BAB 56
Aku menutup mulutku. Sudah berapa kali aku menguap.
Sebaik saja aku terjaga aku tidak boleh tidur lagi. Didatangi mimpi yang
membebani fikiranku.
“Kamu tak cukup tidur ke?” Mak tersenyum melirik.
Senyuman yang penuh makna buat aku kurang senang. Pasti mak sudah salah faham.
Aku dan Aqel sedikit berbeza dengan pengantin baru yang lain.
“Terbangun pukul 3.00 pagi tadi. Lepas tu tak boleh tidur
lagi” jelasku. Mak berpaling menatapku. Sekilas senyuman terukir di bibirku.
Perkara ini bukannya sesuatu yang serius. Tidak mahu merunsingkan hati mak.
“Ada yang merunsingkan kamu?” soal mak. Laju aku
menggeleng.
“Kamu tak de masalah dengan Aqel kan?” duga mak berbaur
kerisauan. Aku mengangguk. Setakat ini aku dan Aqel hidup baik – baik saja
walaupun perihal Flora sentiasa menghantuiku. Kupandang wajah mak. Hatiku
melonjak ingin mengutarakan banyak pertanyaan pada mak. Mungkin mak boleh
menolongku mengungkai persoalan yang membelenggu diriku selama ini.
“Mak kenal Flora?” soalku berhati – hati. Berkerut dahi
mak menatapku.
“Flora....” Nama ini perlahan – lahan meniti di bibir
mak. Minda mak seakan cuba mengingat sebaris nama ini. Mak geleng kepala.
“Bukan ke Aqel panggil kamu dengan nama ni?” soal mak
menyedarinya. Aku mengangguk. Sebab itu aku ingin tahu lebih lanjut tentang
nama ini? Mungkin juga ada kaitan denganku. Hairan juga mengapa Aqel mahu terus
– terusan memanggilku dengan nama ini.
“Aqel memang anak tunggal Mak Long kan, mak” ujarku
menduga.
“Yelah mana ada yang lain lagi. Tak tahulah kalau anak yang
dah tak de” ujar mak. Senyap. Tidak pernah pula aku melihat gambar budak
perempuan di rumah Mak Long mahupun Mak Long bercerita tentang adik –beradik
Aqel yang lain. Aku hanya pernah nampak sekali gambar yang disembunyikan oleh
Aqel. Gambar Aqel ketika kecil bersama seorang budak perempuan. Hatiku begitu
kuat meyakini bahawa budak perempuan itu ialah Flora.
“Tak banyak sangat yang mak tahu tentang Mak Long kamu
sebab mereka lama tinggal di luar negara. Bila mereka dah kembali ke sini
barulah mak dan Mak Long kamu rapat” jelas mak. Betul cakap mak. Sejak Mak Long
kembali ke negara ini baru aku mengenali mak saudara dan sepupuku. Dahulu tidak
banyak sangat yang mak boleh ceritakan tentang kakak iparnya itu.
“Arwah ayah tak pernah cerita ke tentang Mak Long pada
mak?” soalku lagi.
“Ayah kamu bukan suka sangat cerita hal orang” jelas mak.
“Yelah..... sama juga seperti Aqel” sahutku. Barangkali
keperibadian ayah sedikit diwarisi Aqel. Mak menatapku.
“Yang kamu nak tahu sangat pasal nama ni, mengapa?” soal
mak sangsi.
“Tak de apa – apalah mak” nafiku.
“Ni mesti kamu cemburu dengar Aqel sebut nama perempuan
lain ni” ujar mak tersenyum meleret mengusikku. Aku tergelak. Menyimpang jauh
sangkaan mak.
“Ke situ pula yang mak fikir” rungutku. Mak tersenyum –
senyum.
“Tak salah pun kalau kamu ada perasaan macam tu, tapi
jangan lebih – lebih” ujar mak memberi nasihat sekali gus menambah usikannya.
Aku tersenyum sekilas.
“Kalau kamu nak tahu sangat pasal mak mertua kamu tu,
kamu tanyalah dia sendiri. Silap – silap bicara, dia boleh bongkar rahsia Aqel”
saran mak sambil lewa. Boleh difikirkan cadangan mak ini. Namun risau pula Mak
Long salah faham. Mungkin juga Mak Long mahu berahsia seperti Pak Long dan Aqel.
Oh.... misteri sungguh gerangan gadis yang bernama Flora ini!
“Ajak Aqel sarapan” suara mak menyentakkanku. Aku akur
dengan arahan mak. Segera mendapatkan Aqel. Aku menjenguk ke bilik tidur. Aqel
tiada di sini. Aku merapati bilik air sambil mendakap telingaku di daun pintu
kalau – kalau Aqel berada di sini. Sunyi sepi. Pintu juga dikunci dari luar.
Sah Aqel tiada di dalam bilik air. Aku bergerak keluar bilik sambil anak mataku
meliau – liau menjejaki kelibat Aqel. Ke mana gerangannya menantu kesayangan
mak ini menghilangkan diri? Hatiku tertanya – tanya sambil melewati ruang tamu
menghala langkah ke muka pintu utama.
“Oh..... rupa – rupanya di sini cik abang sayang
hoi......! Awal pagi dah termenung jauh ingat kekasih lama ke? Cepat sarapan
mak dah tunggu di dapur tu” rungutku mencebik ke arah Aqel yang sedang
bersantai – santai menghirup udara pagi yang segar di halaman rumah. Aqel
menatapku dengan wajah bersahajanya. Kadangkala sakit hati juga aku tengok
reaksinya sebegini. Aqel melangkah mendekatiku. Aku berpaling mahu memulakan
langkah. Namun langkahku belum bermula, tidak semena - mena tangan Aqel
mendarat di bahuku. Laju aku berpaling ke arah Aqel yang sudah bersedia melawan
pandanganku.
“Awak nak buat apa ni?” soalku lantas cuba menepis tangan
Aqel dari bahuku. Gagal.
“Nak tunjuk pada mak mertua bahawa sayalah suami yang
romantik” ujar Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir.
“Tak payah. Turunkan tangan awak ni” arahku. Aqel
menulikan telinga. Aku cuba menarik tangan Aqel dari terus melekat di bahuku.
Namun tangan Aqel bagaikan sudah digam tetap melekat di situ.
“Aqel saya tak selesa awak buat saya macam ni” tegasku
bengang.
“Mula – mula saja. Lama – lama nanti awak akan terbiasa”
sahut Aqel. Kutatap wajah Aqel. Adakah perbuatannya ini akan menjadi rutin
harian kami? Hey.... meremeng bulu romaku! Betapa kekoknya aku diperlakukan
sebegini. Janggal sungguh dengan kemesraan yang dibuat – buat oleh Aqel. Kedengaran
suara mak melaung memanggilku.
“Cepat turunkan tangan awak” arahku lebih tegas lagi.
Aqel buat wajah bersahajanya.
“Jalan terus...” arahnya pula sambil menolakku memulakan
langkah. Mahu tidak mahu dan dalam keadaan terpaksa aku melangkah bergandingan
bahu dengan Aqel yang sudah siap sedia mempamerkan senyuman lebarnya pada mak.
360° kepalaku tegak berhadapan dengan mak. Betapa rimasnya aku dengan perlakuan
Aqel ini. Mak tersenyum lebar menyambut kedatangan kami. Di mata mak betapa
romantiknya pengantin baru ini. Aduhhhhh......!
Aku dan Aqel sudah melabuhkan duduk di kerusi. Aku
menarik nafas lega. Selesa rasanya terlepas dari pautan tangan Aqel. Tidak juga
aku sesak nafas. Berdekatan dengan Aqel membuatkan aku sentiasa berjaga – jaga.
Tindakan Aqel selalu di luar jangkauan fikiranku.
“Yang kamu terkebil – kebil tu apa hal? Mana air suami
kamu?” suara mak menerjah halwa pendengaranku. Aku tersentak. Aqel sedang
tersengih – sengih menatapku. Tajam jelinganku menatap Aqel. Kucapai teko lalu
menuang air teh kosong itu ke dalam cawan lantas menyuakan kepada Aqel. Kuceduk
nasi goreng ke dalam pinggan lalu kuletak di depan Aqel. Mak sekadar memerhati.
Memang mak mahu aku memberikan layanan terbaik pada Aqel. Ringkasnya menjadi
isteri terbaik buat suami.
“Makan Aqel....” arah mak dengan limpahan kasih sayang.
Aqel tersenyum lagi. Dia memang suka tersenyum pada mak.
“Sedap nasi goreng mak ni ye....” puji Aqel bermulut
manis.
“Isteri kamu yang buat” tingkah mak membetulkan tanggapan
Aqel. Aqel melirik ke arahku dengan sengihan. Aku menjelingnya lagi. Pujian
Aqel tidak menyentuh hatiku. Kurang ikhlas. Dia memang hanya mahu memuji dan
menyanjung mak.
“Kamu tak tahu ke nasi goreng Lia sedap?” soal mak
memujiku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Aqel turut tersenyum.
“Ni mesti kamu tak suruh Lia pergi dapur ni. Jangan
manjakan isteri kamu ni” omel mak menegur Aqel. Aqel senyum lagi.
“Kalau pun sayangkan isteri bukan ni caranya” ujar mak
lagi.
“Mak.....” tegurku. Mak hanya menayangkan muka
bersahajanya padaku.
“Apa boleh buat mak, dah sayang betul pada isteri” sahut
Aqel buat aku tersedak. Air di dalam mulutku tersembur keluar. Paling malang
terkena t – shirt Aqel.
“Sorry..... sorry.... saya tak sengaja” ujarku serba
salah sambil menyapu – nyapu t – shirt Aqel. Mak bingkas bangun mengambil kain
pengelap. Tuala kecil bersih itu dihulurkan kepadaku. Aku mengelap t – shirt
Aqel yang kotor terkena percikan air teh itu.
“Kamu ni lebih – lebih pula dengar suami kamu cakap macam
tu” bidas mak sinis. Membahang mukaku. Malu mendengar bicara mak. Aku bukan
lebih - lebih tetapi tidak menyangka Aqel akan berbicara sedemikian. Apatah
lagi bicaranya bertentangan dengan fakta. Seingatku tidak pernah pula aku buat
nasi goreng untuknya. Tanganku masih mengelap kotaran pada t – shirt Aqel.
Pasti Aqel rimas disimbah dengan air teh yang keluar dari mulutku tadi.
Maklumlah anak muda Mak Long ini pembersih orangnya. He...he....he.... padan
muka! Siapa suruh cakap yang bukan – bukan. Lain kali fikir panjang dahulu
sebelum mengeluarkan kata - kata. Nasib awaklah, Aqel!
“Tak pe.... Nanti kita mandi sama – sama” ujar Aqel. Gerakan
tanganku terus terhenti.
“Aqel....” tegurku. Mak tersenyum – senyum. Panas
membahang wajahku. Malu pada mak. Betapa lancangnya mulut menantu mak ini.
“Elok tu... pengerat kasih sayang” sampuk mak tersenyum.
Bertambah membahang wajahku. Mak dan Aqel memang sekepala. Suka sangat
mengenakan aku. Bingkas aku bangun. Tidak tahan berhadapan dengan pasangan
serasi ini. Selebihnya merajuk.
“Kamu nak pergi mana tu?” soal mak terkebil – kebil
melihat aku sudah berdiri.
“Nak ajak Aqel mandi sekarang.... dah tak sabar ni”
ujarku geram. Mak tergelak. Aqel terkebil – kebil menatapku. Dia terkejut
mendengar bicaraku. Mungkin dia ingat aku benar – benar serius saat ini. Mahu
mengotakan bicaraku sebentar tadi.
“Kalau ye pun bagilah Aqel habiskan sarapan dulu.
Sabar.... sabarlah” tutur mak mengusikku. Wajahku bertambah panas membahang
tika ini. Malah tempiasnya mengena hatiku. Nampak sangat aku isteri gelojoh di
mata mak. Namun alang – alang aku dapat malu biar aku malu semalunya. Selepas
ini aku hendak buat perhitungan dengan Aqel.
“Marilah.... Aqel” Kurendahkan nada suaraku. Sedikit
bunyinya mengoda. Aqel terkebil – kebil menatapku. Kutarik tangan Aqel bangun.
Mak ternganga menatapku. Baru mereka tahu sekarang jangan main – main denganku.
Aqel bagai kerbau dicucuk hidung menurut saja sambil diperhatikan mak. Mesti
mak kebinggungan sekarang. Sebelum melewati pintu ini langkahkku terhenti. Aku
berpaling ke arah mak semula.
“Nanti Lia kemas dan cuci pinggan mangkuk tu. Mak biarkan
saja di atas meja” ujarku meninggalkan pesanan.
“Tak pe.... Kamu berdua habiskanlah masa bersama – sama”
sahut mak hampir – hampir buat aku terjerit. Mujur juga aku masih sedar ada
peringatan keras yang mahu aku tanam dalam kepala Aqel. Tidak mahu cepat
melatah di depan mak. Nanti terbongkar lakonanku tika ini. Aku memaksa diri
tersenyum merestui bicara mak yang agak sensitif itu. Kutarik tangan Aqel
menuruti langkahku ke bilik. Kukunci pintu bilik. Lantas menolak tubuh Aqel ke
katil. Aqel terduduk di birai katil dengan anak mata terkebil – kebil
menatapku. Barangkali dia ingat aku bakal mencabul kehormatan dirinya sebentar
lagi.
“Saya tak suka awak kaitan saya dengan cakap tak senonoh
awak tu di depan siapa saja terutama di depan mak dan Mak Long” tegasku serius
memberi peringatan. Bahu Aqel terjungkit. Terkejut dia mendengar suara
lantangku ini. Aku mahu Aqel sedar bahawa aku bersungguh – sungguh dengan
bicaraku. Aku serius tika ini.
“Kalau awak masih berdegil, saya takkan teragak – agak
bertanyakan perihal Flora pada Mak Long. Saya akan beritahu mak tentang Flora
kekasih pertama awak yang bertapa dalam hati awak tu” ancamku tanpa belas
kasihan. Aqel terpana.
“Biar mak tahu sebenarnya menantu kesayangannya ini ada
perempuan lain” ancamku lagi tanpa memberi peluang kepada Aqel membalas
bicaraku.
“Jadi berhenti memperbodohkan keluarga kita. Saya tak
mahu mereka terus tertipu dengan lakonan awak” tegasku geram dengan hati yang
terbakar. Senyap. Aku bergerak ke jendela yang sudah terbuka luas. Tercengat di
situ dengan kedua belah tanganku mencengkam bingkai jendela. Mahu saja aku melaung sehabis –
habis suaraku meluahkan ketegangan dalam diriku tika ini. Namun tidak mahu
mengundang kehairanan mak. Mak tidak perlu tahu perkara ini kerana aku mahu
memberi peluang kepada Aqel untuk membuktikan keinsafan dirinya dengan tidak
mengulangi tindakannya tadi.
“Saya mahu kehidupan saya berubah.....” suara Aqel
memecah keheningan ini. Aku melepaskan keluhan kecilku. Walaupun Aqel sudah
menjadi suamiku, namun aku tidak mengharapkan kehidupannya akan berubah secara
mendadak. Kami perlukan masa.
“Saya mahu jadi suami yang baik....” Laju aku berpaling
ke arah Aqel. Seketika berlaga pandangan dengannya. Mungkin Aqel mahu
mengujiku.
“Hentikan lakonan awak, Aqel” pintaku. Aku mendengus
bosan. Kualih wajahku ke jendela. Angin sepoi – sepoi bahasa membelaiku.
Perlahan – lahan kedamaian menjalar dalam diriku.
“Saya mencintai awak.....” suara Aqel menyusup ke
telingaku. Aku berpaling ke arah Aqel. Terkedu dan tergamam sejenak. Bicara
Aqel terasa di awangan. Namun jelas di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora. Hebat
sungguh lakonan awak, Aqel” ujarku tersenyum sinis sendiri. Bijak sungguh Aqel
bermain kata – kata. Namun tidak semudahnya aku akan dipermainkan oleh Aqel.
“Nama Flora ni benar – benar memberi kesan pada awak”
tutur Aqel lagi.
“Memang saya janji akan jaga awak selagi saya bernyawa,
tapi saya tak mahu ditipu sepanjang hayat saya. Boleh awak jelaskan pada saya
siapa Flora?” dugaku. Aku dan Aqel bertentangan mata dengan mulut yang membisu.
Diam yang panjang. Ternyata Aqel tidak mampu menjawab pertanyaanku. Dia masih
mahu berahsia denganku. Aku pasrah.
*********************
“Oh..... pengantin baru dah sampai. Bagaimana honeymoon
di Korea? Ada jumpa bapa mertua?” sapa Nana menghujani aku dengan banyak
soalan. Aku melabuhkan dudukku di kerusi di depan Nana. Kulontar pandangan ke
arah meja dan kerusi di depan Nana. Sayu
hatiku. Terasa rindu pula aku pada kerusi meja itu. Itulah tempat dudukku.
Bilakah agaknya aku akan kembali ke situ lagi?
“Begitu banyak soalan yang saya ajukan, tak satupun yang
awak jawab” keluh Nana. Aku berpaling menatap Nana. Sekilas senyuman
kuhadiahkan kepada Nana.
“Awak ada jumpa ayah Aqel?” soal Nana. Aku mengangguk.
“Bagaimana orangnya?” soalnya.
“Mirip Aqel tapi sikapnya lebih elok daripada anak
mudanya” jelasku mula membandingkan Aqel dengan Pak Long.
“Tak elok awak cakap macam tu tau” tegur Nana. Aku
tersenyum. Nana memang suka menyelebahi Aqel. Di matanya betapa sempurnanya
anak muda Mak Long itu. Barangkali lelaki seperti Aqel itulah lelaki impiannya.
Mana tahu dalam diam Nana pernah menyukai Aqel. Hish... tidak elok aku sarkap jarang
dengan kawan baik sendiri! Ampun Nana.
“Nana.... jangan lupa lunch sama nanti” suara lelaki
memecah kesepian sedetik ini. Laju saja aku melontar pandangan ke muka pintu.
Arryan tersentak menatapku.
“Oh.... Lia. Rupa – rupanya awak ada di sini!” Aku
menguntum senyuman sempat melirik mengusik Nana yang sedang tersipu – sipu.
Persis ada sesuatu yang berlaku antara mereka.
“Awak pun ikutlah sama nanti” pelawa Arryan diikuti
anggukan kepala Nana.
“Sorry.... saya ada hal di KDUT” ujarku berbohong. Tidak
mahu mengganggu temujanji Nana dengan Arryan.
“Okey.... saya pergi dulu. Jangan lupa tau” tutur Arryan
mengingatkan Nana lagi. Nana mengangguk sambil melemparkan senyuman manisnya
menambat hati sang teruna. Pasti senyuman Nana menggetarkan jiwa Arryan.
Maklumlah orang sedang hangat memadu kasih asmara. Cepat pula aku membuat
kesimpulan.
“Bye....” Arryan berlalu lantas melambaikan tangannya.
Lambaian yang dibalas mesra oleh Nana. Aku menatap Nana yang masih menyulam
senyuman mekar di bibirnya.
“Mengapa?” soal Nana membalas pandanganku.
“Awak dan Arryan sedang bercinta ke?” soalku tidak mahu
berlengah. Nana tersipu malu. Reaksi yang Nana tunjukkan sudah cukup menjawab
persoalan yang kuajukan sebentar tadi.
“Alhamdulillah......” ujarku memanjat kesyukuran. Nana
tersenyum – senyum. Rasa bahagia kerana Nana sudah menemui cintanya. Semoga
Nana dan Arryan menjadi pasangan yang bahagia yang tidak perlu melalui ranjau
berduri alam percintaan persis diriku. Segera kubuang perasaan kecewaku jauh –
jauh.
“Bila nak naik ke jinjang pelamin?” tanyaku mengusiknya.
“Alah..... ke situ pula awak fikir” rungut Nana
menjelingku. Senyuman masih menguntum di bibirnya.
“Tak sangkakan awak bakal bersaudara dengan Puan Rosie”
ujarku mengusiknya. Nana tergelak. Agak sensitif juga ayat ini.
“Masih terlalu awal nak kata macam tu” tingkah Nana.
“Bukankah hubungan kalian serius? Buat apa nak
disegankan” ujarku. Nana tersenyum. Dia tidak mahu memberi sebarang ulasan.
“Puan Rosie dah ada di pejabatnya, awak pergilah sekarang
jumpa dia” arah Nana mahu cepat mematikan usikanku.
“Oh.... menghalau saya ye... Mentang – mentang dah ada
orang tersayang mudah sangat awak nak buang kawan” ujarku buat – buat rajuk.
Nana tersengih panjang. Dia tahu aku tidak akan ambil hati dengan bicaranya.
“Okey... saya pergi sekarang” ujarku memasamkan muka.
Nana masih dengan sengihannya.
“Sebelum balik datang sini nanti” pesan Nana.
“Tak nak saya nak terus balik” sahutku memanjangkan rajuk
olok – olokku. Kedengaran gelak Nana. Aku terus menghala langkah ke pejabat
Puan Rosie. Daun pintu kuketuk. Kedengaran suara Puan Rosie mengarahkan aku
masuk. Perlahan – lahan aku menolak daun pintu. Wajahku terpancul di sebalik
pintu. Senyuman Puan Rosie lebih awal menyambut kedatanganku.
“Duduk Lia” arah Puan Rosie mesra. Lain benar suara dan
reaksi Puan Rosie dari kebiasaannya. Puan Rosie sudah menjadi seorang yang
mesra, murah dengan senyuman. Perwatakan yang begitu menyenangkan hati.
“Apa khabar sekarang?” soal Puan Rosie menyapa
mendahuluiku.
“Alhamdulillah...sihat” sahutku.
“Tahniah semoga kamu dan Encik Aqel bahagia sehingga ke
hujung nyawa. Maaflah saya tak dapat pergi ke majlis kamu tempoh hari” pinta
Puan Rosie disusuli dengan keluhan kecilnya.
“Oh.... saya faham dengan kesulitan Puan Rosie” tuturku
ikhlas. Puan Rosie tersenyum hambar menatapku. Pasti tika ini dia masih berduka
dengan tindakan Encik Mukhtahir yang menduakan dirinya. Kasihan Puan Rosie.
“Jaga suami baik – baik dan sentiasa tambat hatinya.
Kalau kita ada buat salah jangan segan – segan memohon maaf. Tak elok ego
tinggi. Tak guna juga menyesal kemudian hari seperti saya” tutur Puan Rosie
dengan keluhan panjang. Betapa beribu kekesalan terpancar di wajahnya. Aku
terdiam panjang. Kelu lidah hendak mengeluarkan bicara terbaik pada Puan Rosie.
Bimbang tersilap bicara boleh mengguris hatinya.
“Saya akan ingat pesanan Puan Rosie ini. Terima kasih
banyak – banyak” ujarku ikhlas. Sedikit pun aku tidak berdendam dengan layanan
Puan Rosie selama ini. Bukan masa sesuai hendak bergembira dan mentertawakannya
sekarang. Aku sangat menghargai pesanannya ini. Aku juga mengerti perasaan Puan
Rosie.
“Puan Rosie..., saya datang ni nak minta tandatangan dan
hantar rekod – rekod untuk semakan Puan Rosie” jelas suaraku memecah kesepian.
Mahu saja aku segera melenyapkan perasaan sedih Puan Rosie. Aku tidak mahu dia
hanyut melayan kesedihannya. Puan Rosie tersenyum dan mengangguk. Tangannya
dihulur menyambut fail yang kuhulurkan. Kuberi Puan Rosie masa untuk meneliti
segala butiran. Puan Rosie mencapai pen bersedia menurunkan tandatangannya. Dia
mula menandatangani dokumen itu setelah berpuas hati.
“Perjanjian kerjasama CNFL dengan pihak KDUT ada setahun
lagi, tapi kamu boleh kembali ke sini semula. Nanti saya fikirkan siapa yang
boleh menggantikan tugas kamu di sana” ujar Puan Rosie menjemput kepulanganku kembali
berkhidmat di CNFL. Aku tersentak.
“Dengar – dengar mereka nak teruskan kerjasama dengan
CNFL. Mereka sangat berpuas hati dengan kita selama ni” jelasku membawa khabar
gembira pada Puan Rosie.
“Alhamdulillah..... kalau macam tu. Kalau kamu nak
kembali ke sini saya takkan halang. Saya boleh arahkan orang lain mewakili
syarikat kita menggantikan awak kerja di KDUT” ujar Puan Rosie mengulangi
bicaranya. Sikap Puan Rosie telah berubah.
“Tak elok juga saya paksa kamu terus bertahan di sana.
Kamu pasti menghadapi banyak masalah di KDUT kerana saya. Maafkan saya, Lia”
ujar Puan Rosie kesal dengan wajah sugulnya. Aku tersentak.
“Demi kebaikan kamu tak kisahlah kalau Encik Aqel marah
dengan tindakan saya” tutur Puan Rosie tersenyum. Namun sangat menimbulkan
keraguan padaku.
“Maksud Puan Rosie?” soalku hairan.
“Encik Aqel tak pernah cerita apa – apa pada kamu?” soal
Puan Rosie menambah persoalan di benakku. Aku jadi tertanya – tanya.
“Cerita apa, Puan Rosie?” soalku dengan perasaan melonjak
– lonjak mahu tahu.
“Oh.... pandai juga Encik Aqel berahsia dengan awak ye.
Dia memang lelaki baik” ujar Puan Rosie menyanjung Aqel pula. Keinginan hendak
mengetahuinya kian membuak – buak.
“Dia memang seoang yang perahsia” tutur Puan Rosie
berbicara sendiri menambah kekeliruanku.
“Boleh Puan Rosie berterus – terang saja?” pintaku tidak
dapat menahan perasaan ingin tahu. Senyap. Puan Rosie berfikir panjang. Tidak
begitu mudah memintanya berterus terang.
“Saya nak tahu sangat perkara ni, Puan Rosie” pintaku
mengharap. Senyap. Puan Rosie tersenyum.
“Saya tak janji apa – apa dengan Encik Aqel” jelas Puan
Rosie membuka ruang untukku mengetahuinya. Satu petanda baik buatku juga.
“Kalau macam tu, Puan Rosie berterus teranglah dengan
saya” gesaku. Puan Rosie menatapku. Sejenak aku dan Puan Rosie saling berlaga
pandangan.
“Kamu masih ingat punca yang menyebabkan kamu terpaksa
berpindah ke KDUT?” soal Puan Rosie. Laju aku mengangguk. Mana mungkin aku
melupakannya. Terlalu banyak yang berlaku sejak aku berada di situ, malah telah
merubah sebahagian cerita hidupku.
“Saya meletakkan kamu di KDUT demi menebus kesilapan
kamu. Namun ada sebab yang lebih penting lagi” Puan Rosie memulakan mukadimah
ceritanya. Aku tekun mendengarnya.
“Sebab utama atas permintaan Encik Aqel. Dia nak kamu
kerja di KDUT. Sebagai balasan atas persetujuan saya, Encik Aqel menawarkan CNFL
bekerjasama dengan pihak mereka. Kerjasama yang begitu menguntungkan CNFL”
jelas Puan Rosie buat aku tersentak. Sudah semestinya Puan Rosie tidak akan
melepaskan peluang keemasan mengaut keuntungan berlipat ganda. Apatah lagi saat
itu Puan Rosie memang tamakkan wang.
“Bagaimana dengan pakaian itu? Betulkah dah ditemui?” soalku
curiga. Puan Rosie menggeleng kepala mengejutkan aku sekali lagi.
“Encik Aqel tak kenakan sebarang bayaran pada kita kerana
pakaian itu dicuri oleh kakitangan KDUT sendiri” jelas Puan Rosie tenang.
“Apa? Betulkah ni?” soalku tergamam. Otakku ligat
memikirkan gerangan siapakah yang sanggup melakukan perbuatan terkeji itu?
Bukan setakat melakukan perbuatan tidak bermoral malah turut menganiaya aku.
Disebabkan perbuatan manusia itu, aku hampir – hampir kehilangan kerja. Orang
yang melakukan perbuatan itu hampir memusnahkan masa depanku malah telah bertanggungjawab
mengubah jalan cerita hidupku jadi begini. Andai pakaian itu tidak dicuri aku tidak
akan bekerja di situ dan dipertemukan dengan Haqem lagi. Aku tidak perlu melarikan
diri daripada lelaki itu sehingga menjebakkan Aqel. Aku dan Aqel juga tidak
akan menjadi suami isteri.
“Encik Aqel telah menyiasatnya dan tak mahu perkara ini
dibesar – besarkan” jelas Puan Rosie. Mungkin Aqel mahu melindungi orang yang melakukan
perkara itu. Mengapalah Aqel terlalu berlembut hati dengannya? Bukankah
perbuataan ini sesuatu yang serius? Mengapa Aqel masih mahu melindungi manusia
yang tidak amanah ini?
“Puan Rosie tahu perbuatan siapa?” soalku tidak mampu
memadamkan perasaan ingin tahu. Puan Rosie geleng kepala. Rasa kecewa menjalar
dalam diriku.
“Kamu kenalah tanya pada suami kamu sendiri” tutur Puan
Rosie sambil tersenyum. Mustahil aku akan mendapat jawapan daripada Aqel andai
aku ajukan persoalan ini kepadanya. Namun aku perlu tahu siapakah gerangan yang
telah menganiayaku.
“Puan Rosie memang tak tahulah orangnya?” soalku tidak
puas hati. Masih mahu mencuba nasib.
“Ya saya tak tahu. Suami kamu tak pernah sebut nama
sesiapa” jelas Puan Rosie. Aku melepaskan keluhan kecilku. Aku tahu Aqel tidak
akan melakukannya. Mungkin hanya Haqem saja yang mengetahuinya. Pasti Aqel
telah berbincang dengan Haqem sebelum membuat keputusan. Tergerak hatiku hendak
bertanyakan perkara ini kepada Haqem. Rasanya Haqem mampu mengungkai persoalan
ini. Aku nekad akan minta penjelasannya.
“Tak pe, Puan Rosie. Rasanya saya perlu kembali ke KDUT
sekarang” ujarku. Puan Rosie mengangguk. Lantas menyerahkan kembali dokumen itu
kepadaku.
“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel
sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap
perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” ujar Puan Rosie bernada
pujukan. Aku tersenyum sekilas.
“Terima kasih memaklumkan saya perkara ni” ujarku rasa
terhutang budi. Betapa pentingnya kenyataan ini. Puan Rosie hanya tersenyum.
“Saya minta maaf selama ini saya selalu menyusahkan kamu”
tutur Puan Rosie menyesali sikapnya selama ini. Aku mengangguk dan tersenyum.
Tiada sekelumit pun dendam yang tersimpan di hatiku.
“Saya harap Puan Rosie akan hidup baik – baik. Setiap
yang berlaku ada hikmahnya. Allah tak akan menguji hambaNya melebihi kemampuaan
hamba itu” ujarku sarat dengan maksud tersirat. Puan Rosie mengangguk. Senyuman
ikhlas terukir di bibirnya. Nampak betapa tabah dirinya. Aku bersalaman dengan
Puan Rosie. Kemudian memulakan langkah ke muka pintu.
“Lia...” langkahku terhenti. Aku berpaling menatap Puan
Rosie semula.
“Kamu sedar tak perasaan suami kamu terhadap kamu?” soal
Puan Rosie. Aku terdiam. Sejujurnya aku memang tidak cukup mengenali dan memahami
diri Aqel.
“Saya sedar dari awal lagi dia memang ada hati dengan
kamu. Sedaya upaya dan seberapa banyak dia cuba melindungi kamu. Betapa
bertuahnya kamu” jelas Puan Rosie membuatkan aku tergamam. Aqel ada menyimpan
perasaan kepadaku? Sahihkah tafsiran Puan Rosie ini?
“Saya mencintai awak.....” sayup – sayup suara Aqel
terngiang – ngiang di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora” Aku
tersenyum sinis sendiri. Bijak sangat Aqel berlakon sehingga turut mengaburi
mata orang lain.
“Puan Rosie, saya pergi dulu” ujarku meminta diri lantas
menyambung langkahku kembali. Tidak mahu memikirkan bicara Puan Rosie lagi.
Soal hati dan perasaan perlu diteliti sedalamnya. Bukan untuk ditilik.
*************************
“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel
sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap
perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” suara Puan Rosie masih berbisik
– bisik di telingaku.
Otakku ligat berputar memikirkan siapakah gerangan yang
melarikan pakaian mahal – mahal itu. Mungkinkah Rania? Sebagai bekas kekasih
Aqel, memang patut Aqel melindunginya. Mustahil pula Rania hendak mencuri
pakaian itu. Hidup Rania mewah. Setakat pakaian mahal dia mampu membelinya, tetapi
ada alasan lain. Bukankah Rania memang tidak sukakan aku? Mungkin dia melakukan
kerana tidak puas hati melihat aku bersama dengan Aqel ketika itu. Ohh... tidak
patut aku prasangka buruk kepada Rania! Lantas hatiku berbisik melafazkan Surah
An – Nas memohon perlindunganNya daripada ditimpa penyakit was – was.
“Pandangan awak dah menembusi tubuh saya” suara Aqel
mengejutkan aku. Seketika aku dan Aqel berlaga pandangan.
“Awak fikirkan apa?” soal Aqel. Inikah waktu yang sesuai
untuk aku mengutarakan perkara ini kepada Aqel setelah seharian asyik berperang
dengan perasaan sendiri?
“Ada sesuatu awak nak cakap dengan saya?” soal Aqel
berjaya membaca gerak hatiku.
“Berapa banyak perkara yang awak rahsiakan dari saya?”
soalku tidak mahu berterus terang. Dahi Aqel berkerut.
“Rahsia?” soal Aqel keliru.
“Awak yang minta saya jadi wakil CNFL bekerja di KDUT.
Apa tujuan awak melakukan semua ni? Sekadar mahu saya bertanggungjawab atas
kecuaian saya? Saya rasa awak ada alasan lain” tegasku. Aqel nampak tersentak.
“Atau awak sengaja mahu menguji saya dengan mempertemukan
saya dengan Haqem kembali” dugaku. Aqel menggeleng.
“Saya hanya tahu hubungan awak dengan Haqem setelah awak
berada di sini dan bila Haqem sendiri berterus terang dengan saya. Jadi jangan
fikir yang bukan - bukan” sahut Aqel menafikan bicaraku.
“Siapa yang cuba awak lindungi?” soalku meminta
penjelasan Aqel. Aqel pasti mengerti pertanyaanku ini.
“Orang yang cuba saya lindungi? Awaklah.... Takkan awak masih
tak sedar – sedar lagi” sahut Aqel tenang dengan senyuman.
“Awak masih tak mahu berterus terang segalanya dengan saya”
ujarku kecewa. Senyap. Aqel hanya melontar pandangan sepinya padaku.
“Flora.... ada perkara yang patut saya cakap dengan awak”
tutur Aqel perlahan.
“Silakan....” ujarku tanpa menggantung harapan yang tinggi.
Selalunya apa yang kuharapkan tidak menjadi. Aqel terlalu berahsia denganku.
“Awak mesti berubah. Berhenti mengenang apa yang telah berlaku.
Hiduplah dengan gembira” tutur Aqel menasihatiku.
“Terima kasih banyak – banyak atas nasihat awak ni. Esok saya
nak jumpa Haqem. Saya perlukan keizinan awak. Selamat malam” tuturku lalu merebahkan
tubuh ke tilam. Kutarik selimut menyelubungi tubuhku, lalu mengiringkan tubuh lantas
menatap dinding kaku. Kupejamkan mata.
“Pergilah jumpa Haqem esok” sayup – sayup kedengaran suara
Aqel yang sudah berbaring di sebelahku memberi keizinannya. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih, Aqel” bisik hatiku. Namun tidak mampu aku perdengarkan
kepada Aqel.