Tuesday, 26 June 2018

99 Mawar Merah UntukMu...12




Bab 12

“Bolehlah mama cuti semester ini Adik kerja di Fast Food Conner itu” rayu Aunie memujuk Puan Aisyah Adiba. Tinggal dua minggu sahaja menjelang cuti semester. Aunie sudah ada perancangan sendiri. Kali ini dia mahu menimba pengalaman yang lain pula.
“Kamu kerja sahaja di Butik Selendang Kasih tolong mama” tingkah Puan Aisyah Adiba tidak merestui hasrat hati anak gadisnya ini. Mahu Aunie fokus pada pengajian. Kerja di bawah seliaannya sendiri tidak perlu serius bekerja. Kerja sekadar menghilangkan bosan. Ada masa hendak mengulang kaji. Dia juga boleh mengawasi pergerakan Aunie.
“Tapi Adik dah minta kerja dengan tuan kedai itu. Nak rasa pengalaman kerja di premis makanan pula. Takkan nak jual tudung sahaja, tak merasalah pengalaman lain” jelas Aunie bersungguh-sungguh meningkah bicara Puan Aisyah Adiba. Dia cuba memancing kesudian mamanya agar merestui permintaannya.
“Lagipun kerja di sana boleh mendisiplinkan diri. Kalau kerja di butik mama, Adik masih boleh curi tulang” ujar Aunie memperkukuhkan hujahnya.
“Biar sajalah dia kerja di premis itu. Biar dia rasa dimarahi kalau tak buat kerja betul-betul” suara Datuk Adam Malik mencelah memberi pandangan. Sejak tadi dia hanya berdiam diri mendengar perbualan isteri dengan anak gadisnya itu. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Laju Aunie mengangguk-angguk menyokong kata-kata ayahnya. Kedengaran keluhan Puan Aisyah Adiba. Berat hati hendak menuruti kehendak hati gadis ini.
“Saya bimbang kalau dia takde masa nak buat ulang kaji. Tahun akhir ini exam sukar. Takkan setakat nak lulus sahaja” keluh Puan Aisyah Adiba meluahkan kebimbangan. Aunie tersenyum lantas mendekati Puan Aisyah Adiba. Dipeluk erat tubuh mamanya. Cuba mengambil hati Puan Aisyah Adiba.
“Adik janji takkan hampakan mama dan keluarga kita. Adik akan teruskan kecemerlangan anak-anak Datuk Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba” ujar Aunie sambil mengangkat tangan berikrar. Datuk Adam Malik tersenyum memerhatikan gelagat Aunie dan isterinya. Sama-sama degil. Masing-masing bertegas dengan kemahuan sendiri. Aunie sudah semestinya tidak pernah berputus asa mencuba sehinggalah dia dapat perkara yang dihajatinya.
“Pandainya kamu berkata-kata. Tapi ingat kalau kamu tak penuhi janji kamu, mama takkan bertolak-ansur dengan kamu” ujar Puan Aisyah Adiba menggertak anak gadis tunggalnya itu. Aunie tersengih panjang. Timbul juga perasaan gerun tatkala mendengar peringatan mamanya itu. Sudah semestinya Puan Aisyah Adiba tidak pernah main-main dengan setiap tutur kata yang keluar daripada mulutnya. Setiap amaran pasti akan dikotakan.
“Apa hukuman mama jika Adik gagal memenuhi janji tersebut?” Aunie cuba merisik hukuman yang bakal diterima jika perkara itu benar-benar terjadi. Mahu mengingatkan dirinya agar sentiasa bermotivasi hendak belajar.
“Hukumannya... mama akan nikahkan kamu dengan Azan” ujar Puan Aisyah Adiba berwajah serius. Persis dia bersungguh-sungguh dengaan kata-katanya.
“Mama...!”Aunie terjerit tidak suka. Memadankannya dengan Azan sangat menyesakkan dirinya. Puan Aisyah Adiba dan Datuk Adam Malik tergelak. Perkara ini juga yang menakutkan Aunie. Jodoh yang dipilih oleh keluarga.
“Umur kamu sekarang memang dah boleh jadi isteri pun. Tak salah jadi isteri walaupun masih belajar. Ini perkara biasa yang berlaku di universiti. Ayah dan mama pun dahulu nikah pada tahun akhir pengajian” jelas Datuk Adam Malik menyokong bicara isterinya sekali gus menyingkap kisah percintaan mereka yang tidak diketahui oleh anak-anak. Aunie terlopong. Tidak menyangka ayah dan mamanya menjadi suami isteri ketika masih bergelar pelajar. Ternyata ayah dan mamanya begitu nekad dengan keputusan mereka. Aunie kagum.
“Datuk dan nenek tak menghalang pernikahan tersebut?” tanya Aunie teruja hendak mengetahui kisah percintaan orang tuanya.
Datuk Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba tersenyum. Mata mereka bercahaya. Tampak mereka pasangan yang bahagia. Aunie bersyukur.
“Nenek kamu sahaja yang bimbang kalau-kalau mama mengandung dan terpaksa tangguhkan pengajian” jelas Puan Aisyah Adiba berkongsi cerita silam.
“Along lahir setahun selepas mama dan ayah menamatkan pengajian. Semua itu boleh dirancang” tambah Puan Aisyah Adiba lagi.
“Boleh juga kalau kamu setuju ayah nikahkan kamu dengan Azan. Ada orang yang sentiasa jaga kamu. Tak payahlah ayah dan mama risaukan kamu lagi” ujar Datuk Adam Malik menyokong.
“Ayah...!”Aunie terjerit mendengar usikan Datuk Adam Malik itu.Tidak suka dirinya masih dipadankan dengan pemuda itu.
“Atau kamu dah ada calon lain? Kamu boleh perkenalkannya kepada ayah” ujar Datuk Adam Malik memanjangkan usikannya. Aunie menarik muka masam. Cuba memprotes. Tidak tega dirinya terus menjadi usikan orang tuanya.
“Di tempat kerja ayah pun ramai jejaka tampan dan bijak. Kalau kamu mahu, ayah boleh perkenalkan kamu dengan pelajar terbaik ayah” ujar Datuk Adam Malik berseloroh. Tidak semena-mena Aunie teringat pada Adika salah seorang bekas pelajar cemerlang ayahnya. Mengingati pemuda itu menusuk kembali luka di lubuk hatinya. Suatu masa dahulu, dia sering berkunjung ke situ menghabiskan masa lapangnya. Sebagai anak pensyarah yang bertugas di situ, dia bebas bergerak di kampus itu seperti siswa-siswi yang lain. Setiap kali berkunjung ke situ, Aunie akan menghabiskan masa di perpustakaan. Di situlah dia dipertemukan dan berkenalan dengan Adika. Calar hatinya terasa pedih tatkala kenangan lalu terimbau kembali.
“Tetiba senyap, kenapa ni?” suara Puan Aisyah Adiba menyentakkannya. Aunie memaksa diri tersenyum.
“Adik ada kerja nak dibereskan. Adik masuk bilik dulu” Didekati Puan Aisyah Adiba dan Datuk Adam Malik lantas disalami tangan kedua-duanya.
“Jangan tidur lewat” pesan Puan Aisyah Adiba. Aunie mengangguk.
“Assalamualaikum...” Kemudian mengatur langkah meninggalkan Puan Aisyah Adiba dan Datuk Adam Malik di situ dengan hati yang hiba. Teringat pada nama pemuda itu menimbulkan kesedihannya.
“Allah ciptakan Adika... tetapi bukan jadi milikku ” diseru kalimah ini dalam dirinya. Cuba menenangkan hati yang lara.
“Hai... lama tak jumpa!” sapa Eymar mesra setelah seminggu menghilangkan diri. Langkah pemuda ini berhenti di depannya. Aunie tersentak dan kaget. Besar anak matanya menatap Eymar yang sedang tersenyum lebar menatapnya tika ini. Pertemuaan yang tidak diharapkan.
“Baru seminggu saya boleh hidup aman. Tetiba hari terakhir ini awak muncul pula” keluh Aunie bosan tanpa mengendah perasaan pemuda ini. Tidak kisah jikalau Eymar tersinggung akan kata-katanya itu. Sebetulnya sudah lama dia berhasrat mahu pemuda ini berkecil hati dengan sikap dinginnya. Mahu Eymar menjauhinya.
“Awak menghitung hari ketiadaan saya? Saya tahu awak rindukan saya” Eymar tersengih. Kata-kata Aunie ditafsir dengan cara tersendiri. Aunie mengetap bibir. Geram.
“Tingginya imaginasi awak” perli Aunie dengan sengihan sinis membalas pandangan pemuda ini. Dia tidak pernah peduli tentang kehadiran Eymar ke kelas. Lebih tenteram dirinya jika pemuda ini tidak muncul. Aunie terbeban dengan pandangan mata Eymar yang sentiasa mengekori pergerakannya. Bagai dirinya seorang pesalah yang harus diawasi.
“Pergilah duduk” arah Aunie menghalau Eymar dari terus terpacak di depannya.
“Hari ini saya duduk di sebelah awak” Laju sahaja dia melabuhkan duduknya di kerusi itu. Aunie tergamam. Tidak sempat hendak menghalang Eymar. Tindakan pemuda ini terlalu pantas. Eymar menongkat dagu sambil tersenyum-senyum menatap Aunie. Lagak menggoda.
“Apa pandang-pandang orang!” marah Aunie rimas diperlakukan sedemikian.
“Adoi... garangnya nona manis!” Eymar sudah meniru gaya Cheng memanggil Aunie. Aunie menulikan telinga. Cuba menyembunyikan senyuman. Mengingati lagak Cheng mencuit hatinya.
“Cuti nanti awak ada di butik?” tanya Eymar tidak pernah bosan menjejaki dirinya. 
“Duduk di rumah saja” sahut Aunie berahsia.
“Tak cayalah. Awak mesti tolong mama awak di butik. Nanti setiap hari saya singgah di sana jumpa awak” Eymar mengutus peringatannya.
“Buat apa awak nak singgah di butik? Takde barang yang sesuai awak nak beli di sana” tegah Aunie cuba menyedarkan pemuda ini.
“Ada... tudung” sahut Eymar bersahaja buat Aunie terlopong. Tidak menduga Eymar memiliki ahli keluarga yang tidak seagama dengannya.
“Takkan setiap hari awak nak singgah di butik itu beli tudung?” tanya Aunie janggal.
“Saya dah sedia nak labur duit banyak-banyak untuk awak” sahut Eymar berlagak romantis. Aunie mencebik. Rasa malas hendak berbual-bual dengan pemuda ini. Eymar sudah terkena tempias jiwang-jiwang Azan buat Aunie terasa sukar hendak bernafas. Sesak.
“Awak semakin menakutkan saya” luah Aunie tidak dapat membendung perasaan itu. Sikap berterus-terang Eymar terasa janggal.
“Awak nak beli tudung untuk ahli keluarga awak?” tanya Aunie meminta kepastian. Eymar menggeleng kepala.
“Jadi pergi butik nak beli tudung siapa?” tanya Aunie kematian akal.
“Saya nak beli tudung untuk awak” jelas Eymar bersahaja.
“Jangan mengarutlah. Tak payah pergi ke Butik Selendang Kasih. Kalau niat awak nak cari saya di situ, awak takkan jumpa saya” tegas Aunie memberi peringatan.
“Awak nak bercuti di mana? Saya boleh temankan awak” ujar Eymar bersungguh-sungguh. Persis tidak faham bahasa. Masih mahu menjejaki gadis ini sedangkan Aunie mahu Eymar hilang daripada pandangan matanya. Tiada pertemuan antara mereka sepanjang cuti semester ini.
“Jangan merepeklah. Saya tak nak jumpa awak” ujar Aunie tanpa berselindung.
“Saya akan tetap cari awak” sahut Eymar berdegil. Aunie mendengus kasar. Kedegilan pemuda ini mencabar kesabarannya.
“Boleh tak awak biarkan saya hidup aman damai tanpa gangguan?” pinta Aunie sakit hati. Tindakan Eymar tidak dapat diterima akal. Kemunculan pemuda ini telah mengganggu hidupnya.
“Saya tak boleh jauhkan diri daripada awak” sahut Eymar tersengih panjang. Aunie mendengus. Geram kepada pemuda ini. Sentiasa mahu membuat hatinya panas membara.
“Kita berdua sudah ditakdirkan bersama” tambah Eymar tersenyum mempamer lesung pipitnya. Aunie mencebik. Kata-kata pemuda ini membuatkan tekaknya loya. Bosan berhadapan dengan lelaki yang berlagak romantik.
“Jangan nak mimpilah...”Aunie mendengus geram. Pemuda ini gemar bermain dengan kata-kata. Lembut gigi daripada lidah. Dia tidak akan terbuai dengan bicara romantis Eymar.
“Kenapa? Awak takut jatuh cinta pada saya?” Eymar sudah menggerak-gerakkan keningnya sambil mempamerkan senyuman manis kepada Aunie. Aunie ketawa. Ketawa yang dibuat-buat.
“Saya tak suka lelaki seperti awak” jelas Aunie tanpa mempedulikan perasaan Eymar.
“Sebab hati awak telah dimiliki?” tanya Eymar. Aunie dan Eymar beradu pandangan seketika. Senyap. Tajam matanya menatap pemuda ini. Hatinya terusik.
“Aunie...!” namanya dipanggil. Serentak Aunie dan Eymar mengalih pandangan ke arah suara itu. Azan sedang bergerak mendekati mereka.
“Saya sukakan lelaki seperti Azan yang tahu hala tuju masa depannya. Bukan macam awak...samseng, kaki pukul dan suka bermegah diri” bidas Aunie menghina Eymar. Memaksa diri berkata-kata tidak seiring dengan kehendak hatinya. Sengaja mahu merobohkan kekebalan yang luar biasa dimiliki oleh pemuda ini.
“Awak ingat saya akan terluka dengan kata-kata awak ini. Awak tak boleh halang saya mendekati awak. Saya akan buat perkara yang saya suka” ujar Eymar tidak terusik langsung perasaannya. Degil.
“Awak mesti jujur pada diri sendiri. Jangan paksa diri awak melakukan sesuatu yang awak tak suka. Saya akan sentiasa cari awak. Saya pergi dulu...bye” ujar Eymar memberi peringatan. Lantas meninggalkan Aunie setibanya Azan di situ. Aunie terdiam. Bicara pemuda itu meninggalkan kesan kepadanya.
“Kenapa? Dia dah cakap nak jadi boyfriend awak?” tanya Azan berdiri di sebelah Aunie sambil mengarah pandangan ke arah gadis ini. Gusar Eymar akan bertindak sejauh itu.
“Jangan mudah terpedaya dengan kata-katanya” tambah Azan tidak memberi peluang kepada Aunie hendak bersuara. Laju ketukan tangan Aunie mendarat di kepala Azan membuatkan muka pemuda itu berkerut menahan sakit.
“Sejak kebelakangan ini ramai lelaki pelik saya jumpa” keluh Aunie  lalu memulakan langkah beredar dari situ. 
“Jadi dia cakap apa pada awak tadi?” tanya Azan sambil mengejar langkah Aunie. Tangannya mengusap-usap kepala yang dipalu sebentar tadi. Perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Dia melihat Eymar serius berbicara dengan Aunie tadi.


AUNIE melontar pandangan keluar menembusi dinding kaca itu. Kelihatan manusia lalu-lalang yang sedang bersaing dengan waktu. Awal pagi begini, semuanya berkejar-kejaran. Tidak mahu terlewat sampai ke tempat kerja masing-masing. Bimbang mendapat teguran disiplin oleh bos. Aunie menghela nafas panjang. Lega dan lapang dada. Rasa tenang dirinya. Keputusan hendak bekerja di premis ini adalah pilihan yang paling tepat. Dia seronok dan gembira bekerja di sini. Bertemu dengan ramai pelanggan yang mempunyai pelbagai ragam dan kerenah mengajar dirinya bersabar.
“Ini makanan yang dipesan. Sila menikmatinya dengan hati yang gembira” ujar Aunie sambil meletakkan makanan dan minuman yang dipesan di atas meja.
“Terima kasih...” Suara lelaki ini mengajak Aunie mengangkat muka lalu memandang pelanggan yang sedang dijamu. Suara ini sungguh dikenalinya.
“Awak...” Terlopong Aunie tatkala beradu pandangan dengan Eymar yang sedang tersenyum. Tidak menduga secepat ini dia akan bertemu dengan pemuda ini. Eymar sudah berjaya menjejaki dirinya. Ternyata dia tiada kepakaran hendak menyembunyikan diri. Begitu mudah sahaja pemuda ini menemui dirinya. Mungkin juga Eymar terlalu tangkas dan memilliki daya pengamatan yang tajam sehingga begitu mudah kelibatnya dijejaki oleh pemuda ini..
“Saya baru nak hidup aman, sekarang awak muncul lagi. Awak buat apa di sini?” keluh Aunie tidak senang. Sudah seminggu mereka tidak bersua muka.
“Nak makan dan minum. Saya pelanggan setia premis ni” ujar Eymar cuba menyedarkan Aunie agar memberikan layanan mesra dan terbaik buat dirinya. Jawapan yang bersahaja. Aunie menggetap bibir menahan perasaan.
“Makanlah...” arah Aunie kasar lantas bergegas meninggalkan Eymar. Tidak mahu lama-lama di situ.
“Saya belum habis cakap dengan awak lagi” panggil Eymar tidak menghiraukan pelanggan lain yang berada di situ.
“Aunie...! Aunie...!” Aunie menulikan telinga. Pura-pura tidak mendengar.
“Hello...hello...cik! Nak air kopi panas satu,” pinta Eymar masih mahu menarik perhatian Aunie. Aunie mengetap bibir menahan geram. Dia jadi serba salah. Ikutkan hati mahu sahaja dia tidak mengendahkan pemuda itu. Namun memikirkan Eymar ialah pelanggan premis ini sekarang, dia memang patut mendapat layanan yang terbaik. Dalam keadaan terpaksa, Aunie memalingkan tubuh berhasrat hendak kembali mendapatkan Eymar. Lega hatinya tatkala melihat Qristine rakan sekerja sudah terpacak di depan Eymar.
Sorry... saya nak dia ambil pesanan... dan ada perkara saya nak beritahunya. Kalau dia tak mahu jumpa saya, saya akan buat aduan pekerja di premis ini sombong” ujar Eymar tersenyum sambil menunding jari ke arah Aunie yang sedang memerhatikan mereka. Terlopong Qristine menatap Eymar yang nampak bersahaja namun bicaranya penuh ancaman.
“Dia rakan sekelas saya yang degil dan sombong...” jelas Eymar kerana tidak mahu mengundang kehairanan gadis ini. Dalam masa yang sama dia tidak mahu gadis ini tersinggung dengan permintaannya. Qristine tersenyum. Sempat juga dia bertukar senyuman dengan Eymar sekali lagi sebelum melangkah ke arah Aunie.
“Teruna tampan itu mahu jumpa awak” ujar Qristine memaklumkan kepada Aunie. Aunie mencebik mendengar pujian itu.
“Apa yang dia nak?” tanya Aunie tidak senang hati. Qristine menjungkit bahu.
“Ada perkara yang dia nak cakap dengan awak. Kalau awak tak mahu jumpanya, dia akan buat aduan... tak dapat layanan yang baik di premis ini ” ujar Qristine menyampaikan separuh kata-kata Eymar yang didengarnya sebentar tadi. Aunie melepaskan keluhan. Geram.
“Pergilah...” arah Qristine lalu berpaling ke arah Eymar yang sedang memerhatikan mereka sambil tersenyum. Aunie merungut-rungut sendirian. Berat hati hendak menemui pemuda itu.
“Awak nak pergi mana?” tanya Qristine tatkala melihat Aunie menghala langkah ke arah kaunter. Bimbang jikalau Aunie tidak mahu menemui pemuda itu. Lantas pemuda itu akan mengotakan kata-katanya. Qristine melangkah mendekati Aunie yang sedang membuat beberapa pesanan. Mahu memujuk Aunie agar mengalah sahaja.
“Siapa yang buat pesanan ini?” tanyanya musykil. Dahi Qristine berkerut.
“Saya nak hantar pesanan ini untuk manusia sombong dan degil itu” rungut Aunie geram. Qristine terus tergelak. Aunie dengan pemuda itu saling tuduh-menuduh.
“Kenapa?” tanya Aunie hairan melihat Qristine tergelak. Qristine geleng kepala. Dia tidak berhasrat hendak menjelaskan bahawa kata-kata Aunie dan pemuda itu serupa. Kedua-duanya mirip.
“Dia tak buat pesanan tambahan” ujar Qristine hairan dengan tindakan Aunie. Aunie senyum. Dia ada agenda sendiri.
“Saya mahu dia bayar semua ini,” jelas Aunie sambil mencapai resit yang baru sahaja dicetak daripada mesin wang itu. Dia tersenyum sendiri lantas menatang dulang yang penuh dengan makanan mendekati Eymar yang sedang tertunggu-tunggu akan kedatangannya.
“Ini pesanan baru awak... dan ini resit jumlah harga pesanan yang perlu awak bayar,” jelas Aunie bersopan-santun sambil menundukkan kepala.
“Awak...,” Eymar terlopong menatap Aunie yang sedang mempamer senyuman manis sambil berlaga pandangan dengannya.
“Sila menikmatinya. Permisi...” Aunie menundukkan diri sambil berundur beberapa langkah ke belakang sebelum berpaling tubuh. Kemudian dia meninggalkan Eymar yang masih tergamam menatap makanan yang perlu dihabiskan. Aunie tergelak kecil. Puas hati. Tidak mungkin Eymar mampu menghabiskan makanan itu sendirian.

“Assalamulaikum...,” Aunie melangkah longlai masuk ke dalam banglo mewah itu. Letih dan memenatkan kerana ramai pelanggan yang singgah menjamu selera di premis makanan segera di tempatnya bekerja hari ini.
“Dah balik kamu...” sapa Mak Siti pembantu rumah menyambut kedatangannya. Aunie mengangguk dan tersenyum.
“Tuan dan puan belum balik lagi” jelas Mak Siti menjawab pandangan liar mata gadis ini. Gerak-geri gadis ini dapat dibacanya. Aunie tersenyum.
“Kamu nak makan? Mak Siti dah masak. Kalau nak Mak Siti hidangkan sekarang” ujar Mak Siti cekap dengan tugasnya. Laju Aunie menggeleng kepala.
“Saya nak berehat di bilik dulu. Letih hari ini,” jelas Aunie. Mak Siti tersenyum dan mengangguk. Langkah longlai Aunie sudah cukup mempamer keletihannya.
“Berehatlah. Kalau perlukan apa-apa panggil Mak Siti,” ujarnya berpesan dan patuh pada tugasnya sebagai pembantu rumah. Aunie mengangguk. Sebetulnya dia lebih suka melakukan sendiri daripada mengarah pembantu rumah itu. Perkara ini juga yang dikehendaki oleh ibu bapanya. Mereka adik-beradik diajar hidup berdikari tanpa bergantung terhadap orang lain.  Aunie menyambung langkah ke bilik.
Setiba di bilik tidur ini, dia terus merebahkan tubuh ke atas tilam empuk itu. Selesa berbaring di situ. Dia mahu merehatkan diri seketika di situ sebelum melangkah ke bilik air. Mata dipejamkan rapat-rapat. Dia tersenyum sendiri. Terbayang kesungguhan dan kepayahan pemuda itu menghabiskan set hidangan tersebut. Eymar telah berhempas-pulas menghabiskan makanan dan minuman yang dihidang dan akhirnya dia kekenyangan tersandar di kerusi. Beberapa minit kemudian, dia nampak pemuda itu bergegas ke bilik air. Barangkali mahu memuntahkan semula makanan yang dimuatkan ke dalam kantung perutnya.
“Padan muka awak...Eymar,” Aunie berbicara sendiri. Senyuman masih terukir di bibir. Hatinya puas. Terasa hidupnya yang tidak tenteram gara-gara sering diganggu oleh pemuda itu telah terbela.