“Kerja sementara di sini pun boleh. Bonda memang suka dan berharap kamu boleh bantu Kak Tinah urus vila ini. Kamupun dah biasa kat sini,” tambah Nek Som menyambung bicara.
“Saya memang suka dan selesa berada di sini, bonda,” luahku jujur. Senyuman lebar Nek Som terlakar di bibir. Lantas tangan Nek Som memaut tanganku lembut dan penuh kasih sayang.
“Kamu jangan lupa kasih bonda pada kamu. Bonda dah anggap kamu macam ahli keluarga sendiri tau,” luah Nek Som sekian kali. Terharu. Aku menatap Nek Som. Murni dan suci sungguh hati Nek Som. Peristiwa 14 tahun yang lalu tidak pernah luput dari ingatanku. Atas jasa dan budi Nek Som aku ada haluan hidup yang lebih baik sekarang.
“Saya sungguh bersyukur kerana dipertemukan dengan bonda. Walau seumur hidup saya tak mampu balas kebaikan dan kasih sayang bonda kepada saya selama ini. Saya janji selagi saya bernafas saya akan bahagiakan bonda,” ikrarku setulus hati. Bukan omong kosong. Anak mata bonda bersinar-sinar menatapku. Bait-bait bicaraku menyenangkan hatinya. Tiba-tiba telefon bimbit Nek Som berdering.
“Kejap ye...Cahaya,” Nek Som mohon permisi perbualan ini seketika. Aku mengangguk.
“Walaikumussalam...dah sampai ke?” tanya Nek Som.
“Okey...okey...tunggu Nek sampai di sana. Jangan pergi dulu tau. Jangan pergi...!” ulang Nek Som memberi penegasan lantas mematikan panggilan itu. Nampak degilnya orang menerima arahan Nek Som ini.
“Mari Cahaya...,” ajak Nek Som sambil bergegas bangkit dari kerusi. Aku terkebil-kebil bangun lalu mengekori langkah Nek Som. Tidak sempat mengutara pertanyaan tatkala melihat Nek Som sedikit kelam kabut. Mungkin bimbang orang yang sedang menanti kedatangannya akan pergi jika terlambat. Di perkarangan laman, sesusuk tubuh tinggi lelaki sedang melontar pandangan ke lautan yang terbentang nan meluas. Tampak leka menatap ombak kecil saling berkejaran menyapa gigi pantai. Terpesona dengan pandangan pertama berkunjung ke sini. Suasana yang sungguh mendamaikan.
“Termenung jauh nampak,” sapa Nek Som cuba menyedarkan tentang kedatangan kami di situ. Dia berpaling. Tiada senyuman yang terukir di bibir. Serius. Tiada suara menyapa Nek Som. Fail di tangan dihulurkan kepada Nek Som.
“Terima kasih,” ujar Nek Som disambut tanpa sebarang reaksi.
“Ini Cahaya...,” Nek Som memperkenalkan aku kepada pemuda ini. Dia mengalih pandangan kepadaku. Aku senyum. Namun senyumanku tidak berbalas.
“Sombong...,” Detik hatiku berbisik.
“Ini Rayyan...cucu bonda,” jelas Nek Som memperkenalkan gerangan lelaki ini kepadaku. Kaget.
“Cucu benar atau palsu?” Laju sahaja pertanyaan ini meluncur keluar dari mulutku. Nek Som tergelak besar. Cepat tanganku menutup mulut. Baru sedar ketelanjuran bicaraku. Pasti tidak disenangi oleh pemuda ini.
“Cucu betul...sahih...benar,” canda Nek Som disusuli gelak tawa lagi. Pertanyaanku menggeletek hatinya. Kupandang sekilas pemuda ini. Statik. Serius. Tiada kemesraan. Persis tidak rapat dengan Nek Som.
“Kamu boleh pergi sekarang. Pandu kereta hati-hati. Jangan tidur rumah kawan. Jangan balik lewat,” berjela pesanan Nek Som. Masih tidak bersuara. Hanya mengangguk kepala. Lantas memulakan langkah bergerak ke arah lamborghini hitam metalik simbol kemewahan dirinya. Nek Som orang berada. Sudah pasti cucundanya jua punya harta sendiri.
“Cucu-cucu bonda memang ada perangai tersendiri,” keluh Nek Som. Aku tidak mengenali mereka. Baru pernah jumpa Rayyan sebentar tadi.
“Mari Cahaya...,” Nek Som memaut mesra lenganku. Kami melangkah masuk ke Villa Tautan Kasih. Selepas meluangkan masa bersama Nek Som seketika, aku meminta diri mahu membantu Kak Ros dan Acha menyiapkan hidangan tengah hari di dapur.
“Siapa yang datang tadi?” tanya Kak Ros.
“Rayyan...cucu bonda,” jelasku sambil fokus menghiris bawang. Risau jari terluka. Tidak mahu penghuni Villa Tautan Kasih jadi Raja Bersiung. Aku tersenyum sendiri.
“Senyum sendiri nampak,” Acha mencuit bahuku. Mengusik.
“Handsome tak cucu bonda?” tanya Kak Ros lagi.
“Hmm...,” Aku berfikir seketika.
“Garang semacam je...Tak mesra alam,” komenku. Banding sikap Nek Som bagai langit dengan bumi. Dia langsung tidak mewarisi sikap mesra neneknya.
“Orang tanya lain...dia jawab lain,” bidas Kak Ros. Acha tertawa.
“Keluar tajuk hoi..!” kutuk Acha.
“Takkan Kak Ros tak pernah jumpa dia sebelum ni. Atau tadi tu kunjungan pertama dia ke sini,” ujarku berandaian sendiri. Selama aku di sini tidak pernah aku bertemu dengan cucu-cucu Nek Som.
“Tak pernah mereka datang pun,” sahut Kak Ros. Acha mengangguk mengiyakan.
“Tak hairanpun. Anak orang kaya memang macam tu. Busy memanjang. Kasihan bonda," keluhku bersimpati kepada Nek Som yang berpisah ajal dengan suami, Datuk Karel Alias seorang lelaki yang baik hati dan penuh kasih sayang. Sempat menghadiahkan alfatihah buat arwah Datuk Karel Alias. Mesti Nek Som sering kesunyian bersendirian di banglo mewah itu. Teringat pesanan Nek Som yang bertali arus tadi kepada pemuda itu. Pasti dia suka menghabiskan masa di luar. Anak-anak dan menantupun tinggal di luar negara.
Seusai menikmati hidangan tengah hari bersama keluarga besar Villa Tautan Kasih, aku membantu Kak Ros dan Acha mengemas dapur. Kemudian bergerak ke pejabat Kak Tinah. Dia perlu pertolonganku mengemaskini penutupan kira-kira akaun hujung bulan ini. Dengan senang hati aku membantunya. Perakaunan memang minor pengajianku. Bakal jadi guru Bahasa Melayu yang mampu mengajar perakaunan.
“Bonda nak ajak kamu kerja di sini sementara menunggu posting. Bonda ada cakap tak?" tanya Kak Tinah.
“Bonda nak saya jadi pembantu akak,” sahutku.
“Akak senang hati kalau kamu kerja di sini. Boleh uruskan kewangan Villa Tautan Kasih,” luah Kak Tinah.
“Atau kamu dah ada plan lain? Posting di mana?” tanya Kak Tinah lebih lanjut. Aku senyum.
“Tak pasti lagi,kak. Di mana rezeki saya, di situlah saya mengajar nanti,” balasku.
“Harap-harap tak dihantar jauh. Dalam daerah ini pun okey juga. Boleh hujung minggu datang ke sini,” ujar Kak Tinah. Aku senyum.
“Walau di mana kamu berada yang penting kamu selesa dan gembira kerja di situ nanti,” tambah Kak Tinah lebih memahami dan mendoakan yang terbaik buatku.
“Terima kasih, kak,” Lega. Alhamdulillah insan yang berada di sekelilingku semua baik hati dan sungguh mengerti. Kira rezekiku jua.
@@@@@@@@@@
“Tugasan kumpulan ini tidak melebihi tiga orang. Sila pilih kumpulan masing-masing,” arah Encik Syamil pada penghujung bicara kelas toturial hari ini. Aku dan Mila satu kumpulan. Seorang ahli lagi yang diperlukan.
“Saya nak satu group dengan Cahaya, Encik Syamil,” Serentak aku dan Mila berpaling ke arah suara lelaki itu. Senyuman manis terukir di bibir Adib. Sempat mengenyitkan mata. Mengusik.
“Miangnya...!” Kutuk Mila tidak berselindung. Adib tertawa. Tidak pernah ambil hati setiap kata-kata kesat yang keluar dari mulut Mila.
“Okey... Adib satu group dengan Cahaya dan Mila,” putus Encik Syamil yang mengendalikan kelas tutorial hari ini.
“Terima kasih,” ujar Adib gembira sambil bingkas bangun mengalih tempat duduk mahu menyertai kami.
“Cahaya okey ke...Adib join group dengan kamu?” tanya Encik Syamil. Aku senyum dan mengangguk. Sudah cukup menjelaskan bahawa aku senang bekerjsama dengan Adib untuk menyiapkan tugasan ini. Adib pun bukan pelajar yang bermasalah. Dia rajin dan sentiasa ceria.
“Tugasan ini mesti buat betul-betul tau. Tak nak jadi perasit saja,” tegas Mila memberi amaran. Adib tersengih.
“Saya akan berikan 200% komitmen. Tak payah risaulah,” janjinya.
“Saya nak buktikan bahawa sayalah lelaki terhebat di dalam kelas ni,” tutur Adib dengan semangat berkobar-kobar.
“Tetiba rasa nak muntah hijau pula,” balas Mila.
“Iri hatilah tu,’ kutuk Adib menjeling ke arah Mila. Kemudian tersenyum lebar ke arahku.
“Awal-awal nak cakap ... kalau nak jadi ahli kumpulan ini tak payah nak jadi Romeo jiwang,” tegas Mila memberi peringatan.
“Cemburulah tu,” perli Adib pula. Mila mempamer wajah garang. Aku tersenyum. Pertikaman lidah antara Mila dengan Adib masih berlanjutan.
“Tak sporting langsung. Tak nak tolong kawan,” keluh Adib sendirian. Buat-buat merajuk.
“Apa?” Membutang mata Mila menatap Adib.
“Okey dah habis bergaduh?” tanyaku mula bersuara. Mila dan Adib tersengih.
“Bila nak mula buat tugasan ini? Esok kamu berdua free tak?” tanyaku.
“Esok...sebelah pagi saya ada kuliah minor dan sambung tengah hari sejam kelas toturial minor. Pukul 1.00 baru free,” jelas Mila. Aku mengalih pandangan kepada Adib.
“Awak?”
“Saya sepanjang hari free. Bila-bila masapun boleh,” jelas Adib senang hati.
“Bagus...Pukul 3.00 petang esok kita jumpa di Library Utama. Boleh?” tanyaku lagi.
“Boleh...,” Serentak Mila dan Adib memberi kesanggupan pada janji temu kami esok.
“Esok awak ada kelas pukul berapa?” Mila melontar pertanyaan kepadaku.
“Saya ada kelas pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi saja,” jelasku. Jadual kuliah dan toturial esok tidak padat. Tahun terakhir ini jam kredit tidak banyak. Sekadar cukup memenuhi syarat kampus sahaja.
“Kalau macam tu apa kata kita berdua dulu buat perbincangan. Berdua takde orang kacau,” ujar Adib sambil menjeling Mila.
“Kalau berdua...ada makhluk ketiga yang mencelah. Miang...,” kutuk Mila geram.
“Ramai oranglah di library,” tingkah Adib menyangkal bicara Mila. Mila mendengus. Geram Adib tidak mahu mengalah. Ada sahaja hujahnya.
“Dia ni bahaya. Baik awak hati-hati,” Mila memberi peringatan kepadaku.
“Saya mampu melindungi Cahaya,” ujar Adib masih mahu berdebat.
“Kalau tak caya, try jadi girlfriend saya," tutur Adib tersenyum mengoda melirik ke arahku.
“Dasar buaya darat,” kutuk Mila panas hati.
“Okey...okey...Kita jumpa pukul 3.00 petang. Tiada perbincangan awal sebelum pukul 3.00 petang. Tiada perbincangan kalau tak cukup ahli,” tegasku mematikan pertelingkahan Mila dengan Adib. Mila tersenyum puas. Terasa dia menang. Adib melepaskan keluhan. Sedikit kecewa. Hajat hati tidak kesampaian.
“Ini tahun akhir ...tahun penting. Saya risau tak sempat nak pikat Cahaya. Nanti melepas kat lelaki lain punah harapan saya,” bisik Adib ke arah Mila. Mila tergelak. Fuhh...lelaki ini memang manusia lutsinar! Tanpa sempadan dia melontar kata-katanya. Telus.
“Saya akan sentiasa perhatikan dan buat penilaian terhadap awak sepanjang kita buat tugasan ini sama ada awak layak atau tak layak. Kalau awak lulus baru boleh pikat Cahaya,” tegas Mila sewenangnya memberi isyarat.
“Mak hoi ...awak ni bakal jadi mak mertua kejam!” kutuk Adib disambut tawaku dan Mila. Tercuit mendengar bicara Adib.
“Cahaya.. cantik...sopan-santun...wanita idaman seMalaysia. Dia layak dapat teman hidup yang terbaik,” tutur Mila melangit memujiku.
“Amin...dan terima kasih,” ujarku mencelah sambil mengukir senyuman.
“Sebab itulah saya nak jadi teman lelaki terbaik Cahaya,” sahut Adib tersenyum memandangku.
“Kalau dah jodah tak ke mana,” ujarku berseloroh. Bingit telinga mendengar pertikaman lidah Mila dengan Adib. Semoga Mila dan Adib berjodoh kelak. Mula-mula bergaduh. Lama-lama saling mencinta. Bakal menjadi kisah cinta yang indah. Dalam diam aku mendoakan jodoh dua orang sahabatku ini. Aku tersenyum sendiri.
“Setengah jam lagi kami ada kuliah. Jangan lupa janji temu esok di Library Utama,” ujarku memberi peringatan.
“Sentiasa diingat,” sahut Adib tersengih.
“Okey...jumpa esok,” Aku bingkas bangun. Begitu juga Mila.
“Bye...,” Kami tinggalkan Adib yang masih setia duduk di situ. Aku dan Mila mengorak langkah ke Dewan K. Kira-kira 15 minit lagi kuliah Dr. Amir.
“Awak nak serius dengan Adib?” Mila melontar pertanyaan kepadaku. Aku senyum.
“Tadi sempat saya doakan jodoh awak ialah Adib,” jelasku sekali gus menjawab pertanyaannya itu.
“Cahaya...!” Mila mendengus geram. Aku tergelak.
“Tak nak...!” teriak kecil Mila.
“Mula-mula benci, lama-lama sayang,” tambahku menambah muncung mulut Mila.
“Tak nak...!” tegas Mila. Aku tertawa kecil.