Monday, 23 March 2015

NamaKu Bukan Flora.... 70





BAB 70

“Selepas ini Pak Usu akan jadi ayah Idlan. Mulai sekarang Idlan akan panggil Pak Usu, papa” cerita Idlan dengan senyuman ceria. Aku turut tersenyum. Berita gembira yang dikongsi bersamaku.
“Baguslah” ujarku menyokong hasrat hati Haqem yang mahu mendaftar nama Idlan sebagai anak angkatnya. Haqem mahu hak penjagaan sah ke atas Idlan. Permohonan pengambilan anak angkat sedang dalam proses. Perkara ini yang Haqem maklumkan kepadaku sebentar tadi. Mudah – mudahan niat suci Haqem dipermudahkan Allah dan segalanya berjalan lancar.  
“Idlan nak Mak Usu jadi mama Idlan” meluncur laju permintaan ini keluar dari mulut Idlan. Aku terpana seketika. Tidak menduga bicara ini akan diperdengarkan di telingaku. Kupandang wajah Idlan yang menggantung harapan setinggi langit kepadaku.
“Mak Usu setuju?” tanya Idlan tatkala aku terdiam seketika. Tidak sabar dia hendak mengetahui kata putusku. Aku menghela nafas panjang. Kupegang tangan Idlan. Lantas kutatap wajahnya. Berat hati mahu berbicara dengan Idlan tika ini. Tidak tega mengguris perasaannya.
“Tak boleh..... sebab auntie dah ada Uncle Aqel” jawabku perlahan cuba tidak menyinggung perasaan Idlan. Namun aku tidak mampu menghalang kekecewaan menerjah naluri halus Idlan. Dia mempemerkan wajah sugulnya.
“Mak Usu sayang Uncle Aqel?” laju sahaja pertanyaan ini diutarakan kepadaku. Aku kaget. Sungguh tidak menyangka Idlan mampu menyoalku sebegini. Idlan tidak mahu ketinggalan mengukur perasaanku kepada Aqel.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” tegas Idlan nekad sebelum sempat aku menjawab pertanyaan yang dikemukakannya. Idlan berlalu meninggalkan aku bersendirian di sini. Sungguh aku terkesima menatap kesungguhan Idlan meluahkan keinginannya. Tika ini aku merasakan diriku terlontar pada situasi yang sangat sukar. Wajah Aqel dan Haqem menjelma di ruang mataku. Kemudian menyusul pula wajah mak, Mak Long dan Idlan. Tanpa dipinta terbayang wajah Rania, Bella dan Datin Sofea. Semua nama ini menjelma dalam kisah hidupku. Ada cereka tersendiri yang mengaitkan mereka dengan perjalanan hidupku. Flora.....! Tidak semena – mena hatiku menyeru nama gadis ini. Gadis yang Aqel harapkan menjadi teman hidupnya. Mak Long perlu tahu gadis ini telah membelenggu jiwa Aqel. Aqel hidup dalam ilusi yang panjang. Mak Long perlu merestui pilihan Aqel demi kebahagiaan anak mudanya itu. Tika ini aku rasakan hanya aku yang mampu menamatkan kisah hidup yang tidak jelas ini. Mahu bertindak dan membuat keputusan demi kebahagiaan semua orang yang kukenali dan dekat dengan hidupku termasuklah Flora.
“Terima kasih, Haqem” ujarku sambil mengukir senyuman sekilas.
“Terima kasih juga pada awak” balas Haqem tersenyum. Mengerti maksud bicara Haqem. Namun aku telah mencalarkan kegembiraan Idlan itu.
“Pergilah masuk berehat. Pasti awak letih melayan kerenah Idlan tadi” ujar Haqem. Aku menggeleng. Idlan langsung tidak menjadi bebanan kepadaku.
“Seronok dapat menggembirakan Idlan” ujarku tulus ikhlas.
“Senang hati saya mendengar kata – kata awak. Terima kasih banyak – banyak, Lia” ujar Haqem rasa terhutang budi. Aku senyum.
“Kegembiraan Idlan sangat bererti buat saya. Kalau saya mampu memang saya nak sentiasa menggembirakan hatinya” luahku. Haqem tersenyum lebar.
“Berehatlah...” arah Haqem. Aku mengangguk.
“Pasti malam ini saya akan tidur lena. Risau pula terlewat bangun sebab dah kenyang sangat ni” ujarku tergelak kecil. Haqem tergelak.
“Oklah.... saya masuk dulu. Pandu hati – hati. Assalamualaikum......” Aku terus berpaling dan memulakan langkah meninggalkan Haqem. Tidak berapa lama kemudian kedengaran deruan kereta Haqem meninggalkan halaman rumah ini. Kukeluarkan kunci rumah lantas membuka pintu. Mujur juga aku sempat menekan suis lampu ruang tamu tadi. Kupandang bilik mak. Mak belum sampai rumah lagi. Mungkin masih dalam perjalanan balik. Lantas kucapai iPhone dari saku beg galasku lalu menghubungi mak. Tiada talian yang dapat menghubungkan aku dengan mak. Sama ada mak berada di luar kawasan perkhidmatan mahupun telefon mak sudah kehabisan beteri.
Aku melangkah longlai mendaki anak tangga hendak ke bilik. Perut kenyang rasa mengantuk pula. Berterusan dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa yang sedap – sedap belaka. Bermula dengan hidangan tengah hari, kemudian menikmati pencuci mulut ketika menonton tv di ruang tamu. Seterusnya minum petang dihidangkan dengan cucur udang panas – panas berserta bubur jagung. Ditambah lagi dengan puding roti. Semuanya menyelerakan. Memang berbaloi bertandang ke rumah Idlan hari ini. Selepas mandi mahu berehat secukupnya. Aqel dan mak pasti sudah makan di luar. Kebiasaannya mak tidak akan lewat makan manakala Aqel jikalau lewat balik memang akan makan sebelum datang ke sini. Di mana Aqel sekarang? Kutekan suis lampu.
“Subhanallah....” Aku terjerit kecil. Tubuhku sedikit terloncat. Sungguh mengejutkan tatkala mendapati Aqel berada di bilik ini sedang tersandar di sofa sambil mengarah pandangan kepadaku. Kuurut – urut dadaku. Cuba menenangkan diri.
“Awak nikan....kalau saya ada penyakit jantung tadi pengsan saya tau” rungutku tidak senang. Tidak serik – serik betul dia mengejutkan aku. Mungkin Aqel sudah lupa yang dia pernah membuatkan aku pengsan tatkala dia memunculkan dirinya dalam kegelapan.
“Kenapa awak duduk dalam gelap?” tanyaku.
“Bertafakur....” sahut Aqel bersahaja. Aku mencebik bibir. Sesuka hati sahaja dia menjawab. Aku menggantung beg galas di daun pintu. Kemudian duduk di birai katil. Melirik ke arah Aqel. Jikalau Aqel sedang menutup mata, aku berhasrat mahu berbaring di atas tilam ini. Mahu bersenang – lenang seketika. Aku tersenyum sendiri. Pucuk dicita, ulam mendatang. Mata Aqel terpejam. Barangkali Aqel sedang lena.
“Jangan baring..! Pergi mandi sekarang...” arah Aqel mengejutkan aku. Mati hasrat hatiku. Hanya sempat melunjurkan kaki dan mencecahkan punggung ke atas tilam. Aku duduk semula. Kujeling Aqel.
“Awak ni kan.... pandai sangat buat orang terkejut” rungutku meradang. Aqel mempamerkan wajah kosong menghangatkan bara hatiku. Bicaraku persis angin lalu. Tidak memberi makna padanya. Salji sudah turun. Saat kedinginan Aqel sudah menjelma. Aku bangkit dari katil ini lalu mencapai tuala. Mahu mandi sebelum berbaring di atas tilam. Pasti selepas ini Aqel tidak menghalangnya. Aku menapak di depan pintu bilik air. Tidak terus melangkah masuk. Sebaliknya berpaling ke arah Aqel.
“Mak Long ada call awak?” tanyaku mahu kepastian tentang perkhabaran mak dan Mak Long. Mungkin Mak Long dan Aqel telah berhubung tadi.
“Tak jadi balik hari ini” ujar Aqel terus memberi penjelasan memuaskan hatiku. Aku melepaskan keluhan kecil. Terasa rindu pada mak setelah beberapa hari tidak bersua muka.
“Mereka tu sengaja nak tinggalkan kita berdua – duaan” ujar Aqel sambil menatapku.
“Mereka macam tak percaya saya. Kan saya boleh selesaikan perkara ini” ujar Aqel berbicara sendiri dengan nada terkilan. Mungkin Aqel tidak senang diamanahkan menjagaku. Aku yakin, sama ada mak mahupun Mak Long sudah pasti meminta Aqel tidur di rumah ini menemaniku. Tidak mahu aku bersendirian. Khuatir berlaku sesuatu yang tidak diingini dan mahu mempastikan keselamatanku. Mendengar nada suara Aqel tadi pasti dia keberatan melakukannya.
“Saya dah besar dan tahu menjaga diri sendiri. Tak payah risaulah” tegasku tiba – tiba sahaja bersuara.
“Aa....” Berkerut dahi Aqel menatapku. Aku tersengih.
“Saya nak mandi sekarang” ujarku lalu melangkah laju ke bilik air. Bimbang juga jikalau tiba – tiba sahaja Aqel meninggalkan aku bersendirian di rumah ini lantaran hujah yang baru sahaja aku keluarkan sebentar tadi. Belum sempat berbuat apa – apa di bilik air ini, aku menolak daun pintu semula tatkala baru sahaja teringat pakaian persalinanku terlupa aku hendak membawa masuk ke dalam bilik air ini. Sejak bernikah dengan Aqel tidak pernah aku menukar pakaianku di depan Aqel. Berbeza dengan Aqel yang hanya bertuala tanpa baju setiap kali hendak mandi mahupun keluar dari bilik air. Hanya aku yang sentiasa melarikan pandanganku daripada Aqel. Sungguh aku segan dan rasa malu berhadapan dengan Aqel dalam keadaan sedemikian.
“Sampai bila awak nak malu pada saya?” suara Aqel memecah kesunyian.
“Aaa....” terkebil – kebil aku menatap Aqel. Luar biasa pertanyaan itu.
“Tak perlu terlalu bersopan – santun di depan saya. Awak halal untuk saya dan saya halal untuk awak. Agama tak membataskan pergaulan kita” ujar Aqel serius. Fikiranku terus menerawang jauh. Sudah sampai masanya Aqel menuntut keinginan fitrah lelaki. Malam ini aku akan menyerah diri kepada Aqel. Benarkah? Jiwaku bergetar. Rasa tidak keruan.
“Yang awak terpacak macam patung di situ, apa hal? Pergilah mandi...” suara Aqel menyentakkanku. Kupandang Aqel. Jarinya menunding ke pintu bilik air. Terkocoh – kocoh aku melangkah ke bilik air kembali. Tidak mahu terus – menerus memikirkan bicara Aqel sebentar tadi. Tatkala aku keluar dari bilik air, Aqel sudah tiada di bilik ini. Sayup – sayup kedengaran suara lelaki dan perempuan silih berganti. Aqel berada di ruang tamu menonton televisyen. Aku berbaring di katil seketika. Sudah makan, sudah mandi dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan lagi. Bolehlah bersenang – lenang sekarang. Bahagianya hidup begini. Tiada perkara yang perlu dirunsingkan. Bolehlah tidur nyenyak.     
Aqel? Nama lelaki ini melintas di benakku. Bimbang pula kalau belum ada sebarang makanan yang masuk ke dalam kantung perut Aqel. Tidakkan aku hendak biarkan Aqel berlapar sepanjang malam ini. Aku bingkas bangun meninggalkan katil. Keluar dari bilik lantas mengatur langkah mendapatkan Aqel di ruang tamu. Langkahku mati. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Aqel sedang tidur dengan tv yang terpasang. Bukan dia yang menonton tv sebaliknya tv yang melihat Aqel. Aku tersenyum sendiri dan gelang kepala. Nampak sangat Aqel sedang keletihan. Perlukah aku kejutkan Aqel lalu mengajaknya tidur di bilik? Segan pula hendak bertindak sedemikian. Khuatir benak Aqel menyimpang jauh. Sedangkan tadi sudah nampak ciri – ciri Aqel berfikir ke arah itu. Kucapai remote tv. Tidak sampai hati mengganggu lena Aqel, aku biarkan sahaja dia terus berbaring di sofa panjang itu. Sekadar alasan mahu menyedapkan hati. Sungguh menakutkan jika Aqel berfikiran seperti yang aku andaikan jika aku mengejutkan Aqel dan memintanya tidur di bilik bersamaku. Nauzubillahminzalik. Tidak mahu dicop gadis penggoda. Maka aku hanya perlu mengambil selimut dan bantal untuk Aqel. Sekurang – kurangnya boleh membuatkan Aqel sedikit selesa. Aku memalingkan tubuh berhasrat hendak ke bilik semula mengambil selimut dan bantal untuk Aqel. Tidaklah aku terlalu kejam kepada Aqel. Alasanku tidak mahu mengganggu tidur Aqel juga berasas.
“Awak nak ke mana?” suara Aqel menyapaku mematikan langkahku yang baru sahaja hendak bermula. Aku tersentak. Lambat – lambat aku berpaling. Tidak menduga Aqel akan terjaga biarpun sudah tidur lena. Jangan – jangan Aqel hanya berpura – pura tidur sahaja tadi. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Terasa diri diperbodohkan. Pasti Aqel bersusah – payah menahan diri daripada tergelak setelah puas memerhatikan gelagatku tadi.
“Seronok awak makan bersama Haqem tadi?” tanya Aqel. Laju sahaja aku mengangguk.
“Makan ramai – ramai macam sebuah keluarga” sahutku membetulkan kenyataan Aqel. Aku bukan makan bersama Haqem seorang sahaja. Malah Idlan dan Mak cik Tijah juga ada bersama kami. Tidak mahu kenyataan Aqel menimbulkan salah faham.
“Ye.... seronok makan bersama – sama macam sebuah keluarga” ujar Aqel mengulas bicaraku sambil tersenyum sendiri. Lantas aku terbayang gelagat Idlan sepanjang berada di meja makan tadi. Tampak dia makan begitu berselera sekali. Tiga kali menambah nasi. Kasihan Idlan. Dia memang mendambakan hidup keluarga yang sempurna.
“Jauhnya awak termenung....” suara Aqel menyentakkanku. Aku berpaling ke arah Aqel. Seketika aku dan Aqel saling berbalas pandangan.
“Saya kasihan pada Idlan. Dia perlukan kasih sayang seorang ibu. Saya juga kasihan pada Haqem. Tanggungjawab yang dipikulnya sungguh berat sekarang.... Mereka...” bicaraku tergantung.
“Haqem juga perlukan teman hidup untuk membantunya menghadapi kerenah Idlan. Haqem dan Idlan perlukan kehadiran seorang perempuan dalam keluarga mereka” laju sahaja Aqel memintas bicaraku. Kupandang Aqel.
“Awak juga berfikir ke arah itu” komenku. Aqel tersenyum. 
“Perkara yang sangat mudah nak difikirkan” balas Aqel bernada sinis. Mungkin mahu memerliku kerana telah mengajukan soalan cepu emas kepadanya.
“Haqem ada cakap sesuatu pada awak tadi?” soal Aqel.
“Aaa....” Berkerut dahiku menatap Aqel. Apa yang Haqem mahu katakan kepadaku? Mungkinkah Haqem telah berkongsi cerita dengan Aqel tentang gadis pilihan hatinya yang akan membantunya menjaga dan membesarkan Idlan dengan sempurna. Kalaulah andaianku ini tepat, alhamdulillah. Aku kasihan jika Idlan membesar tanpa kasih – sayang perempuan yang boleh menggantikan tempat Harianie. Aku akan terus berdoa mudah – mudahan Haqem akan menemui teman hidup yang boleh menyayangi Idlan ibarat anak kandung sendiri.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” suara tegas Idlan menerpa halwa pendengaranku. Idlan merajuk denganku sekarang kerana aku tidak mampu memenuhi impiannya itu.
“Awak sedang fikirkan apa?” suara Aqel menyentakkanku. Kupandang Aqel. Kami saling beradu pandangan dengan mulut terkunci. Lambat – lambat aku menggeleng kepala. Perkara ini tidak manis hendak dikongsi bersama Aqel walaupun aku yakin tidak akan mendatangkan kesan kepada anak muda Mak Long ini.
“Idlan sentiasa membebani fikiran awak” ujar Aqel persis menyelami benakku. Aku sedikit tersentak. Kurang senang mendengar kata – kata Aqel yang baru sahaja diluahkannya.
“Idlan tak pernah membebankan fikirkan saya” tingkahku serius. Tidak bersetuju dengan bicara Aqel. Idlan tidak pernah menjadi bebanan kepadaku. Dia adalah kawan kecilku yang sentiasa menghiburkan hati dengan gelagat nakal dan manjanya.
“Cuma saya bimbang kalau Idlan tak mendapat kasih sayang. Saya sangat bimbang kalau pilihan Haqem tak mampu menyayangi Idlan” tuturku meluahkan isi hati bersama kerisauaanku.
“Hanya awak saja yang mampu menyayangi Idlan sedalamnya” ujar Aqel tanpa secebis senyuman. Kurang pasti sama ada Aqel menuturkannya dengan ikhlas atau sekadar mainan mulutnya sahaja. Namun kali ini aku tidak mahu mengulas bicara Aqel secara terang – terangan. Mungkin juga Aqel berhasrat mahu aku kembali kepada Haqem sebagai menebus kesalahannnya kerana telah menipuku selama ini.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” suara tegas Idlan terngiang – ngiang di telingaku. Kupandang Aqel. Aqel membalas pandanganku. Aku dan Aqel beradu pandangan dengan mulut terkunci. Raut wajah tampan Aqel menjadi santapan mataku seketika. Setiap hati perempuan akan terusik tatkala menatap Aqel. Nama Flora melintas di benakku. Aku tidak mahu terpikat pada ketampanan Aqel. Perasaan simpati kepada Aqel kian menebal. Dia terseksa kerana cintanya dengan Flora tidak bersatu. Lantas aku menyalahkan diri kerana telah menjadi benteng antara mereka.
“Aqel.... dengan tulus ikhlas dari hati kecil saya.... saya izinkan awak dengan Flora bersatu” lancar mulutku melafazkan kata – kata ini tanpa dirancang. Dalam renungan Aqel sehingga merantai pergerakanku. Aku kaku di depan Aqel.
“Sungguh baik hati awak” tutur Aqel serius.
“Saya takkan musnahkan hidup awak. Awak dan Flora berhak hidup bahagia” tegasku jujur. Dari sehari ke sehari usia kian berganjak. Masa pula kian singkat. Penyatuan dua jiwa tidak patut dilengah – lengahkan lagi. Kesabaran Flora harus dihadiahi dengan kebahagiaan. Flora berhak mendapatkan Aqel kerana mereka ialah pasangan kekasih yang begitu mendalam cintanya.
“Tentang saya.... awak tak perlu risau. Saya akan lakukan yang terbaik buat diri saya sendiri” ujarku nekad. Aqel tersenyum.
“Terima kasih, Flora....”
“Saya bukan Flora .....” tegahku namun dalam senyuman. Selepas ini aku tidak akan berpeluang mendengar Aqel memanggilku dengan nama ini.
“Awak ialah Flora..... selamanya....” balas Aqel berdegil. Aku mencebik bibir.
“Saya tak pernah bermimpi nak jadi klon kekasih awak tu. Jika kami seiras itu hanya kebetulan saja. Memandangkan awak parah sekarang, maka awak patut segera bernikah dengan Flora” nasihatku ikhlas.
“Terima kasih atas keizinan awak” ujar Aqel sekali lagi. Aku tersenyum.
“Awak tidurlah. Saya pun mengantuk nak tidur sekarang” ujarku mahu menoktahkan perbualan kami. Aqel mengangguk. Mula mengatur posisi tubuhnya di atas sofa panjang ini. Cuba mencari keselesaan buat dirinya. Aku memulakan langkahku beredar dari ruang tamu ini. Mahu segera berbaring di atas katil menghilangkan rasa mengantuk ini dengan tidur.
“Awak tak menyesal berkata demikian?” suara Aqel bertanya. Langkahku mati. Aku berpaling ke arah Aqel. Lantas menggeleng. Walaupun kata – kata yang keluar dari mulutku tadi tidak sempat aku pertimbangkan sedalam – dalamnya, namun aku sudah nekad. Aku tidak akan mengubah kenyataanku. Malah akan bersedia bertanggungjawab atas keputusanku ini. Bermakna aku juga sudah bersedia berhadapan dengan mak dan Mak Long. Kebahagiaan Aqel menjadi keutamaanku. Maka Aqel dan Flora tidak boleh dipisahkan lagi.
“Baguslah kalau macam tu” suara Aqel memecah kesepian. Aku tersenyum.
“Selamat malam Aqel. Assalamualaikum.......” ujarku meminta diri lantas menyambung langkahku kembali. Aku mahu tidur lena malam ini. Aku juga mengharapkan tidur Aqel akan lena. Mudah – mudahan jiwa Aqel akan tenang sekarang.
“Flora.....datanglah dalam mimpi Aqel. Lakarlah kisah indah untuk buat Aqel tersenyum sepanjang hari esok” bisik suara hatiku menyeru nama gadis yang Aqel cintai itu. Aku membaringkan tubuh di atas tilam empuk ini lantas memejamkan mata dan mengosongkan benakku.


“Jemput minum Mak Long” ujarku sambil meletakkan secawan air teh kosong bersama sepiring kuih karipap yang kubeli di warung tepi jalan dalam perjalanan balik tadi. Tatkala teringat  tentang kunjungan Mak Long petang ini, aku terus sahaja singgah membeli kuih sebagai penambah menu minum petang ini. Mak seperti biasa memang rajin menyediakan hidangan pelengkap minum petang. Apatlah lagi jikalau ada tetamu hendak bertandang ke rumah. Melangkah sahaja ke dapur sudah tersedia kolo me dan kek batik untuk dinikmati.
“Aqel belum balik lagi?”soal Mak Long kurang senang. Aku mengangguk. Tanpa kewujudan Aqel, Mak Long lebih senang memanggil anak terunanya sedemikian. Sudah beberapa hari aku dan Aqel pergi ke tempat kerja naik kereta yang berasingan. Banyak urusan yang perlu Aqel selesaikan. Maka cukup jam bekerja, aku lebih senang balik sendiri.
“Banyak kerja yang perlu diselesaikannya, Mak Long” jelasku mengharapkan Mak Long akan faham. Mak menghantar pandangan kurang senang kepadaku. Cepat aku mengerti bahawa mak kurang senang mendengar aku memanggil besannya sedemikian. Suatu kebiasaan yang sangat sukar aku hendak mengubahnya meskipun mak sudah pernah menegurku. Mungkin juga aku tidak berkesempatan hendak mengubahnya.
“Pergi kerja dengan Aqel tak sama kereta?” tanya Mak Long. Aku mengangguk.
“Kadang – kadang ada juga Lia tumpang kereta Aqel” jelasku.
“Belum biasa panggil Aqel abang?” tanya Mak Long menjeratku. Aku terdiam. Mak menjelingku. Pasti suara hati mak berkata padan muka.
“Terasa kekok, Mak Long” jelasku berterus – terang. Mak Long tergelak kecil.
“Ah.... tengok tu... Mak Long lagi” komen mak memprotesku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal. Bukan tersilap tingkah tetapi sudah menjadi kebiasaan. Mak Long tersenyum.
“Biarlah.....Kena ambil masa nak belajar panggil abang dan mama” tutur Mak Long tenang tanpa terguris hatinya. Mak Long memang baik hati.
“Minta maaf, Mak Long” ujarku lagi. Tajam jelingan mak singgah di wajahku.
“Oppsss.....” Aku menutup mulut tatkala menyedari ketelanjuranku. Mak Long tergelak.
“Mak Long.... Mak Long.... Mak Long....Memanjang – manjang Mak Long” rungut mak sambil geleng kepala. Mak Long masih dalam senyuman.
“Tak pe.... Ambillah masa seberapa lama Lia nak. Mama tak kisah dan akan sabar menunggunya” ujar Mak Long menerbitkan rasa bersalahku. Mak Long terlalu baik hendak disakiti perasaannya. Mak pula sering bersedih kerana aku. Namun aku tiada pilihan.
“Makan kak....” suara mak menjemput besannya merangkap kakak iparnya.
“Minum sekali Lia” ajak Mak Long. Aku mengangguk. Memang aku akan bertahan di sini menunggu masa yang paling sesuai hendak berterus – terang kepada mak dan Mak Long. Kubiarkan mak dan Mak Long berbual rancak. Tatkala cerita lucu diperdengarkan aku mengiringi tawa mereka. Seronok juga mendengar koleksi cerita sepanjang lawatan yang disertai oleh mak dan Mak Long dua hari yang lalu. Pelbagai ragam yang mencuit hati. Aku dapat merasakan keseronokan mengikuti rombongan itu.
“Kenapa senyap je ni?” tanya Mak Long sambil memandangku. Aku tersenyum sekilas.
“Mesti Lia dah letih ni. Pergilah berehat di bilik” arah Mak Long bersimpati. Aku menggeleng. Keletihan memang begitu terasa. Namua ada perkara yang lebih penting sedang membebaniku sekarang. Perkara yang harus aku selesaikan segera.
“Sebenarnya ada perkara penting Lia nak cakap pada mak dan Mak Long.....” ujarku lambat – lambat menyusun bicara. Mak dan Mak Long menatapku.
“Hal apa?” tanya mak tidak sabar – sabar dengan dahi berkerut. Jarang benar aku seserius begini. Mak dan Mak Long masih mengarah muka kepadaku. Hatiku berombak kencang. Rasa berdebar – debar. Sukar hendak membayangkan reaksi yang bakal mak dan Mak Long tunjukkan sekejap lagi.
“Mudah – mudahan urusanku dipermudahkan Allah” bisik hatiku bermunajat.
“Lia ... cakaplah apa yang Lia nak beritahu ni” suara lembut Mak Long singgah di halwa pendengaranku. Kutaraik nafas dalam – dalam. Cuba mengumpul kekuatan diri. Aku tidak boleh melengah – lengahkan masa lagi. Hidup ini terlalu singkat.
“Tentang..... tentang hubungan Lia dengan Aqel. Lia dah ambil keputusan bersetuju........”
“Bersetuju menyerahkan perkara ini kepada Hyeon. Hyeon akan selesaikan sendiri” suara Aqel laju memintas bicaraku. Serentak kami berpaling ke muka pintu dengan rasa terkejut. Sekali lagi aku tersentak tatkala menatap tetamu kecil yang berdiri di sebelah Aqel sedang tersenyum menatapku. Mata mak dan Mak Long tidak berganjak daripada menatap tetamu istimewa kami.
“Idlan....” Aku jadi tertanya – tanya dengan kedatangan Idlan bersama Aqel.
“Saya pelawa Idlan habiskan masa hujung minggu ini bersama kita” jelas Aqel sedikit mensirnakan kekalutan benakku. Bicara Aqel menjawab kemusykilan kami.
“Kebetulan Haqem out – station, jadi kita tolong jaga Idlan. Bolehkan mak Idlan tinggal bersama kita sehingga hari Ahad ni” ujar Aqel meminta keizinan mak. Laju mak mengangguk.
“Salam dengan nenek berdua” arah Idlan. Idlan akur lalu mendekati Mak Long. Lantas menundukkan kepala mencium tangan Mak Long. Sempat juga Mak Long mengusap – usap lembut ubun – ubun kepala Idlan. Kemudian Idlan melangkah mendekati mak. Aku hanya memerhatikan dan menunggu reaksi yang bakal mak tunjukkan. Bimbang juga jikalau mak tidak dapat mengawal emosi lantas dingin sahaja kepada Idlan. Aku yakin layanan buruk Datin Sofea terhadapku tidak mungkin mak akan melupakannya. Mak merenung lama wajah Idlan yang sedang terpaku menatap mak. Seketika bertentang mata. Tidak semena – mena mak terus memeluk tubuh Idlan. Begitu erat sekali. Aku tergamam dengan perlakuan mak. Sungguh di luar dugaanku.
“Terlalu kejam hukum dunia yang anak kecil ini tempuhi” tutur mak dalam esakan kecil yang menyayat hati. Air mata menitis di pipiku. Laju jariku menyapunya. Mak melepaskan rangkulan kemas tangannya di tubuh Idlan. Lantas tangan mak mengusap lembut ubun – ubun kepala dan belakang Idlan. Mak merenung wajah Idlan lagi.
“Idlan... mesti jadi budak lelaki yang kuat. Bila besar nanti jadi pemuda yang gagah” tutur mak menitip nasihat. Idlan mengangguk lalu menundukkan kepala mengucup tangan mak. Aku tidak pasti sama ada Idlan mengerti kata – kata mak ataupun sebaliknya. Namun hatiku teruja melihat layanan mak terhadap Idlan. Mak bukan seorang yang suka berdendam.
“Lia.... bawa Idlan masuk ke dalam” arah mak sambil mengesat sisa air mata dengan tangan hujung bajunya. Aku mengangguk. Lantas mendapatkan Idlan. Kupaut tangan Idlan.
“Mari Idlan....” ajakku sambil memimpin tangan kecil ini beredar dari ruang makan ini meninggalkan mak dan Mak Long. Aqel masih terpacak di situ.
“Sabar...... Zibah... Memang dah nasibnya begini” sempat telingaku menangkap suara Mak Long memujuk kepiluan hati mak.
“Sedih hati saya melihat budak tu kak. Semakin sedih hati saya bila mengingat Idlan tak dapat kasih sayang neneknya. Tak sangka ada juga manusia yang sanggup berlaku kejam pada darah daging sendiri” keluh mak kesal. Aku tahu mak menyesali perbuatan Datin Sofea yang tidak pernah mengenali cucunya sendiri.
“Mari temankan auntie simpan beg pakaian Idlan dalam bilik” ajakku membawa Idlan pergi lebih jauh lagi. Aku tidak mahu Idlan menyaksikan kesedihan mak mahupun mendengar luahan kekesalan hati mak.
“Idlan nak baring berehat di katil ni?” tanyaku setibanya di bilik. Idlan menggeleng.
“Nak duduk di sofa?” tanyaku lagi. Kali ini Idlan mengangguk. Dia terus sahaja bergerak ke sudut itu. Aku meletakkan beg pakaian kecil Idlan di atas almari solek. Sedikit sahaja pakaian yang dibawa bersamanya. Maklumlah hanya dua hari sahaja dia tinggal di sini. Petang Ahad pasti Haqem akan datang menjemputnya. Tidakpun Aqel akan menghantarnya pulang. Mana tahu Haqem belum ada keberanian hendak bersua muka dengan mak. Oh.... aku melepaskan keluhan kecil! Berat hati mahu mengenang kisah – kisah lalu. Aku berpaling. Idlan sudah duduk bersandar di sofa.
“Idlan nak minum? Auntie boleh ambilkan air jus oren untuk Idlan” ujarku. Ada sebotol jus oren yang belum diminum di dalam peti sejuk.
“Atau Idlan nak minum air milo atau air sirap?” tanyaku menghujani Idlan dengan beberapa pilhan. Kudekati Idlan. Lalu duduk di sebelahnya di sofa panjang ini.
“Belum dahaga lagi” sahut Idlan sambil menggeleng kepala. Senyap. Nampak Idlan sedang berfikir. Aku tidak bersuara lagi. Cuba memberi ruang kepada dirinya hendak menyesuaikan diri di tempat baru. Pasti rumah ini asing baginya. Mungkin juga Idlan sedih kerana berjauhan dengan Haqem. Haqemlah tempatnya berteduh kasih selama ini menggantinya si ibu yang telah pergi.
“Mak Usu...” panggilnya. Aku berpaling ke arah Idlan. Pandangan kami bersatu.
“Kenapa nenek tadi menangis?” pertanyaan ini membuatkan aku terpana.
“Kenapa nenek tadi peluk Idlan?” Idlan terus mengajukan pertanyaan kepadaku.
“Sebab nenek sayangkan Idlan” jawabku. Aku yakin itulah perasaan mak terhadap Idlan.
“Idlan ada nenek tak?” tanya Idlan buat aku terdiam lebih lama.
“Mak Usu.... Idlan ada nenekkan. Idlan pernah tengok gambar perempuan dalam dompet mama” cerita Idlan mengimbau perkara lalu. Kupandang Idlan. Aku jadi serba salah.
“Idlan tanyalah Pak Usu” saranku menyuruhnya meminta kepastian daripada Haqem. Wajah Idlan mendung. Dia menggeleng kepala.
“Papa tak pernah cakappun Idlan ada nenek” ujar Idlan hampa. Aku terdiam lagi. Mungkin Haqem sengaja mahu merahsiakan perkara ini agar tidak mengguris perasaan Idlan.
“Idlan pernah dengar papa berbual di telefon. Idlan dengar papa ada cakap mama. Tapi papa tak nampak gembirapun” tutur Idlan bingung. Kasihan Idlan. Pasti dia terkeliru sekarang.
“Mesti ada sebabnya mengapa papa berdiam diri” ujarku meniru cara Idlan membahasakan Haqem. Aku tidak memberikan jawapan yang jelas. Suatu hari nanti Idlan akan mengetahui juga kisah keluarganya. Tika itu dia akan mampu mempertimbangkannya. Aku sama sekali tidak akan mencampuri urusan keluarga Haqem. Namun aku sentiasa berdoa dan berharap Idlan akan mendapat kasih sayang Datin Sofea. Mudah – mudahan kekerasan hati perempuan itu akan cair tatkala menatap mata redup Idlan lantas mengasihi anak kecil ini. Aku memang berharap sangat agar hubungan Idlan dengan Datin Sofea akan terjalin mesra.
“Boleh tak Mak Usu bawa Idlan jumpa nenek Idlan?” pertanyaan Idlan berbaur permintaan buat aku terkedu. Idlan menatapku.
“Setiap kali hari ibu dan hari raya termasuklah pada tarikh 14 April, mama pasti akan menelefon seseorang. Kasihan panggilan mama tak pernah dijawab. Kemudian mama akan hantar mesej pula. Setiap tahun mama akan melakukan perkara ini” cerita Idlan petah tanpa kupinta. Sayu dan rawan hatiku mengenang arwah Harianie. Pasti dia cuba menghubungi Datin Sofea mahu berkongsi hari – hari istimewa itu.
“Idlan ada sesuatu nak serahkan kepada nenek” ujar Idlan mengejutkanku.
“Kad – kad yang mama tulis untuk nenek. Idlan ada terjumpa sampul besar di bawah lipatan pakaian mama” jelas Idlan bersungguh – sungguh.
“Oh.....Idlan anak yang baik” pujiku seraya mengusap lembut bahunya. Betapa aku tersentuh dengan kematangan budak lelaki ini. Idlan merasakan dirinya bertanggungjawab menunaikan hajat ibunya. Sungguh murni hatinya.
“Mak Usu boleh bawa Idlan jumpa nenek?” diulangi pertanyaan ini sambil merenungku. Aku dalam delima. Tersepit antara emosi dengan kenyataan. Simpati kepada Idlan dan arwah Harianie yang berniat suci. Kenyataannya Datin Sofea tidak akan sudi bersua muka denganku. Bagaimana aku hendak muncul di depan perempuan itu hendak mempertemukan Idlan dengannya?
“Mak Usu mesti tolong Idlan” Idlan sedang merayuku. Hatiku berbelah – bahagi.
“Mak Usu mesti tolong mama” tambah Idlan menjeratku. Idlan memegang tanganku. Tampak dirinya terdesak. Lambat – lambat aku mengangguk.
“Auntie akan cuba usahakan tapi tak janji auntie mampu lakukannya” ujarku tanpa sebarang jaminan. Aku tidak mahu Idlan menaruh harapan yang tinggi kepadaku. Bimbang Idlan akan kecewa jika aku gagal melakukan perkara yang sangat sukar ini.
“Terima kasih, Mak Usu” Idlan tersenyum ceria menampakkan barisan giginya nan putih. Persis hajat hatinya akan termakbul.
“Perkara ini sangat sukar” luahku tanpa berselindung.
“Idlan ada Mak Usu. Kita akan sama – sama melakukannya” tutur Idlan tanpa ragu – ragu sambil menggenggam erat jemariku. Terasa ada suntikan kuasa yang Idlan pindahkan kepadaku buat aku jadi berani. Aku senyum.
“Mudah – mudahan Datin Sofea akan menerima baik kehadiran Idlan” bisik hatiku berharap. Aku berharap juga Idlan berjaya menyatukan keluarganya kembali. Memang impian arwah Harianie. Namun dia tidak sempat melakukannya. Oh.... sungguh memilukan!
Aku melontar pandanganku jauh – jauh. Permintaan Idlan memenuhi ruang benakku. Hatiku berat hendak bertemu dengan Datin Sofea, namun tidak tega mengecewakan Idlan. Dalam masa yang sama merasakan diri ini turut memikul amanah arwah Harianie. Aku memejamkan mata rapat – rapat. Membiarkan angin sepoi – sepoi membelai wajahku. Tenanglah hati. Nawaitu yang suci pasti akan dipermudahkan Yang Maha Esa. Kubina keyakinan diri. Aku akan lakukannya demi Idlan dan arwah Harianie.
“Mana Idlan?” sayup – sayup suara lembut Aqel menerjah gegendang telingaku. Lambat – lambat kuangkat kelopak mataku. Aku berpaling. Aqel sudah duduk di sofa sambil melontar pandangan ke arahku.
“Mak ajaknya siram bunga” jelasku sambil meninggalkan jendela yang terbuka luas ini. Kubiarkan angin senja masuk berlegaran di setiap ruang bilik ini. Sungguh selesa dan menyegarkan. Lantas melabuhkan duduk di birai katil. Sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi gesaran langsir dengan dinding. Bagaikan bilik ini tiada penghuni sekarang. Bukan banyak sangat pun perkara yang boleh aku bualkan dengan Aqel. Jikalau Nana yang bersamaku sekarang pasti cerita kami tiada noktah. Apa khabar Nana dengan Arryan sekarang? Semoga cinta mereka kian mekar mewangi. Nama Puan Rosie tidak semena – mena melintas di benakku. Aku kagum pada ketabahannya. Perempuan yang sangat garang, tidak pernah dibantah kata – katanya malah segala kemahuannya sentiasa dituruti, memerintah suami dengan kuasa vetonya, akhirnya redha dimadukan. Kehidupannya lebih tenang sekarang. Mudah – mudahan Encik Mukhtahir mampu berlaku adil dan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh Puan Rosie. Oh.... Sungguh unik kisah hidup pasangan ini! Sesiapa sahaja yang mengenali Puan Rosie dan Encik Mukhtahir selama ini pasti tidak akan meramal sedemikian kisah hidup mereka. Semuanya di luar jangkaan. Begitu juga dengan kisah hidupku ini. Tidak kurang hebat. Namun masih samar – samar babak seterusnya.
“Tak payah cakap apa – apa tentang hubungan kita pada mak dan mama. Biar saya yang uruskan” suara Aqel memecah kesepian. Kupandang Aqel. Pandangan kami bersatu.
“Jangan sesekali ulangi tindakan awak tadi” ulang Aqel lebih tegas. Wajah Aqel serius.
“Kan saya dah janji akan selesainya. Saya nak awak dan Flora bahagia” balasku jujur.
“Biar saya yang uruskan” tegas Aqel nekad. Aku terdiam. Niat hati mahu meringankan bebanan Aqel. Mak dan Mak Long harus tahu tentang Flora. Mereka patut mengetahui bahawa Aqel tidak akan bahagia tanpa Flora. Flora ibarat bunga – bungaan yang harum mewangi penyeri taman hati Aqel. Mereka ialah pasangan sejoli yang saling memerlukan. Cinta mereka harus disatukan. Penantian Flora harus diakhiri dengan kebahagiaan.
“Banyak saya tengok gambar awak bersama Haqem dan Idlan”ujar Aqel mengubah topik.
“Gambar?” Dahiku berkerut. Kenyataan Aqel ini mengelirukan aku. Aku cuba mengingat.
“Ya... ada dalam album tu. Sorry... saya tengok tanpa keizinan awak” tutur Aqel seraya mengarah telunjuk ke arah rak di bawah meja sofa. Album? Gambar – gambar aku bersama Haqem dan Idlan? Bila aku merakam gambar kenangan itu? Aku tidak pernah pun nampak gambar – gambar itu.Oh.... memoriku tumpul hendak mengimbas peristiwa yang berlaku! Aku bangkit dari birai katil lalu melangkah ke meja sofa mendekati Aqel.
“Tolong tunjukkan saya album itu” pintaku. Aqel menundukkan kepala. Tangannya mencapai sesuatu dari bawah meja. Lantas menghulurkan kepadaku. Terkebil – kebil aku menatap album merah jambu yang kaya kasih – sayang ini. Sana – sini lukisan hati berserakan menjadi penghias album ini. Romantik. Aku terus menyelak album ini.
“Oh.... gambar – gambar yang diambil ketika hari jadi Idlan” jelasku baru sahaja mengingatinya. Hampir – hampir aku terlupa tentang album ini. Pada hari itu Haqem meminjamkan album ini kepadaku iaitu pada hari kepergian Harianie. Haqem menerima panggilan. Kemudian semuanya jadi kelam – kabut. Pasti Haqem juga melupai album ini. Mesti ada wajah Harianie terselit dalam gambar – gambar ini. Tidak sabar aku mahu menatapnya. Lantas aku melabuhkan duduk di sofa bersebelahan Aqel lalu meletakkan album ini di atas meja. Mahu mengimbau detik itu dan berkongsi cerita dengan Aqel memandangkan dia lebih awal meninggalkan majlis itu.
“Hari itu awak balik awal sebelum tamat majlis. Awak bersama Florakan...” tekaku.
“Aaa...” sahut Aqel terkejut. Aku tersenyum sendiri dengan pandangan yang langsung tidak beralih daripada menatap gambar – gambar yang terpampang di dada album ini. Sayu dan pilu hati tatkala terpandang wajah arwah Harianie. Lembut telunjukku membelai wajah Harianie yang dihias dengan senyuman indah sambil mulutku berbisik menghadiahi dirinya al – fatihan. Semoga rohnya dicucuri limpahan rahmat Yang Maha Esa. Amin.
“Gambar di bawah itu yang saya nampak jadi wallpaper iPhone Haqem sekarang” suara Aqel menyedarkanku daripada terus dibuai emosi. Aku menatap gambar yang dimaksudkan oleh Aqel. Hanya kami bertiga sahaja. Tiada arwah Harianie di situ. Idlan sedang tersenyum ceria tatkala aku dan Haqem serentak mengucup pipi gebunya. Arwah Harianie yang mahukan gambar ini diambil lagak sedemikian. Berkasih – sayang dan mesra. Nampak bersahaja.
“Awak dan Haqem seperti ibu bapa Idlan” komen Aqel. Aku terdiam panjang. Tidak mengiyakan mahupun menyangkal kata – kata Aqel.
“Banyak – banyak gambar dalam album itu, ada satu gambar yang paling saya suka. Idlan pun cakap suka gambar tu. Saya dan Idlan nak besarkan gambar itu tapi Kak Har suruh minta keizinan awak dulu. Cadang nak gantung gambar tu dalam bilik tidur Idlan dan dalam bilik bacaan di rumah saya” suara Haqem bergema di cuping telingaku. Aku dapat rasakan inilah gambar yang Haqem maksudkan itu. Bicara Aqel mengukuhkan andaianku. Gambar ini telah menghiasi skrin iPhone Haqem, bermakna Haqem sentiasa menatapnya.
“Assalamualaikum.... boleh masuk?” Serentak aku dan Aqel memandang ke muka pintu. Idlan sedang berdiri situ menunggu keizinan. Laju aku menggangguk. Idlan terus sahaja mengorak langkah mendekati kami. Pandangannya jatuh pada gambar itu.
“Oh.... inilah gambar yang papa buat besar.... sebesar – besarnya. Satu papa gantung dalam bilik tidur Idlan dan satu dalam bilik bacaan di rumah papa. Nanti kalau Uncle Aqel dan Mak Usu datang rumah, Idlan tunjukkan ye.....”. Idlan bercerita dengan ceria bersama gayanya yang teruja. Aku terkedu. Sepi. Senyuman mekar Idlan masih menghiasi bibirnya. Tiada lagi kedengaran suara Aqel. Kali ini diam Aqel mengiringi diamku sambil menatap Idlan yang tersenyum panjang sendirian.

Tuesday, 27 January 2015

NamaKu Bukan Flora....! 69





BAB 69

“Lia.... apa yang dimenungkan tu?” suara Mak cik Tijah menyentakkanku. Aku tersenyum dan geleng kepala. Aku sedang memikirkan tentang Aqel dan rasa bersalah terhadap anak muda itu. Tidak sepatutnya aku membuatkan Aqel menungguku lama. Lantaran bimbangkan Idlan aku terlupa tentang Aqel yang datang bersamaku tadi.
“Haqem mana mak cik?” tanyaku. Ada perkara yang hendak aku bincang dengan Haqem.
“Tadi Haqem di bilik bacaan” jelas Mak cik Tijah. Aku mengangguk faham. Mengapa Haqem tidak mengajak Aqel lepak di bilik bacaan bersamanya. Sebaliknya membiarkan Aqel bersendirian di ruang tamu. Bagaikan perang dingin sedang melanda antara dua sahabat karib itu. Tidak manis tidak melayan baik tetamu yang datang. Aqel pula orang yang sangat Haqem kenali. Tiada halangan mereka hendak berbual panjang. Sebagai kawan baik dan rakan sekerja pasti banyak perkara yang mereka hendak bualkan. Sangsi.  Mungkin juga Aqel mahu bersendirian di ruang tamu. Mengasingkan diri salah satu kegemaran Aqel. Barangkali juga Aqel mahu merehatkan mulutnya setelah banyak berbicara sepanjang bersamaku tadi.
“Takpelah mak cik saya nak jumpa Haqem sekarang” ujarku memaklumkan perkara tersebut. Mak cik Tijah mengangguk dan meneruskan langkah ke dapur. Aku pula melangkah ke bilik bacaan mahu menemui Haqem yang berada di situ. Dia tidak menyedari kepulangan Aqel. Manakala Aqel pula tidak memaklumkan kepergiannya kerana tidak mahu mengganggu Haqem. Maka dia terus sahaja beredar pergi. Daun pintu kuketuk. Kedengaran suara Haqem mengarahkan masuk. Kutolak daun pintu. Haqem sedang melontar pandangan ke muka pintu.
“Oh.... Lia, masuklah...” arah Haqem sambil tersenyum. Aku melangkah masuk dan membiarkan daun pintu terkuak luas. Lebih selesa pintu terbuka.
“Aqel dah balik....” ujarku memaklumkan tentang kepulangan sahabatnya itu.
“Aqel dah balik?” Haqem tersentak. Aku mengangguk.
“Awak....?” Hairan. Aqel sudah balik tetapi aku masih berada di sini.
“Saya dah janji dengan Idlan takkan pergi selagi dia belum bangun lagi” jelasku.
“Aqel juga dah janji akan datang ke sini jemput saya” tambahku memberi penjelasan sekali gus menyatakan kepada Haqem yang aku tidak akan berada lama di sini.
“Harap – harap Idlan akan tidur sampai esok” ujar Haqem bercanda.
“Apa?” Besar mataku menatap Haqem. Haqem hanya senyum.
“Saya kasihankan Idlan. Apatah lagi tengok keadaannya hari ini. Nampak teruk sangat. Raungan tangisannya menyayat hati” ujarku berkias – kias. Bicara yang penuh makna tersirat. Haqem diam. Wajahnya mendung. Mungkin terpukul dengan bicaraku ini. Bukankah Haqem telah berlaku kasar kepada Idlan tadi.
“Kasihan tengok Idlan menangis. Dia sangat sayangkan awak. Langsung tiada dendam atau perasaan marahnya kepada awak. Saya harap lain kali awak lebih bersabar menangani kerenahnya. Saya faham bukan mudah nak memahami kemahuan dan kehendak hatinya” jelasku mengerti kesukaran Haqem. Haqem diam tertunduk. Barangkali kesal dengan tindakannya.
“Awak perlu ingat, Idlan budak lagi. Jiwanya mudah tersentuh. Dia perlukan masa yang lama menerima kenyataan ini. Tak mustahil Idlan merasakan bahawa ibunya masih bersamanya. Dia anak kecil yang masih dahagakan kasih sayang dan perhatian seorang ibu. Percayalah, lama – kelamaan nanti Idlan akan biasa dengan kesukaran yang dihadapinya sekarang. Idlan akan menjadi lebih matang dan tabah menghadapi segala rintangan hidupnya. Yakinlah....... percayalah kepada Idlan” bicaraku panjang lebar. Kuselitkan nasihat buat Haqem. Haqem akan mengerti. Ada tersimpan sejuta hikmah di sebalik kedukaan Idlan ini.
“Maaflah mengganggu awak. Saya nak jenguk Idlan. Mungkin dia dah jaga. Tolong jangan ambil hati dengan bicara saya. Sebagai kawan saya hanya nak ingatkan awak. Saya tak tahu apa yang telah berlaku hari ini. Maaflah kalau saya silap” ujarku muhasabah diri. Bimbang aku silap membuat tafsiran. Tidak berlaku adil pula kepada Haqem. Mana tahu kesalahan Idlan amat berat yang harus dihukum sebagai peringatan serius agar tidak berulang lagi. Kalau Idlan melakukan kesalahan memang wajib ditegur. Namun tidak wajar jikalau Haqem terus bertindak keras kepada Idlan.
Kutinggalkan Haqem yang berdiam panjang di bilik bacaan. Melangkah ke bilik ini, Idlan masih nyenyak tidur. Aku melabuhkan duduk di atas sofa panjang ini, lalu menyandarkan tubuh cuba memberi keselesaan kepada diri sendiri. Terasa lemah sahaja tidak bertenaga. Kurang tidur dan keroncong perutku kedengaran lagi. Lantas aku teringatkan Aqel. Mesti Aqel sudah kekenyangan sekarang selepas menikmati makanan yang sedap – sedap. Kalau pasal makan, wajib set hidangan yang lengkap terhidang di depannya. Aqel sangat mementingkan kepuasan menikmati makanan yang dimakan. Tenaga yang dikerahkan sepanjang hari mesti seiring dengan makanan yang diisi dalam perut. Ini prinsip Aqel. Kupejamkan mata. Mahu melelapkan mata. Ini sahaja cara hendak menghilangkan rasa lapar ini.
“Mak Usu.....Mak Usu.....” sayup – sayup suara halus memanggil – manggil menerpa halwa pendengaranku. Terasa berat pula hendak mengangkat kelopak mata ini. Tubuhku digoncang lembut. Perlahan – lahan mata kubuka. Aku nampak senyuman yang terukir.
“Idlan dah bangun...” sapaku sambil membalas senyumannya. Idlan mengangguk.
“Mak Usu lapar?” tanyanya. Aku terlopong menatap Idlan. Bagaimana budak ini mengetahui yang aku sedang kelaparan. Adakah aku mengingau dalam tidur tadi melaung – laung minta diberi makanan? Kupandang Idlan.
“Perut Mak Usu berbunyi krriiuuuukkk...” jelas Idlan buat aku tergelak. Bunyi keroncong itu begitu kuatkah sehingga mengganggu tidur budak ini? Eh.... buat malu sahaja! Nasib baik hanya Idlan sahaja yang mendengar. Kalau Mak cik Tijah mahupun Haqem yang mendengar irama sumbang itu, di mana hendak letak muka? Eh.... memalukan sahaja! Kalau Aqel yang mendengarnya lagilah teruk. Tidak dapat kubayangkan reaksi Aqel. Pasti 354 hari Aqel akan menyakatku. Dahsyatkan Aqel.
“Kalau lapar... perut Idlan akan bunyi krriiuuuukkk...” cerita Idlan. Aku tergelak lagi. Tidak mahu menafikan andaian Idlan yang memang tepat. Berlaku jujur kepada Idlan.
“Idlan dah bangun, bolehlah auntie balik sekarang ye” ujarku. Laju Idlan mengangguk. Lapang dadaku. Bersyukur. Bangun tidur mood Idlan terus baik. Mungkin sebab dapat tidur yang berkualiti. Tidur yang cukup memberikan impak yang besar.
“Mari kita keluar...” ajakku seraya memimpin tangannya. Idlan tersenyum lagi. 
“Idlan dah bangun...” sapa Mak cik Tijah sambil tersenyum menyambut kedatangan kami. Idlan mengangguk dan membalas senyuman itu. Mak cik Tijah menarik nafas lega. Haqem muncul lantas menyertai kami di ruang tamu ini. Kuberi isyarat kepada Idlan. Idlan terus sahaja mendekati Haqem.
“Pak Usu.....Idlan minta maaf. Idlan janji akan jadi anak yang baik” pintanya sambil menundukkan wajahnya. Rasa bersalah yang menebal kepada Haqem. Aku tersenyum.
“Pak Usu pun minta maaf juga sebab pukul Idlan” ujar Haqem lantas memeluk tubuh Idlan. Kedua – duanya saling berpelukan. Rawan hatiku menyaksikan babak ini. Mak cik Tijah mengesat air matanya.
“Saya nak balik sekarang” ujarku memecah keheningan. Tidak sanggup berada lama di sini. Bimbang aku pula yang akan menangis berlebih – lebih. Haqem dan Idlan melepaskan pelukan.
“Auntie nak balik sekarang” ujarku mengulangi bicaraku. Namun kali ini bicaraku ditujukan kepada Idlan pula. Idlan dan Haqem menatapku. Manakala Mak cik Tijah masih bermain dengan air mata. Jiwanya mudah terusik. Pertambahan usia menjadikan dirinya lebih sensitif.
“Aqel datang ambil awak?” tanya Haqem memohon kepastian. Laju aku mengangguk, biarpun perkara ini belum pasti. Sekejap lagi aku akan menghubungi Aqel.
“Idlan tak boleh menangis lagi tau” nasihatku. Idlan mengangguk. Tanganku dikucupnya. Kemudian memberi isyarat agar aku membongkokkan tubuhku ke arahnya. Mahu sama tinggi denganku. Aku menurut sahaja biarpun hati berdetik kehairanan. Lantas Idlan mendekatkan mulutnya ke telingaku. Ada rahsia yang mahu dikongsinya bersamaku. Mak cik Tijah dan Haqem sekadar memerhatikan.
“Idlan benarkan Mak Usu balik sebab Idlan tahu Mak Usu lapar. Kasihan Mak Usu” bisiknya. Laju aku meletakkan telunjuk di bibirku meminta Idlan merahsiakan perkara ini diiringi dengan senyuman. Idlan mengangguk lantas mengajakku menyatukan jari kelingking kami. Ikrar dan janji telah ditemeterai. Maka perkara ini akan menjadi rahsia antaraku dengan Idlan. Berkerut dahi Haqem menatapku dengan Idlan. Pasti perasaan ingin tahunya membuak – buak. Haqem mahukan penjelasan. Mak cik Tijah hanya tersenyum.
“Mak cik ... saya balik dulu” ujarku menyalami tangannya. Mak cik Tijah mengangguk dan tersenyum.
“Kerap - keraplah datang sini jenguk kami” pinta Mak cik Tijah. Disokong anggukan kepala Idlan dan Haqem hampir serentak. Aku senyum.
“Insya – Allah jika ada kelapangan” sahutku tidak memberikan kepastian. Sukar hendak berjanji. Bimbang janji yang diberikan tidak tertunai. Maka akan mengecewakan kepada yang mengharap. Aku tidak mahu menghampakan sesiapa terutama Idlan.
Usai bersalaman dengan Mak cik Tijah dan mengusap berkali – kali rambut Idlan, aku meminta diri lalu melangkah ke halaman tanpa diiringi oleh sesiapa atas kehendak dan permintaanku. Aku mahu bersendirian menunggu kedatangan Aqel menjemputku. Lantas kutekan nombor iPhone Aqel. Bunyi deringan yang berpanjangan. Kemudian terputus dan suara perempuan mengarahkan pesanan ditinggalkan. Kudail kali kedua. Sedetik menanti panggilan ini dijawab oleh Aqel. Perkara yang sama, Aqel tidak menjawab panggilanku. Mahu mencuba kali ketiga. Kalau Aqel masih tidak mengangkatnya bermakna aku harus balik sendiri. Tanpa putus asa kucuba lagi. Mungkin Aqel sibuk di pejabat sekarang. Maklumlah dia seorang sahaja bos buat masa ini kerana Haqem masih bercuti. Jangan – jangan Aqel tertidur selepas makan banyak tadi. Ohhh..... gawat!
“Tak dapat hubungi Aqel?” suara Haqem bersatu dengan suara perempuan yang meminta pesanan ditinggalkan seperti awal tadi. Aku berpaling. Haqem sudah melangkah mendekatiku. Aku mengangguk. Dapat menghubungi iPhone Aqel, namun tidak dijawab.
“Biar saya hantar awak balik” ujar Haqem menawarkan jasanya. Senyap. Berfikir membuat pertimbangan atas kesudian Haqem mahu menghantarku balik ke rumah. Perutku terasa pedih kerana lama sangat menahan lapar. Risau juga keroncongnya akan didengar oleh Haqem.
“Baiklah....” putusku bersetuju menerima pelawaan Haqem. Segera kuhantar pesanan kepada Aqel memaklumkan tentang kepulanganku yang dihantar oleh sahabatnya ini. Maka Aqel tidak perlu datang ke sini dan terus fokus pada kerjanya. Mesej selamat kuhantar. Mudah – mudahan Aqel tidak terlepas pandang pada mesej yang kuhantar sebentar tadi. Tidak mahu menyusahkan Aqel.
Sepanjang perjalanan ini, aku dan Haqem tidak banyak berbual. Masing – masing lebih selesa melayan perasan sendiri. Kebetulan pula, aku sudah kekurangan tenaga. Nasi pembekal tenaga utama rakyat Malaysia sesuappun belum masuk ke dalam perutku. Betapa perutku rancak mengalun keroncong saat ini. Mujur juga alunan muzik yang baru sahaja Haqem pasang menenggelamkan bunyi yang tidak mahu kuperdengarkan kepada orang lain. Rasanya Haqem tidak selesa sepi yang memanjang. Aku menghela nafas lega tatkala kereta yang Haqem pandu ini sudah memasuki perkarangan rumah mak. Bermakna sekejap lagi rasa lapar ini akan hilang. Namun hatiku kecewa tatkala teringat yang mak tiada di rumah. Maka aku terpaksa menahan lapar lagi kerana tiada orang masak. Hanya bergantung harapan pada maggie kari sahaja lagi. Harap – harap masih ada stok di rumah ini. Aku berpaling ke arah Haqem.
“Terima kasih. Pandu hati – hati” ujarku dan sempat juga berpesan kepada Haqem. Haqem hanya mengangguk. Kalau dibandingkan dengan Aqel, Haqem lebih cermat di jalan raya. Sebab itulah aku sentiasa merasakan perjalanan yang panjang jika menjadi penumpang Haqem. Sebaliknya, perjalanan singkat jika menjadi penumpang Aqel. Aku menolak perlahan daun pintu kereta dengan sisa – sisa tenaga yang tinggal. Mula mengatur langkah longlai mendekati pintu rumah. Terasa jauh sangat perjalanan ini. Mata pula terasa semakin berat. Sungguh mengantuk. 
“Lia...!” suara Haqem memanggil namaku terus mematikan langkahku. Lambat – lambat aku berpaling. Nampak sangatkah aku kebuluran saat ini? Bimbang jikalau Haqem menyedari keadaanku yang lemah bagaikan sudah berhari – hari tidak menjamah nasi. Rasa lapar dan mengantuk bergabung menyerangku. Aku hilang fokus. Bertentang mata dengan Haqem seketika. Sukarnya hendak menongkat kelopak mata ini.
“Awak nak tahu kenapa Idlan menangis dan saya tanpa sedar telah memukulnya” ujar Haqem. Terkebil – kebil aku menatap Haqem. Kata – katanya lambat diproses. Otakku tidak lancar bekerja hari ini gara – gara tiada tenaga mengecasnya.
“Idlan mendesak saya agar awak menjadi ibunya. Idlan berdegil nak awak menggantikan tempat Kak Har. Hanya awak yang dia mahukan.....” tenggelam timbul suara Haqem singgah di halwa pendengaranku. Mahu? Mahukan.... apa ya? Aku bingung.
“Awak dengar tak?” tanya Haqem. Aku masih terkebil – kebil menatap Haqem. Bukan seorang Haqem yang aku nampak. Sebaliknya ada beberapa orang Haqem dipandangan mataku. Wajah Haqem berkembar dan bertindih – tindih.
“Awak nampak letih sangat. Pergilah berehat sekarang” arah Haqem. Aku mengangguk lemah. Kusambung langkahku kembali tanpa menghiraukan Haqem yang masih belum mahu berganjak dari halaman ini. Mungkin mahu memastikan aku masuk ke dalam rumah dengan selamat. Terasa aturan langkahku lesu tidak bermaya. Berusaha menapak di muka pintu. Setelah bersusah – payah berjaya juga aku memijak ruang tamu. Kubaling tubuh ke sofa panjang. Sudah tidak terangkat kelopak mata ini. Hanya 10 minit sahaja aku tertidur di bilik Idlan tadi berbanding lebih 24 jam aku berjaga. Rasa lapar pula menyengat – nyengat. Namun tidak berdaya hendak masak maggie. Saat ini kurasakan berbatu – batu jauhnya jarak ruang tamu dengan dapur. Sukar aku hendak sampai ke situ dalam keadaan mengantuk teramat. Sayup – sayup kedengaran deruan kereta meninggalkan halaman rumah ini. Haqem baru sahaja pergi. Dia memang lelaki yang setia. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Kelopok mataku sudah tidak terangkat lagi. Bagaikan berkilo – kilo beratnya. Sekejap sahaja aku sudah lena.

“1...2...3...4...5...6...7...8...”Mulutku terkumat – kumit mengira dentingan jam dengan mata yang masih terpejam rapat. Baru separuh sedar. Rasa mengatuk belum hilang sepenuhnya. Tubuh pula masih belum cukup bertenaga.
“Apa .... dah pukul 8.00 malam...!!!” laungku bagai tidak percaya. Aku tersentak. Mataku terbuka luas. Terus sahaja terduduk di sofa. Pening. Pantang bangun mengejut.
“Alamak ... gelap – gelita macam tinggal dalam gua pula...!!” Aku terjerit kecil. Laju tanganku meraba – raba iPhone yang kuletak di atas meja tadi. Lega. Kutekan mana – mana punat mahu menyalakan skrin. Berpandukan cahaya dari skrin iPhone ini, aku melangkah macam ketam bergerak ke arah suis lampu. Suis kutekan. Ruang tamu terus terang – benderang. Baru terasa boleh bernafas. Aqel belum datang lagi. Kuperiksa iPhone kalau – kalau ada panggilan Aqel yang tidak dijawab atau pesanan bertulis daripadanya. Tiada. Aku duduk di sofa semula. Terasa pening – pening lalat sebab bangun mengejut tadi.  
Kupejamkan mata. Masih ada sisa – sisa mengantuk. Aku menguap. Namun perutku memulas – mulas. Pedih. Baru teringat satupun belum masuk dalam kantung perutku lagi. Bingkas aku bangun lalu melangkah ke dapur. Membuka kabinet mencari makanan segera yang boleh mengalas perut yang sedang kelaparan ini. Aku mengeluh. Tiada manggie tersimpan dalam kabinet ini. Makanan tin juga tiada lagi. Semua stok habis. Kukuak pintu peti sejuk. Kutuang segelas air sejuk lalu meneguknya. Meninjau – ninjau jikalau ada makanan yang boleh segera dimakan. Kubuka bahagian tahap beku. Yang ada hanyalah daging yang membeku keras macam batu. Pasti mengambil masa hendak mencair biarpun direndam dalam air. Kebetulan pula rasa malas hendak memasak. Kuteguk segelas air sejuk lagi. Bimbang juga perut akan kembung jika banyak minum air sedangkan perut kosong sekarang. Aku kematian akal.
Kembali ke ruang tamu dan melontar tubuhku ke sofa panjang semula. Terbaring seketika di sofa panjang ini dengan mata yang terkebil – kebil. Buntu. Pedih perutku kian menyengat – nyengat. Kalau keadaaan ini berlanjutan pasti mengundang gastrik yang teruk. Aku memejamkan mata. Tidak sanggup membayangkan kesakitannya. Tidak boleh hanya duduk di sini sahaja dan mengharap kemunculan Aqel tanpa berbuat apa – apa. Lantas aku terbongkok – bongkok mendaki anak tangga hendak ke bilik. Mahu mengambil kunci motor. Waja mak sudah pasti berada di garaj rumah Mak Long sekarang. Pandanganku berpinar – pinar. Kubuka besar – besarkan mataku. Mudah hendak nampak kunci motor yang aku perlukan segera. Pelik. Tiada tersangkut di belakang pintu. Tempat biasa aku menggantung kunci motor itu. Dalam keadaan darurat sekarang kunci motor pula tidak dapat dicari. Aku meneruskan pencarian dengan tangan menekan – nekan perut. Hampa. Sekeliling bilik ini sudah kujejaki namun masih tidak ketemu kunci motor yang dicari.
Teringat tempat khas menggantung kunci di tepi pintu utama. Aku berusaha melangkah kembali ke ruang tamu. Mungkin aku menyimpannya di situ. Ada beberapa jambak kunci di sini. Kunci yang banyak – banyak ini bukan kunci yang kucari. Tiada kunci motor tergantung di sini. Sangat menyedihkan mengenang nasibku hari ini. Tidak mampu berbuat apa – apa. Aku kembali ke ruang tamu. Berteleku di sofa sambil memandang ke pintu. Berdoa mudah – mudahan sebentar lagi Aqel akan muncul. Paling membahagiakan jikalau Aqel muncul bersama makanan. Sudah terbayang di mataku beberapa menu sedap. Selalunya Aqel muncul di saat aku kesusahan. Namun kenapa pula hari ini Aqel belum datang lagi. Jangan – jangan Aqel membatalkan niatnya hendak bermalam di rumah ini. Aqel ..... Oh.... Aqel...!!! Di mana awak....??? Kuseru nama Aqel berulang kali. Masih berharap Aqel akan segera muncul.      
Tubuhku terasa bergoyang – goyang persis berada dalam kapal yang dipukul gelora. Terumbang – ambing. Gelora kian mengganas. Tekakku mula terasa loya. Mabuk laut. Aku berlari ke sinki lalu termuntah. Muntah air sahaja kerana perut belum terisi lagi. Sukar hendak bernafas. Aku menekan perut. Sudah dimasuki angin. Terbongkok – bongkok aku kembali ke ruang tamu. Kubaringkan tubuh di sofa panjang. Mula terasa dingin sejuk. Peluh dingin memercik di dahiku. Kupejamkan mata. Ya Allah janganglah Engkau ambil nyawaku di saat aku bersendirian begini. Berilah aku kesempatan bertemu dengan mak dan Aziq lagi. Aku mahu menghembuskan nafas terakhir di depan keluargaku. Fikiranku mula meracau – racau. Aku memejamkan mata rapat – rapat. Andai ajalku sudah sampai detik ini biarlah nyawaku diambil ketika aku tidur. Sayup – sayup kedengaran bunyi loceng ditekan beberapa kali. Aqel sudah datang. Malangnya aku tidak cukup tenaga hendak bangkit dan membuka pintu menjemput Aqel masuk ke dalam rumah.
“Aqel....awak ada kunci rumah ini. Gunakanlah kunci itu. Ya Allah ..... gerakkanlah hati Aqel menggunakan kunci yang ada padanya untuk membuka pintu rumah ini” bisik suara hatiku. Senyap. Kedengaran bunyi daun pintu kereta ditutup. Aqel sudah pergi? Mudahnya Aqel hendak pergi biarpun sudah menjejakkan kaki di depan pintu rumah ini. Sepatutnya Aqel tidak mudah mengalah begitu sahaja. Aqel ada alternatif lain selain hanya tahu mengetuk daun pintu rumah ini.
“Aqel jangan tinggalkan aku sendirian di sini....!!!” Suara hatiku melaung. Kukumpul sisa – sisa tenaga yang tinggal. Aku bangun. Namun tidak mampu berdiri. Kakiku tidak cukup kuat. Aku perlukan iPhoneku sekarang. Hanya iPhone ini sahaja yang mampu menghalang kepergian Aqel.
 “Ya.... Allah....” Aku menepuk dahiku. Baru teringat iPhone tertinggal di bilik. Punah harapanku. Kusandarkan tubuh ke sofa. Patah semangat. Sudah tiada tenaga lagi. Aqel telah pergi meninggalkan aku. Perlahan – lahan terasa panas mengalir di pipiku. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah. Jika umurku panjang aku akan jumpa mak dan Aziq lagi, jumpa Aqel dan Mak Long, jumpa Idlan dan Haqem dan jumpa kawan – kawan.
“Assalamualaikum..... Awak buat apa tu?” Aku tersentak. Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang berdiri beberapa langkah jaraknya dariku. Aqel melabuhkan duduknya di sofa.
“Muka awak pucat. Awak ada jumpa hantu ke?” tanya Aqel menyakatku. Tangannya mencapai alat kawalan jauh lalu menghidupkan tv. Pandangan Aqel terarah pada skrin tv.
“Kenapa awak senyap je?” komen Aqel. Matanya tetap terarah pada skrin tv yang terpasang. Aqel tidak nampak kesukaran yang kutanggung detik ini.
“Betullah awak ada jumpa hantu. Tuler suka sangat tidur waktu Maghrib” leter Aqel lalu berpaling menatapku. Mataku masih menatap Aqel tidak berkelip – kelip.
“Kenapa ni? Awak sakit ke?” tanya Aqel bagaikan baru tersedar aku berkelakuan luar biasa. Pandanganku masih statik merenung Aqel.
“Flora......” Perlahan – lahan dan berhati – hati Aqel memanggil nama itu.
“Flora....!!” Sedikit kuat suara Aqel memanggil nama itu.
“Flora....! Bunga Dahlia....!!!” suara Aqel bergema kuat menggegar gegendang telingaku. Aku tersentak. Baru bangun dari tidur yang lena. Rupa – rupanya aku masih bernyawa.
“Kenapa dengan awak?” tanya Aqel cemas. Aku terus sahaja meraung menangis sekuat hati bagaikan anak kecil. Persis perbuatan Idlan siang tadi. Sudah hilang kawalan diri. Air mata berlinangan membasahi pipiku.  
“Kenapa ni?” Aqel sudah mendekatiku. Bahuku dipegang. Wajahnya kerisauan.
“Mana yang sakit?” tanya Aqel lagi. Berusaha mengajak aku bersuara. Suaraku tersekat di kerongkong. Aku masih menangis.
“Cakaplah....” desak Aqel tidak keruan. Tangan Aqel mendarat di dahiku.
“Awak sakit” ujar Aqel. Aqel menatap tanganku yang mendakap di perut.
“Awak sakit perut?” teka Aqel bingung. Hilang akal melihat aku menangis.
“Saya bawa awak pergi klinik” ujar Aqel. Aku menggeleng. Bukan itu yang aku perlukan sekarang. Tanganku terketar - ketar. Aqel menggenggam tanganku.
“Jangan degil. Saya bawa awak pergi klinik sekarang” desak Aqel serius. Aku menggeleng – geleng. Kupandang Aqel. Kurenung dalam – dalam wajahnya.
“Awak jangan takutkan saya.....” suara Aqel bergetar. Aku mengetap bibir. Cuba mengumpul tenaga. Berusaha melepaskan suara yang tersekat di kerongkong.
“A..A....Aqel.... Saya lapar..... Saya nak makan....” ujarku dalam tangisan. Aqel terus sahaja tergelak besar. Lenyap terus wajah resahnya.
“Awak ni macam budak kecil ler” kutuk Aqel. Tiada kebimbangan yang terpamer di wajahnya lagi. Yang ada hanyalah senyuman sinis.
“Marilah... Saya belanja awak makan” ujar Aqel lantas bangkit dari sofa.
“Saya takde tenaga ...” jelasku. Aqel tergelak lagi.
“Kalau macam tu awak tunggu di sini. Biar saya beli makanan untuk awak. Saya akan balik secepat yang boleh” ujar Aqel berjanji. Laju langkah Aqel ke pintu. Kemudian kedengaran deruan kereta Aqel beredar pergi. Tidak mengambil masa yang lama, Aqel muncul bersama makanan yang dibeli dari luar. Aqel melangkah ke dapur. Tidak lama kemudian, Aqel melangkah ke ruang tamu sambil menatang dulang yang penuh dengan makanan. Cepat dan tangkas Aqel bertindak.
“Makanlah sekarang...” arah Aqel sambil meletakkan nasi di tanganku.
“Semua main tunjuk je memandangkan awak perlu segera makan. Tak sempat nak order baru” jelas Aqel. Dia menuangkan jus epal untukku. Aku terus sahaja menyuap makanan yang dihidangkan oleh Aqel. Begitu laju. Tidak sempat hendak menilai rasa makanan ini mahupun mengunyah lama di dalam mulut. Tidak menikmatinya dengan perasaan. Telan sahaja. Mahu cepat mengisi kantung perut yang kosong. Aku sungguh kebuluran sekarang.
“Makan perlahan – lahan nanti tercekik” tegur Aqel tatkala melihat aku makan bagai mesin tidak henti – henti. Sudah tiada perasaan segan dan malu kepada Aqel. Aqel geleng kepala.
“Dah berapa bulan awak tak makan sampai teruk macam ni” kutuk Aqel. Bicara Aqel tidak kuendahkan. Terlalu fokus pada makanan di depanku yang tinggal kurang separuh sahaja lagi. Memang aku mahu menghabiskan kesemuanya. Biar licin pinggan ini. Mahu menghargai makanan ini sebaik – baiknya setelah terseksa menahan lapar begitu lama.
“Tuler lain kali jangan jual mahal. Ajak makan tadi tak nak” rungut Aqel. Aku masih tidak menyahut bicara Aqel. Makan dan terus makan tanpa noktah.
“Habiskan semuanya. Bila awak dah bertenaga semula, kita makan makanan yang lebih sedap kat luar” ujar Aqel. Tidak tahu sama ada ajakannya itu ikhlas ataupun sekadar memperliku. Tanganku yang rancak mengambil makanan di pinggan terhenti. Tiba – tiba aku rasa perutku tidak selesa. Memulas – mulas lagi. Bagaikan makanan yang kutelan tidak dapat diproses dengan baik. Aku menutup mulutku. Bingkas bangun lalu berlari ke sinki. Sudah tidak dapat ditahan – tahan lagi. Aku memuntahkan makanan yang telah banyak kumasukkan ke dalam kantung perut tadi.
“Kan saya dah kata tadi makan perlahan – lahan” rungut Aqel sambil menepuk – nepuk lembut belakangku. Aku muntah lagi. Rasanya semua makanan yang kutelan sebentar tadi sudah terkeluar semula. Aku membasuh mulut. Nafasku turun naik.
“Nah minum air ni. Lama sangat dah awak berlapar. Perut kosong memang mudah dimasuki angin” jelas Aqel. Aku diam. Kata – kata Aqel memang tepat. Aku bersandar lemah di sofa.
“Awak ada menghidap gastrik?” tanya Aqel. Aku mengangguk.
“Patutlah awak muntah. Dah terlebih lapar” komen Aqel. Aku tidak menyangkal bicara Aqel. Ada kebenarannya. Jadual makan penghidap gastrik mesti teratur. Terlebih makan atau terlambat makan akan mendatangkan kesan. Tidak boleh terlalu kenyang atau terlalu lapar. Sukarkan.
“Awak berehatlah” arah Aqel.
“Nak berbaring di bilik atau di sofa ini?” tanya Aqel. Aku diam.
“Kalau nak berbaring di bilik biar saya angkat awak” jelas Aqel pula. Laju aku menggeleng. Aku terus sahaja merebahkan tubuh di atas sofa panjang ini. Masih lemah hendak mendaki anak tangga. Tidak mahu juga Aqel mengangkat tubuhku.
“Selesa?” tanya Aqel. Aku mengangguk. Kupejamkan mataku. Sebetulnya berbaring di katil lebih selesa berbanding berbaring di sofa panjang ini. Namun aku tidak berdaya hendak bergerak jauh. Di sini juga tiada selimut. Lantas aku memeluk tubuh dan menarik kaki lalu menyilangnya. Cuba mengurangkan kedinginan ini. Bukan sukar hendak melelapkan mata kerana sisa – sisa mengantuk masih terasa. Sayup – sayup suara – suara dari tv semakin lenyap. Kelibat Aqel semakin samar – samar.
Lama Aqel merenung gadis itu. Sungguh nyenyak lenanya. Persis selama ini dia tidak cukup tidur. Dimatikan tv. Bingkas Aqel bangkit dari sofa lalu melangkah senyap mendekati gadis itu. Tidak mahu mengganggu tidur gadis itu. Ditatap seraut wajah itu lagi. Aqel melepaskan keluhan kecil.
“Awak tak tahupun kemahuan hati sendiri. Awak langsung tak tahu apa terbaik buat awak. Awak tak tahu apa yang harus awak lakukan. Banyak sangat yang awak tak tahu” suara kecil Aqel berbicara sendiri. Aqel mengeluh berat.
“Kasihannya awak....” Kesal dan simpati Aqel bergabung menjadi satu. Lantas dicempungnya tubuh gadis itu. Tidur mati. Roh dan jasad yang terpisah seketika. Dia langsung tidak sedar sehinggalah Aqel meletakkan tubuhnya di atas tilam empuk itu dia masih lena. Sedikitpun tidak terganggu. Betapa dia telah melalui hari yang memenatkan yang sungguh dahsyat.
“Flora.......... kerana awak tak tahu awak tak mampu buat keputusan.......” bicara Aqel sendirian. Seraut wajah bersih itu direnung lagi. Ditariknya selimut lalu menutupi tubuh gadis ini. Aqel melangkah ke sofa panjang di tepi sudut bilik ini lalu merebahkan tubuh di situ. Sekelip mata dia sudah lena.
Aroma wangi memenuhi rongga hidungku. Bau sedap yang membangkitkan selera. Terasa lapar menjengah perut. Aku mengangkat kelopak mataku. Tersentak tatkala mendapati aku sekarang terbaring di atas katil di bilik bukan di atas sofa di ruang tamu. Kupandang di sekitar bilik ini. Aku bersendirian di sini. Namun aku tahu Aqel yang memindahkan aku ke bilik ini. Kupandang meja kecil di sisi katil ini. Dari situlah datangnya bau wangi semerbak ini. Aku merangkak di atas tilam mendekati meja kecil itu. Ada bubur nasi ditambah ayam dengan cendawan yang masih panas – panas buat aku tersenyum. Segelas susu. Sekeping memo merah jambu tertampal pada botol kaca ini.

~ Pastikan awak akan menghabiskan semangkuk bubur yang sedap ini agar saya tak perlu dengar awak meraung menangis kelaparan lagi. Jangan lupa telan ubat ini. Selamat menikmatinya. Saya buat hati awak tersentuhkan.....       ~

Aku tersenyum sendiri. Memang aku tidur mati sehingga tidak sedar bermula dari Aqel mengangkatku dari ruang tamu ke bilik ini sehinggalah dia menyiapkan hidangan sarapan yang lazat untukku. Aku langsung tidak sedar ketika Aqel menghantar hidangan sarapan ini. Aku terus sahaja menghadap ke arah meja kecil ini lalu tanpa berlengah menikmati bubur nasi bercampur ayam dan cendawan ini. Memang sedap. Kutelan sebiji pil yang Aqel sediakan. Kucapai iPhone lalu menghubungi Aqel. Panggilanku tidak diangkat. Lantas kutulis pesanan ringkas buat Aqel.
~ Bubur yang awak masak memang sedap. Terima kasih banyak – banyak~
Mesej ini selamat kuhantar kepada Aqel. iPhoneku berbunyi. Mesej balasan Aqel. Tidak sangka cepat pula Aqel membalas mesejku memandangkan dia tidak mengangkat panggilanku tadi. Laju kubuka kotak mesej.
~  ~ Aku tergelak sendiri. Comel dan lucu. Kalau aku tunjukkan kepada warga KDUT pasti mereka tidak akan percaya ini mesej yang Aqel hantar. Sesungguhnya tiada unsur kecindan dalam diri Aqel. Malah berwajah statik, bersikap serius dan tidak mesra, adalah identiti diri Aqel yang lebih dikenali dalam kalangan warga KDUT. Maka disebabkan itu juga aku menggelar Aqel manusia yang dingin membeku bak salji. iPhoneku berdecit lagi. Mesej kedua daripada Aqel.

~ Pastikan awak berehat di rumah hari ini. Tak payah pergi office. Saya dah lanjutkan cuti awak ~ Mesej berupa arahan daripada Aqel. Baiknya hati Aqel. Aku tersenyum seronok. Dapatlah aku memanjangkan tidurku hari ini. Terhutang budi kepada Aqel. Cepat jariku menulis mesej balasan buat tatapan Aqel.
~ Terima kasih       ~ Memang saat ini teringin hendak belanja Aqel makan aiskrim vanila membalas kemuliaan hatinya ini. Kutunggu mesej balasan daripada Aqel. Sepi. Tiada lagi mesej yang Aqel kirim. Kuletak di tepi iPhoneku. Lantas mengangkat dulang yang berisi mangkuk dan gelas yang sudah kosong ini ke dapur. Mencuci mangkuk dan gelas. Aku kembali ke bilik. Kucapai tuala dan terus melangkah ke bilik air. Betapa selesanya berdiri di bawah pancuran air. Tanggal segala sisa kotoran semalam. Baru teringat aku tidak mandi sejak semalam. Pakaian yang melekat di tubuhku juga adalah pakaian yang kupakai semalam. Patutlah bau yang kurang menyenangkan. Aqel sudah semestinya tidak berani menukar baju yang kupakai denngan baju yang bersih. Mesti Aqel menahan rasa tatkala berdekatan denganku semalam. Mujur juga Aqel tidak muntah. Eh... segannya kepada Aqel.
Aku mandi bersih – bersih. Dua kali syampu rambut dan tiga kali berus gigi serta banyak kali menyabun tubuh badanku. Kali ini baru terasa segar – bugar dan wangi. Setelah mandi puas – puas barulah aku meninggalkan bilik air. Selesa tatkala perut sudah kenyang dan tubuh badan telah bersih wangi. Membelek – belek diri seketika di depan cermin sambil menyikat rambut. Teringat pada memo Aqel tadi, laju aku berpaling ke arah meja kecil itu. Lega dan tersenyum sendiri. Kucapai memo merah jambu itu lantas menarik laci meja solek ini. Kukeluarkan diari dan pen. Kuselak helaian terakhir yang ada tulisan tangan. Kemudian melangkah helaian seterusnya yang masih kosong. Kulekatkan memo merah jambu ini di situ dan menulis sedikit catatan. Kupandang seketika. Aku tersenyum lagi tatkala makhluk kuning yang sedang memegang kanta pembesar ini. Persis Aqel sedang meneropong hatiku. Mahu melihat hatiku tersentuh atau tidak setelah dihidangkan menu sarapan yang lazat. Besar sungguh matanya.    
iPhoneku berdering kuat memecah kesunyian. Kututup rapat diari ini lantas menyoroknya di dalam laci. Kucapai iPhoneku. Tidak sempat menatap deretan nombor yang terpamer di skrin.
“Assalamualaikum.....” sapaku kepada Si Pemanggil.
“Minta maaf Lia.... Lia kena datang ke sini sekarang” suara Mak cik Tijah kedengaran cemas. Deruan nafasnya laju.
“Kenapa mak cik?” tanyaku turut cemas. Wajah Idlan terbayang di mataku. 
“Idlan....Idlan...Lia mesti datang ke sini sekarang juga. Haqem dalam perjalanan nak ambil Lia” ujar Mak cik Tijah dengan intonasi suara yang tidak tentu bunyinya. Aku jadi tidak keruan.
“Cepat pergi bersiap sekarang. Assalamulaikum .....” arah Mak cik Tijah. Kemudian cepat sahaja memutuskan panggilan ini buat aku terkebil – kebil. Belum jelas berita yang disampaikan oleh Mak cik Tijah. Namun tidak sempat berfikir panjang. Aku terus mencapai iPhone dan beg galasku. Lalu berlari keluar bilik. Ketika menuruni anak tangga kedengaran bunyi hon kereta. Mungkin Haqem sudah sampai. Tepat tekaanku. Tatkala kakiku menapak di ambang pintu, Haqem sedang tercengat di tepi pintu kereta yang sudah terkuak menjemputku masuk. Sempat juga jariku memetik suis ruang tamu. Bimbang aku akan lewat balik. Laju tanganku mengunci pintu rumah.
“Kenapa dengan Idlan? Dia sakit ke? Serius?” bertalu – talu pertanyaan kuajukan kepada Haqem. Namun Haqem hanya membisu dan geleng kepala. Sudah tidak mampu berkata – kata. Melihat diam Haqem, aku bertambah gelisah. Aku terus sahaja masuk ke dalam kereta Haqem tanpa perlu menunggu jawapannya. Sepanjang perjalanan ini Haqem hanya mendiamkan diri. Begitu juga aku. Namun munajatku tidak putus – putus mendoakan kesejahteraan Idlan. Mudah – mudahan Idlan baik – baik sahaja dan Allah sentiasa melindunginya. Sebaik sahaja kereta Haqem berhenti, laju aku keluar meninggalkan Haqem. Aku berlari ke pintu. Tidak sabar mahu bertemu dengan Idlan. Melangkah masuk ke dalam banglo ini liar mataku menjejaki kelibat Idlan. Sunyi sepi. Tiada sesiapa di ruang tamu ini. Kutinggalkan ruang tamu.
“Idlan....! Mak cik Tijah...! Idlan....!” panggilku pada dua nama ini silih berganti sambil mendaki anak tangga hendak ke bilik Idlan di tingkat atas. Kutolak daun pintu bilik ini. Idlan tiada di sini. Kelibat Mak cik Tijah juga tidak kutemui. Banglo ini bagai tiada penghuni. Aku menuruni anak tangga. Mahu bertanya kepada Haqem. Risau di hati bukan kepalang.
“Idlan dan Mak cik Tijah tak de di sini.....” ujarku cemas. Haqem memandangku dengan mulut yang masih terkunci, menambah debaran hatiku.
“Di mana Idlan? Di mana Mak cik Tijah? Di mana mereka, Haqem?” tanyaku sudah hilang sabar hendak terus menjejaki mereka. Haqem menatapku lagi. Suaranya masih tersekat di kerongkong. Tingkahlakunya aneh. Persis ada sesuatu yang telah berlaku yang sukar hendak dijelaskannya.
“Takkan Idlan dan Mak cik Tijah dah melarikan diri? Mak cik Tijah yang suruh saya datang sini. Mana mereka?” tanyaku bingung. Tidak mungkin mereka melarikan diri. Ke mana mereka pergi? Apa yang telah berlaku sebenarnya? Peliknya Haqem hanya membisu dan mematungkan diri sahaja. Sungguh luar biasa tingkahlaku Haqem tika ini.
“Lia....” suara Haqem memanggilku. Lega. Haqem masih ada suara. Kupandang Haqem. Tiba – tiba sahaja Haqem mengangkat jari telunjuknya lantas menunding ke arah ruang makan.
“Idlan dan Mak cik Tijah ada di sana?” tanyaku teruja. Haqem tidak mengangguk mahupun menggeleng kepala. Hanya ada senyuman terukir di bibirnya.
“Kenapa mereka nak bersembunyi pula?” rungutku kurang senang. Laju kuatur langkah ke ruang makan. Haqem mengekori langkahku.
“Hahh....Mak Usu....!!!.... Lia....!!!” suara Idlan dan Mak cik Tijah berpadu menyergahku. Aku terjerit. Terasa melayang semangatku. Betapa aku terkejut disergah sedemikian. Idlan dan Mak cik Tijah tertawa. Aku hanya mampu mengurut dada dan geleng kepala. Tidak mengerti apa yang telah berlaku di sini.
“Kenapa Idlan dan Mak cik Tijah takutkan saya? Saya risau sangat tau” rungutku sambil menjeling Idlan dan Mak cik Tijah. Geram.
“Maaf...” Idlan terus sahaja meluru ke arahku. Aku dipeluk. Namun aku mempamerkan muka masam. Buat –  buat marah.
“Idlan yang rancang semua ini. Nenek dan Pak Usu ikut saja. Jangan marah nenek dan Pak Usu ye. Please....” rayu Idlan melemahkanku. Aku mengeluh. Lakonan mereka sungguh berkesan. Aku memang sudah terpedaya tadi. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa aku ketakutan dan bimbang sebentar tadi.
“Auntie benar – benar risau tadi. Mujur takde serangan jantung. Kalau tak pengsan auntie tadi tau” ujarku melepaskan geram. Idlan terkebil – kebil menatapku. Wajahnya mendung. Baru sedar tentang kesilapannya.
“Janji jangan buat macam ini lagi. Kalau perkara macam ini berulang lagi auntie tak nak datang sini lagi” gertakku. Laju Idlan mengangguk.
“Maafkan Idlan. Please....” rayunya mencairkanku. Aku tersenyum dan mengangguk. Kali ini barulah Idlan tersenyum.
“Mak cik pun minta maaf juga” tutur Mak cik Tijah turut rasa bersalah. Aku tersenyum menatap Mak cik Tijah. Tidak sangka Mak cik Tijah boleh terlibat dalam menjayakan misi ini. Barangkali dia tidak mahu mengecewakan Idlan.
“Sayapun minta maaf, Lia” giliran Haqem pula bersuara memohon maaf. Kujeling Haqem. Geram. Harapkan dia boleh menegur Idlan, rupa – rupanya dia pun turut sama terlibat. Sepatutnya dialah yang membimbing dan menunjukkan tingkahlaku yang baik kepada Idlan. Bukannya bersubahat. Mungkin Haqem seperti Mak cik Tijah juga mahu menjaga hati Idlan.
“Sebab kami dah melakukan gurauan yang melampau, maka sudilah kiranya Cik Lia menjamah hidangan istimewa tengah hari yang kami bertiga siapkan sejak pagi tadi sebagai tanda permohonan maaf” ujar Haqem formal. Aku tergelak. Padam sudah rasa geramku. Di sebalik agenda yang dirancang ini ada lagi kejutan untukku.
“Mari.... Mak Usu...” Idlan terus menarik tanganku masuk ke ruang makan ini. Aku terkedu menatap hidangan di atas meja ini. Memang hidangan tengah hari yang istimewa. Pasti Mak cik Tijah, Haqem dan Idlan bersusah – payah menyiapkan semua ini. Terharu aku.
“Silakan duduk, Lia” jemput Haqem menarik kerusi untukku. Aku senyum.
“Terima kasih....” ujarku teruja. Inilah hikmah di sebalik kejadian. Semalam aku mengikat perut menahan lapar. Hari ini pelbagai menu istimewa terhidang di atas meja menunggu untuk dinikmati. Kutatap Idlan, Mak cik Tijah dan Haqem silih berganti.
“Terima kasih banyak – banyak. Permohonan maaf kalian dah diterima” ujarku sambil tersenyum. Masing – masing bertukar senyuman. Haqem menarik nafas lega. Lapang dadanya.
“Yeh...!!” Idlan sempat membuat aksi dengan menjulang tinggi tangannya. Kami tergelak menyaksikan gelagat Idlan. Menatap pelbagai hidangan di atas meja mengingatkan aku pada kejadian semalam lagi. Mungkinkah Idlan telah memansuhkan perjanjianku dengannya lantas bercerita kepada Mak cik Tijah dan Haqem. Kupandang Idlan. Dia mengenyitkan mata kepadaku. Ada kesempatan nanti akan kuminta penjelasannya tentang perjanjian semalam. Segan juga kalau Mak cik Tijah dan Haqem mengetahuinya.  
 Aqel melangkah masuk ke dalam rumah. Terasa rumah ini sunyi sepi. Dilontar pandangan ke ruang tamu. Tiada sesiapa di situ. Dia terus melangkah ke dapur. Dibuka bahagian takat beku itu, lantas memasukkan aiskrim di tangannya. Pintu itu ditutup rapat. Aqel melangkah meninggalkan dapur. Kini satu – persatu anak tangga di daki. Dalam fikirannya gadis itu sedang tidur nyenyak sekarang. iPhone berbunyi. Simbol whatsApp muncul di skrin. Haqem ada menghantar gambar yang mahu dikongsi dalam kumpulan whatsApp mereka. Jari Aqel terus menekan anak panah. Mahu gambar tersebut dipaparkan. Tatkala gambar itu terpamer, langkah Aqel terhenti. Pandangannya terikat pada gambar berserta tulisan yang tercatat. Semuanya sedang mempamerkan senyuman lebar. Mereka seperti sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dapat bersama. Lantas mengingatkan Aqel pada permintaan Haqem tempoh hari. Dia belum memberikan sebarang jawapan untuk permintaan Haqem itu. Tidak mahu bertindak terburu – buru. Aqel mahu membuat pertimbangan yang wajar sebelum membuat sebarang keputusan. Banyak perkara yang perlu diambil kira.
“Saat yang membahagiakan....” suara Aqel melafazkan tulisan yang tercatat di bawah gambar tersebut. Haqem pasti berharap catatan itu akan melekat diingatannya. Hasrat hati Haqem memang menggunung dan Haqem tidak pernah berputus asa. Aqel tersenyum sendiri.