Saturday 25 May 2013

NamaKu Bukan Flora...... 49




BAB 49

“Encik Haqem tak kerja hari ni” tutur Marnie memaklumkan kepadaku. Kutatap wajah Marnie. Kerisauan berputik di hatiku.
“Sakit Datin Sofea serius ke? Bukankah Datin Sofea dah keluar wad?” soalku bertalu – talu. Semalam Haqem menelefonku lantas memaklumkan perkara ini. Malah dia sempat juga bercerita tentang keadaan Datin Sofea yang tidak perlu dirisaukan lagi. Mustahil pula Haqem bertikam lidah dengannya sehingga menyebabkan Datin Sofea mendapat serangan jantung lagi. Aku tidak percaya Haqem sekejam itu.
“Encik Haqem ambil cuti beberapa hari nak jaga Datin Sofea” jelas Marnie menjawab persoalanku. Aku menghela nafas lega. Syukur tiada yang serius yang berlaku kepada Datin Sofea.
“Memang patut Encik Haqem jaga Datin Sofea” sahutku menyokong tindakan Haqem. Sebagai anak memang sudah menjadi tanggungjawab Haqem sentiasa berada di sisi Datin Sofea tidak kira ketika senang mahupun ketika sukar. Apatah lagi hanya Haqem satu – satunya ahli keluarga yang bersama Datin Sofea sekarang.
“Aku mendengar khabar angin kononnya Datin Sofea diserang sakit jantung selepas berjumpa dengan awak” tutur Marnie berhati – hati. Aku diam. Marnie melepaskan keluhannya.
“Tapi saya tak percaya semua tu. Khabar angin sukar nak dipercayai. Apa pula kaitan Datin Sofea dengan awakkan” ujar Marnie menolak kenyataan itu. Aku masih membisu. Sukar aku hendak memulakan bicara. Risau kalau aku berterus terang segalanya kepada Marnie akan mengundang perasaan tidak senang Marnie kepadaku. Marnie pasti mengatakan aku bukan perempuan yang baik kerana mengganggu tunang orang lain dan curang kepada tunang sendiri. Lebih kejam andai aku dituduh menjadi penyebab derhakanya Haqem kepada Datin Sofea. Adakah aku pentingkan diri? Tenangkah hatiku dengan bertindak sebegini?
“Kasihan Encik Haqem.... mesti dia bersedih sekarangkan...” tutur Marnie berbicara sendiri. Aku masih senyap. Memang kasihan dengan Haqem. Dia mesti bimbang dengan keadaan Datin Sofea sekarang.
“Okeylah... Lia, saya nak sambung buat kerja saya sekarang. Banyak yang perlu disiapkan sebelum Encik Haqem masuk kerja semula” jelas Marnie. Aku mengangguk. Marnie beredar meninggalkan aku di bilik ini. Aku kembali bersendirian. Perlukah aku hubungi Haqem sekarang? Tidakkah akan mengganggu Datin Sofea andai tika ini Haqem berada di sisinya. Sudah semestinya Datin Sofea akan terganggu malah bakal menimbulkan ketegangan antara dua beranak itu. Kulontar pandangan kosong pada telefon bimbitku. Ohh ...... apa yang patut aku lakukan sekarang? Rasanya menanti Haqem menghubungiku itu lebih baik. Biarpun aku ingin sekali mengetahui keadaan di sana. Aduhai.... tetiba saja rasa tidak bersemangat mahu meneruskan kerja hari ini! Hati pula tidak tenteram. Aku menjatuhkan kepalaku ke atas meja lalu memejamkan mata. Aku ingin lena walau hanya untuk seminit andai semua itu mampu mengurangkan bebanan perasaan yang kutanggung tika ini.     

Deringan telefon bimbit mengejutkanku. Rasa malas pula mahu mengangkatnya. Tatkala nama Haqem terlintas di ruang benakku, laju saja tanganku menyeluk saku beg galasku. Aku tersenyum sendiri menatap sebaris nama yang terpamer di dada skrin ini. Lega rasanya. Baru saja aku memikirkan tentang Haqem, sekarang Haqem sudah muncul di talian. Aku tahu Haqem tidak akan membiarkan aku bersendirian begitu lama.
“Assalamualaikum Haqem...” sapaku ceria. Salamku disambut oleh suara Haqem yang jelas berbisik – bisik. Mungkin Haqem sembunyi – sembunyi untuk menghubungiku. Maklumlah Datin Sofea berada di situ. Pasti Bella juga sedang bersama dengan Datin Sofea. Saat ini memang Datin Sofea perlukan orang yang disayangi berada di sampingnya.
“Saya memang ingin sangat jumpa awak. Nak makan sama – sama dan bercerita panjang” ujar Haqem bersungguh – sungguh. Aku tersenyum sendiri. Bicara Haqem sangat bererti buatku. Sesungguhnya, aku bahagia mendengarkannya.
“Nanti kalau kita jumpa, saya masak sedap untuk awak” laju saja mulutku berjanji.
“Hey.... tak sabarlah nak jumpa awak” tutur Haqem ceria. Aku tertawa kecil.
“Mama awak dah sihat?” soalku.
“Alhamdulillah..... mama dah berselera makan. Macam – macam yang dia nak. Mengalahkan orang mengidam pula lagaknya” cerita Haqem.
“Syukurlah kalau macam tu” ujarku lega dan begitu senang mendengarkannya.
“Kalau mama rasa sup yang awak reneh mesti dia akan puji sedap. Saya pasti mama akan menyukainya” tutur Haqem begitu yakin. Betulkah Datin Sofea akan menyukai sup yang direneh oleh seorang yang paling dibencinya? Sudikah Datin Sofea merasanya?
“Betulkah saya boleh reneh sup untuk mak awak?” soalku meminta kepastian dari Haqem. Tidak yakin Datin Sofea akan menyukainya jauh sekali sudi merasanya. Kebencian Datin Sofea kepadaku menjadi tembok penghalang untuk aku dengan dirinya menjalin hubungan yang baik. Kisahku dengan Datin Sofea persis drama yang sering ditayangkan di kaca tv. Si Enggang dan Si Pipit tidak mungkin akan terbang bersama.
“Mestilah boleh....” sahut Haqem teruja.
“Saya akan reneh sup untuk awak dan Datin Sofea, tapi awak janji dengan saya akan merahsiakan perkara ini. Saya tak mahu awak cakap pada Datin Sofea bahawa sayalah yang mereneh sup untuknya” pintaku. Aku tidak mahu niat suciku akan disalahertikan. Paling mustahak perkara itu tidak akan mengundang perbalahan antara Haqem dengan Datin Sofea.
“Awak tak perlu risau. Saya faham...” ujar Haqem mengerti perkara yang sedang bergolak di benakku sekarang.
“Mana tahu bila dah merasa sup tu nanti, mama terus suka awak” tutur Haqem berharap. Aku terdiam. Terlalu tinggi angan – angan Haqem.
“Petang esok saya tunggu awak kat office ye. Esok awak dah kerja ke?” soalku.
“Saya masih cuti lagi” sahut Haqem. Mungkin esok bukan hari yang sesuai untuk berjumpa dengan Haqem.
“Tapi.... saya akan datang jumpa awak” tutur Haqem.
“Awak pasti ke ni?” soalku seakan tidak yakin Haqem akan datang.
“Ye... saya memang dah tak sabar nak jumpa awak. Rindu sangat dengan awak” tutur Haqem begitu romantis. Aku tersenyum sendiri.
“Tak sabar nak jumpa saya atau tak sabar nak merasa sup tu” tuturku mengusik Haqem. Haqem tergelak.
“Dua – dua sekali” sahut Haqem diikuti dengan tawanya. Aku tersenyum. Tiba – tiba saja aku terdengar suara perempuan memanggil Haqem. Suara yang cukup aku kenali.
“Lia, nanti saya call awak lagi. Assalamualaikum....” tergesa – gesa Haqem mengakhiri perbualan ini. Suara Haqem sudah tidak kedengaran lagi. Aku yakin saat ini Bella sudah berada dekat dengan Haqem. Kasihan Haqem. Pasti Haqem sedang disoal siasat oleh gadis itu sekarang. Kulupakan tentang Bella seketika. Aku mula memikirkan tentang janjiku pada Haqem. Aku akan mereneh sup yang sedap untuk Haqem dan Datin Sofea. Kucapai buku catatan kecilku lalu menyenaraikan bahan – bahan yang perlu aku beli balik kerja nanti. Kutenung seketika senarai bahan yang sudah siap aku tulis ini. Berfikir seketika. Cuba mengingati jikalau ada bahan yang tertinggal. Rasanya sudah lengkap semuanya. Lantas kututup buku catatan ini lalu menyimpannya ke dalam beg galasku. Risau jikalau tertinggal di sini nanti.

Tepat jam 5.00 petang, aku bergegas meninggalkan bilik ini menyusun langkah merentasi ruang legar KDUT yang luas ini. Sempat bertukar senyuman dengan pengawal keselamatan ketika melewati pintu utama. Sesungguhnya, ada kenangan pahit yang terakam di sini. Kenangan yang mencuit hati sehingga membuatkan aku tersenyum sendiri. Peristiwa yang berpunca dari Aqel. Oh.. sudah beberapa hari aku tidak ketemu Aqel mahupun mendengar perkhabaran dirinya. Sejak kebelakangan ini, mak juga jarang bercerita tentang Aqel dan Mak Long kepadaku. Barangkali mak sudah menerima kenyataan bahawa aku dan Aqel tidak berjodoh untuk menjadi suami - isteri. Kecewakah mak dan Mak Long? Maafkan aku mak.... Mak Long.... Aqel memang lelaki yang baik dan sesempurna lelaki, namun aku tiada perasaan istimewa kepadanya.

Kereta Waja yang kupandu singgah di sebuah pasar raya pilihanku. Sebelum langkahku jauh menjelajahi premis ini, kucapai bakul. Aku memang perlukan bakul ini memandangkan sudah ada senarai barang yang perlu aku beli sekejap lagi. Kukeluarkan buku catatan kecilku dari beg galasku bagi memudahkan aku mencari barang yang perlu aku beli. Sekurang – kurangnya aku boleh menjimatkan masa untuk mengingat semua itu. Paling mustahak tiada bahan yang terlupa untuk dibeli. Lima belas minit kemudian, bakul kuning ini sudah hampir penuh terisi. Aku hampir – hampir berjaya mengumpul kesemua bahan yang tersenarai dalam buku catatanku ini. Bahan terakhir yang paling penting yang mesti aku dapatkan ialah tulang daging untuk dibuat sup nanti. Aku bergerak ke bahagian bahan – bahan mentah. Salah satu sebab mengapa aku suka berkunjung ke premis ini walaupun terpaksa berbaris di kaunter pembayaran ialah kerana bahan – bahan mentahnya yang segar. Aku meminta penjual itu membungkus 2 kilogram tulang daging kerbau segar untuk dibuat sup nanti. Rasanya tidaklah banyak sangat memandangkan Haqem boleh makan dengan banyak.
“Terima kasih ....” tuturku sambil menyambut tulang daging yang sudah siap dibungkus yang  dihulurkan kepadaku. Aku dan penjual itu sempat bertukar senyuman. Kuletakkan bungkusan tulang daging ini ke dalam bakul yang sudah hampir penuh ini. Rasa menyesal pula tidak mengambil troli tadi. Bukankah itu lebih menyenangkan. Tidak perlulah aku mengangkat bebanan yang berat sangat. Belum sempat tanganku mendarat di tangkai bakul kuning ini, tiba – tiba saja begitu pantas sepasang tangan mendarat di situ.
“Boleh saya tolong awak?” suara lelaki bertanya. Aku mendongak.
“Aqel....” tersentak aku menatap Aqel yang sudah berada di depanku sambil membimbit bakul kuning ini.
“Awak buat apa kat sini?” soalku tidak menyangka akan bertembung dengannya di sini.
“Nak buat show” sahut Aqel mengenakan aku. Aku menjeling Aqel yang sedang tersenyum. Suka sangat dia mengenakan aku. Memang dasar kaki buli.
“Datang dengan Mak Long ke?” soalku sambil anak mataku melilau mencari kelibat Mak Long. Aqel menggeleng.
“Mama kat rumahlah” jelas Aqel menjawab pertanyaanku. Bermakna Aqel juga sepertiku sehabis waktu kerja terus datang ke sini. Buktinya pakaian kerja masih tersarung di tubuh Aqel. Bukan sesuatu yang ganjil Aqel mengunjungi premis ini hendak membeli barang – barang dapur memandangkan Aqel suka memasak dan punya kemahiran memasak tersendiri.
“Banyak barang awak beli. Nak buat kenduri ke?” soal Aqel dengan dahi berkerut. Aku hanya senyum. 
“Mana cukup buat kenduri hanya dengan sebakul barang” sahutku sinis. Aqel tersenyum. Sungguh manis senyuman anak teruna Mak Long ini. Bikin hati terusik.... hehehe. Perkara ini tidak boleh diketahui oleh Aqel. Nanti tidak fasal – fasal kembang kuncup hidungnya. Paling penting dia tidak jadi jejaka perasan. Jangan salah tanggapan pula. Hal ini tidak bermakna aku sudah suka kepada Aqel sebagai seorang perempuan. Sama sekali tidak! Perasaanku kepada Aqel tetap seperti dahulu.
“Ada apa – apa nak beli lagi?” soal Aqel. Aku geleng.
“Nak bayar kat kaunter” jelasku sekali gus memohon Aqel bergerak ke situ. Aqel mendahului langkahku. Laju saja aku mengeluarkan dua keping not RM 50.00 dari dompetku. Satu syarat kepada Aqel bahawa aku sendiri akan membayar kos barang – barang ini. Tatkala barang terakhir dimasukkan ke dalam beg plastik, aku terus saja menghulurkan not RM 50.00 ini kepada juruwang yang bertugas. Bimbang kalau Aqel yang mendahuluinya. Aku tidak mahu terlalu banyak terhutang budi kepada Aqel. Terasa segan kalau Aqel terlalu baik kepadaku. Pertolongan Aqel bukan setakat ini saja, malah anak muda Mak Long ini jugalah yang menyimpan barang – barang yang kubeli ini ke dalam bonet kereta Waja ini.
“Terima kasih banyak – banyak Aqel” tuturku berbesar hati dengan pertolongan yang dihulurkannya ini. Aku sangat menghargainya.
“Kalau awak atau Mak Usu nak masak sedap – sedap jangan pula lupa jemput saya sekali ye” tutur Aqel berwajah bersahaja. Aku tersenyum.
“Walau sebahagia manapun awak, ahli keluarga awak jangan pula dilupa” tutur Aqel sinis mengutukku. Aku menjeling tajam ke arahnya.
“Saya takkan jadi macam tulah. Saya bukannya macam awak, dah tahu saudara sendiri tapi masih buat – buat tak kenal” sindirku mengimbau pertemuan awalku dengan Aqel. Aqel masih mempamerkan wajah bersahajanya. Betapa aku terkejut sangat tatkala melihat Aqel berada di ruang dapur bersama Mak Long dan mak tika itu. Sedangkan kutengok Aqel hanya bersahaja melihatku. Sungguh aku tidak menyangka rupanya Aqellah anak muda Mak Long yang bernama Hyeon itu.
“Saya mengenali awak sebelum bertemu awak” tutur Aqel sambil menatapku.
“Maksud awak?” soalku kurang faham.
“Pandu kereta hati – hati. Kirim salam pada Mak Usu. Jumpa lagi” tutur Aqel lalu memaling tubuhnya dari pandanganku. Aqel memulakan langkahnya meninggalkan aku bersama persoalan yang belum terjawab itu. Tidak semena – mena aku rasa geram kepada Aqel sebab telah meninggalkan aku dalam kemusykilan. Aduhai..... binggungnya! Tidak suka diri tertanya – tanya sebegini. Mengapalah aku bersaudara dengan manusia pelik seperti Aqel?

Setiba di rumah, aku bergegas solat Asar kerana sudah terlewat lantaran banyak masa telah dihabiskan di pasar raya tadi. Kemudian mula menyiapkan bahan – bahan untuk mereneh sup agar keesokannya tidak perlu bangun awal pagi sangat. Bahan – bahan yang sudah siap dihiris kusimpan di dalam peti sejuk.
“Banyak bahan kamu sediakan. Ada majlis di tempat kerja ke esok?” suara mak melontar pertanyaan kepadaku. Aku berpaling. Mak berada di sink membasuh tangan.
“Lia nak tolong masak untuk kawan” sahutku.
“Kawan sekerja ke?” soal mak lagi. Aku mengangguk.
“Lelaki ke perempuan?” soal mak buat aku terkedu.
“Lelaki.... kawan Aqel” jawabku perlahan dan masih mahu menyimpan rahsia.
“Oh....” Mak mengangguk – angguk faham. Mudah – mudahan mak tidak akan mengajukan perkara ini kepadaku lagi. Aku yang sudah kematian akal memang tidak mampu memberi sebarang jawapan lagi.
“Nanti masak sedap – sedap. Jangan buat malu diri sendiri. Biar Aqel bangga ada sepupu macam kamu” nasihat mak.
“Perkara itu pula yang mak fikir” komenku. Mak tersenyum. Suka sangat mak mengaitkan diri Aqel denganku. Adakah mak masih tidak berputus asa untuk menyatukan aku dengan Aqel? Masihkah mak menggantung harapan untuk bermenantukan Aqel?
“Mak suka sangat dengan Aqelkan” ujarku. Mak mengangguk.
“Sayang Aqel juga seperti Mak Long kamu sayangkan kamu dua beradik” ujar mak. Aku diam. Hakikat yang tidak mampu aku sangkal. Sebuah keluarga kecil yang saling sayang – menyayangi. Kasih sayang yang mahu diutuhkan lagi dengan ikatan pernikahanku dengan Aqel. Namun aku tidak mampu memenuhi impian mak dan Mak Long itu. ‘Maafkan Lia, mak. Maafkan Lia, Mak Long’... bisik hatiku sambil menatap wajah mak.
“Lia tahu betapa suka dan sayangnya mak pada Aqel. Lia juga sayangkan Aqel. Namun Lia tak mampu penuhi hajat hati mak dan Mak Long. Lia tak dapat bernikah dengan lelaki yang Lia anggap sebagai abang sendiri” tuturku perlahan meluahkan isi hatiku. Seketika aku dan mak berpandangan dengan mulut yang terkunci. Mak tersenyum.
“Mak masih berharap kamu berdua ada jodoh” tutur mak begitu tenang lalu melangkah meninggalkan aku bersendirian di dapur ini. Aku termenung panjang. Betulkah mak masih tidak berputus asa? Kesungguhan mak merunsingkanku. Aku sedar betapa mujarabnya doa seorang ibu untuk anaknya. Harapan dan keinginan akan mendorong seseorang berdoa. Mungkinkah mak akan sentiasa berdoa agar Allah akan mempertemukan aku dengan Aqel sebagai suami isteri? Sesuatu yang tidak mustahil bagi mak melakukannya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Aku menatap dua biji bekas yang begitu setia menemaniku menanti kemunculan Haqem walaupun sudah sejam masa berlalu dari waktu yang dijanjikan. Aku masih berada di sini dengan kesabaran. Tika ini menuntut sedikit pengorbanan. Berbanding dengan  apa yang telah Haqem lakukan untukku selama ini belum mampu menandingi pengorbananku yang sedikit ini. Sesekali anak mataku melirik ke arah jam di pergelenganan tanganku. Sedikit membimbingkan aku jikalau Haqem tidak muncul. Siapa yang akan menghabiskan sup tulang dalam dua bekas ini? Sedekah kepada Marnie, Reka atau rakan sekerja yang lain? Malangnya mereka sudah lama meninggalkan perkarangan KDUT ini. Mungkin sudah bersenang – lenang di rumah.

Kucapai telefon bimbitku. Mungkin juga ada mesej dari Haqem yang tidak kusedari kedatangannya. Skrin kosong. Tiada sebarang panggilan yang tidak dijawab mahupun pesanan mesej yang dikirimkan kepadaku. Lama kutatap telefon bimbit ini, lantas membuat pertimbangan. Perlukah aku menghubungi Haqem? Barangkali Haqem terlupa tentang pertemuan kami petang ini. Mungkin juga Datin Sofea menghalang Haqem meninggalkan rumah, maka Haqem dikehendaki sentiasa berada di sisinya. Oh.... tidak baik aku berprasangka buruk! Andai andaian ini tepat memang patut Datin Sofea bertindak sedemikian. Haqem anak lelaki. Memang dirinya sudah menjadi hak Datin Sofea. Tanggungjawab seorang anak lelaki kepada ibu bapanya adalah sepanjang hayatnya. Kusimpan telefon ini kembali ke dalam saku beg galasku. Aku tidak mahu membuat panggilan mahupun menghantar mesej kepada Haqem. Mahu terus menunggu Haqem di sini.

Aku mengatur dudukku di bangku kayu ini. Cuba mencari keselesaan diri lantaran sudah lama melabuhkan duduk di sini. Kulontar pandangan jauh – jauh. Berada di taman di atas bumbung bangunan KDUT ini menyedarkan aku betapa sunyinya saat ini. Tiada sesiapapun yang sudi berkunjung ke sini selain aku. Taman ini seolah – olah taman larangan yang tidak boleh dikunjungi sesuka hati oleh sesiapa saja. Mungkin warga KDUT tidak mengetahui tentang kewujudan taman ini?  Marnie mahupun Reka tidak pernah bercerita tentang taman ini. Betapa ruginya andai keindahan taman ini tidak dinikmati sebaliknya terbiar begitu saja. Aku melirik lagi ke arah jarum jam tanganku. Sudah hampir dua jam aku berada di sini. Tercelit rasa bimbang andai mak menanti kepulanganku. Namun aku sudah maklumkan kepada mak yang aku akan balik lewat hari ini. Kebetulan pula sudah dua hari aku bercuti solat. Sesuatu yang biasa bagi perempuan.

Aku melontar pandangan ke pintu itu. Berharap kelibat Haqem akan muncul sebentar lagi. Bukan bosan menanti kemunculan Haqem, tetapi rasa tidak selesa bersendirian di tempat sunyi begini. Tempat yang sunyi sebegini sangat berisiko terdedah pada perkara yang tidak elok. Ruang dan peluang untuk berlaku jenayah terbuka luas. Lebih – lebih lagi bagi seorang perempuan. Ya Allah... Engkau lindungilah aku daripada sebarang musibah. Kupejamkan mataku.    

“......hari ini Haqem dah bersumpah dengan Datin Sofea akan bernikah dengan saya. Jadi kalau awak masih berangan – angan nak bersama Haqem kembali, saya nasihatkan awak jangan buang masa. Saya dan Haqem akan bernikah bila dah tiba masanya nanti” suara Bella tiba – tiba saja menerpa pendengaranku. Aku tersentak. Suara Bella terus lenyap. Nada dering telefon bimbitku mengejutkan aku. Mungkin Haqem yang menghubungi memaklumkan tentang kelewatannya untuk datang ke sini lantaran terlalu sukar untuk melepaskan diri dari pandangan Datin Sofea. Kemudian Haqem memintaku terus bertahan di sini menanti kedatangannya. Ataupun Haqem mahu menyampaikan permohonan maafnya kerana dia tidak dapat menemuiku demi menjaga hati dan perasaan Datin Sofea. Andai inilah sebab ketidakmunculan Haqem, maka aku harus menerimanya dengan hati terbuka. Haqem adalah hak Datin Sofea. Kewajipan seorang anak lelaki untuk terus berada di sisi ibunya sehinggalah deruan nafasnya berakhir.
“Assalamualaikum... mak. Ye sekejap lagi Lia balik” tuturku menjawab panggilan itu sekali gus isyarat aku mengalah bagi meneruskan perjuanganku di sini. Tidak ralat mahu membiarkan mak menunggu lama kepulanganku. Kasihan juga membiarkan mak terus bersendirian sepanjang hari ini. Kulontar pandangan ke pintu itu lagi. Sesaat... seminit...dua minit...tiga minit...empat minit...lima minit... tiada sesiapa muncul di situ. Perlahan – lahan aku bangkit dari dudukku. Kucapai beg kertas yang terisi dua biji bekas ini. Nampaknya bukan rezeki Haqem mahupun Datin Sofea hendak merasa sup ini. Aku mengatur langkah longlai ke pintu meninggalkan taman ini. Rasanya Haqem tidak akan muncul di sini.
“Assalamualaikum.... Awak masih ada di pejabat?” soalku meminta kepastian.
“Ye ..... ” sahut Aqel hairan. Aku menarik nafas lega.
“Boleh kita jumpa sekejap? Saya tunggu awak di depan pintu utama bangunan ni” pintaku sekali gus memberi penjelasan. Senyap. Mudah – mudahan Aqel akan bersetuju.
“Okey...” jawab Aqel ringkas. Tut...tut.... Aqel sudah mematikan panggilan ini tanpa sebarang pertanyaan yang mahu diajukan kepadaku. Nampaknya Aqel tidak mahukan penjelasan lanjut dariku. Kadangkala terasa begitu mudah saja hendak berurusan dengan Aqel. Dari dinding kaca ini aku melihat kelibat Aqel yang sedang berlari anak ke arahku. Aku tersenyum menyambut kedatangan Aqel. Meskipun aku rasa letih sangat saat ini.
“Nah...” Beg kertas di tanganku ini terus saja kuhulurkan kepada Aqel. Terkebil – kebil Aqel menatapku. Hairan. Beg kertas yang kuhulurkan disambutnya.
“Saya harap awak boleh habiskan semua ni” pintaku sedikit menghukum Aqel. Pasti sukar bagi Aqel untuk melakukannya. Melihat bentuk fizikal Aqel yang sedikit kurus ini sudah menunjukkan bahawa dirinya bukan seorang yang taksub makan. Tambahan pula, Aqel jenis manusia yang menjaga penampilan dirinya. Aqel menjenguk bekas yang ada di dalam beg kertas yang sudah berada di tangannya ini. Kemudian mengalih pandangannya kepadaku. Aku tersenyum.
“Saya reneh sup tu dengan bersungguh – sungguh tau. Awak mesti makan dengan banyak. Kalau termampu tolong habiskan. Kasihan kepada saya. Kalau tak sia – sia saja apa yang telah saya lakukan ni” tuturku. Tiba – tiba saja aku mengeluarkan kata – kata ini. Kemudian baru sedar. Betapa kesalnya aku atas ketelanjuran bicaraku ini. Tidak mahu Aqel fikir yang bukan – bukan, mahupun melihat aku seorang yang sangat dikasihani. Namun yang pasti aku hanya melempiaskan apa yang terbuku di hatiku. Sukarnya berlaku ikhlas saat ini. Aqel masih membisu. Kutatap jam di tanganku. Masa terus bergerak pantas.
“Dah lewat ni, saya balik dulu” tuturku memohon diri. Aku memulakan langkah meninggalkan Aqel yang masih membisu.
“Flora....!” namaku dilaung. Langkahku mati. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Haqem tak datang?” soalan itu dilontar kepadaku. Aku tersenyum sekilas. Tidak perlu aku menjawab pertanyaan Aqel ini. Aku yakin Aqel sudah tahu jawapannya. Aku menarik nafas panjang. Betapa aku rasa letih sangat saat ini. Tidak sabar mahu berbaring di katil.
“Aqel.... Maafkan saya. Saya sering terlupa yang saya ada sepupu yang baik” keluhku menyesali perbuatanku. Penjelasan penting mahu kutujukan kepada Aqel. Andai Haqem muncul tadi, pasti Aqel tidak akan merasa sup itu. Saat aku gembira, aku terlupa pada Aqel. Aku tidak menyalahkan diri Aqel andai dia merasakan dirinya sering dijadikan penyelesai masalahku.
“Hati awak pasti sakit sekarangkan” teka Aqel. Aku geleng dan tersenyum.
“Saya mahu menangis sekarang tapi hati saya menegahnya. Mungkin segan pada awak” tuturku cuba berjenaka kepada Aqel. Aqel merenungku. Renungan yang begitu dalam sehingga aku tidak keruan dibuatnya. Aku tidak selesa Aqel merenungku sedemikian.  
“Saya nak balik sekarang. Bye... Aqel” ujarku memaklumkan tentang hajat hatiku yang tertangguh sebentar tadi. Lantas memalingkan tubuhku dari pandangan Aqel, seterusnya memulakan langkah menjauhi Aqel yang masih terpacak di situ memerhatikan aku. Tidak tahu apa yang sedang Aqel fikirkan saat ini. Aku terus menyelinap masuk ke dalam kereta Waja mak ini. Kusandarkan tubuhku di kerusi pemandu ini. Kupejamkan mata. Cuba bertenang. Aku melepaskan keluhan beratku. Sunyi sepi. Deringan telefon bimbitku memecah keheningan ini. Kucapai telefon bimbitku. Tersentak aku melihat nama yang terpamer di dada skrin. Laju aku menoleh ke belakang. Aqel masih terpacak di situ sambil mendakap telefon di telinga menunggu panggilannya dijawab. Kutekan punat panggilan diterima.
“Assalamualaikum..... jangan menangis ketika awak bersendirian” suara Aqel kedengaran dekat di telingaku. Senyap.
“Menangislah ketika saya berada di sana...” ujar Aqel buat aku sebak. Terharu sungguh aku mendengar kata – kata Aqel ini.
“Terima kasih... Aqel” ujarku. Setitis air mata gugur ke pipiku. Aku terus saja mematikan panggilan itu. Tidak mahu Aqel mengetahui keadaan diriku saat ini. Kupandu Waja ini meninggalkan perkarangan KDUT. Dari cermin sisi kereta ini sempat juga aku melihat Aqel yang masih terpacak di situ sedang melontar pandangannya menyoroti kepergianku.

Aqel terus berlari ke laman parkir. Beberapa minit kemudian Peugeot RCZ Sports Coupe juga meninggalkan perkarangan KDUT. Selang beberapa buah kereta, Aqel mengekori kereta Waja itu. Lega hatinya tatkala kereta Waja itu membelok memasuki perkarangan banglo itu. Kemudian berhenti di laman parkir. Bermakna gadis itu sudah selamat sampai ke destinasinya. Aqel berpatah balik. Kehadirannya di situ tidak perlu diketahui oleh gadis itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Lama awak tunggu saya tadi?” suara Haqem kedengaran cemas melontar pertanyaan.
“Tak delah” sahutku. Saat ini hatiku mengakuinya namun mulutku menafikannya. Tidak sampai hati menghukum Haqem dengan perasaan bersalahnya.
“Saya tak sempat nak hubungi awak memaklumkan yang saya tak dapat datang. Keluarga Bella datang menziarahi mama. Mama mahukan saya berada di situ melayan mereka” jelas Haqem. Keluarga Bella bertemu dengan Datin Sofea. Rasanya itu pertemuan yang sangat penting.
“Memang itu yang patut awak lakukan” tuturku merestui tindakan Haqem dengan tenang. Hanya Haqem yang diharapkan oleh Datin Sofea.
“Maafkan saya, Lia” pinta Haqem sekali lagi.
“Saya tak apa – apalah. Awak tak payahlah risau. Saya pun minta maaf juga sebab tak sempat mereneh sup untuk awak. Kalau awak datang tadi mesti saya rasa bersalah sebab tak tunaikan janji saya” ujarku mereka cerita bohong. Berbohong untuk mengurangkan rasa bersalah Haqem kepadaku. Haqem tergelak.
“Syukurlah kalau macam tu. Sekurang – kurangnya saya tak mensia – siakan tenaga awak” ujar Haqem. Di mataku terbayang Aqel sedang berhempas – pulas menghabiskan sup tulang itu. Kasihan Aqel menjadi mangsa. Mungkin juga Aqel tersedak sekarang.
“Datin Sofea dah sihat?” soalku.
“Alhamdulillah... mama sihat macam biasa” ujar Haqem.
“Alhamdulillah...” tuturku turut merasa lega. Mesti Datin Sofea sudah bertenaga menyerangku. Hish.... jahatnya aku! Teringat kembali pada penjelasan Haqem tentang kunjungan keluarga Bella sebentar tadi. Serta – merta suara Bella terngiang – ngiang di telingaku. Betulkah Haqem telah bersumpah kepada Datin Sofea yang dia akan bernikah dengan Bella?
“Haqem...” panggilku.
“Ye...” sahut Haqem bersedia mendengar bicaraku. Senyap. Tiba – tiba saja lidahku kelu. Persoalan itu hanya tersimpan di kerongkongku. Tidak tega aku melontar pertanyaan itu kepada Haqem.
“Kenapa diam je” komen Haqem.
“Hey... cuma rasa letih je. Banyak kerja hari ni” tuturku mengubah topik perbualan.
“Rania dera awak lagi ke?” soal Haqem gusar.
“Tak delah... Rania dah layan saya dengan baik sekarang sejak berbaik dengan Aqel” tuturku.
“Aqel dah berbaik dengan Rania?” soal Haqem terkejut dan seakan tidak percaya.
“Rasanya macam tulah” sahutku. Teringat kembali kerakusan Rania menghabiskan mee yang kusediakan untuk Aqel. Beberapa kali juga aku terserempak Rania bersama Aqel. Walaupun kebanyakan pertemuan itu Aqel nampak bersahaja, namun itu sudah menunjukkan satu petanda positif. Tidak menghairankan Aqel sebegitu kerana dirinya memang berperwatakan sedemikian. Sebaliknya akan nampak pelik dan ganjil jikalau Aqel tiba – tiba menjadi seorang yang begitu mesra. Aku pasti akan tertanya – tanya dan musykil andai sikap bersahaja Aqel terhapus.
“Tak mungkin....” ujar Haqem menafikan kenyataanku.
“Apa yang mustahilnya?” soalku musykil.
“Tak mungkin Aqel menerima Rania semula. Aqel boleh memaafkan Rania, tapi tak mungkin akan bersama dengan gadis itu lagi. Saya cukup kenal dengan Aqel” tutur Haqem.
“Entahlah.... Yang pasti Aqel ada bersama Rania” ujarku cuba menyatakan kepada Haqem bahawa Aqel tidak melarikan diri daripada Rania lagi.

“Sukar untuk saya yakini kenyataan ni” luah Haqem ragu.

“Hati manusia mudah berubah. Mungkin Aqel dah melupakan apa yang telah terjadi” tuturku cuba menyedarkan Haqem tentang hakikat itu. Senyap. Memaafkan kesalahan orang lain adalah tindakan terpuji. Bukan mudah untuk melakukan semua itu.

“Biarlah pendirian Aqel berubah... tapi saya harap hati awak takkan berubah” tutur Haqem serius. Aku terdiam.

“Tapi saya harap awak akan berubah, Haqem” tuturku lalu tergelak sendiri.
 “Maksud awak?” soal Haqem serius.

“Saya harap awak akan hidup lebih bahagia dari hari ni” ujarku telus ikhlas.
“Saya hanya akan hidup bahagia bersama awak” sahut Haqem. Senyap.
“Awak yakin akan hidup bahagia bersama saya walaupun tanpa restu Datin Sofea?” soalku.

“Saya akan pastikan mama boleh terima awak dengan baik sebab restu ibu amat penting untuk menjamin kebahagiaan rumahtangga yang berkekalan” ujar Haqem penuh kematangan. Aku tersenyum sendiri. Jawapan Haqem memuaskan hatiku. Syukurlah Haqem tidak terlalu taksub pada cintanya. Sebaliknya dia masih mampu membuat pertimbangan sewajarnya.

“Tahniah.... Haqem. Awak memang layak untuk hidup bahagia” ujarku sejujurnya.

“Hidup bahagia bersama awak” tutur Haqem menyambung bicaraku. Aku hanya diam. Bicara Bella kembali terngiang – ngiang di telingaku. Lalu hatiku pun berbisik. Walau siapa saja jodoh untuk Haqem, aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan dirinya. Haqem memang berhak untuk hidup bahagia.

7 comments:

  1. Huhu.... Nak flora ngan aqel la....:)

    ReplyDelete
  2. SAYA PUN NAK FLORA DNG AQEL.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum....

    flora pilih haqem @ pilih aqel? klu kiki n baby pilih aqel dgn flora.... bagaimana pula anda? pilihan anda menentukan teman hidup flora... pilih...pilih...pilih.... skrg. Cehwah... mcm cite drama pula main2 undi sms ... tqvm kpd yg masih setia dgn novel ini

    ReplyDelete
  4. HI Permata Nilam

    I prefer Aqel and Flora to be together......

    ReplyDelete
  5. Alahai, bile nk smbung... Hr2 dok nengok.... X sbar dh....huhu

    ReplyDelete
  6. kiki wafa dah n3 kejap tadi.... jom... jom baca cpt......hehehe. tqvm atas kesetiaan anda....

    ReplyDelete