BAB 45
Aku menapak di halaman KDUT dengan langkah longlai.
Terasa berat sahaja hatiku hendak berkunjung ke sini semula setelah dua hari mengambil cuti
sakit ditambah lagi dengan tiga hari mengikuti percutian rombongan KDUT. Satu
jangka masa yang kukira panjang juga untuk aku melupakan seketika tentang kerja
– kerjaku di sini. Tambahan pula kepalaku sedang sarat memikirkan hajat hati
mak dan Mak Long yang menjadi bebanan berat kepadaku. Aku berharap sangat
jikalau Aqel mampu mengeluarkan aku daripada kemelut ini setelah aku tidak
mampu mempengaruhi mak yang nampak berkobor – kobor sangat hendak bermenantukan
Aqel. Aqel memang lelaki pilihan pertama mak untuk dijadikan menantunya sekali
gus teman hidupku. Aku melepaskan keluhan kecilku. Mengapakah Aqel begitu menambat
hati mak?
Aku memulakan langkahku, melewati pintu utama dengan
langkah longai. Hari tidak bersemangat melandaku lagi. Tidak disangka – sangka
di ruang legar lobi ini aku bertembung dengan Aqel. Sempat juga kami saling
berpandangan tanpa sebarang sapaan. Aku hampir – hampir mendahului menyapa Aqel, namun melihat Aqel tidak
menunjukkan reaksi mahu berbual denganku, kupadamkan sahaja niatku itu. Laju
sahaja langkah Aqel menjarakkan dirinya daripadaku. Mungkin Aqel masih merajuk
lagi. Aku melepaskan keluhanku lagi. Rasa bersalah pula kepada Aqel. Memang
tindakanku semalam agak keterlaluan. Aku tidak sepatutnya berbicara sedemikian
di depan mak sedangkan selama ini Aqel tidak pernah mengungkit halku dengan
Haqem di depan mak mahupun di depan Mak Long. Kesal sebab aku gagal menjadi
sahabat yang setia kepada Aqel.
“Ya Allah.... Engkau permudahkanlah perjalananku hari
ini...” bisikku berbicara sendiri lalu menolak daun pintu dengan langkah kanan
menapak masuk ke dalam bilik ini. Aku berharap kerja – kerja yang kutinggalkan
selama lima hari ini akan membuatkan aku lupa perkara yang sedang bergolak
dalam benakku tika ini. Aku meletakkan fail di tepi meja. Sekejap lagi aku
menyusunnya di rak fail yang disediakan.
Aku melontar pandangan pada jam di dinding. Jarum panjang
sudah menjangkau ke angka 12 manakala jarum pendek menghampiri angka 1. Sudah
waktu rehat sekarang. Betapa khusyuknya aku menyelesaikan tugasku sehingga aku
tidak menyedari peredaran masa yang terlalu pantas. Alhamdulillah.... Allah
memperkenankan permohonanku. Separuh daripada hari ini berjalan dengan baik.
Aku mencapai sebotol air mineral di tepi meja, lalu memusing penutupnya. Dengan
kalimah Allah, aku terus meneguk air mineral ini. Terasa nikmatnya tatkala
membasahi tekakku. Kuteguk lagi untuk beberapa kali. Hari ini cukuplah sekadar
sebotol air mineral sebagai pengalas perutku. Memandangkan aku tidak berselera,
maka aku tidak bercadang untuk makan tengah hari.
“Awak hanya minum air kosong sahaja? Awak tidak mahu
makan tengah harikah?” ada suara lelaki menyapaku. Laju aku melontar
pandanganku ke muka pintu. Haqem sedang melangkah masuk sambil tersenyum. Kedatangan
Haqem ini sedikit mengejutkan aku. Haqem singgah sekejap di sofa di sudut bilik
ini, lalu meletakkan beg kertas di tangannya di atas meja. Kemudian bergerak
menghampiriku. Seminit kemudian Haqem sudah terpacak di depanku sambil
memandangku. Terasa renungan mata Haqem begitu dalam sehingga menusuk hatiku. Aku
merasakan ada getaran dalam diriku. Haqem tersenyum lagi.
“Mari kita makan sama – sama. Saya ada beli makanan tadi”
tutur Haqem mempelawaku. Kupandang wajah Haqem. Nampak sayu sahaja sepasang
mata milik Haqem ini. Bagaikan Haqem sedang menanggung bebanan perasaan selama
ini. Aku sedar Haqem pasti terhukum atas tindakanku selama ini. Aku membenci
Haqem tanpa usul periksa.
“Haqem, awak terseksa selama ini?” tiba – tiba sahaja
persoalan itu meluncur laju dari celah bibirku. Haqem menatapku. Seketika aku
dan Haqem saling beradu pandangan.
“Nanti saya cerita kepada awak. Sebelum itu, kita makan
dahulu” tutur Haqem berjenaka buat aku tersenyum. Aku mengangguk.
“Mari...” ajak Haqem mendahuluiku melangkah ke sofa di
sudut bilik ini. Aku bingkas bangkit dari dudukku. Haqem sudah mengeluarkan
beberapa jenis makanan yang dibeli lalu menghindangnya di atas meja. Aku
melabuhkan dudukku di sofa bertentangan dengan Haqem.
“Ini nasi goreng makanan laut istimewa untuk awak. Awak
mesti sukakan...” tutur Haqem sambil meletakkan nasi itu di depanku. Rasa
terharu menjalar dalam diriku.
“Terima kasih Haqem” tuturku menghargai keprihatinan
Haqem ini.
“Habiskan nasi ini, tahu. Tadi saya terpaksa berbaris
panjang hendak beli nasi goreng ini. Orang kata restoran di depannya itu sedap
nasi gorengnya. Jadi hari saya cubalah hendak merasanya. Awak makanlah dahulu,
selepas itu baru boleh komen sedap atau tidak” tutur Haqem berjela dengan cerianya.
Aku mengangguk.
“Nasi goreng di sana memang sedap” sahutku. Haqem
menatapku.
“Saya sudah beberapa kali pergi ke situ dan makan nasi
goreng ini” jelasku. Haqem tersenyum. Senyuman Haqem tidak seindah senyumannya
dahulu. Mungkin kemanisan senyuman itu sudah pudar dek terluka dengan
tindakanku selama ini. Barangkali juga kerana aku bukannya lagi kekasih hati
Haqem. Terlalu kukuh tembok penghalang yang memisahkan aku dengan Haqem.
“Minta maaflah sebab menyusahkan awak terpaksa berbaris
hendak membeli nasi goreng ini” tuturku rasa bersalah.
“Saya pun hendak minta maaf juga” sahut Haqem
menghairankanku.
“Sebenarnya saya sering perhatikan awak. Saya tahu di
mana awak suka makan, di mana awak akan menghabiskan masa rehat awak, malah
saya masih ingat awak memang suka makan nasi goreng makanan laut. Tadi lama
juga saya tunggu awak di restoran itu namun awak tidak juga muncul – muncul.
Nasib baik jangkaan saya tepat yang awak berada di bilik ini sekarang” tutur
Haqem menyentakkanku. Selama ini Haqem sering memerhatikan aku?
“Minta maaflah Lia, saya memang tidak boleh biarkan awak
terlepas daripada pandangan mata saya” jelas Haqem tanpa berselindung. Betulkah
aku begitu penting buat Haqem.
“Saya pun minta maaf juga sebab banyak menyusahkan hidup
awak selama ini” tuturku perlahan. Haqem geleng kepala.
“Semua yang saya lakukan selama ini adalah demi kebaikan
awak. Biarpun awak membenci dan menyalahkan saya, saya tidak peduli. Namun sejak
akhir – akhir ini saya seakan tidak mampu setenang itu lagi” ujar Haqem
diiringi dengan senyuman tawarnya. Haqem melepaskan keluhannya.
“Saya memang hidup sengsara selama ini. Saya tidak mampu melupakan
awak. Saya terseksa apabila awak menjauhi saya. Saya menderita sebab tidak
dapat bersama awak. Paling melukai perasaan saya apabila mama dan Bella
menyakiti awak. Saya mahu melindungi awak” tutur Haqem serius. Kupandang wajah
Haqem.
“Saya mahu melindungi dan menjaga awak selama – lamanya”
tegas Haqem buat aku terpaku. Besar sungguh hajat hati Haqem.
“Adakah saya berpeluang untuk melakukannya, Lia? Masihkah
saya ada di hati awak?” soal Haqem menyentakkanku. Aku tergamam dan terpaku.
Kupandang wajah Haqem yang sudah bersedia menantikan jawapanku. Sukar untukku
berbicara dalam hal ini.
“Saya sudah lapar ini. Boleh kita makan sekarang” tuturku
mengubah topik perbualan. Haqem tersenyum. Hakikatnya aku tidak mahu terburu –
buru memberi jawapannya.
“Oh.... makan ... makan... Lia” tuturnya Haqem mengarahkan
aku menikmati nasi goreng ini. Aku terus memulakan suapanku. Begitu juga dengan
Haqem. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Haqem. Cuba menyelami perasaan
Haqem saat ini. Barangkali Haqem kecewa kerana aku tidak mampu menjawab
persoalannya tadi. Lima minit berlalu, aku dan Haqem hanya fokus pada makanan
masing – masing. Sesi makan tengah hari kami berlangsung dengan sunyi sepi. Aku
yang bercadang tidak mahu makan tengah hari tadi tiba – tiba sahaja berselera.
Sebetulnya aku tidak mahu mensia – siakan tenaga Haqem berbaris untuk membeli
nasi goreng ini. Perkara ini bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh
Haqem memandangkan status dirinya yang tidak biasa hidup sukar.
“Assalamualaikum....Lia...” suara Marnie kedengaran di
sebalik pintu yang sudah terkuak sedikit. Serentak aku dan Haqem berpaling ke
muka pintu. Kelibat Marnie kelihataan sepenuhnya. Bulat anak mata Marnie
menatapku dan Haqem. Nampak dia terkejut.
“Encik Haqem ada di sini rupanya. Encik Aqel tidak ikut
samakah?” soal Marnie langsung tidak mahu memisahkan aku dengan sebaris nama
itu. Aku angkat bahu. Tidak tahu di mana Aqel berada sekarang. Yang pastinya
Aqel sedang marahkan aku sekarang. Haqem juga tidak mampu menjawab persoalan
Marnie, lantas aku dan Haqem hanya membiarkan pertanyaan Marnie berlalu. Marnie
datang merapati kami sambil silih berganti menatapku dan Haqem. Dia diburu
kesangsian sekarang.
“Awak sudah makan rupanya. Saya baru sahaja hendak ajak
awak temankan saya makan” keluh Marnie tidak gembira. Haqem tersenyum.
“Awak terlambat Marnie” tutur Haqem kepada setiausahanya
ini.
“Itulah Encik Haqem datang sini senyap – senyap, langsung
tidak mahu beritahu saya. Kalau tidak boleh juga saya ikut sama tadi” leter
Marnie bagaikan tidak puas hati kepada Haqem. Haqem hanya tersenyum. Langsung
tidak ambil hati dengan bebalan Marnie ini.
“Encik Aqel tidak marahkah Encik Haqem datang sini?” soal
Marnie tersengih. Aku menelan liur. Mujur juga tidak tersedak mendengar
pertanyaan Marnie ini. Besar anak mataku menatap Marnie.
“Saya sudah ajak dia datang sini tetapi dia kata ada hal.
Saya sudah meminta izin Aqel untuk makan bersama Lia” tutur Haqem tenang.
Kupandang Haqem. Betulkah Haqem lakukan semua itu? Bukankah Haqem sudah
mengetahui kebenaran tentang hubunganku dengan Aqel?
“Tabiklah dengan Encik Aqel. Betul – betul gentleman. Memang buat ramai gadis
terpikat kepada dirinya. Oppss..... maaf Lia” Marnie terus menutup mulutnya
sambil tersengih menatapku. Bicara Marnie langsung tidak berbekas di hatiku.
Apa yang perlu aku risaukan. Aku bukannya kekasih Aqel, jauh sekali tunangnya.
“Saya harus pergi sekarang. Kamu berdua teruslah berbual
– bual” suara Haqem mencelah. Haqem sudah bangkit dari duduknya, bila – bila
masa sahaja akan memulakan langkahnya.
“Haqem......” panggilku sambil mendongak menatap Haqem.
“Terima kasih sebab belanja saya makan” tuturku. Haqem
mengangguk dan tersenyum. Kemudian terus sahaja mengatur langkah meninggalkan
aku dan Marnie. Kelibat Haqem lenyap di sebalik pintu. Aku mengalih pandanganku
kepada Marnie. Ternyata Marnie sedang menatapku.
“Kenapa?” soalku kurang senang dengan pandangan Marnie.
“Awak dan Encik Haqem memang ada hubungan istimewakah?”
soal Marnie.
“Apa?” soalku terkejut mendengar pertanyaan Marnie ini.
“Encik Haqem bawa makan di sini untuk makan tengah hari
bersama awak. Kemudian awak panggil dia Haqem sahaja. Nampak mesra sangat. Awak
jangan cari fasal Lia, Datin Sofea dan Cik Bella itu tidak mampu awak tentang. Lagipun
Encik Aqel itu sudah cukup sempurna untuk awak” tutur Marnie bersungguh –
sungguh dengan wajah seriusnya.
“Awak janganlah cakap yang bukan – bukan Mar” keluhku.
“Betulkah awak dan Encik Haqem tiada hubungan istimewa?”
soal Marnie. Aku mengangguk. Kelihatan Marnie menarik nafas lega.
“Tetapi saya tengok Encik Haqem itu nampak suka kepada
awaklah” komen Marnie curiga. Aku menggeleng.
“Tidakkan dia hendak benci saya pula. Dia suka semua
orang di KDUT inilah” tingkahku cuba mematikan perasaan curiga yang sedang
melanda diri Marnie saat ini.
“Betul, tetapi tidak semua gadis di KDUT ini pernah makan
berdua – duaan bersama Encik Haqem. Saya yang sudah bertahun – tahun menjadi
setiausahanya ini pun tidak pernah makan bersama Encik Haqem” tutur Marnie
menguatkan hujahnya.
“Oh.... macam itukah? Kasihannya awak, Mar” sahutku cuba
mengusik Marnie sekali gus menjadikan perkara ini tidak serius. Marnie
menjelingku. Aku tersenyum.
“Jangan rapat
sangat dengan Encik Haqem, bahaya untuk awak. Saya dapat rasakan bahawa Cik
Bella dan Datin Sofea sudah curiga kepada kalian. Mana tahu Encik Haqem ada
cakap sesuatu kepada mereka” tutur Marnie memberi peringatan.
“Saya tahu Mar, Datin Sofea selamanya tidak akan menyukai
saya” sahutku kecewa. Selamanya saya tidak akan berjaya mengambil hati Datin
Sofea.
“Lain benar bunyinya bicara awak ini” tutur Marnie sangsi
lagi. Aku senyum.
“Marilah saya temankan awak makan” tuturku mengubah topik
perbualan.
“Aik.... tidak kenyang lagikah?” soal Marnie sinis.
“Tetiba sahaja saya rasa mahu makan banyak hari ini”
sahutku tersenyum.
“Apa yang buat awak stres sangat ini? Encik Aqel, Encik
Haqem atau Datin Sofea dan Cik Bella?” soal Marnie bertalu – talu. Berkerut
dahiku menatap Marnie. Tidak mengerti apa yang sebenarnya ingin dikatakannya
kepadaku.
“Saya kalau stres makan banyak, tahu” tutur Marnie
memberi penjelasan terhadap bicaranya sendiri. Rupanya dia masih mahu
membicarakan tentang diriku. Aku mencebik.
“Awak mahu saya temankah atau tidak ini?” soalku berwajah
serius.
“Mestilah mahu awak temankan” sahut Marnie laju.
“Jikalau macam itu baik awak diamkan diri sahaja” tuturku
memberi amaran keras.
Tersengih Marnie
menatapku. Mahu tidak mahu Marnie terpaksa patuh pada permintaanku. Nampak saat
ini dia terdesak sangat minta aku menemani dirinya. Mesti dia kebuluran sangat
sekarang. Kasihan Marnie. Aku tersenyum sendiri.
“Lia, Encik Aqel dengan Ranialah. Tengok di sana itu...”
tutur Marnie terkejut. Laju aku mengalih pandanganku ke arah yang ditunjukkan
oleh Marnie. Memang betul Aqel sedang makan bersama Rania yang sedang tersenyum
lebar. Kelihatan ceria sungguh Rania berada di sisi Aqel. Aku tumpang rasa
lega. Mungkin ini permulaan yang baik untukku.
“Kita duduk sini” tutur Marnie sudah memilih sebuah meja.
Aku menurut sahaja tanpa bantahan. Terus sahaja melabuhkan punggung
bertentangan dengan Marnie yang masih melontar pandangan ke arah Aqel dan
Rania. Nampak dia berminat sangat kepada pasangan itu.
“Awak tengok apa itu? soalku buat – buat tidak mengerti.
Marnie mengalih pandangan kepadaku.
“Awak dan Encik Aqel bergaduhkah? Kalian ada masalahkah?”
soal Marnie bersungguh – sungguh. Aku tersenyum. Jauhnya imaginasi Marnie.
“Tidaklah” sahutku bersahaja.
“Betulkah? Tadi saya tengok awak bersama Encik Haqem.
Sekarang Encik Aqel bersama Rania pula. Bukan biasa saya tengok Encik Aqel
begini” tutur Marnie masih berasa sangsi. Aku tersenyum.
“Mereka mesti ada hal hendak dibincangkan” sahutku
berprasangka baik. Sebetulnya aku berbesar hati andai Aqel sudah mahu berbaik –
baik dengan Rania semula. Memang perkara ini yang aku harapkan terjadi.
“Kenapa dengan awak ini, Lia? Perhatian awak sudah
beralih kepada Encik Haqemkah?” soal Marnie buat aku terdiam seketika. Aku
bertindak keterlaluankah? Nampak sangatkah aku ini bukan kekasih Aqel?
“Dalam hubungan kita mesti saling percaya – mempercayai.
Saya yakin dengan apa yang Aqel lakukan” tuturku cuba memuaskan hati Marnie.
“Orang yang sudah pudar kasih sayangnya sahaja mampu
berkata begini” sahut Marnie buat aku terdiam lagi. Aku terus sahaja kematian
akal untuk berdebat dengan Marnie.
“Barangkali saya bukan kekasih fanatik seperti awak, Mar”
tuturku mengusik Marnie sambil tersenyum. Cuba keluar dari keseriusan ini.
Marnie geleng kepala.
“Hati dan perasaan awak sudah berbelah bahagi sekarang?”
tutur Marnie meningkah bicaraku.
“Maksud awak?” soalku menuntut penjelasan lanjut terhadap
bicaranya itu.
“Awak tahu apa yang saya maksudkan” ujar Marnie tidak
mahu memberi penjelasan lanjut. Senyap. Marnie melambaikan tangannya kepada
pekerja restoran ini.
“Awak mahu makan apa?” soalnya. Aku menggeleng.
“Minum?” soal Marnie lagi. Aku menggeleng sekali lagi.
“Kata tadi mahu makan banyak hari ini” tutur Marnie. Aku
senyum.
“Kenapa tiba – tiba sahaja hilang selera makan?” soal
Marnie mengenakanku.
“Awak buatlah pesanan sekarang” arahku tidak mahu pekerja
restoran ini menunggu lama untuk mencatat pesanan Marnie. Marnie mengerlingku,
lantas membuat pesanan. Hari ini semuanya berlaku secara kebetulan. Malangnya
Marnie yang menyaksikan semua itu. Bertambah malang apabila aku yang menjadi
mangsa yang dihujani pelbagai soalan oleh Marnie. Betapa runsingnya fikiranku
terpaksa berhadapan dengan kerenah Marnie tika ini. Mesti Marnie ingat hubungan
percintaanku dengan Aqel berantakan sekarang. Kemudian aku mula memikirkan
bicara Marnie tentang Haqem. Betulkah perhatianku sudah beralih kepada Haqem?
Bermakna aku mengambil berat tentang Haqem.
“Oh... Lia, awak ada di sini rupanya. Saya baru sahaja
lepas makan dengan Aqel” suara Rania yang menyapaku menyentakkanku. Rania yang
tersenyum – senyum berdiri di sebelah Aqel sudah terpacak di depanku dan
Marnie. Kutatap Aqel. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Namun tiada
sebarang sapaan. Bagaikan orang asing yang saling tidak mengenali.
“Encik Aqel silalah duduk. Mungkin mahu temankan Lia
duduk di sini” suara Marnie memecah kesepian. Laju aku berpaling menatap
Marnie. Bahasa isyarat kuhantar kepadanya. Aku tidak memerlukan Aqel berada di
sini, apatah lagi ketika dia sedang bersama Rania. Aku harus memberi ruang dan
peluang yang lebih banyak kepada Aqel dan Rania untuk berdua – duaan.
“Hey....tidak apa. Kalian berdua harus pergi sekarang”
tingkahku mendahului suara Aqel memberi jawapannya. Rania tersenyum. Marnie
terkebil – kebil menatapku.
“Saya dan Aqel memang ada urusan penting sekarang” sahut
Rania menyokong bicaraku. Aqel tetap dengan wajah bersahajanya. Nyatanya Aqel
kembali pada perwatakan dingin membekunya. Melihat aku bagaikan tiada perasaan.
“Mari Aqel kita pergi....” ajak Rania seraya mencapai
tangan Aqel. Terlopong mulut Marnie menatap gelagat Rania itu.
“Awak biarkan Encik Aqel pergi bersama perempuan lain?
Awak hanya berdiam diri tengok perempuan lain pegang tunang awak?” soal Marnie
bertalu – talu dengan perasaan tidak puas hati sambil menatapku. Aku hanya
membisukan diriku.
“Kalau sudah sampai tahap begini reaksi awak memang hati
awak sudah tidak ada kepada Encik Aqel” tutur Marnie membuat kesimpulan sekali
gus memanjangkan diamku. Rasanya diam itu lebih baik berbanding berkata – kata.
TATKALA kereta Waja mak yang kupandu memasuki perkarangan halaman rumah, kulihat
kereta Peugeot RCZ Sports Coupe
Aqel ada di sini. Tidak semena – mena hatiku berdebar – debar. Mungkin Aqel
datang bersama dengan Mak Long. Barangkali ada hal serius yang perlu
dibincangkan dengan mak. Aku menarik nafas dalam – dalam. Mula rasa gelisah.
Bagaikan berat sahaja langkahku hendak menapak masuk.
“Assalamualaikum.....” sapaku menapak di muka pintu
sambil anak mataku liar memerhatikan sekeliling ruang tamu. Senyap. Kelibat mak
dan Aqel tidak kelihatan.
“Mak.... Lia sudah balik” ujarku memaklumkan tentang
kepulanganku kepada mak. Aku menjengukkan kepalaku di muka pintu dapur. Mak dan
Aqel tidak berada di situ. Laju aku berpaling ke bilik air tatkala mendengar
bunyi curahan air. Mungkin Aqel yang berada di bilik air sekarang. Aku
melangkah ke bilik mak. Kutolak perlahan daun pintu, lalu menjengukkan sedikit
kepalaku ke dalam bilik ini. Mak sedang solat, lantas kututup kembali.
“Awak baru sampaikah?” suara Aqel menyapaku. Laju aku
berpaling.
“Aqel....!” Aku terjerit besar dan tergamam. Aqel yang
nampak tersentak mendengar jeritanku terkebil – kebil menatapku.
“Siapa suruh awak pakai baju saya” marahku dengan
pandangan tajam.
“Aa.... baju awakkah ini? Kenapa besar sahaja saiznya”
sahut Aqel bersahaja.
“Memang pun baju saya. Kenapa awak pakai” marahku lagi.
“Mak yang bagi pinjam kepada Aqel. Baju Aziq kecil tidak
muat untuk Aqel” suara mak mencelah. Aku berpaling. Mak muncul dengan
telengkung yang masih dipakainya. Mesti tidak sempat membukanya tatkala
mendengar jeritanku tadi.
“Mengapa mak suruh dia pakai” rungutku tidak senang.
“Aqel tolong mak angkat akuarium kecil di luar rumah ini
tadi. Tiba – tiba sahaja airnya melimpah keluar. Habislah basah baju Aqel, jadi
mak pinjamkanlah baju kamu kepada Aqel. Tidakkan pula mak hendak suruh Aqel
pakai baju opah mak” tutur mak berjela sempat juga berloyar buruk. Aqel
tersengih – sengih mendengar bicara mak. Aku mencebik.
“Itulah kerja tidak hati – hati. Sekarang menyusahkan
orang lain pula” keluhku.
“Apa yang susahnya hanya pinjamkan baju kamu. Maklah yang
menyusahkan Aqel sebenarnya. Kamu janganlah kedekut sangat” rungut mak
menegurku.
“Hakikatnya kita
memang perlukan lelaki dewasa dalam rumah ini. Tidak semua kerja boleh
dilakukan oleh tenaga perempuan” tutur mak menjangkit pada perkara lain pula.
Mak tersenyum menatap Aqel. Senyuman yang penuh makna tersirat.
“Awak janganlah risau, esok saya akan kembalikan baju
awak ini” tutur Aqel bersuara setelah berdiam diri seketika.
“Baguslah. Jangan lupa cuci bersih – bersih tahu” rungutku
sambil menjeling Aqel.
“Kamu janganlah ambil hati dengan kata – kata Lia ini,
Aqel. Sebenarnya orang lain tidak pernah pakai baju dia, sebab inilah dia
melenting sangat” tutur mak tersenyum. Langsung tidak mengendahkan kemarahanku
ini.
“Oh.... jadi beruntunglah Aqel sebab jadi orang pertama
yang pakai baju dia ini, Mak Usu” sahut Aqel. Mak dan Aqel tergelak. Menambah
rasa geramku.
“Sebenarnya Aqel pun tidak pernah pakai baju orang lain
dan tidak pernah suruh orang lain pakai baju Aqel” tutur Aqel berkongsi
maklumat dengan mak. Aku mencebik.
“Kalau begitu awak tanggalkan sekarang baju saya ini”
pintaku meradang.
“Betulkah?” soal Aqel masih tersenyum menatapku.
“Yalah...” sahutku geram.
“Kamu sanggupkah tengok Aqel separuh bogel, Lia?” soal
Mak menyedarkanku. Serentak Aqel dan mak ketawa. Terasa aku diperbodohkan.
“Geramnya...” rungutku kerana senang – senang
dipermainkan oleh mak dan Aqel. Aku terus sahaja meninggalkan mak dan Aqel.
Tidak tahan berhadapan dengan mak dan Aqel yang menjadi seteruku saat ini.
“Kamu pergi solat Asar sekarang. Lepas itu minum sama –
sama nanti” laung mak kepadaku yang sedang mengorak langkah mendaki anak tangga
ke tingkat atas ini.
“Merajuklah Lia itu...” tutur Puan Suraya sambil
tersenyum menatap Aqel.
“Tidak apa Mak Usu, nanti Aqel pujuk dia” sahut Aqel
membuatkan senyuman Puan Suraya semakin mekar. Teruja hatinya mendengar bicara
pemuda ini.
“Tahankah hendak pujuk Lia seumur hidup Aqel?” soal Puan
Suraya menguji.
“Insya – Allah, Aqel akan cuba Mak Usu” sahut Aqel
tersenyum sekali gus membahagiakan hati Puan Suraya. Bicara Aqel bagaikan janji
pemuda ini kepada dirinya.
“Sekarang kamu sudah jadi tuan pada baju di tubuh kamu
itu” tutur Puan Suraya.
“Kalau anak gadis Mak Usu yang garang itu mendengar cakap
Mak Usu ini, mengamuk dia nanti” tutur Aqel berjenaka.
“Kongsilah jadi pemilik baju ini” sahut Puan Suraya
dengan senyuman kian lebar. Aqel hanya tersenyum panjang. Tidak tahulah sama
ada dia memahami atau tidak bahasa kiasan Puan Suraya yang sarat dengan makna
yang tersirat itu.
Aku meletakkan sejarah dan telengkung di tempat biasa.
Kemudian berpaling ke muka pintu. Terasa berat sahaja kakiku hendak melangkah
keluar bertemu dengan Aqel lagi. Jikalau bukan kerana mak, sudah pasti aku
tidak akan memunculkan diri di depan Aqel semula. Aku menolak daun pintu
bilikku. Langkahku belum pergi jauh. Laju sahaja aku berpaling menoleh ke arah
bilik solat yang sedang terkuak pintunya. Nampak Aqel baru sahaja selesai
berdoa lalu bangkit dari sejadah itu. Ada juga perlunya Aqel menukar bajunya.
Aku cuba berfikiran lebih rasional serta merelakan hati agar tidak kisah
tentang baju yang menyaluti tubuh Aqel ketika ini. Oh.... baju teddy bear merah kesayanganku! Aduh....
bertambah comel Aqel memakainya.
“Awak mengintip sayakah?” suara Aqel singgah di
telingaku. Aku tersentak. Aqel sedang menatapku buat aku serba salah. Tersilap
tingkah pula aku.
“Awak buat apa terpacak di sini? Awak mahu mengintip sayakah?”
soal Aqel mengulangi pertanyaannya tadi. Aku mendengus.
“Saya risau awak mencuri barang di rumah ini” sahutku
helah bela diri. Aqel terus sahaja tertawa. Teruk sangatkah alasanku ini? Namun
yang pasti alasan ini langsung tidak munasabah.
“Saya memang ada curi sesuatu di rumah ini” tutur Aqel
setelah ketawanya reda.
“Apa yang awak curi?” soalku laju.
“Saya telah curi hati awak sebab itu awak suka curi –
curi tengok saya. Mesti awak sudah terpikat kepada sayakan” tutur Aqel
bersahaja.
“Ya Allah.... perasannya lelaki seorang ini..” cemuhku
dengan anak mata yang membesar. Aqel tergelak lagi. Betul – betul tidak sangka
Aqel akan berbicara begini.
“Saya selesa pakai baju awak ini. Wangilah...” tutur Aqel
mengenyitkan matanya. Nakal. Aku mengetap bibir. Geram. Aqel sengaja hendak
buat darahku bergelora.
“Jangan lupa lepas cuci baju itu cepat pulangkan” arahku.
“Mak Usu sedang tunggu di bawah itu. Mari...” ajaknya
lalu melewatiku yang masih terpacak berdekatan dengan pintu bilik ini tanpa mengendahkan
arahanku sebentar tadi. Aku mengekori langkah Aqel.
“Aqel...!” panggilku semula. Langkah Aqel terhenti. Dia
berpaling ke arahku semula.
“Walau apapun kesalahan Rania terhadap awak, saya
berharap awak akan kembali bersama dia. Saya memang memerlukan pertolongan awak
tika ini. Dengan cara ini sahaja masalah saya akan selesai. Saya tidak mampu
melakukannya sendirian” tuturku mengharapkan pengertian Aqel biarpun aku tidak berterus
terang kepada Aqel tentang hajat hati mak dan Mak Long terhadap kami berdua. Aku
beranggapan bahawa Aqel tidak mengetahui perkara ini dan aku tidak bercadang hendak
memaklumkan kepadanya.
“Awak mahu saya maafkan kesalahan Rania dan menerimanya
semula demi kepentingan awak?” soal Aqel serius. Perlahan – lahan aku
mengangguk dan cuba lebih memahami bicara Aqel ini. Betulkah Rania telah
melakukan kesalahan serius sehingga Aqel meninggalkannya? Apakah kesalahan
Rania itu? Begitu beratkah kesalahan itu sehingga mereka berpisah?
“Awak sungguh pentingkan diri sendiri, Flora” Aqel
tersenyum sinis menatapku. Aku menelan liurku. Kejamkah aku?
“Saya tiada pilihan lain Aqel” ujarku rasa bersalah.
“Tiada siapa yang suruh awak buat pilihan pun” tingkah Aqel.
Kupandang Aqel. Perlukah aku berterus terang sahaja kepada Aqel?
“Saya tidak dapat penuhi hajat hati mak dan Mak Long. Saya
tidak mampu hendak jadi isteri awak” tuturku perlahan. Aqel langsung tidak nampak
terkejut mendengar bicaraku ini. Ternyata Aqel sudah mengetahui perkara ini.
“Aqel.... saya ingin menebus kesalahan saya kepada Haqem.
Selama ini saya berprasangka buruk kepada Haqem. Rupanya Haqem juga terseksa
selama ini. Saya rasa bersalah kepada Haqem. Tidak sanggup saya hendak
melukakannya lagi” luahku perlahan. Aqel melepaskan keluhannya. Ditatapnya
wajahku.
“Buatlah apa yang terbaik untuk awak. Paling penting awak
bahagia dengan tindakan awak” tutur Aqel langsung tiada halangan.
“Terima kasih Aqel. Awak memang benar – benar memahami”
Lega. Aku melontar pandangan jauh – jauh. Terbayang wajah mak dan Mak Long. Mak
dan Mak Long mesti kecewa denganku. Bagaimana aku hendak berterus – terang
kepada mak tentang hal ini? Bagaimana pula penerimaan Mak Long? Aku bertindak ikut
gerak hatiku agar aku tidak menyesal di kemudian hari nanti. Aku juga tidak
mahu rasa bersalah seumur hidupku. Aku mahu membahagiakan Haqem walaupun hanya
sedetik.
“Maka inilah keputusan muktamad awak untuk hidup bersama
Haqem?” suara Aqel memecah keheningan ini. Aqel menatap wajahku. Seketika aku
dan Aqel saling berpandangan.
“Soal jodoh adalah ketentuan Allah. Andai Haqem adalah
lelaki yang Allah utus untuk menjadi teman hidup saya, saya akan terimanya
dengan senang hati. Andai sebaliknya yang berlaku, saya akan redha” tuturku
menjawab persoalan Aqel.
“Awak mesti bertegas untuk mendapatkan sesuatu yang awak
mahukan” ujar Aqel menyangkal bicaraku.
“Saya tidak boleh paksa semua orang menyukai dan menerima
saya, Aqel” tegasku. Sejak sekian lama aku tidak mampu menambat hati Datin
Sofea untuk menerimaku menjadi sebahagian ahli keluarganya.
“Awak risaukan penerimaan Datin Sofea?” soal Aqel
mengerti perkara yang bergolak dalam hatiku. Aku melontar pandanganku jauh –
jauh. Pertanyaan Aqel tidak kujawab.