Thursday, 31 December 2015

Bab Berganda Hadiah Tahun Baru Untuk Pembaca Setia NBF




BAB 79

Aku tergelak sendiri di penghujung mesej lawak yang Nana hantar ini. Terhibur hati. Hilang sekejap tekanan yang membelenggu diri. Rasa hendak berterima kasih pula kepada Nana yang telah menceriakan hati yang suram sejak kebelakangan ini.
"Hoi... Ada skru longgar ke?" Aqel yang sedang membaca buku di sofa bersuara sambil melontar pandangan ke arahku. Terganggu dengan tawaku. Aku mencebik bibir ke arahnya. Mulutnya memang tidak bertatasusila. Dilontar sahaja perkara yang terdetik di benaknya.
"Cuba awak dengar ni. Kejap lagi awak mesti ketawa” Aku bersedia hendak bercerita kepada Aqel. Mahu berkongsi menghibur hati.
"Awak dengar betul-betul tau..."arahku. Aqel patuh sahaja.
"Begini kisah bermula... Ali memberhentikan kereta di gerai yang menjual kuih-muih untuk membeli cucur udang kegemarannya. Ali bertanya,  ‘Mak cik kenapa cucur udang ini takde udang di atasnya?’ Dengan selamba mak cik pun menjawab.‘Engkau pernah tengok badak dalam cucur badak ke?’Ali jawab,  ‘Tak pernah mak cik’. Ha...ha...ha...lawakkan" Aku tergelak-gelak sendiri. Aqel hanya terkebil-kebil menatapku.
"Awak tak ketawa? Tak lawak ke?" tanyaku hairan melihat Aqel statik dengan wajah selamba. Langsung tidak tercuit hatinya.
"Awak ni tak reti nak hiburkan hati sendiri" kutukku. Aqel tetap dengan kedinginannya yang ketandusan emosi. Langsung tiada unsur kecindan dalam dirinya.
"Ada lagi cerita ni...kali ni awak pasti ketawa. Memang lawak. Dengar ye... Seorang lelaki pergi ke klinik mata. Setelah matanya diperiksa, dia bertanya: " Doktor, lepas pakai cermin mata nanti, boleh ke saya membaca macam orang lain?" "Dah tentu,"jawab doktor. "Oh, gembiranya. Dah lama saya buta huruf, akhirnya boleh juga saya membaca,” kata lelaki itu dengan riang. Ha...ha...ha…lawak...lawak…” Aku tertawa sambil menekan perut. Terbayang reaksi doktor itu. Pasti dia rasa hendak menerkam sahaja lelaki itu.
"Boleh tak awak berhenti ketawa?" Aku berpaling menatap Aqel yang mempamer wajah serius. Janggal melihat perlakuanku.
"Awak tak ketawa?" tanyaku. Tajam mata Aqel menatapku.
"Siapa nak ketawa cerita yang tak lucu tu. Orang yang tak betul je yang akan ketawa" radang Aqel yang langsung tidak tercuit mendengarkannya.
"Hati awak tu dingin macam salji" kutukku.
"Lain kali tak payah buat cerita macam tu. Nanti tak pasal-pasal orang marah awak" tegur Aqel menasihatiku. Aku mencebik. Tidak semua orang seperti Aqel. Aqel meneruskan pembacannya. Senyap. Kupandang sekeliling bilik ini. Tiada yang menarik perhatian. Mahupun kerja yang patut aku lakukan. Kupandang Aqel yang leka dengan buku terbaring di atas sofa. Dia bukan teman bicara yang setia. Perlahan-lahan kulepaskan keluhan. Bosan menjengah diri. Kutarik selimut menutupi sebahagian tubuh lalu berbaring di atas katil ini. Kupandang dinding kaku ini. Betapa bilik ini sepi persis tiada penghuni. Kupandang gambar yang tergantung di dinding ini. Nampak aku dengan Aqel pengantin sepadan bagai pinang dibelah dua. Laksana putera dengan puteri yang bersanding di mahligai indah. Sempat juga aku memuji diri sendiri. Aku tersenyum.
“Gambar ini nampak terlalu sempurna...” bisikku. Persis aku tidak mampu menatap lama-lama dan berulangkali.
“Percayalah...saya tak pernah menggantikan tempat awak di hati Aqel. Malah bayangan awak sentiasa bersamanya”  suaraku berbisik di telinga.
“Terima kasih. Saya percayakan awak. Tapi saya dah tak boleh tunggu lama-lama. Hanya awak yang boleh tinggalkan Aqel kerana dia takkan lukai perasaan ibunya. Aqel anak yang taat” menyusul suara Flora. Kenyataan yang tidak dapat disangkal. 
“Bukan Aqel tak nak berpisah dengan awak tapi dia belum bersedia nak berhadapan dengan ibunya. Dia memang berharap awak yang berundur” suara Flora muncul bertimpa-timpa.
“Awak memang dah takde kerja nak buat” suara Aqel memecah kesepian. Aku berpaling. Aqel sedang memerhatikan gelagatku. Bingkas aku bangun. Kupandang Aqel.
"Apa kata awak simpan gambar ni di rumah awak" cadangku sambil menunding jari pada gambar tadi. Gambar persandingan berbingkai mewah.
"Kenapa? Awak dah bosan tengok gambar tu?" tanya Aqel sinis. Aku menggeleng.
"Tak sesuai diletak dalam bilik ni" ujarku memberi alasan.
"Gambar ni dah ada di bilik saya dan ruang tamu" jelas Aqel menolak cadanganku.
"Nanti saya fikirkan tempat yang sesuai nak letak di mana" jelas Aqel. Aku diam. Biarlah Aqel bertindak. Mungkin juga patut diletak di bilik bacaan. Tiada ruang yang sesuai. Senyap kembali.
"Saya nak buat perjanjian dengan awak" ujarku. Aqel berpaling. Kami beradu pandangan.
"Kalau saya berjaya buat awak ketawa, awak wajib  penuhi permintaan saya" Aku memberi syarat kepada Aqel. Aqel mencebik.
"Tak mudah awak akan buat saya ketawa" sahut Aqel tersenyum sinis memperkecilkan aku. Nampak dia berkeyakinan tinggi.
"Awak belum tahu kemampuan saya" tingkahku memberi amaran. Aqel masih tersenyum sinis menghidupkan semangat juang tersuntik dalam diri ini. Aku akan buktikan kepada Aqel.
"Saya beri awak tiga peluang. Jadi gunakan peluang tersebut buat saya ketawa sejujurnya. Bukan ketawa paksa-paksa" ujar Aqel angkuh merendahkan kemampuanku.
"Ok...saya akan buatkan awak ketawa nanti. Tapi awak kena janji akan lakukan sesuatu untuk saya" pintaku memberi syarat. Permintaan kecil tetapi mahukan perkara serius yang bakal Aqel lakukan.
"Lakukan sesuatu?" Dahi Aqel berkerut. Aku tersenyum.
"Kenapa? Awak dah hilang keyakinan diri?" sinis suaraku bertanya. Aqel menjelingku. Aku kenal sikap Aqel pantang mengalah begitu mudah. Semangat juang begitu tebal dalam dirinya. Semangat itu yang menjadikan hidupnya berjaya.
"Saya dah bosan dengar cerita lawak awak sebelum ni. Jadi kali ini pastikan cerita awak betul-betul lucu yang boleh buat saya ketawa. Kalau tak siap awak!" suara Aqel keras mengancamku. Matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Aku menelan liur. Gusar juga mendengar ancaman Aqel tatkala sedar aku bukan pelawak yang baik.
"Ok...saya takkan menghampakan awak. Beri saya sedikit masih lagi. Saya yakin akan mampu menggeletek hati awak sampai ketawa tak boleh ditahan-tahan… ketawa  sakan" Aku memberi jaminan kepada Aqel. Aqel tersenyum sinis.
"Saya akan tuntut janji saya" ujarku memberi peringatan kepada Aqel. Aqel tergelak sendiri.
"Itupun kalau awak berjaya" ujar Aqel membalas peringatanku.
"Saya akan berjaya...saya akan berjaya demi awak dah Flora" ujarku pada diri sendiri.
"Apa?" Aqel menatapku. Aku tersentak.
"Takde apa-apa" ujarku sambil garu-garu kepala. Rahsia. Aqel tidak patut tahu semua ini.
"Tidurlah..." arah Aqel tidak mahu aku mengganggunya. Aku mencebik. Kemudian merebahkan diri semula di atas tilam.
"Selamat malam Aqel. Saya pasti akan buat awak ketawa. Tunggu cerita lawak yang mahu saya perdengarkan pada awak" ujarku bersungguh-sungguh. Aqel memandangku tanpa perasaan. Langsung tidak rasa tergugat. Kadangkala cemburu juga melihat Aqel yang sentiasa tenang dan berkeyakinan tinggi. Cemburu pada Aqel yang mampu melakukan banyak perkara mengikut kemahuannya.
"Assalamualaikum...Aqel" Aku memejamkan mataku. Lega. Wajah tampan Aqel hilang di pandangan mata.  Mengerti kesempurnaan Aqel menyukarkan Rania melepaskan pemuda ini. Dapat aku bayangkan betapa hebat Flora sehingga Aqel setia mengingatinya. Teruja hati mahu mengenali gadis itu. Suara lembut Flora kedengaran di telingaku. Mudah-mudahan ada kesempatan bertemu Flora dalam mimpi.
**********************

Kupandang Aqel di sebelahku. Dia fokus pada pemanduannya. Memang Aqel lebih banyak berdiam diri daripada bersuara. Namun tatkala berbicara adakala sukar menemui noktah. Sikap Aqel berubah-ubah persis cuaca. Aqel boleh jadi sedingin hujan. Adakala kata-katanya sehangat mentari yang mampu membakar hati. Malah Aqel boleh setenang bayu malam yang sangat menyenangkan.
"Saya ada cerita lawak untuk awak" suaraku memecah kesepian. Aqel berpaling ke arahku. Aku tersengih.
"Dengar ye...pada satu petang, si ibu membawa anaknya berusia 4 tahun bersiar-siar menaiki kereta.  Dalam perjalanan si ibu membunyikan hon. Lalu anaknya bertanya: ‘Mengapa ibu bunyikan hon dan siapakah orang itu? Ibu menjawab: ‘Itu saudara kita, kenalah sapa tanda hormat. Anak mengangguk faham. Pengajaran ibu diterima dengan baik. Dalam perjalanan  seterusnya mereka terserempak dengan seekor lembu yang nak melintas lalu si ibu membunyikan hon. Anak itu bertanya lagi: ‘Itupun saudara kita juga ke? Ha...ha...ha" Aku terus ketawa. Namun tawa ini sekejap sahaja tatkala terpandang wajah serius Aqel yang sedang menatapku. Persis singa yang mahu menerkam mangsa.
“Awak tak ketawa?" tanyaku.
"Cerita awak ni menyakitkan hati saya" ujar Aqel mencemuh. Aku mengetap bibir cuba bersabar. Berhadapan dengan Aqel memang mencabar.
"Lain kali kalau nak cerita pastikan benar-benar lucu. So gunakan baki peluang yang ada sebaik mungkin" Aqel mengingatkan aku. Dia tersenyum sinis.
"Ini cerita yang lebih lucu" ujarku tidak mengalah. Mahu segera buat Aqel ketawa. Aqel memandangku dengan wajah bosan. Tidak teruja mahu mendengar cerita seterusnya.
"Kali ini awak pasti ketawa" tuturku yakin. Aqel tetap dengan wajah kosong.
"Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga lelaki sekali gus" Aku memulakan cerita dengan nekad mahu membuatkan Aqel ketawa. Harap-harap kali ini aku akan mendengar Aqel ketawa.
"Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan. Polis: Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum? Penjaga: Lelaki pertama sedang bersanding, tiba-tiba diserang strok. Lelaki kedua pula khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit jantung manakala yang ketiga disambar petir. Polis: Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum? Penjaga: Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya. Ha...ha...ha..." Aku ketawa sambil membayangkan lelaki yang disambar petir itu. Mesti dia tersenyum lebar kerana mahu dirinya nampak ceria dalam gambar. Lawak yang  boleh diterima akal. Aku berpaling ke arah Aqel. Matanya tajam menjelingku. Hati batunya sedikit pun tidak tercuit dengan cerita yang kupersembahkan. Memang aku tiada bakat hendak jadi pelawak. Kebetulan pula jumpa orang yang tidak pandai menghibur hati. Kalau Haqem pasti dia turut mengiringi tawaku. Bukan susah hendak buat Haqem ketawa.
"Buat reseacrh lagi.... Cerita lawak awak ni buat saya rasa nak marah" Wajah Aqel serius. Aku mencebik lagi. Aqel memang kebal. Dia tidak tersenyum apatah lagi  hendak ketawa. Bermakna aku perlu memperluas lagi Mr Geogle untuk menjejaki cerita-cerita lawak yang boleh buat Aqel ketawa. Dua kali gagal bermakna berbaki satu peluang lagi. Peluang terakhir itu mesti digunakan sebaik-baiknya.
"Saya akan buat awak ketawa" ujarku nekad. Aqel memandangku sepintas lalu. Bicaraku tidak menggusarkannya.
"Saya akan tunggu" sahut Aqel angkuh. Aku melontar pandangan keluar. Janjiku pada Flora akan aku tepati. Alangkah baik jikalau aku punya keberanian menyatakan kepada Aqel agar dia kembali kepada Flora.  Tidak perlu aku bersusah payah hendak membuatkan Aqel ketawa dengan cerita-cerita lawak yang tidak mampu menggeletek hatinya.
“Awak nak tidur dalam kereta ni?” suara Aqel menyentakkanku. Mata Aqel tajam menatapku. Jauh aku mengalamun tadi. Aku terkocoh-kocoh keluar tatkala menyedari kami sudah sampai di halaman rumah. Aqel sudah melangkah ke muka pintu. Aku mengekorinya dengan langkah longlai.
Cikgu : Murid-murid, sebutkan nama binatang yang bermula dengan huruf G?
Abu : Gajah.
Cikgu : Bagus !!! Sekarang sebutkan nama binatang bermula dengan D?
Abu : Dua gajah.
Cikgu : Abu, jangan main-main!!... Berdiri!... Murid-murid lain ada jawapan?
Semua murid senyap tak tahu jawapan...
Cikgu : Sebutkan nama binatang yang bermula dengan huruf M?
Murid-murid lain senyap.   Tiba-tiba...
Abu : Mungkin gajah...
Cikgu : Abu... main-main lagi…pergi berdiri diluar kelas!
Murid-murid diam tak tahu jawapan...
Cikgu : Sebutkan nama binatang yang bermula dengan huruf J?
Semua murid diam tak tahu jawapan.   Tiba-tiba... kedengaran suara dari luar kelas...
Abu : Jangan-jangan gajah...
Cikgu bertambah marah   lalu menyuruh Ali menutup pintu kelas.
Cikgu : Sebutkan nama binatang yang bermula huruf A?
Murid-murid semua juga diam.  Tiba-tiba Abu menyampuk dari luar tingkap.
Abu : Anak gajah...
Sekali lagi cikgu menyuruh Ali menutup tingkap. Selang beberapa minit suara Abu tidak lagi kedengaran. Cikgu menyuruh Ali keluar mencari Abu…tapi tiada.
Cikgu : Takpe murid-murid...biarkan Abu.
Cikgu bertanya lagi soalan kepada murid-muridnya.
Cikgu : Sebutkan nama binatang yang bermula dengan huruf K?
Murid-murid semua juga diam.  Tiba-tiba.....suara Abu dengan pembesar suara...
Abu : Kompom gajahhhh…


 Tiba-tiba gelak Aqel memecah kesunyian itu. Marnie, Rania dan Haqem berpaling menatap Aqel yang masih tergelak-gelak sendiri sambil menatap iPhone. Ada perkara lucu yang benar-benar telah menggeletek hati Aqel. Tidak pernah mereka melihat Aqel berkelakuan demikian. Aqel menatap ayat seterusnya.
"Cuba awak bayangkan tindakan terakhir budak tu... Dia betul-betul degil dan berkeyakinan  tinggi pada jawapannya  " Lia mengajaknya berimaginasi. Aqel tergelak lagi.
"Apa yang lucunya?" tanya Haqem tidak mahu ketinggalan hendak mengetahuinya. Aqel geleng kepala. Namun senyum masih terukir di bibirnya.
"Ni mesti Encik Aqel dapat mesej Lia ni" ujar Marnie menduga. Haqem dan Rania menatap Aqel yang masih tersenyum.
"Tak mungkin Lia boleh buat awak ketawa. Dia bukan pandai pun buat lawak" sangkal Haqem tidak percaya.
"Betul kata awak tapi tak tahu pula di mana dia dapat sketsa lucu ni" sahut Aqel sekali gus mensahihkan gadis itulah yang buat Aqel ketawa. Haqem dan Rania serius. Ada perasaan cemburu dalam diri masing-masing.
“Tepat tekaan saya… Lia yang buat Encik Aqel ketawa” ujar Marnie teruja. Dia tersenyum girang. Marnie memang sentiasa mengharapkan Aqel dan Lia berbahagia. Pasangan yang begitu padan di matanya. Mereka memang sempurna bersama. Kini senyum Aqel dan Marnie bersatu manakala Haqem dan Marnie sedang menjeruk perasaan.
“Yahoo...!!!” Aku melaung girang menerima mesej daripada Marnie yang berniat mahu menyakatku.  Kononnya Aqel sungguh bahagia menerima utusan pesananku sehingga tergelak-gelak sendiri. Marnie langsung tidak mengetahui di sebalik tawa Aqel akan menamatkan cerita semalam dan mengubah cerita hari ini. Maka inilah kejayaanku tanda Aqel telah tewas. Bermakna sudah sampai detik mak kehilangan menantu yang tampan dan baik hati. Mudah-mudahan mak dan Mak Long menerima semua ini dengan tenang. Malah merestui penyatuan Aqel dengan Flora sehingga akhir hayat mereka. 
Tidak sabar-sabar aku menunggu kemunculan Aqel. Mahu segera mengisytiharkan kemenanganku di depannya. Megah sungguh rasanya dapat menembusi tembok kebal emosi Aqel yang tandus itu. Aku tersenyum lebar tatkala terpandang kelibat Aqel yang sedang melewati pintu utama KDUT mengarah langkah mendekatiku yang tercengat di sebelah kereta Peugeot RCZ Sports Coupe kesayangannya ini.
"Kenapa?" Dahi Aqel berkerut. Tidak suka menatap senyumanku.
"Awak dah tewas" ujarku girang. Aqel mempamer wajah kosong. Tidak mengendahkan bicaraku lantas masuk ke dalam kereta. Laju tanganku menguak pintu kereta lalu duduk di sebelah Aqel yang tetap berwajah serius. Bimbang juga jikalau Aqel berniat mahu meninggalkan aku di laman parkir ini. Nanti tidak pasal-pasal balik dengan teksi. Tindakan Aqel tidak dapat dijangka.
“Saya nak awak kurangkan bercakap hari ni” arah Aqel melarangku menyambung bicara. Aku terkedu. Nampak Aqel kecewa. Mungkin Aqel tidak pernah tewas. Aku melirik ke arah Aqel. Mencuri pandang ke wajahnya. Cuba mentafsir reaksinya tika ini.
“Apa permintaan awak?” suara Aqel menyentakkanku. Laju aku memaling wajah. Tidak sempat bertembung pandangan dengan Aqel.
“Nampak awak sungguh teruja dan tidak sabar-sabar nak buat permintaan” ujar Aqel serius. Aku diam lagi. Bicara Aqel mengingatkan aku pada permintaan Flora. Aku sudah berjanji tidak akan mengecewakan gadis itu. Impianku mahu Aqel bersatu dengan kekasih yang dicintainya. Keterujaanku sedikit demi sedikit berkurangan. Perasaan girang disalut kebimbangan. Nun jauh di sudut hati rawan memikirkan kesedihan yang bakal mak dan Mak Long tanggung.
“Awak betul-betul mendengar cakap kali ini. Baguslah awak belajar setia” ujar Aqel menambah bicaranya. Kelu lidahku. Adakah Aqel mahu aku setia pada dirinya? Kupandang Aqel.
“Awak bukan kekasih yang setia kan” lirih sahaja suara Aqel. Aku mengetap bibir. Terusik hati mendengar bicara Aqel sedemikian. Benarkah aku tidak pernah setia kepada Haqem?
“Sebab nikah dengan awak…awak boleh kata saya bukan kekasih yang setia?” tanyaku tidak tega dipersalahkan sepenuhnya. Aku dan Aqel beradu pandangan. Senyuman sinis Aqel menyakitkan hati.
“Saya nikah dengan awak sebab awak tipu saya. Saya juga tak nak mengecewakan  keluarga kita yang berharap sangat kita menjadi suami isteri. Awak jangan lupa perkara itu” ujarku serius. Sudah mula terasa ketegangan perbualanku dengan Aqel. Aqel tersenyum sinis.
“Jadi awak menyesallah dengan kehidupan awak sekarang?” tanya Aqel mengujiku. Aku tidak menjawab persoalan Aqel.
“Maksudnya awak kekasih yang setia. Masih setia kepada Haqem...” lirih suara Aqel. Dia tersenyum sinis.
“Awak suka sangat buat kesimpulan sendiri” balasku. Aku mengeluh kecil. Kulontar pandangan keluar. Mengapa aku dan Aqel tidak boleh hidup dengan aman? Aku tidak kisah kesetiaan Aqel kepada Flora. Kuizinkan di hati Aqel masih ada Flora. Kereta memasuki halaman rumah. Enjin dimatikan. Sekejap lagi Aqel akan keluar dari kereta ini. Aku harus cepat.
“Awak kembalilah kepada Flora. Ini permintaan saya...” suaraku memecah keheningan ini. Aqel berpaling menatapku. Seketika kami berpandangan dengan mulut yang terkunci. Pasti permintaanku ini mengejutkan Aqel. Aqel tersenyum sendiri.
“Bersungguh-sungguh awak melakukannya. Tak sangka ini agenda awak” lirih suara Aqel. Aku mengetap bibir.
“Bukan mudah saya nak lakukan semua ini” luahku jujur. Aqel senyum lagi.
“Tapi saya dah janji dengan...” Bicaraku tergantung. Aqel tidak perlu tahu perbualanku dengan Flora tempoh hari. Flora juga mahu perkara ini dirahsiakan.
“Janji dengan Haqem nak berpisah dengan saya” Aqel menyambung bicaraku yang tergantung. Aku mengeluh. Andai nama Haqem memudahkan Aqel meninggalkan aku untuk bersama Flora, aku tidak akan menyangkal kenyataan Aqel ini. Biarlah Aqel beranggapan sedemikian. Lantas aku mendiamkan diri. Mengunci mulut tidak mahu mensahihkan mahupun meningkah kenyataan itu.
“Perkara yang saya jangka akan berlaku bila saya lihat gambar awak dan Haqem bersama Idlan seperti sebuah keluarga bahagia. Saya nampak gambar ini juga jadi wallpapers iPhone Haqem. Kiranya semua ini telah dirancang awal” ujar Aqel membuat kesimpulan. Tampak kesal.
“Maafkan saya... Aqel. Saya nak awak hidup bahagia bersama Flora” ujarku perlahan. Cuba menjadi cekal, tabah dan kuat.
“Ini permintaan saya dan awak dah janji akan tunaikan permintaan saya kalau saya berjaya buat awak ketawa” ujarku menagih janji Aqel.
“Berpisah kerana berjaya membuatkan saya ketawa dengan cerita-cerita lawak awak itu? Tak masuk akal langsung” Aqel tergelak sendiri. Dia menggeleng.
“Saya rasa awak lebih lucu daripada cerita-cerita lawak awak tu” ujar Aqel tersenyum sambil menatapku. Dia memerliku. Daun pintu kereta ditolak. Bingkas Aqel bangun dari kerusi pemandu ini meninggalkan aku. Aqel sudah menghala langkah ke pintu rumah. Bergegas aku keluar dari kereta ini. Aku mengejar langkah Aqel.
“Bagaimana janji awak?” tanyaku mohon penjelasan. Langkah Aqel melewati ruang tamu. Dia tidak menunggu kedatanganku. Aku mengekori langkah Aqel ke bilik. Aku berdiri di sebelahnya. Dia tersenyum menatapku.
“Selama ini kehidupan kita bukan seperti pasangan suami isteri yang lain kan?” tanya Aqel. Aku mengangguk. Aqel bercakap benar.
“Selain bersaudara... hubungan kita seperti kawan. Betul?” tanya Aqel lagi. Aku juga mengangguk. Bicara Aqel tidak silap.
“Saya dah buat keputusan. Hari ini hari terakhir saya keluar dengan awak sebagai sahabat saya. Selepas ini awak takkan jadi sahabat saya lagi” tutur Aqel tenang. Aku terkedu. Teringat gambar-gambar yang Aqel lihat daripada album milik Idlan yang membuatkan Aqel membuat kesimpulan. Haqem pula bertindak tanpa berfikir. Tanpa keizinanku dia meletakkan gambarku dengannya bersama Idlan diambil ketika majlis hari jadi Idlan diletakkan sebagai wallpapers iPhonenya. Jikalau aku mengetahui perkara ini lebih awal pasti aku menegahnya. Gambarnya bersama Idlan pun boleh dijadikan wallpapers tanpa melibatkan aku.
Selain menunaikan janjinya padaku, aku tahu Aqel bimbang semua ini akan sampai ke pengetahuan mak dan Mak Long. Perkara inilah yang sering merunsingkan Aqel. Terasa Aqel sudah letih berpura-pura segala perkara berjalan dengan baik di depan mak dan Mak Long. Sudah bosan dia menenangkan mak dan Mak Long dengan penafian yang tiada kesudahan. Aqel sering mengatakan bahawa dia mampu mengawal keadaan. Beri dia masa dan ruang untuk dia melakukan yang terbaik buat aku dan buat dirinya sendiri. Maka mak dan Mak Long meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Aqel. Mereka tidak pernah mahu mencampuri urusanku dengan Aqel. Betapa hebatnya Aqel di mata mak. Sungguh Mak Long meyakini kemampuan anak mudanya ini. Mak dan Mak Long tidak pernah sangsi.
“Walau apapun yang terjadi, awak tetap sepupu saya yang baik hati. Saya gembira dan bersyukur ada sepupu yang sehebat awak” tuturku jujur dengan perasaan sebak. Jika inilah saat perpisahanku dengan Aqel, aku tidak menafikan ada perasan sedih menyelinap dalam diri ini. Selepas ini tidak akan ada seorang lelaki yang sentiasa melindungiku daripada disakiti. Pasti aku akan kesunyian tanpa Aqel kerana tiada sesiapa denganku bertegang leher nanti. Aqel menjadikan diriku yang sebenar-benarnya. Tidak perlu berlakon menjadi gadis yang terlalu bersopan-santun. Bicarakanlah apa sahaja yang terpendam. Ketawalah sekuat-kuat hati, Aqel tidak akan kisah. Menangislah meraung-raung, Aqel tetap akan bersahaja. Inilah keunikan Aqel yang dingin sedingin salji. Aku tersenyum sendiri.
“Maafkan saya. Saya tak pernah melayan awak dengan baik” ujarku terkilan pada diri sendiri. Aqel tersenyum. Senyuman menawan yang memikat hati.
“Awak masih berpeluang melakukannya pada masa depan” sahut Aqel masih sempat bergurau. Aku tersenyum. Jika dipanjangkan umur, masih jauh perjalanan hidup ini. Tidak mampu aku hendak meramal perkara yang akan berlaku selepas ini. Namun aku sudah membuat keputusan akan bersedia memakbulkan permintaan Idlan.
“Saya dah buat keputusan akan menjadi ibu. Walaupun tak mampu menandingi kehebatan arwah Kak Har tapi saya akan buat sehabis baik” nekadku. Aqel senyum.
“Tindakan yang mulia. Pasti Idlan dan Haqem gembira dengan keputusan awak ni” tutur Aqel. Aku hanya senyum. Tidak sampai hati aku menolak permintaan Idlan. Aku sama sekali tidak mampu mengecewakan Idlan. Sedalamnya sudah aku fikirkan perkara ini sebelum aku membuat keputusan. Perkara ini juga sudah aku maklumkan kepada mak. Mak tiada halangan namun mengarahkan aku mendapat keizinan dan persetujuan daripada Aqel terlebih dahulu. Namun situasi sekarang sudah berbeza. Keputusan mutlak di tanganku. Aku berkuasa penuh membuat keputusan.
“Berehatlah. Esok tak payah pergi kerja. Saya cuti dan dah luluskan cuti untuk awak. Saya nak ajak awak bersukaria sepanjang hari esok. Anggaplah esok merupakan hari temujanji pertama kita” ujar Aqel bersahaja buat aku terpaku. Kelu lidahku. Aqel sudah merebahkan tubuhnya di sofa panjang itu dengan kemeja kerja. Tidak sempat menukar. Aku duduk di birai katil ini.
Tidak sangka Aqel sudah membuat perancangan menjelang hari perpisahan kami. Baru aku sedar bahawa aku dan Aqel tidak pernah merancang bercuti bersama selama menjadi suami isteri ini. Satu-satunya hanya ketika berbulan madu di Korea yang menemukan aku dengan Pak Long, ayah mertuaku. Sekembalinya dari Korea, kami tidak pernah melancong lagi mahupun menghabiskan masa bercuti bersama. Cepat aku sedar. Aku dan Aqel bukan seperti pasangan suami isteri yang lain. Pasangan suami isteri yang berbahagia meluangkan masa bersama-sama. Aqel hanya akan berbahagia bersama Rania. Aqel sangat bahagia jika dapat hidup bersama Flora sepanjang hayatnya. Hati Aqel milik Flora. Aqel tidak pernah sunyi dengan adanya Rania yang sangat setia kepadanya. Beruntunglah Aqel memiliki dua orang kekasih.
Aku...? Wajah Haqem menjelma di ruang mataku. Benarkah aku dengan Haqem masih ada jodoh? Jika cintaku dengan Haqem bersatu kembali, mampukah Haqem menghadapi tentangan Datin Sofea kali ini? Bagaimana pula dengan Bella? Patutkah aku rampas Haqem daripada Bella sedang gadis itu sudah dijanjikan bakal suri hidup Haqem? Tidak kejamkah jika aku berbahagia hidup bersama Haqem sedang Bella menangis ditinggalkan Haqem. Aku sudah merasakan kepedihan dan derita ditinggalkan kekasih hati. Seksa dan sengsara. Seakan dunia ini berhenti berputar seketika. Gelap gelita. Tiada senyuman dan gelak tawa. Tika itu hanyalah linangan air mata sahaja pengubat duka lara dan teman yang setia menemaniku. Mungkin juga kesengsaraanku itu harus ditebus oleh Bella. Patutkah Bella yang harus menanggungnya sedangkan semua itu adalah angkara Datin Sofea? Aku melepaskan keluhan. Banyak sangat persoalan yang menyesakkan benakku. Keadaan ini berlanjutan sehingga ke malam. Menjelang tengah malam aku masih memikirkannya sedangkan Aqel sudah lena dibuai mimpi di sofa panjang itu sambil mendakap buku yang dibaca tadi.
Lenalah mata dan tenanglah hati. Kuseru banyak kali kalimah ini. Aku perlu cukup tidur agar bertenaga apabila bangun tidur esok. Tenagaku sangat diperlukan tatkala terbitnya matahari. Sudah dijanjikan esok merupakan temujanji pertamaku dengan Aqel sebelum perpisahan dilafazkan. Maka aku dan Aqel akan berlagak menjadi pasangan kekasih. Mampukah aku melakukannya dengan baik? Pasti aku boleh melakukannya. Aku pernah menjadi kekasih Haqem. Aku boleh menggunakan pengalaman cinta pertama itu untuk berlagak menjadi kekasih Aqel. Aku akan mempastikan rancangan Aqel dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kenangan yang aku hadiahkan kepada Aqel menjelang hari perpisahan kami. Kenangan yang diingati sepanjang hayat. 



BAB 80

“Wahai....Bunga Dahlia, kekasih hati kekanda...jagalah dari lenamu...” sayup-sayup suara lelaki berbisik di telingaku. Kuangkat kelopak mata. Bingkas aku bangun tatkala mendapati Aqel terlalu dekat denganku. Hampir-hampir sahaja aku hendak menyiku Aqel, namun tatkala teringat hari ini Aqel ialah kekasih hatiku, maka aku lupakan hasrat ini. Kemudian memaksa diri tersenyum. Tawar. Bukan seperti senyuman yang harus diberikan kepada kekasih hati dambaan kalbu.
“Kita solat berjemaah. Dah lama kita tak lakukannya” ujar Aqel bersama senyuman yang mempesonakan. Aku mengangguk. Perkara yang baik tidak harus ditentang. Aku melangkah ke bilik air mencuci muka, memberus gigi dan seterusnya mengambil wuduk. Kemudian melangkah keluar. Aqel sudah membentang sejadah dan sedang menungguku. Lantas kusarungkan telengkung lalu berdiri di belakang Aqel. Sudah bersedia solat Subuh yang diimankan oleh Aqel. Tatkala doa dipanjatkan, mendayu-dayu sahaja suara Aqel. Sebak hatiku menghayati munajat yang dilafazkan oleh Aqel. Aku rasa tenang dan damai tika ini. Aqel berpaling lalu menghulurkan tangan kepadaku. Lantas aku menundukkan kepala lalu mengucup tangan putih bersih Aqel.
“Saya gagal menjadi isteri yang baik buat awak. Ampunilah dosa saya. Halalkan makan minum saya” pintaku dengan sebak. Aqel mengusap lembut kepalaku.
“Saya juga minta maaf pada awak. Jujur dan ikhlas saya katakan awak akan jadi isteri dan ibu yang baik. Belajar tetapkan hati dan melupakan kesakitan yang lalu” ujar Aqel berbaur nasihat. Aku senyum menatap Aqel. Nasihat terakhir Aqel yang sangat berguna.
“Terima kasih. Insya-Allah saya akan ingat sampai bila-bila” ujarku menghargai nasihat itu. Kali ini aku tidak akan meningkah bicara Aqel. Enggan bergaduh.
“Hari ini saya akan sediakan sarapan istimewa agar awak boleh mengingatinya sampai bila-bila” tutur Aqel. Seronok dapat menikmati hidangan sarapan enak yang disediakan oleh Aqel. Permulaan hari yang buat aku teruja. Yakin hari ini akan dipenuhi dengan babak-babak indah dan romantis. Tidak menyangka berpeluang juga aku menjadi kekasih Aqel.
Tiba waktu menikmati sarapan, Aqel datang menjemputku di bilik ini. Lucu tetapi romantik. Kejutan seterusnya, Aqel mewajibkan aku menutup mata. Maka pandanganku ditutup dengan lilitan kain hitam ini. Aku akur. Kemudian Aqel memimpin tanganku menuruni anak tangga satu-persatu dengan berhati-hati. Hangat pautan tangan Aqel. Kebetulan mak tiada di rumah beberapa hari ini kerana bersama Mak Long menyertai lawatan keluar daerah. Sekarang mak sudah menjadi ahli persatuan naungan Mak Long. Kalau tidak pasti mak ternganga dan terkejut dengan drama romantik arahan Aqel ini. Segan juga kepada mak.
“Sedia....1...2...3....Hidangan nasi goreng Jepun khas untuk awak” ujar Aqel sambil ikatan kain hitam yang menutup pandanganku dileraikan. Mata kubuka luas. Terpaku dan tergamam. Ada sekuntum bunga ros merah segar diletakkan di tengah-tengah meja. Dua buah pinggan kosong bertentangan dan sudu disusun rapi di sisinya. Ada napkin. Ala-ala susun atur di meja makan di restoran mewah. Kalaulah ini hidangan makan malam, pasti ada dua batang lilin yang bersinar sekarang. Suasana yang sungguh romantis. 
Bau lazat hidangan menyerang deria hiduku lantas membangkitkan rasa lapar. Cuba bersabar agar tidak merosakkan babak romantis di meja makan ini. Aqel menarik kerusi lalu menjemputku duduk. Kain napkin diletakkan di atas pangkuanku. Sungguh romantik. Aqel menyudu nasi lalu meletakkan di dalam pingganku. Sesudu sambal sotong dan sesudu sambal kerang. Ada juga sekeping telur mata lembu yang digoreng gebu pelengkap nasi goreng Jepun ini. Tampak sungguh istimewa. Segelas jus epal dituang untukku.
“Kita baca doa dulu...” pinta Aqel. Aku menadah tangan. Doapun dibaca. Amin.
“Silakan menikmati hidangan ini...” pelawa Aqel mempersilakan. Aku senyum. Teruja mahu menikmati hidangan sarapan yang Aqel sediakan.
“Terima kasih...” ujarku menghargai setiap yang telah Aqel lakukan. Sedap. Sarapan yang disediakan Aqel memang membangkitkan seleraku. Usai sarapan, Aqel terus mengajak aku mengunjungi destinasi pertama iaitu Taman Tasik Mas. Di sini aku dan Aqel menyeberangi tasik melalui jambatan gantung. Persekitaran yang menghijau. Kicauan burung yang menyanyi riang dan udara segar yang nyaman. Panorama yang indah dinikmati di sini. Kedengaran anak-anak ketawa riang sambil mengayuh sampan menjelajahi tasik. Seronok meluangkan masa bersama keluarga. Mereka keluarga bahagia.
“Awak tak gayat naik jambatan gantung ni” komen Aqel kagum tatkala kami sampai ke penghujunng jambatan gantung ini. Aku tersenyum bangga.
“Walaupun saya ni nampak lemah dan selalu dibuli tapi naik di tempat yang tinggi takkan buat saya takut” ujarku. Kalaulah aku berlagak takut ketika menyeberangi jambatan gantung ini tadi, rasanya Aqel akan memimpin erat tanganku sepanjang perjalanan ini. Sedikit menjejaskan babak romantik. Sungguh aku terlupa. Aku tersenyum sendiri.
“Baguslah jiwa awak kental” puji Aqel yang jarang-jarang kudengar. Senyumanku dengan senyuman Aqel bersatu. Aku dan Aqel melalui lorong yang disediakan sambil menghirup udara segar. Aku tersentak tatkala tangan Aqel mencapai tanganku. Lalu memautnya erat.
“Kekasih yang bertemu janji mesti berpegangan tangan” ujar Aqel. Aku tersenyum. Kubiarkan sahaja tanganku berada dalam pautan tangan Aqel. Mahu menebus babak romantik yang terlepas tadi. Paling penting tangan yang menggenggam erat tanganku saat ini ialah tangan suamiku yang tiada halangan untuk bersentuhan. Suami yang akan berpisah denganku pada penghujung temu janji ini. Bila-bila masa sahaja Aqel akan melafazkan perpisahan itu. Aku menunggu saat itu dengan debaran.
“Kita makan aiskrim. Saya belanja awak” ujarku lalu mematikan langkah. Langkah Aqel turut terhenti. Aqel senyum. Dia memang mengetahui aku gemar makan aiskrim.
“Awak duduk di bangku kayu itu. Biar saya beli untuk awak” ujar Aqel sambil menunding jari pada bangku kayu di bawah teduhan pokok yang merimbun. Aku mengangguk. Aqel terus sahaja melangkah ke arah penjual aiskrim itu. Tidak sempat aku hendak mengingatkan Aqel agar membeli aiskrim vanila untukku. Bimbang Aqel terlupa tentang aiskrim kegemaranku itu. Aku menunggu ketibaan Aqel di bangku kayu ini dengan sabar. Kasihan Aqel terpaksa berbaris panjang demi mendapatkan aiskrim untukku. Kalaulah aku tidak terliur hendak makan aiskrim tadi, tidak perlulah Aqel berbaris menunggu giliran. Aku akan menikmati aiskrim yang Aqel beli itu dengan berselera sekalipun bukan aiskrim kegemaranku. Mahu menghargai susah payah Aqel berbaris.
“Nah... aiskrim awak” Aqel menghulurkan aiskrim itu kepadaku lalu melabuhkan duduk di sebelahku. Tanganku menyambut aiskrim yang dihulurkan.
“Terima kasih banyak-banyak” ujarku sangat menghargai tindakan Aqel. Kutenung lama aiskrim di tanganku. Sebak dan terharu aku ketika ini.
“Kenapa belum dimakan aiskrim tu? Nanti cair pula. Atau awak dah tak suka makan aiskrim vanila?” tanya Aqel. Laju aku menggeleng.
“Terima kasih, Aqel. Saya tetap suka aiskrim vanila” jelasku. Aqel tersenyum puas hati. Tidak sia-sia dia berbaris panjang tadi. Lantas terus kunikmati aiskrim vanila ini. Kemanisan aiskrim ini akan menyuntik kegembiraan di kala hati yang bersedih.
“Saya terharu sebab awak masih ingat aiskrim kegemaran saya” luahku berterus-terang.
“Sampai bila-bila pun saya akan ingat perkara ini” sahut Aqel dengan senyuman mekar di bibir. Bertambah rasa terharuku. Aqel akan mengotakan setiap yang dikatakannya.
“Awak nak rasa aiskrim ini?” tanyaku sambil menyuakan aiskrim vanila ini kepada Aqel. Aqel menggeleng. Dia tidak suka makan aiskrim.
“Rasalah sedikit. Kan tadi awak dah bersusah-payah dapatkan aiskrim ini” ujarku berharap. Aqel menggeleng lagi.
“Awak tak nak rasa sebab tak nak berkongsi aiskrim dengan saya?” tanyaku. Aqel sangat mementingkan kebersihan. Pasti kekok hendak berkongsi menjilat aiskrim ini. Aku tersentak tatkala laju sahaja tangan Aqel mengambil aiskrim vanila dari tanganku. Lantas menjilatnya berulangkali. Lagaknya persis peminat sejati aiskrim.
“Bagilah saya pula. Gilir-gilirlah” pintaku tidak tahan melihat Aqel tampak rakus menjilat aiskrim vanila tadi. Kurampas aiskrim vanila ini dari tangan Aqel. Aqel tergelak.
“Sedap juga aiskrim vanila ni...” ujar Aqel sudah terpikat pada aiskrim kegemaranku. 
“Itulah awak rugi dari dahulu tak nak rasa” ujarku menyedarkannya.
“Bagi saya rasa lagi...” pinta Aqel. Aku angkat kening.
“Janganlah kedekut sangat. Nanti saya beli selori aiskrim vanila untuk awak” ujar Aqel berjenaka. Aku tergelak. Tidak dapat membayangkannya. Memang Aqel mampu membeli aiskrim sebanyak itu, hanya aku yang tidak mampu menghabiskannya.
“Nah rasalah....” ujarku lantas mendekatkan aiskrim vanila ini ke bibir Aqel. Baru sahaja Aqel mahu membuka mulutnya, aku terus sahaja menyapukan aiskrim ini di luar garis bibir Aqel. Comot. Namun ketampanan Aqel sedikit pun tidak terjejas.
“Awak comotkan muka saya ye...” ujar Aqel geram. Lantas Aqel mencolek aiskrim vanila dengan telunjuknya. Laju telunjuknya mendarat di pipiku. Aku terjerit. Kemudian aku dan Aqel saling berbalas-balas menampalkan colekan aiskrim vanila mencari sasaran di pipi masing-masing. Lagak budak-budak bersukaria yang saling berbalas dendam.
Stop....!!!!” tegahku sudah tidak tahan dengan serangan bertubi-tubi Aqel. Sukar hendak menepis tangan Aqel yang lebih tangkas bertindak. Aqel tergelak menatapku.
“Cepat pergi basuh muka. Sekejap lagi kita nak makan tengah hari” ujar Aqel. Aku dan Aqel beriringan ke bilik air. Tidak selesa meleket-leket di muka. Mujur mukaku sudah dibasuh bersih. Ketika aku keluar dari bilik air ini, Aqel sedang berdiri di luar menantiku. Lantas aku mendapatkan Aqel.  
“Baru selesa....” jelasku. Aqel tersenyum.
“Saya akan ganti aiskrim vanila awak tadi” ujar Aqel berjanji.
“Janji...” ujarku meminta kepastian. Aqel mengangguk.
“Terima kasih....” ujarku teruja. Hari lain boleh merasa aiskrim vanila yang Aqel beli. Perpisahan yang bakal terjadi tidak akan menghalang aku dengan Aqel bertemu dan bersua muka lagi. Kami masih ada pertalian saudara yang tidak dapat diputuskan. Persis air yang dicencang tidak akan terputus. Mudah-mudahan tiada halangan untuk aku menemui Aqel. Aku memang mahu menjadi sahabat Aqel selama-lamanya. Sahabat yang boleh berkongsi ketawa di saat dia gembira dan berkongsi air mata di kala dia derita.
“Mari...” Aqel terus mencapai tanganku lalu melangkah seiringan. Aku dan Aqel makan di restoran yang terapung di tasik ini. Unik dan mempesonakan. Sungguh indah pemandangan di sini. Apatah lagi menikmati makanan yang lazat sambil ditemani pemuda yang tampan. Ada juga mata yang melirik mencuri pandang ke sini. Terpikat pada ketampanan Aqel. Sudah menjadi kebiasaan. Mungkin juga ada hati yang mencemburuiku kerana mendampingi pemuda tampan yang segak saat ini. Bangga. Ada kesempatan untuk merasa diri ini istimewa. Aku tersenyum sendiri.
“Masa berlalu begitu pantas...” Aqel melirik jam tangannya. Maka perpisahan itu semakin hampir. Aqel menatapku. Kiranya sekejap lagi Aqel akan melafazkan perpisahan itu secara rasmi. Aku sudah bersedia. 
“Dah puas bertemujanji hari ini?” tanya Aqel tersenyum. Aku mengangguk. Aku dan Aqel sudah berjaya menjadi pasangan kekasih yang mesra dan bahagia hari ini. Hari terakhir yang tiada garis sempadan dalam hubungan kami. Selepas ini akan wujud tembok pemisah antara aku dengan Aqel. Sempat merakam beberapa keping gambar kenangan bersama yang boleh ditatap kemudian hari nanti. Apa yang akan aku katakan jkalau anak-anakku atau cucu-cucuku kelak bertanya siapa gerangan lelaki tampan bergambar bersamaku saat ini. Mungkinkah dengan bangganya aku akan menjawab, dialah lelaki tampan yang telah menjadi suami pertamaku sebelum ayah atau datuk kamu. Mungkin juga aku hanya akan berkata bahawa lelaki ini ialah sepupuku, bapa saudara kamu kepada anak-anakku atau datuk kamu kepada cucu-cucuku.
“Awak masih bertenaga?” tanya Aqel. Aku menggeleng.
“Letih. Semalam tak dapat tidur lena” ujarku jujur. Aqel tergelak.
“Mesti awak tak boleh tidur sebab fikirkan temu janji hari ini kan...” teka Aqel. Aku senyum. Memang aku ada memikirkannya.
“Seronok tak temu janji hari ini?” tanya Aqel lagi.
“Seronok...” sahutku.
“Nak teruskan temu janji ini?” Laju aku menggeleng.
“Cepat sangat awak bosan dengan saya” ujar Aqel memberi tafsiran gelengan kepalaku.
“Saya orang yang paling sibuk. Lepas ini saya tak dapat bertemujanji macam ini dengan awak lagi” jelas Aqel. Aku tahu kerana detik perpisahan itu sudah tiba. Perpisahan yang akan menghalang aku meluangkan masa bersama Aqel lagi. Sekejap lagi Aqel akan kehilangan hak ke atasku. Aku akan dibebaskan daripada ikatan yang telah menyatukan kami selama ini. Ikatan yang tidak menghalang kami berdua-duaan di segenap pelusuk dunia ini.
“Saya letih” jelasku meningkah bicara Aqel. Aqel senyum.
“Kalau begitu... kita balik rumah sekarang” ajak Aqel lalu bangkit dari kerusi. Aku mengangguk lantas mengekori langkah Aqel yang setapak berada di depanku. Tidak berpegangan tangan lagi. Senyap. Aku dan Aqel berbicara dengan diri sendiri. Bagai orang asing yang saling tidak mengenali. Suasana bungkam ini berlanjutan sepanjang perjalanan ini. Sampai di pintu rumah, aku dan Aqel masih tidak bersuara. Lebih selesa terus berdiam diri. Tenang. Aqel yang berada di muka pintu berpaling ke arahku. Tidak jadi memijakkan kaki melewati pintu. Sekadar hendak menghantarku balik ke rumah dengan selamat. Sekejap lagi lafaz perpisahan itu diperdengarkan, maka aku dan Aqel tidak boleh tinggal sebumbung lagi. Aqel hanya boleh singgah di rumah ini sebagai sepupu jika mak atau Aziq berada di rumah ini.
“Flora...bukan... Nur Dahlia...” Aqel tersenyum sendiri membetulkan panggilan itu. Persis baru sekarang menyedari kesilapan itu. Aku bersedia mendengar Aqel melafazkan perpisahan ini. Sejak dari tadi aku menunggu dengan sabar.
“Terima kasih sebab membuatkan saya sungguh seronok dan gembira hari ini. Saya harap awak juga akan gembira. Sekalipun perasaan awak tak sama seperti yang saya rasa, awak tolonglah sembunyikan. Saya tak nak kegembiraan saya hari ini tercemar” tutur Aqel tenang. Aku mengangguk. Perpisahan ini diakhiri dengan kegembiraan Aqel sungguh menyenangkan hati. Aqel berhak berperasaan sedemikian.
“Seperti yang saya katakan semalam, hari ini hari terakhir saya keluar dengan awak sebagai sahabat saya. Saya takkan lepaskan awak kepada Haqem. Saya akan tawan hati awak” tutur Aqel tenang. Aku tergamam dan terkedu. Tindakan Aqel di luar jangkaan. Aku silap meramal keputusan Aqel. Tiada perpisahan yang berlaku antara aku dengan Aqel. Sebaliknya, Aqel mahu menawan hatiku. Aqel mahu aku mencintainya. Hubungan yang kekal dan disulami dengan cinta.
“Saya akan buat awak lupakan Haqem. Saya akan buat awak jatuh cinta pada saya. Saya cintakan awak” ujar Aqel nekad. Aku terpana. Sukar hendak percaya. Aku bukan Flora kekasih Aqel. Nama gadis itu kekal di benakku.
“Saya akan buat awak jatuh cinta pada saya” ujar Aqel bersungguh-sungguh lalu mencapai tanganku lantas menggenggamnya erat. Aku masih tergamam. Benakku memikirkan tempat Flora di hati Aqel. Semudah itukah Aqel mengalih cintanya?
 

Bau harum semerbak mewangi menyerang rongga hidungku. Mata kubuka. Aku terpana menatap sekuntum ros putih segar bersama hidangan di atas meja tepat-tepat di bawah lunjuran kakiku. Kupandang di sekitar bilik ini menjejaki kelibat Aqel. Aku bersendirian di sini. Awal Aqel menghilangkan diri. Aku bangun lantas duduk di depan meja menghadap hidangan sarapan yang Aqel sediakan ini. Yakin Aqel yang melakukan kerana hanya kami berdua sahaja yang berada di rumah ini sekarang. Terliur melihat nasi goreng yang dihias kreatif ini, mempercepatkan langkahku ke bilik air. Usai memberus gigi, mencuci dan mengelap muka, aku kembali menghadap hidangan sarapan tadi. Tidak mahu berlengah menikmatinya. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang telah melimpahkan rezeki, aku memulakan suapan pertamaku. Emm...sedap.
Detik istimewa menikmati sarapan dengan haruman wangi bunga mawar putih yang segar. Bagaikan puteri mendapat layanan yang terbaik. Aku menyedut perlahan jus epal ini. Sungguh menyegarkan. Kusedut jus epal hingga ke lantai gelas. Tidak mahu membazir. Nasi goreng yang ada mata, hidung dan mulut tersenyum tadi sudah bersih di pinggan. Tinggal pinggan kosong sahaja. Cara terbaik hendak menghargai jasa Aqel. Helah bela diri. Segan dikata selera yang rakus. Sebetulnya Aqel telah menyediakan hidangan sarapan yang lazat. Kucapai kad kecil merah yang terselit di celah tangkai bunga mawar putih ini.
‘Saya sediakan hidangan sarapan ini dengan limpahan kasih-sayang saya. Semoga awak menyukainya      Coretan tangan Aqel pada dada kad merah ini. Ada lukisan hati. Simbol perasaan sayang, kasih dan cinta manusia. Aqel dilamun cinta.

Daun pintu diketuk. Aku mengangkat muka lalu melontar pandangan ke muka pintu. Marnie tersenyum lebar melangkah masuk bersama jambangan mawar merah.
“Untuk isteri yang tercinta” ujar Marnie sambil menghulurkan jambangan bunga mawar merah ini kepadaku. Terkebil-kebil aku menatap Marnie.
“Untuk saya?” tanyaku tidak pasti. Marnie mengangguk.
“Daripada siapa?” tanyaku lagi. Kali ini Marnie mencebik.
“Suami awak siapa?” sinis suara Marnie. Aku senyum.
‘Untuk isteri yang tercinta’ Tulisan tangan Aqel yang kemas. Kalimah yang Marnie lafazkan sebentar tadi. Aku menatap Marnie yang tersenyum meleret-leret. Pasti berganda-ganda dia mahu menyakatku. Bersabarlah hati.
“Ada istimewa yang berlaku malam tadi sampai saya tengok Encik Aqel tersenyum-senyum sendiri” ujar Marnie separuh berbisik. Besar anak mataku menatap Marnie. Sensitif aku mendengar bicara itu.
“Oppss... rahsia suami isteri” tuturnya berbicara sendiri. Aku mencebik.
“Takde apa-apa istimewa yang berlaku” tingkahku memberi penjelasan. Tidak mahu Marnie salah faham. Senyuman mengusik menguntum di bibir Marnie. Nampak dia tidak percaya. Aku mendengus. Geram.
“Otak kuning macam awak ni patut dah kahwin. Risau silap tingkah memudaratkan diri” radangku menasihati Marnie. Marnie tersengih-sengih.
“Hey...saya tak fikir sejauh itulah! Nampaknya awak yang mengajak saya berfikir tentang perkara itu” Mukaku terasa panas membahang. Pasti merah merona sekarang. Malunya.
“Perkara normallah. Sudah jadi suami isteri tiada yang peliknya” Marnie masih tersengih.
“Cukup Mar” pintaku mahu Marnie menamatkan sahaja topik perbualan sensitif ini. Marnie tergelak-gelak kecil. Suka sangat menyakat aku.
“Cukup bulan nanti awak akan jadi ibu. Pasti anak awak dengan Encik Aqel comel. Baka ayah dan ibu yang kacak dan rupawan” Marnie semakin seronok menyakatku.
“Mar...” Aku menatap garang wajah Marnie. Marnie tergelak-gelak lagi. Dalam Marnie galak mengusikku, kedengaran bunyi mesej masuk ke dalam peti pesanan iPhoneku. Marnie menatapku. Ada idea tambahan hendak menggandakan usikannya kepadaku. 
“Mesti mesej cinta abang tersayang...oppa...” ujar Marnie masih mahu menyakatku. Aku mencebik. Kuabaikan mesej yang masuk itu. Tidak mahu Marnie mendapat ilham baru hendak menggandakan usikannya.
“Awak takde kerja nak buat ke?” sindirku sinis. Marnie tersenyum.
“Banyak sangat. Saya nak pergi sekarang” ujar Marnie lantas bangkit dari duduknya. Dia faham maksud tersirat di sebalik bicaraku. Mahu Marnie meninggalkan aku bersendiran di bilik ini. Namun tidak terus melangkah. Dia masih tercengat di depanku dengan sengihan yang panjang.
“Tak sabar nak lihat anak awak dengan Encik Aqel. Cepat-cepatlah ye...” ujarnya lantas cepat melarikan diri ke muka pintu tatkala melihat aku sudah mengangkat fail seakan mahu membaling ke arahnya. Laju dia menyelamatkan diri. Namun masih kedengaran sisa-sisa gelaknya.
Aku menyandarkan tubuh ke kerusi empuk ini. Kudakap kedua-dua belah tangan ke pipi. Masih terasa panas. Semua ini gara-gara kedatangan jambangan mawar merah ini yang menyebabkan Marnie seronok menyakatku. Kupandang jambangan mawar merah yang masih berada di atas meja ini. Wangian semerbak memenuhi deria bauku. Bingkas aku bangun. Jambangan mawar merah ini kuletakkan di dalam vase yang sudah lama terbiar kosong di atas kabinet fail ini. Aku tersenyum sendiri. Sudah nampak berseri.
Deringan iPhone mempercepatkan langkahku kembali ke tempat duduk. Laju tanganku mencapai beg galasku lantas mengeluarkan iPhone yang tersimpan di dalam saku beg. Panggilan daripada mak. Aku tersenyum. Terasa rindu pada mak.
“Assalamualaikum... Bila mak nak balik? Rindulah...” sapaku terus melontar pertanyaan.
“Tak jadi balik hari ini” sahut mak mengecewakanku.
“Alah...” Aku mengeluh.
“Bukan main seronoknya mak bersama rombongan lawatan sampai tak ingat nak balik” keluhku. Kedengaran tawa mak. Dia gembira dengan pelbagai aktiviti persatuan yang disertainya sejak kebelakangan ini. Sebenarnya aku pun senang hati melihat mak seronok bergiat aktif dalam persatuan. Hilang kebosanannya terperap di rumah bersendirian. Sekarang aku pula yang kebosanan sebab mak sering tiada di rumah. Tiada teman berkongsi cerita.
“Aqelkan ada. Jangan lupa masak sedap-sedap untuknya” pesan mak buat aku iri hati pada Aqel. Mak masih juga mengutamakan menantunya itu. Sayang sangat mak kepada anak teruna Mak Long itu.
“Tak payah masakpun. Aqelkan rajin di dapur. Dia yang masak untuk Lia” ujarku sambil tergelak suka. Pagi ini Aqel telah menyediakan sarapan yang lazat. Masih terasa kelazatan nasi goreng itu sehinggakan aku masih kenyang. Mak mengeluh. Tidak suka mendengar kenyataanku ini. Tetap berpegang teguh pada prinsip dirinya, tugas isteri di dapur. Pegangan hidup mak yang sekian lama dan sudah sebati dalam dirinya. Mak isteri yang serba boleh.
“Sedap Aqel masak” pujiku ikhlas.
“Mak mertua kamu kata Aqel memang pandai masak. Kamu kenalah belajar masak dengan Aqel” arah mak. Aqel tiada masa hendak mengajar aku masak makanan kesukaannya. Tidak tahupun makanan kegemaran Aqel. Setahuku dia suka sup tulang yang mak masak. Memang mak dan Aqel pasangan menantu dan mentua yang serasi. Aku tersenyum sendiri. Pernikahanku dengan Aqel ialah perkara yang paling menggembirakan mak dan Mak Long.
“Mak nak gerak sekarang ni. Nanti mak telefon lagi. Jangan lupa layan Aqel baik-baik. Assalamualaikum...” Mak sudah mematikan telefon. Aku mengeluh kecil. Cemburu pada Aqel kerana mak sangat mengutamakan kepentingannya. Terpandang mesej daripada Aqel yang belum kubaca. Kupaparkan mesej itu.
~Tak dapat makan tengah hari bersama awak. Saya ada meeting luar hari ini. Jumpa nanti      ~  Kali ini ada pula dua hati yang saling bertautan. Betulkah Aqel sedang dilamun cinta? Sebelum ini Aqel tidak pernah menghantar simbol hati ini kepadaku. Sangsi dan curiga. Betulkah Aqel telah jatuh cinta kepadaku? Aku tersentak apabila iPhone yang berada di tanganku berdering kuat. Panggilan Aqel. Lambat-lambat aku menekan panggilan diterima.
“Assalamualaikum...” sapaku.
“Kenapa tak balas mesej saya? Kenapa lambat jawab panggilan ini? Awak buat apa sekarang?” Bertalu-talu pertanyaan yang dilontarkan kepadaku.
“Awak tak suruh jawabpun mesej tu” jawabku buat-buat lurus bendul. Aqel mengeluh bingung. Aku tersenyum.
“Jawapan seterusnya...” ujar Aqel menagih jawapan pertanyaan keduanya.
“Saya jawab... biar lambat asal selamat” ujarku menambah kebingungan Aqel. Pasti berasap terbakar hatinya sekarang. Aku tersenyum sendiri membayangkan wajah putih bersih itu bertukar merah merona. Yakin ketampanannya masih terserlah. Senyuman Aqel tetap memikat dan memukau pandangan. Aqel dicipta sangat sempurna.  
“Jawapan ketiga...saya duduk di kerusi, baru lepas simpan jambangan bunga mawar kiriman awak pagi ini. Terima kasih... sekurang-kurangnya kabinet fail itu sudah nampak serinya” ujarku menyambung bicara tanpa menunggu arahan Aqel lagi. Aqel tertawa.
“Ada hidu bau wangian bunga mawar tu?” tanya Aqel lagi.
“Lupa...” balasku selamba. Kedengaran dengusan Aqel.
“Lain kali dekatkan hidung awak pada kelopak bunga itu. Biar haruman itu meresap sampai ke dasar hati awak. Nanti ada taman dalam hati awak” jelas Aqel panjang lebar. Aku tergelak sendiri. Bicara Aqel mencuit hati.
“Kenapa awak ketawa?” tanya Aqel tidak senang. Mungkin terasa aku memerlinya. Satu perubahan mendadak yang begitu ketara. Aqel sudah pandai bermain dengan kata-kata romantis.
“Tak sangka manusia sedingin salji macam awak boleh cakap macam ni” jelasku dan tertawa lagi. Aqel tersenyum sendiri.
“Tak suka dalam hati ada taman. Nanti banyak kumbang yang singgah menyapa” tambahku meluahkan ayat yang terlintas di benak. Aqel mendengus kasar.
“Awak...” tegas suara Aqel singgah di telingaku. Sudah terbayang wajah garang Aqel.
“Saya nak buat kerja sekarang. Assalamualaikum....” Kumatikan panggilan ini. Tidak sampai seminit, Aqel menelefon kembali. Kupandang sahaja skrin iPhone yang sedang menyala-nyala itu. Aku tidak mahu menjawab panggilan ini. Biar kesabaran Aqel teruji. Senyap. Lega tatkala bunyi deringan panggilan Aqel sudah tidak kedengaran lagi. Baru sahaja aku hendak menyimpan iPhone ini ke dalam saku beg galas, panggilan Aqel muncul lagi. Lantas kusimpan sahaja iPhone ini ke dalam saku  beg ini. Kutulikan telinga mendengar deringan yang berpanjangan ini. Senyap. Harap-harap selepas ini Aqel tidak akan menelefon lagi. Sesaat... seminit...sepuluh minit...setengah jam... Lega. Aqel sudah berputus asa. Tiada panggilan mahupun mesej yang dihantar Aqel lagi.
“Assalamulaikum...” sapaku di muka pintu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah yang tiada sesiapa di sini kecuali aku. Mak belum balik dari lawatan rombongan itu. Kereta Aqel tiada di garaj. Bermakna Aqel juga belum balik lagi. Aku melontar tubuh ke sofa panjang. Mahu berbaring seketika menghilangkan kepenatan. Kaku terbaring di situ. Sungguh sunyi sepi berada di dalam rumah ini. Tiada bunyi suara. Tiada kedengaran sebarang bunyi. Hanya bunyi deruan nafasku. Suasana yang mak rasakan setelah abah pergi buat selama-lamanya. Suasana yang mak alami setiap kali aku dan Aziq keluar rumah meninggalkannya bersendiran di sini. Kasihan mak. Pasti keadaan ini juga yang Mak Long alami. Kasihan Mak Long dan mak.
Benakku mula memikirkan tentang Mak Long. Kenapa Mak Long tidak memulakan hidup baru dengan lelaki lain? Adakah dia masih setia kepada suaminya seperti mak? Kalaulah kesetiaan itu masih ada, kenapa Mak Long tidak bersatu kembali dengan Pak Long? Pak Long pun hidup bersendirian sekarang. Kenapa mereka berpisah? Aqel tidak pernah bercerita tentang perkara ini. Kesedihan yang tidak mahu dikongsi. Tidak sampai hati aku hendak bertanyakan perkara ini kepada Mak Long. Alasan mak, perbezaan budaya sukar mencipta keserasian untuk memanjangkan jodoh Mak Long dengan Pak Long. Aku yakin bukan ini penyebab perpisahan itu.
Mungkin juga cinta Pak Long pernah beralih arah kepada wanita lain. Pak Long lelaki tampan dan segak. Ramai perempuan yang terpikat kepadanya. Akhirnya Pak Long tewas pada dugaan yang mendatang. Mak Long kecewa lalu membawa diri. Mungkin inilah rentetan perpisahan mereka. Oh... tidak patut aku berprasangka buruk kepada Pak Long! Dia lelaki yang setia pada cintanya. Buktinya sampai sekarang tiada pengganti Mak Long. Pak Long masih hidup bersendirian. Aku teruja memikirkan punca perpisahan mereka. Dalam aku terkebil-kebil berfikir, jam sudah berganjak ke pukul 6.00 petang. Bingkas aku bangun lalu melangkah ke bilik. Usai mandi dan menyiapkan diri, aku melangkah ke dapur. Mahu menyiapkan hidangan makan malam untuk Aqel. Pesanan mak sentiasa dalam ingatan.
Jam melewati pukul 9.00 malam. Aku sudah menguap beberapa kali. Mula terasa mengantuk. Aqel belum balik lagi. Mesej yang kuterima daripadanya pukul 7 tadi  mengatakan masih ada hal yang perlu diselesaikan. Aku menguap lagi. Sudah tidak dapat ditahan-tahan mata yang hendak terlelap ini. Tidak dapat hendak terus menunggu kepulangan Aqel. Lantas kutulis pesanan ringkas pada kertas memo ini memintanya menikmati hidangan malam yang sudah kuhidangkan di meja makan lalu kutampal di dada cermin solek ini. Sudut strategik yang mudah dinampak oleh Aqel. Aku bangkit dari kerusi dan mendekati katil. Aku terus merebahkan tubuh ke atas tilam empuk ini. Selesa. Tidak dapat diangkat kelopak mata ini lagi. Lenapun menjengah diri.
Bau haruman dunhill menyerang rongga hidungku. Tubuhku dipeluk. Aku membuka mata. Tangan Aqel sudah terkunci di pinggangku. Terasa pipi Aqel bersentuhan dengan belakangku. Aqel dekat denganku. Perlahan-lahan aku cuba meleraikan pelukan tangan Aqel di tubuhku. Namun tangan Aqel terkunci padu. Tidak mudah hendak dipisahkan dari tubuhku.
“Biarkan saya peluk awak malam ni. Saya nak tidur sambil peluk awak...” sayup-sayup suara Aqel berbisik. Aku tersentak. Rupa-rupanya Aqel tersedar atau belum tidur lagi. Terasa Aqel mengeratkan dakapan pelukannya di tubuhku. Aku kaku. Statik dan tidak bergerak-gerak lagi. Tidak juga berpaling ke arah Aqel untuk bertentang mata dengannya. Kekok. Segan juga hendak menatap wajah Aqel.
“Selesanya... Terima kasih” suara Aqel kedengaran lagi. Dia gembira kerana tiada penolakan atas permintaannya ini. Terasa hangat deruan nafas Aqel.
“Awak dah makan?” tanyaku tatkala terpandang pada memo yang kutampal di cermin solek itu. Tidak sedar pukul berada Aqel berada di bilik ini. Sedar-sedar dia sudah berada terlalu dekat denganku.
“Sudah. Sedap...saya makan banyak tadi. Terima kasih” puji Aqel menghargai. Aku tersenyum. Bangga kerana hidangan malam yang kusediakan menyelerakan Aqel. Dia tidak mensia-siakan usahaku. Aku cuba melelapkan mata kembali. Sukar hendak lena semula. Pelukan tangan Aqel memaksa aku menahan rentak nafasku.
“Relaks...Bernafas macam biasa” bisik Aqel mengerti kesukaran yang kualami saat ini. Posisi tubuh yang buat aku tidak bebas bergerak.
“Awak tak tidur lagi?” tanya Aqel masih mahu berbual denganku.
“Belum...” sahutku.
“Kenapa?” tanyanya. Jawapan yang sudah diketahuinya.
“Terasa kekok...” terus terangku. Aqel tergelak kecil.
“Saya mahu peluk awak sepanjang malam ni...” bisik Aqel tidak mahu melepaskan tubuhku. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Dalam posisi sedemikian mana mungkin aku boleh tidur lagi. Nampaknya terpaksalah aku berjaga sepanjang malam ini.
“Saya banyak berfikir hari ini” jelasku.
“Fikirkan apa?” tanya Aqel. Inikah waktu yang paling sesuai untuk aku tanyakan perkara itu kepada Aqel? Mahukah Aqel menjawabnya nanti? Kalau aku tidak mencuba aku tidak akan tahu reaksi Aqel sama ada memdapat penjelasan ataupun dia terus mahu berdiam diri.
“Saya nak tanya awak sesuatu. Awak boleh beri jawapannya?” tanyaku tidak dapat menahan keinginan melonjak-lonjak mahu mencari jawapan pada perkara yang kufikirkan petang tadi. Lama aku berfikir namun jawapan tidak kutemui. Jawapan persoalan ini hanya ada pada Aqel, Mak Long dan Pak Long. Hanya mereka sahaja yang mengetahui perkara ini.
“Awak tanyalah” arah Aqel persis bersedia hendak berkongsi cerita. Aku menarik nafas panjang. Harap-harap pertanyaanku ini tidak akan membangkitkan kesedihan Aqel. Aqel membesar tanpa kehadiran ayah. Sudah sekian lama Aqel menerima perpisahan ibu bapanya. Aqel sudah biasa hidup bersendirian. Alasan-alasan ini kurasakan membolehkan aku mengutarakan pertanyaan ini kepada Aqel.
“Kenapa ibu bapa awak berpisah?” Aku berhati-hati bertanya perkara ini kepada Aqel. Bimbang juga menyinggung perasaan Aqel. Senyap. Aqel tidak terus memberikan jawapannya. Aku masih menunggu. Aqel perlukan sedikit masa.
“Kerana Flora...” sayup-sayup kedengaran suara Aqel memberikan jawapan. Aku terkedu mendengar nama gadis itu. Gadis misteri yang sukar hendak dijejaki identiti dirinya. Aku hanya tahu gadis itu ialah kekasih hati Aqel.
“Flora...” nama gadis ini meniti di bibirku. Aku mengharapkan Aqel akan memberikan penjelasan lanjut tentang perkara ini. Aku mahu Aqel menyambung cerita ini. Namun Aqel masih senyap. Senyap yang mendera perasaan ingin tahuku. Aku teruja hendak mengetahui cerita lengkapnya. Aku berharap Aqel akan menyudahkan cerita ini. Hampa tatkala aku mendengar dengkuran Aqel. Dia sudah tidur. Cerita ini masih tergantung. Nampaknya Aqel masih mahu berahsia tentang Flora.