Tuesday, 12 May 2015

Namaku Bukan Flora....71



 
BAB 71

“Betul uncle janji akan beli buku untuk saya?” suara Idlan bergema di telingaku. Aku berpaling. Aqel mengangguk dan tersenyum. Satu perjanjian telah termeterai.
“Awak belum bersiap lagi?” suara Aqel melontar pertanyaan kepadaku. Keningku terangkat. Hairan mendengar pertanyaan Aqel. Pelik. Mahu ke mana?
“Nak pergi mana?” tanyaku bingung sambil menatap kedua-duanya yang nampak segak.
Uncle nak bawa saya jalan-jalan. Jomlah... Mak Usu” sahut Idlan merengek manja mengajak aku. Kupandang Aqel. Tangannya menyelak rambut depan yang terjuntai. Cuba meluaskan pandangan. Biar aku nampak jelas di matanya. Lagaknya yang nampak macho. Persis hero Korea pula dirinya. Aduhai...kembang kuncup hidung Aqel kalaulah dia tahu dirinya dipuji setinggi ini!
“Takkan nak kurung budak ni dalam rumah je. Nanti tak nak dia datang sini lagi. Awakkan nak buat Idlan sentiasa gembira” tutur Aqel berjela. Cuba beralasan pada tindakannya. Mahu menyembunyikan kemurniaan hatinya. Aqel juga berusaha menggembirakan Idlan. Memang patut anak yatim-piatu sentiasa diceriakan hati mereka.
“Betul... Betul ... Betul...” sampuk Idlan menyokong bicara Aqel sambil tersengih-sengih. Sempat juga dia meniru lagak Ipin. Tercelit rasa bangga. Walaupun Idlan membesar di luar negara yang maju, namun ada juga animasi ilham anak tempatan yang digemari sehingga mempengaruhinya. Tabik kepada pencetus ilham Upin dan Ipin termasuk krew-krew pembikinan animasi ini. Terasa rindu pula hendak menonton babak terbaharu animasi ini. Bilakah agaknya akan muncul kesinambungan animasi ini? Ramai sangat yang menantikannya.
“Yang kamu masih terlopong di situ apa hal? Cepatlah bersiap. Nanti terlewat pula nak gerak. Tak puaslah Idlan nak jalan-jalan” sergah mak yang baru sahaja muncul dari dapur. Aku tersentak. Laju tanganku mengurut dada. Suara mak benar-benar mengejutkan aku. Kedengaran gelak Aqel dan Idlan bersatu. Tercuit menyaksikan lagakku. Mujur juga aku tidak pengsan gara-gara terkejut sergah oleh suara mak.
“Ye... Lia bersiap sekarang” sahutku. Sempat juga menghadiahkan jelingan kepada Aqel dan Idlan sebelum beredar ke bilik. Geram kerana mereka tidak memaklumkan perancangan tersebut lebih awal. Kucapai seluar jeans dan baju T hitam lalu menyarung ke tubuhku. Aku bergerak ke meja solek. Berbedak dan mencalit lipstik ke bibir. Tidak perlu terang-terang. Cukup sekadar pembangkit manis di wajah. Tidak pandai aku bersolek berlebihan. Khuatir silap-silap tingkah menjadi pelakon opera Cina pula. Aku tumpang seri wajah Aqel sahaja nanti. Ketampanan Aqel tidak mampu mengalih pandangan orang lain kepadaku. Maka buang masa sahaja bersolek berlebih-lebih hendak menyaingi kehebatan Aqel. Cukuplah terkena tempias kesegakan Aqel. Aku tersenyum sendiri. Sempat pula berfikir perkara yang bukan-bukan.
“Jom...Idlan” ajak Aqel sambil memimpin tangan Idlan tatkala terpandang kemunculanku di anak tangga terakhir. Idlan patuh. Dia memaut kemas tangan Aqel. Aku tersenyum sendiri. Begitu menyenangi kemesraan yang sudah terjalin antara Aqel dengan Idlan. Bangga Aqel mampu melakukannya dengan baik. Aku tahu bukan sesuatu yang mudah buat Aqel.
“Kan lebih baik kalau ada anak sendiri” suara mak singgah di telingaku. Aku berpaling. Mak berdiri di sebelahku sedang leka memerhatikan langkah Aqel dan Idlan.
“Kamu tak teringin ada anak sendiri?” Mak berpaling menatapku. Aku terkedu. Pertanyaan mak paling sukar hendak dijawab.
“Jangan risau... kamu dan Aqel mampu jadi ibu bapa yang baik” tambah mak. Aku masih mengunci mulut. Perkara inilah yang sangat menggusarkan aku tatkala malam menjelang dan berdua-duanya dengan Aqel di bilik tidur ketika berlangsung bulan madu kami. Perasaan ini berlanjutan sehingga kini. Aku belum bersedia menyerah diri kepada Aqel. Terbukti juga janji setia Aqel kepada Flora tersimpul mati. Dirinya hanya untuk Flora.
“Anak pengikat kasih sayang suami isteri. Sempurnalah pasangan itu kalau ada zuriat sendiri” ujar mak lalu melangkah longlai ke dapur meninggalkan aku yang membisu panjang. Pasti diamku mengecewakan mak. Aku menyusun langkah dengan perasaan bersalah terhadap mak. Mengecewakan mak kerana sehingga kini belum mampu menjadikannya nenek. Mak dan Mak Long teringin sangat aku memberikan mereka cucu pengubat kesunyian. Teman kecil yang boleh dibawa bermain-main dan penghibur hati pada usia tua ini. Terbayang di mataku betapa terujanya mak dan Mak Long membuat segala persiapan rapi tatkala menyangka aku telah hamil.
Melangkah ke laman, lapang dadaku melihat Idlan duduk di kerusi penumpang di sebelah Aqel. Aku perlukan ruang bersendirian hendak mententeramkan hati sepanjang perjalanan ini. Kusandarkan tubuh di kerusi empuk ini lalu melontar pandangan keluar melalui tingkap kaca ini. Sesekali kedengaran suara Aqel dengan Idlan berbicara. Ada pertanyaan yang diajukan Idlan meminta Aqel menjawabnya. Aku hanya menjadi pendengar setia. Dari cermin pandang belakang ini, sesekali Aqel mencuri pandang ke arah gadis itu. Musykil dirinya dengan diam panjang gadis itu. Mungkinkah gadis itu meragui keikhlasannya.
“Okey... kita dah sampai!”
“Yahoo...!” Suara Aqel dan Idlan bersahutan membunuh khayalanku. Aqel sedang membantu Idlan keluar dari kereta. Bingkas aku bangkit dari duduk mahu menyertai mereka. Kuhadiahkan senyuman kurang bersemangat kepada Aqel dan Idlan. Senyuman tawar.
“Awak datang bulan ke? Moody je saya tengok awak” komen Aqel. Aku mengetap bibir dan menjelingnya. Tidak senang mendengar bicara itu diperdengarkan di telinga Idlan.
“Mari... Idlan” Kupimpin tangan Idlan mengajaknya memulakan langkah sebelum sempat mulut petah budak lelaki ini mengutarakan pertanyaan mahukan penjelasan terhadap bicara Aqel. Terkebil-kebil Idlan mengiringi langkahku. 
“Sah memang awak datang bulan sekarang. Emosi tak stabil” ujar Aqel mengulangi perkara yang diperkatakan tadi sekali gus menghangatkan hatiku. Aqel di belakang mengekori langkah kami. Aku cuba bergerak pantas agar tidak seiringan dengan langkah Aqel. Panas hati mahu menghadap muka Aqel. Tambah mendidih tatkala menatap sengihan nakalnya.
“Awak nak bawa Idlan pergi mana tu? Kami nak singgah di kedai ni ler” jelas Aqel cuba menahan langkahku yang kian laju. Kupandang Idlan. Dia mengangguk mengiyakan bicara Aqel. Lantas mematikan langkahku.
Uncle Aqel dah janji nak beli buku untuk saya” jelas Idlan teruja. Kutoleh ke belakang. Aqel tersengih sambil mengangkat-angkat kening. Suka sangat Idlan berpihak kepadanya. Dia menapak selangkah di sebelah Idlan.
“Mari...” ajaknya lantas memaut tangan Idlan mengiringi langkahnya.
“Mak Usu... jom...” ajak Idlan sempat berpaling ke arahku. Aku terpaksa juga mengikut destinasi pilihan mereka. Dua orang ulat buku kalau sudah bertemu di kedai buku sebesar ini memang cepat lupa dunia sekeliling. Perbezaan usia yang jauh tidak menjadi penghalang untuk mereka berkongsi minat yang sama. Aku nampak Aqel bercerita tentang buku pilihannya kepada Idlan persis seorang penjual sedang menjual produknya. Tampak bersungguh-sungguh. Kemudian giliran Idlan pula bercerita tentang buku pilihannya. Aqel dengan minat mendengarnya persis seorang ayah yang baik sedang memberi perhatian pada cerita anaknya. Gelagat mereka mencuit hati. Aku tersenyum sendiri. Komunikasi dua hala yang cemerlang. Setelah hampir tiga jam menghabiskan masa di premis buku ini, akhirnya Aqel membeli tiga buah buku Inggeris yang tebal, keras kulitnya manakala Idlan membeli lima buah buku tentang kajian cekerawala dan ruang angkasa. Fokus minat Idlan memang lebih terarah kepada bidang astronomi. Mungkin juga Idlan hendak menjadi seorang angkasawan suatu hari nanti. Cita-cita yang bukan alang-alang. Sungguh padan dengan kebijaksanaan Idlan.      
“Alhamdulillah... Rupa-rupanya masih ada juga perasaan awak. Tak sangka awak boleh mesra dengan budak ye” sinis aku mengutuk Aqel. Aqel tersenyum.
“Kenapa? Awak jealous melihat kemesraan saya dengan Idlan. Sedangkan saya tak mesra dengan awak” balas Aqel tersenyum kambing membalas kutukanku. Besar anak mataku menatap Aqel. Tuduhannya langsung tidak berasas.
“MasyaAllah...kenapalah ada manusia perasan macam awak diciptakan di muka bumi ini” tingkahku geram. Aqel tergelak besar menambah bahang hatiku. Niat hati mahu menguji Aqel. Tidak sangka aku pula yang diuji. Aku gagal berhadapan dengan ketenangan Aqel.
“Laparlah...” rengek Idlan sambil memegang perutnya.
“Oh... dah puas dengan buku baru terasa lapar ye...” sindirku turut melempiaskan rasa geramku kepada Idlan. Idlan tersengih macam kerang busuk. Bagus sangatlah mereka ini. Seorang tersenyum macam kambing, seorang lagi tersengih macam kerang busuk. Dua-duanya cuba hendak buat aku meradang. Aqel menghantar pandangan yang kurang senang. Mungkin cuba mengingatkan aku agar berhati-hati berbicara dengan Idlan. Bimbang menyinggung perasaan budak lelaki ini. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba bertenang.
“Idlan nak makan kat mana?” tanyaku dengan suara yang mula kendur. Sedar tidak patut aku marah pada Idlan. Dia tersenyum. Lantas memandang Aqel.
Uncle nak makan kat mana?” tanya Idlan mengulangi pertanyaanku kepada Aqel. Aduh.... dia tanya Aqel pula! Idlan mahukan Aqel membuat keputusan untuknya. Ilmu apa yang Aqel tiup-tiup ke arah Idlan sehingga berjaya memikat hati budak ini. Aqel tersenyum bangga tatkala pendapatnya diminta.
“Kita makan di Restoran Murni. Kat sana ada pelbagai hidangan nasi ayam yang sedap” jelas Aqel memberi cadangan. Laju Idlan menganggukkan kepala. Maka aku terpaksa juga menuruti kemahuan mereka. Setibanya di restoran ini, Aqel dan Idlan sepakat memesan nasi ayam ala Portugis manakala aku pula memilih nasi ayam Nusantara. Minuman pilihan Aqel dan Idlan tetap serupa iaitu jus oren. Aku seperti biasa akan memesan minuman kegemaranku iaitu jus epal hijau. Di meja makan ini Aqel dan Idlan masih berbicara tentang buku. Kedua-duanya saling bersoal-jawab tentang buku kegemaran masing-masing. Sekejap sahaja Idlan dan Aqel menjadi sangat serasi. Aku pula rasa terpinggir daripada mereka. Persis kewujudanku tidak diperlukan mereka. Ikutkan hati mahu sahaja aku balik ke rumah sekarang juga membawa rajuk hati ini.
“Maaf... saya nak pergi ke bilik air sekejap” ujarku mencelah perbualan rancak Aqel dengan Idlan lantas bangkit dari kerusi ini. Aqel hanya sempat mengangguk kepala memberi reaksi pada bicaraku. Idlan pula masih mahu berbicara dengan Aqel. Seminit pun tidak mahu berdiam. Lagaknya persis Aqel itu kawan sebaya yang boleh berkongsi banyak cerita dengannya. Jelasnya, Aqel mampu melayan karenah budak dengan baik. Sikap tolak ansurnya menyebabkan Idlan mudah patuh pada perintahnya. Tidak sangka manusia dingin seperti Aqel mudah menjalin hubungan mesra dengan kanak-kanak.
Usai menggunakan bilik air, lambat-lambat aku mengatur langkah ke arah Aqel dan Idlan yang masih nampak berborak-borak. Sesekali mereka sama-sama tersenyum. Pasti ada cerita lucu yang telah mencuit hati. Langkahku terhenti. Aku berdiri di ruang kosong ini sambil melontar pandangan ke arah Aqel dan Idlan. Terbit rasa bosan hendak menyertai mereka semula. Lebih baik aku menghabiskan masa berlegar-legar di lot-lot kedai yang ada di sini sementara menunggu mereka usai menikmati nasi ayam yang dipesan tadi. Senyap-senyap aku mengubah haluan langkahku ke muka pintu. Aku meninggalkan Restoran Murni tanpa pengetahuan Aqel dan Idlan.
Benakku ligat berputar membuat pertimbangan. Bimbang pula jikalau mereka tercari-cari kelibatku. Aku tiada pilihan lain. Tidak harus aku bersembunyi. Lantas kukeluarkan iPhoneku lalu menghantar mesej kepada Aqel memaklumkan tentang agendaku. Balasan Aqel sangat ringkas. ‘OK’ itu sahaja. Sudah sepuluh minit aku berlegar-legar di pusat membeli-belah ini tanpa tujuan. Hanya mahu menghabiskan masa sementara menunggu Aqel dan Idlan selesai makan. Bosan dan lenguh sahaja yang aku dapat. Ahh..! Aku melepaskan keluhan berat sambil mengatur langkah memasuki Restoran Murni. Mahu mengajak kedua-duanya balik sekarang. Biar sahaja mereka menyambung cerita di rumah. Kalau mereka mahu bercerita siang malam sampai tidak tidur pun aku tidak kisah. Aku berdiri di tepi mereka sambil menatap  tautan jari kelingking Aqel dengan Idlan. Satu janji lagi telah temeterai antara mereka. Aku kehairanan memandang kedua-duanya.
“Setuju apa?” tanyaku ingin tahu. Serentak Aqel dan Idlan menggeleng. Sudah sepakat tidak mahu berkongsi rahsia denganku. Aku menarik muka masam. Terpinggir lagi.
“Marilah balik” ajakku mahu segera pulang. Lebih manfaat aku berbaring di atas tilam empuk melayan mata. Boleh tidur sepuas – puas hati. Berbaloi-baloi keuntungan yang kuperoleh. Pandangan Aqel dengan Idlan bertaut.
“Belum mahu balik lagi ke? Kalau tak saya balik sendiri” tegasku berbaur ancaman. Terkebil-kebil Idlan menatapku, manakala Aqel tersengih panjang buat hatiku kian membara. Ada kepuasan berganda terpancar di wajahnya. Pastinya dia sangat berbahagia kerana telah berjaya mengalih perhatian Idlan kepadanya. Sengaja mahu merampas kasih Idlan. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Entahlah...tiba-tiba sahaja jiwaku mudah terusik tika ini. Mungkin bicara Aqel ada benarnya bahawa aku mencemburui keakrabannya dengan Idlan. Terasa kemesraan Idlan dirampas dariku.
“Terbukti awak datang bulan sekarang” Aqel tersenyum simpul menyakatku. Aku menggigit bibir sehingga berbekas. Sungguh geram dengan perangai Aqel. Bercakap yang bukan-bukan di depan Idlan.
“Idlan... kita balik sekarang sebab isteri yang tersayang sedang marah-marah ni” tutur Aqel terus mengusikku. Mataku terbuka luas. Mahu sahaja menerkam Aqel yang semakin giat menguji emosiku.
“Persaingan yang adil uncle. Tak boleh buat Mak Usu jatuh cinta” ujar Idlan serius memberi peringatan. Aqel tergelak.
“Okey... okey... Uncle faham...” sahut Aqel mengerti.
“Apa?” Dahiku berkerut. Aku kebingungan. Sukar hendak mengerti bicara Idlan. Bicara yang kuyakini ada kaitan dengan perjanjian yang telah termeterai antara mereka.
“Janganlah buat saya pening. Mari Idlan...” rungutku seraya mencapai tangan Idlan mengajaknya bergerak meninggalkan restoran ini. Idlan terkebil-kebil mengiringi langkahku. Aqel mengekori langkah kami.
“Buka pintu kereta” arahku tanpa sempat memandang ke arah Aqel. Kedengaran bunyi isyarat pintu kereta sudah tidak berkunci. Lantas kukuak pintu kereta luas-luas menyuruh Idlan masuk. Idlan menggeleng. Menolak arahanku.
“Nak duduk di belakang” jelasnya. Laju sahaja tangannya menguak daun pintu di bahagian penumpang belakang. Idlan terus masuk dan duduk di situ. Aqel tersenyum.
“Masuklah...” arah Aqel menyuruhku masuk ke dalam kereta lalu duduk di kerusi penumpang di sebelahnya. Aku akur. Aku menjengahkan kepala ke belakang. Cuba mempastikan keadaan Idlan selesa. Pandanganku dengan Idlan bertaut. Dia tersenyum manis. Aqel memulakan pemanduannya.
“Selesa?” tanyaku. Idlan mengangguk dan masih tersenyum.
I love you ... Mak Usu” ujar Idlan meluahkan kasih-sayangnya kepadaku. Aku tersenyum mekar. Terubat rajuk di hati.
I love you too” ujarku membalas kasih-sayang Idlan. Senyuman Idlan mekar menguntum. Sejuk mata menatapnya. Rasa bahagia berganda-ganda. Tepat pada masanya dia memujukku. Bijak juga Idlan bermain emosi.
“Sayang awak juga...” suara Aqel menerpa pendengaranku dalam nada berbisik namun jelas di telingaku. Aku berpaling. Aqel sedang tersengih-sengih.
“Tak payah miang, nanti saya ketuk kepala awak tu” gertakku geram dengan jelingan tajam. Aqel tergelak. Langsung tidak berbekas ancamanku kepadanya.
“Awak langsung tak teruja mendengarkannya...” komen Aqel. Aku mendengus.
“Jangan anggap saya seperti perempuan lain yang mudah awak nak buai perasaan mereka. Saya kenal awak dan saya takkan mudah terpedaya dengan kata-kata romantis awak” tingkahku dengan suara yang terkawal. Tidak mahu Idlan menyedari ketegangan tika ini. Aqel tersenyum sendiri. Kutoleh ke belakang. Idlan sudah terlena dengan tersandar di kerusi penumpang. Mungkin kekenyangan dan keletihan menguasai dirinya. Mudah sahaja Idlan tertidur.
“Nampaknya awak lebih suka lelaki lain menyayangi awak daripada suami sendiri” sindir Aqel sinis persis terasa dengan kata-kataku. Aku menggetap bibir. Cuba menyabarkan diri. Aqel memang suka membangkitkan amarahku. Mudah sahaja hendak menyalahkan orang lain. Kukunci mulut. Tiada keinginan hendak mengulas bicara Aqel. Berdiam diri itu lebih baik daripada menutur kata-kata kosong. Kulontar pandangan keluar. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah kereta ini memasuki halaman rumah. Kelihatan mak sedang terpacak di muka pintu dengan senyuman mekar menyambut kedatangan Idlan. Laju Idlan keluar dari kereta lalu meluru ke arah mak. Tubuh mak dipeluk. Kian mekar senyuman mak membalas pelukan Idlan. Mak memang nenek yang penyayang.
“Awak mesti suka tengok mak baik dengan Idlankan” ujar Aqel yang sudah berdiri di sebelahku. Menjawab pertanyaan Aqel, kupamerkan senyuman lebar menterjemah isi hatiku.
“Kalau awak nak tahu, Idlan nak saya ganti tempat arwah mamanya” tanpa dirancang meluncur laju kenyataan ini keluar dari mulutku. Pandanganku dengan Aqel bertaut.
“Idlan masih menantikan jawapannya” jelasku berkias-kias. Sudah terlajak memaklumkan perkara ini kepada Aqel, biarlah dia mengetahui kesemuanya.
“Mak menerima baik kehadiran Idlan, lebih mudahlah awak nak bersamanya” sahut Aqel tenang lalu menyambung langkah meninggalkan aku. Tidak dapat diterjemah tindak balas yang Aqel tunjukkan. Dia tetap bersahaja. Bahkan sepanjang hari ini dia masih akrab dengan Idlan. Mereka banyak meluangkan masa bersama. Aqel dan Idlan sudah menjadi sahabat yang akrab. Banyak melakukan aktiviti bersama.
“Betul awak tak nak ikut?” tanya Aqel. Laju aku mengangguk.
“Tak menyesal nanti?” tanya Aqel lagi. Sekali lagi aku mengangguk.
“Awak pergilah joging dengan Idlan. Saya mengantuk lagi ni nak sambung tidur semula” ujarku beralasan. Aqel menggeleng. Sakit matanya melihat aku membungkus tubuh dalam selimut. Pantang melihat orang yang bersenang-lenang dan malas-malas.
“Awak luangkanlah masa dengan Idlan. Bukan ke petang nanti awak hantar dia balik. Saya takpe esok boleh jumpa dia lagi” ujarku tanpa ragu-ragu.
“Esok awak tak kerja?” tanya Aqel hairan.
“Kerja” sahutku ringkas. Petang esok sehabis waktu pejabat barulah aku mengambil Idlan. Ada misi yang perlu kami selesaikan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan perkara yang direncanakan esok. Amin.
“Pergilah cepat. Idlan sedang tunggu awak tu” arahku seraya menarik selimut menutupi tubuhku sepenuhnya. Aqel sudah mensia-siakan masa tidurku. Selagi Aqel belum berganjak meninggalkan bilik ini, maka semakin banyak masa tidurku terbuang begitu sahaja. Rugilah kalau macam ini.
“Janganlah tidur lagi. Cepat pergi tolong mak di dapur. Banyak juga pakaian saya yang perlu awak basuh. Bangun lewat rezeki lari” berjela Aqel berkhutbah pada awal pagi ini seraya menarik kasar selimut yang menyelubungiku lalu membaling ke tepi.
“Aqel..!” Aku terjerit kecil. Kedengaran gelak riang Aqel setelah mengganggu ketenteramanku pada pagi ini. Dia meninggalkan aku dengan sisi tawanya. Aku mendengus kasar lantas bangun meninggalkan katil. Tidak jadi menyambung tidur kembali. Kukemas bilik tidur. Kemudian meninjau-ninjau di sekitar bilik mencari pakaian Aqel yang perlu dibasuh. Berputar-putar pandanganku. Sudah 360 darjah aku tertoleh-toleh. Sudah dua kali aku bertawab mengelilingi bilik ini. Namun sehelaipun aku tidak jumpa pakaian Aqel. Sah aku diperdayakan Aqel. Aku melepaskan keluhan lebih kuat. Lambat sangat berfikir. Memang sudah diketahui Aqel tidak akan menyelerakkan pakaiannya di sana sini. Malas dan pengotor bukan sikapnya. Mengapalah aku mudah terpedaya dengan kata-kata Aqel.
Usai mandi dan menyiapkan diri, aku melangkah ke dapur. Terkejut aku menatap Aqel dan Idlan sedang bersarapan dengan mak. Lama sangatkah aku mandi tadi sampaikan Aqel dan Idlan sudah pulang dari berjoging. Atau mereka tidak jadi berjoging? Hairan aku menatap Aqel dan Idlan yang nampak begitu berselera menikmati sarapan yang disediakan mak.
“Oh...tuan puteri baru muncul” tegur Aqel menyindirku. Aku menulikan telinga. Cuba mengelak bertikam lidah dengan Aqel di depan mak. Mak dan Idlan tersenyum mendengarkannya.
“Cepat balik joging...” ujarku menatap Aqel.
“Joging di halaman rumah ni saja” jelas Aqel buat aku terlopong mendengarkannya. Bukan main kemas dia berbaju sukan tadi. Lagaknya mirip jurulatih profesional.
“Serius?” Kali ini aku tidak mudah mempercayai kata-kata Aqel. Kupandang Idlan. Idlan mengangguk mensahihkan bicara Aqel. Aqel bercakap benar. Dia tidak berbohong.
“Tengok tu mak. Dia tak pernah percayakan saya” ujar Aqel mengadu kepada mak.
“Memang betullah mereka joging di luar ... depan rumah ni saja” ujar mak membuktikan Aqel bercakap benar. Aku diam. Kali ini Aqel tidak berbohong.
“Kenapa tak jadi pergi taman awam?” tanyaku masih tidak berpuas hati.
“Memang tak planpun nak pergi sana” sahut Aqel bersahaja. Pelik. Aqel menatapku.
“Saya dan Idlan memang nak joging di halaman rumah ni saja. Tak payah pergi jauh-jauh. Kat depan rumah ni memang sesuai jadi trek joging. Udara lebih segar dan haruman aroma terapi yang mewangi. Pemandangan indah dengan bunga-bunga yang sedang mekar berkembang. Keindahan di sini tak mampu ditandingi di tempat lain” hujah Aqel berjela-jela. Mak tersenyum. Bangga halaman rumah di bawah jagaannya mendapat sanjungan daripada menantu dambaan kalbunya. Seronok mak mendengar bunga-bungaannya dipuji Aqel.
“Kalau dah rancang nak joging kat luar tu saja, lain kali tak payahlah beriya-iya nak berpakaian sukan. Pakai kain pelikat pun boleh” sindirku sinis. Idlan terus sahaja tergelak. Aqel hanya tersenyum. Mak pun turut sama tersenyum.
“Otaknya yang bergeliga ini memang sentiasa nak kenakan orang” bidas Aqel. Baru kali ini aku mampu tersenyum. Dalam kutukan Aqel terselit juga pujian buatku. Aqel mengikhtiraf kebijaksanaanku.
“Jangan cepat berpuas hati. Saya hanya puji otak awak bijak nak kutuk orang” tutur Aqel melenyapkan senyumanku sekali gus mencalar sedikit perasaan bangga yang baru sahaja bercambah.
“Mak... tengok Aqel tu...” rengekku mengadu kepada mak. Ketawa mak, Aqel dan Idlan bersatu. Mereka seronok mentertawakan aku. Terasa diriku sedang dibuli. Aku memandang Aqel dengan perasaan yang tidak puas hati. Dia telah mendapat sokongan padu daripada mak dan Idlan yang sentiasa berpihak kepadanya. Memang aku rasa tidak puas hati tika ini. 

“Betul awak tak nak ikut?” tanya Aqel sekian kalinya. Aku mengangguk. Keputusanku muktamad. Cukuplah Aqel seorang sahaja yang menghantar kepulangan Idlan pada petang ini.
“Awak akan buat Idlan bersedih” tutur Aqel persis mahukan aku mengubah keputusanku. Aku menggeleng. Idlan awal- awal sudah kumaklumkan tentang perkara ini. Dia mengerti.
“Cukuplah awak seorang saja yang menghantarnya” ujarku tidak berganjak dengan kata putusku. Aqel menatapku dengan pandangan aneh.  
“Perangai awak pelik hari ni” komen Aqel. Aku senyum sekilas. Lantas mendekati Idlan yang sudah bersedia hendak berangkat pergi. Kupandang wajahnya. Bahunya kupegang lembut.
“Petang esok auntie pasti datang jemput Idlan” ujarku berjanji. Idlan mengangguk dan tersenyum. Apa sahaja yang berlaku esok aku akan bertahan demi Idlan. Tajam dan pedih sekalipun cacian dan makian Datin Sofea, aku akan telan semua itu.
“Terima kasih, Mak Usu” ujar Idlan gembira lantas memelukku erat. Pilu menyelubungi diri. Bimbang mengecewakan Idlan.
“Apa saja yang berlaku esok, kita akan sama-sama tanggung. Ingat... jangan sesekali bersedih. Idlan juga perlu ingat, masih ramai orang yang menyayangi Idlan” bisikku memberi peringatan. Idlan mengangguk. Dia mengerti.
“Kita gerak sekarang. Jom....” ajak Aqel. Idlan meleraikan pelukannya.
“Malam ni pastikan Idlan dapat tidur yang cukup. Tak payah banyak fikir” ujarku mengingatkannya. Idlan mengangguk.
“Idlan balik dulu. Kita jumpa esok” ujar Idlan bersemangat.
“Ya...jumpa esok” sahutku.
“Mari...” Aqel terus memaut tangan Idlan lantas memimpin tangan budak lelaki ini melangkah ke muka pintu. Sebelah tangannya memaut beg pakaian Idlan. Manakala mak sudah lama tercengat di halaman menanti kemunculan Aqel bersama Idlan. Aku mematikan langkahku di muka pintu. Setakat di sini sahaja aku mengiringi keberangkatan Idlan. Mak dan Idlan sempat berpelukan sebelum meninggalkan halaman rumah ini. Mereka saling bertukar lambaian tangan.
“Mak tiada halangan kalau kamu nak ambil Idlan sebagai anak angkat. Aqel pun mak tengok suka dengan budak tu. Besar pahala memberi kasih sayang kepada anak yatim piatu ni” suara mak sangat jelas di pendengaranku. Aku berpaling ke muka pintu yang baru sahaja kutinggalkan. Cepat sahaja mak memunculkan dirinya.
“Aqel... atau Idlan ada cakap sesuatu pada mak?” tanyaku cuba menyelidik. Mak menggeleng menjawab pertanyaanku. Kutatap wajah mak.
“Haqem ialah bapa angkat Idlan yang sah di sisi undang-undang. Haqem dah berjaya mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya ke atas Idlan” jelasku buat mak terdiam seketika.
“Memang patut Haqem menjadi ayah Idlan” tegasku bersetuju dengan tindakan Haqem. Haqem ada hak sepenuhnya ke atas Idlan. Satu petandanya kepulangan arwah Harianie ke Malaysia. Arwah memang mengharapkan Haqem akan menjaga Idlan.
“Haqem dah cari ibu untuk Idlan?” suara mak melontar pertanyaan kepadaku. Kupandang wajah mak. Mak sedang menanti jawapan pertanyaannya.
“Saya tak pasti mak” balasku. Aku tidak mencampuri urusan peribadi Haqem.
“Kamu pasti ke Haqem dah takde perasaan pada kamu lagi?” tanya mak menyentakku. Kelu lidahku hendak memberi kepastian kepada mak. Soal hati dan perasaan sangat sukar hendak direncanakan. Tiada seorang pun yang akan dapat memenuhi semua hajat hatinya.
“...dan kamu dah pasti dengan perasaan kamu sendiri?” tanya mak mengujiku. Aku memanjangkan diamku. Mak bukan mahukan jawapanku segera, sebaliknya dia mahukan aku berfikir sedalamnya. Ada kesangsian dalam diri mak.
“Kamu sedar atau tak... sebenarnya kamu dah cukup beruntung” ujar mak memberi peringatan penting kepadaku. Aku dan mak beradu pandangan. Apa motif mak berkata sedemikian kepadaku? Mak masih mengaitkan aku dengan Haqem? Kekasih pertama yang tidak dapat dipisahkan dan cinta pertama yang tidak dapat dipadamkan. Sedemikiankah tanggapan mak?
“Soal jodoh adalah ketentuan Allah, mak. Manusia hanya merancang” ujarku mengingatkan mak. Mak mengangguk.
“Sehingga ke hari ini mak berdoa jodoh kamu dengan Aqel berpanjangan. Mak memang berharap Aqel akan menjadi teman hidup kamu sehingga ke akhir hayat kamu. Mak percaya Aqel mampu menjaga kamu dengan baik dan akan membahagiakan kamu” tegas mak bersungguh-sungguh lalu meninggalkan aku termangu-mangu sendirian di sini. Pasti mak akan kecewa andai mengetahui Aqel mempunyai kekasih yang sangat setia yang begitu mencintainya. Punah harapan mak andai mengetahui nama yang sering meniti di bibir Aqel itu sebenarnya nama yang dimiliki oleh kekasih Aqel. Paling mak tidak dapat menerima kenyataan jikalau dia mengetahui bahawasanya Aqel melihat bayangan kekasihnya ada padaku. Aqel tidak pernah melupakan gadis itu walau sedetik pun. Betapa dalam cinta sepasang kekasih ini.