BAB 63
“Saya tinggalkan Flora dengan awak di sini ye. Saya ada
hal sekejap lagi” tutur Aqel mengejutkan aku. Haqem mengangguk dan tersenyum.
Tanpa sebarang bicara Aqel meninggalkan aku yang terkebil – kebil memerhatikan
langkahnya ke kaunter pembayaran kemudian berlalu ke pintu utama. Langsung
tidak menoleh – noleh lagi. Sungguh terasa diri ini tidak bernilai kepada Aqel.
Sedikit rasa terkilan menyelinap dalam diri.
“Lepas ni nak pergi mana?” ujar Haqem mengajukan
pertanyaan.
“Balik office”
jawabku ringkas dan padat. Tempat itulah yang sepatutnya dituju sebaik sahaja
usai menikmati hidangan tengah hari ini. Lagipun tidak selesa berdua – duaan
dengan Haqem tika ini biarpun dengan izin Aqel dan berada di tempat umum. Laju
Haqem menggeleng. Dia tersenyum lagi. Sudah ada agenda tersendiri yang
dirancangnya.
“Kita nak jumpa seseorang” tutur Haqem berahsia.
Kupandang Haqem. Sedikit mendebarkanku. Mustahil Haqem akan mempertemukan aku
dengan Datin Sofea. Tidak mungkin juga Haqem mahu aku bersua muka dan beramah
mesra dengan Bella. Semua itu tidak akan berlaku.
“Dah habis makan?” soal Haqem tatkala melihat aku
termenung jauh dan tidak menyentuh hidangan di atas meja lagi. Aku mengangguk.
“Mari....” ajak Haqem mendahului langkahku. Aku bangkit
dari kerusi ini dengan hati yang berat. Timbul pula rasa marah kepada Aqel.
Tidak patut dia meninggalkan aku bersama Haqem. Rasa menyesal pula kerana
begitu mudah menerima pelawaan Aqel makan tengah hari bersama mereka. Salahku
juga. Aku melepaskan keluhan kecil. Memaksa diri ikut serta dengan agenda yang
telah dirancang oleh Haqem.
Haqem menguak pintu kereta mempersilakan aku masuk.
Memang sudah menjadi tabiatnya. Berbeza dengan Aqel yang lebih banyak membiarkan
aku melakukannya sendiri. Aqel hanya akan melakukannya jika aku enggan menjadi
penumpangnya. Pasti saat itu aku dengan Aqel sedang bergaduh. Aqel bukan lelaki
romantik. Aku tersenyum sendiri. Duduk di sebelah Haqem di dalam kereta ini terasa
kaku pula. Janggal hendak berbual panjang dengan Haqem. Maka aku hanya
mendiamkan diri. Pandanganku terarah
pada buku di atas dashboard di depan
pemandu. Bermakna buku itu statik di depan mata Haqem.
“Patutlah setiap hari Haqem tengok buku itu. Ke mana –
mana saja dia bawa buku itu. Dia langsung tak mahu berenggang dengan buku itu.
Bermakna Haqem sentiasa merindui dan mengingati awak. Mungkin sebab ini juga
hati awak tak pernah tenang” suara Aqel berbisik di telingaku.
“Awak mahu
berpisah dengan Haqem, tapi dalam masa yang sama awak berikan harapan padanya.
Haqem tak pernah berputus asa nak dapatkan awak kembali” suara Aqel masih
kedengaran di telingaku.
“Awak tahu sebab Haqem masih menaruh harapan pada awak?” suara
Aqel lagi.
“Dalam hati awak masih ada Haqem. Bayangan Haqem sentiasa
bersama awak” suara Aqel bermain – main di halwa pendengaranku. Pandanganku
masih terikat pada buku itu. Maka kenangan lalu bertandang di benakku.
“Awak tulis
sesuatu untuk saya” pintaku sambil membuka halaman kosong untuk diisi oleh Haqem.
Haqem tersenyum, lantas mencoret sesuatu.
“Awak sentiasa dalam ingatan saya” Aku membunyikan
tulisan tangan Haqem itu. Tersentuh hatiku. Kalimah yang sangat bermakna buatku.
“Hey.... Macam tak sesuai saja... rasa macam nak berpisah
pula” ujar Haqem.
“Awak tulis sesuatu untuk saya pula” pinta Haqem.
“Bersama awak adalah memori terindah saya” suara Haqem
membunyikan ayat yang kutulis.
“Saya tak nak jadi memori awak. Saya nak bersama awak
sepanjang hayat saya. Awak tulis semula” pinta Haqem. Aku enggan dan menolak
permintaan Haqem tika itu. Memang itu kalimah yang paling sesuai kucoretkan
buat Haqem. Hari terakhir aku bersama Haqem sebelum berpisah dengannya. Kali
ini aku yang meninggalkan Haqem.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini. Setiap
kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” pesanku memaksa diri
tersenyum.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini.
Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” suara Aqel
mencelah lamunanku. Aku tersentak.
“Kenapa Lia?” Aku berpaling. Aqel tidak berada di sini. Haqem
memandangku sekilas. Kemudian fokus pada pemanduannya. Aku masih diam.
“Saya masih simpan dengan baik buku yang awak hadiahkan
kepada saya dulu” suara Haqem memberi penjelasan. Dia seakan mengerti dengan
pandangan mataku.
“Malah buku ini sentiasa bersama saya” tambah Haqem
berbicara. Senyap lagi. Aku kematian akal. Tidak tahu apa yang harus aku
tuturkan kepada Haqem.
“Saya tak nak jadi memori awak. Saya nak bersama awak
sepanjang hayat saya” Haqem mengulangi bicaranya itu. Kutatap Haqem.
“Saya benar – benar serius” tegas Haqem. Aku terkedu.
Haqem seakan sudah lupa yang dia sedang meluahkan perasaannya kepada isteri
sahabat baiknya.
“Aqel bukan penghalang untuk kita bersama semula. Aqel begitu
pentingkan kebahagiaan awak” tutur Haqem begitu yakin. Aku masih membisu.
Berdosalah aku jika memberikan harapan kepada Haqem. Namun bicara Haqem ini
membuatkan aku berfikir panjang.
“Mari....” Aku tersentak. Haqem sedang membongkokkan
tubuhnya menjenguk aku yang masih duduk di kerusi penumpang ini. Lamanya aku
berfikir. Langsung tidak menyedari kereta ini sudah sampai ke destinasinya. Aku
bergegas keluar dari kereta. Kemudian berdiri di sebelah Haqem.
“Kita masuk dalam” ajak Haqem. Aku mengiringi langkah
Haqem memasuki pusat membeli belah ini. Sedikit debaran kurasakan tatkala
mengingati gerangan insan yang bakal dipertemukan denganku. Akalku tidak dapat
meneka siapakah gerangannya. Namun aku begitu yakin bukan Datin Sofea mahupun
Bella yang mahu kami temui. Langkah kami mati di ruang legar ini. Mata Haqem
melilau – lilau persis sedang mencari insan yang mahu dipertemukan denganku.
Haqem mengeluarkan iPhone dari saku seluarnya. Lantas membuat panggilan. Aku
masih setia berdiri di sisinya sambil memerhatikan manusia yang lalu – lalang
di pusat membeli – belah mewah ini tanpa menghiraukan dengan siapa Haqem
berbual sekarang.
“Kita duduk di situ” ajak Haqem sambil menunding jari ke
arah bangku kayu di tepi dinding itu. Bangku khas yang disediakan oleh pemilik
premis ini buat para pengunjung beristerehat menghilangkan kepenatan dan tempat
seseorang bersantai menantikan temujanjinya berlangsung. Aku mengekori langkah
Haqem lalu melabuhkan duduk di bangku kayu ini dengan menjarakkan diri daripada
Haqem. Membiarkan ruang di tengah – tengah kerusi ini kosong. Biarlah menjadi sempadan
antara aku dengan Haqem.
“Awak tak selesa bersama saya?” soal Haqem sambil
berpaling ke arahku. Aku menatap Haqem sekilas. Kemudian mengalih pandanganku
ke hadapan, memerhatikan manusia yang lalu – lalang dengan pelbagai ragam dan
kerenah.
“Mengapa Aqel tinggalkan saya dengan awak?” meluncur laju
pertanyaan ini terbit dari mulutku. Kupandang Haqem. Tiada tanda – tanda Haqem
mahu membuka mulut hendak menjawab pertanyaanku ini.
“Mengapa Aqel begitu yakin awak akan membahagiakan saya?”
satu pertanyaan lagi kulontar kepada Haqem.
“Sebab saya sangat mencintai awak. Awak ialah kekasih
pertama dan kekasih terakhir saya. Tidak akan ada yang lain” sahut Haqem
serius.
“Walau banyak sangat halangan yang saya tempuhi selama
ini tapi saya yakin kita masih ada jodoh hidup bersama” tambah Haqem berbicara.
Keyakinan Haqem begitu tinggi. Mesti Aqel telah menjanjikan sesuatu kepadanya.
“Setelah Aqel lepaskan awak.... awak sudi menerima saya
kembali?” soal Haqem. Aku terkedu. Kali ini Haqem berbicara dengan jelas tanpa
sebarang sekatan dan halangan. Haqem menatapku menanti jawapanku. Aku hanya
mampu membalas pandangan Haqem dengan mulut yang terkunci.
“Pak Usu.....!” Ada suara kecil melaung. Serentak aku dan
Haqem mengalih pandangan ke arah suara itu. Seorang budak lelaki lingkungan
usia 4 tahun sedang berlari ke arah kami. Bingkas Haqem bangun dengan senyuman
lebar menyambut kedatangan budak lelaki itu. Sekelip mata sahaja budak kecil
itu sudah berada dalam pelukan Haqem. Seketika budak kecil itu dengan manjanya
berada dalam pelukan Haqem. Beberapa kucupan singgah di pipi Haqem. Betapa dia
menyayangi Haqem. Haqem bakal menjadi ayah yang penyayang.
“Maaf. Dah lama tunggu?” Aku menggeleng. Bingkas aku bangun
lalu menghulurkan tangan. Tanganku dengan tangan Harianie bertaut seketika.
“Idlan.... mari sini” panggil Harianie kepada budak
lelaki yang masih berpegangan tangan dengan Haqem. Dia mendekati ibunya.
“Salam dengan auntie
Lia” arah Harianie. Dia patuh pada bicara ibunya biarpun nampak malu – malu. Tangan
comelnya memaut tanganku lantas menciumnya.
“Nama adik siapa?” soalku ingin tahu.
“Idlan Raid bin Adam Shahrulnizam” sahutnya petah
membentangkan nama penuhnya.
“Wah, cantiknya nama secomel orangnya!” pujiku
mengusiknya sambil mencuit pipi gebunya. Idlan tersenyum suka mendengar
pujianku. Anak buah Haqem sungguh comel. Dewasa kelak akan menyaingi ketampanan
bapa saudaranya ini. Harianie dan Haqem hanya tersenyum memerhatikan perkenalan
kami.
“Apa plan
seterusnya?” soal Harianie sambil menatap Haqem.
“Kita serahkan kepada Tuan Muda yang diraikan” balas
Haqem buat aku tercengang – cengang. Idlan tersenyum – senyum.
“Nak tengok animasi” ujar Idlan. Haqem mengangguk.
Harianie geleng – geleng kepala. Namun senyuman terukir di bibirnya. Sukar
hendak menolak permintaan permata hatinya.
“Hari ini hari jadi Idlan?” soalku menuntut penjelasan
lanjut. Laju Idlan mengangguk.
“Oh..... sorry
auntie Lia tak tahupun. Auntie Lia
tak ada hadiah untuk Idlan sekarang” ujarku kesal kerana terlewat
mengetahuinya. Timbul rasa bersalah. Sempat juga aku menjeling Haqem kerana
tidak memaklumkan perkara ini kepadaku. Kalau tidak pasti aku akan membelikan
sesuatu buat Idlan. Haqem tersenyum menerima jelinganku. Pasti dia mengerti.
“Tapi auntie Lia
janji akan belikan Idlan hadiah nanti. Happy
brithday Idlan. Semoga menjadi anak yang soleh dan sentiasa diberkati
Allah, panjang umur dan dimurahkan rezeki. Semoga juga bertambah – tambah
comel” doaku sambil sempat mengusiknya. Idlan tertawa kecil.
“Terima kasih, auntie
Lia” balas Idlan menambah kecomelan dirinya buat aku bertambah geram
menatapnya dan iri hati kepada Haqem kerana memiliki anak buah secomel ini.
Betapa bertuahnya Harianie dianugerahkan Allah permata hati sesempurna
ciptaNya.
“Comelnya awak...” tanganku terus sahaja mendarat di pipi
gebu Idlan. Mencuit lembut pipinya, melepaskan perasaan geram melihat kepetahannya
berbicara. Idlan memang anak yang pintar dan bijak.
Perkara yang dijanjikan, kami menemani Idlan menonton
tayangan animasi di pawagam setelah sekian lama aku tidak menjejakkan kaki ke
tempat seperti ini. Terimbau kenangan lalu. Ketika di universiti, aku dan Haqem
akan mengisi hujung minggu kami dengan menonton tayangan filem di pawagam. Cara
mudah hendak mensirnakan tekanan belajar. Sudah pasti filem komedi yang menjadi
pilihan. Gelak ketawa terbukti mujarab menghilangkan stress itu. Seingatku
tidak pernah aku dan Haqem menonton tayangan pawagam yang berunsurkan
percintaan sang kekasih. Tidak berminat cerita sedemikian. Yang mencuit hatiku,
Haqem tidak mahu perwatakan hero mempengaruhinya. Maka semula jadinya Haqem
telah menjadi kekasih yang romantik.
Kulontar pandangan ke arah Haqem. Dia begitu setia
melayan kerenah Idlan. Nampak budak itu begitu manja dengannya. Terlintas di benakku,
di mana ayah Idlan? Sudah berpisahkah Harianie dengan suaminya? Sungguh
menghairankan lelaki itu tidak bersama Harianie dan Idlan pada hari yang
istimewa ini. Mana anak – anak yang lain? Adakah Idlan putera tunggal Harianie?
Banyak sangat persoalan yang bermain di benakku. Aku musykil.
“Akak nak keluar. Nak ikut tak?” bisik Harianie sambil
mencuitku. Aku tersentak. Laju aku menggangguk. Sebelum pergi Harianie mencuit
lengan Haqem pula lantas menggunakan bahasa isyarat memaklumkan tentang
keberangkatan kami. Haqem mengangguk dan membiarkan aku pergi bersama Harianie.
“Akak tak tahan sejuk” keluh Harianie sambil menemukan
telapak tangan kanan dengan telapak tangan kirinya. Bibirnya bergetar.
“Eeee..... sejuknya...” keluh Harianie dengan suara yang
bergetar. Harianie mengajak aku minum kopi panas di kafeteria bersebelahan
dengan pawagam ini.
“Oh.... nikmatnya” tutur Harianie selepas menyedut
perlahan – lahan air kopi berasap di cawan. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya
yang bersahaja ini. Sikapnya sangat berbeza dengan kebanyakan perempuan kaya
yang terlalu beretika.
“Walaupun akak dah lama tinggal di luar negara tapi masih
juga tak tahan dengan sejuk” tuturnya tanpa berselindung. Aku tersenyum
mendengarnya dan mengharapkan Harianie akan terus bercerita panjang.
“Akak terhutang budi pada Lia” tutur Harianie sambil
menatapku. Dahiku berkerut. Tidak mengerti maksud bicaranya ini. Tiada budi dan
jasa yang aku taburkan buat keluarganya, jauh sekali untuk dirinya sehingga
membuatkan Harianie berperasaan sedemikian.
“Kehadiran kamu hari ini lebih menggembirakan Idlan. Dia
nampak seronok sangat berkenalan dengan kamu. Akak benar – benar menghargainya”
tutur Harianie bersungguh – sungguh. Seolah – olah ada kedukaan yang
terselindung di sebalik keceriaan Harianie.
“Apa yang telah berlaku kak?” soalku sudah bersedia mahu berkongsi
cerita duka dengannya. Mungkin Harianie perlu seseorang untuk berkongsi
kedukaan dan kesedihan yang tersimpan dalam dirinya selama ini.
“Idlan sangat perlukan Haqem sebagai tempat bermanja
menggantikan ayahnya” jelas Harianie. Senyap. Harianie persis sedang mengumpul
kekuatan diri. Apa yang telah berlaku? Harianie telah berpisah dengan suaminya?
Pasti perpisahan ini membahagiakan Datin Sofea lantaran pilihan hati Harianie
tidak direstuinya. Bertambah berkuasa Datin Sofea merasakan dirinya. Datin
Sofea pasti memperli Harianie dengan sinis. Perempuan itu tidak akan ada belas
kasihan kepada sesiapa yang menentang keinginannya biarpun Harianie ialah
zuriatnya sendiri. Aku berisytigfar beberapa kali. Cuba tidak bersyakwasangka
buruk kepada Datin Sofea.
“Ayah Idlan mana kak?” soalku berhati – hati. Keinginan
memecahkan kemusykilan diri tidak mampu menahan aku daripada mengutarakan
pertanyaan ini.
“Setahun lalu terlibat dalam kemalangan maut” jelas
Harianie. Senyap. Wajah Harianie mendung. Jelasnya firasatku tidak tepat. Maut
telah memisahkan Harianie dengan suaminya.
“Maafkan saya kak....” ujarku rasa bersalah kerana telah
membangkitkan kesedihannya. Harianie menggeleng – geleng. Dia senyum. Namun
senyuman itu tampak hambar.
“Menambah kepiluan akak bila dua orang anak perempuan
akak terlibat dalam kemalangan itu. Suami dan anak – anak meninggal di tempat
kejadian. Sungguh besar ujian yang Allah berikan kepada akak” tutur Harianie
dengan anak mata yang berkaca – kaca. Aku merasakan kepiluan yang ditanggungnya
itu. Betapa tabahnya perempuan ini. Kuusap lembut bahu Harianie.
“Allah sangat menyayangi akak sebab itu Dia uji akak
sedemikian. Sesungguhnya, Allah tak akan menguji di luar kemampuan hambaNya”
pujukku. Harnianie mengangguk dan tersenyum.
“Berbekalkan keyakinan itulah akak meneruskan hidup ini.
Idlan perlukan akak. Akak mesti tabah. Keinginan memulakan hidup baru
menyebabkan akak kembali ke negara ini. Akak ada keluarga dan kawan – kawan di
sini yang sentiasa memberi sokongan. Idlan pun nampak lebih seronok dan gembira
tinggal di sini dengan adanya Haqem” jelas Harianie menerima qada dan qadar
Allah dengan tenang. Alhamdulillah. Harianie berjaya melepasi ujian Ilahi. ‘Ya
Allah berikanlah aku kekuatan yang luar biasa persis Harianie agar aku mampu
harungi setiap rintangan yang mendatang.’
“Maaf kak, boleh saya tanya sesuatu?” tanyaku meminta
keizinan. Harianie tersenyum dan mengangguk.
“Bagaimana penerimaan Datin Sofea?” soalku berhati –
hati. Harianie terus sahaja tergelak. Pertanyaanku ini mencuit hatinya.
Wajahnya kembali ceria.
“Nama Datin Sofea pasti telah menjadi mimpi ngeri awak.
Dia memang tiada belas kasihan kepada orang yang tak disukainya. Awak jangan
pula ambil hati dengan kata – kata akak” tutur Harianie tanpa berselindung. Aku
menggeleng. Memang itulah kebenarannya. Datin Sofea tidak pernah menyukai aku.
Dia tidak akan berbaik – baik denganku.
“Walaupun akak tak pernah menjejakkan kaki ke rumah itu
lagi namun pertalian darah ini takkan
dapat dibohongi. Walau sekeras manapun hatinya dan seberapa banyak dia
menafikan pertalian darah yang wujud, Datin Sofea tetap ibu kandung akak. Fakta
ini takkan dapat diubah” ujar Harianie tenang menimbulkan kekagumanku
kepadanya. Sungguh murni hati Harianie.
“Saya betul – betul kagum dengan ketabahan akak” pujiku
jujur. Harianie tersenyum.
“Dugaan dan ujian hidup akan membina kekuatan diri
seseorang” ujar Harianie merendah diri. Mudah –mudahan aku setabah Harianie.
Dia mampu hidup bahagia biarpun insan yang dicintai sudah tiada di sisinya
lagi. Satu peringatan penting buatku, usah meletakkan cinta di hati pada
seseorang melebihi cinta kepada Allah.
“Mana Aqel? Mengapa dia tak ikut sama?”Dua persoalan ini
mengunci mulutku. Pertama, aku tidak tahu di mana Aqel berada sekarang. Kedua,
sungguh aku tidak mengetahui urusan apa yang mahu Aqel bereskan persis yang
dibicarakan tadi. Aqel ada urusan lalu meninggalkan aku bersama Haqem.
“Aqel amanahkan Lia pada saya” satu suara mencelah.
Serentak aku dan Harianie berpaling. Haqem dan Idlan sedang tersenyum.
“Oh.... anak comel mama dah datang! Seronok?” tanya
Harianie. Idlan tersenyum lebar dan mengangguk. Kepuasan terpamer di wajahnya.
“So dah boleh balik sekarang. Dah lewat ni. Kasihan auntie Lia, mesti keletihan temankan
Idlan” tutur Harianie. Aku hanya senyum.
“Kita belum pergi kedai buku lagi, nak beli buku. Nak
makan aiskrim dan gula – gula kapas.... nak beli kereta lumba. Lepas tu nak
pergi taman tema, nak main puas – puas” ujar Idlan lancar menyenaraikan agenda
selanjutnya.
“Aduhai...... banyaknya!” Besar anak mata Harnianie
menatap wajah puteranya. Aku dan Haqem tergelak. Idlan tersengih panjang.
“Siapa nak bayar semua ni?” soal Harianie mengusik
anaknya.
“Pak Usu dah janji tadi nak belanja Idlan” sahut Idlan
petah. Sekali lagi aku dan Haqem tergelak. Harianie geleng kepala. Kemudian
turut tersenyum.
“Jangan manjakan sangat budak tu” tegur Harianie memberi
peringatan kepada Haqem. Haqem hanya tersenyum.
“Auntie Lia
mesti ikut sama tau” tutur Idlan memberi peringatan kepadaku. Aku jadi serba
salah. Tidak sampai hati hendak menghampakan permintaannya. Apatah lagi hari
ini merupakan hari istimewa buat Idlan. Mungkin juga hari jadi pertamanya tanpa
kehadiran ayah dan kakak – kakak yang disayanginya. Kasihan Idlan. Pasti anak
kecil ini kesunyian. Sayu dan pilu menyelubungiku. Nampaknya aku dan Idlan
mengalami nasib yang sama tidak berayah.
“Auntie Lia bolehlah.....” rayunya sambil menatap
sayu wajahku.
“Auntie Lia dah
letih ni. Lagipun auntie Lia tak
boleh balik lewat. Nanti Uncle Aqel marah”
ujar Harianie mencelah dan cuba memujuk Idlan agar mengerti.
“Uncle Aqel?”
Terpamer persoalan di wajah Idlan. Sebaris nama lelaki ini pasti mengundang
kehairanan dirinya. Idlan berpaling menatap Haqem. Seketika kedua – duanya
saling berpandangan. Berkomunikasi tanpa suara. Aku dan Harianie sekadar
memerhati. Terdetik kehairanan melihat reaksi kedua – dua lelaki ini. Bagai ada
perkongsian maklumat antara mereka. Persis aku pula yang tersilap bicara.
“Apa halnya?” soal Harianie turut berasa aneh dengan
perlakuan Haqem dengan Idlan. Laju Haqem meletakkan jari telunjuknya di bibir,
memberi isyarat agar Idlan berdiam. Ada perkara yang mereka rahsiakan.
“Takde.....” sahut Idlan sambil tersengih panjang.
Harianie mencebik bibir.
“Nak tunggu apa lagi..... marilah.......” ajak Haqem
mencapai tangan anak buah kesayangannya lantas memulakan langkah. Aku dan
Harianie belum berganjak lagi. Hanya memerhatikan gelagat mereka. Langkah Haqem
dan Idlan terhenti. Mereka berpaling. Idlan terus sahaja meleraikan pautan
tangannya daripada tangan Haqem. Dia melangkah ke arahku.
“Mak Usu mari kita
pergi.....” ajak Idlan. Aku terkedu. Tanganku dipaut lantas menarikku
mengiringi langkahnya. Aku hanya terkebil – kebil mengikut gerak langkah Idlan
mendapatkan Haqem. Lantas menghulurkan tangan kanannya kepada Haqem sementara
tangan kirinya masih berpaut di tanganku.
“Mari.......” ajak Idlan dengan senyuman yang lebar. Aku
dan Haqem berpandangan. Ada senyuman terukir di bibir Haqem. Idlan mengorak
langkahnya sambil berpegangan tangan denganku dan dengan Haqem. Nampak dia
sungguh gembira. Harianie berjalan di belakang mengekori langkah kami dengan
senyuman.
“Keluarga sempurna......kalaulah mama merestui hubungan
kalian....” bisik suara hati Harianie. Keluhannya tercetus. Betapa dia
bersimpati kepada Haqem.
Usai mengunjungi kedai buku dan mendapatkan beberapa buah
buku untuk Idlan, kami bergerak ke Snow Sweet mahu menikmati aiskrim. Idlan
dan Harianie sepakat memilih aiskrim perisa coklat. Aku belum sempat membuka
mulut, aiskrim vanila sudah diletakkan di depanku. Kali ini pilihan Haqem
tepat. Dia mula ingat yang aku memang sukakan aiskrim vanila. Sementara Haqem
hanya jadi pemerhati kerana dia tidak gemar makan aiskrim. Hajat Idlan
seterusnya adalah mendapatkan gula – gula kapas. Berpusing – pusing di pusat
membeli belah ini namun tidak ditemui benda yang dihajati. Akhirnya Haqem
mengarahkan aku, Harianie dan Idlan duduk di bangku kayu ini menunggu
kemunculannya kembali. Haqem menghilang seketika.
Masa yang terluang bersama Harianie dengan Idlan, memberi
kesempatan kepadaku untuk lebih mengenali dua beranak ini. Idlan sudah tidak
malu – malu denganku lagi. Banyak cerita juga yang dikongsinya bersamaku. Harianie
hanya tersenyum panjang menyaksikan gelagat dan telatah anaknya ini. Tatkala
teringat pada gula –gula kapas, Idlan terus muram. Bimbang hajat hati tidak
tertunai. Aku dan Harianie cuba memujuknya. Namun Idlan tidak mudah termakan
pujukan. Tidak dapat aku bayangkan
betapa kecewanya Idlan jika Haqem gagal mendapatkan gula – gula kapas tersebut.
Naluri anak kecil memang mudah terusik. Mudah – mudahan Haqem berjaya
mendapatkannya. Tidak tega melihat Idlan kecewa. Setelah hampir setengah jam
menunggu Haqem, akhirnya Haqem muncul dengan senyuman. Lega rasanya tatkala
menatap gula – gula kapas biru berada di tangan Haqem. Kali ini barulah dapat
melihat senyuman Idlan.
Destinasi seterusnya, kami singgah di premis CahayamataKu.
Di sini ada pelbagai jenis barangan mainan kanak – kanak lelaki dan perempuan
mengikut kesesuaian umur. Terpikat pada barangan mainan kanak – kanak perempuan
yang tampak comel – comel belaka. Set alat dapur, set alat persolekan, set
barbie dengan pakaian pelbagai fesyen yang berwarna warni dan bermacam – macam
alat permainan kanak – kanak perempuan dijual di sini. Semuanya memikat
pandangan mata pengunjung. Kulihat Haqem begitu setia dan sabar melayan kerenah
Idlan. Mereka bersama –sama memilih model kereta kawalan jauh ditemani oleh
Harianie. Nampak mereka sangat rapat. Aku masih berlegar – legar di bahagian
alat permainan kanak – kanak perempuan ini. Alat permainan yang comel – comel
ini buat aku leka seketika.
“Pasti seronok kalau dapat anak perempuankan” tegur suara
lelaki. Aku berpaling. Haqem sudah berada di sebelahku sedang tersenyum. Aku
mengangguk.
“Nanti awak belilah set alat solek ini untuk anak perempuan
awak” ujarku. Haqem tersenyum lagi.
“Tak payah ajar dia guna alat solek sebab dia dah cantik semula
jadi macam awak” sahut Haqem buat aku terkedu. Kupandang Haqem. Mohon
penjelasan lebih terperinci pada bicaranya yang penuh tersirat itu. Namun Haqem
hanya tersenyum. Tidak mahu berdua – duaan dengan Haqem, aku mendapatkan
Harianie dan Idlan. Haqem mengiringi langkahku. Nampaknya Idlan belum mahu
meninggalkan premis ini. Belum puas. Barangkali juga mahu menambah belian. Aku
tersenyum sendiri. Nampaknya hari ini Haqem berbelanja besar. Kesimpulannya, banyak
masa dihabiskan di CahayamataKu.
“Dah lewat ni. Kita balik sekarang” ajak Harianie.
“Tapi Idlan belum pergi taman tema lagi” sahut Idlan
dengan wajah yang masam. Harianie menggeleng kepala.
“Auntie Lia dah
penat. Auntie Lia mesti balik rumah
sekarang” jelas Harianie memberi penjelasan. Nampak dia rasa bersalah kepadaku
lantas memberi isyarat agar aku menyokong bicaranya itu. Aku mengangguk
mengiyakan bicara Harianie.
“Kita balik rumah ye..... Hari lain kita pergi taman tema.
Sekarang dah lewat” ujarku memujuk Idlan. Idlan menatapku.
“Tapi Mak Usu janji akan temankan Idlan pergi taman tema
dengan Pak Usu dan mama” pinta Idlan memberi syarat.
“Mak Usu?” Berkerut dahi Harianie. Kupandang Haqem yang
hanya bersahaja. Tidak selesa aku dipanggil sedemikian.
“Janji ye.....” pinta Idlan mahukan kepastian daripadaku.
Aku mengangguk. Idlan senyum. Begitu juga dengan Haqem. Harianie geleng kepala
lagi.
“Kita balik sekarang.....” ajak Idlan seraya menarik
tangan Haqem memulakan langkah. Harianie menatapku. Aku hanya senyum.
“Minta maaflah menyusahkan kamu, Lia” ujar Harianie rasa
bersalah. Aku geleng kepala.
“Seronok juga hari ini dapat temankan Idlan” ujarku
jujur. Dapat menggembirakan anak kecil itu sudah cukup memuaskan hatiku. Aku dan
Idlan senasib. Kami sama – sama tidak berayah.
‘Mari....” Harianie mengajakku mengekori Idlan dan Haqem
yang sudah jauh berada di depan. Tiada lagi perbualan antara aku dengan Harianie.
Senyap sahaja. Keadaan ini berlanjutan sepanjang perjalanan pulang. Mungkin
juga disebabkan tiada suara kecil yang petah berceloteh kerana Idlan sudah
terlena dalam dakapan ibunya. Tambahan pula masing – masing sudah keletihan. Kereta
BMW Haqem memasuki perkarangan rumah mak. Aku nampak ada kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe berada di garaj. Sah
Aqel berada di rumah sekarang. Mesti sudah lama Aqel menunggu kepulanganku.
Betulkah Aqel menunggu kepulanganku? Entahlah...... Aku sendiri tidak pasti.
“Lia......” Aku berpaling ke arah Harianie.
“Terima kasih sebab habiskan masa bersama kami hari ini.
Idlan sangat seronok bersama Lia” ujar Harianie. Aku tersenyum. Hanya sedikit
perkara yang aku lakukan buat Idlan.
“Minta maaflah menyusahkan kamu. Aqel pasti tertunggu –
tunggu kepulangan kamu. Akak minta maaf kepadanya juga. Kamu cakap pada dia
nanti ye....” pesan Harianie. Aku hanya senyum. Rasanya Aqel tidak akan kisah
semua ini.
“Tak payah risaulah. Aqel dah amanahkan Lia pada saya”
Haqem yang sedang menguak pintu kereta untukku mencelah. Bicara itu Haqem ulangi
lagi. Aku terdiam. Begitu juga dengan Harianie.
“Saya pergi dulu kak” ujarku meminta diri.
“Thanks Lia”
tutur Haqem. Aku mengangguk. Aku melangkah masuk ke dalam rumah setelah kereta
Haqem beredar meninggalkan halaman rumah. Sempat juga berbalas lambaian tangan
dengan Harianie.
“Ke mana kamu pergi sepanjang hari ni? Aqel dari tengah
hari tadi ada kat rumah ni tak pergi mana – mana” suara mak sedikit tinggi
menyambut kepulanganku. Aku menatap mak yang sedang mempamerkan wajah
seriusnya. Pasti mak sedang marahkan aku sekarang.
“Maaf mak.....” tuturku lemah.
“Aqel ada di bilik kamu. Pergilah naik....” arah mak. Aku
melangkah longlai mendaki anak tangga dengan kehairanan yang bersarang di
benakku. Sungguh menghairankan Aqel berada di rumah sepanjang hari ini. Usai
menikmati hidangan makan tengah hari tadi, Aqel meninggalkan aku bersama Haqem
kerana ada perkara yang perlu dibereskan. Malah Aqel telah mengamanahkan aku
kepada Haqem. Itu yang Haqem nyatakan tadi. Tatkala aku melewati muka pintu, terpandang
Aqel sedang berlentang di atas sofa. Leka dia membaca majalah.
“Apa niat awak buat saya begini?” soalku tidak mahu
melengahkan masa. Aqel berpaling ke arahku. Dia menatapku.
“Awak kata ada hal tadi” lirih sahaja suaraku.
“Temu janji dibatalkan” sahut Aqel bersahaja buat aku
kehilangan kata – kata. Aku duduk di birai katil dengan mulut yang terkunci. Keletihan
menguasai diri. Andai Aqel tidak berada di bilik ini sudah pasti aku akan
merebahkan tubuhku di atas tilam ini. Teringin juga mahu melelapkan mata seketika.
Aku melirik ke arah Aqel. Dia leka dengan majalah di tangannya. Rasa
mengantukku sudah tidak dapat ditahan – tahan lagi. Lambat – lambat aku
merebahkan tubuhku di atas tilam. Sudah tidak mengendahkan kewujudan Aqel di
bilik ini.
“Saya tunggu lama awak di airport tadi tapi awak tak muncul – muncul” sayup – sayup kedengaran
suara Aqel berbisik – bisik.
“Jaga diri awak baik – baik. Saya sentiasa ada di sini
untuk awak” pesan Aqel. Aku memejamkan mataku rapat – rapat. Tidak mahu Aqel
menyedari yang aku belum lena sepenuhnya. Bimbang juga andai Aqel ingat aku tumpang
mendengar perbualan mereka. Senyap. Suara Aqel tidak kedengaran lagi.
“Saya sentiasa ada di sini untuk awak” hati kecilku
mengulangi bicara Aqel. Aqel berbicara dengan siapa? Flora atau Rania? Aku tidak
mampu meneka gerangannya. Temu janji itu bukan dibatalkan. Sebaliknya orang
yang Aqel setia tunggu tidak muncul – muncul. Pasti saat ini Aqel kecewa.
“Seronok awak menghabiskan masa bersama Haqem tadi?” Aqel
melontar suara ke arahku. Kuangkat kelopak mataku. Aqel sedang menatapku. Seketika
aku dan Aqel beradu pandangan. Pertanyaan Aqel kubiarkan berlalu.
“Awak amanahkan saya pada Haqem?” meluncur laju
pertanyaan ini tanpa sekatan dan halangan. Kutenung Aqel. Aqel membisu seribu
bahasa. Dia membiarkan pertanyaanku berlalu persis diriku. Peliknya aku
terdengar suaraku berbisik di telingaku.
“Mengapa Aqel
begitu yakin awak akan membahagiakan saya?”
“Sebab saya sangat mencintai awak. Awak ialah kekasih
pertama dan kekasih terakhir saya. Tidak akan ada yang lain” suara Haqem
menjelma kembali.