Sunday, 8 June 2014

Awak Jodohku Lagi!...12



BAB 12 
“ Yaz, kita ada masalah” beritahu Iwan seraya meletakkan fail itu di depan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap fail itu. Kemudian pandangan beralih ke wajah Iwan. Cuba lebih memahami kata-kata pemuda itu.
“ Pengurus baru Syarikat Restu menolak perancangan ini. Kerja – kerja di lapangan terpaksa ditangguhkan buat sementara” jelasnya. Niyyaz Nazuha meneliti data-data yang terbentang di depannya ini.
“ Ohh.... ada kesilapanujar Niyyaz Nazuha mengakui percanggahan maklumat dengan yang telah dipersetujui. Iwan menatapnya hairan. Dia nampak keliru mendengar kenyataan Niyyaz Nazuha itu.
“Mengapa?” soal Iwan.
“Saya perlu jumpa Idlan sekarang” ujar Niyyaz Nazuha tanpa sempat menjawab persoalan pemuda ini. Laju langkah Niyyaz Nazuha menghala ke bilik Idlan. Daun pintu diketuk. Niyyaz Nazuha terus sahaja melangkah masuk. Tidak sempat menunggu suara pemuda itu memberi arahan kepadanya kerana masalah yang wujud sedikit meresahkan dirinya. Niyyaz Nazuha perlu segera berrsemuka dengan Idlan Raid.
“ Opss.....” Niyyaz Nazuha kematian langkah serentak dengan lenyapnya gelak tawa itu. Idlan Raid tersentak.  Gadis itu pantas berpaling ke arah Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menyesali tindakan terburu – burunya sebentar tadi. Dia tidak menyangka pemuda ini ada tetamu istemewa sekarang.
“ Maaf mengganggu. Saya fikir tak ada tetamu tadi” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Dia merasakan dirinya telah mengganggu pasangan kekasih itu. Gadis itu hanya tersenyum. Idlan Raid tidak bersuara. Pandangannya tepat ke wajah Niyyaz Nazuha.
“ Tak apalah saya keluar dulu” ujar Niyyaz Nazuha kerana rasa begitu terasing di bilik itu dan tidak senang hati dengan pandangan mata Idlan Raid.
Daun pintu ditutup kembali. Rasa malu dan bersalah menyelubungi diri. Niyyaz Nazuha sedar dia telah mengganggu sepasang kekasih itu. Kesal tidak sudah-sudah. Sepatutnya dia tidak menerjah masuk tanpa menunggu kebenaran Idlan Raid terlebih dahulu. Di matanya masih terbayang ekspresi wajah Idlan Raid dengan kehadirannya yang tidak diundang. Kelihatan Idlan Raid terkedu. Niyyaz Nazuha mengeluh.
Idlan Raid terus sahaja keluar mencari gadis itu.
“ Yaz mana?” soalnya sebaik sahaja tidak menemui kelibat gadis itu.
“ Izeq telefon tadi. Yaz dah keluar  bertemu Izeq” cerita Iwan yang kebetulan berada di situ. Idlan Raid mengeluh kecil. Ada perkara yang hendak dijelaskan kepada gadis itu. Perkara yang terlalu penting walaupun tidak sepenting yang dirasakan oleh gadis itu.
“Apa halnya?” soal Iwan yang kehairanan melihat gelagat anak muda itu. Tampak cemas. Idlan Raid menggeleng. Ditinggalkannya anak muda itu dengan persoalan yang tidak terjawab.

******

Niyyaz Nazuha menghela nafas lega. Masalah itu sudah selesai. Mujur juga Izeq mudah dibawa berbincang. Kesilapan kecil yang boleh menjejaskan perancangan. Niyyaz Nazuha mengerti ahli perniagaan yang berjaya sangat mementingkan kesempurnaan dalam apa-apa hal yang melibatkan mereka.
“Idlan, saya minta maaf dengan tindakan saya semalam” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Pemuda ini kehairanan menatapnya.
“Saya tak sepatutnya tergesa-gesa masuk ke bilik pejabat awak. Kesal juga. Masalah yang wujud buat saya hilang pertimbangan” keluh Niyyaz Nazuha tanpa berselindung.
Idlan Raid masih diam. Mungkin  pemuda ini terkilan dengan tindakannya semalam. Dia telah mengganggu perbualan pemuda ini dengan kekasihnya. Niyyaz Nazuha bukannya tidak tahu perangai Idlan Raid. Dari dahulu lagi Idlan Raid memintanya melayan tetamu dengan hormat. Namun tingkahlakunya semalam telah menjatuhkan air muka pemuda itu. Niyyaz Nazuha merasakan dirinya bertindak sesuka hati tanpa arif tentang protokol pertemuan orang bawahan dengan ketua jabatannya. Begitu menebal perasaan malu Niyyaz Nazuha.
“Semalam saya cari awak nak berbincang perkara ini” beritahunya.
‘Ahh... nampaknya aku telah melakukan kesalahan yang berat. Barangkali kekasihnya tak berpuas hati dengan tindakanku semalam dan barangkali juga dia curiga. Nampaknya aku telah mendatangkan masalah kepada Idlan’.... keluh Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“Saya keluar dengan Izeq berbincang” terang Niyyaz Nazuha.
“ Dah okey semuanya?” Niyyaz Nazuha mengangguk. Lega. Tumpuannya kembali kepada fail di depannya. Pasti pemuda ini tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang kejadian semalam.
“ Yaz....” Niyyaz Nazuha mengalih pandangannya ke arah pemuda ini. Seketika mereka berlawan pandangan.
“Sebenarnya saya dengan Suzie hanya berbincang tentang bisnes, seperti awak dengan anak muda Dato Ramlan” tuturnya perlahan. Niyyaz Nazuha diam. Tidak mengerti niat Idlan Raid di sebalik penjelasannya.
“... tapi... tak tahulah andaian saya tentang hubungan awak dengan Izeq itu betul atau sebaliknya” ujarnya berteka-teki. Niyyaz Nazuha terkedu. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Idlan Raid berdering. Laju sahaja dia menjawab panggilan itu. Niyyaz Nazuha cuba memahami bicara Idlan Raid sebentar tadi. Kalau Idlan Raid tidak berbual tika ini sudah pasti Niyyaz Nazuha mahukan penjelasan lanjut pemuda ini.
“ Saya keluar dulu. Ada hal mustahak. Suzie yang telefon saya” tutur Idlan Raid memaklumkan kepada Niyyaz Nazuha. Idlan Raid berlalu bersama persoalan Niyyaz Nazuha yang belum terjawab. Niyyaz Nazuha keliru. ‘Ahh.... sehingga ke hari ini aku tak memahami Idlan. Mungkin untuk selamanya’...... Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya.

******

Ketawa Niyyaz Nazuha dan Izeq berpadu. Cerita Izeq begitu menggeletek hatinya. Sejak  mengenali pemuda ini, Niyyaz Nazuha mudah sangat ketawa. Pemuda ini bukan sahaja menjadi rakan niaga yang baik malah sahabat yang boleh berkongsi pelbagai topik cerita. Sikap terbuka dan peramah Izeq membuatkan hubungan mereka semakin mesra malah mendatangkan masalah kepada Niyyaz Nazuha. Kadangkala Niyyaz Nazuha tidak mampu menjawab segala pertanyaan pemuda ini. Dalam banyak hal Niyyaz Nazuha begitu menyenangi Izeq. Tidak rugi dirinya bersahabat dengan pemuda ini.
Langkah Niyyaz Nazuha dan Izeq terhenti. Ketawa mereka terus lenyap. Idlan Raid muncul di hadapan kami. Niyyaz Nazuha melemparkan senyuman kepada pemuda ini.
“Nak pergi mana?” soal Niyyaz Nazuha.
“Ada hal” jawabnya ringkas seraya mengalih pandangan kepada Izeq. Mereka bertukar senyuman.
“Idlan, ini Izeq, anak muda Dato Ramlan” ujar Niyyaz Nazuha saling memperkenalkan kedua – dua lelaki ini. Pertama kali Idlan Raid dan Izeq bersemuka.
“Gembira jumpa awak” sapa Idlan Raid sambil menghulur tangan kepada Izeq.
“Saya juga gembira berkenalan dengan awak” balas Izeq seraya menyambut huluran salam perkenalan itu.
“ Okeylah Yaz, Izeq saya pergi dulu” ujar Idlan Raid meminta diri. Niyyaz Nazuha dan Izeq mengangguk. Mereka kembali menyambung langkah. Sepi seketika. Izeq melirik ke arah Niyyaz Nazuha. Kebetulan pula gadis itu menoleh ke arahnya. Pandangan mereka bersatu.
“Mengapa awak pandang saya macam tu?” soal Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum sendiri.
“Saya kagum dengan awak, Yaz” tuturnya perlahan. Bulat anak mata Niyyaz Nazuha menatapnya.
“Kagum?” Niyyaz Nazuha kurang mengerti.
 “Awak tabah. Saya pandang tinggi pada awak” pujinya lagi.
“ Tiada istimewanya saya. Kalau tak mengapa saya disingkirkan” ujar Niyyaz Nazuha merendah diri seraya tersenyum sendiri.
“ Orang yang tak tahu hargai awak itu bertindak bodoh, Yaz” bidas Izeq serius. Niyyaz Nazuha tersentak. Tidak pernah dia mendengar pemuda ini berbicara kesat sedemikian. Ditatapnta Izeq yang kelihatan serius.
“Jangan terlalu menyanjungi saya” tingkah Niyyaz Nazuha kurang senang dengan pujian – pujian pemuda ini. Dia tidak suka mendengar semua itu.
“ Saya tak pernah jumpa perempuan seperti awak. Awak terlalu istimewa” puji Izeq lagi membuatkan Niyyaz Nazuha tertawa.
“Saya susah nak puji perempuan lebih-lebih.  Banyak dah perempuan yang saya temui, tapi awak terlalu berbeza dari mereka” tambah Izeq.
“Jadi awak ini kira buaya jugalah” usik Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum.
“ Kadangkala saya seperti tak percaya masih wujud perempuan sebaik awak dalam dunia materialistik ini. Saya ingin sekali mendengar awak mencaci atau sekurang-kurangnya menunjukkan rasa tak puas hati awak kepada orang yang pernah sakiti awak” ujar Izeq tersirat.
“Masih banyak lagi perempuan baik yang belum awak temui. Saya tak suka berdendam” balas Niyyaz Nazuha mengulas bicara pemuda ini.
“ Tapi seorang yang suka memendam” sampuk Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum. Mungkin.
*********

Salwa tersenyum lebar bersama sejambak bunga mawar segar di tangannya. Langkahnya semakin mendekati Niyyaz Nazuha.
“Yaz, beruntunglah awak ada peminat” usiknya seraya meletakkan mawar merah itu di atas meja Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap Salwa yang masih tersenyum.
“Untuk saya?” soalnya hairan. Salwa mengangguk. Sudah sekian lama Niyyaz Nazuha tidak menerima bunga. ‘Siapalah agaknya yang bermurah hati ini?’.... hati Niyyaz Nazuha tertanya – tanya. Pandangannya terarah pada kad yang terselit di situ.
                                   
~ Terima Kasih Segalanya......
- Izeq -
         
Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Dihidu haruman bunga itu. Wangi.
“ Daripada siapa?” soal Salwa ingin tahu.
“ Izeq....” balasnya ringkas.
“ Saya rasa anak Dato Ramlan itu ada hati pada awak” komennya. Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Lucu mendengar kenyataan Salwa itu.
“ Tak mungkin, Sal” balas Niyyaz Nazuha sambil tangannya masih bermain-main dengan jambangan bunga mawar itu.
“ Rasanya awak sendiripun tahu. Tengok saja caranya melayan awak. Kecualilah kalau awak buat-buat tak tahu” perli Salwa. Dia diam.  Izeq adalah sahabat yang baik. Pemuda itu pendengar yang setia dan penasihat yang mampu mengeluarkan buah fikiran yang bernas. Dia menghargai persahabatan mereka selama ini.
“ Yaz.....” Niyyaz Nazuha tersentak. Pantas sahaja dia berpaling. Idlan Raid sedang memerhatikan gelagatnya. Dia terus meletakkan bunga mawar di atas meja. Segan.
“ Leka nampak....” komen Idlan Raid dengan ekspresi wajah yang sukar ditafsir. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Saya nak bincang dengan awak tentang projek di Taman Kenangan. Ada masalah sedikit” terangnya.
“Sekarang?” tanya Niyyaz Nazuha. Idlan Raid mengangguk.
“Saya tunggu awak di bilik saya” ujarnya lalu beredar pergi. Salwa tersenyum meleret menatapnya.
“Lama dia perhatikan awak tadi” cerita Salwa. Besar anak mata Niyyaz Nazuha mendengar kenyataan Salwa itu. Segan. Pasti pemuda itu fikir dirinya sedang dilamun cinta sekarang.
“Mengapa awak tak cakap tadi dia perhatikan saya?” keluh Niyyaz Nazuha kesal. Salwa hanya tersenyum.
“ Saya pun baru tahu. Bila saya berpaling saya nampak Idlan sedang terpacak di situ” tambah Salwa meneruskan ceritanya. Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan. Lantas mencapai fail projek Taman Kenangan itu. Lima minit sudah berlalu. Tentunya pemuda itu sedang menanti kedatangannya. Terus sahaja Niyyaz Nazuha mengatur langkah ke bilik itu mendapatkan Idlan Raid.
Niyyaz Nazuha melepaskan tubuhnya ke tilam. Kehidupan yang dilaluinya sekarang sangat meletihkan. Setiap masa menuntut komitmen. Dia mendongak menatap siling terbentang putih. Anak matanya beralih pada gambar itu. Laju sahaja tangan Niyyaz Nazuha mencapai gambar itu lalu merenungnya lama.
“Awak masih nak simpan gambar itu?” tegur Nina dengan nada kurang senang.
Gambar berbingkai kayu bercorak itu diletak di atas mejanya. Niyyaz Nazuha mengangguk dengan pandangan yang masih melekat pada gambar itu.
“Saya sayang sangat dengan gambar ini. Gambar ini merupakan satu kenangan berharga” ujar Niyyaz Nazuha disambut keluhan Nina.
“ Kenangan yang menyeksakan” bidas Nina menyahut.
Niyyaz Nazuha tidak berniat mahu membalas bicara Nina itu. Dibiarkan sahaja bicara itu berlalu. Tidak perlu dirinya menjelaskan lebih lanjut tentang pendiriannya itu. Namun cukuplah jikalau Nina mengetahui bahawa dirinya begitu menghargai sebuah kenangan kerana semua ini tidak akan berulang lagi ibarat waktu yang tidak boleh diundur. Justeru, Niyyaz Nazuha merasakan tidak salah dirinya menghargai dan mengagungkan gambar itu.
Kenangan itu adalah sebahagian sejarah hidupnya. Lantas mengingatkan Niyyaz Nazuha pada kata-kata Muhammad Yusof Iberahim dalam penulisannya, sebuah buku lama yang ditemuinya di perpustakaan ketika bergelar pelajar dahulu. Menurut penulis itu, manusia perlukan masa lalu atau sejarahnya sebagai sebahagian daripada pengalaman. Sebahagian masa lalu akan dilupakan dan sebahagian lagi akan diabadikan.

Ada masa lalu yang tidak akan dapat dilupakan. Peristiwa penting yang berlaku kepada seseorang pada masa lalu dianggap peristiwa yang bersejarah. Lantas hidup dengan peristiwa tersebut seiring dengan pertambahan usia. Pengalaman dapat dijadikan landasan bagi merangkakan kehidupan  masa hadapan. Setiap insan akan cuba merangka masa depan yang cemerlang. Kehidupan masa depan yang bahagia dan tidak menghadapi kekurangan dalam serba-serbinya. Kehendak yang merupakan harapan dan cita-cita  menunjukkan perhubungan antara masa lalu dengan masa kini dan seterusnya dengan masa yang akan datang.

Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan. Sudah 28 tahun dia meneruskan perjalanan hidup. Banyak perkara yang telah dilakukan dan dilaluinya. Kadangkala dia  pernah terfikir sama ada dirinya sudah memenuhi matlamat dan impiannya. Namun ada tikanya dia sendiri tidak mengerti akan matlamat dan impiannya itu. Lantas dia merasakan inilah ciri-ciri manusia yang tertewas dalam sebuah kehidupan. Pepatah pernah mengatakan orang yang tidak mempunyai matlamat dan impian adalah manusia yang gagal.
“Kamu seorang yang tabah, Yaz. Betapa beruntungnya mama mempunyai menantu seperti kamu” luah Datin Sharifah. Terasa ada kerinduan kepada wanita itu. Sudah lama juga dia tidak menjenguk perempuan itu. Bimbang juga jikalau Datin Sharifah beranggapan bahawa dia telah melupakannya. Dia sama sekati tidak akan melupakan Datin Sharifah. Kalau boleh dia  mahu menemui Datin Sharifah lebih kerap lagi. Namun bimbang dengan penerimaan Idlan Raid. Niyyaz Nazuha tidak mahu pemuda itu fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. Paling merisaukan jikalau Idlan Raid fikir dirinya mahu menagih simpati perempuan itu.
Deringan telefon bimbit menyentakkannya. Laju sahaja tangannya mencapai telefon bimbit itu, lalu menjawab panggilan itu.
“ Assalamualaikum.....” sapa Niyyaz Nazuha.
“ Yaz.., saya nak ajak awak keluar makan malam ini” pelawa suara itu.
Suara yang sering bermain di pendengarannya sejak akhir – akhir ini. Bayangan yang sering mengejar setiap langkahnya. Tiba-tiba hatinya  dilanda keresahan. Resah pada sebuah kenyataan yang bakal melukakan. Dia tidak tega lelaki ini terluka persis yang pernah  dirasakannya.

******
Niyyaz Nazuha melemparkan pandangan ke wajah anak muda ini. Kelihatan sedikit bercelaru dan keletihan. Maklumlah terpaksa memikul tanggungjawab yang besar. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini kesihatan Dato Ramlan sering terjejas. Barangkali pemuda ini risau dengan situasi yang dihadapinya sekarang.
“Kadangkala rasa menyesal juga jadi anak tunggal ini” keluh Izeq.
“Semuanya terletak di bahu kita membuatkan kadangkala terasa seolah-olah hidup ini diatur, tiada pilihan dan terkongkong” tambahnya.
“Takkan begitu cepat awak berputus asa” tegur Niyyaz Nazuha.
“Saya manusia biasa, Yaz. Kemampuan saya ada hadnya” tingkah Izeq.
“ Saya faham tapi Izeq yang saya kenali tak punya sikap seperti ini” tambah Niyyaz Nazuha cuba menyedarkan Izeq betapa kuat dirinya suatu waktu dahulu.
“Mungkin awak belum cukup mengenali saya” Niyyaz Nazuha hanya diam. Dia harus mengakui akan kebenaran kata-kata pemuda itu.
“ Macam mana dengan keadaan dato sekarang?” soal Niyyaz Nazuha mengubah topik perbualan mereka. Kedengaran keluhan kecil Izeq. Wajahnya muram.
“Papa masih seperti itu, batuk-batuk dan kadangkala sesak nafas. Biasalah penyakit tua” keluhnya. Niyyaz Nazuha dapat merasakan kerisauan yang cuba disembunyikan Izeq di sebalik bicaranya itu. Dia tahu betapa sayangnya Izeq kepada lelaki itu. Lelaki yang selama ini menjadi ayah dan ibunya.
“Saya harap dato akan cepat sihat” ujar Niyyaz Nazuha menitip doa buat lelaki itu.
“Sayapun harap macam itu juga” sahut Izeq lemah.

Sepi lagi. Masing-masing kematian akal meneruskan berbicara. Niyyaz Nazuha menyedari Izeq menjadi begitu pendiam. Dia pula sememangnya seorang yang sering kekeringan idea bagi memanjangkan berbicara. Maka Niyyaz Nazuha mengambil keputusan terus berdiam selagi Izeq tidak mahu berbicara. Biarlah mereka berbicara dengan diri  masing-masing. Cuba mencari ketenangan sendiri malam ini.

Namaku Bukan Flora!...59




BAB 59 
“Esok datang awal tau” ujar Nana mengulangi pesanannya lagi. Aku mengangguk. Nana menghantarku hingga ke muka pintu.
“Ya saya datang awal jika takde aral melintang” ujarku tidak berani berjanji.
“Hah.... ini yang saya tak suka dengar” tingkah Nana. Aku tergelak.
“Okey.... okey... saya cuba datang awal esok” ujarku.
“Jangan lupa ajak suami awak yang kacak itu” tutur Nana mengusikku. Pujian ikhlas Nana buat Aqel. Nana dari dulu sememangnya kagum pada Aqel.
“Aqel pasti datang. Dia memang bersemangat betul nak datang ke majlis ini” jelasku tidak mahu menceritakan persiapan yang telah Aqel lakukan sebulan lalu pada Nana. Biarlah kejutan buat Nana esok tatkala melihat kemunculan kami sekeluarga persis kumpulan boria. Akan aku ceritakan pada Nana semua ini adalah ilham kreatif Aqel. Maka bertambah terpikatlah Nana kepada Aqel nanti.
Usai menggosok sepasang baju Melayu dan baju kurung jingga yang akan aku dan Aqel pakai di majlis pertunangan Nana esok, segera kugantung di dalam almari. Kurenung seketika. Rapi dan licin. Langsung tiada garis – garis. Aku tersenyum puas hati. Aku telah melakukannya dengan baik. Kutolak perlahan daun pintu almari. Sudah usai satu tugas yang kukira penting juga memandangkan aku bukannya seorang yang rajin menggosok pakaian. Kebanyakan pakaian yang kupakai ke tempat kerja selalunya tidak perlu digosok. Apatah lagi ketika bekerja di CNFL aku hanya perlu pakai jeans dan t – shirt yang ada logo CNFL. Namun sejak hidup bersama Aqel, aku terpaksa mendisiplinkan diri serta sedikit demi sedikit mengikis penampilan bersahajaku. Aku perlu menjaga air muka Aqel. Walaupun tidak setanding kehebatan Aqel, sekurang – kurangnya aku tidak memalukan Aqel dengan penampilanku. Aku tetap mahu bersederhana namun tampak menarik. Mujur juga Aqel tidak ambil kisah sangat tentang penampilanku mahupun memberi garis panduan cara berpakaian yang harus aku patuhi. Cukuplah dia seorang sahaja yang menjaga penampilan dirinya. Memang patutpun Aqel sentiasa tampak segak memandangkan dia ialah bos yang menceburi bidang perniagaan yang glamour. Orang bawahannya pun cukup kacak dan cantik – cantik belaka. Kesimpulannya, semua yang bernaung di bawah syarikat KDUT secara zahir tampak begitu sempurna fizikal mereka.
Tatkala teringat aku belum menghubungi Kak Ida, laju sahaja tanganku mencapai i-Phoneku di atas meja solek ini. Mahu mengesahkan temu janji kami esok.
“Assalamualaikum Kak Ida, Lia ni” ujarku memperkenalkan diri. Suara ceria Kak Ida menyambut salamku.
“ Awal pagi esok saya sampai salon Kak Ida. Kiranya sayalah pelanggan pertama nanti” ujarku sempat bergurau. Kedengaran tawa Kak Ida.
“Okey.... kita jumpa esok. Assalamualaikum....” ujarku menamatkan sahaja panggilan itu. Aku menarik nafas lega. Semuanya sudah diatur. Bagaimanakah agaknya wajahku esok dengan sentuhan tangan Kak Ida. Serta – merta aku teringat pada kepakaran Mak Long mendandan aku. Susah – susah sahaja aku cari orang lain sedangkan Mak Long sudah terbukti memang pakar dalam bidang tatarias ini. Fikir balik, segan pula hendak minta Mak Long menghias aku. Tidak dapat bayangkan apa tanggapan Mak Long nanti. Apapun keputusanku menggunakan khidmat Kak Ida memang tepat.
“Siapa call?” Aku tersentak. Aqel sudah berada di sebelahku sambil memandang i-Phone di tanganku.
“Kawan” jawabku pendek sambil meletakkan i-Phone ini kembali di atas meja solek. Perkara ini mesti aku rahsiakan dari pengetahuan Aqel kerana aku mahu membuat kejutan padanya. Teruja juga hendak menilai reaksi Aqel nanti. Harap – harap semuanya berjalan dengan lancar.
“Esok awak jangan lupa majlis pertunangan Nana” ujarku mengingatkan Aqel yang sudah terbaring di atas tilam. Bersedia hendak melelapkan mata.
“Ya saya akan pergi dengan awak. Tak payah risaulah” sahut Aqel.
“Buat apa pula saya nak risau. Kalau awak tak boleh pergi, saya boleh pergi sendiri. Lagipun mak, Mak Long dan Aziqkan ada” balasku meningkah bicaranya. Tidak senang dengan tanggapan Aqel itu. Persis aku mengharapkan sangat kehadirannya bersamaku di majlis itu. Perasan! Aqel tersenyum.
“Saya nak tidur sekarang. Letih sangat. Awak jangan pula tidur lewat, nanti tak nampak segar. Rugilah pakai baju cantik – cantik tapi muka layu” tutur Aqel. Aku mencebik bibir ke arah Aqel. Bukan main lasernya mulut Aqel.
“Tak payah risau saya akan lebih cantik dari sekarang” sahutku geram. Aqel tersenyum lagi. Selimut ditariknya dan mula memejamkan mata. Aku melabuhkan dudukku di atas sofa di sudut tepi bilik ini. Laju tanganku mencapai Majalah Wanita yang kubeli semalam belum sempat kubaca.
“Anak dalam perut awak tu pun perlukan rehat yang cukup. Jangan lewat tidur tau” ujar Aqel sambil menghantar pandangannya kepadaku.
“Aqel....!” Sepantas kilat bantal kusyen di sisiku kubaling ke arah Aqel. Mujur sempat ditangkisnya. Aqel tergelak – gelak.
“Tidurlah.... jangan nak mengarut” marahku dengan pandangan tajam menatap Aqel yang sedang tersengih. Suka sangat hendak buat aku marah. Beberapa minit kemudian Aqel tidak bersuara lagi. Mudah sahaja dia hendak melelapkan matanya. Aku memandang kosong Majalah Wanita di tanganku. Hilang niat hendak membacanya. Tetiba sahaja aku diserang kebimbangan. Bicara Aqel bermain – main di benakku. Tanpa dirancang laju sahaja tanganku mengusap – usap lembut perutku. Mak Long dan mak ingatkan janin Aqel berada di dalam perut ini. Aku melepaskan keluhan panjangku. Sukar hendak berterus terang pada Mak Long dan mak. Kuletakkan Majalah Wanita ini di atas meja. Tiada keinginan hendak membacanya lagi. Kusandarkan tubuhku ke sofa lalu memejamkan mata. Cuba mendamaikan perasaanku yang bergelora.

Aku keluar rumah setelah memaklumkan kepada mak ada perkara yang perlu aku lakukan sebelum keberangkatan kami ke majlis Nana. Mujur mak tidak bertanya walaupun nampak kehairanan. Kedatanganku disambut mesra oleh Kak Ida, pemilik Salon Anggun. Lega rasanya kerana hanya ada seorang pelanggan perempuan yang berada di sini sekarang. Dia menggunting rambutnya yang dikendalikan oleh pekerja Kak Ida. Awal lagi sebab itu Salon Anggun belum dikunjungi ramai pelanggan. Aku bertukar senyuman dengan perempuan itu dan pekerja – pekerja Kak Ida.
“Pukul berapa majlis?” soal Kak Ida sambil mengarahkan aku duduk di kerusi empuk itu dengan isyarat bahasa tubuhnya. Bila – bila masa sahaja dia akan memulakan tugas menatarias wajahku dan mendandan rambutku.
“Dalam pukul 2.00 petang nanti, tapi kena pergi awal” jelasku. Kak Ida mengangguk – angguk faham. Nana mahukan aku datang lebih awal menemaninya. Pasti Nana rasa gemuruh saat ini. Perkara biasa yang dialami oleh setiap gadis yang akan bertunang.
“Kawan baikkah?” soal Kak Ida lagi. Aku mengangguk. Sudah semestinya mudah sahaja Kak Ida menekanya. Apatah lagi aku pernah memaklumkan kepadanya majlis pertunangan kawan sama sekolah.
“Kita mula sekarang ya” Aku mengangguk lagi. Sudah bersedia membenarkan wajahku mendapat sentuhan tangan Kak Ida.
“Nak tema apa?” soal Kak Ida mencuit hatiku.
Make – up pun ada tema jugakah, Kak Ida?” soalku tergelak. Terasa lucu pula mendengar pertanyaan Kak Ida ini.
“Mestilah....” sahut Kak Ida bersungguh - sungguh.
“Ini nak pergi majlis pertunangan buatlah ikut budi bicara Kak Ida” ujarku menyerahkan kuasa penuh kepadanya. Kak Ida lebih arif tentang perkara ini. Yakin pada kebolehan dan kepakarannya.
“Tapi tak nak keterlaluan” tambahku memberi sedikit garis panduan. Kak Ida mengangguk faham.
Simple tapi mempesonakan” ujar Kak Ida memahami kehendakku. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Macam itulah Kak Ida, tak nak menyerlah sangat.... segan” luahku kurang berkeyakinan. Tidak senang hati jikalau banyak mata memerhatikanku.
“Bersederhana memang elok” ujar Kak Ida merestui pilihanku. Ternyata aku dan Kak Ida sepandat.
“Nanti pakai baju warna apa?” tanya Kak Ida lagi.
“Jingga” sahutku sudah terbayang di mataku baju kurung jingga hadiah daripada Aqel.
“Warna yang gagah. Si pemakai warna ini seorang yang berkeyakinan tinggi” jelas Kak Ida. Ciri – ciri yang padan dengan diri Aqel.
“Suami saya yang pilih warna itu” ceritaku berkongsi maklumat.
Bestnya...” puji Kak Ida teruja. Aku tersenyum sekilas dan terdiam seketika. Pertama kali aku menggunakan perkataan ‘suamiku’ merujuk Aqel. Secara lisan baru pernah mengaku Aqel suamiku di depan orang lain. Pertama kali juga aku teruja hendak menjadi pasangan yang sepadan dengan Aqel. Pasangan sepadan hanya di majlis pertunangan Nana. Cepat sahaja hatiku meningkah. Tidak mahu fikir yang lebih – lebih. Kak Ida sudah memulakan tugasnya. Lincah sahaja tangannya bergerak di wajahku bersama peralatan soleknya.
“Mesti setanding dengan suami yang hebat” puji Kak Ida. Aku tersentak. Kutatap wajah Kak Ida. Dia tersenyum sendirian. Lagaknya persis sedang membayangkan diri Aqel.
“Kak Ida kenal suami saya?” soalku.
“Semua orang kenal Encik Aqel dan Encik Haqem. Bos muda yang mengancam bertaraf jutawan. Pemilik KDUT. Begitu terkenal malah menjadi pujaan gadis – gadis” puji Kak Ida telus tanpa sempadan dan halangan. Langsung tidak berselindung.
“Hey....sorry...” Kak Ida tersengih menatapku. Mungkin baru tersedar bahawa dia sedang berbicara dengan isteri Aqel, lelaki yang sedang diperkatakannya. Aku tersenyum. Tidak ambil hati dengan kata – kata Kak Ida. Jauh sekali rasa cemburu. Memang itulah kenyataannya. Aqel ramai peminat.
“Awal – awal dah saya tahu awak adalah isteri Encik Aqel. Ramai perempuan mencemburui awak, tau” ujar Kak Ida lagi. Perempuan itu berpaling ke arahku. Mungkin tidak mahu ketinggalan menatap wajahku. Kemudian menilai reaksiku. Maklumlah isteri seorang lelaki hebat yang dipuja ramai perempuan. Hebat di mata perempuan yang meminatinya tetapi bukan di mataku. Aku dan perempuan itu bertukar senyuman. Cantik juga orangnya. Bicara Kak Ida ada benarnya. Lihat sahaja Rania sampai sekarang tidak mahu melepaskan Aqel. Begitu juga dengan Nana, Reka dan Marnie. Begitu fanatik kepada Aqel. Aqel seringkali mendapat pujian mereka.
“Termasuk Kak Ida jugakah?” soalku mengusiknya. Pertanyaanku disambut dengan gelak ketawa Kak Ida dan para pekerjanya. Perempuan itu juga tumpang tersenyum.
“Tak nak mengaku di depan isteri Encik Aqel nanti tak pasal – pasal kena tikam dengan gunting” seloroh Kak Ida. Sekali lagi gelak tawa memenuhi ruang salon ini.
“Tak boleh banyak cakap ketika disolek nanti bedak di muka pecah – pecah .... tak cantik” ujar Kak Ida berkongsi pantang larang tatarias.
“Macam itu sekalikah, Kak Ida?” Aku tergelak. Bicara Kak Ida mencuit hatiku.
“Jangan ketawa” larang Kak Ida. Kali ini aku patuh sahaja pada bicara Kak Ida.
“Kurangkan pergerakan muka. Nanti banyak timbul garis – garis pada solekan. Nampak muka tak licin, tak cantik” tutur Kak Ida memberi penjelasan. Petua Mak Andam patut dipatuhi. Aku terus sahaja senyap. Risau juga kalau muka nampak bergaris – garis. Tidak pasal – pasal nampak tua dari usia pula nanti.
“Mudah saja nak solek awak. Azali muka awak memang dah licin pun” puji Kak Ida menyuntik rasa bangga dalam diriku.
Perempuan itu bangun dari duduknya setelah rambutnya berwajah baru. Dia melangkah mendekati Kak Ida. Sekali lagi aku dengannya berbalas senyuman.
Thanks Ida. Ada masa nanti jangan lupa datang rumah saya” ujarnya mempelawa Kak Ida. Tampak dia dan Kak Ida begitu mesra. Bukan setakat pelanggan Salon Anggun. Mungkin sahabat baik Kak Ida. Aku mula mentafsir hubungan mereka.
Sure saya akan datang sana. Tak sabar nak jumpa anak – anak awak. Mesti dah besarkan” sahut Kak Ida teruja. Firasatku terhadap hubungannya dengan Kak Ida seakan tepat. Cuma perlukan pengesahan  Kak Ida sahaja lagi.
“Oh.... lupa nak perkenalkan kawan sekolah saya... Harianie... baru balik dari Holland. Kakak Encik Haqem. Mesti awak kenal Encik Haqemkan” Aku tersentak. Perlahan – lahan aku mengangguk. Sangat kenal. Kutatap wajah perempuan ini. Seiras Datin Sofea. Namun dirinya tidak sebongkak perempuan itu. Kusambut huluran tangannya. Seketika tangan kami bertaut.
“Harianie. Gembira berkenalan dengan awak” ujarnya memperkenalkan diri.
“Lia” sahutku.
“Saya harap akan jumpa awak lagi” ujarnya tersenyum. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Tidak pasti adakah dia masih berharap sedemikian andai dia tahu siapa diriku. Musuh tradisi Datin Sofea.
“Saya pergi dulu, Ida, Lia” ujarnya meminta diri. Aku dan Kak Ida mengangguk.
“Terima kasih, Har” ujar Kak Ida berbesar hati dengan kunjungannya. Dia tersenyum.
“Jumpa lagi. Bye.....” tuturnya seraya memulakan langkah ke muka pintu. Kelibatnya terus hilang.
“Kekayaan tak menjamin kebahagiaan” sayup – sayup suara Kak Ida berbicara sendiri. Aku hanya mendengarkannya. Bicara Kak Ida ada benarnya. Namun bicara ini hendak ditujukan kepada siapa? Harianie? Betulkah Kak Ida sedang berbicara tentang Harianie, kakak Haqem? Musykil. Aku pendamkan persoalan ini. Tidak berniat hendak mengetahuinya lebih lanjut. Tidak suka memperkatakan perihal orang lain.
Terdetik pula di fikiranku, mungkin Salon Anggun ini salah satu aset milik KDUT ataupun Kak Ida pernah bekerjasama dengan pihak KDUT. Maka tidak mustahil kunjunganku ke sini akan sampai ke pengetahuan Aqel. Malunya aku kalau Aqel mengetahuinya.
“Lia tengok sini” Aku berpaling. Flash! Aku terkebil – kebil. Kak Ida sudah menggambarku dengan i-Phonenya.
“Tengok... cantikkan” puji Kak Ida sambil menayangkan gambarku di skrin i-Phone itu. Rupa – rupanya solekan di wajahku sudah lengkap. Rambutku juga sudah didandan. Semuanya siap tanpa memerlukan masa yang lama. Kak Ida memang jurusolek profesional. Aku sangat puas hati dengan hasil solekannya. Memang berbaloi berkunjung ke Salon Anggun ini. menatap wajahku di cermin terus memadamkan ingatanku kepada Harianie.

Aku menyelinap masuk ke dalam rumah. Segan hendak bertembung dengan mak. Nanti terbongkar rahsiaku. Aku tidak mahu mak mengetahui yang aku pergi ke salon demi mendapatkan solekan terbaik. Bimbang mak akan mengusikku. Kemudian sampai pula perkara ini ke pengetahuan Mak Long dan Aqel. Aduh.... sungguh memalukan! Tidak mahu aku nampak beriya – iya sangat hendak kelihatan cantik dan sempurna di sebelah Aqel.
“Kamu dah siap, Lia?” Mak muncul di muka pintu. Lambat – lambat aku berpaling menatap Mak.
“Sekejap lagi nak tukar baju” jelasku. Mak merenung wajahku lama. Otakku ligat berfikir. Pertanyaan yang bakal keluar dari mulut mak mesti ada jawapannya.
“Cantik kamu” puji mak tidak lari – lari matanya memandangku.
“Mestilah cantik kan Lia nak duduk di sebelah bakal pengantin” balasku.
“Bagus juga kamu nampak cantik, biar sepadan dengan Aqel” ujar mak mengusikku.
“Mak....” keluhku. Terasa mak sedang memerliku. Bukan salahku pun kalau aku tidak sempurna untuk Aqel. Mak dan Mak Long yang beriya – iya sangat hendakkan aku menjadi isteri Aqel. Perlu diingat aku juga pernah memiliki cinta lelaki sehebat Aqel. Sudah terbayang wajah Haqem. Mengenang Haqem teringat aku pada Harianie. Tidak sangka aku berkesempatan berkenalan dengan kakak Haqem. Kalau bukan kerana halangan Datin Sofea sudah pasti perempuan itu menjadi kakak iparku sekarang. Aku berisytigfar. Tidak mahu menyesali apa yang telah terjadi. Jodoh, ajal dan maut adalah ketentuaan Ilahi. Aku pasrah dan redha menerimanya.
“Aqel mana? Kenapa belum balik – balik lagi?” soal mak bertanyakan menantunya itu.
“Jumpa kawan sekejap” jelasku bagi pihak Aqel. Aqel bergegas keluar lebih awal dariku setelah menerima panggilan daripada kawannya. Kawan yang sudah lama tidak ditemuinya. Itu yang sempat Aqel beritahu padaku. Dia berjanji pertemuan itu hanya sekejap sahaja. Aqel memintaku menunggu kepulangannya.
“Bila nak bertolak ni?” soal mak lagi.
“Mak bersiaplah. Datang Aqel kita terus pergi. Dia keluar sekejap saja” jelasku begitu yakin Aqel akan muncul bila – bila masa sahaja.

Sudah hampir sejam aku duduk di sofa dalam bilik ini menanti kemunculan Aqel. Begitu juga dengan mak dan Mak Long kedengaran rancak berbual sedangkan aku di sini dilanda kebosanan. Majalah Wanita ini sudah khatam kubaca. Kubaca lagi tetapi kali ini ruang – ruang iklan yang tidak sempat mataku menatapnya pada kali pertama menyelak majalah ini. Selalunya bahagian iklan tidak pernah menjadi pandangan mataku.
i-Phoneku berbunyi. Ada mesej kuterima. Kucapai i-Phone di atas meja di depanku. Mungkin daripada Nana. Tepat memang Nana yang menghantar mesej ini. Dia mengharapkan kemunculanku segera. Aku tidak membalas mesej itu. Tidak tahu apa yang harus aku tulis. Alasan apa yang terbaik aku berikan kepada Nana. Kuletak semula i-Phone ini di atas meja. Kasihan membiarkan Nana tertunggu – tunggu. Kucapai kembali i-Phone lantas membuat panggilan. Seketika aku menanti panggilan ini dijawab. i-Phone Aqel tidak diangkat. Kucuba lagi. Namun tidak dijawab. Cuba kali ketiga. Perkara sama Aqel tidak menjawab panggilan ini. Bingkas aku bangun dari sofa ini melangkah ke muka pintu. Aku tidak mampu menunggu kemunculan Aqel lagi.
“Kita pergi sekarang” ujarku mengajak mak dan Mak Long.
“Aqel?” soal mak.
“Dah lewat kita pergi sajalah” sahutku.
“Kamu dah call Aqel?” soal mak berat hati mahu meninggalkan menantunya itu.
“Dah tiga kali call tapi tak diangkat – angkat” keluhku. Mahu sahaja rasanya aku hendak mengamuk. Namun cuba kutahan – tahan kerana tidak mahu menyinggung perasaan Mak Long atas perbuatan anak terunanya itu. Yang pasti aku sudah hilang mood.
“Sepatutnya dia call. Kalau tak dapat pergi tak payah kita tunggu lama” rungut Mak Long memahami gelodak perasaanku.
“Marilah kita pergi sekarang” ajak Mak Long. Aku mengangguk. Mak menurut sahaja dengan berat hati mahu meninggalkan Aqel. Namun tidak mampu membantah keputusan Mak Long dan aku. Satu lawan dua. Pasti kalah satu.
Dalam perjalanan ke rumah Nana, mak dan Mak Long menyambung perbualan rancak mereka. Banyak sangat perkara yang mahu diceritakan. Sebaliknya aku hanya mendiamkan diri dan fokus pada pemanduanku. Sesekali memikirkan ke mana Aqel menghilangkan diri bersama sahabatnya itu. Tiba di perkarangan rumah Nana, kelihatan sudah ramai saudara – mara Nana yang datang. Setelah parkir kereta, kami melangkah beriringan masuk ke halaman rumah Nana. Kedengaran bunyi mesej kuterima. Kucapai i-Phoneku lalu membuka kotak mesej.

~ Maaf. Saya tak dapat pergi ke majlis pertunangan Nana ~ Mesej daripada Aqel. Kenapa? Laju sahaja suara hatiku melontar persoalan. Bagaikan Aqel sedang berada di depanku sekarang berbicara denganku. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku. Belum sempat aku menyimpan i-Phone ini ke dalam beg tanganku, tiba – tiba sahaja ia berdering. Nama Aqel terpamer di dada skrin. Kubiarkan sahaja. Rasa terkilan menghalang aku mahu mendengar suara Aqel sekarang.
“Kenapa tak angkat? Mungkin Aqel yang telefon” tegur mak sambil menatapku. Aku menggeleng.
“Orang yang jual insurans yang telefon. Malas nak layan” bohongku. Tidak sempat mak hendak mengajukan persoalannya lagi tatkala ibu Nana datang menyapa kami. Aku menarik nafas lega. Malas hendak mendengar suara Aqel tika ini. Laju aku tekan mod senyap. Tidak mahu mak mahupun Mak Long terganggu dengan bunyi i-Phone ini. i-Phone berkelip – kelip lagi. Masih Aqel yang membuat panggilan. Terus kusimpan i-Phone ini ke dalam beg tanganku. Tidak mempedulikan panggilan daripada Aqel. Biar tertebus rasa tidak puas hati ini.
“Wah, awak macam artislah! Anggun sekali. Bajupun cantik sangat. Mengapa lambat datang?” puji Nana melangit. Aku tersenyum sekilas. Nana tidak tahu yang aku telah pergi ke salon kerana mahu tampil seanggun ini. Mahu buat penampilan yang setanding dengan diri Aqel malah mahu membuat kejutan kepada anak muda Mak Long itu. Namun ada yang tidak kesampaian. Aqel tidak muncul di majlis ini. Mudah sahaja dia mungkir janji.
Sorry...” ujarku. Malas mahu menjelaskan bahawa kelewatan ini disebabkan Aqel.    
“Mana Aqel?” soal Nana sambil matanya liar menjejaki kelibat Aqel. Aku menggeleng dan tersenyum sekilas. Serba salah kepada Nana.
“Dia ada hal tak dapat datang” ujarku mengecewakan Nana. Nana mengeluh. Sedikit hampa. Sekejap sahaja. Nana tersenyum semula. Wajahnya berseri – seri. Maklumlah hari ini merupakan hari bahagia dan bermakna buat dirinya. Selangkah lagi hidup Nana akan berubah.

Majlis pertunangan Nana begitu meriah. Kelihatan dia tersenyum bahagia tatkala ibu Arrayan menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya. Sekelip mata sahaja Nana sudah menjadi milik Arrayan. Bertambah berseri – seri wajah Nana. Sempat juga aku dan Nana merakamkan gambar bersama sebagai kenang – kenangan.
“Kak Lia nak ambil gambar satu. Kak Lia nampak cantik sangat hari ini” ujar Mila kembar Miera. Aku tidak sampai hati menolak permintaan gadis ini. Lantas tersenyum ceria tatkala kedengaran suara Mila menghitung satu dua tiga. Flash. Gambarku sudah berada di dalam memori i-Phonen gadis ini.
“Simpan elok – elok gambar itu tau” pesanku. Mila mengangguk.     
“Dan jangan bagi orang lain tengok” pesanku lagi. Mila hanya tersenyum menggusarkan hatiku. Mungkin dia ingat aku tidak serius dengan bicaraku.
“Nanti suami akak marah” tambahku mereka alasan dalam nada berbisik. Kali ini Mila mengangguk. Baru lapang dadaku. Tidak tega orang lain tersalah tanggapan padaku. Nanti orang fikir aku perasan hendak jadi artis... kan niaya jadinya! Hish.... jauh – jauhkan! Mila berlalu pergi setelah termeterai perjanjian antaraku dengannya. Sempat juga bertegur sapa dengan Puan Rosie dan Encik Muktahir yang datang bersama – sama rombongan pihak lelaki. Langsung tidak berenggang pasangan suami isteri ini. Kelihatan begitu mesra. Aku yakin kemesraan ini bukan lakonan semata – mata mahu mengaburi mata yang memandang terutamanya pandangan mata warga CNFL yang ramai bertandang ke majlis pertunangan Nana dan Arrayan ini. Pasti kekeruhan sudah dijernihkan. Alhamdulillah. Barangkali Puan Rosie pasrah hidup dimadukan. Hadiah terbaik atas kesabaran Encik Mukhtahir melayan kerenahnya selama ini. Aku cuba mengambil pendekatan positif persis Nana dalam menilai tindakan Encik Mukhtahir. Sesungguhnya, lelaki perlukan perhatian dan kasih sayang isterinya. Oh... bagaimana pula dengan Aqel?
“Fekri jangan renung Lia sedalam itu. Lia ini isteri orang tau” lancang sahaja mulut Nana mengusik sepupunya yang usianya seangkatan kami. Pemuda ini tersenyum sekilas.
“Hey.... awak ni” tegurku kurang senang. Segan pula aku jadinya. Simpati pada pemuda ini. Mesti dia malu ditegur sedemikian. Aku yakin pandangan mata Fekri disalah tafsirkan oleh Nana. Mak dan Mak Long hanya tersenyum. Bicara Nana sekadar gurauan.
“Boleh saya cakap?” soal Fekri tenang.
“Cakaplah...” gesa Nana.
“Awak jangan marah tau” ujarnya tersenyum. Nana mengangguk sambil mengangkat tangan bersumpah. Sudah bersedia mendengar bicara yang bakal keluar dari mulut Fekri.
“Pasti ramai yang ingat orang yang diraikkan hari ini adalah Lia, bukannya awak” ujar Fekri tersengih panjang cuba melindungi diri daripada tuduhan Nana. Nana berdiri bercekak pinggang. Berlagak serius. Mukanya masam.
“Oh... awak nak kutuk saya ya. Maksudnya Lia lebih menyerlah dari sayalah” ujar Nana melenting buat – buat marah. Kononnya tersinggung dengan kata – kata Fekri. Fekri mengangguk dan tergelak – gelak.
“Ke sini awak...” panggil Nana geram. Laju sahaja Fekri melarikan diri dari terkena cubitan Nana. Aku turut sama tergelak melihat gelagat Nana dengan Fekri yang sempat berkejaran. Begitu juga mak dan Mak Long turut tergelak. Masing – masing tercuit hati dengan telatah mereka. Persis anak kecil pula lagak Nana dan Fekri. Rasa terhibur.

Majlis pertunangan Nana dan Arrayan berjalan lancar. Alhamdulillah. Setelah bertegur sapa dengan teman – teman CNFL, aku bertemu Nana memaklumkan tentang keberangkatan kami meninggalkan rumahnya. Mak dan Mak Long sudah bergerak ke kereta selepas bersalaman dengan ibu dan saudara – mara perempuan Nana. Sebelum berpisah, Nana berjanji akan mengemailkan gambar – gambar yang kami rakam tadi pada malam ini. Bermakna kalau aku buka email malam ini aku sudah dapat menatap gambar – gambar itu. Laju dan pantas. Sukanya aku.
“Kita singgah di Bintang Plaza, Lia” ujar Mak Long mengubah destinasi yang kutuju. Hajat hati hendak terus balik ke rumah selepas menghantar Mak Long. Nampaknya terpaksalah aku melupakan hajatku ini. Kereta Waja mak yang kupandu sudah memasuki laman parkir perkarangan Bintang Plaza. Mak Long persis Aqel juga suka membeli – belah di kompleks mewah ini. Bulan lepas di sinilah Aqel membeli dan menempah baju kurung yang kami pakai sekarang. Baju kurung mak dan Mak Long khas Aqel tempah termasuklah baju Melayu Aziq. Konon hendak kelihatan seragam di majlis pertunangan Nana. Biar cantik dipandangan mata orang lain. Hatiku membara kembali. Perasaan tidak puas hati terhadap Aqel menjelma lagi. Tidak patut sewenangnya Aqel memungkiri janjinya. Begitu besar pengharapan yang diberikannya. Semudah itu juga dia menghancurkan harapan itu.  
“Kita masuk sini ya” suara Mak Long melenyapkan perkara yang sedang aku fikirkan. Mak mengangguk sambil mengekori langkah Mak Long memasuki premis ini. Terkedu aku menatap premis ini. Langkahku kaku.
“Lia, marilah masuk” ajak Mak Long melihat aku masih terpacak di muka pintu premis ini. Mak dan Mak Long sedang menatapku. Berat sahaja langkahku menuruti langkah mak dan Mak Long. Di premis ini aku menjadi manusia yang tidak berdaya.
“Nak warna pink atau warna biru?” soal Mak Long sambil menayangkan baju bayi itu kepada mak. Aku sekadar memerhati dan memasang telinga sahaja. Sandiwara yang panjang.
“Baik kita pilih warna biru atau warna lain sebab kita belum tahu jantinanya lagi” sahut mak memberi cadangan. Mak Long mengangguk – angguk setuju.
“Aqel suka juga warna pink. Tak semestinya warna pink hanya untuk bayi girl” tingkah Mak Long pula.
“Barang lain sajalah kita beli warna pink kak” ujar mak persis mahu memujuk Mak Long. Mak Long tersenyum. Bersetuju sangat dengan cadangan mak. Mereka bergerak lagi ke bahagian lain setelah memilih beberapa pasang pakaian bayi serta sarung tangan dan sarung kaki. Kali ini mak dan Mak Long sepakat membeli kereta bayi berwarna merah. Aduh... bertambah binggung aku! Memang comel kereta bayi ini.      
“Tak payah beli baby walker ini” tegahku mula bersuara setelah sekian lama berdiam diri dan hanya jadi pemerhati. Mak dan Mak Long menatapku buat aku tidak keruan. Mahu sahaja aku berterus terang sekarang. Namun tidak sampai hati mahu membunuh keterujaan mak dan Mak Long saat ini.
“Sebab masih terlalu awal....” perlahan – lahan aku menuturkannya. Mak dan Mak Long saling berpandangan. Harap – harap aku mampu menegah tindakan mereka.
“Kita belilah nanti bila baby dah keluar. Mungkin masa itu lebih banyak pilihan. Lagipun design yang terbaru” saran Mak Long sudah termakan kata – kataku. Syukur juga mak bersetuju dengan cadangan Mak Long. Aku menarik nafas lega.
“Kita nak beli apa lagi ya?” soal Mak Long sambil menatap mak.
“Buai...” sahut mak.
“Cukuplah beli pakaian baby saja. Barang lain biar Lia dan Aqel yang beli nanti. Marilah kita balik. Lia rasa tak selesa sekarang” ujarku mahu memberhentikan tindakan mak dan Mak Long sekali gus mengajak mereka pulang.
“Mana yang tak selesa, Lia?” soal Mak Long cemas sambil memegang tanganku.
“Kamu nak muntahkah? Atau rasa pening – pening?” soal mak pula. Wajahku direnung. Aku geleng kepala. Terasa sesak nafasku. Terhukum diriku dengan keprihatinan mak dan Mak Long.
“Kita baliklah sekarang” ajak mak kerisauan. Mak Long bergerak laju ke kaunter pembayaran sedangkan mak bersamaku mengawasi keadaanku yang dikhuatirinya akan jatuh pengsan.   
“Lia tak apa – apalah mak” ujarku cuba menenangkan mak yang nampak kerisauan. Mak Long bergegas mendapatkan aku dan mak. Rimas rasanya tatkala setiap langkah yang kuatur tangan mak tidak lepas - lepas memimpin tanganku. Persis aku sedang sakit sekarang.
“Kamu duduk di belakang dengan Kak Helda. Biar mak yang pandu kereta” ujar mak menghalang aku yang baru sahaja berniat mahu duduk di kerusi pemandu. Aku terkedu. Sedar – sedar Mak Long sudah memegang tanganku lalu membantuku masuk di bahagian penumpang belakang yang sudah terkuak pintunya. Aku terpaksa menurut sahaja.
“Bagaimana sekarang? Lia rasa okey tak?” soal Mak Long masih cemas.Terkebil – kebil aku tatkala tangan lembut Mak Long mula memicit - micit bahu dan lenganku. Kemudian mengurut – urut belakangku pula.
“Baik kita pergi klinik sekarang” cadang Mak Long mengejutkanku.
“Tak payah. Lia nak berehat di rumah” tegasku mahu memberhentikan segala – galanya. Senyap. Barangkali mak mahupun Mak Long tersentak dengan ketegasanku.
“Baiklah kita balik rumah saja” putus mak tidak membantah. Aku menarik nafas lega. Kulontar pandanganku keluar. Rasa bersalah kepada mak dan Mak Long.
“Hyeon.... Kamu di mana sekarang?” Laju aku berpaling ke arah Mak Long.
“Cepat balik rumah Lia tak sihat ni” suara tegas Mak Long singgah di telingku. Sayu dan pilu hatiku melihat keprihatinan mak dan Mak Long tika ini. Kedengaran suara hatiku menjerit. Aku semakin tidak berdaya.
“Mak.... Mak Long.... maafkan Lia” bisik hatiku yang mengharapkan mak dan Mak Long mendengarkannya lantaran aku tiada kekuatan hendak melafazkannya.