Monday 19 December 2011

NamaKu Bukan Flora! 17



BAB 17

“Apa khabar kau sekarang, Lia?” soalnya. Dia nampak begitu tenang bagaikan antara aku dengan dirinya tiada apa – apa yang berlaku selama ini.

Aku masih menyimpan suaraku. Tidak tahu untuk memulakan bicara. Bahkan persoalannya juga tidak mampu untuk kujawab. Renungan Haqem masih setia melekat pada wajahku buat aku tidak keruan. Dadaku berdebar – debar. Kegenggam kedua – dua tanganku cuba mengumpul kekuatan yang ada.

“Kau dah tak sudi berbual dengan aku?” soal Haqem lagi tatkala aku hanya mematungkan diri tanpa sepatah kata. Aku senyap lagi. Seketika keadaan ini berlanjutan. Tiba – tiba bagaikan baru mendapat suntikan kekuatan dalam diri ini. Kupandang wajah Haqem.

“Takde yang perlu kita bicarakan lagi, Haqem. Aku perlu pergi sekarang” tegasku lalu mengatur langkah mula menjauhi Haqem yang masih belum mahu berganjak dari situ.

“Lia..... tunggu sekejap” tiba – tiba saja tangan Haqem mendarat di pergelangan tanganku sekaligus membuatkan langkahku mati. Terkesima aku dengan tindakan beraninya. Kupandang wajah Haqem dengan wajah yang serius.

“Kau buat apa nie? Lepaskan tanganku sekarang” arahku.

“Aku teringin sangat nak berbual dengan kau. Dah lama kita tak jumpa. Aku....aku...aku rindukan kau, Lia” tutur Haqem perlahan. Kupandang lagi wajah Haqem. Untuk apa dia berbicara sedemikian? Ingin terus mempermainkan perasaanku? Tidak cukupkah kelukaan yang dihadiahkannya padaku dulu? Bukankah dia sudah berkahwin dengan gadis pilihan ibunya? Ya aku cukup yakin dia memang ada hubungan dengan gadis yang aku jumpa pada malam itu. Gadis yang setaraf dengan status keluarga Haqem.

Haqem sudah ada ikatan dengan gadis itu. Namun dia masih mahu menjaja hatinya kepada gadis lain. Dasar lelaki buaya yang tidak puas dengan seorang perempuan. Dia masih mahu membuai perasaanku. Mujur cepat saja aku menyedarinya. Aku mendengus. Kusentap kuat pergelangan tanganku yang masih kemas dalam pautan tangan Haqem. Dia tersentak.

“Aku dan kau dah takde apa – apa hubungan lagi selain soal kerja. Seperti yang kau harapkan, aku dah lama lupakan kau, lupakan segala – galanya tentang kita. Sekarang aku ada kehidupan yang lebih bahagia” tuturku lancar.

“Bohong! Aku tak percaya. Kau cuba nak tipu aku, Lia” tingkah Haqem tidak mahu mengalah.

“Terpulang untuk kau mempercayainya atau tidak. Yang pasti lelaki yang bernama Haqem, yang berdiri di depanku sekarang dah tak bermakna padaku lagi” tuturku lebih tegas.

“Jangan nak tipu aku dan tipu diri kau sendiri. Aku tahu kau tak pernah melupakan aku selama ini. Kau tak sebahagia yang kau gambarkan” tingkah Haqem menimbulkan rasa radangku. Dia menolak mentah – mentah bicaraku. Wajahku merona. Aku terasa dengan bicara Haqem. Tidakkah kau tahu Haqem, betapa sukarnya untuk aku menuturkan bicara – bicara ini. Janganlah paksa aku mengakui tangapan – tangapamu itu! Aku takut! Takut untuk terus tewas melawan kata hati.

 “Kalau kau dah lupakan aku dan lupakan pada cinta kita, mengapa kau sering mengelakkan diri dari aku? Kau tak mampu berhadapan denganku sebab kau masih ada perasaan kat aku, Lia. Cuma kau saja ingin menafikannya” tegas Haqem menyentakkanku. Kupandang wajah Haqem. Ada kesayuan terpancar di situ. Tidak bahagiakah hidupnya bersama isteri pilihan ibunya itu? Mustahil! Pasti Haqem berbangga memiliki isteri yang tampak begitu sempurna. Dia saja yang tidak pernah bersyukur dan berasa puas dengan apa yang dimilikinya selama ini. Haqem begitu tamak dalam soal hati dan perasaan. Tiba – tiba saja aku rasa marah sangat padanya.

“Aku tak nak berdepan dengan kau sebab aku benci sangat dengan manusia yang bernama Haqem. Benci yang tak mampu aku perkatakan sehinggakan aku sentiasa ingin melarikan diri saja dari kau. Rasa cinta itu sudah hancur lebur bersama hancurnya perasaanku bila kau tinggalkan aku pada malam itu. Aku bersyukur dengan perpisahan yang terjadi antara kita kerana aku sedar bahawa Allah mahu mempertemukan aku dengan lelaki yang lebih  baik daripada kau, Haqem” tegasku penuh yakin membuatkan Haqem terpana. Dia sudah tidak mampu berbicara lagi. Hati dan perasaannya pasti terhukum dengan bicara yang keluar dari mulutku ini.

“Kalau kau masih beranggapan yang aku masih mencintai kau, aku nasihatkan kau lebih baik lupakan saja. Aku dan keluargaku dah tak mampu menerima kehadiranmu lagi. Kelukaan dan penghinaan yang kau tinggalkan untuk keluargaku dah cukup sengsara untuk kami tanggung” tambahku lantas meninggalkan Haqem yang masih terpaku di situ.

Semakin jauh langkah gadis itu meninggalkan dirinya yang masih terpacak di situ. Hati dan perasaannya benar – benar terpukul saat ini. Dia ingin mempercayai bicara gadis itu, namun hatinya berkeras menolaknya. Masih ada kesungguhan dalam dirinya untuk tidak mengalah begitu saja. Tidak tega dia membiarkan kisah cintanya bersama gadis itu tamat begitu saja. Dia sedar memang salahnya dahulu sebab tidak mampu bertegas dan membiarkan saja mamanya menamatkan percintaan itu. Dia begitu lemah sehingga tidak mampu mempertahankan kewujudan percintaannya bersama Nur Dahlia yang kian menjauhinya. 

“Kalau betul kamu sayangkan gadis itu, kamu mesti tinggalkan dia, Haqem!” tegas Datin Sofea lantang.

“Maksud mama?” terbit rasa khuatir dalam dirinya mendengar bicara mamanya itu. Haqem sedar mamanya mampu lakukan sesuatu yang diluar jangkauan fikirannya. Malah sanggup lakukan apa saja demi mencapai hajat hatinya.

“Kamu mahu pengajian gadis itu tamat begitu saja? Sanggup ke kamu nak lihat hidup dia musnah disebabkan kedegilan kamu nie” ancam Datin Sofea sambil tersenyum sendiri.

“Mama nak buat apa kat Lia?” soalnya cemas. Datin Sofea tersenyum lagi. Tampak begitu angkuh dengan kuasa yang dimilikinya.

“Mama tak buat apa – apa pada dia kalau kamu patuh pada kehendak mama. Cuma mama nak ingatkan pada kamu, mama ada pengaruh kuat di  tempat kamu belajar itu. Bila – bila masa saja mama boleh buat sesuatu yang boleh menghalang gadis itu menggenggam segulung ijazah. Sekarang pilihan ada ditangan kamu sendiri” tutur Datin Sofea dengan angkuhnya.

“Begitu mudah mama nak musnahkan impian orang lain” keluh Haqem hampa. Dirinya benar – benar tertekan. 

“Sebab mama ada impian sendiri untuk kamu. Mama tak boleh biarkan orang lain memusnahkan impian mama” balas Datin Sofea serius. Haqem mengetap bibir menahan kepiluan hatinya. Dirinya terhimpit antara kehendak mamanya dengan kata hatinya. Pilihan yang diberikan padanya kedua – duanya bakal melukakan perasaan gadis itu malah dirinya sendiri. Fikirannya buntu. Haqem mendengus kasar mengenangkan perkara lalu. Perjanjian yang termeterai antara dirinya dengan mamanya begitu menyakitkan untuk dikenang.

“Kalaulah kau tahu apa sebenarnya yang berlaku selama nie, aku yakin kau akan berbicara lebih baik denganku, Lia” keluh Haqem tidak mahu menyalahkan gadis yang dicintainya itu. Teringat dia pada bicaranya yang lalu.

Haqem kembali pada masa silamnya. Seminggu selepas pertemuan terakhirnya dengan gadis itu, dia membawa diri ke Kota London lalu menyambung pengajiannya di situ. Dia dipertemukan dengan pemuda yang bernama Aqel, anak kacukan Melayu + Korea yang langsung tidak disangkanya boleh bertutur bahasa Malaysia dengan lancar. Memandangkan sifat fizikalnya lebih kepada warga Asia Timur. Disebabkan dalam diri Aqel mengalir darah ibunya yang merupakan warga Malaysia, maka mudah saja hubungan mereka menjadi akrab.

“Kau tahu Aqel, kalaulah aku diberi peluang bertemu dengan gadis itu lagi, kali ini aku takkan lepaskannya begitu mudah” tuturnya nekad kepada sahabatnya itu ketika mereka sedang bersantai – santai di sebuah taman yang diserikan warna – warni bunga – bunga tulip sebaik saja tamatnya peperiksaan di akhir pengajian. Kota London sekarang dilanda musim bunga. Aqel tersenyum.

“Walaupun mama kau menghalangnya untuk kali kedua?” soalnya menguji. Haqem mengangguk penuh yakin. Kali ini dia sudah cukup kuat untuk berdepan dengan Datin Sofea. Bahkan pasti gadis itu juga sudah menamatkan pengajiannya. Maka tiada alasan untuknya mengalah mahupun gentar dengan ancaman Datin Sofea lagi.

“Bukan ke kau dah buat perjanjian dengan mama kau? Habis tu gadis pilihan mama kau tu nak letak kat mana? Kau nak mungkiri perjanjian itu dengan sebegini mudah?” soal Aqel lagi cuba menyedarkannya. Haqem diam. Perlahan – lahan keluhannya tercetus.

“Kalau ler aku tahu sesukar ni hidupku, lebih baik kami kahwin lari saja tika itu. Sekurang – kurangnya tak ler aku nampak kejam sangat” luah Haqem berbicara melempiaskan kekesalannya. Aqel terus saja tertawa.

“Kau tahu apa silap kau, Haqem” Haqem menatap wajah sahabatnya itu meminta penjelasan lebih lanjut. Kisah cintanya itu bukan lagi menjadi rahsia kepada sahabatnya ini.

“Kau tak berterus terang dengan gadis itu” luah Aqel memberi pendapat. Haqem terdiam panjang.

“Sama ada aku berterus – terang atau tidak, dia tetap akan terluka” keluh Haqem lemah.

“Sekurang – kurangnya dia tak akan menyalahkan kau. Tapi takpe, aku yakin kalau dia tahu apa yang kau lakukan itu demi kebaikannya, aku rasa dia akan maafkan kau. Malah akan buat dia terharu” tutur Aqel cuba menyenangkan hati sahabatnya itu.

“Aku harap pun begitu juga dan aku takkan lepaskan dia lagi” ujarnya mengulangi ketekadan hatinya. Aqel hanya tersenyum. Dia sedar betapa gadis itu bererti buat sahabatnya itu. Sedikit cemburu dirinya melihat sahabatnya itu dikurniakan cinta sedalam itu sedangkan selama ini dia tidak pernah mengalami cinta sedemikian. Kalau dia diberi kesempatan untuk jatuh cinta kepada seseorang sebegitu mendalam pasti dia tidak akan menolaknya. Dia ingin merasai cinta sedemikian. Pasti begitu indah dipertemukan dengan pasangan yang saling mencintai seikhlasnya di saat hatinya benar – benar terbuka luas untuk mencintai dan dicintai.

“Berbanyak ler kau berdoa sekarang semoga gadis itu belum menjadi isteri orang, mahupun hatinya belum dimiliki lagi” nasihat Aqel sekaligus mengusik Haqem. Haqem menelan pahit liurnya. Terasa hatinya bergetar. Bicara sahabatnya itu mengundang kerisauannya. 

“Kali ni aku takkan lepaskan kau semudah tu, Lia. Aku akan lakukan apa saja untuk mengembalikan kau kepangkuanku semula” bisik hati Haqem penuh ketekadan. 

Langkah kakiku terhenti. Bayangan Haqem sudah tidak kelihatan lagi. Rupanya sudah jauh aku pergi tanpa disedari. Kupandang sekeliling. Kini aku berada di sebuah taman yang sunyi sepi yang mula berganjak di selubungi kegelapan. Baru aku menyedari hanya aku bersendirian di sini. Keletihan baru kurasai. Lantas aku melabuhkan punggungku di bangku kayu ini lalu duduk melepaskan kepenatan. Pantas saja tanganku mengesat peluh yang sudah membasahi dahiku. 

Seketika aku tersandar lemah di bangku ini. Kupejamkan mata cuba mengusir pertemuanku dengan Haqem sebentar tadi. Bicaraku pada Haqem kembali berlegar – legar dipendengaranku. Betulkah aku benci sangat pada Haqem sehingga tidak mampu untuk bersemuka dengan dirinya?Mungkinkah Allah mahu mempertemukan aku dengan lelaki yang lebih baik daripada Haqem?     
Ya Allah, kalau betullah aku sudah tiada perasaan kepada Haqem lagi, kenapa hatiku terasa sakit saat ini? Kenapa aku tidak pernah melupakan Haqem selama ini? Aku cuba hidup ceria dan bertingkahlaku seperti orang lain sedangkan ingatanku tidak pernah luput pada kenangan cinta lalu. Di kala aku bersendirian, fikiranku sering memikirkan Haqem lalu dengan mudah airmataku akan gugur. Kalau benar aku sudah melupakan cintaku pada Haqem, mengapa aku terus mahu membenci dirinya? Sepatutnya aku berhadapan dengan Haqem tanpa sebarang kesukaran. Aku boleh berbaik – baik dengan Haqem untuk menjadi sahabatnya kalau betul perasaan cinta itu sudah tiada lagi.

Ya Allah, mengapa sukar sangat untuk aku memahami diri sendiri? Aku keliru dengan kehendak hatiku. Aku buntu memikirkan kemahuanku. Aku rasa marah sangat bila Haqem meluahkan rasa rindunya padaku. Aku mahu Haqem berbicara yang boleh mematahkan hatiku agar aku terus melenyapkan dirinya. Ya Allah, ya Rabbi, bantulah aku mengusir bayangan Haqem dari terus membelengguku. Aku mahu hidup bebas tanpa dibebani perasaan yang mengelirukan ini.

Ya Allah, kalau betul Haqem bukan jodoh terbaik buatku, Engkau bukakanlah hatiku untuk aku mengenali insan lain yang lebih sesuai untukku. Insan yang mampu memberikan kebahagiaan kepadaku dan kepada keluargaku. Insan yang mampu aku cintai sepenuhnya dan mencintaiku seikhlasnya. Engkau pertemukanlah aku dengan insan itu ya Allah. Engkau munculkanlah dirinya di depanku ini, ya Rahman ya Rahim. Hatiku terasa begitu syahdu tika ini. Perlahan – lahan airmataku mengalir ke pipi.

“Flora....!” Aku tersentak. Pantas saja aku berpaling. Aqel bersama kereta mewah berada di bahu jalan tidak jauh dariku. Laju saja tanganku mengesat sisa – sisa airmata di pipiku. Tidak mahu aku kalau Aqel menyedari yang aku menangis tika ini.

“Buat apa awak kat situ?” soal Aqel sedikit melaung. Aku diam. Tidak tahu apa yang harus aku jawab untuk pertanyaannya itu.

“Bahaya duduk sorang – sorang kat sini. Mari saya hantar awak balik rumah” pelawanya bermurah hati. Aku diam lagi. Belum mahu berganjak dari tempat dudukku. Berpandangan seketika dengan Aqel.

“Awak tak nak balik ke? Dah nak Maghrib nie” bicara Aqel lagi. Baru saja aku hendak mengangkat punggungku, tiba – tiba telefonku berdering. Aku mematikan saja niatku untuk berganjak dari situ. Segera kujawab daripada panggilan mak.

“Kamu kat mana sekarang? Dah lewat nie kenapa belum sampai rumah lagi” rungut mak kerisauan.

“Minta maaf mak, Lia ada hal sikit. Kejap lagi Lia balik” ujarku beralasan. Terbit rasa salahku kerana membuatkan mak kerisauan. Masa kepulanganku sudah jauh terlajak. Sepatutnya sekarang aku sudah berada di rumah bersama – sama mak menanti masuknya waktu solat Maghrib.

“Dah nak Maghrib nie cepat ler balik nanti tak sempat pula kamu nak solat” omel mak yang sentiasa mahu mengingatkan aku tentang kepentingan menjaga solat sebagai tiang agama.

“Ye Lia balik sekarang” janjiku lantas bangun dari bangku kayu ini lalu mengatur langkah ke arah Aqel yang masih menjengukkan kepala di tingkap
kereta mewahnya itu.

“Assalamualaikum mak. Bye.....” Kumatikan panggilan dari mak. Telefon kusimpan kembali di dalam beg galasku. Aku sudah duduk di kerusi penumpang di sebelah Aqel. Aqel sedang memerhatikanku.

“Apa hal awak tengok saya macam tu?” soalku kurang sedang dengan cara pandangan mata Aqel.

“Awak baru lepas menangis ke?” pertanyaan Aqel mengejutkanku. Laju saja aku melarikan wajahku dari terus menjadi tatapan mata Aqel. Bahaya untuk Aqel mengetahui semua ini. Silap hari bulan nanti boleh sampai kepengetahuan mak.

“Takde ler ...... masuk habuk tadi” ujarku menafikannya sekaligus membohongi Aqel. Senyap. Tiada lagi suara Aqel berbicara. Sebaliknya dia sudah memulakan pemanduannya. Tidak pasti sama ada dia mempercayai bicaraku itu ataupun sebaliknya. Berdua – dua begini buat aku kurang rasa selesa. Kupalingkan wajahku ke tingkap sisi melontar pandangan keluar sana.

“Lain kali pakailah glasses biar takde habuk hinggap kat mata. Kat taman tu memang pun selalu saja habuk berterbangan biarpun takde angin takde pasir” balas Aqel serius. Aku mengetap bibir hingga berbekas. Terasa bicara Aqel satu sindiran pedas buatku. Aku tahu Aqel memang sudah dapat mengagak akan keadaanku tika ini.

Kubiarkan bicara Aqel tidak bersambut. Tidak ada perkara yang ingin aku bicarakan bersamanya. Kebetulan pula aku keletihan sangat gara – gara berjalan kaki dalam jarak yang jauh. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan selama ini. Kiranya aku sudah terlebih bersenam. Aqel juga memang terkenal dengan sikap pendiamnya. Maka perjalanan ini hanya diselubungi suasana sepi yang panjang. Masing – masing lebih suka melayan perasaan sendiri. Kalaulah aku rapat dengan Aqel pasti keadaan sekarang berbeza. Aqelkan sepupuku pasti aku boleh berbicara banyak perkara dengannya. Aqel sepupuku, kenapa aku rasa ada halangan untukku mesra dengan dirinya?

“Alamak!” tetiba saja suaraku memenuhi ruangan kereta mewah Aqel sekaligus memecah kesepian yang panjang tadi. Kutepuk – tepuk kepalaku.

“Kenapa?” soal Aqel hairan sempat memandangku seketika.

“Motor saya tinggal kat parking ler” ujarku sambil garu – garu kepala. Segan juga untuk menuturkan perkara ini. Nanti tidak pasal – pasal percuma aku mendengar teguran sinis Aqel.

“What!” Aqel terperanjat mendengarkannya.

“Saya terus jalan tadi, tak ingat nak guna motor. Ingatkan lepas lepak – lepak kat taman tu, nak pergi sana ambik motor tu” ceritaku. Aqel geleng – geleng kepala. Pasti akalnya sukar untuk menerima penjelasanku.

“Teruknya awak” sinis saja suara Aqel. Aku diam seketika. Memang patut Aqel berbicara sedemikian. Mana pernah – pernah orang lupa hendak bawa balik motor yang ditunggang.

“Macam mana nie? Esok saya nak pergi kerja guna motor tu” rungutku buntu. Risau pula aku hendak meninggalkan motor itu semalaman di situ. Walaupun tidak seberapa, namun aku tetap sayang dengan motor cabukku itu.

“Kalau nak patah balik dah jauh kita nie. Lagipun dah lewat nanti tak sempat pula nak solat Maghrib. Tak payah ler ambik” putus Aqel membinggungkanku.

“Macam mana saya nak pergi kerja?” soalku kematian akal.

Perkhidmatan bas jauh dari kawasan taman perumahan tempat tinggal keluargaku. Hendak guna teksi satu hal pula hendak cari nombor telefonnya. Kebetulan pula kereta Waja mak di bangkel. Oh, bertimpa – timpa malang mendatangiku! Persis diriku sudah jatuh ditimpa tangga. Aku mengeluh. Yang aku boleh fikirkan sekarang aku terpaksalah ambil MC.

“Takpe awak tumpang kereta saya esok” ujar Aqel mempelawaku.

“Betul ke nie?” soalku sangsi dengan kebaikan dan kemuliaan hati yang ditunjukkannya. Aqel mengangguk.

“Motor saya macam mana?” soalku lagi. Aku masih mahu mempersoalkan tentang motor kesayanganku itu. Kedengaran keluhan Aqel. Sempat juga sekilas pandangan tajamnya singah di wajahku. Aqel menekan nombor – nombor pada telefon bimbitnya. Dia berbual seketika dengan seseorang di talian. Ucapan terima kasih dari mulut Aqel mengakhiri perbualan begitu jelas di telingaku.

“Saya dah suruh Uncle Rawie tengok – tengokkan motor tu. Puas hati sekarang?” soal Aqel geram. Aku tersenyum. Baru hatiku terasa lega.

“Terima kasih” ujarku tersengih memandang Aqel yang berwajah masam mencuka. Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepada Aqel setelah dia selamat menurunkan aku di halaman rumah keluargaku. Aqel tetap bersahaja.

“Esok saya datang sini, awak dah ada kat halaman rumah nie” ujar Aqel memperingatkan aku. Aku hanya mengangguk tanpa sebarang bantahan. Aqel menghidupkan enjin keretanya kembali lantas aku mengatur langkah ke muka pintu.

“Flora!” suara Aqel mematikan langkahku yang baru saja hendak bermula. Aku berpaling. Tangan Aqel melambai – lambai ke arahku. Satu syarat mengarahkan aku agar datang mendekatinya. Aku akur saja. Setelah aku terpacak di sebelahnya, tetiba saja Aqel meletakkan satu gelas kertas tinggi bertutup bersama wang kertas RM10.00 di telapak tanganku. Aku tergamam.

“Nie jus oren yang tak sempat awak minum tengah hari tadi. Jangan membazir. Saya tak suka. Duit awak tu saya kembalikan sebab saya memang dah niat nak belanja awak tadi” jelas Aqel dengan wajah yang bersahaja.

Aku kematian akal. Seakan tidak percaya lelaki macho seperti dia sanggup membawa balik segelas jus oren yang tidak sempat diminum. Memang di luar jangkaanku. Patutlah dalam usia muda, Aqel sudah bertaraf jutawan. Rupanya sikap berjimat – cermat yang begitu menebal dalam dirinya. Boleh jadi juga dirinya seorang yang kedekut bin Haji Bahil. Aku tersenyum sendiri.

“Terima kasih kerana belanja saya jus oren nie. Saya nak masuk rumah sekarang” ujarku lalu meneruskan langkah dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Ada sesuatu yang mencuit hatiku.

Aku terus bergegas ke bilik air untuk mandi dan terus mengambil wuduk. Segera aku mengerjakan solat Maghrib kerana sudah terlewat. Kira – kiranya lima minit selepas menunaikan solat Maghrib, kedengaran azan Isyak berkumandang. Aku meneruskan solat Isyak tanpa sempat berganjak dari tikar sejadahku. Usai memberi salam, lantas aku menadah kedua tanganku bermunajat kepada Yang Maha Esa memohon kesejahteraan keluargaku di dunia dan akhirat serta memeliharaku sekeluarga agar terus berada di landasan keimanan dan ketaqwaan. Kupanjatkan juga doa agar arwah ayah dan saudara maraku yang telah pergi ditempatkan bersama – sama orang mukmin yang dikasihNya dan sentiasa dalam kesejahteraan dan keamanan. Amin.

 Aku bangkit dari dudukku lantas melipat sejadah dan telekung yang kupakai. Sayup – sayup aku dengar ada suara – suara yang sedang rancak berbual di bawah sana. Kuamati betul – betul. Suara mak bersahutan suara lelaki. Yang pasti bukan suara milik Aziq. Hatiku melonjak – lonjak ingin mengetahui gerangan siapakah yang bertandang ke rumah keluargaku tika ini. Kupercepatkan langkahku menuruni anak tangga untuk segera sampai ke ruangan dapur. Tatkala aku sampai di ambang pintu, aku terkesima melihat pemuda yang sedang melontar pandangannya ke arahku serentak dengan pandangan mak.

“Kenapa awak ada kat sini?” soalku hairan.

“Mak yang jemput Aqel makan sama dengan kita. Mari makan Lia” suara mak begitu ceria dengan kedatangan anak saudaranya ini. Aku melangkah mendekati mereka. Kupandang Aqel yang masih dengan pakaian kerjanya tadi. Begitu mengejutkan kewujudannya di sini.

“Saya tumpang solat di rumah awak takut tak sempat kalau nak solat kat rumah” ujar Aqel memberi penjelasan lanjut. Mungkin dia menyedari akan kedatangannya yang tidak berapa dialu – alukan olehku. 

“Aqel tidur ler kat sini malam nie” pelawa mak sewenangnya.

“Mana ada pakaian lelaki kat rumah nie yang sesuai dengan dia” bantahku cuba menghalang niat hati mak. Tidak selesa aku ada lelaki di rumah ini selain Aziq. Aku berharap sangat Aqel tidak akan bermalam di rumah ini.

“Apa yang susahnya dia boleh pakai baju Aziq, tak pun pinjam t-shirt kamu” cadang mak buat anak mataku terbeliak. Tidak sanggup aku hendak
berkongsi baju dengannya.

“Takpe ler Mak Usu, kasihan juga mak sorang – sorang kat rumah tu” ujar Aqel memberikan kelegaan kepadaku. Nampak mesra dia memanggil mak dengan panggilan itu.

“Betul tu mak, takkan nak biarkan Mak Long bersendirian” celahku menyokong. Suka sangat aku mendengar bicara Aqel itu.

Selain aku tidak selesa Aqel berada di sini, ada lagi alasan lain yang sedang bermain difikiranku. Aku khuatir Aqel akan membuka cerita – cerita di pejabat kepada mak. Aku juga risau kalau mak tersasul bercerita tentang kisah laluku kepada Aqel. Nanti tanpa disengajakan segalanya terbongkar. Mak mengetahui aku bekerja sebumbung dengan Haqem dan Aqel mengetahui kisah percintaanku bersama Haqem.

Usai saja menikmati hidangan makan malam, Aqel meminta diri kerana keletihan dan perlu berehat. Mak menghantar kepulangan Aqel di muka pintu dengan wajah yang hampa. Kecewa hati mak kerana pelawaannya ditolak oleh Aqel. Lenyapnya bayangan Aqel di rumah ini barulah aku boleh menarik nafas lega. Akhirnya aku boleh tidur lena dengan hati yang tenteram. Bahkan lupa seketika tentang Haqem.


3 comments:

  1. misteri btul la aqel ni...
    aqel kenal flora dr haqem ke??
    apa pun crita ni mmang best.
    saranghaeyo pun best gak.bila nk smbung??

    ReplyDelete
  2. SkyAngel kena ler ikuti kisah ni smpi penghujungnya. insyaallah ada kelapangan sy akn trs menggarap ilham. dah ada jln cite strsnya tp blm ada ksmptn utk menulis. maklum ler bz melancong sn sini hehehe

    ReplyDelete
  3. Novelis hebat,
    Drama korea kini boleh ditonton secara online di....

    maaduu.com

    ReplyDelete