Saturday, 9 November 2013

NamaKu Bukan Flora!.... 56.... Kembali Lagi! TERBARU!!!!





BAB 56

Aku menutup mulutku. Sudah berapa kali aku menguap. Sebaik saja aku terjaga aku tidak boleh tidur lagi. Didatangi mimpi yang membebani fikiranku.
“Kamu tak cukup tidur ke?” Mak tersenyum melirik. Senyuman yang penuh makna buat aku kurang senang. Pasti mak sudah salah faham. Aku dan Aqel sedikit berbeza dengan pengantin baru yang lain.
“Terbangun pukul 3.00 pagi tadi. Lepas tu tak boleh tidur lagi” jelasku. Mak berpaling menatapku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Perkara ini bukannya sesuatu yang serius. Tidak mahu merunsingkan hati mak.
“Ada yang merunsingkan kamu?” soal mak. Laju aku menggeleng.
“Kamu tak de masalah dengan Aqel kan?” duga mak berbaur kerisauan. Aku mengangguk. Setakat ini aku dan Aqel hidup baik – baik saja walaupun perihal Flora sentiasa menghantuiku. Kupandang wajah mak. Hatiku melonjak ingin mengutarakan banyak pertanyaan pada mak. Mungkin mak boleh menolongku mengungkai persoalan yang membelenggu diriku selama ini.
“Mak kenal Flora?” soalku berhati – hati. Berkerut dahi mak menatapku.
“Flora....” Nama ini perlahan – lahan meniti di bibir mak. Minda mak seakan cuba mengingat sebaris nama ini. Mak geleng kepala.
“Bukan ke Aqel panggil kamu dengan nama ni?” soal mak menyedarinya. Aku mengangguk. Sebab itu aku ingin tahu lebih lanjut tentang nama ini? Mungkin juga ada kaitan denganku. Hairan juga mengapa Aqel mahu terus – terusan memanggilku dengan nama ini.
“Aqel memang anak tunggal Mak Long kan, mak” ujarku menduga.
“Yelah mana ada yang lain lagi. Tak tahulah kalau anak yang dah tak de” ujar mak. Senyap. Tidak pernah pula aku melihat gambar budak perempuan di rumah Mak Long mahupun Mak Long bercerita tentang adik –beradik Aqel yang lain. Aku hanya pernah nampak sekali gambar yang disembunyikan oleh Aqel. Gambar Aqel ketika kecil bersama seorang budak perempuan. Hatiku begitu kuat meyakini bahawa budak perempuan itu ialah Flora.
“Tak banyak sangat yang mak tahu tentang Mak Long kamu sebab mereka lama tinggal di luar negara. Bila mereka dah kembali ke sini barulah mak dan Mak Long kamu rapat” jelas mak. Betul cakap mak. Sejak Mak Long kembali ke negara ini baru aku mengenali mak saudara dan sepupuku. Dahulu tidak banyak sangat yang mak boleh ceritakan tentang kakak iparnya itu.
“Arwah ayah tak pernah cerita ke tentang Mak Long pada mak?” soalku lagi.
“Ayah kamu bukan suka sangat cerita hal orang” jelas mak.
“Yelah..... sama juga seperti Aqel” sahutku. Barangkali keperibadian ayah sedikit diwarisi Aqel. Mak menatapku.
“Yang kamu nak tahu sangat pasal nama ni, mengapa?” soal mak sangsi.
“Tak de apa – apalah mak” nafiku.
“Ni mesti kamu cemburu dengar Aqel sebut nama perempuan lain ni” ujar mak tersenyum meleret mengusikku. Aku tergelak. Menyimpang jauh sangkaan mak.
“Ke situ pula yang mak fikir” rungutku. Mak tersenyum – senyum.
“Tak salah pun kalau kamu ada perasaan macam tu, tapi jangan lebih – lebih” ujar mak memberi nasihat sekali gus menambah usikannya. Aku tersenyum sekilas.
“Kalau kamu nak tahu sangat pasal mak mertua kamu tu, kamu tanyalah dia sendiri. Silap – silap bicara, dia boleh bongkar rahsia Aqel” saran mak sambil lewa. Boleh difikirkan cadangan mak ini. Namun risau pula Mak Long salah faham. Mungkin juga Mak Long mahu berahsia seperti Pak Long dan Aqel. Oh.... misteri sungguh gerangan gadis yang bernama Flora ini!
“Ajak Aqel sarapan” suara mak menyentakkanku. Aku akur dengan arahan mak. Segera mendapatkan Aqel. Aku menjenguk ke bilik tidur. Aqel tiada di sini. Aku merapati bilik air sambil mendakap telingaku di daun pintu kalau – kalau Aqel berada di sini. Sunyi sepi. Pintu juga dikunci dari luar. Sah Aqel tiada di dalam bilik air. Aku bergerak keluar bilik sambil anak mataku meliau – liau menjejaki kelibat Aqel. Ke mana gerangannya menantu kesayangan mak ini menghilangkan diri? Hatiku tertanya – tanya sambil melewati ruang tamu menghala langkah ke muka pintu utama.
“Oh..... rupa – rupanya di sini cik abang sayang hoi......! Awal pagi dah termenung jauh ingat kekasih lama ke? Cepat sarapan mak dah tunggu di dapur tu” rungutku mencebik ke arah Aqel yang sedang bersantai – santai menghirup udara pagi yang segar di halaman rumah. Aqel menatapku dengan wajah bersahajanya. Kadangkala sakit hati juga aku tengok reaksinya sebegini. Aqel melangkah mendekatiku. Aku berpaling mahu memulakan langkah. Namun langkahku belum bermula, tidak semena - mena tangan Aqel mendarat di bahuku. Laju aku berpaling ke arah Aqel yang sudah bersedia melawan pandanganku.
“Awak nak buat apa ni?” soalku lantas cuba menepis tangan Aqel dari bahuku. Gagal.
“Nak tunjuk pada mak mertua bahawa sayalah suami yang romantik” ujar Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir.
“Tak payah. Turunkan tangan awak ni” arahku. Aqel menulikan telinga. Aku cuba menarik tangan Aqel dari terus melekat di bahuku. Namun tangan Aqel bagaikan sudah digam tetap melekat di situ.   
“Aqel saya tak selesa awak buat saya macam ni” tegasku bengang.
“Mula – mula saja. Lama – lama nanti awak akan terbiasa” sahut Aqel. Kutatap wajah Aqel. Adakah perbuatannya ini akan menjadi rutin harian kami? Hey.... meremeng bulu romaku! Betapa kekoknya aku diperlakukan sebegini. Janggal sungguh dengan kemesraan yang dibuat – buat oleh Aqel. Kedengaran suara mak melaung memanggilku.
“Cepat turunkan tangan awak” arahku lebih tegas lagi. Aqel buat wajah bersahajanya.
“Jalan terus...” arahnya pula sambil menolakku memulakan langkah. Mahu tidak mahu dan dalam keadaan terpaksa aku melangkah bergandingan bahu dengan Aqel yang sudah siap sedia mempamerkan senyuman lebarnya pada mak. 360° kepalaku tegak berhadapan dengan mak. Betapa rimasnya aku dengan perlakuan Aqel ini. Mak tersenyum lebar menyambut kedatangan kami. Di mata mak betapa romantiknya pengantin baru ini. Aduhhhhh......!

Aku dan Aqel sudah melabuhkan duduk di kerusi. Aku menarik nafas lega. Selesa rasanya terlepas dari pautan tangan Aqel. Tidak juga aku sesak nafas. Berdekatan dengan Aqel membuatkan aku sentiasa berjaga – jaga. Tindakan Aqel selalu di luar jangkauan fikiranku.
“Yang kamu terkebil – kebil tu apa hal? Mana air suami kamu?” suara mak menerjah halwa pendengaranku. Aku tersentak. Aqel sedang tersengih – sengih menatapku. Tajam jelinganku menatap Aqel. Kucapai teko lalu menuang air teh kosong itu ke dalam cawan lantas menyuakan kepada Aqel. Kuceduk nasi goreng ke dalam pinggan lalu kuletak di depan Aqel. Mak sekadar memerhati. Memang mak mahu aku memberikan layanan terbaik pada Aqel. Ringkasnya menjadi isteri terbaik buat suami.
“Makan Aqel....” arah mak dengan limpahan kasih sayang. Aqel tersenyum lagi. Dia memang suka tersenyum pada mak.
“Sedap nasi goreng mak ni ye....” puji Aqel bermulut manis.
“Isteri kamu yang buat” tingkah mak membetulkan tanggapan Aqel. Aqel melirik ke arahku dengan sengihan. Aku menjelingnya lagi. Pujian Aqel tidak menyentuh hatiku. Kurang ikhlas. Dia memang hanya mahu memuji dan menyanjung mak.
“Kamu tak tahu ke nasi goreng Lia sedap?” soal mak memujiku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Aqel turut tersenyum.
“Ni mesti kamu tak suruh Lia pergi dapur ni. Jangan manjakan isteri kamu ni” omel mak menegur Aqel. Aqel senyum lagi.
“Kalau pun sayangkan isteri bukan ni caranya” ujar mak lagi.
“Mak.....” tegurku. Mak hanya menayangkan muka bersahajanya padaku.
“Apa boleh buat mak, dah sayang betul pada isteri” sahut Aqel buat aku tersedak. Air di dalam mulutku tersembur keluar. Paling malang terkena t – shirt Aqel.
“Sorry..... sorry.... saya tak sengaja” ujarku serba salah sambil menyapu – nyapu t – shirt Aqel. Mak bingkas bangun mengambil kain pengelap. Tuala kecil bersih itu dihulurkan kepadaku. Aku mengelap t – shirt Aqel yang kotor terkena percikan air teh itu.
“Kamu ni lebih – lebih pula dengar suami kamu cakap macam tu” bidas mak sinis. Membahang mukaku. Malu mendengar bicara mak. Aku bukan lebih - lebih tetapi tidak menyangka Aqel akan berbicara sedemikian. Apatah lagi bicaranya bertentangan dengan fakta. Seingatku tidak pernah pula aku buat nasi goreng untuknya. Tanganku masih mengelap kotaran pada t – shirt Aqel. Pasti Aqel rimas disimbah dengan air teh yang keluar dari mulutku tadi. Maklumlah anak muda Mak Long ini pembersih orangnya. He...he....he.... padan muka! Siapa suruh cakap yang bukan – bukan. Lain kali fikir panjang dahulu sebelum mengeluarkan kata - kata. Nasib awaklah, Aqel!
“Tak pe.... Nanti kita mandi sama – sama” ujar Aqel. Gerakan tanganku terus terhenti.
“Aqel....” tegurku. Mak tersenyum – senyum. Panas membahang wajahku. Malu pada mak. Betapa lancangnya mulut menantu mak ini.
“Elok tu... pengerat kasih sayang” sampuk mak tersenyum. Bertambah membahang wajahku. Mak dan Aqel memang sekepala. Suka sangat mengenakan aku. Bingkas aku bangun. Tidak tahan berhadapan dengan pasangan serasi ini. Selebihnya merajuk.
“Kamu nak pergi mana tu?” soal mak terkebil – kebil melihat aku sudah berdiri.
“Nak ajak Aqel mandi sekarang.... dah tak sabar ni” ujarku geram. Mak tergelak. Aqel terkebil – kebil menatapku. Dia terkejut mendengar bicaraku. Mungkin dia ingat aku benar – benar serius saat ini. Mahu mengotakan bicaraku sebentar tadi.
“Kalau ye pun bagilah Aqel habiskan sarapan dulu. Sabar.... sabarlah” tutur mak mengusikku. Wajahku bertambah panas membahang tika ini. Malah tempiasnya mengena hatiku. Nampak sangat aku isteri gelojoh di mata mak. Namun alang – alang aku dapat malu biar aku malu semalunya. Selepas ini aku hendak buat perhitungan dengan Aqel.
“Marilah.... Aqel” Kurendahkan nada suaraku. Sedikit bunyinya mengoda. Aqel terkebil – kebil menatapku. Kutarik tangan Aqel bangun. Mak ternganga menatapku. Baru mereka tahu sekarang jangan main – main denganku. Aqel bagai kerbau dicucuk hidung menurut saja sambil diperhatikan mak. Mesti mak kebinggungan sekarang. Sebelum melewati pintu ini langkahkku terhenti. Aku berpaling ke arah mak semula.
“Nanti Lia kemas dan cuci pinggan mangkuk tu. Mak biarkan saja di atas meja” ujarku meninggalkan pesanan.
“Tak pe.... Kamu berdua habiskanlah masa bersama – sama” sahut mak hampir – hampir buat aku terjerit. Mujur juga aku masih sedar ada peringatan keras yang mahu aku tanam dalam kepala Aqel. Tidak mahu cepat melatah di depan mak. Nanti terbongkar lakonanku tika ini. Aku memaksa diri tersenyum merestui bicara mak yang agak sensitif itu. Kutarik tangan Aqel menuruti langkahku ke bilik. Kukunci pintu bilik. Lantas menolak tubuh Aqel ke katil. Aqel terduduk di birai katil dengan anak mata terkebil – kebil menatapku. Barangkali dia ingat aku bakal mencabul kehormatan dirinya sebentar lagi.
“Saya tak suka awak kaitan saya dengan cakap tak senonoh awak tu di depan siapa saja terutama di depan mak dan Mak Long” tegasku serius memberi peringatan. Bahu Aqel terjungkit. Terkejut dia mendengar suara lantangku ini. Aku mahu Aqel sedar bahawa aku bersungguh – sungguh dengan bicaraku. Aku serius tika ini.
“Kalau awak masih berdegil, saya takkan teragak – agak bertanyakan perihal Flora pada Mak Long. Saya akan beritahu mak tentang Flora kekasih pertama awak yang bertapa dalam hati awak tu” ancamku tanpa belas kasihan. Aqel terpana. 
“Biar mak tahu sebenarnya menantu kesayangannya ini ada perempuan lain” ancamku lagi tanpa memberi peluang kepada Aqel membalas bicaraku. 
“Jadi berhenti memperbodohkan keluarga kita. Saya tak mahu mereka terus tertipu dengan lakonan awak” tegasku geram dengan hati yang terbakar. Senyap. Aku bergerak ke jendela yang sudah terbuka luas. Tercengat di situ dengan kedua belah tanganku mencengkam bingkai  jendela. Mahu saja aku melaung sehabis – habis suaraku meluahkan ketegangan dalam diriku tika ini. Namun tidak mahu mengundang kehairanan mak. Mak tidak perlu tahu perkara ini kerana aku mahu memberi peluang kepada Aqel untuk membuktikan keinsafan dirinya dengan tidak mengulangi tindakannya tadi.
“Saya mahu kehidupan saya berubah.....” suara Aqel memecah keheningan ini. Aku melepaskan keluhan kecilku. Walaupun Aqel sudah menjadi suamiku, namun aku tidak mengharapkan kehidupannya akan berubah secara mendadak. Kami perlukan masa.
“Saya mahu jadi suami yang baik....” Laju aku berpaling ke arah Aqel. Seketika berlaga pandangan dengannya. Mungkin Aqel mahu mengujiku.
“Hentikan lakonan awak, Aqel” pintaku. Aku mendengus bosan. Kualih wajahku ke jendela. Angin sepoi – sepoi bahasa membelaiku. Perlahan – lahan kedamaian menjalar dalam diriku.
“Saya mencintai awak.....” suara Aqel menyusup ke telingaku. Aku berpaling ke arah Aqel. Terkedu dan tergamam sejenak. Bicara Aqel terasa di awangan. Namun jelas di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora. Hebat sungguh lakonan awak, Aqel” ujarku tersenyum sinis sendiri. Bijak sungguh Aqel bermain kata – kata. Namun tidak semudahnya aku akan dipermainkan oleh Aqel.
“Nama Flora ni benar – benar memberi kesan pada awak” tutur Aqel lagi.
“Memang saya janji akan jaga awak selagi saya bernyawa, tapi saya tak mahu ditipu sepanjang hayat saya. Boleh awak jelaskan pada saya siapa Flora?” dugaku. Aku dan Aqel bertentangan mata dengan mulut yang membisu. Diam yang panjang. Ternyata Aqel tidak mampu menjawab pertanyaanku. Dia masih mahu berahsia denganku. Aku pasrah.

*********************

“Oh..... pengantin baru dah sampai. Bagaimana honeymoon di Korea? Ada jumpa bapa mertua?” sapa Nana menghujani aku dengan banyak soalan. Aku melabuhkan dudukku di kerusi di depan Nana. Kulontar pandangan ke arah meja  dan kerusi di depan Nana. Sayu hatiku. Terasa rindu pula aku pada kerusi meja itu. Itulah tempat dudukku. Bilakah agaknya aku akan kembali ke situ lagi?
“Begitu banyak soalan yang saya ajukan, tak satupun yang awak jawab” keluh Nana. Aku berpaling menatap Nana. Sekilas senyuman kuhadiahkan kepada Nana.
“Awak ada jumpa ayah Aqel?” soal Nana. Aku mengangguk.
“Bagaimana orangnya?” soalnya.
“Mirip Aqel tapi sikapnya lebih elok daripada anak mudanya” jelasku mula membandingkan Aqel dengan Pak Long.
“Tak elok awak cakap macam tu tau” tegur Nana. Aku tersenyum. Nana memang suka menyelebahi Aqel. Di matanya betapa sempurnanya anak muda Mak Long itu. Barangkali lelaki seperti Aqel itulah lelaki impiannya. Mana tahu dalam diam Nana pernah menyukai Aqel. Hish... tidak elok aku sarkap jarang dengan kawan baik sendiri! Ampun Nana.
“Nana.... jangan lupa lunch sama nanti” suara lelaki memecah kesepian sedetik ini. Laju saja aku melontar pandangan ke muka pintu. Arryan tersentak menatapku.
“Oh.... Lia. Rupa – rupanya awak ada di sini!” Aku menguntum senyuman sempat melirik mengusik Nana yang sedang tersipu – sipu. Persis ada sesuatu yang berlaku antara mereka.
“Awak pun ikutlah sama nanti” pelawa Arryan diikuti anggukan kepala Nana.
“Sorry.... saya ada hal di KDUT” ujarku berbohong. Tidak mahu mengganggu temujanji Nana dengan Arryan.
“Okey.... saya pergi dulu. Jangan lupa tau” tutur Arryan mengingatkan Nana lagi. Nana mengangguk sambil melemparkan senyuman manisnya menambat hati sang teruna. Pasti senyuman Nana menggetarkan jiwa Arryan. Maklumlah orang sedang hangat memadu kasih asmara. Cepat pula aku membuat kesimpulan.
“Bye....” Arryan berlalu lantas melambaikan tangannya. Lambaian yang dibalas mesra oleh Nana. Aku menatap Nana yang masih menyulam senyuman mekar di bibirnya.
“Mengapa?” soal Nana membalas pandanganku.
“Awak dan Arryan sedang bercinta ke?” soalku tidak mahu berlengah. Nana tersipu malu. Reaksi yang Nana tunjukkan sudah cukup menjawab persoalan yang kuajukan sebentar tadi.
“Alhamdulillah......” ujarku memanjat kesyukuran. Nana tersenyum – senyum. Rasa bahagia kerana Nana sudah menemui cintanya. Semoga Nana dan Arryan menjadi pasangan yang bahagia yang tidak perlu melalui ranjau berduri alam percintaan persis diriku. Segera kubuang perasaan kecewaku jauh – jauh.
“Bila nak naik ke jinjang pelamin?” tanyaku mengusiknya.
“Alah..... ke situ pula awak fikir” rungut Nana menjelingku. Senyuman masih menguntum di bibirnya.
“Tak sangkakan awak bakal bersaudara dengan Puan Rosie” ujarku mengusiknya. Nana tergelak. Agak sensitif juga ayat ini.
“Masih terlalu awal nak kata macam tu” tingkah Nana.
“Bukankah hubungan kalian serius? Buat apa nak disegankan” ujarku. Nana tersenyum. Dia tidak mahu memberi sebarang ulasan.
“Puan Rosie dah ada di pejabatnya, awak pergilah sekarang jumpa dia” arah Nana mahu cepat mematikan usikanku.
“Oh.... menghalau saya ye... Mentang – mentang dah ada orang tersayang mudah sangat awak nak buang kawan” ujarku buat – buat rajuk. Nana tersengih panjang. Dia tahu aku tidak akan ambil hati dengan bicaranya.
“Okey... saya pergi sekarang” ujarku memasamkan muka. Nana masih dengan sengihannya.
“Sebelum balik datang sini nanti” pesan Nana.
“Tak nak saya nak terus balik” sahutku memanjangkan rajuk olok – olokku. Kedengaran gelak Nana. Aku terus menghala langkah ke pejabat Puan Rosie. Daun pintu kuketuk. Kedengaran suara Puan Rosie mengarahkan aku masuk. Perlahan – lahan aku menolak daun pintu. Wajahku terpancul di sebalik pintu. Senyuman Puan Rosie lebih awal menyambut kedatanganku.
“Duduk Lia” arah Puan Rosie mesra. Lain benar suara dan reaksi Puan Rosie dari kebiasaannya. Puan Rosie sudah menjadi seorang yang mesra, murah dengan senyuman. Perwatakan yang begitu menyenangkan hati.
“Apa khabar sekarang?” soal Puan Rosie menyapa mendahuluiku.
“Alhamdulillah...sihat” sahutku.
“Tahniah semoga kamu dan Encik Aqel bahagia sehingga ke hujung nyawa. Maaflah saya tak dapat pergi ke majlis kamu tempoh hari” pinta Puan Rosie disusuli dengan keluhan kecilnya.
“Oh.... saya faham dengan kesulitan Puan Rosie” tuturku ikhlas. Puan Rosie tersenyum hambar menatapku. Pasti tika ini dia masih berduka dengan tindakan Encik Mukhtahir yang menduakan dirinya. Kasihan Puan Rosie.
“Jaga suami baik – baik dan sentiasa tambat hatinya. Kalau kita ada buat salah jangan segan – segan memohon maaf. Tak elok ego tinggi. Tak guna juga menyesal kemudian hari seperti saya” tutur Puan Rosie dengan keluhan panjang. Betapa beribu kekesalan terpancar di wajahnya. Aku terdiam panjang. Kelu lidah hendak mengeluarkan bicara terbaik pada Puan Rosie. Bimbang tersilap bicara boleh mengguris hatinya.
“Saya akan ingat pesanan Puan Rosie ini. Terima kasih banyak – banyak” ujarku ikhlas. Sedikit pun aku tidak berdendam dengan layanan Puan Rosie selama ini. Bukan masa sesuai hendak bergembira dan mentertawakannya sekarang. Aku sangat menghargai pesanannya ini. Aku juga mengerti perasaan Puan Rosie.
“Puan Rosie..., saya datang ni nak minta tandatangan dan hantar rekod – rekod untuk semakan Puan Rosie” jelas suaraku memecah kesepian. Mahu saja aku segera melenyapkan perasaan sedih Puan Rosie. Aku tidak mahu dia hanyut melayan kesedihannya. Puan Rosie tersenyum dan mengangguk. Tangannya dihulur menyambut fail yang kuhulurkan. Kuberi Puan Rosie masa untuk meneliti segala butiran. Puan Rosie mencapai pen bersedia menurunkan tandatangannya. Dia mula menandatangani dokumen itu setelah berpuas hati.
“Perjanjian kerjasama CNFL dengan pihak KDUT ada setahun lagi, tapi kamu boleh kembali ke sini semula. Nanti saya fikirkan siapa yang boleh menggantikan tugas kamu di sana” ujar Puan Rosie menjemput kepulanganku kembali berkhidmat di CNFL. Aku tersentak.
“Dengar – dengar mereka nak teruskan kerjasama dengan CNFL. Mereka sangat berpuas hati dengan kita selama ni” jelasku membawa khabar gembira pada Puan Rosie.
“Alhamdulillah..... kalau macam tu. Kalau kamu nak kembali ke sini saya takkan halang. Saya boleh arahkan orang lain mewakili syarikat kita menggantikan awak kerja di KDUT” ujar Puan Rosie mengulangi bicaranya. Sikap Puan Rosie telah berubah.
“Tak elok juga saya paksa kamu terus bertahan di sana. Kamu pasti menghadapi banyak masalah di KDUT kerana saya. Maafkan saya, Lia” ujar Puan Rosie kesal dengan wajah sugulnya. Aku tersentak.
“Demi kebaikan kamu tak kisahlah kalau Encik Aqel marah dengan tindakan saya” tutur Puan Rosie tersenyum. Namun sangat menimbulkan keraguan padaku.
“Maksud Puan Rosie?” soalku hairan.
“Encik Aqel tak pernah cerita apa – apa pada kamu?” soal Puan Rosie menambah persoalan di benakku. Aku jadi tertanya – tanya.
“Cerita apa, Puan Rosie?” soalku dengan perasaan melonjak – lonjak mahu tahu.
“Oh.... pandai juga Encik Aqel berahsia dengan awak ye. Dia memang lelaki baik” ujar Puan Rosie menyanjung Aqel pula. Keinginan hendak mengetahuinya kian membuak – buak.
“Dia memang seoang yang perahsia” tutur Puan Rosie berbicara sendiri menambah kekeliruanku.
“Boleh Puan Rosie berterus – terang saja?” pintaku tidak dapat menahan perasaan ingin tahu. Senyap. Puan Rosie berfikir panjang. Tidak begitu mudah memintanya berterus terang.
“Saya nak tahu sangat perkara ni, Puan Rosie” pintaku mengharap. Senyap. Puan Rosie tersenyum.
“Saya tak janji apa – apa dengan Encik Aqel” jelas Puan Rosie membuka ruang untukku mengetahuinya. Satu petanda baik buatku juga.
“Kalau macam tu, Puan Rosie berterus teranglah dengan saya” gesaku. Puan Rosie menatapku. Sejenak aku dan Puan Rosie saling berlaga pandangan.
“Kamu masih ingat punca yang menyebabkan kamu terpaksa berpindah ke KDUT?” soal Puan Rosie. Laju aku mengangguk. Mana mungkin aku melupakannya. Terlalu banyak yang berlaku sejak aku berada di situ, malah telah merubah sebahagian cerita hidupku.
“Saya meletakkan kamu di KDUT demi menebus kesilapan kamu. Namun ada sebab yang lebih penting lagi” Puan Rosie memulakan mukadimah ceritanya. Aku tekun mendengarnya.
“Sebab utama atas permintaan Encik Aqel. Dia nak kamu kerja di KDUT. Sebagai balasan atas persetujuan saya, Encik Aqel menawarkan CNFL bekerjasama dengan pihak mereka. Kerjasama yang begitu menguntungkan CNFL” jelas Puan Rosie buat aku tersentak. Sudah semestinya Puan Rosie tidak akan melepaskan peluang keemasan mengaut keuntungan berlipat ganda. Apatah lagi saat itu Puan Rosie memang tamakkan wang.
“Bagaimana dengan pakaian itu? Betulkah dah ditemui?” soalku curiga. Puan Rosie menggeleng kepala mengejutkan aku sekali lagi.
“Encik Aqel tak kenakan sebarang bayaran pada kita kerana pakaian itu dicuri oleh kakitangan KDUT sendiri” jelas Puan Rosie tenang.
“Apa? Betulkah ni?” soalku tergamam. Otakku ligat memikirkan gerangan siapakah yang sanggup melakukan perbuatan terkeji itu? Bukan setakat melakukan perbuatan tidak bermoral malah turut menganiaya aku. Disebabkan perbuatan manusia itu, aku hampir – hampir kehilangan kerja. Orang yang melakukan perbuatan itu hampir memusnahkan masa depanku malah telah bertanggungjawab mengubah jalan cerita hidupku jadi begini. Andai pakaian itu tidak dicuri aku tidak akan bekerja di situ dan dipertemukan dengan Haqem lagi. Aku tidak perlu melarikan diri daripada lelaki itu sehingga menjebakkan Aqel. Aku dan Aqel juga tidak akan menjadi suami isteri.
“Encik Aqel telah menyiasatnya dan tak mahu perkara ini dibesar – besarkan” jelas Puan Rosie. Mungkin Aqel mahu melindungi orang yang melakukan perkara itu. Mengapalah Aqel terlalu berlembut hati dengannya? Bukankah perbuataan ini sesuatu yang serius? Mengapa Aqel masih mahu melindungi manusia yang tidak amanah ini?
“Puan Rosie tahu perbuatan siapa?” soalku tidak mampu memadamkan perasaan ingin tahu. Puan Rosie geleng kepala. Rasa kecewa menjalar dalam diriku.
“Kamu kenalah tanya pada suami kamu sendiri” tutur Puan Rosie sambil tersenyum. Mustahil aku akan mendapat jawapan daripada Aqel andai aku ajukan persoalan ini kepadanya. Namun aku perlu tahu siapakah gerangan yang telah menganiayaku.
“Puan Rosie memang tak tahulah orangnya?” soalku tidak puas hati. Masih mahu mencuba nasib.
“Ya saya tak tahu. Suami kamu tak pernah sebut nama sesiapa” jelas Puan Rosie. Aku melepaskan keluhan kecilku. Aku tahu Aqel tidak akan melakukannya. Mungkin hanya Haqem saja yang mengetahuinya. Pasti Aqel telah berbincang dengan Haqem sebelum membuat keputusan. Tergerak hatiku hendak bertanyakan perkara ini kepada Haqem. Rasanya Haqem mampu mengungkai persoalan ini. Aku nekad akan minta penjelasannya.
“Tak pe, Puan Rosie. Rasanya saya perlu kembali ke KDUT sekarang” ujarku. Puan Rosie mengangguk. Lantas menyerahkan kembali dokumen itu kepadaku.
“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” ujar Puan Rosie bernada pujukan. Aku tersenyum sekilas.
“Terima kasih memaklumkan saya perkara ni” ujarku rasa terhutang budi. Betapa pentingnya kenyataan ini. Puan Rosie hanya tersenyum.
“Saya minta maaf selama ini saya selalu menyusahkan kamu” tutur Puan Rosie menyesali sikapnya selama ini. Aku mengangguk dan tersenyum. Tiada sekelumit pun dendam yang tersimpan di hatiku.
“Saya harap Puan Rosie akan hidup baik – baik. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tak akan menguji hambaNya melebihi kemampuaan hamba itu” ujarku sarat dengan maksud tersirat. Puan Rosie mengangguk. Senyuman ikhlas terukir di bibirnya. Nampak betapa tabah dirinya. Aku bersalaman dengan Puan Rosie. Kemudian memulakan langkah ke muka pintu.
“Lia...” langkahku terhenti. Aku berpaling menatap Puan Rosie semula.
“Kamu sedar tak perasaan suami kamu terhadap kamu?” soal Puan Rosie. Aku terdiam. Sejujurnya aku memang tidak cukup mengenali dan memahami diri Aqel.
“Saya sedar dari awal lagi dia memang ada hati dengan kamu. Sedaya upaya dan seberapa banyak dia cuba melindungi kamu. Betapa bertuahnya kamu” jelas Puan Rosie membuatkan aku tergamam. Aqel ada menyimpan perasaan kepadaku? Sahihkah tafsiran Puan Rosie ini?
“Saya mencintai awak.....” sayup – sayup suara Aqel terngiang – ngiang di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora” Aku tersenyum sinis sendiri. Bijak sangat Aqel berlakon sehingga turut mengaburi mata orang lain.
“Puan Rosie, saya pergi dulu” ujarku meminta diri lantas menyambung langkahku kembali. Tidak mahu memikirkan bicara Puan Rosie lagi. Soal hati dan perasaan perlu diteliti sedalamnya. Bukan untuk ditilik.

*************************

“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” suara Puan Rosie masih berbisik – bisik di telingaku.
Otakku ligat berputar memikirkan siapakah gerangan yang melarikan pakaian mahal – mahal itu. Mungkinkah Rania? Sebagai bekas kekasih Aqel, memang patut Aqel melindunginya. Mustahil pula Rania hendak mencuri pakaian itu. Hidup Rania mewah. Setakat pakaian mahal dia mampu membelinya, tetapi ada alasan lain. Bukankah Rania memang tidak sukakan aku? Mungkin dia melakukan kerana tidak puas hati melihat aku bersama dengan Aqel ketika itu. Ohh... tidak patut aku prasangka buruk kepada Rania! Lantas hatiku berbisik melafazkan Surah An – Nas memohon perlindunganNya daripada ditimpa penyakit was – was.

“Pandangan awak dah menembusi tubuh saya” suara Aqel mengejutkan aku. Seketika aku dan Aqel berlaga pandangan.
“Awak fikirkan apa?” soal Aqel. Inikah waktu yang sesuai untuk aku mengutarakan perkara ini kepada Aqel setelah seharian asyik berperang dengan perasaan sendiri?
“Ada sesuatu awak nak cakap dengan saya?” soal Aqel berjaya membaca gerak hatiku.
“Berapa banyak perkara yang awak rahsiakan dari saya?” soalku tidak mahu berterus terang. Dahi Aqel berkerut.
“Rahsia?” soal Aqel keliru.
“Awak yang minta saya jadi wakil CNFL bekerja di KDUT. Apa tujuan awak melakukan semua ni? Sekadar mahu saya bertanggungjawab atas kecuaian saya? Saya rasa awak ada alasan lain” tegasku. Aqel nampak tersentak.
“Atau awak sengaja mahu menguji saya dengan mempertemukan saya dengan Haqem kembali” dugaku. Aqel menggeleng.
“Saya hanya tahu hubungan awak dengan Haqem setelah awak berada di sini dan bila Haqem sendiri berterus terang dengan saya. Jadi jangan fikir yang bukan - bukan” sahut Aqel menafikan bicaraku. 
“Siapa yang cuba awak lindungi?” soalku meminta penjelasan Aqel. Aqel pasti mengerti pertanyaanku ini.
“Orang yang cuba saya lindungi? Awaklah.... Takkan awak masih tak sedar – sedar lagi” sahut Aqel tenang dengan senyuman.
“Awak masih tak mahu berterus terang segalanya dengan saya” ujarku kecewa. Senyap. Aqel hanya melontar pandangan sepinya padaku.
“Flora.... ada perkara yang patut saya cakap dengan awak” tutur Aqel perlahan.
“Silakan....” ujarku tanpa menggantung harapan yang tinggi. Selalunya apa yang kuharapkan tidak menjadi. Aqel terlalu berahsia denganku.
“Awak mesti berubah. Berhenti mengenang apa yang telah berlaku. Hiduplah dengan gembira” tutur Aqel menasihatiku.
“Terima kasih banyak – banyak atas nasihat awak ni. Esok saya nak jumpa Haqem. Saya perlukan keizinan awak. Selamat malam” tuturku lalu merebahkan tubuh ke tilam. Kutarik selimut menyelubungi tubuhku, lalu mengiringkan tubuh lantas menatap dinding kaku. Kupejamkan mata.  
“Pergilah jumpa Haqem esok” sayup – sayup kedengaran suara Aqel yang sudah berbaring di sebelahku memberi keizinannya. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih, Aqel” bisik hatiku. Namun tidak mampu aku perdengarkan kepada Aqel.