Tuesday, 25 June 2013

NamaKu Bukan Flora....50





BAB  50

“Just for you...” Haqem menghulurkan jambangan bunga ros merah segar kepadaku.
“Oh... terima kasih” ujarku sambil menyambut huluran jambangan bunga ros ini dengan perasaan begitu teruja. Terasa sungguh romantik.
“Saya minta maaf banyak – banyak sebab tak dapat datang semalam” tutur Haqem masih dengan rasa bersalahnya. Aku senyum.
“It’s okay.... Saya faham dengan masalah awak” jelasku. Haqem tersenyum.
“Thanks.... Lia” tutur Haqem mula mempamerkan wajahnya yang berseri – seri. Aku mengangguk. Aku juga pernah melakukan perkara yang sama, membiarkan Haqem menungguku lama di restoran. Bukan atas sebab yang lain selain aku terlupa. Namun dengan tenang Haqem memaafkan kesalahanku itu. Betapa pentingnya sikap tolak – ansur itu. Aku menghidu wangian semerbak bunga ros ini.
“Awak tahu makna di sebalik warna bunga ros ni?” soal Haqem. Aku menggeleng.
“Saya pernah baca pasal simbolik warna bunga tapi dah lupa. Awak beritahulah saya” pintaku.
“ Warna merah itu maksudnya cinta sejati, tulus ikhlas dan romantik” jelas Haqem. Aku tersenyum. Maknanya cinta sejati Haqem yang tulus ikhlas kepadaku. Haqem memang seorang yang romantik.
“Cuba awak kira berapa kuntum bunga yang saya beri pada awak sekarang?” soal Haqem.
“Sekejap saya kira ye...” pintaku. Haqem mengangguk. Aku terus menghitung kuntum bunga ros ini sambil diperhatikan oleh Haqem dengan senyuman panjang.
“11 kuntum. Apa maknanya ni?” soalku. Aku tahu warna dan bilangan bunga mempunyai makna yang tersirat.
“Awaklah yang paling berharga, yang paling saya sayangi di muka bumi ini” jawab Haqem bersungguh – sungguh. Terkedu aku sejenak mendengar pengakuan Haqem ini. Mujur juga air mataku tidak menitis lantaran rasa terharu sangat. Tiba – tiba saja Haqem berpaling lalu mengangkat tangan ke arah pekerja restoran ini. Pemuda itu mengangguk. Satu isyarat yang difahami. Aku tergamam tatkala pemuda itu menghampiri kami dengan sebakul bunga ros merah, lalu meletakkan bunga – bunga ros ini di sebelah Haqem.
“Terima kasih” tutur Haqem kepada pemuda ini. Dia mengangguk hormat.
“Awak nak letak bunga ros di restoran ni ke? Atau awak nak buka kedai bunga pula?” soalku. Aku dan Haqem sekarang berada di restoran milik Haqem yang banyak memberi kenangan kepada kami berdua. Haqem tersenyum sambil menggeleng. Ditariknya empat tangkai bunga ros dari bakul itu lalu menyerahkan kepadaku. Aku yang masih tidak mengerti apa – apa menyambutnya dengan perasaan yang hairan.
“Tambah dengan 11 tangkai tadi, sekarang dah ada berapa tangkai semua?” soal Haqem meminta aku menjumlahkan semuanya. Bagai kelas matematik sudah bermula.
“15 tangkai” balasku laju. Haqem mengangguk dan tersenyum.
“Maknanya saya minya maaf. Tolong maafkan saya” tutur Haqem persis merayu.
“Saya dah maafkan awak pun” balasku. Haqem tersenyum lagi. Haqem mengambil lebih banyak bunga ros dari bakul itu, lalu meletakkan di atas meja di depanku memandangkan tanganku sudah tiada ruang lagi.
“Letakkan semua bunga tu di sini” arah Haqem. Aku menurut saja perintah Haqem. Lantas aku campurkan bunga ros yang berada di tanganku ini dengan bunga ros di atas meja ini.
“Sekarang awak dah memiliki 24 tangkai bunga ros merah. Saya nak awak tahu bahawa saya tak boleh berhenti mengingati awak.... 24 jam sehari” tutur Haqem begitu romantis. Aku terkedu. Rasa terharu bertambah – tambah. Tiba – tiba saja kesemua bunga ros di dalam bakul itu dikeluarkan lalu diletakkan di depanku. Meja ini sudah dipenuhi oleh bunga – bunga ros segar yang semerbak mewangi. Haqem menatapku dengan wajah yang berseri – seri. Senyuman terukir di bibirnya. Seketika aku dan Haqem berpandangan.
“Sekarang awak dah ada 99 tangkai bunga ros merah. Awak tahu maknanya?” soal Haqem. Aku mengangguk. Angka 99 ini tidak begitu asing bagi peminat novel dan drama cinta sepertiku.
“Saya akan mencintai awak sepanjang hayat saya” ujarku menjelaskan simbolik angka 99 itu. Haqem mengangguk dan tersenyum.
“Saya juga akan mencintai awak sepanjang hidup saya” balas Haqem. Aku dan Haqem berlaga pandangan. Betapa romantis saat ini kurasakan.
“Encik Haqem.... Cik Lia...” suara perempuan yang menyapaku dan Haqem menyentakkan kami. Serentak aku dan Haqem berpaling. Sekumpulan perempuan sedang menatap aku dan Haqem dengan wajah yang sangsi. Mereka adalah pekerja KDUT.
“Berdua je ke? Cik Bella dan Encik Aqel mana?” soal perempuan yang menyapa kami tadi. Pertanyaan persis penyiasatan yang cuba memerangkap aku dan Haqem.
“Yelah .. Encik Haqem, takkan berdua je” sampuk seorang lagi. Aku dan Haqem hanya membisu. Pandangan perempuan ini beralih pada bunga ros merah di atas meja ini.
“Wow.... banyaknya bunga ros! Nak buka kedai bunga ke, Encik Haqem? Atau Encik Haqem hadiahkan bunga – bunga ni kepada Cik Lia?” soal perempuan ini dengan beraninya. Aku dan Haqem saling berpandangan. Seingatku mereka ini adalah kawan – kawan sekutu Rania. Mereka juga seperti Rania tidak menyenangiku. Paling tepat menganggapku sebagai musuh.
“Tak mungkin. Kan Encik Haqem tunang Cik Bella, Cik Lia pula tunang Encik Aqel. Tak percayalah kalau Encik Haqem dan Cik Lia nak curang.... he...he....he...” ujar seorang lagi dengan sengihan. Aku dan Haqem masih mendiamkan diri.
“Hey... kalian ni bisinglah. Mengganggu Encik Haqem dan Cik Lia saja. Tengok Encik Haqem dan Cik Lia diam je” tutur perempuan itu lagi.
“Minta maaflah Encik Haqem.... Cik Lia mengganggu. Kami pergi dulu. Have a nice day” tutur perempuan itu dengan senyuman lebar. Kawan – kawannya yang lain hanya tersengih menatap aku dan Aqel. Mereka beredar pergi dengan suara yang berbisik – bisik sesama sendiri. Pasti sedang membicarakan tentang aku dan Haqem.
“Tak payahlah pedulikan sangat mereka tu” suara Haqem memecah kesepian ini. Aku mengangguk. Senyap lagi. Kunjungan sekumpulan pekerja KDUT telah mengubah suasana romantis tadi. Tiba – tiba saja aku dan Haqem kematian akal hendak terus berbicara panjang. Ternyata aku dan Haqem lebih banyak mendiamkan diri sepanjang menikmati hidangan makan malam yang diiringi dengan alunan muzik yang romantis ini.

                                    

Kakiku yang baru saja hendak menapak di muka pintu bilik ini terus saja terhenti. Aku terpacak di situ mengamati suara – suara yang rancak berbual itu.
“Awak rasa ada berapa kuntum bunga ros merah di atas meja di depan Cik Lia ni?” soal gadis itu.
“50 kuntum” sahut satu suara perempuan lagi.
“Tak delah. Cuba tengok… 10….20….30…39…42….51… Rasanya lebihlah. Mungkin 99 kuntum” ujar seorang gadis lagi.
“Saya setuju. Mesti 99 kuntum” sokong gadis tadi dengan yakin.
“Saya akan mencintai awak sepanjang hayat saya. Wow….. romantiknya Encik Haqem!” tutur gadis itu teruja.
“Romantik apa benda! Saya tak sukalah lelaki curang!” rungut gadis seorang lagi penuh emosi. Dia mendengus melempiaskan rasa tidak puas hatinya.
“Cik Lia pun curang juga kepada Encik Aqel” jelas gadis itu kepada kawannya.
“Aduhai…. kasihan Encik Aqel! Kalaulah Encik Aqel sudi saya rela merawat kelukaannya itu” ujar gadis itu mendayu – dayu. Ada pula suara tawa memenuhi ruangan bilik itu.
“Jangan nak beranganlah. Cik Lia pergi berjuta perempuan datang nakkan Encik Aqel” tutur suara yang tertawa tadi. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Ceritaku dengan Haqem sudah sampai ke pengetahuan umum. Sekarang sudah hangat diperkatakan oleh warga KDUT. Aku mematikan niatku hendak berkunjung ke bilik ini. Hasrat hati mahu bertemu dengan pegawai di Bahagian Hal – Ehwal & Informasi kerana ada berita daripada  Bahagian Kostum yang perlu dimuatkan dalam Buletin KDUT. Lantas aku berpatah balik ke bilik operasi di bawah pengawasanku. Aku duduk di kerusi. Menarik nafas beberapa kali. Cuba bertenang.

Setelah rasa tenang dan ada kekuatan diri, jari – jemariku rancak menaip lawan web blog syarikat ini. Kuklik ikon buletin. Pandanganku terikat pada frasa ayat itu.
‘99 kuntum ros merah…. Panas! Panas!Cinta Encik Haqem untuk Siapa?.... Encik Haqem dan Cik Lia pasangan kekasih? …..Simpati dan sokongan kepada Cik Bella dan Encik Aqel! ….. Curang!...Curang…’ Bergetar bibirku membaca pelbagai gaya bahasa yang dipaparkan dalam laman blog ini. Kututup saja laman blog ini. Tidak mampu lagi aku hendak menyebut satu – persatu. Patutlah ketika aku melangkah masuk bangunan ini tadi ada saja pandangan aneh menatapku.
Tidak sampai 24 jam dipaparkan sudah mencecah 200 lebih komen daripada pembaca yang kuyakini mereka ialah warga KDUT. Ternyata aku dan Haqem telah menjadi cerita hangat yang sedang diperkatakan oleh warga KDUT. Pelbagai komen negatif yang tertulis di situ. Lantas ingatanku melayang kepada Haqem. Kasihan Haqem. Mudah – mudahan semua ini tidak akan sampai ke pengetahuan Datin Sofea. Bimbang akan menjejaskan kesihatan Datin Sofea lagi. Maka dengan menggunakan kuasanya di syarikat ini,  Haqem harus bertindak menghentikan semua ini dengan segera. Mungkin Haqem belum tahu perkara ini. Laju saja aku mengeluarkan telefon bimbitku, lantas menelefon Haqem. Seketika aku menanti panggilan ini dijawab oleh Haqem. Kedengaran suara perempuan mengarahkan pesanan ditinggalkan. Kucuba sekali lagi. Perkara yang sama berulang. Lantas kuhantar mesej kepada Haqem.
~ Awak dah buka blog syarikat? Saya harap awak akan bertenang. Tentang saya awak tak perlu risau. Saya baik – baik saja ~ Terus kuhantar mesej ini kepada Haqem. Hatiku dipagut keresahan. Barangkali Haqem sibuk menguruskan perkara itu. Perkara yang tidak kuduga akan berlaku. Aku memang tidak menyangka pertemuanku dengan Haqem akan menjadi bualan hangat sebegini. Bagaimana gambar – gambar itu diperoleh? Rupa – rupanya tanpa disedari ada orang yang mengintip kami. Siapakah dalang semua ini? Mungkinkah angkara sekutu Rania yang terserempak dengan kami semalam? Yang menghairankan aku begitu terperinci pula cerita yang disebarkan. Mungkin adanya si pemberi maklumat yang sangat bijaksana dan prihatin sehingga hal berkaitan bunga ros merah itu menjadi isu hangat. 99 kuntum ros merah telah menjadi pelbagai tafsiran dalam kalangan warga KDUT. Komen – komen yang memuji betapa romantiknya Haqem dan menyatakan sangat beruntungnya aku kerana menjadi pilihan Haqem. Namun dipenghujung ulasan – ulasan itu, semuanya menyalahkan aku dan Haqem yang telah berlaku curang pada pasangan masing – masing.
Tuduhan daripada orang yang tidak mengetahui cerita sebenarnya yang terpaksa aku terima dengan hati terbuka. Salah aku juga keluar bersama Haqem yang sudah ditentukan teman hidupnya. Sekarang aku harus bersedia menerima cemuhan warga KDUT, bersedia berhadapan dengan Datin Sofea dan Bella, malah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan? Bagaimana dengan Haqem? Adakah Haqem juga masih mampu bertenang dalam keadaan sekarang? Oh…. nyatanya bebanan Haqem kian bertambah! Pasti hubungannya dengan Datin Sofea kian berantakan. Aku disentakkan dengan bunyi deringan telefon bimbitku. Laju saja tanganku mencapainya. Haqem berada di talian sekarang.
“Assalamualaikum…. awak di mana sekarang?” soalku mahu mengetahui kedudukan Haqem sekarang.
“Saya dalam perjalanan ke pejabat” jelas Haqem tenang. Lega. Dalam keadaan sekarang Haqem masih mampu bertenang. Memang ini yang kuharapkan.
“Awak okey? Sekejap lagi saya sampai di pejabat. Saya jumpa awak nanti” tutur Haqem langsung tidak terganggu dengan perkara yang sedang hangat diperkatakan oleh warga KDUT sekarang.
“Saya okey, tak perlu awak risau tentang saya. Patutkah kita berjumpa dalam keadaan sekarang?” soalku bimbang. Mungkin ketika ini bukan masa yang sesuai aku bertemu dengan Haqem.
“Tiada siapa yang mampu menghalang saya untuk bersama awak. Mungkin dah sampai masanya orang lain mengetahui hal sebenarnya” tutur Haqem serius.
“Maksud awak?” soalku risau mendengar kenekadan Haqem ini. Senyap.
“Jangan bertindak apa – apa sekarang, Haqem. Selesaikan dulu cerita – cerita hangat dalam blog ni. Saya risaukan mama awak. Risau kalau – kalau Datin Sofea akan sakit lagi kerana hal ni” jelasku.
“”Awak jangan risau pasal perkara ni. Aqel dah selesaikan perkara ni dengan Bahagian Hal Ehwal & Informasi. Cerita dan gambar – gambar semuanya dah disekat penyebarannya. Awak boleh semak di blog nanti. Sekarang Aqel sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab dalam hal ni” jelas Haqem panjang lebar. Aku terdiam. Terbayang di mataku wajah serius Aqel. Mungkinkah Aqel akan marah padaku gara – gara tidak berhati – hati dalam hal ini. ‘Maafkan aku Aqel. Aku telah menyusahkan awak untuk sekian kalinya’... bisik suara hatiku.
“Saya letak telefon ni dulu. Nanti saya jumpa awak. Assalamualaikum....” suara Haqem tidak kedengaran di talian lagi. Aku meletakkan telefon bimbitku di atas meja sambil melontar pandangan jauh – jauh persis menembusi dinding konkrit itu. Teringat pada bicara Haqem, laju saja aku membuka blog syarikat semula. Mengklik ruangan buletin. Aqel bertindak pantas. Cerita hangat dan sensasi tidak terpapar di blog lagi. Aku menghela nafas lega. Hakikatnya cerita ini sudah tersebar luas dalam kalangan warga KDUT. Tiada sebarang tindakan yang mampu menyekat dan menghalang mulut – mulut bercerita tentang perkara ini. Namun aku tetap terhutang budi kepada Aqel. Sesungguhnya, Aqel seringkali menjadi penyelamatku.

Aku menarik nafas dalam – dalam. Semuanya akan baik – baik saja. Sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Mahu tidak mahu aku harus berhadapan dengan warga KDUT. Aku tidak boleh berkurung di bilik ini saja. Tatkala kakiku melewati pintu bilik ini, berpasang – pasang mata menatapku. Suara – suara sumbang yang berbisik – bisik. Terasa diriku dipersalahkan sepenuhnya. Memang adat dunia gerangan yang tidak berharta sering menjadi mangsa. Segala kesalahan akan diletakkan di bahu insan yang tidak berharta. Timbullah tanggapan yang mempersoalkan kejujuran cinta pasangan dua darjat ini. Kononnya cinta yang lahir semata – mata kerana harta. Memiliki pasangan yang kaya – raya bagi menumpang kesenangan diri. Itulah hipotesis yang diterima tatkala dua insan berlainan darjat memadu kasih.
“Dialah yang goda Encik Haqem. Memang perempuan tak tahu malu” Ada suara sumbang melemparkan kutukan kepadaku. Langkahku mati. Aku melirik ke arah pemilik suara itu. Dua orang gadis begitu leka sedang memperkatakan tentang aku. Kehadiranku di situ langsung tidak disedari oleh mereka.
“Yelah... nampak saja baik tapi boleh tahan juga gatalnya. Kasihan Cik Bella” sokong satu suara pula melemparkan kata – kata kesat kepadaku.
“Saya hairan juga macam mana Encik Aqel boleh ada hati padanya. Sekarang Encik Haqem pula yang jadi mangsanya. Memang tak patut betul” suara itu mendengus kasar. Aku tertunduk. Terasa keyakinanku hendak berhadapan dengan semua orang kian pudar.
“Jangan – jangan perempuan tu ada ilmu sihir, sebab tulah Encik Aqel dan Encik Haqem mudah saja jatuh cinta padanya. Kalau nak harapkan mukanya taklah secantik manapun. Ramai lagi yang lebih cantik di sini” tutur gadis itu. Kemudian kedua – duanya tertawa. Senang hati dapat melempiaskan ketidakpuasan hati mereka.
“Flora....!” Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Dua orang perempuan yang sedang leka berbual ini turut berpaling. Mereka terkedu dan nampak serba salah.
“Cik Lia... Encik Aqel” tutur gadis ini gugup. Aqel sudah berdiri di sebelahku. Wajahku direnung. Aku hanya mampu tersenyum hambar menatap Aqel. Pasti Aqel telah mendengar penghinaan dan cacian mereka. Pandangan Aqel serius menatap kedua – dua gadis itu.
“Sama ada saya atau Encik Haqem jatuh cinta padanya, itu bukan urusan kalian” tegas Aqel. Kedua - duanya masih tertunduk tidak berani mahu bertentang mata dengan Aqel.
“Mari..... Flora” Aqel terus saja mencapai tanganku dan memautnya lalu menarikku beredar dari situ. Aku terdorong mengekori langkah Aqel.
“Aqel lepaskan tangan saya” pintaku. Seraya cuba menarik tanganku dari pautan Aqel.
“Please.... Aqel” rayuku. Langkah Aqel terhenti. Lantas berpaling menatapku. Pautan tanganku dengan tangan Aqel terlerai.
“Saya bawa awak jumpa Haqem sekarang” tutur Aqel. Kemudian menyambung langkahnya kembali. Melihat Aqel bersamaku, semuanya buat – buat tidak nampak. Masing – masing menyibukkan diri. Warga KDUT tidak mengendahkan aku yang sedang melewati mereka. Andai Aqel tidak berada di sebelahku tika ini, pasti banyak sorotan mata tajam sedang menjelingku. Suara – suara sumbang tidak akan berhenti menyalahkanku. Maka tika ini aku sedar Aqel terus menjadi pelindungku.
“Nasib baik ada Encik Aqel lindunginya. Kalau tak pasti mahu bunuh diri agaknya dia sebab tak tahan dengar orang cakap – cakap pasal dia” sayup – sayup suara perempuan kudengar memperkatakan tentang aku. Aku mengetap bibir. Sabarlah hati. Allah sedang mengujiku. Kulontar pandangan ke arah Aqel. Langkahnya laju di depanku. Mujur Aqel tidak mendengar suara perempuan tadi. Bimbang juga Aqel akan menegur mereka. Nanti nampak sangat Aqel cuba melindungiku. Situasi ini boleh menimbulkan rasa tidak senang dan tidak puas hati orang lain terhadapku.
Aqel membawaku ke taman di atas bumbung bangunan ini. Ternyata Haqem sedang menanti kedatangan kami. Seulas senyuman terukir di bibir Haqem. Dia kelihatan begitu tenang. Jelasnya cerita hangat antara aku dengan dirinya tidak mengganggu emosinya.
“Kamu berbuallah. Saya tunggu di sana” ujar Aqel meninggalkan aku bersama Haqem. Aqel melangkah ke hujung sana. Seketika aku menyoroti langkah Aqel.
“Kita perlukan Aqel di sini untuk melindungi awak” ujar Haqem. Kualih pandanganku pada Haqem. Mengapa Aqel perlu melindungiku sedangkan Haqem bersamaku sekarang? Tidak yakinkah Haqem yang dirinya mampu melindungiku? Barangkali Haqem mahu mengambil langkah berjaga – jaga dan tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi. Sekurang – kurangnya kewujudan Aqel ini tidak menunjukkan aku dan Haqem berdua – duaan di sini. Aku cuba mengambil pendekatan positif.
“Awak okey?” suara Haqem sedikit menyentakkanku. Aku mengangguk dan cuba tersenyum.
“Mulai sekarang, awak mesti bertahan dan jangan pedulikan kata – kata orang di sekeliling. Saya akan selesaikan perkara ini sedikit masa lagi” ujar Haqem memohon kekuatan dan kekebalan diriku.
“Bagaimana dengan Datin Sofea dan Bella? Saya risau mama awak akan sakit lagi” ujarku jujur lahir dari keikhlasan hatiku. Haqem tersenyum.
“Terima kasih sebab awak ambil berat pasal mama. Aqel dah berjaya menyekat penyebaran gambar dan cerita pasal kita di internet. Semua ini dah tak de dalam ruangan Buletin KDUT” jelas Haqem menarik nafas lega.
“Awak pasti ke?” soalku kurang yakin. Betapa cepatnya Aqel bertindak. Haqem mengangguk.
“Tapi saya rasa semua warga KDUT telah mengetahuinya. Pasti ada yang akan memaklumkan perkara ini kepada Datin Sofea mahupun kepada Bella nanti” ujarku gusar. Terbayang wajah Rania dan kawan – kawan karibnya tika ini. Mustahil Rania akan mengunci mulutnya. Hal ini merupakan senjata Rania untuk melempiaskan ketidakpuasan hatinya terhadapku. Namun bila kufikir semula, perkara ini sebenarnya mendatangkan kebaikan kepada Rania. Disensasikan cintaku telah beralih arah, maka Rania akan kembali kepada Aqel yang kononnya telah menjadi mangsa kecuranganku. Betulkah kali ini Rania akan membisu saja?
“Walau apapun yang terjadi, saya akan tetap bersama awak” tutur Haqem bersungguh – sungguh. Rawan hatiku mendengar bicara Haqem ini. Hampir – hampir air mataku menitis, namun kutahan. Sebak kurasa tika ini.
“Tak usah risau pasal mama dan Bella. Tak mustahil apa yang berlaku ni adalah rancangan mama. Mama mampu lakukan apa saja” ujar Haqem curiga.
“Tak elok awak tuduh mama awak begitu” tegurku. Kedengaran keluhan Haqem.
“Hanya mama yang mampu bertindak terperinci sedemikian. Tengok saja gambar – gambar tu diambil begitu sempurna sekali. Pasti orang profesional upahan yang melakukannya” hujah Haqem begitu yakin. Aku hanya diam.
“Semua ini dilakukan untuk memusnahkan awak. Mama pasti berharap agar awak berputus asa saja setelah dia tak mampu menghalang saya” ujar Haqem begitu yakin. Aku melepaskan keluhanku. Pahit untukku telan semua ini. Tidak sampai hati memberikan sebarang ulasan pada bicara Haqem. Bimbang melontar Haqem dalam delima yang panjang.
“Mungkin juga kita memang tak de jodoh untuk bersama. Mama awak tak merestui hubungan kita” ujarku bagaikan sudah patah hati.
“Mengapa awak cakap begini?” suara Haqem sedikit tinggi. Wajahnya serius. Aqel berpaling ke arah kami. Mungkin tersentak mendengar nada suara Haqem yang tinggi ini. Senyap.
“Maafkan saya....” ujarku membuatkan Haqem beremosi.
“Maafkan saya juga. Saya bukan berniat mahu meninggikan suara pada awak tadi” ujar Haqem kesal. Aku mengangguk mengerti. Langsung tidak terkilan dengan tindakan Haqem.
“Andai awak mahu mengalah bermakna hasrat mama telah tercapai. Mama akan menang” tegas Haqem. Aku diam. ‘Haqem, ketahuilah olehmu, ini bukan soal siapa menang, siapa kalah. Aku sama sekali tidak pernah terfikir mahu bersaing dengan Datin Sofea demi menentukan siapa yang akan memenangi pertelingkahan ini. Hasratku hanya mahu membahagiakan dirimu’ cetusku dalam hati.
Lantas aku teringat pada bicara Bella. Haqem sudah bersumpah dengan Datin Sofea akan menikahi Bella. Sumpah seorang anak kepada seorang ibu besar nilainya. Patutkah Haqem mengingkari sumpahnya itu? Patutkah aku harus bersama Haqem untuk menjadikan Haqem anak derhaka dan dalam masa yang sama kehadiranku dalam keluarga Datin Sofea tidak pernah dialu – alukan. Patutkah aku tidak mempedulikan semua itu? Aku terdiam panjang. Runsing.

                                    


Aku membutakan mata celikku tidak mahu mengendahkan jelingan dan pandangan tajam insan – insan yang tidak berpuas hati padaku. Aku menuli dan memekakkan telinga daripada mendengar kata – kata kesat dan tohmahan yang dilemparkan padaku. Nampak ramai sangat orang yang tidak berpuas hati padaku. Demi Haqem aku cuba bertahan. Demi Haqem juga aku hanya membisu seribu bahasa. Tidak berhasrat mahu membela diri. Rasanya diam itu lebih baik. Aku yakin orang di sekelilingku akan berhenti mengutukku. Perlahan – lahan mereka akan melupakan perkara ini. Inilah wajah kehidupan di dunia.

Aku memandu kereta Waja mak ke Taman Kenangan. Memandangkan pertemuanku dengan Haqem tempoh hari sedang disensasikan, maka Haqem mengarahkan aku menemuinya di taman ini. Terlintas di benakku biar saja Haqem memohon pertolongan Aqel untuk bersama kami agar pertemuan ini boleh dilangsungkan di pejabat. Namun Aqel tidak datang ke tempat kerja hari ini kerana ada urusan di luar. Maka aku pendamkan saja hasrat hatiku itu.
Aku meletakkan kereta Waja di laman parkir. Menghabiskan masa beberapa minit di dalam kereta ini. Tatkala teringatkan Haqem, laju saja tanganku mematikan enjin kereta. Lantas melangkah keluar. Bimbang Haqem sudah datang dan sedang menungguku. Aku mengatur langkah memijak laluan pejalan kaki sambil menikmati angin petang yang menyegarkan. Aku melontar pandangan pada bangku kayu di bawah pohon pokok yang merimbun itu. Kosong. Aku melangkah ke arah bangku kayu itu lalu melabuhkan dudukku di situ. Kupandang sekeliling taman ini, tiada kelibat Haqem kutemui. Yang ada hanya sepasang suami isteri tua melayan karenah cucu mereka. Di seberang sana ada sekumpulan remaja sedang berseronok menunggang basikal sambil bersaing – saing. Ada juga pasangan kekasih yang sedang rancak berbual sambil menyulam senyuman bahagia. Aku memerhatikan gelagat manusia yang berada di taman ini.
Aku melirik jam tanganku. Sudah 30 minit berlalu dari masa yang dijanjikan. Namun kelibat Haqem belum kelihatan lagi. Kucapai telefon bimbitku dari saku beg galas ini mahu mempastikan kalau Haqem ada membuat panggilan yang tidak kudengar atau menghantar mesej. Kosong. Tiada panggilan mahupun mesej daripada Haqem. Kusimpan kembali telefon bimbit ini ke dalam saku beg galas ini. Kulontar pandanganku menjejaki insan – insan yang kuperhatikan tadi. Kelibat pasangan suami isteri tua bersama cucunya itu sudah tidak kelihatan. Pasangan kekasih tadi sedang melangkah meninggalkan taman ini, manakala sekumpulan remaja tadi semakin berkurangan ahlinya. Kira – kira 20 minit kemudian, tinggallah aku bersendirian di taman ini masih setia menanti kedatangan Haqem dengan penuh kesabaran. Sedikit pengorbanan demi Haqem.
Tiba – tiba saja awan bertukar wajah mendung. Tanda – tanda mahu hujan. Aku berharap angin bertiup kuat agar dapat membawa awan gelap ini berlalu pergi. Terasa rintik – rintik air jernih jatuh ke tanganku. Kemudian kian membesar. Bingkas aku bangun, lalu berlari ke arah parkir. Cepat saja aku masuk ke dalam kereta. Lima minit aku hanya duduk terpaku di dalam kereta ini sambil memerhatikan titisan hujan yang kian lebat. Aku masih berharap akan kemunculan Haqem saat ini. Maka aku mengambil keputusan meluangkan masa lima minit lagi menanti kedatangan Haqem.
Tepat 6.00 ptang aku mula memandu kereta Waja ini meninggalkan laman parkir meredah curahan hujan yang membasahi bumi. Aku mendengar bunyi letupan yang kuat. Kemudian terasa perjalanan kereta Waja ini tidak seimbang. Terasa ada masalah pada tayar. Mungkin tayar kereta ini pancit. Aku menghidupkan isyarat berhenti di sebelah kanan, lalu meminggirkan kereta ini di bahu jalan. Kutoleh ke belakang. Tiada payung di dalam kereta ini. Mungkin di dalam bonet. Sejenak aku berfikir. Aku mesti mempastikan keadaan kereta ini. Aku tiada pilihan lain. Aku terus saja keluar meredah titisan hujan berlari membuka bonet. Malangnya tiada payung di situ. Tidak mahu berlengah, aku terus memerhatikan tayar kereta ini. Tayar belakang pancit.
Aku kembali masuk ke dalam kereta. Berfikir sejenak sambil menatap tititsan air hujan. Kucapai telefon bimbitku. Lama aku merenungnya. Berat hatiku hendak melibatkan orang lain. Kusimpan telefon bimbitku kembali. Aku begitu alah pada air hujan. Namun sudah tiada pilihan. Mahu tidak mahu aku terpaksa juga keluar dari kereta ini. Kalau hendak ditunggu hujan selebat ini  hendak berhenti pasti lama. Aku membuka bonet kembali. Malang berganda – ganda menimpaku. Tiada tayar gantian di sini. Bonet kututup. Aku berlari masuk ke dalam kereta semula dalam keadaan yang basah. Mula mengibas – ngibas pakaian dan menyapu rambutku. Tidak sampai lima minit, aku sudah bersin. Apa yang patut aku lakukan sekarang? Tunggu hujan lebat berhenti pasti mengambil masa yang lama. Dalam aku berkira – kira membuat pertimbangan, aku dikejutkan dengan deringan telefon bimbitku. Laju saja aku mengeluarkannya dari saku beg galasku. Mak. Mak pasti kerisauan menanti kepulanganku.
“Assalamualaikum mak” sapaku. Kedengaran suara mak menjawab salamku.
“Kamu di mana sekarang? Mengapa belum balik lagi?” soal mak bertalu – talu dengan nada kerisauan.
“Minta maaf, mak. Tayar kereta ni pancit. Tak de tayar gantian dalam bonet. Hujan lebat kat sini sekarang” sahutku. Aku bersin lagi.
“Kamu di mana ni?” soal mak.
“Tepi jalan berhampiran dengan Taman Kenangan” sahutku. Senyap. Mudah – mudahan mak tidak akan bertanya sebab aku berada di sini.
“Kamu tunggu di sana. Jangan keluar dari kereta nanti kamu demam. Sekejap lagi mama telefon Aqel suruh datang sana” ujar mak.
“Hey.... tak payah mak” tegahku. Tidak mahu menyusahkan Aqel.
“Kamu tunggu saja di sana” arah mak. Sesaat kemudian suara mak sudah tidak kedengaran lagi. Laju saja mak meletakkan telefon. Pasti mak tidak akan mengendahkan permintaanku tadi. Aku melepaskan keluhan beratku. Kemudian terpaku memerhatikan simbahan air hujan yang langsung tiada tanda – tanda mahu berhenti. Benakku mengingati Haqem. Sehingga ke detik ini Haqem belum menghubungiku lagi mahupun menghantar mesej kepadaku. Haqem menyepi begitu saja.
Aku menyandarkan tubuhku di kerusi lalu memejamkan mataku. Mahu saja memadamkan prasangka yang sedang bermain di benakku. Terasa panas mengalir di pipiku. Laju saja tanganku mengesatnya. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Aku bersin lagi. Ada cecair keluar dari hidungku. Serta merta aku diserang selsema. Kepalaku mula terasa sakit. Ternyata air hujan mula menampakkan kesan kepadaku. Ketukan bertalu – talu di cermin kereta di sebelahku mengejutkanku. Mata kubuka. Tersentak aku menatap Aqel sudah terpacak di tepi kereta dengan payung di tangannya. Kuturunkan sedikit cermin.
“Mari saya hantar awak balik” ujar Aqel melawan bunyi hujan yang turun.
“Kereta ni?” soalku.
“Tinggalkan di sini. Saya dah arahkan kawan di bangkel tukar tayar. Dia dalam perjalanan ke sini” jelas Aqel sedikit melaung melawan bunyi hujan. Melihat kilat memancar – mancar dan risaukan keselamatan Aqel, aku terus saja menolak daun pintu dan bangkit dari dudukku. Kini aku sepayung dengan Aqel. Begitu dekat. Aku berundur selangkah, namun cepat saja tangan Aqel menolak lembut belakangku merapatinya. Hampir – hampir tubuhku dan tubuh Aqel bersentuhan.
“Dekat – dekat sikit nanti awak terkena air hujan” ujar Aqel memberi penjelasan pada tindakannya sebentar tadi. Aku hanya mendiamkan diri sambil menekan kunci kereta Waja mak. Kemudian melangkah beriringan dengan Aqel ke arah kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang berhenti di belakang kereta Waja ini. Betapa aku tidak menyedari kedatangan Aqel tadi.
“Masuk......” arah Aqel sambil menguak pintu kereta. Daun pintu ditolak. Aqel berlari ke pintu sebelah. Aku menoleh ke arah Aqel yang duduk di sebelahku. Lincah tangannya mengelap sisa air hujan yang singgah di lengan dan pipinya. Kelihatan titisan air hujan pada rambut Aqel.
“Nanti lepas saya hantar awak balik, saya ambil kereta Waja tu dan terus hantar ke rumah awak” jelas Aqel. Aku mengangguk. Bersin lagi. Kali ini lebih kerap. Aqel memandangku. Tiba – tiba saja Aqel menanggalkan jaket jeans di tubuhnya. Kemudian menyeluk saku seluarnya. Sapu tangan dikeluarkan. Di luar dugaanku, Aqel terus saja meletakkan jaket jeans dan sapu tangan itu di pangkuanku. Aku berpaling menatap Aqel dengan persoalan.
“Pakai jaket tu dan lap titisan air hujan di muka awak tu. Jangan risau kebersihan sapu tangan tu dijamin seratus – peratus” ujar Aqel tersenyum.
“Tak pe” ujarku berhasrat mahu mengembalikan jaket jeans dan sapu tangan ini kepada Aqel semula. Dalam kedinginan hujan lebat sekarang Aqel juga memerlukannya.
“Jangan berdegil pakai saja” arah Aqel serius. Aku bersin lagi.
“Sejuk ke?” soal Aqel lalu mengalih arah penghawa dingin itu. Kupandang sejenak jaket jeans dan sapu tangan ini. Perlahan – lahan aku menyarungkan ke tubuhku dan mengelap sisa – sisa titisan air hujan di muka dan rambutku. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe mula meluncur laju di dada jalan.
“Awak menangis, Flora?” soal Aqel menyentakkanku. Laju aku menggeleng.
“Mana ada. Air hujanlah” nafiku. Aqel menatapku buat aku serba salah. Kemudian mengalih pandangannya ke hadapan semula.
“Mata awak merah” ujar Aqel. Kali ini aku tidak mampu membalas bicara Aqel. Segera aku berpaling ke tingkap melarikan mukaku daripada pandangan Aqel.
“Awak tunggu Haqem datang tadi?” soal Aqel menambah rasa tidak selesaku. Aku diam. Pertanyaan Aqel tidak kujawab.
“Mengapa Haqem tak datang?” soal Aqel menghujani aku dengan pertanyaan – pertanyaannya. Aqel sudah dapat meneka segala – galanya.
“Haqem datanglah tadi tapi terpaksa pergi sebab ada hal kecemasan” sahutku berbohong.
“Bila dia pergi?” soal Aqel berlagak penyiasat.
“Kira – kira 15 minit tadi” sahutku tanpa berfikir panjang.
“Mengapa dia tinggalkan awak sendirian di sini sedangkan dia tahu tayar kereta awak pancit” ujar Aqel memerangkapku.
“Baru 15 minit berlalu dari masa Mak Usu telefon saya tadi. Tolak lima minit perjalanan ke sini. Bermakna ketika Mak Usu telefon saya tadi, Haqem masih berada di sini dan pergi sebelum saya datang. Hampir – hampir bertembung dengannya” ujar Aqel bernada sinis.
Aku membisu lagi. Bukan mudah hendak menipu Aqel. Pengamatannya sangat teliti. Aku masih melontar pandangan keluar. Jelasnya aku tersilap tingkah. Aqel hanya fokus pada pemanduannya dan tidak bersuara lagi sehinggalah sampai ke halaman rumah mak.
“Terima kasih, Aqel” ujarku lalu menolak perlahan daun pintu kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini. Aqel hanya menatapku dengan pandangan kosong seperti biasa. Aku terus bangkit dari dudukku.
“Flora.......” Hajatku hendak keluar dari kereta ini tertangguh. Aku berpaling menatapnya.
“Kunci Waja tu mana?” soalnya. Aku tersenyum.Terlupa pula hendak menyerahkan kepada Aqel. Kuseluk saku beg galasku lalu mengeluarkan kunci itu. Kunci kuserahkan kepada Aqel.
“Saya akan hantar kereta tu sekejap lagi. Maklumkan kepada Mak Usu nanti” pesan Aqel formal. Aku mengangguk.
“Terima kasih” ujarku sekali lagi. Kemudian melangkah keluar dan menutup daun pintu kereta ini. Tiba – tiba saja cermin kereta diturunkan. Aqel menjengukkan sedikit mukanya lalu memandangku.
“Jangan lupa makan ubat dan mandi air suam nanti” pesan Aqel, lantas menaikkan semula cermin kereta Peugeot RCZ Sports Coupe. Kemudian terus bergerak meninggalkan aku yang masih terpacak di sini memerhatikan Aqel bersama kereta Peugeot RCZ Sports Coupe pergi.
“Buat apa kamu terpacak di situ lagi? Cepat mandi!” suara mak mengejutkanku. Aku melangkah longlai ke muka pintu mendekati mak. Terus mencium tangan mak.
“Kamu terkena air hujan ni” Laju saja tangan mak mendarat di dahiku. Aku bersin.
“Dahi kamu panas, nak demam ni” keluh mak. Aku hanya tersenyum sekilas. Kepalaku mula terasa berdenyut – denyut.
“Cepat pergi mandi air suam dan jangan lupa makan ubat supaya selsema kamu tu tak menjadi” ujar mak mengulangi arahannya. Terdengar – dengar suaa Aqel. Begitu jugalah pesanan Aqel kepadaku. Memang seacuan ibu dan anak saudara itu.
Aku mematuhi arahan mak. Kutinggalkan mak tercengat di ruang tamu. Keluar saja dari bilik air, sudah ada ubat selsema dan segelas air suam. Begitu prihatin mak kepadaku. Melayanku ibarat anak kecil. Timbul sebak di dadaku. Kutelan ubat selsema bersama air segelas. Kemudian terus berbaring di atas katil . Kutarik selimut menyelubungi tubuhku. Terasa kedinginan yang mencengkam dengan kepala yang berdenyut – denyut. Sejenak aku terpaku di atas katil ini dengan mata yang tidak bergerak – gerak menatap syiling. Benakku melayang mengingati Haqem. Mengapa Haqem tidak muncul – muncul tadi? Mengapa dia tidak menelefonku atau menghantar mesej kepadaku? Persoalan tadi kembali bermain di benakku. Haqem menghilang begitu saja. Aku melepaskan keluhanku. Mudah – mudahan kehidupan Haqem dipermudahkan Allah. Aku menguap beberapa kali. Mula terasa mengantuk. Ubat selsema yang kutelan mula memberi kesan. Akhirnya aku tidak ingat apa – apa lagi. Terlena sepanjang malam.

                                    

AKU bersin beberapa kali. Ada cecair jernih keluar dari hidungku. Laju saja aku mengelapnya dengan tuala kecil yang sentiasa berdampingan denganku sejak bangun tidur tadi. Mak yang duduk di depanku menatapku.
“Betul kamu nak pegi kerja ni?” soal mak. Aku mengangguk. Kuhirup perlahan air milo panas di cawan. Terasa nikmatinya. Sedikit menghilangkan kedinginan tubuhku. Namun malangnya deria rasaku kurang tajam. Aku tidak dapat menikmati kelazatan menu sarapan yang mak sediakan.
“Sedikir saja kuih kamu makan?” tegur mak.
“Hidung Lia tersumbat. Deria rasa Lia tawar saja” jelasku.
“Rehat sajalah di rumah. Nanti mak telefon Aqel beritahu kamu tak sihat” saran mak. Serius wajahku menatap mak.
“Lia selsema saja. Mampu lagi nak pergi kerja ni” ujarku menolak cadangan mak itu. Mak mengeluh kecil. Tidak mampu dia menghalang keputusanku.
“Mak, Lia pergi dulu” ujarku bangkit dari dudukku. Aku mencium tangan mak memohon restunya agar perjalananku hari ini berlangsung dengan baik.
“Jaga diri baik – baik” pesan mak. Aku mengangguk. Kutinggalkan mak bersendirian di ruang makan ini. Kemudian bersama kereta Waja milik mak ke tempat kerja.
Sepanjang perjalanan ini sebelah tanganku memicit – micit dahiku yang berdenyut – denyut. Bersin lagi. Keadaan yang langsung tidak memberi keselesaan kepadaku. Aku rasa dingin sejuk. Memang aku diambang demam. Kereta Waja memasuki laman parkir. Kugagahi diri mengatur langkah ke pintu utama bangunan KDUT. Di pertengahan ruang lobi, langkahku terhenti. Kepalaku berdenyut – denyut. Pandanganku berpinar – pinar. Kupejamkan mataku. ‘Ya Allah, janganlah aku pengsan di sini....’ Sempat hatiku berbisik menitip doa.

“Perempuan tak tahu malu....!” jerkah suara perempuan yang tidak begitu asing di telingaku. Aku berpaling. Kabur – kabur aku nampak wajah menyinga Bella yang dirasuk api kemarahan. Langkahnya semakin mendekatiku. Aku dapat merasakan kehadiran gadis ini membawa malapeta buatku. Namun aku tidak mampu berganjak dari sini mahupun berfikir lagi. Kesakitan di kepalaku semakin mencengkam.

“Ini ganjaran atas perbuatan awak...!” jerkah Bella. Puppp...! Perit rasanya. Tangan Bella sudah singgah di wajahku. Tidak sempat aku mengelak. Wajah Bella berkembar – kembar di mataku. Tidak jelas lagi. Yang aku nampak cahaya berkelip – kelip putih dan beputar – putar di sekelilingku. Pupp...! Aku jatuh terjelompok ke lantai marmar ini.

“Lia....!!!” sayup – sayup aku mendengar suara jeritan Haqem. Gelap. Akhirnya aku tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingku lagi.