Wednesday, 23 March 2016

NamaKu Bukan Flora....82


BAB 82

Sorry... saya terpaksa tinggalkan Idlan dengan awak” tutur Haqem serba salah. Aku senyum. Teruja bertemu dengan Idlan setelah lama tidak jumpa.
“Saya faham...” ujarku lalu merendahkan tubuh separas tinggi Idlan. Lantas kucubit kedua-dua belah pipi Idlan yang nampak kian berisi.
“Gembira jumpa kamu. Rindu tak dengan auntie?” tanyaku manja.
“Rindu sangat...” sahut Idlan dengan comelnya. Lantas aku dengan Idlan berpelukan. Haqem tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kemesraan yang terjalin sejak sekian lama.
“Tak payah risau. Awak pergilah sekarang” arahku tatkala iPhone Haqem berdering lagi. Namun tidak sempat diangkat oleh Haqem. Pasti Datin Sofea tidak sabar-sabar hendak bertemu dengan Haqem.
“Terima kasih, Lia” Aku mengangguk. Tahu Haqem tiada pilihan sekarang. Sepatutnya tiada halangan hendak membawa Idlan bertemu dengan Datin Sofea. Namun selalunya perkara yang berlaku di luar kehendak hati. Datin Sofea belum dapat menerima Idlan sebagai cucunya.   
“Jangan nakal-nakal tau. Nanti papa datang ambil kamu” pesan Haqem sebelum beredar pergi. Idlan mengangguk berjanji.
“Selamat jalan papa. Bye...” Haqem dan Idlan saling bertukar lambaian tangan.
“Mari kita pergi...” ajakku sambil memimpin tangan Idlan mengajaknya ke bilik operasi. Idlan mengangguk dan tersenyum lagi. Tidak sedih ditinggalkan Haqem bersamaku.
“Wah...!” Idlan terpegun menatap deretan jambangan bunga tatkala melangkah masuk ke dalam bilik ini. Persis dia berada di kedai bunga sekarang. Ada pelbagai pilihan bunga mawar segar.
Auntie nak buka kedai bunga” ujarku bergurau. Idlan tersenyum. Matanya masih menatap jambangan bunga yang tersusun di tepi dinding. Sudah tiada tempat yang sesuai hendak menyimpan bunga-bunga ini. Aqel sangat bermurah hati menghantar jambangan bunga mawar segar pada setiap hari. Sekarang aku sudah ada koleksi pelbagai warna bunga mawar segar. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam hidupku. Bersungguh-sungguh Aqel mahu memikat hatiku. Aku keliru. Ada perkara yang belum jelas.
“Nak duduk di mana? Di sofa ini atau di kerusi itu?” tanyaku menunding jari ke arah kerusi itu, meminta Idlan membuat pilihan demi keselesaannya. Pertemuaan Haqem dengan Datin Sofea pasti mengambil masa yang panjang.
“Duduk di sini saja. Mama boleh buat kerja mama. Saya pun nak siapkan kerja yang cikgu beri di sekolah tadi” ujar Idlan memutuskan mahu duduk di sofa ini.
“Bagusnya budak ini” pujiku. Aku mengusap-usap kepala Idlan. Dia tersenyum lebar.
“Kenapa papa tak bawa saya jumpa nenek?” tanya Idlan. Aku terdiam seketika.
“Papa sangat sayang pada Idlan. Dia tak mahu kamu bersedih” jelasku memujuk Idlan. Kuusap-usap kepala Idlan lagi. Datin Sofea belum bersedia menerima kehadiran Idlan. Semoga Idlan mengerti.
“Saya faham...” ujarnya dan kembali tersenyum. Aku menarik nafas lega. Idlan anak kecil yang matang melebihi usianya. Hatinya cekal. Ketabahannya luar biasa. Perjalanan hidupnya tidak seperti kanak-kanak yang lain. Dia melalui dugaan hidup yang sungguh berat. Aku kagum si kecil ini mampu melaluinya dengan tabah. Sesungguhnya Allah itu maha mengasihinya.
“Tak payah sedihlah. Kamu masih berpeluang bermanja dengan nenek. Insya-Allah peluang itu akan tiba” ujarku memberi harapan kepada Idlan. Idlan mengangguk dan tersenyum.
“Betul...betul...betul...” ujar Idlan meniru lagak si kembar Upin dan Ipin. Ketawaku dengan Idlan bersatu. Wajah Idlan kembali ceria.
“Kalau kamu nakkan apa-apa cakap saja pada auntie. Sekarang auntie nak buat kerja” ujarku. Idlan mengangguk. Dia mula mengeluarkan buku dan peralatan tulis dari beg sekolahnya. Aku kembali ke tempat dudukku mahu menyambung kerja semula. Senyap. Persis aku sedang bersendirian di sini. Kulontar pandangan pada Idlan yang nampak tekun menyiapkan kerja sekolahnya. Tidak merungut-rungut. Jelas bersungguh-sungguh. Kualih pandangan pada fail di depanku. Ada yang memerlukan tandatangan Aqel. Selesai Idlan menyiapkan kerja sekolahnya aku boleh mengajaknya berkunjung ke pejabat Aqel. Kutinggalkan bahagian yang perlu ditandatangani Aqel setelah semua disemak. Tiada yang silap. Semua maklumat perlu diteliti betul-betul sebelum menghadap Aqel.
“Assalamualaikum...” sapa suara lelaki memberi salam. Serentak aku dan Idlan berpaling ke pintu. Panjang umur Aqel. Baru sahaja bercadang hendak menemuinya sekarang dia sudah muncul di depan mata. Aqel tersenyum lebar melangkah masuk sambil membawa jambangan bunga mawar putih.
“Oh...kekasih hati pengarang jantung awak ada di sini!” tegur Aqel berbaur nada cemburu. Namun dia teruja menatap Idlan. Idlan senyum lantas menyalami tangan Aqel. Mesra.
“Apa khabar Uncle Aqel?” tanyanya sopan-santun. Aqel senyum.
“Baik...” Tangan Aqel mengusap kepala Idlan. Aku hanya memerhatikan gelagat kedua-duanya. Sudah lama saling mengenali. Idlan pun tidak segan-segan lagi pada Aqel. Kubiarkan Aqel meluangkan masa bersama Idlan. Aku kembali fokus pada kerjaku.
Uncle yang beri mama semua bunga ini?” tanya Idlan separuh berbisik sambil menatap jambangan mawar putih yang baru sahaja Aqel letak di atas meja. Kemudian dia menatap bunga-bunga yang disusun di tepi dinding itu. Aqel mempamer senyuman lebar sambil mengangkat-angkat kening. Bangga.
“Kamu tak boleh nak lawan uncle” Aqel mendabik dada.
“Ini tak adil” keluh Idlan lalu mengetap bibir. Geram. Aqel tergelak.
“Apa yang tak adilnya?” tanya Aqel tidak mengerti.
“Saya mana ada duit nak beli bunga banyak-banyak macam uncle” keluh Idlan kecewa. Aqel tergelak lagi. Semakin seronok hendak menyakat Idlan.
“Perempuankan suka bunga” Idlan mengeluh lagi. Dia membayangkan tindakan pemuda ini telah berjaya memikat gadis itu.
“Betul ke?” tanya Aqel teruja. Idlan mengangguk-angguk. Tidak puas hati pesaing telah bertindak jauh meninggalkannya.
“Biar uncle tengok apa yang kamu tulis ni” pinta Aqel.
“Dah siap pun...” ujar Idlan megah. Aqel mengambil buku itu dari Idlan. Lalu berlagak seorang guru memeriksanya.
“Tengok ni...ejaan tak betul” tegur Aqel.
“Mana ...eh... bukan huruf s...h...ke?” tanya Idlan sangsi. Aqel menggeleng.
“Bukan...s...y...syarikat...” tegur Aqel membetulkan. Idlan garu-garu kepala. Dipadamkan kesalahan itu. Pembetulan segera dibuat.
“Itulah kamu tinggal lama-lama di luar negara. Kurang pula baca buku Bahasa Melayu” omel Aqel meletari Idlan. Idlan menarik muka masam. Aku tersenyum sendiri memerhatikan gelagat mereka. Memang nampak serasi. Aqel bakal menjadi ayah mithali.
Uncle tinggal lama-lama di luar negara tapi tak pernah salah tulis. Bahasa Melayu uncle yang terbaik” ujar Aqel bermegah diri. Aku mencebik. Aqel tidak sudah-sudah berbangga dengan dirinya. Dia sentiasa sedar tentang kehebatan dirinya.
“Tak sudah-sudah angkat bakul sendiri” cemuhku mencelah perbualan mereka. Aqel tergelak. Dahi Idlan berkerut. Tidak faham makna peribahasa itu.
“Angkat bakul sendiri... nak bawa pergi mana?” tanya Idlan terkebil-kebil menatapku. Aku dan Aqel tergelak. Lucu.
“Parah betul anak orang puteh celup ni” kutuk Aqel. Idlan tersengih. Tidak ambil hati dengan perlian Aqel. Dia perlukan masa hendak menguasai bahasa ibunda dengan baik.
“Saya tahulah... masuk bakul angkat sendiri. Orang yang suka memuji diri sendiri macam Uncle Aqel” ujar Idlan membuat kejutan. Aqel terlopong. Aku tergelak besar. Padan muka Aqel sudah terkena tembakan Idlan. Suka sangat memperkecilkan kebolehan orang lain.
“Tadi kata tak tahu” rungut Aqel terasa dirinya telah dipermainkan oleh budak kecil ini. Idlan tersengih-sengih.
“Saja nak kenakan uncle” ujar Idlan nakal. Bingkas Aqel bangun. Lantas memaut tubuh Idlan lalu menjatuhkannya ke sofa panjang itu. Aqel terus menggeletek tubuh Idlan membuatkan budak ini menjerit-jerit geli sambil meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tidak tahan dirinya diperlakukan sedemikian.
“Ampun...ampun uncle... Janji tak buat lagi” rayu Idlan tidak berdaya. Sudah tidak tertahan dengan geletakan tangan Aqel. Aqel tidak mengendahkan rayuan itu. Suara Idlan terjerit-jerit  berpadu dengan gelak tawa Aqel memenuhi bilik ini. Pasti bunyi gelak tawa Idlan dan Aqel ini kedengaran di luar. Namun aku tidak bimbang kerana Aqel bersamaku sekarang. Seorang yang berkuasa di Syarikat KDUT ini.
“Mama...tolong saya” rayu Idlan meminta bantuan.
“Kamu tak boleh panggil isteri uncle mama” tegah Aqel.
“Nak panggil mama juga. Mama...! Mama...! Mama...!” ujar Idlan berdegil. Larangan Aqel tidak dipedulikan. Semakin galak Aqel menggeletek Idlan.
“Mama...tolong saya...!” jerit Idlan dalam tawa. Masih cuba melepaskan diri daripada pautan tangan Aqel.
“”Sudahlah tu... Bising... Saya tak boleh buat kerja” Aku bangkit dari kerusi lalu melangkah mendekati mereka. Barulah Aqel melepaskan Idlan. Idlan terus sahaja bangkit dan melarikan diri dari Aqel. Sekarang duduk jauh-jauh dari Aqel dengan sisa-sisa tawanya. Seronok bergurau dengan Aqel. Tangan Aqel giat merapikan diri. Dia menyelak rambut depan yang terjuntai ke tepi. Aku terpaku memerhatikannya.
“Tampankan saya” suara Aqel mengejutkan aku.
“Jangan nak perasanlah” tingkahku cuba melindung rasa malu setelah tingkahlakuku disedari oleh Aqel. Aqel tersengih.
“Terus-terang sajalah yang awak dah terpikat pada ketampanan saya” gesa Aqel tidak mengalah. Aku mencebik. Langsung tidak boleh dipandang dirinya.
“Awak memang suka angkat bakul sendiri” kutukku. Kedengaran gelak Idlan menyambut kutukanku. Aqel tersengih panjang. Seiras wajah aktor Korea yang dipuja ramai di serata dunia menyebabkan sukar hendak ditandingi ketampanan Aqel.
“Awak tolong tandatangan” pintaku sambil membuka helaian kertas ini. Aku menunggu Aqel menandatangani semua bahagian yang memerlukan pengesahannya. Idlan tersandar keletihan di kerusi itu selepas puas digeletek Aqel.
“Okey...siap” ujar Aqel. Aku meneliti kembali setiap helaian kertas itu. Bimbang ada bahagian yang perlukan tandatangan Aqel tetapi terlepas pandang. Mujur tiada yang tercicir.
“Terima kasih” ujarku lantas bangun dan kembali ke tempat dudukku semula. Lega. Satu tugas hari ini telah selesai.
“Nak buat apa sekarang?” tanya Aqel sambil menatapku. Kemudian mengalih pandangan ke arah Idlan. Buntu.
“Awak takde kerja nak buat?” tanyaku hairan. Tidak percaya Aqel ada masa lapang yang panjang. Setahuku Aqellah orang yang paling sibuk di syarikat ini. Jarang tengok Aqel bersenang-lenang seperti sekarang. Hidupnya dipenuhi kerja.
“Banyak...” keluhnya bosan.
“Tapi saya tak nak buat kerjalah sekarang” putus Aqel sewenangnya. Tercengang-cengang aku menatap Aqel. Tidak pernah Aqel berhenti menyiapkan kerjanya.
“Dahagalah... Marilah kita minum” ajak Aqel sambil menatapku. Aku diam. Aqel mengalih pandangan ke arah Idlan.
“Kamu dahaga tak?” tanyanya. Idlan mengangguk. Mestilah dia dahaga selepas terjerit-jerit lama tadi. Sudah kering tekaknya kerana banyak menjerit.
“Nak minum minuman sejuk?” tanya Aqel dengan ekspresi menggoda. Idlan mengangguk lagi. Aqel senyum. Dia berjaya mengajak Idlan.
My Lady... Idlan dahaga ni. Marilah kita minum” ajak Aqel.
“Marilah mama” rayu Idlan agar aku menyertai mereka. Memang aku tidak tega menolak permintaan Idlan. Aku mengangguk buat Aqel dan Idlan tersenyum. Mereka berjaya memujuk aku menyertai mereka. Idlan mendekati Aqel. Lalu Aqel memaut tangannya dan menunggu kedatanganku. Aku bangun. Kucapai beg di atas meja lantas melangkah ke arah Aqel Idlan. Aqel dan Idlan melangkah berpimpinan tangan. Aku mengekori mereka sambil tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Nampak comel.
“Coklat ais ini untuk kamu, jus epal hijau untuk mama dan jus oren ini untuk papa” ujar Aqel sambil menghidangkan minuman yang baru sahaja dipesan di kaunter tadi. Serentak aku dan Idlan menatap Aqel. Aqel tersengih.
“Kalau isteri uncle kamu panggil mama, jadi kamu mesti panggil uncle papa” pinta Aqel. Aku terlopong menatap Aqel. Sesuka hati sahaja dia membuat permintaan. Idlan garu-garu kepala yang tidak gatal. Aqel sedang membuat permintaan kepadanya.
“Jadi saya ada dua orang papalah sekarang?” tanya Idlan bingung. Aqel mengangguk.
“Ya... tak lama lagi kamu juga ada dua orang mama” tambah Aqel buat Idlan tergamam. Kemudian dia tergelak suka.
“Sungguh Maha Pengasih Allah. Dia ambil seorang, kemudian Dia beri dua orang pula” ujar Idlan buat aku dan Aqel terdiam. Sayu dan pilu aku mendengar kata-kata Idlan. Tangan Aqel mengusap-usap kepala Idlan. Simpati kepada Idlan yang kehilangan seluruh keluarga pada usia kanak-kanak. Sungguh berat dugaan hidup si kecil ini. Mujur juga dia ada Haqem yang sungguh menyayanginya. Haqemlah yang berperanan menjadi ibu bapanya sekarang.
“Kita minum sekarang” suara Aqel memecah keheningan ini. Idlan tersenyum lalu laju menyedut coklat ais yang dipesan oleh Aqel. Aku dan Aqel juga tidak ketinggalan merasa jus yang telah dipesan tadi.
Uncle Aqel ... boleh tak kalau uncle serahkan saja mama pada Idlan dan papa” pinta Idlan buat Aqel tersedak. Aku tergamam.
“Tak kisahkan...Ramai yang suka uncle. Dari tadi saya tengok ramai kakak yang asyik pandang uncle” jelas Idlan sambil melirik ke arah pekerja-pekerja perempuan di kafe ini. Mereka kebetulan sedang menghala pandangan ke sini. Fokus mata mereka tearah kepada Aqel.
“Mestilah ramai yang suka tengok uncle sebab handsome” ujar Aqel megah. Aqel sekadar berjenaka. Tidak mahu memandang serius permintaan budak ini. Hakikatnya wajah seiras Seo Ing Guk ini memang sentiasa menjadi perhatian di mana-mana sahaja. Aqel sudah terbiasa dengan situasi sedemikian.
“Papa Idlan pun handsome juga” pujiku. Sengal sudah mendengar Aqel berbangga dengan wajahnya. Persis dirinya seorang sahaja yang dicipta dengan sempurna.
“Emm...emm...” Aqel berdehem-dehem sambil menjelingku. Tidak suka Haqem dipuji.
“Betul auntie?” tanya Idlan tersenyum. Aku mengangguk. Haqem pun tiada kurangnya. Dia ramai peminat. Malah ada peminat fanatik ketika di universiti dahulu.
“Yelah... papa pun handsome juga” ujar Idlan berbangga dengan Haqem sambil tersenyum lebar. Haqem memang saingan Aqel.
“Papa yang ini lagi handsome” ujar Aqel sambil meletakkan telapak tangan di dada. Cuba mengalih pujian itu kepadanya. Idlan menggeleng-geleng. Aku tergelak.
“Geez...” Aqel menjeling Idlan. Tidak puas hati Idlan tidak mengakui ketampanan dirinya yang dibangga-banggakan selama ini.
“Yang ini isteri saya dan ini anak kami” Tiba-tiba sahaja Aqel bersuara memperkenalkan aku dan Idlan kepada pekerja yang sedang mengelap meja di sebelah kami. Salah seorang yang mencuri pandang ke arah Aqel. Aku terlopong dan terkebil-kebil menatap Aqel yang tersengih. Aqel buang tabiat hari ini.
“Cantik isteri encik. Anak encik pun comel” puji gadis itu. Aqel mengangguk-angguk dan tersenyum bangga. Begitu juga Idlan. Hanya aku sahaja yang berlagak biasa.
“Saya pun handsomekan...” uajr Aqel minta dipuji. Besar anak mataku menatap Aqel. Gadis ini mengangguk dan memandang ke arahku. Laju dia beredar pergi. Bimbang aku akan menyerangnya. Berbakul-bakul pujian ditujukan kepada Aqel pun aku tidak kisah. Kebenaran itu tidak dapat disembunyikan. Aqel memang tampan.
Uncle ni memang suka angkat bakul sendiri” kutuk Idlan. Sudah bosan mendengar Aqel memuji diri. Aku dan Aqel tergelak. Peribahasa popular hari ini. Ditambah dengan pertandingan siapa yang paling tampan.
“Sebenarnya... memang pun uncle handsome. Ini yang buat saya risau ni” ujar Idlan mengakui ketampanan Aqel. Mekar senyuman dan bibir Aqel. Bertambah bangga mendapat pujian Idlan. Akhirnya Aqel dapat mendengar sendiri pengakuan Idlan terhadap ketampanannya.
“Tak payahlah risau. Bila kamu besar nanti lagi handsome kalah Uncle Aqel” ujarku menyenangkan hati Idlan. Aqel mengangguk menyokong bicaraku.
“Saya risau mama akan jatuh cinta pada Uncle Aqel” ujar Idlan buat aku terpana. Aqel tersenyum sambil menatapku.
“Saya tak nak kalah...” ujar Idlan bimbang. Besar anak mataku menatap Aqel. Laju sahaja Aqel menyembunyikan muka berbentangkan telapak tangannya. Gerun mahu bertentang mata denganku.
“Aqel...” jeritku sekuat-kuatnya namun tersimpan di kerongkongku.

################################################ 

“Betulkah awak bertaruh dengan Idlan?” tanyaku meminta kepastian Aqel. Aqel mendiamkan diri sahaja. Nampak dirinya bersalah.
“Tak sangka tindakan awak tak matang dan sanggup bersaing dengan budak kecil” Aku mendengus kasar. Tidak puas hati dengan tindakan Aqel.
“Paling saya tak suka, saya jadi barang pertaruhan” radangku. Aqel garu-garu kepala.
“Nampak sangat awak sengaja mahu mempermainkan saya. Kata-kata awak selama ini tak boleh dipercayai. Semuanya bohong!” bentakku geram. Emosiku bergolak.
“Awak silap menilai saya. Perasaan saya pada awak memang tulus” Baru kedengaran suara Aqel setelah berdiam seketika.
“Awak ingat lagi sebab kesepuluh, mengetahui Cikgu Firdaus jatuh cinta pada awak membuatkan saya tak tenteram. Saya sakit hati melihat awak begitu baik dan mesra dengan cikgu itu. Rasa marah pada Aziq sebab selalu memadankan awak dengan Cikgu Firdaus. Tika itu barulah saya sedar bahawa saya telah jatuh cinta pada awak. Paling menyakitkan apabila saya tak mampu meluahkan perasaan saya pada awak” Lancar Aqel mengulangi ayat yang terkandung dalam sebab terakhir yang membuatkan dia bernikah denganku.
“Saya memang nak tawan hati awak... agar cinta di hati ini berbalas” ujar Aqel serius. Aku melepaskan keluhan. Bijak Aqel bermain kata-kata.
“Awak tak payah risau. Saya akan pujuk Idlan dan senangkan hatinya” janji Aqel. Aku diam. Kulontar pandanganku keluar tingkap. Cuba mengawal perasaan marah ini. 
“Apapun saya kecewa dengan tindakan awak” keluhku lalu melangkah ke pintu meninggalkan Aqel bersendirian di bilik ini. Aku merebahkan tubuh di sofa di ruang tamu ini. Kupandang sekeliling. Sunyi sepi. Hanya aku dan Aqel berada di rumah ini dengan haluan sendiri.
“Betulkah lelaki yang jatuh cinta akan bersikap kebudak-budakan?” Aku berbicara sendiri. Tersenyum sinis mengenang sikap Aqel. Kupejamkan mata rapat-rapat. Mahu mengundang lena. Mahu mengelak bertentang mata dengan Aqel di saat kemarahan masih membara. Cuba mengelak bergaduh dengan Aqel. Akhirnya aku terlena.
Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mataku. Samar-samar aku nampak jarum jam yang panjang dan pendek tepat-tepat menunjuk ke angka 12. Sudah pukul 12 tengah malam. Aku terpaku. Lama aku tertidur di sofa ini.
“Lama saya tunggu awak tadi” suara Aqel mengejutkan aku. Aku mendongak. Aqel duduk di sofa di sebelah ini. Pasti sudah lama dia duduk di situ sambil puas memerhatikan aku tidur nyenyak di sofa ini. Aku tidak berganjak dari perbaringan ini. Aqel pula masih duduk di situ dan tidak mengalih pandangannya dariku.
“Saya bukan bertaruh dengan Idlan tapi sebenarnya bersaing dengan Haqem” suara Aqel memecah keheningan lewat malam ini. Aku tidak teruja jika benar Aqel dan Haqem bersaing hendak memilikiku. Menyelinap perasaan bimbang dalam diri ini. Aku tidak mahu persahabatan mereka berantakan kerana aku. Aku mendiamkan diri. Lebih baik tidak berkata-kata ketika ini.
“Saya dan Haqem ada kelebihan tersendiri dalam persaingan ini” tambah Aqel. Aqel tersenyum sendiri. Tidak menduga kisah cintanya akan terencana sedemikian rupa.
“Haqem ada kelebihan sebab ada Idlan. Namun Idlan mahukan persaingan yang adil. Dia berjanji akan mempastikan Haqem takkan menggunakan dirinya untuk memiliki awak kembali”. Aku mendengar Aqel berbicara.
“Kelebihan yang saya ada, awak ialah isteri saya. Secara logiknya, saya dah menang dalam persaingan ini kerana saya telah memiliki awak. Namun saya tak mahu memiliki awak tanpa cinta awak. Saya mahu awak ada perasaan pada saya. Perasaan cinta seorang kekasih kepada kekasihnya dan cinta seorang isteri kepada suaminya” ujar Aqel serius. Aku memejamkan mata. Aku tidak suka  persaingan ini. Aku benci membuat keputusan yang akan melukai hati orang lain.
“Awak ialah perempuan yang dicintai oleh dua orang lelaki yang bersahabat baik. Mereka mahukan yang terbaik buat awak dan saya tak pernah anggap awak barang taruhan. Saya nak awak hidup bahagia” ujar Aqel. Aku tetap mendiamkan diri.
“Kalau awak lapar ada makanan di atas meja. Pergilah makan. Sila tidur di bilik. Hari ini saya tak bertenaga nak angkat awak ke bilik. Saya nak tidur. Letih sangat hari ini” ujar Aqel. Dalam serius sempat juga dia menyelit jenaka. Aqel bangun dan melangkah meninggalkan aku bersendirian di ruang tamu ini. Lama juga aku terbaring di sini memikirkan bicara Aqel sebentar tadi. Aku tidak sempat menatap wajah Aqel. Namun dari nada suaranya dapat aku rasakan Aqel tidak gembira saat ini.
Bingkas aku bangun dari perbaringanku. Aku ke dapur. Ada makanan di atas meja seperti yang Aqel katakan tadi. Dia makan di luar hari ini kerana aku tidak menyediakan makanan untuknya. Lama aku tidur. Aqel juga tidak mahu mengejutkan aku. Aku melepaskan keluhan. Kasihan Aqel mesti dia lapar tadi. Kupandang makanan yang dibeli Aqel untukku. Tiada selera hendak makan selewat ini. Kubiarkan sahaja makanan di atas meja itu. Aku meninggalkan dapur lalu melangkah longlai ke bilik. Daun pintu kutolak perlahan-lahan. Aku melangkah masuk. Sunyi sepi. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Cepat Aqel tidur. Dia sedang kepenatan.
Aku merebahkan tubuh ke atas tilam empuk ini. Baru teringat pada iPhoneku, bingkas aku bangun. Mungkin mak ada menghubungiku. Kucapai beg galas yang terletak di atas almari solek lalu mengeluarkan iPhone. Lega. Tiada rekod panggilan yang tidak dijawab. Bermakna sepanjang aku tidur tadi tiada sesiapa menghubungiku. Namun ada lima mesej baru yang belum kubaca. Aku kembali berbaring di katil. Laju jariku memaparkan mesej itu. Semua mesej daripada Aqel.
~Maafkan saya sebab buat awak marah. Saya belanja awak makan di luar malam ini sebagai permohonan maaf saya. Awak sudikan~ Mesej pertama Aqel yang dihantar pada pukul 05.30 petang. Ketika ini Aqel bersendirian di bilik. Aku pula sedang berbaring di ruang tamu. iPhone ini tertinggal di bilik dan masih tersimpan di dalam beg galasku.
~Awak tidur lagi? Saya dah sampai di restoran kesukaan awak. Sebelum keluar tadi tak sampai hati nak kejutkan awak~ Mesej kedua dihantar pada pukul 08.35 malam.
~ Bangun...!!! Saya dah pesan semua makanan kegemaran awak. Awak mesti datang. Saya tunggu awak di sini~ Mesej ketiga pada pukul 09.15 malam.
~Makanan kegemaran awak sudah terhidang. Rugi kalau awak tak datang. Datanglah... Saya tunggu awak di sini~ Mesej keempat yang Aqel hantar pada pukul 10. 30 malam. Aqel masih setia menungguku di situ.
~Saya masih tunggu awak~ Mesej terakhir pada pukul 11.00 malam. Bingkas aku bangun dari perbaringan ini. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang sedang tidur di sofa. Lebih tiga jam Aqel berada di restoran itu. Lama Aqel menungguku. Patutlah dia keletihan dan tidak bertenaga. Kucapai selimut lantas melangkah ke arah Aqel. Dia sedang tidur nyenyak sambil memeluk tubuh kedinginan. Kurenung wajah Aqel.
“Maafkan saya...Saya terlewat baca mesej awak...” bisikku lalu menebarkan selimut ini ke tubuh Aqel. Lantas duduk di depan Aqel. Kurenung Aqel yang sedang lena. Rasa bersalah  menyebabkan Aqel terlalu lama menungguku. Akhirnya aku tidak muncul di restoran itu. Penantian Aqel sia-sia. Pasti Aqel kecewa. Aku melepaskan keluhan yang panjang. Kesal.

Jeritan kuat jam loceng menyedarkan aku. Aku terduduk. Cepat kumatikan jeritan kuat yang membingitkan itu. Aku menggosok-gosok mataku. Berpinar-pinar pandanganku. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Aku tersentak. Aqel tidak berbaring di situ lagi. Bingkas aku turun dari katil lantas melangkah ke sofa. Selimut itu sudah dilipat kemas. Kupandang memo yang ditampal pada buku yang selalu Aqel baca. Lantas kubaca tulisan tangan Aqel itu.
~Beberapa hari ini saya berada di luar negara. Jaga diri baik-baik~ Aku terpaku membaca memo yang Aqel tinggalkan ini. Aku mengeluh. Hampa. Baru sahaja aku bercadang hendak menyediakan sarapan istimewa untuk Aqel. Mahu menebus penantian Aqel semalam. Namun Aqel tiada di sini. Aku mengatur langkah kembali ke katil. Kurebahkan tubuh ke atas tilam semula. Berhasrat mahu menyambung tidur. Perancangan hari ini terbatal.
Namun mata ini enggan tidur semula. Terkebil-kebil menatap siling sambil memikirkan perjalanan Aqel. Ke manakah destinasi Aqel sedang orang lain masih lena dibuai mimpi. Lama aku berfikir namun aku tidak dapat mengagak arah tuju Aqel hari ini. Lama terbaring aku tetap tidak dapat melelapkan mata. Bingkas aku bangun. Aku melangkah ke dapur tatkala teringat makanan yang Aqel beli semalam. Kebetulan perutku kosong dan mula berkeroncong minta diisi.
Aku menatap tudung saji di atas meja. Hairan. Semalam hanya ada makanan yang Aqel beli masih tersimpan di dalam beg plastik. Mungkin Aqel telah memanaskan makanan tersebut. Seminit kemudian, aku terpandang makanan itu sudah beralih tempat. Sekarang diletakkan di singki. Mungkin telah basi. Usaha Aqel mendapatkan makanan ini bagai tidak dihargai. Tidak mustahil Aqel akan berperasaan demikian. Aku mengeluh. Dua kali mengecewakan Aqel. Kuangkat tudung saji. Aku tergamam. Hidangan sarapan yang Aqel sediakan sebelum berangkat pergi. Masih sempat dia menyediakan sarapan istimewa untukku. Sebak dan terharu menyerbu perasaan.

“Maaf...sebab buat awak tertunggu-tunggu. Maaf... sebab tak datang temankan awak makan. Maaf... sebab tak makan makanan yang awak beli semalam. Terima kasih... sebab sediakan sarapan sedap untuk saya” ujarku berbicara sendiri. Alangkah baik kalau Aqel dapat mendengarkannya. 


Wednesday, 9 March 2016

99 Mawar Merah UntukMu... 4





Bab 4

“Hussshhhh... Encik Lokman datang” tegur satu suara cuba melenyapkan kebisingan di dalam kelas yang akan bermula tidak lama lagi. Perbualan santai yang sangat rancak dalam beberapa kelompok tadi tiba-tiba sahaja lenyap. Siswa-siswi yang bertebaran di dalam kelas itu kembali di tempat duduk masing-masing. Begitu juga beberapa kelompok kecil tadi mula berpecah. Masing-masing duduk di tempat sendiri sambil melontar pandangan ke muka pintu menunggu kedatangan pensyarah. Aunie tidak mahu ketinggalan turut sama melontar pandangan ke muka pintu.
Semakin jelas kedengaran bunyi derap langkah. Aturan langkah yang tidak kemas. Mungkin  Encik Lokman berat hati hendak melaksanakan kelas toturial pagi ini.
“Bukankah lebih baik batalkan saja kelas toturial ini” getus suara hati Aunie. Dia pun rasa malas hendak menghadiri kelas ini. Namun mamanya bertegas tidak mahu dia ponteng kelas. Tiada alasan dia tidak dapat hadir ke kelas. Aunie mengetap bibir. Ketegasan mamanya tidak mampu ditewaskannya. Dia patuh sahaja. Perkara yang baik tidak harus ditentang. Semua ini berkaitan masa depannya. Mujur juga masih ada kesedaran dalam dirinya. Aunie masih melontar pandangan ke muka pintu. Menanti gerangan siapa yang muncul. Mahu mempastikan tekaannya tepat. 
“Aaaa...” Kedengaran lontaran suara teman sekelas tatkala kelibat itu berdiri di ambang pintu. Silap. Bukan Encik Lokman yang muncul. Kedengaran suara teman perempuan berbisik-bisik nakal. Terpegun. Disambut dengan cebikan sang arjuna yang iri hati. Terasa sudah ada saingan baru muncul. Mata Aunie menatap pemuda yang sedang melangkah masuk sambil menguap panjang. Nampak mengantuk sangat. Tidak cukup tidur. Pasti semalam dia menggunakan tenaga semaksimumnya untuk memenangi pertarungan. Balik ke rumah pula pada pagi subuh. Hanya sempat tidur sejam atau dua jam. Aunie berandaian sendiri.
“Orang barulah...” suara teman perempuan mengulas namun tidak diendahkannya.
“Di sebelah saya ni kosong. Awak boleh duduk d sini” pelawa Era mesra. Dia memang terkenal dengan sikap penggodanya. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan pemuda ini. Era dilewati begitu sahaja. Ada suara-suara sumbang mengutuk Era. Gadis ini hanya mempamer wajah bersahaja. Tenang dan langsung tidak terusik perasaannya. Memang sudah diketahui  Era memiliki kekebalan yang luar biasa. Sentiasa bermuka tembok. Boleh dikatakan sangat berkeyakinan tinggi.
“Saya memang tak suka lelaki sombong” tutur Era menangkis reaksi dingin pemuda itu. Helah bela diri. Aunie mendiamkan diri. Anak matanya melirik ke arah kerusi yang masih kosong di sebelahnya. Bimbang pemuda ini akan singgah di situ lalu menjadi pasangannya sepanjang berlangsung kelas ini. Era pasti tidak gembira. Laju tangannya meletakkan beg galasnya di kerusi ini sebagai isyarat tiada kekosongan.
“Boooo...” suara nakal teman sekelas memberi reaksi pada bicara Era.
 “Janganlah awak duduk di sebelah saya...” doa suara hati Aunie kerisauan. Tidak tega berdekatan dengan pemuda itu. Bagai ada musibah bakal menimpa jikalau berjiran dengannya. Era tidak akan senang dengan keadaan itu. Berdebar-debar hati Aunie ketika langkah pemuda itu semakin mendekatinya. Bagaikan nafasnya terhenti tatkala langkah pemuda itu mati di sisinya. Pemuda itu menatapnya. Tiada senyuman. Serius sahaja. Aunie mula merencana kisah yang akan menghalang pemuda ini duduk di sebelahnya. Dia tidak mengalu-alukan pemuda ini menjadi teman duduknya. Dia tidak suka.
Pandangan teman sekelas masih mengekori langkah pemuda ini. Mata Era masih fokus terarah kepada pemuda ini. Lagaknya persis sudah terpikat kepada pemuda ini. Pemuda ini meneruskan langkah setelah terpacak di sisi Aunie buat seketika. Tempat duduk bersendirian di belakang sekali menjadi pilihannya. Lega. Aunie menarik nafas panjang. Lapang dada. Doanya didengar Yang Maha Esa. Hati pemuda itu telah digerakkan agar tidak duduk di sebelahnya.
Kerusi ditarik keluar. Beg yang digalas di bahu dilepaskan di atas meja. Dia terus sahaja melabuhkan duduk di situ dengan menguap yang panjang. Rasa mengantuk yang tidak mampu dikawal lagi. Sekelip mata kepalanya sudah terlentok di atas meja. Begitu mudah terlena. Tidak menghiraukan pandangan sinis teman-teman sekelas. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah kelas toturial ini tamat. Encik Lokman membiarkan sahaja pemuda itu bermaharajalela di kelas ini. Tidurnya langsung tidak diganggu. Prinsip Encik Lokman mudah sahaja. Jikalau berminat hendak mendapatkan ilmu berikan tumpuan dan melibatkan diri dalam perbincangan. Semua sudah dewasa dan boleh fikir perkara yang terbaik untuk diri sendiri.
Aunie bangun dari tempat duduknya. Sempat dia melontar pandangan ke belakang. Pemuda itu sedang bergerak-gerak. Dia sudah terjaga. Macam tahu-tahu sahaja kelas sudah tamat. Laju sahaja tangan Aunie mencapai beg lantas memulakan langkah meninggalkan kelas. Cuba menghindarkan diri dari bertembung dengan pemuda itu.
Hari kedua berkongsi kelas toturial dengan pemuda ini lagi. Bezanya hari ini dia datang lebih awal daripada Aunie. Namun aktivitinya tetap sama. Dia masih tidur di dalam kelas. Bagai rutin kelas medan tempat melepaskan rasa mengantuknya. Hidupnya nampak mudah. Lakukan sahaja perkara yang disukai. Betul-betul dirinya bebas. Langsung tidak terikat pada norma hidup masyarakat sekeliling. Tidak perlu mengendahkan orang lain.
Usai kelas toturial hari ini. Aunie bersiap-siap hendak meninggalkan kelas. Beg galas dicapai lantas memulakan langkah. Di muka pintu langkahnya terhenti. Dia berpaling ke arah meja paling belakang di dalam kelas itu. Kosong. Pelik. Berkerut dahi Aunie memikirkannya. Dia tidak nampak pemuda itu melewatinya namun tempat duduk itu sudah kosong. Persis halimunan pemuda itu meninggalkan kelas ini. Laju langkahnya disambung kembali. Malas dia mahu memikirkan tentang pemuda itu lagi. Di benaknya dia mahu segera sampai ke Butik Selendang Kasih. Mahu berbual-bual dengan Kak Ros dan mamanya. Paling penting dapat menikmati hidangan tengah hari percuma hari ini. Itulah motifnya hendak meminta ehsan mamanya. Aunie tersenyum sendiri. Dia tahu mamanya memang suka mereka dapat makan bersama. Seronok  sekeluarga meluangkan masa makan bersama.   
Langkah Aunie terhenti. Kedengaran persis bunyi derap langkah sedang mengekorinya. Dia berpaling. Para penuntut kampus ini dengan halu tuju sendiri. Mungkin hanya mainan perasaannya sahaja. Bisik hatinya. Langkah disambung kembali. Namun masih kedengaran bunyi langkah mengekorinya. Di lorong laluan ini bunyi langkah itu semakin jelas. Aunie tidak menoleh-noleh lagi. Laju langkah diatur. Mahu segera sampai ke laman parkir. Lantaran rasa takut yang menebal Aunie berlari. Tatkala diri rasa selamat baru dia ada keberanian menoleh ke belakang dengan langkah yang tidak berhenti. Kosong. Tiada sesiapa di situ.
Pupp....! Tubuhnya berlanggar dengan seseorang. Hampir-hampir dia jatuh namun tangkas sahaja sepasang tangan itu menyambutnya. Dia mendongak wajah yang dihiasi senyuman itu. Seketika tubuhnya tersadai dalam rangkulan tangan pemuda itu. Laju Aunie bangkit. Dia berpaling semua ke belakang. Tercari-cari pemilik langkah yang mengekorinya tadi.
“Kenapa?” Pemuda ini bertanya. Aunie menatapnya. Pertanyaan itu tidak dijawab.
“Muka awak pucat? Ada orang kejar awak?” Pemuda ini bersuara lagi lalu melontar pandangan ke situ. Cuba menyiasat perkara yang berlaku. Aunie masih membisu.
“Awak jangan takut saya akan jaga dan lindungi awak. Tak ada siapa yang boleh menyakiti dan mencederakan awak” ujarnya tenang. Aunie mendengus. Bicara pemuda ini tidak buat dirinya teruja.
“Bagaimana awak boleh tiba-tiba muncul di sini?” tanya Aunie curiga. Mungkin juga pemuda ini yang mahu menakut-nakutkannya sebentar tadi. Logikkah? Bunyi langkah itu berada di belakangnya tadi. Pemuda ini pula muncul di depannya. Sepantas kilatkah dia beralih tempat? Pemuda ini tersenyum.
“Saya nak balik. Itu kereta saya. Awak nak tumpang?” tanyanya mempelawa.
Aunie mengetap bibir menatap kereta BMW hitam metalik yang pernah nyaris-nyaris melanggarnya. Arah langkah pemuda ini tidak patut diragui. Memang patut dia melalui landasan laluan ini.
“Oh... mungkin awak ingat saya yang mengekori awak tadi. Saya bukan pengecut macam itu. Kalau saya nak cari awak... saya akan muncul di depan awak” ujarnya. Dia tersenyum lagi. Tepat. Aunie setuju dengan pengakuan pemuda ini.
“Saya nak baliklah...” putus Aunie tidak mahu memikirkannya lagi. Dia melangkah meninggalkan pemuda ini. Mahu segera beredar dari situ.
“Aunie...!” Namanya dipanggil. Langkahnya terhenti. Aunie berpaling ke arah pemuda yang masih belum diketahui namanya itu. Dia tidak pernah bertanya nama pemuda itu. Tiada keperluan. Tidak terkejut juga pemuda itu mengetahui namanya. Mulut Azan yang telah membocorkan nama itu. Aunie menatapnya. Pandangan yang kurang senang.
“Awak belum ucap terima kasih lagi” ujarnya.
“Terima kasih?” Dahi Aunie berkerut. Tidak mengerti.
“Saya selamatkan awak dari jatuh tersungkur ke simen sebentar tadi” jelasnya beriya-iya menuntut penghargaan. Aunie mendengus. Pertolongan yang tidak ikhlas.
“Perlukah?” tanya Aunie sinis. Wajahnya serius. Persis dia tidak boleh berbaik dengan pemuda ini. Janggal. Tidak pernah jumpa orang yang menagih ucapan terima kasih atas sedikit bantuan yang dihulurkan.
“Ugh... buruknya perangai awak” kutuk pemuda ini. Aunie mendengus lagi. Baran hatinya mendengar kata-kata pemuda itu. Sewenang menuduhnya.
“Awak pun tak ucapkan terima kasih pada saya. Kalau saya tak sembunyikan awak tempoh hari pasti sekarang awak terlantar di katil wad. Saya yakin awak tak mampu tangkis kekuatan musuh-musuh awak tu” balas Aunie mengungkit perkara itu lantas meragui ketangkasan dirinya. Pemuda itu ketawa. Bicara Aunie menghiburkannya.
“Banding dengan awak... Perangai awak lebih buruk. Awak suka pukul orang dan cari gaduh. Sedarlah...” ujar Aunie menasihati. Pemuda itu masih tersenyum. Bicara Aunie tidak menimbulkan kemarahannya.   
“Eerrr...Malaslah nak layan orang seperti awak” rungut Aunie mendengus. Dia menyambung langkah kembali. Ditinggalkan pemuda itu terpacak di situ dengan sengihan yang menyakitkan hati.
“Tengok... awak masih tak nak berterima kasih pada saya. Tingginya ego awak!” ujar pemuda itu separuh melaung. Aunie hanya menulikan telinga. Tidak mahu melayan kerenah pemuda itu.
“Kutuk orang bukan main. Tak sedar diri. Dia pun tak reti ucap terima kasih” omel Aunie bersendirian mengungkit pertolongan yang dihulurkan kepada pemuda itu. Enjin kereta dihidupkan. Perut berkeroncong minta diisi sedangkan tekak pula terasa kering-kontang. Berbicara dengan pemuda itu menyebabkan air liurnya kering. Bukan lama pun mereka berbual tetapi meninggalkan kesan. Aunie hilang sabar mendengar kata-kata pemuda itu. Panas hatinya pula melihat ketenangan pemuda itu. Akhirnya dia terlupa tentang langkah misteri yang mengekorinya sebentar tadi. Dipandu kereta keluar dari laman parkir. Kemudian kereta bergerak perlahan memandangkan masih berada dalam kawasan kampus.
Ponnnn...! Aunie tersentak. Bunyi hon yang membingitkan telinga. Kereta BMW yang dipandu pemuda itu laju melewatinya. Aunie mengurut dada. Marahnya kepada pemuda itu kian bertambah-tambah. Pemuda itulah samseng segala samseng. Samseng kongsi gelap, samseng gaduh, samseng jalan dan yakin banyak lagi kategori samseng yang disandangnya. Kereta di parkir di hadapan Butik Selendang Kasih. Sebelum keluar dari kereta pandangannya liar memerhatikan sekeliling. Cuba menjejaki kelibat pemuda itu. Pastinya dia mahu mengelakkan pertembungan dengan pemuda itu. Pemuda itu harus dijauhi. Sungguh dia tidak selesa dengan kemunculan pemuda itu. Yakin pemuda itu tidak akan muncul di sekitar kawasan itu, Aunie melangkah keluar. Kunci kereta ditekan lantas melangkah longlai ke Butik Selendang Kasih.
“Assalamualaikum...” sapanya lemah menolak daun pintu kaca itu. Kak Ros tersenyum menyambut kedatangannya. Pekerja yang lain nampak sibuk melayan pelanggan. Dia melemparkan tubuhnya ke sofa. Tersadai lesu di situ.
“Aik... nampak tak bertenaga saja” tegur Kak Ros menilik dirinya. Aunie tersenyum sekilas. Memang tidak bertenaga saat ini. Tambahan pula hati masih membara. Dia bangkit dari sofa lalu melangkah ke anjung istirahat. Lebih selesa dan terlindung daripada pandangan pelanggan. Beg di bahu dilepaskan di atas meja. Lantas duduk di sofa yang tersedia di situ. Dikeluarkan iPhone dari saku beg galas. Tiada panggilan. Rekod simpanan kosong. Namun ada beberapa mesej yang dihantar kepadanya. Mesej daripada Azan. Tidak berminat hendak membacanya, iPhone disimpan di dalam saku beg galas itu kembali.
Hello...my pretty princess... my young lady” suara lelaki menyapanya. Laju Aunie berpaling.  Harres tersenyuman manis. Lantas tangannya singgah di bahu Aunie. Nampak mesra.
“Assalamualaikum... Encik Harres Helmi” balas Aunie dengan jelingan manja. Harres tergelak besar. Terasa dirinya disindir.
“Mana mama?” soal Aunie melilau mencari kelibat Puan Aisyah Adiba.
“Hoi... mak datin...macam ni sambut kepulangan kekanda?” tanya Harres begang. Aunie tergelak. Sengaja mahu menyakat pemuda ini.
“Selamat kembali ke tanah air abang tersayang... yang macho dan smart bangat” tutur Aunie mengusik Harres. Tangan Harres dikucup. Senyuman terukir di bibir pemuda ini.
“Suka sangat tengok sinetron di tv” perli Harres. Aunie tersenyum.
“Mana hadiah Adik?” tagihnya sambil menghalakan telapak tangan di depan Harres. Setiap kali kepulangan pemuda ini pasti ada hadiah akan diberikan untuknya. Maka perkara ini sudah menjadi kebiasaan padanya.
“Ada...dalam beg” sahut Harres.
“Betul?” Harres mengangguk. Aunie tersenyum riang.
“Mana mama?” pertanyaan itu diulang kembali. Harres jungkit bahu. Tidak tahu ke mana Puan Aisyah Adiba menghilang diri. Setibanya di Butik Selendang Kasih itu kelibat mamanya tidak kelihatan. Niat hati mahu membuat kejutan tidak menjadi. Anak mata Aunie melilau menjejaki kelibat Puan Aisyah Adiba. Kelihatan Kak Ros dan pekerja-pekerja lain sibuk melayan pelanggan.
“Laparlah... Marilah belanja Adik makan” rengek Aunie manja. Meneruskan misinya mahu makan tengah hari yang ditaja.
“Tak elok suka kikis duit orang” ujar Harres mengusik. Aunie mencebik bibir.
“Tak elok juga kalau kedekut sangat ni. Untuk perempuan lain tak kisah berhabis duit... tapi darah daging sendiri berkira pula” balas Aunie melancarkan serangan balik. Harres tergelak lagi. Langsung tidak ambil hati dengan bicara Aunie.
“Okey... okey... Along belanja” putus Harres mengalah. Aunie tersenyum.
“Bagus... Kan elok macam ni. Along ada bayar zakat tak? Tak berkat duit banyak kalau tak bayar zakat dan tak tahu bersedekah” Kali ini Aunie berkhubat pula. Besar anak mata Harres menatap Aunie. Geram.
“Mulut ustazah seorang ni memang tak berinsurans. Bercakap main hentam saja. Mestilah bayar zakat dan bersedekah. Ah... sekarang pun nak sedekah pada budak yang tak berkemampuan ni” ujar Harres sambil mendaratkan tangannya tepat-tepat di tengah-tengah kepala Aunie. Laju tangan Aunie menepisnya. Tidak senang diperlakukan sedemikian. Dia bukan budak kecil lagi hendak dibuli oleh abangnya.
“Budak ... Along kata. Eerrr... geramnya!” Gigi atas dan gigi bawah berlaga menahan perasaan geramnya. Tangannya cepat mengemaskan tudung bawal yang dipakainya. Sedikit tersasar akibat sentuhan kasar tangan Harres sebentar tadi.
“Marilah... nak balik rumah kejap lagi. Nak rehat” ujar Harres mahu menghilangkan kepenatannya berehat di rumah. Timbul rasa kasihan Aunie. Dia faham perjalanan panjang membawa beratus nyawa dengan menanggung risiko keselamatan memang memberikan tekanan hebat. Letih fizikal dan mental. Apatah lagi sejak kebelakangan ini banyak berlaku kes kemalangan udara. Mudah-mudahan setiap perjalanan yang dilalui abang kesayangannya ini akan selamat dan dilindungi Yang Maha Esa. Doa yang sering dititip di bibir Aunie.
“Kita tapau sajalah” saran Aunie mahu Harres segera berehat di rumah. Mereka beriringan meninggalkan Butik Selendang Kasih.
“Makan dulu... lepas tu baru kita balik rumah sama-sama. Tak payah merayau-rayau lagi” ujar Harres mula menunjukkan karisma seorang abang.  Aunie mengangguk setuju. Arahan abangnya tidak pernah dibantah. Dia dididik untuk patuh kepada keluarga.
Melangkah beriringan sambil berpaut mesra pada lengan Harres sudah menjadi kebiasaan membuatkan tidak siapa yang berani merenung dan menegur sapa kedua-duanya untuk menghulur salam perkenalan. Mungkin ramai yang berpendapat mereka pasangan kekasih yang sedang hangat memadu kasih asmara. Tiada siapa yang sangka Harres dan Aunie ialah adik-beradik kandung. Aunie memang manja dan rapat dengan Harres berbanding dengan Hezqal Haqimi. Pada Aunie, Along lebih lembut, tenang dan sabar melayan kerenahnya berbanding dengan Angah yang garang dan tegas seperti Puan Aisyah Adiba. Angah persis mahu mengawal perjalanan hidupnya. Ada pula pantang larang yang harus dipatuhi. Mujur juga Aunie bukan jenis yang suka memberontak dan fanatik tentang kebebasan diri. Dia masih mampu mengikut rentak hidup yang dicorak oleh keluarga untuk dirinya. Aunie percaya semua itu demi kebaikannya. Pasti keluarganya mahukan yang terbaik buat dirinya.
“Saya nak set rendang daging dan tambah dengan ikan masak lemak cili api” Harres sudah memesan menu yang hendak dimakannya. Terasa rindu pula hendak makan menu Malaysia sekembalinya dari terbang menggelingi Eropah.
“Minum encik?” tanya gadis itu sopan.
“Air kosong suam” pinta Harres. Aunie senyum. Ringkas dan mudah pilihanan Along. Tidak memeningkan kepala hendak memilih-milih. Gadis itu mencatat pesanan itu.
“Isteri encik nak makan apa?” tanya gadis ini pula.
“Apa...isteri?” Besar anak mata Aunie menatap gadis itu. Harres tergelak.
“Maaf... Saya belum jadi puan lagilah. Ini Along... abang kandung saya” ujar Aunie membetulkan tanggapan gadis itu. Harres masih tersenyum-senyum.
“Oh...maaf cik..” Gadis itu menunduk kepala rasa bersalah. Dia sudah tersilap tafsir hubungan Aunie dan Harres.
“Tak apa. Saya nak mi sizzling seafood. Biar pedas ya dan jus epal hijau” pinta Aunie dan menerima kesilapan gadis itu dengan tenang. Gadis itu berlalu. Harres masih tersenyum.
“Cuba Along tengok betul-betul muka Adik. Betulkah Adik nampak macam orang sudah kahwin?” tanyanya. Harres tergelak lagi. Tidak menduga pula bicara gadis itu begitu berkesan. Aunie sedang berfikir. Sama ada tanggapan gadis itu suatu penghormatan ataupun kekurangan pada dirinya. Usai kian berganjak membawa perubahan yang ketara pada fizikalnya.
“Tak sedap hati pula kalau orang kata Adik nampak macam isteri orang. Kedengaran agak teruk. Nampak dah berusiakah Adik ni?” tanya Aunie tidak puas hati. Harres tergelak lagi. Kerisauan Aunie mencuit hatinya. Lumrah perempuan. Sensitif.
“Adik seriuslah...” rungut Aunie tatkala bicaranya disambut dengan gelak tawa Harres. Segan dan rasa rendah diri ditertawakan oleh Harres.
“Anak gadis Profesor Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba ini sangat comel. Ramai jejaka yang menaruh hati mahu jadikan Adik isteri mereka” tutur Harres memuji. Aunie tersenyum. Bangga mendengar pujian Harres.
“Sayangnya... mereka takut nak dekati Adik sebab garang sungguh” tambah Harres. Aunie mencebik. Hipotesis abangnya ini tidak tepat. Terbayang wajah pemuda itu di matanya. Tidak semua lelaki gentar mendekatinya.
“Macam mana boleh kata Adik garang?” tanyanya ingin tahu. Harres senyum.
“Tengoklah cara Adik layan Azan” Aunie mencebik mendengar nama pemuda itu disebut. Dia jadi garang sebab Azan tidak pernah mendengar nasihatnya. Azan tidak mahu patuh pada bicaranya. Azan selalu melakukan perkara sia-sia. Dia tidak mampu menerima cinta pemuda itu. Namun Azan tidak pernah patah hati. Dia nekad dengan kata hatinya. Akhirnya Aunie jadi garang kepada Azan. Pemuda itu selalu jadi mangsa kemarahannya. Harapannya hanya satu agar Azan mencurah kasih dan cintanya kepada gadis lain.
“Makanlah... tak payah berkhayal lagi” arah Harres menyentakkannya. Makanan yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Malah Harres sudah mula menikmati rendang daging dan ikan masak cili api dengan berselera. Aunie mencapai gerpu lalu menikmati mi sizzling di pinggan. Sedap. Kombinasi ramuan yang menepati cita rasanya. Dia begitu berselera menghabiskan mi sizzling di pinggan sebagai hidangan tengah hari yang ditaja oleh Harres.
Aunie melangkah mendahului Harres yang singgah di kaunter membuat pembayaran. Dia terpacak di ambang pintu menanti kedatangan pemuda itu.
“Mari...” ajak Harres beredar dari situ. Tangannya yang baru sahaja berpaut di lengan Harres laju ditarik kembali. Harres menatapnya.
 “Kenapa?” tanyanya hairan. Aunie tersengih. Tidak mahu berterus-terang. Bimbang menjadi bahan gelak abangnya lagi. Sudah cukup dia menanggung perasaan malu tadi.
“Oh...mesti tak mahu dikata jadi isteri orang ni” ujar Harres mengerti. Aunie hanya geleng-geleng kepala. Tidak mahu mengakui kenyataan itu.
“Nak beri peluang gadis-gadis mengorat Along” sahut Aunie memberi jawapan helah bela diri. Harres tersenyum.
“Baru sedar kenapa Along tak ada kekasih...sebab orang lain ingat Along dah kahwin” Bicara itu diputar balik kepada Harres.
“Hey... mengarutlah” tingkah Harres tidak setuju. Kemudian dia dan Aunie sama-sama ketawa. Mereka beriringan meninggalkan restoran itu. Belum jauh melangkah, Aunie terpandang wajah pemuda itu. Mata mereka berlaga. Aunie terus sahaja memaut tangan Harres. Pautan yang erat dan kemas.
“Aik... tak mahu jalan sendiri lagi” perli Harres.
“Di sini tak nampak gadis-gadis yang cantik untuk Along. Jadi bolehlah tumpang bermanja lagi” ujar Aunie memberi alasan. Harres menepuk kepala Aunie buat gadis itu mengaduh kecil. Kemudian Harres dan Aunie sama-sama ketawa. Pautan tangannya pada lengan Harres tidak mahu dilepaskan. Sengaja mahu mempamerkan kemesraan itu. Dia yakin pandangan pemuda itu masih mengekori mereka.