan bagila aqel tu tunjuk ckit yg dia pn sebenarnya ada feel kat si lia tue.. klau tak lia tu tak phm la kan... hehe.. jgn mare.. cpt upload n3 bar yea.. fighting!!!

    ReplyDelete
  4. tqvm atas idea ini....tq juga sebab jd rakan blog sy....

    ReplyDelete
  5. hmmmm.....lamanya nak kna tnggu n3

    ReplyDelete
  6. Hi Permata Nilam @ Iman

    Am still updated ur novel all the time but i dun have time to gv comment. How are u? Look like ur are so busy with something. Kindly load next chapter for this novel.

    Wishing u always be the best.

    Saluja

    ReplyDelete
  7. oh... u pun nmpk mcm bz jg....mmg bz dgn kerja2 sek. skrg nak pindah sek lg. now bz nak settle tugas sblm pi sek br. tqvm sbb msh bersama permata nilam. tqvm kpd u all. sy cb luangkan ms nak smbg novel ni .... sabar ye keindahan n yg ln2

    ReplyDelete