Thursday, 7 December 2017

NamaKu Bukan Flora...99....new





BAB 99

“Aduh, semput nafas saya...,” Aku berpaling. Melati menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di situ. Nafas turun naik. Bagai baru selesai menghabiskan larian pecut 100 meter.
“Mujur juga kuliah belum mula. Lambat bangun tadi,” keluh Melati namun masih kelegaan kerana Mr. Seo Jang belum muncul lagi.
“Lewat tidur semalam?” tanyaku. Melati mengangguk.
“Nak siapkan assignment ekonomi yang perlu dihantar esok,” jelas Melati tersengih. Sedar kesilapan sendiri kerana tidak bertindak lebih awal.
“Lain kali buat lagi,” arahku menyindir. Melati tersengih-sengih lagi.
“Assalamualaikum...,” suara lelaki menyapa. Serentak aku dan Melati berpaling dan mendongak. Pemuda ini tersenyum menampakkan lesung pipit. Melati terpegun.
“Waalaikumsalam...,” sahutku membalas senyuman itu.
“Boleh saya duduk di sini?” tanyanya meminta keizinan sambil menunding jari pada kerusi kosong di sebelah Melati.
“Boleh...boleh...Silakan...,” sahut Melati laju. Adam Rayyan duduk di sebelah Melati.
“Adam Rayyan ..., saya perkenalkan ini kawan saya Lia...wanita terakhir. Lia..., ini Adam... lelaki MaScot,” ujar Melati saling memperkenalkan aku dengan pemuda ini.
“Lelaki MaScot?” serentak aku dan pemuda ini melontar pertanyaan sambil menatap gadis Brunei ini. Mohon penjelasan. Dahi Adam Rayyan berkerut. Bicara Melati tentang dirinya tidak difahami. Dalam benakku pula sudah membayangkan Adam Rayyan memakai pakaian moskot Harimau Malaya dengan aksi melambai-lambai tangan ke arah orang ramai. Melati tergelak.
“Lelaki Malaysia-Scotland,” ujarnya lebih jelas.
“Oh...,” hampir serentak juga aku dan Adam Rayyan memberikan reaksi yang sama. Baru memahami bicara Melati.
“Wanita terakhir?” Adam Rayyan berminat pada kenyataan ini.
“Dia wanita terakhir di hati seseorang,” ujar Melati tersenyum menatapku. Aku menulikan telinga. Tidak berminat hendak memberikan reaksi pada bicara Melati. Adam Rayyan tersenyum menatapku. Aku tersenyum.  
“Dia isteri kepada lelaki yang sungguh setia kepada ibu. Lelaki yang berhati suci mahu melindungi keluarga dan melindunginya. Lelaki yang tak tega melihat dia disakiti,” jelas Melati mengulangi kata-kata yang pernah keluar dari mulutku sambil melirik ke arahku. Kupandang Melati. Kagum. Dia memang memiliki daya ingatan yang sungguh kuat. Pemuda ini nampak terpegun. Dia memandangku sekilas. Mungkin Adam Rayyan mahukan penjelasan lanjut. Aku diam.
“Oh..., lupalah saya nak beri awak sesuatu!” Melati mencapai beg galas di belakang. Lantas terkocoh-kocoh membuka zip beg. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari perut beg galas itu.
“Nah...,” Melati meletakkan buku di tangan di atas meja. Majalah GQ Korea. Pemuda ini turut  melontar pandangan ke arah majalah ini. Aku hairan. Pasti Adam Rayyan juga kehairanan melihat majalah fesyen popular lelaki ini berada di depanku.
“Awak baca Majalah GQ ini?” tanyaku janggal. Bolehkah Melati membaca tulisan Hangeul dengan fasih?
“Awak tengok cover majalah ini. Saya beli khas untuk awak,” jelas Melati. Berkerut dahiku menatap Melati. Adam Rayyan memandang Melati. Nampak berminat hendak mengikuti perbualan ini.
“Tengok cover,” Melati mengulangi arahan itu. Aku menatap muka depan majalah ini. Begitu juga Adam Rayyan turut mengarah pandangan ke situ.
“Park Seo Joon,” Nama ini keluar dari mulutku. Baru menyedari aktor kacak ini menjadi penghias muka depan majalah ini. Terpegun menatap Park Seo Joon yang sedang tersenyum. Kacak.  Aku berpaling ke arah Melati.
“Awak suka pelakon ini,” ujar Melati. Pemuda ini tersenyum.
“Terima kasih,” ujarku lantas mencapai Majalah GQ ini. Kutenung Park Seo Joon. Suka melihat matanya yang mengecil tatkala tersenyum. Dia mirip Aqel. Mata Aqel juga akan mengecil setiap kali menguntum senyuman lebar. Sudah lama tidak nampak senyuman indah Aqel. Terasa rindu hendak memandang senyuman indah itu.
“Agaknya...apa dia buat sekarang?” Aku bersoal-jawab sendiri. Kedengaran gelak Melati.
“Mestilah sedang berada di set penggambaran,” sahut Melati. Adam Rayyan senyum lagi.
“Awak peminatnya?” Adam Rayyan mula bersuara bertanya. Aku mengangguk.
“Sejak datang ke sini,” jelasku.
“Kalau awak nak tahu dia buat apa sekarang... awak call dia,” arah Melati.
“Call pelakon Korea ini?” Adam Rayyan tersentak. Melati tergelak. Aku tersenyum. Dia telah berjaya mempermainkan pemuda ini. Melati mengangguk.
“Ya...call suaminya,” ujar Melati semakin membingungkan Adam Rayyan.
“Suami Lia... pelakon ini?” Besar mata Adam Rayyan menatap Melati. Serentak aku dan Melati tergelak. Adam Rayyan mungkin terkejut mengetahui aku sudah bernikah. Paling mengejutkan jikalau dia  mempercayai kata-kata Melati. Aku isteri Park Seo Joon. Bermimpi pula!
“Suami dia kembar Park Seo Joon...sama kacak macam pelakon ini,” jelas Melati memperincikan bicara. Aku menjeling Melati. Tidak mahu dia terlalu mengagungkan Aqel.
“Oh...,” Kini Adam Rayyan faham. Dipandang pelakon itu lagi. Kemudian mengalih pandangan ke arahku. Aku sekadar mengulas senyuman sekilas. Faham perasaan pemuda ini.
  “Inilah wanita terakhir di hati Park Seo Joon Malaysia,” ujar Melati mengusikku. Tiba-tiba sahaja dewan kuliah ini senyap. Serentak kami mengarah pandangan ke pintu. Mr. Seo Jang baru sahaja melewati muka pintu. Cerita kami terus tamat kerana kuliah akan bermula sebentar. Aku terus mengarah pandangan ke hadapan. Bersedia dengan kuliah hari ini. Tidak pedulikan Melati dan Adam Rayyan yang sedang berbisik-bisik. Ada cerita mereka yang belum habis.
 “Lia, Profesor Abdullah Han bukan suami awakkan?” tanya Adam Rayyan.
“Huh...,” Aku tersentak. Kemudian tersenyum.
“Profesor Abdullah Han miriplah dengan pelakon Korea itu,” suara Melati mencelah dan baru menyedari perkara ini.
“Pelakon handsome itu anak tiri Profesor Abdullah Han. Saya nikah dengan anak kandung Profesor Abdullah Han,” ujarku bercanda dan mahu mengelirukan Melati dan Adam Rayyan. Biar mereka berfikir dan mendalami kata-kataku. Berkerut dahi pemuda ini memikirkan pengakuanku.
“Jadi Profesor Abdullah Han ayah mentua awaklah...,” ujar Melati mula menyedari hubunganku dengan lelaki itu. Aku mengangguk. Melati dan Adam Rayyan tersentak. Kenyataan ini sungguh mengejutkan mereka.
“Patutlah saya selalu nampak awak berbual-bual dengan Profesor Abdullah Han. Saya ingat lelaki itu skandal awak,” tutur Melati mengusikku.
“Melati...!” Aku terjerit kecil. Tidak suka mendengar kata-kata Melati. Melati tergelak. Adam Rayyan tersenyum. Baru dia mengerti larangan lelaki itu. Dia tidak boleh jatuh cinta kepada Lia kerana gadis ini ialah isteri kepada anak lelaki Profesor Abdullah Han. Lia ialah menantu Profesor Abdullah Han.    

Terlalu pantas masa berlalu. Sedar-sedar sudah hampir 365 hari, 8760 jam, 525 600 minit dan 31 536 000 detik aku hidup di bumi Seoul. Dalam tempoh itu jugalah aku tidak bertemu dengan mak dan Aziq kerana ada peperiksaan penting yang harus Aziq tempuhi menghalang mereka berkunjung ke sini. Sungguh aku merindui mereka. Cuti semester lalu juga menghalang aku balik bertemu mereka lantaran ada tugasan yang perlu diselesaikan di sini. Kejayaan tidak mudah dikecapi kerana banyak pengorbanan yang harus dilakukan.

“Assalamualaikum... saya dah balik,” ujarku sambil menanggalkan kasut di depan pintu.
“Waalaikumusalam...,” sahut suara yang cukup kukenali. Aku mengangkat muka. Mata bertentang mata. Terkedu dan tergamam.
“Mak...,” Laju langkahku mendapatkan mak dan Aziq yang tersenyum menyambut kepulanganku. Kupeluk erat tubuh mak melempiaskan kerinduan selama ini.
“Tak sangka jumpa mak dan Aziq hari ini,” ujarku gembira masih tidak mahu merenggangkan tubuh daripada dakapan mak. Aziq dan Mak Long tersenyum memerhatikan.
“Rindu sangat-sangat pada mak...,” ujarku.
“Along tak rindu saya?” Aku berpaling pada Aziq yang tersengih menatapku.
“Mestilah rindukan adik tunggal Along ini,” ujarku tersenyum menatap Aziq. Aziq menundukkan kepala menyalami tanganku. Kupandang Aziq.
“Semakin handsome anak teruna mak ini,” ujarku mengusik Aziq. Dia tersenyum lebar. Kupandang sekitar ruang tamu ini. Mungkin ada wajah yang tertinggal dari pandangan mataku. Aku hanya nampak Mak Long yang sedang duduk di sofa sambil tersenyum. Kupandang mak dan Aziq.
“Abang Aqel tak datang sama sebab dia tak rindu Along pun,” ujar Aziq.
“Aziq...,” tegur mak kurang senang. Aziq tersengih.
“Aqel memang nak datang sama, tapi ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Jadi dia tak dapat datang,” jelas mak tanpa kupinta. Aqel memang sentiasa sibuk dengan kerja. Dia tidak pernah berubah. Itulah kehidupan Aqel. Mungkin juga dia berat hati hendak meninggalkan Rania.
“Takpe... Nanti mama suruh Hyeon datang sini,” suara Mak Long mencelah. Aku hanya senyum. Mengerti dengan kesibukan Aqel. Tidak perlu paksa-paksa Aqel datang ke sini.
“Kenapa tak cakap awal-awal mak dan Aziq nak datang ke sini,” rungutku tidak puas hati kerana terlepas menyambut kedatangan mereka di lapangan terbang tadi.
“Saja nak buat kejutan pada Along,” ujar Aziq tersenyum. Mak dan Mak Long juga tersenyum. Sudah nyata mereka merancang semua ini. Tidak mahu aku tahu akan kedatangan mereka hari ini. Senyap-senyap memunculkan diri di sini.
“Takpelah... Seronok lihat mak dan Aziq ada di sini sekarang,” ujarku teruja.
“Lebih seronok kalau Aqel ada sama di sini,” keluh mak sedikit kecewa. Aku diam. Tidak mahu memberi sebarang ulasan. Aqel lebih mengetahui perkara yang lebih penting buat dirinya.
“Kita lupakan fasal Hyeon. Sudah datang sini, baik kita rancang percutian ini agar lebih seronok. Banyak tempat menarik di sini yang boleh dilawati,” ujar Mak Long.
“Wah..., inilah yang paling best, Mak Long,” ujar Aziq teruja. Kemudian bersatu senyuman dengan Mak Long. Tidak sabar dia hendak merakam keindahan bumi Seoul untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan nanti sekembali ke Malaysia.
“Alah... tak bestlah tak dapat join. Esok kuliah lagi,” keluhku hampa. Mak Long, mak dan Aziq hanya mempamer senyuman. Tidak mampu berbuat apa-apa.
“Takpe... Along tunggu saja abang Aqel datang. Biar abang Aqel yang bawa Along jalan-jalan nanti,” ujar Aziq. Aku memasamkan muka. Kalau tunggu Aqel muncul, tidak sempatlah aku menemani Mak Long membawa mak dan Aziq menjelajahi tempat-tempat menarik di Korea Selatan ini. Kesempatan yang ada mahu menghabiskan masa dengan mak dan Aziq. Mahu merakam banyak kenangan dengan mereka. Boleh mengambil gambar dengan mak dan Aziq di setiap destinasi yang kami kunjungi nanti.
“Betul. Kamu tunggulah Aqel datang sini bawa kamu jalan-jalan,” sokong mak. Aku melepaskan keluhan kecil. Pasti mengambil masa yang lama lagi. Aqel tidak akan muncul di sini dalam masa terdekat ini. Kempunanlah hendak bersiar-siar dengan mak dan Aziq. Aku mengeluh kecil dan mempamer muka sedih kerana Aqel tidak akan berkunjung ke sini. Yakin.
Aku memanfaat masa sepenuhnya untuk bersama mak dan Aziq. Langsung tidak mahu berenggang dengan mak. Ada-ada sahaja cerita yang kudengar dari mulut mak sejak setahun meninggalkan Malaysia. Ternyata Aqel menjaga mak dan Aziq dengan baik buat aku rasa terhutang budi kepada anak teruna Mak Long itu. Setiap hujung minggu Aqel akan menghabiskan masa bersama mak. Dia akan menemani mak pergi membeli-belah barang keperluan dapur. Kemudian mak dan Aqel akan masak bersama-sama di dapur. Kedengaran mereka sungguh mesra. Tidaklah mak terus kesunyian. Tatkala tiba minggu balik ke rumah, Aqel akan menjemput Aziq di asrama, mengambilalih tugasku selama ini. Aqel benar-benar telah menjadi anak mak bukan sekadar menantu.
Usai solat berjemaah yang diimankan oleh Pak Long dan menikmati hidangan malam, aku mengekori langkah mak ke bilik. Aziq selepas berbual-bual seketika dengan Pak Long dan Mak Long, meminta diri untuk tidur. Keletihan sepanjang perjalanan begitu terasa. Dia perlu berehat kerana jadual lawatan esok begitu padat. Mak Long sudah merangka jadual percutian mak dan Aziq membuatkan anak teruna itu begitu seronok. Tidak sabar menanti keesokan hari. Cemburu pada mak dan Aziq yang akan melawat tempat-tempat menarik di negara ini. Sebenarnya aku tumpang gembira dan berbesar hati kerana Mak Long sudah menyediakan perjalanan yang menarik sepanjang percutian mak dan Aziq di sini.
“Malam ini saya nak tidur dengan mak,” rengekku sambil memeluk bantal yang kubawa dari bilik sebelah. Sudah setahun aku menjadi penghuni bilik Aqel.
  “Hey..., dah jadi isteri masih nak bermanja-manja,” perli mak. Kutulikan telinga lalu merebahkan tubuh di sebelah mak. Mak memandangku.
“Sepatutnya kamu tidur di sebelah suami kamu sekarang,” ujar mak.
“Aqel bukan ada di sini,” sahutku meningkah bicara mak.
“Panggil suami abang,” tegur mak melenting. Aku tersengih.
“Aqel suami kamu. Tak elok kamu panggil dia macam tu. Nanti tulah padan muka kamu,” ujar mak mengancamku. Aku masih tersengih.
“Tak biasa panggil macam tu. Lagipun dia tak kisah pun saya panggil namanya,” ujarku membela diri. Mak mendengus. Tidak puas hati mendengar kata-kataku. Tidak suka menantu kesayangan dipanggil sedemikian.
“Tak sopan isteri panggil suami begitu,” tegur mak tidak merestui tindakanku.
“Kalau jodah saya dengan Aqel masih panjang, saya akan penuhi permintaan mak,” ujarku. Besar mata mak menatapku.
“Ke situ pula kamu fikir. Jodoh kamu memang dengan Aqel. Kamu akan hidup bahagia dan beranak-pinak dengan Aqel,” tegas mak beremosi. Aku senyum. Mak tidak mahu kehilangan menantunya itu.
“Insya-Allah sampai masa nanti mak akan berpeluang mendengar saya panggil Aqel abang,” ujarku cuba menyenangkan hati mak. Sekadar bercakap dan mahu menyenangkan hati mak. Tidak mahu menggantung harapan yang tinggi.
“Amin...,” sahut mak cepat. Aku tersenyum. Sukar lelaki lain hendak menakluki hati mak kerana hati mak sudah ditawan oleh Aqel. Dialah menantu lelaki terbaik mak.
“Tidurlah sekarang. Esok kamu ada kuliah. Mak pun dah rasa mengantuk ni. Letih juga perjalanan jauh tadi,” arah mak.
“Ya..., mak tidurlah. Esok dah jalan-jalan dengan mama. Mama dan siap buat jadual aktiviti percutian mak dan Aziq tu” ujarku mengingatkan mak.
“Alhamdulillah... Kamu dah panggil Mak Long kamu mama. Senang hati mak mendengar,” ujar mak tersenyum lebar. Mak mula memejamkan mata. Namun senyuman masih terukir di bibir. Barangkali kalau aku memanggil Aqel ‘abang’ pasti mak tidur tersenyum sepanjang malam. Lebih lebar senyuman mak ketika itu. Sekejap sahaja mak membaringkan tubuh dia sudah lena. Nampak dia sangat letih. Kasihan mak. Kutatap wajah mak. Aku tahu hati mak tidak pernah tenang. Dia masih memikirkan kehidupanku. Mak sungguh berharap aku akan bahagia bersama Aqel.
“Maaf... sebab selalu buat mak susah hati,” bisikku hiba. Aku menahan air mata ini dari mengalir keluar. Tidak mahu mengganggu tidur mak. Apatah lagi mahu mengundang kehairanan mak. Biarlah masa menentukan cereka hidupku. Nun jauh di sudut hati aku mahu membahagiakan mak. Mahu melihat mak tersenyum girang sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah memakbulkan keinginanku ini. Amin.   


“Assalamualaikum...,” suara lelaki menyapa. Serentak kami berpaling. Aku terkedu dan tergamam. Tidak menduga dan menyangka akan menatap seraut wajah ini. Bagai mimpi.
“Saya Aqel... suami Puan Nurdahlia,” suara Aqel memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan kepada Adam Rayyan. Formal namaku disebut Aqel. Mereka bersalaman. Mata Aqel merenung pemuda ini. Begitu juga Adam Rayyan memfokus pandangan pada Aqel. Kedua-dua pemuda ini beradu pandangan. Saling menilik diri masing-masing. Siapakah yang lebih hebat?
“Adam Rayyan,” tutur pemuda ini menyambut perkenalan Aqel. Aku masih membisu. Sungguh terkejut dengan kemunculan Aqel ini. Bila dia sampai di sini? Adakah Mak Long ataupun mak tahu akan kunjungan Aqel ini. Pandangan Melati masih melekat pada wajah Aqel.
“Hai..., saya Melati,” Kini giliran gadis Bandar Seri Begawan ini pula yang memperkenalkan diri. Aqel tersenyum. Senyuman Aqel masih tidak berubah. Tetap menawan. Pasti hati Melati tertawan melihat senyuman indah ini. Aku merenung wajah Aqel seketika. Sukar hendak percaya melihat Aqel di depan mata sekarang.
 “Samalah, Lia. Memang mirip hero Hwarang. Handsome suami awak,” suara Melati berbisik di telingaku mengutus pujian buat Aqel.
“Boleh saya pinjam isteri saya sekejap,” ujar Aqel meminta keizinan. Aku tersentak. Begitu juga dengan Melati. Aku tidak bermimpi. Aqel memang benar-benar ada di sini sekarang.
“Pinjam? Oh... nak bawa Lia pergi,” ujar Melati baru sempat mendalami bicara Aqel.
“Boleh...boleh...,” ujar Melati tidak menghalang. Adam Rayyan mengangguk.
“Mari...Sayang...,” ajak Aqel lalu mencapai tanganku. Aku tersentak. Janggal mendengar Aqel memanggilku sedemikian. Melati tersenyum mengusik. Tangan Aqel lembut menarikku bangkit dari kerusi ini. Tanganku dipaut erat lalu Aqel membawaku beredar meninggalkan mereka sambil diperhatikan oleh Melati dan Adam Rayyan. Melati melambai-lambaikan tangan sambil tersenyum lebar. Gembira melihat aku bersama Aqel.
“Nak pergi mana ni?” tanyaku.
“Temankan saya makan. Laparlah...,” ujar Aqel tidak mahu melepaskan tanganku dari pautan tangannya. Aku diam. Kuikut sahaja langkah kaki Aqel menapak ke sebuah restoran muslim di tengah-tengah bandar Seoul ini. Aqel membuat pesanan sebagai hidangan tengah hari ini.
“Ada kelas petang ini?” tanya Aqel memulakan perbualan. Aku menggeleng.
“Dah habis kelas. Ada perbincangan group tadi,” jelasku. Aqel mengangguk-angguk.
“Selalu habis kelas pukul berapa?” tanya Aqel berminat hendak mengetahui rutin hidupku sebagai pelajar. Masaku lebih banyak dihabiskan di kampus.
“Sampai petang,” sahutku pendek. Tidak banyak yang mampu aku bualkan dengan Aqel tika ini. Terasa janggal dan kekok setelah sekian lama tidak bersua muka dengan pemuda ini.
“Awak sihat?” tanya Aqel sedikit mencuit hatiku. Baru sekarang pertanyaan itu diajukan kepadaku. Bukan pada pertemuan awal tadi.
“Sihat...,” balasku. Kupandang Aqel. Dia juga nampak sihat walfiat. Tidak perlu bertanya perkhabaran dirinya. Aqel seorang yang menitikberatkan kesihatan. Dia pandai menjaga diri.
“Biasa tinggal di...,” iPhone Aqel berdering memintas perbualan ini.
“Kejap ya...,” Aqel menjawab panggilan itu.
“Hello... Waalaikumusalam. Dah sampai pagi tadi,” jelas Aqel menjawab pertanyaan si pemanggil di talian. Ada insan yang mengambil berat terhadap Aqel.
“Baru je nak makan sekarang. Lapar...,” Lembut dan manja suara Aqel mengadu keadaan dirinya sekarang. Ada senyuman di bibir Aqel. Gembira dia menerima panggilan itu. Aqel menatapku. Cepat aku melarikan muka. Tidak mahu bertentangan mata dengan Aqel. Mungkin panggilan daripada Rania. Kelihatan perbualan ini santai sahaja. Reaksi Aqel ketika ini pun nampak manja-manja.
“Mestilah rindu...,” Aqel meluahkan isi hati. Tidak peduli aku yang berada di depannya saat ini. Sempat melirik ke arahku. Aku mempamer wajah bersahaja. Berlagak tidak berminat hendak mengikuti perbualan mereka.
“Okey... assalamualaikum...,” Perbualan itu berakhir. Aqel menyimpan iPhone di dalam saku seluar. Makanan yang dipesan dihidangkan. Aqel bercakap sesuatu kepada pemuda itu dalam bahasa Hanguk-eo yang tidak kufahami. Pelayan itu menjemput aku dan Aqel menikmati hidangan di atas meja. Kemudian menundukkan kepala memohon diri.
“Mari makan...,” ajak Aqel mula menikmati hidangan yang dipesan sebentar tadi.
“Emm...sedap kimchi ini. Dah lama tak makan,” tutur Aqel sepenuh perasaan. Kimchi diletakkan di dalam nasi berserta dengan isi ikan. Aqel menyuap lagi lalu mengunyah dengan berselera. Kasihan melihat Aqel persis perempuan hamil yang sedang mengidam.
“Makanlah banyak-banyak...,” arah Aqel mahu aku berselera sepertinya. Aku mengunyah perlahan nasi dan isi ikan. Kemudian menyudu sup lalu menghirup perlahan.
“Ambil kesempatan berada di sini belajar buat kimchi...,” arah Aqel.
“Nanti senang kalau saya teringin nak makan, boleh awak buat untuk saya,” ujar Aqel persis aku dengannya akan tinggal sebumbung dalam masa terdekat ini. Kupandang Aqel.
“Belajar daripada ayah. Kimchi yang ayah buat memang sedap,” ujar Aqel memuji kepakaran Pak Long menghasilkan kimchi yang sedap.
“Saya tak...,” Bicaraku terputus dipintas oleh deringan iPhone Aqel lagi. Ramai yang menghubungi Aqel ketika ini. Makan pun tidak tenteram.
“Sorry...,” Aqel meminta ruang dan masa untuk menjawab panggilan itu. Aqel berbual-bual seketika dengan si pemanggil. Kali ini mungkin pelanggan atau rakan perniagaan Aqel. Perbualan ini lebih formal berbanding dengan perbualan awal tadi.
“Okey... saya akan maklumkan bila saya dah balik ke Malaysia nanti,” janji Aqel.
“Ya...Assalamualaikum...,” Aqel menamatkan perbualan itu. Baru sahaja hendak menggembalikan iPhone di dalam saku seluar, iPhone berbunyi lagi mematikan hasrat Aqel.
“Annyeong-haseyo...,” sapaan yang keluar dari mulut Aqel menjelaskan bahawa dia menerima panggilan daripada orang Korea ketika ini. Mungkin rakan perniagaan dari negara ini. Aqel berbual-bual dengan pemanggil dalam bahasa Korea. Rancak perbualan mereka. Tidak satupun yang kufahami. Aku menghabiskan suapan terakhir. Semangkuk nasi sudah habis kusimpan di dalam kantung perut. Alhamdulillah kenyang.
“Awak dah habis makan?” tanya Aqel sambil menatap mangkuk kosong lalu mengalih pandangan kepadaku. Aku melawan pandangan Aqel dengan pandangan kosong. Betapa bosan hidup sebagai Aqel. Banyak gangguan dan sering kesuntukan masa.
“Sebelum awak menerima call seterusnya, baik awak habiskan nasi awak cepat,” ujarku memperingatkan. Aqel patuh. Kali ini laju suapan demi suapan dimasukkan ke dalam mulut. Aku menunang air ke dalam gelas Aqel. Persediaan awal sebelum dia tercekik. Tangan Aqel mencapai gelas ini lalu minum air kosong ini dengan rakus. Aku memerhatikan gelagat Aqel dengan perasaan simpati. Hidup Aqel tidak tenteram. 
“Alhamdulillah... akhirnya berjaya saya habiskan nasi ini sebelum iPhone ini berdering lagi,” ujar Aqel lega. Bangga bagai dia telah memenangi pertandingan. Kemudian tersandar seketika di kerusi. Aku menatap Aqel. Hidupnya sungguh menyedihkan. Di sebalik kemewahan yang dimiliki dia sentiasa bersaing dengan waktu yang sering mencemburuinya.     
“Mari...saya hantar awak balik ke rumah. Sekejap lagi saya ada urusan di luar,” jelas Aqel lalu bangkit dari kerusi. Aku bingkas bangun lantas mengekori langkah Aqel ke laman parkir. Langkah Aqel terhenti di depan kereta Honda CR-V putih model terbaru ini. Kupandang Aqel.
“Masuk...,” arah Aqel setelah daun pintu dikuak. Aku menyelinap masuk ke dalam kereta lalu duduk di kerusi penumpang sambil menunggu Aqel mengisi tempat duduk pemandu. Terdetik kehairanan di hati. Aku bukan duduk di dalam kereta Pak Long ataupun Mak Long. Kereta ini tidak pernah aku nampak sebelum ini. Mungkin Aqel baru sahaja menyewa kereta ini bagi memudahkan urusan di sini memandangkan Mak Long tidak dapat meminjamkan kereta kerana membawa mak dan Aziq bersiar-siar. Kereta Pak Long pasti berada di laman parkir Universiti Sogang. Kereta Honda CR-V mula bergerak meninggalkan perkarangan parkir. Baru sedar.
“Kereta siapa ni?” tanyaku meluahkan kemusykilan. Aku mahu jawapan yang jelas.
“Kereta kita...,” sahut Aqel bersahaja. Kupandang Aqel. Kurang jelas dengan bicara Aqel.
“Saya baru beli kereta ini,” tutur Aqel memberi penjelasan yang mudah difahami berkaitan dengan kereta ini. Oh..., perancangan Aqel tidak dapat diterima akalku! Dia beli kereta ini persis dia akan tinggal di sini sehingga memerlukan kereta untuk memudahkan pergerakannya. Padahal genap setahun baru dia muncul di sini. Mungkin ini sahaja cara Aqel hendak menggunakan duitnya yang banyak itu.
“Insya-Allah ada rezeki, saya akan lebih kerap datang sini...,” ujar Aqel menjelaskan betapa perlu ada kereta sendiri. Setiap kali berkunjung ke sini tidak perlu meminjam-minjam kereta Pak Long ataupun kereta Mak Long. Kupandang Aqel lagi. Bicaranya menarik perhatianku.
“Ada urusan kerja...,” tambah Aqel memperincikan bicaranya. Aqel akan datang ke sini lebih kerap atas urusan kerja. Aku tersenyum sendiri. Tidak mahu salah faham.
“Awak juga boleh guna kereta ini bagi memudahkan pergerakan awak kalau nak ke mana-mana,” tambah Aqel bermurah hati hendak meminjamkan kereta ini kepadaku.
“Saya lebih selesa menggunakan pengangkutan awam. Lagipun service pengangkutan awam di sini sungguh memuaskan,” ujarku jujur. Seoul merupakan salah sebuah bandar raya moden di dunia. Masih jauh meninggalkan peradaban teknologi Malaysia. Hakikat yang harus kuterima. Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain. Kekurangan ini bukan penghinaan sebaliknya mendorong kita agar berusaha memajukan negara.  
“Saya bukan pinjamkan kereta ini pada awak. Ini kereta kita. Jadi awak ada hak ke atas kereta ini. Guna dan jaga sebaik-baik,” tutur Aqel mengingatkan aku.
“Isteri kedua awak,” sahutku berbicara sendiri. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ialah isteri pertamanya. Aqel tidak pernah berubah. Dia begitu taksub terhadap kereta. Sayangnya pada kereta mengalahkan sayang pada isteri.
“Awak dah ada dua madu,” ujar Aqel tersenyum sendiri. Dahiku berkerut. Dua kali Aqel nikah tanpa pengetahuanku? Biar betul! Namun cepat aku mengerti. Peugeot RCZ Sports Coupe madu pertamaku dan Honda CR-V ini madu keduaku.
“Mungkinkah madu ketiga saya ialah Rania?” Laju sahaja ayat ini keluar dari mulutku. Aku yakin Aqel berbual-bual dengan Rania tadi. Aqel tergelak. Suka.
“Awak cemburu?” tanya Aqel dengan wajah ceria. Tiada penafian daripada Aqel untuk menyangkal bicaraku sebentar tadi. Sebaliknya dia tersenyum panjang. Aku menggeleng.
“Really?” tanya Aqel mengujiku. Tidak percaya pengakuanku.
“Kalau itu kemahuan awak, saya takde bantahan,” ulangku bersedia berkongsi suami dengan Rania.
“Hebat awak...,” puji Aqel. Dia tersenyum lagi. Kenyataanku ini pasti menyenangkan hatinya. Tiada halangan Aqel hendak merealisasikan cintanya kepada Rania. Senyap. Aku dan Aqel tidak berbicara lagi. Aqel fokus pada pemanduaan, aku pula lebih senang melontar pandangan keluar melalui cermin tingkap ini. Diam ini berpanjangan sehingga kereta Honda CR-V ini berhenti di perkarangan banglo Pak Long. Aku menolak daun pintu kereta. Tidak perlu menunggu Aqel menjemputku keluar persis menjemputku masuk tadi. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Terima kasih hantar saya balik ke rumah,” ujarku menghargai kesudian Aqel mempastikan aku selamat sampai di sini. Ucapan ini sedikit pelik didengar memandangkan aku dan Aqel sehaluan dan tinggal bersama-sama di banglo kepunyaan ibu bapanya ini. Sepatutnya, aku balik sendiri memandangkan Aqel sedang mengejar waktu dan banyak urusan saat ini. Namun Aqel masih mahu menghantarku. Terima kasih atas keprihatinan Aqel. Aku berbesar hati menerima kebaikan Aqel.
“Awak rindu Haqem?” Hasrat hendak menutup daun pintu kereta ini terhenti. Aku dan Aqel beradu pandangan. Aku diam. Aqel masih menatapku menunggu pertanyaan itu dijawab.
“Pandu kereta hati-hati,” pesanku lalu menutup perlahan daun pintu kereta. Pertanyaan Aqel tidak kujawab. Aku terus melangkah meninggalkan Aqel. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi deruan kereta yang Aqel pandu meninggalkan halaman banglo ini. Aqel ada urusan yang perlu dibereskan. 
“Assalamualaikum...,” sapaku sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Mak dan Mak Long berpaling ke pintu. Salamku disahut. Senyuman mereka menyambut kepulanganku.
“Dah jumpa Hyeon?” tanya Mak Long nampak tidak sabar mengajukan pertanyaan itu. Aku mengangguk.
“Dia yang hantar saya balik,” jelasku. Mak tersenyum.
“Mana dia?” tanya Mak Long hairan melihat Aqel tidak muncul-muncul lagi.
“Dia ada urusan sekarang,” jelasku. Kedengaran keluhan Mak Long. Tidak  suka dengan kesibukan Aqel.
“Kamu dah makan?” tanya Mak Long lagi. Aku mengangguk sekali lagi.
“Makan dengan Aqel tadi,” ujarku buat Mak Long dan mak tersenyum. Setiap masa yang diisi bersama Aqel pasti akan menggembirakan mak dan Mak Long.
“Kamu berdua patut sentiasa meluangkan masa bersama,” ujar Mak Long tidak berselindung. Tepat andaianku.
“Betul...,” sokong mak bersetuju dengan bicara Mak Long. Mak dan Mak Long akan gembira kalau banyak masaku dihabiskan bersama Aqel. Aku tersenyum sekilas. Bukan itu yang Aqel mahukan. Kalau tidak Aqel tidak akan melontar aku sejauh ini. Aku tidak akan berada di bumi Seoul ini. Aqel tidak akan menunggu masa setahun berlalu untuk bertemu denganku.
“Saya nak solat zuhur dulu. Lepas tu baru boleh berbual panjang dengan mak dan mama. Hari ini ada plan nak pergi ke mana-mana tak?” tanyaku teruja mahu melupakan hal aku dengan Aqel. Kisah hidupku dengan Aqel tidak perlu difikirkan. Biar masa yang menentukan.
“Kamu tak boleh ikut. Duduk rumah tunggu Aqel balik,” perintah mak. Aku menarik muka masam. Bicara mak tidak menggembirakanku. Bukan sebab tidak suka hendak menunggu kepulangan Aqel sebaliknya tidak mahu tinggal bersendirian di banglo ini.  Mak Long tersenyum.
“Ini saja masa kamu bersama Aqel. Pergilah solat sekarang,” ujar mak lantas mengarah aku bergerak ke bilik untuk menunaikan solat. Aku tidak membantah kata-kata mak. Kuatur langkah longlai masuk ke bilik. Nampaknya sepanjang petang ini, mungkin sehingga ke malam aku bersendirian di banglo ini menunggu kepulangan Aqel. Bosan bersendirian. Harap-harap Aqel tidak akan menderaku. Penantian itu sungguh menyeksakan.

Aku bangkit dari sofa lalu melangkah ke dapur. Kutuang segelas air kosong lalu kuteguk. Kupandang makanan yang terhidang di atas meja, menanti kepulangan Aqel. Aku melepaskan keluhan. Makanan itu sudah lama dingin. Usai mencuci gelas di singki, aku kembali ke ruang tamu menonton tv semula. Bosan. Tayangan di tv tiada yang menarik minatku. Kupandang jam di dinding. Sudah menjangkau ke pukul 9.00 malam. Aqel belum juga balik-balik. Mak, Aziq, Mak Long dan Pak Long juga belum muncul-muncul. Puas sungguh mereka bersiar-siar di sekitar bandar Seoul.
Mungkin mereka sudah meninggalkan Seoul. Esok hari Sabtu, bermakna tiada kuliah. Cuti hujung minggu ini, Pak Long dan Mak Long membawa mak dan Aziq bercuti di luar bandar raya Seoul. Aku berandaian sendiri. Sunyi sepi. Bosan sendirian di rumah. Aku dikejutkan dengan deringan iPhone di atas meja di depanku. Kucapai iPhone dan menatap nama Aziq di dada skrin. Terasa andaianku benar belaka. Mungkin Aziq menghubungiku sekadar mahu memaklumkan bahawa mereka tidak balik malam ini. Jadi tidak perlu tunggu kepulangan mereka. Lantas kujawab panggilan ini. Tidak mahu berteka-teki lagi.
“Assalamualaikum... Di mana sekarang?” Laju sahaja pertanyaan kuajukan kepada Aziq. Aziq tergelak-gelak. Suka meninggalkan aku sendirian di sini. Kejam.
“Along... kami bercuti jauh ni. Sengaja nak suruh Along dan abang Aqel berdua-duaan di rumah malam ini,” tutur Aziq mensahihkan andaianku sebentar tadi.
“Huh...,” Aku terkedu. Tidak diduga. Sukar hendak percaya.
“Sampai hati tak bawa Along...,” keluhku kecewa. Sedikit terkilan.
“Sorry... Along,” Aziq tergelak lagi. Gembira benar menderaku bersendirian di rumah ini. Aqel pun belum balik lagi. Tidak guna juga aku tinggal di sini. Sia-sia sahaja mak menyuruh aku menunggu kepulangan Aqel andai anak muda Mak Long ini juga tidak balik ke rumah malam ini.
“Mak pesan... layan abang Aqel baik-baik. Assalamualaikum...,” Kedengaran gelak Aziq dan panggilan ini terus dimatikan. Aku terkebil-kebil diperlakukan sebegini. Sedih dan geram. Belum sempat bertanya bila mereka akan balik. Di luar Seoul itu di mana. Maklumat yang Aziq beri sedikit sahaja. Tidak lengkap. Aku masih mahu berbual-bual panjang dengan Aziq. Mahu juga mendengar suara mak dan Mak Long. Mereka sepakat mahu menderaku. Kucapai remote lantas mematikan tv. Aku bingkas bangkit dari sofa lalu mengatur langkah longlai ke bilik. Aku merebahkan tubuh di atas tilam. Terkebil-kebil menatap siling dengan perasaan tidak puas hati.
“Tak patut Aqel muncul hari ini,” ujarku menyalahkan Aqel. Kalau Aqel tidak datang hari ini pasti aku sudah bersama mereka sekarang. Mak dan Mak Long tidak akan tega membiarkan aku sendirian di rumah ini. Semua ini salah Aqel. Bukan. Sepatutnya, aku meminta keizinan  daripada Aqel untuk menyertai mereka. Jikalau Aqel mengizinkan pasti mak tidak akan menghalangku pergi bercuti bersama mereka.
Aku melepaskan keluhan. Bagaimana aku hendak memohon keizinan Aqel sedangkan aku langsung tidak tahu perancangan mak dan Mak Long pada hari ini. Yang pasti mak dan Mak Long merancang semua ini. Mereka memang mahu meninggalkan aku bersama Aqel di rumah ini. Kupandang jam. Sudah melewati pukul 10.00 malam. Aku menguap beberapa kali. Mengantuk. Tidak mampu terus menunggu kepulangan Aqel. Kupejamkan mata rapat-rapat.   
Aqel duduk di atas kerusi di sisi katil itu sambil memandang ke arah gadis itu. Sudah lama dia memerhatikan gadis itu. Pandangan statik mengarah ke wajah putih bersih itu. Sepasang mata yang cantik sentiasa berkaca-kaca dengan bulu mata yang panjang melentik. Kening terukir indah, hidung mancung dan bibir kemerahan yang nipis.
“Beruntung saya memiliki isteri secantik awak,” bisik suara hati Aqel memuji gadis yang sedang lena di atas katil itu. Matanya masih merenung gadis itu.
“Cepat balik ke rumah. Lia sendirian sekarang. Dia tunggu kamu balik,” suara Puan Helda mengarahkan balik masih kedengaran. Aqel tersenyum sendiri. Gembira kalau betul kepulangannya ditunggu-tunggu gadis ini.   
    “Susah sangat nak memiliki hati awak,” keluh Aqel. Terasa ada mata sedang memerhatikan aku. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mata. Aku dan Aqel beradu pandangan. Bingkas aku bangkit dari perbaringan ini. Tersentak melihat Aqel sedang memerhatikan aku.
“Lama dah awak balik?” tanyaku. Aqel mengangguk. Kupandang jam. Sudah pukul 1.00 pagi. Kira-kira lebih sudah dua jam aku lena.
“Lama dah awak perhatikan saya tidur?” tanyaku segan. Aqel mengangguk. Tiada penafian menambah rasa seganku. Aku garu-garu kepala yang tidak gatal.
“Teringin nak lakukan banyak perkara yang boleh buat awak cemburu,” butir bicara Aqel sungguh jelas di telingaku.
“Huh...,” Aku memandang Aqel.
Kurang jelas pada bicara Aqel. Dia bingkas bangun dari kerusi lalu bergerak ke meja itu. Aqel melabuhkan duduk di situ lalu menghidupkan laptop. Sudah lewat Aqel belum mahu tidur lagi. Persis dia tidak pernah rasa letih walaupun sepanjang hari telah mengerah tenaga. 
“Awak belum mahu tidur lagi?” tanyaku.
“Banyak kerja yang perlu saya siapkan,” sahut Aqel sambil menatap laptop di depannya. Jari-jemarinya lincah menekan-nekan aksara di papan kekunci. Ada dokumen yang perlu disiapkan.
“Boleh minta tolong tak?” tanya Aqel. Dia menoleh ke arahku. Kami berpandangan.
“Minta tolong apa?” tanyaku. Jarang Aqel meminta pertolonganku.
“Tolong buat air untuk saya,” pinta Aqel tersenyum.
“Nak air apa?” tanyaku sambil bingkas bangun dari katil ini.
“Air kasih sayang ada?” Aqel tersenyum lagi. Aku menjeling Aqel. Tidak suka bicaranya.
“Air kopi panas,” pintanya lebih serius.
“Okey...,” sahutku lalu melangkah ke muka pintu. Mahu ke dapur menyiapkan secawan kopi panas untuk Aqel. Jelas Aqel mahu  berjaga malam ini. Kulontar pandangan  ke arah meja makan. Sudah tiada hidangan di situ. Aqel telah makan dan mencuci pinggan-mangkuk itu. Lega. Sempat juga Aqel menjamah hidangan malam yang kusediakan. Sebentar kemudian aku kembali masuk ke bilik bersama secawan kopi panas yang masih berasap-asap. Kuletakkan kopi ini di sisi meja di tepi tangan Aqel.
“Hati-hati air kopi ini panas,” ujarku memberi peringatan.   
“Terima kasih,” tutur Aqel tidak sempat menatapku. Pandangannya terikat pada skrin laptop di depan. Khusyuk dia menyiapkan kerja.
“Datang jauh-jauh ke sini awak masih terikat dengan kerja-kerja awak. Kalau dah tahu banyak kerja, buat apa datang sini,” keluhku janggal melihat kehidupan Aqel yang sentiasa dibebani dengan kerja yang tidak pernah habis. Aqel berpaling menatapku. Dia tersenyum. Kemudian mengalih pandangan semula ke skrin laptop. Bicaraku tidak disahut. Aku kembali membaringkan tubuh ke atas katil. Kutarik selimut menutupi tubuh. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang kelihatan leka menyelesaikan kerja. Pasti dia datang ke sini kerana mahu memenuhi permintaan Mak Long. Bukan atas kemahuan sendiri.
“Pastikan awak padamkan lampu nanti dan jangan lupa pasang lampu tidur,” pesanku mahu melelapkan mata menyambung tidur semula. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Aqel mengangguk. Tiada suaranya yang menyahut. Fokus pada kerja yang perlu diselesaikan.

AKU menatap di sebelahku. Kosong. Tiada tubuh Aqel terbaring di sini. Kulontar pandangan ke arah meja itu, tiada laptop Aqel di situ. Kupandang sekeliling bilik ini. Aqel juga tidak berada di sini. Sekeping memo merah jambu ditampal di cermin meja solek. Bingkas aku bangun lalu menghala langkah ke situ. Tulisan tangan Aqel pada memo merah jambu.

~Saya balik ke Malaysia. Tak sampai hati nak kejutkan awak. Penerbangan Seoul ke Kuala Lumpur  awal subuh ini. Saya tinggalkan kunci kereta untuk awak. Jaga diri baik-baik... Aqel ~

Aku terkedu. Sukar hendak percaya. Tergesa-gesa Aqel balik sampai tidak sempat hendak memaklumkan perkara ini kepadaku. Aqel...Aqel... Datang tidak diduga, balik tidak dijangka. Aku melepaskan keluhan panjang. Aku tidak mampu hendak menghalang kepergian Aqel. Ada perkara yang lebih mustahak berbanding terus berada di sini. Kalau tidak masakan Aqel bergegas hendak balik ke Malaysia. Tanpa diminta wajah Rania menjelma di mataku.



NamaKu Bukan Flora....98! Baru......





BAB 98

~Mac-Mei. Indah dan mempesona bumi Seoul ketika ini. Musim Bunga menjengah diri lagi. Kota-kota di Korea Selatan begitu indah. Hamparan bunga Conala yang menguning. Bunga Cherry Putih, Forsythias, Azalea yang berkembang mekar. Changgyeonggung Palace nantikan kunjunganku. Kenangan di Ilsan Lake Park @ Jinhae Cherry Blossom Tunnel pasti terpahat utuh dalam hati. Kurakamkan kenangan kunjungan ke sini bersama Mak Long dan Pak Long~. Lantas kulekat beberapa keping fotoku bersama Mak Long dan Pak Long. Aku tersenyum sendiri menatap foto ini. Mak Long dan Pak Long bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan. Satu kerugian buat kaum Hawa kerana hanya Aqel zuriat mereka. Jadi beruntunglah aku kerana menjadi pilihan Mak Long yang digandingkan dengan putera tunggalnya itu.
Rindu pada mak dan Aziq. Alangkah seronok jikalau insan yang kusayangi ada bersamaku saat ini. Aku melukis wajah emoji yang menangis sebelum menutup buku catatan merah jambu ini. Simbolik perasaan sedih kerana berjauhan dengan mereka. Rindu menebal yang terpaksa aku tanggung kerana perpisahan ini. Patutkah aku salahkan Aqel kerana merencanakan semua ini? Lantas kumasukkan pen dan gam ke dalam saku beg galas ini. Tidak mahu memikirkan persoalan yang bercambah dalam benakku.
Kupandang sekeliling, cuba mencari kelibat Pak Long. Pak Long belum kelihatan lagi. Kupandang buku catatan merah jambu ini. Lantas menyelak halaman seterusnya. Aku mengisi penantian ini dengan catatan-catatan yang tertulis di dada buku itu. Aku tersenyum sendiri. Suka duka perjalanan hidupku. Kisah Si Cinderella yang menjumpai padanan kasutnya terimbau kembali. Aku tersenyum sendiri tatkala terkenang selipur jipun berlainan warna yang tersarung di kakiku ketika menghadiri majlis hari jadi Idlan. Sebelah selipar jipun merah dan sebelah lagi hijau. Ketika itulah aku menjadi Si Cinderella apabila Aqel datang dengan sepasang kasut milikku menjadi penyelamatku. Terharu dan sebak ketika itu kerana aku sangka kasut yang menyimpan banyak kenangan itu telah tamat riwayatnya. Aku ingat aku tidak akan bertemu dengan kasut itu lagi. Tidak diduga kasut itu muncul di depanku dengan wajah yang cantik memukau pandanganku. Ihsan Aqel telah mempertemukan Si Cinderella dengan kasut itu. Aku tersenyum panjang sendirian. Kisah manis untuk diimbau kembali.     

Adam Rayyan menatap gadis yang duduk di bangku kayu itu dengan penuh minat. Setiap gerak-geri gadis itu diperhatikan dengan leka. Dia tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan. Keinginan hendak mengenali gadis itu begitu melonjak-lonjak. Sukar hendak dikawal perasaan itu. Dari sehari ke sehari dia memerhatikan gadis itu dari kejauhan. Semakin lama memerhatikan semakin hati terpaut kepada gadis itu. Tatkala sehari tidak terpandang wajah gadis itu pasti dirinya tidak keruan. Jiwa resah dan hati  tidak tenteram. Dia akan mula merindui gadis itu. Sedar bahawa dia telah jatuh cinta pada gadis itu. Gadis yang dipandang dari kejauhan. Gadis yang tidak mengenalinya.
“Adakah awak dah berpunya?” hati Adam Rayyan mendesah. Dia melepaskan keluhan. Bimbang gadis yang dipuja dalam diam sudah menjadi milik orang.
“Tengok apa?” sapa suara lelaki. Adam Rayyan tersentak. Laju dia berpaling. Lelaki bercermin mata itu sedang menatap. Kemudian turut melontar pandangan ke arah gadis itu. Sama-sama memerhatikan gadis itu. Profesor Abdullah Han mengalih pandangan ke arah pemuda ini semula. Adam Rayyan garu-garu kepala yang tidak gatal. Perlakuannya sudah dapat dikesan oleh lelaki ini. Dia tersengih. Segan.
“Kamu perhatikan gadis itu,” tanya Profesor Abdullah Han mahu kepastian. Perlahan-lahan Aqem Rayyan menggangguk. Tidak mampu menafikan mahupun berbohong lagi kerana perbuatannya sudah dikesan oleh lelaki ini.
“Jangan perhatikan anak dara orang lama-lama. Bimbang kalau buat kamu jatuh cinta padanya... susah nanti,” tegur Profesor Abdullah Han menasihati. Masih mahu berselindung tentang identiti gadis itu. Adam Rayyan masih tersenyum. Saat ini jiwanya memang sudah bergolak.
“Saya suka gadis itu, Prof,” ujar Adam Rayyan meluahkan isi hati yang sudah tidak terkawal. Berubah ekspresi wajah lelaki ini. Pengakuan pemuda ini mengejutkan.
“Kamu tak boleh suka gadis itu, malah tak boleh jatuh cinta padanya,” tegas Profesor Abdullah Han sambil menepuk-nepuk lembut bahu pemuda ini. Adam Rayyan terpana. Namun tidak sempat meminta penjelasan lanjut terhadap larangan itu, tatkala lelaki itu sudah mengatur langkah meninggalkannya. Besar mata Adam Rayyan menatap langkah Profesor Abdullah Han berhenti di depan gadis itu. Mereka berbual-bual. Dia melihat senyuman gadis itu. Kelihatan Profesor Abdullah Han mesra dengan gadis itu. Kemudian gadis itu bangkit dari bangku kayu itu. Mereka melangkah beriringan ke laman parkir. Rasa terkejut Adam Rayyan semakin memuncak tatkala menatap gadis itu menyelinap masuk ke dalam kereta lelaki itu, lalu duduk di kerusi penumpang di sebelah Profesor Abdullah Han. Adam Rayyan nampak senyuman gadis itu. Dia terkesima.

“Lia...anak gadis Prof,” Adam Rayyan berbicara sendiri.
“Kamu tak boleh suka gadis itu, malah tak boleh jatuh cinta padanya,” suara Profesor Abdullah Han berbisik di telinga. Otaknya ligat memproses larangan itu. Ada sebab lelaki itu memberi peringatan penting kepadanya.
“Mungkin juga Lia ialah isteri, Prof,” Suatu kenyataan baharu keluar dari mulut Adam Rayyan. Adam Rayyan memejamkan mata seketika. Kemudian menggeleng-geleng kepala. Sukar hendak diterima kenyataan itu. Dia kecewa. Harapannya musnah dan impiannya punah. Dia mengatur langkah longlai membawa kekecewaan. Ternyata pelamin angannya musnah.


********************************

~Musim Panas yang cerah di Korea Selatan. Aku dan Melati menghabiskan seharian hujung minggu ini di Pantai Gyeongpo di Kota Gangneung. Memijak hamparan pasir dan tidak sanggup berjemur menikmati hangat sinar matahari. Warga Korea Selatan seronok berenang di lautan nan membiru. Aku dan Melati tidak melepaskan peluang memancing dari atas perahu. Seronoknya...~
Tatkala tiba di  Cheongpyeong debaran semakin terasa. Ditambah lagi perasaan gemuruh. Kunjunganku dan Melati ke sini dengan satu misi. Mahu mencuba bungee jumping. Sukan lasak ini memerlukan orang yang berjiwa besar dan berani. Cheongpyeong River Land Bungee Jump setinggi 50 meter bakal kami tawan sebentar lagi. Kagum pemandangan alam dan air jernih dari Danau Cheongpyeong. Kutarik nafas dalam-dalam. Kemudian berpaling ke arah Melati yang sedang berusaha mengumpul kekuatan diri. Cuba memberanikan diri.
“Jangan lupa laung kuat-kuat nanti,” ujarku berpesan. Melati mengangguk. Sempat melihat dia menelan liur.
“Saya pejam mata,” ujar Melati bagai tidak sanggup melalui detik awal penerjunan.
“Saya pun akan pejam mata,” jelasku. Belum ada keberanian mahu menyaksikan detik jatuh tubuh ini ke bawah sebelum terbuai di awangan. Kemudian tubuh terlontar ke atas semula.
“Are you ready?” tanya lelaki Korea yang berdiri di sebelahku sebelum aksi melompat bermula. Satu hujung tali elastik yang dipasang di pergelangan kaki dan satu hujung tali terikat pada titik lompatan sudah siap dipasang. Aku mengangguk. Sudah bersedia. Perjuangan melawan perasaan takut. Sempat aku menitip doa agar detik yang mendebarkan ini berjalan lancar dan tidak ada musibah yang menimpa. Mulut Melati juga terkumat-kamit bermunajat.
“Fighting....Malaysia Boleh...!” laungku. Serentak aku membuat kiraan sampai tiga lalu terjun. Aku menjerit sekuat hati. Bagai ada kekuatan dan keberanian tersuntik dalam diri membuatkan aku lupa hendak memejamkan mata. Regangan kuat tali ketika terjun membuatkan aku terlontar ke atas semula. Aku menjerit panjang sekuat hati. Terasa lapang dada. Bagai bebanan yang dipikul di bahu sudah terlepas. Kedengaran tepukan tangan di seberang sana meraikan kejayaanku. Aku melambai-lambai tangan ke arah mereka. Sekejap lagi giliran mereka. Pasti ada yang seram sejuk persis yang aku rasa sebentar tadi. Lelaki Korea tadi menunjukkan ibu jari ke arahku.
“Thank you...! Thank you...!” ujarku gembira. Kini giliran Melati melakukan lompatan terjun. Dia mengulangi perbuatanku tadi. Bezanya Melati memejamkan mata. Jeritan suara Melati bergema buat aku ketawa. Begitulah keadaanku tadi. Situasi yang tidak dapat dikawal.
“Ya Allah...alhamdulillah...Kita berjaya. Tahniah...,” ujar Melati teruja tatkala berjaya didaratkan di tempat penerjunan tadi. Melati mengesat air mata. Dia menangis. Lega dan gembira bercampur-baur. Aku dan Melati berpelukan. Kami telah berjaya menguji keberanian diri. Perasaan gentar sudah lenyap. Mudah-mudahan keberanian ini akan mendorong aku berhadapan dengan Aqel tanpa perasaan sangsi dan was-was.
“Seronok...seronok...seronok...,” Berpanjangan Melati meluah perasaan. Aku tersenyum. Perasaan yang sama turut menyelubungiku. Tidak pernah menduga aku memiliki keberanian sedemikian. Lantas melabuhkan duduk di bangku kayu ini. Aku dan Melati melepaskan kelegaan. Sekumpulan pemuda Korea melewati kami lantas masing-masing menunjukkan ibu jari memuji keberanianku dan Melati.
“Kamsahamnida,” ujarku dan Melati hampir serentak. Pemuda-pemuda itu tersenyum mempamer kekacakan diri mereka sambil melambai tangan. Kami membalas lambaian tangan itu. Mereka kagum dengan keberanian kami. Memandang wajah-wajah iras artis kumpulan K-POP itu lantas melontar ingatanku kepada Aqel. Wajah Aqel setanding mereka. Aku tersenyum sendiri.
“Senyum sendiri nampak. Dah terpikat pada mamat Korea,” tegur Melati mengusikku. Aku tergelak. Bukan mudah hendak jatuh cinta.
“Tak payah terpikat pada mamat Korea. Ada suami peranakan Korea pun dah cukup memeningkan,” balasku diiringi keluhan kecil.
“Suami awak peranakan Korea?” Melati terlopong menatapku. Terkejut. Aku mengangguk. Bercerita tentang Aqel banyak kali buat gadis ini terkejut.
“Ayah mertua saya orang Seoul,” jelasku.
“Wah, mesti kacak!” Melati teruja. Aku hanya senyum. Tidak mahu terlalu riak pada kesempurnaan Aqel. Lagipun yang akan dapat pujian dan sanjungan ialah Aqel. Bukan aku. Tidak mahu mengejutkan Melati sekian kali. Lantas kurahsiakan identiti ayah mertuaku. Metali mengenali Profesor Abudullah Han. Semua pelajar Malaysia di kampus mengenali lelaki ini kerana kefasihan bercakap Melayu. Mungkin ramai juga yang mengetahui bahawa Profesor Abdullah Han bernikah dengan perempuan Melayu warganegara Malaysia. Namun satu perkara orang tidak tahu bahawa lelaki itu ialah ayah mertuaku merangkap Pak Longku suami kepada kakak arwah ayah.
“Bolehlah...,” balasku. Melati mengetap bibir. Geram.
“Mukanya macam Melayukah Korea? Ada simpan gambarnya dalam dompet?” tanya Melati teruja. Aku geleng kepala. Aqel tidak pernah memberikan gambar padaku. Aku juga tidak pernah terdetik hendak memiliki gambar Aqel. Orang tidak mahu beri, tidakkan kita terhegeh-hegeh hendak meminta-minta pula. Masing-masing jual mahal.
“Ada mata, hidung, telinga, mulut...,” jelasku bercanda.
“Awak...!” Melati terjerit marah lalu menampar lenganku. Jawapan yang menyakitkan hati. Aku tergelak.
“Dia kembar Putera Sun Woo...hero Hwarang,” ujarku mahu Melati berimaginasi.
“Dia seiras wajah Moo Myung...! Wow..., kacak!” balas Melati teruja menyebut nama watak utama dalam Hwarang. Aku tahu dia peminat fanatik artis-artis negara ini. Mudah sahaja dia dapat meneka dengan tepat.
“Mereka serupa tapi tak sama...,” jelasku.
 “Wow..., untung awak ada suami kacak macam artis! Oh... Ko Dong-Man!” puji Melati sambil menyeru dengan lemah-gemalai  satu nama watak lagi yang dilakonkan oleh Park Seo Joon. Untung aku jadi isteri Aqel? Aku masih memikirkan kenyataan ini.
“Suami yang kacak ramai peminat perempuan. Tak tahulah kesetiaannya sejauh mana,” ujarku lalu bangkit dari bangku kayu ini. Terkebil-kebil Melati menatapku.
“Jom... balik,” ajakku lantas memulakan langkah. Laju Melati bangun. Dia mengejar langkahku.
“Bagaimana awak boleh nikah dengan pemuda Korea? Di mana awak jumpa? Dia rambut panjangkah pendek? Boleh kenalkan saya dengan kawan-kawannya?” Bertubi-tubi pertanyaan Melati menghujaniku. Aku hanya mempamer senyuman di bibir. Pertanyaan Melati tidak kuendahkan. Hari ini baru aku hendak bercakap tentang Aqel. Rambut Aqel pendek dan tersikat rapi. Warna keperang-perangan padan dengan kulit yang putih. Dia seorang yang kemas. Sepasang mata yang mengecil tatkala mengukir senyuman. Senyuman indah yang tidak pernah terhakis dari ingatanku. Sesiapa yang memandang Aqel pasti akan jatuh cinta. Begitu sukar Rania hendak melepaskan Aqel. Kasihan Aqel kalau dia tersedak tika ini.
~Tahniah dan Syabas buat diriku sendiri & sahabatku Melati kerana telah berjaya membuktikan keberanian diri. Kenangan yang tidak akan dilupakan.~ Kutampal gambarku bersama Melati yang sempat dirakamkan ketika berada di Cheongpyeong River Land Bungee Jump siang tadi di sebelah tulisan tanganku. Bangga. Kututup Si Merah Jambu ini lalu disorong di tepi meja. Sudah sampai masa hendak membuka buku. Masa untuk belajar.
“Banyak homework?” Aku berpaling. Mak Long berdiri di sebalik daun pintu yang sedikit terkuak. Aku menggeleng dan tersenyum.
“Masuklah mama,” pelawaku. Mak Long melangkah masuk. Lantas duduk di birai katil di sebelah meja belajar ini.
“Kuliah okey?” tanya Mak Long ingin tahu. Aku mengangguk. Tiada banyak masalah yang timbul. Pak Long banyak membantuku. Pengurusan perniagaan dan pemasaran berpadanan dengan kemampuanku. Aqel mahukan aku menghabiskan pengajian yang tertangguh suatu waktu dahulu. Barangkali juga Aqel mahu aku menceburi bidang perniagaan kelak. Aqel sudah ada perancangan terperinci untukku. Tindakan Aqel langsung tidak buat aku rasa terkongkong. Sungguh bertepatan denganku yang kurang bijak merancang masa depan sendiri.
“Habis belajar boleh buka bisnes sendiri. Boleh juga kerja dengan Hyeon,” cadang Mak Long. Aku senyum. Sedemikiankah rencana Aqel?
“Hyeon ada call atau mesej?” tanya Mak Long. Kupandang wajah Mak Long. Lambat-lambat aku menggeleng.
“Pasti dia sibuk mama,” tuturku mengerti kesibukan Aqel. Untuk diri sendiripun Aqel tiada punya waktu. Aku tidak mengharapkan Aqel akan sentiasa mengutus berita kepadaku. Namun setakat ini Aqel masih menyepikan diri. Begitu juga aku. Aku merasakan Aqel tidak berminat hendak mengetahui kehidupanku di sini.
“Banyak kerja macam mana sekalipun dia mesti tanya perkhabaran kamu,” keluh Mak Long. Aku hanya senyum. Tidak ambil hati andai Aqel terus mahu mendiamkan diri. Siapalah aku di hati Aqel. Pemuda yang gemar bermain kata-kata manis yang memikat kalbu. Tingkahlaku dan tindakan Aqel dibayangi oleh tanggungjawab terhadap keluarga. Bimbang Aqel menyukaiku kerana bayangan Flora insan yang dikasihi ada dalam diriku. Sungguh Aqel sentiasa mengelirukan aku.  
“Wah, banyak juga gambar aktor ni di sini. Handsomekan dia...,” puji Mak Long sambil menatap beberapa keping gambar Pak Seo Joon yang aku tampal pada muka depan Si Merah Jambu ini. Aku mengangguk. Ketampanan yang telah diikhtiraf dunia. Dia dicipta begitu sempurna.
“Sejak bila minat aktor ini?” tanya Mak Long mahu berkongsi cerita.
“Baru saja... sejak jejakkan kaki ke sini,” sahutku tanpa berahsia dan tertawa kecil. Lucu. Persis remaja pula yang tergila-gilakan artis K-Pop. Mak Long tersenyum lebar.
“Baguslah...,” puji Mak Long. Pasti Mak Long juga pernah memuja wajah-wajah tampan pemuda Korea. Buktinya lahir Aqel di muka bumi ini. Alhamdulillah... jodoh Mak Long dan Pak Long memang panjang. Mereka bersatu kembali setelah berpisah sekian lama.
“Muka dia seiras Hyeonkan...,” ujar Mak Long menyedari. Aku tersenyum.
“Dia bukan pelakon itu. Ini Park Seo Joon. Minat dengan pelakon ini. Suka tengok dia tersenyum. Dia memiliki senyuman yang indah. Bila senyum mata semakin kecil,” ujarku teruja bercerita pada Mak Long. Mak Long senyum.
“Maksud mama... aktor kacak yang kamu suka ini seiras Hyeon... anak muda mama...Aqel,” ujar Mak Long lebih terperinci. Aku terdiam. Timbul rasa segan.
“Tengok aktor ini  teringat pada Aqel. Wajah mereka seiras. Rasanya Aqel boleh jadi aktor Korea kan. Harap-harap kamu lebih sukakan Hyeon mama daripada aktor dalam gambar ini. Aqel pun ada senyuman indah macam Park Seo Joon,” ujar Mak Long mengusikku. Aku tersenyum tawar. Terasa panas mukaku. Malu. Namun aku cuba berlagak bersahaja.
“Simpanlah gambar aktor ini banyak-banyak supaya kamu tak lupakan Hyeon sampai bila-bila,” ujar Mak Long sambil tersenyum.
“Maksud mama... Hyeon...Aqel,” ujar Mak Long memperincikan bicara agar aku tidak tersilap lagi. Mak Long tergelak sendiri. Nampak riang hatinya.
“Jangan tidur lewat. Habis buat kerja terus tidur,” pesan Mak Long sambil bangkit dari birai katil. Kemudian berdiri di sebelahku. Mata Mak Long masih terarah pada gambar Park Seo Joon ini. Mahu sahaja aku sembunyikan buku ini daripada pandangan mata Mak Long. Namun sudah terlambat kerana wajah kacak ini sudah menjadi santapan mata Mak Long. Dia tersenyum sendiri.
“Dah mengantuk ni... nak tidur sekejap lagi. Assalamualaikum...,” ujar Mak Long lantas mengarah langkah ke pintu dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Aku menyahut salam Mak Long. Aduh..., buat malu sahaja pada Mak Long! Cepat kusimpan Si Merah Jambu ini ke dalam laci. Bimbang juga Mak Long akan membuat tafsiran yang silap. Kalau gambar aktor kacak ini sentiasa berada di depan mataku bimbang pula Mak Long ingat aku rindu pada Aqel.
  “Sampai hari ini kamu tak pernah call dan whatsApp Lia,” Puan Helda tersentak. Sungguh tidak diduga. Terasa janggal juga dengan tindakan anak mudanya ini.
“Dia pun tak pernah whatsApp saya. Jauh sekali nak call...,” tingkah Aqel tidak mahu disalahkan sepenuhnya. Puan Helda mendengus. Geram.
“Kamu ingat kamu tu handsome...ada harta, dah cukup nak ikat hati perempuan. Perempuan juga perlukan perhatian. Perasaan itu yang perlu dijaga,” ujar Puan Helda geram. Sempat menyindir Aqel. Selebihnya menasihati anak mudanya. Aqel tersenyum sendiri mendengar pujian itu.
‘Sedar juga mama anak mudanya ini handsome...,’ suara kecil Aqel berbisik nakal.
“Kamu dah sedia kehilangan Lia?” tegas Puan Helda. Aqel terdiam.
“Dah ada lelaki yang berkenan pada Lia,” jelas Puan Helda diiringi keluahan kecil. Bimbang bukan kepalang. Tidak tenang hati Puan Helda dengan diam panjang Aqel.
“Dia yang cakap pada mama?” Lontaran suara itu masih tenang menambah keresahan hati Puan Helda. Persis kenyataan yang keluar dari mulutnya tidak merisaukan pemuda itu.
“Ayah kamu yang cakap. Student ayah kamu. Lelaki hebat,” jelas Puan Helda mahu menyemarakkan api cemburu di hati Aqel. Aqel perlukan persaingan. Bungkam. Aqel menyepi lagi.
“Kalau kamu masih berdiam diri, kamu akan kehilangan Lia...dan kami takkan salahkannya,” tegas Puan Helda memberi peringatan. Sudah berpihak kepada gadis itu.
“Sebagai perempuan, mama memahami perasaan Lia,” tambah Puan Helda. Senyap. Puan Helda melepaskan keluhan. Diam Aqel tidak menyenangkan hati.
“Kamu fikirlah baik-baik. Tak payah tidur sepanjang malam ini,” arah Puan Helda geram. Aqel tergelak. Sedar perempuan ini sedang keresahan.
“Assalamualaikum...,” Puan Helda menamatkan perbualan itu. Kemudian terkocoh-kocoh melangkah ke pintu.
“Nak ke mana ni?” tanya Profesor Abdullah Han yang berselisih di muka pintu. Hairan.
“Nak ke bilik Lia. Pujuknya...,” jelas Puan Helda bergegas keluar. Tidak sempat bertentang mata dengan suaminya. Tidak mahu membuang masa. Perkara penting wajib disegerakan.
“Nak pujuk Lia?” Dahi Profesor Abdullah Han berkerut. Keliru.
“Hyeon dengan Lia bergaduh?” Profesor Abdullah Han berbicara sendiri. Dia mengimbas kembali perbualan dengan Lia beberapa hari yang lalu.
“Maaf... ayah nak tanya sesuatu?” Berhati-hati Profesor Abdullah Han menutur kata. Tidak mahu menyinggung perasaan menantu yang disenangi ini. Lia berpaling sambil tersenyum.
“Okey...ayah nak tanya apa?” Sudah bersedia menjawab pertanyaan lelaki ini.
“Adam Rayyan ada hati pada kamu?” tanya Profesor Abdullah Han dengan nada lembut. Tidak mahu perkara itu dipandang serius. Keyakinan dan kepercayaan terhadap Lia tidak pernah berkurang. Lia tersentak. Dia mengeluh kecil.
“Saya dah beri penjelasan kepadanya. Dia menerima dengan hati terbuka,” Profesor Abdullah Han tersenyum. Tiada penafian namun perkara ini sudah diselesaikan dengan baik.
“Ayah memang yakin kamu bijak menangani semua ni,” puji Profesor Abdullah Han bangga.
“Terima kasih atas keyakinan ayah,” ujar Lia berlapang dada. Dia tahu batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Apatah lagi statusnya sebagai isteri. Dia selalu mengingatkan diri tentang perkara itu.
“Tapi tak salah kalau kamu nak berkawan dengan Adam,” tambahnya. Lia senyum.
“Kekok rasanya nak berkawan dengan Adam,” ujar Lia jujur. Profesor Abdullah Han tersenyum.
“Pasti tak selesakan...,” ujar Profesor Abdullah Han memahami situasi tersebut. Lia mengangguk.
“Sayapun tak biasa dengan Adam. Tak pernahpun berbual dengannya,” jelas Lia.
“Kamu takde kawan kuliah lelaki yang rapat?” tanya Profesor Abdullah Han sedikit tersentak. Tidaklah sampai begitu dia mengehadkan pergaulan menantunya dengan kawan-kawan kuliah.
“Takde keperluan sampai nak rapat dengan mereka. Sekadar kawan kuliah yang bertukar senyuman. Lebih senang buat tugasan kumpulan dengan kawan-kawan perempuan,” sahut Lia. Profesor Abdullah Han tersenyum lagi. Tiada perkara yang perlu Aqel bimbang walaupun mereka tinggal berjauhan.
“Untunglah Hyeon ada isteri yang cantik, setia dan pandai jaga diri,” puji Profesor Abdullah Han bangga. Lia tersenyum.
“Harap-harap Hyeon akan jadi suami yang baik,” tambahnya menggantung harapan kepada anak muda itu.
“Aqel memang baik,” sahut Lia mengakui. Kebenaran itu tidak pernah dinafikan.
“Alhamdulillah...,” Profesor Abdullah Han senang hati mendengar pengakuan menantunya ini.
“Kamu yakin pada Hyeon?” tanya Profesor Abdullah Han mahu menguji. Senyap. Lia tidak terus menjawab pertanyaan itu. Dia melontar pandangan jauh-jauh.
“Maaf...perkara ini saya kurang pasti. Sungguh sukar nak memahami Aqel,” jelas Lia tidak mahu berselindung.
“Saya juga tak pasti tentang hubungan Aqel dengan Rania. Sehari sebelum berangkat ke sini saya nampak Aqel bersama gadis itu. Mereka sungguh mesra,” jelas Lia buat Profesor Abdullah Han terdiam. Kedengaran keluhan lelaki ini.
“Aqel dah melakukan yang terbaik untuk saya. Andai dia berhajat nak terus bersama gadis itu saya reda. Apa saja keputusan Aqel saya akan terima,” tutur Lia setulus hati. Kenyataan gadis ini sedikit meresahkan hati.
“Betul?” tanyanya tidak sedap hati. Lia mengangguk.
“Saya ikhlas ayah,” sahut Lia tegas dalam senyuman. Profesor Abdullah Han mengeluh. Keresahan kembali berputik. Jelas ketenangan Lia tatkala menuturkan perkara itu. Dia yakin gadis itu bersungguh-sungguh.
“Lia tak cintakan Hyeon?” Profesor Abdullah Han bersoal-jawab sendirian. Kesal pula perkara ini tidak ditanyakan pada gadis itu.
“Kalau isteri sanggup bermadu dengan perempuan lain... maksudnya... dia dah tawar hati pada suaminya...,” Profesor Abdullah Han masih berteka-teki. Cuba menjawab persoalan dalam benak.
“Boleh jadi pengorbanan isteri kerana cinta mendalam terhadap suami,” tingkah suara hatinya. Dahi Profesor Abdullah Han berkerut memikirkannya. Namun tiada jawapan yang ditemui.


Aqel menutup laptop. Kerja yang mahu diselesaikan sudah beres. Dia mencapai alat kawalan jauh lalu menekan punat radio. Suara radio perlahan mengalun lembut muzik menemani di kala kesunyian malam yang kian larut. Aqel bangkit dari kerusi lalu melangkah ke katil. Lantas menyandarkan tubuh di kepala katil. Dia melontar pandangan ke arah gambar pengantin yang tergantung di dinding bilik ini. Suara Puan Helda berlegar-legar dalam benak. Dia membaringkan tubuh di atas tilam empuk ini lalu memejamkan mata. Mahu menjemput lena. Suara merdu Fattah Amin mengalun melodi indah buat kekasih hati singgah di telinga. Bibir Aqel mula bergerak-gerak.

“Selamat malam wahai wanita terakhir...tak mungkin kutemui seindah ini...sampai bila harusku menanti...untuk kau menjadi milikku,” Sayup-sayup kedengaran suara Aqel mengiringi suara Fattah Amin pada rangkap akhir lagu itu.