Tuesday, 28 July 2015

NamaKu Bukan Flora....73



 BAB 73

Aqel menatap kereta BMW yang baru sahaja berhenti di depan pintu utama bangunan KDUT. Tetamu yang tidak asing namun mengundang kehairanannya. Sudah sekian lama Datin Sofea tidak menjejakkan kaki ke KDUT. Sejak dia bernikah dengan Lia, Datin Sofea sudah kurang berminat hendak berkunjung ke situ. Hatinya tidak tenang. Dicapai iPhone dari saku slacknya. Nombor iPhone gadis itu ditekan. Tidak diangkat. Dicuba lagi. Perkara yang sama berulang. Daun pintu ditolak lantas Aqel mengunjurkan kaki keluar. Dia tercengat di sebelah keretanya dengan mata yang liar memandang deretan kereta yang berada di laman pakir. Kereta Waja yang dicari tidak berada di situ. Aqel masuk ke dalam kereta kembali. Dipasang tali pinggang. Sudah bersedia memulakan pemanduan. Namun hajat itu terbantut tatkala terpandang kereta Waja yang baru sahaja memasuki kawasan perkarangan firma KDUT. Gadis itu keluar dari kereta itu bersama budak lelaki.
“Idlan... Apa mereka buat di sini?” Aqel bersoal-jawab sendiri. Dahinya berkerut.
“Datin Sofea...” Nama ini pula yang tercetus di bibir Aqel. Aqel terus mematikan enjin kereta. Lantas keluar meninggalkan laman parkir. Mahu menjejaki kelibat Lia dan Idlan yang sangat mencurigakan. Dia yakin ada agenda yang telah direncana oleh mereka.
“Encik Aqel belum balik lagi?” sapa Marnie yang berpapasan dengannya di ruang lobi ini. Aqel hanya tersenyum.
“Haqem dah balik?” tanya Aqel. Marnie mengangguk.
“Sejam yang lalu Encik Haqem dah keluar tadi. Ada urusan dengan Mr. Lee” jelas Marnie bercakap tentang pergerakan bosnya. Aqel mengangguk faham.
“Awak ada nampak Flora tadi?” dikemukan pertanyaan lagi.
“Flora?” Dahi Marnie berkerut. Nama yang asing di pendengarannya. Dia tidak mengenali pemilik nama itu. Namun nama itu sering didengarnya.
“Oh... Lia! Saya tak nampak pun Lia hari ni” jelas Marnie tersengih. Baru teringat Aqel akan memanggil sahabatnya itu dengan nama tersebut.
“Okeylah... tak pe. Saya pergi cari dia sekarang” jelas Aqel lalu meninggalkan Marnie. Marnie hanya terkebil-kebil menatap langkah laju Aqel yang menghala ke bilik operasi gadis yang sedang dijejakinya itu. Hairan. Laju tangannya mencapai iPhone lalu menghubungi Lia. Namun panggilan ini tidak dijawab. Lantas ditulis pesanan ringkas buat gadis itu. Seminit kemudian pesanan itu selamat dihantar. Marnie meneruskan langkahnya ke muka pintu. Lupa tentang perlakuan pelik sepasang suami isteri itu.
Langkah Aqel mati di depan pintu itu. Diketuk beberapa kali. Sunyi. Lalu dipusing tembol pintu. Nyatanya berkunci. Dia yakin Lia dan Idlan tidak berada di dalam bilik itu. Lantas dipanjangkan langkahnya ke pejabat Haqem. Mahukan kepastian. Mungkin juga dia akan bertemu dengan Datin Sofea di situ. Bicara Marnie benar. Dari ambang pintu utama itu dia sudah nampak bilik pejabat Haqem gelap. Haqem mahupun sesiapa tidak berada di sini sekarang. Beberapa minit berlalu, Aqel masih terpacak di ambang pintu itu.
“Ke mana kalian pergi?” suara Aqel melontar pertanyaan. Benak Aqel ligat berfikir. Terdetik kebimbangan di hatinya. Risau sesuatu yang buruk menimpa Lia dan Idlan. Dia tidak mahu berlengah lagi. Lantas pencarian itu diteruskan.
Aku melawan pandangan tajam Datin Sofea sambil menggenggam erat jemari halus Idlan. Aku masih menggantung harapan yang tinggi agar Datin Sofea boleh mencuruh kasih-sayangnya pada Idlan. Berjuang sehingga ke titisan terakhir.
“Datin dah tengokkan kad-kad yang arwah tulis untuk datin” ujarku berhati-hati menutur kata. Cuba tidak mahu menghangatkan hati perempuan ini. Diam. Datin Sofea masih tidak bersuara. Hanya sekadar mempamer wajah seriusnya. Tidak pernah Datin Sofea tersenyum ikhlas kepadaku.
“Saya harap datin akan maafkan segala kesalahan dan kesilapan arwah sebagai anak. Saya mohon juga kesudian datin menerima Idlan sebagai cucu datin” tambahku berbicara.
“Kamu ni kan memang tak faham bahasa” Datin Sofea mendengus kasar. Matanya terbuka luas. Ada kemarahan yang mahu dilempiaskan. Mudah-mudahan bicara dan tingkahlaku perempuan ini tidak mengguris hati Idlan.
“Maaf datin... saya nak datin mengenali lebih rapat anak arwah. Idlan dah tak de siapa-siapa lagi di dunia ni selain datin dan Haqem. Dia dah kehilangan ibu bapa dan kakak-kakaknya” tuturku perlahan. Bimbang juga mengundang kesedihan Idlan kembali. Namun aku berusaha meraih simpati Datin Sofea buat cucu tunggalnya ini.
“Siapa kamu nak mencampuri urusan keluarga saya?” bentak Datin Sofea kasar. Hatinya langsung tidak tersentuh dengan bicaraku. Aku yakin Datin Sofea sendiri sudah membaca kad-kad yang ditulis oleh arwah. Pasti arwah ada mencurah kisah sedihnya di situ. Rasanya Haqem juga telah menceritakan kejadian tragedis yang menimpa keluarga arwah kepadanya. Cerita sedih yang perlu dikongsi bersama.
“Datin... niat saya ikhlas. Saya nak tolong Idlan dan arwah menyatukan ikatan keluarga yang terpisah sejak sekian lama. Saya yakin datin sebenarnya kesunyian. Anak-anak tak de di sisi. Tiada teman berbicara dan berkongsi cerita” ujarku memberikan andaian. Datin Sofea tergelak besar. Dia tersenyum sinis.
“Saya tak perlukan semua itu. Hidup saya tenang tanpa memikirkan orang lain. Saya tak nak hidup saya terganggu dengan adanya orang asing bersama saya. Rimas...!” bentak Datin Sofea kasar. Terasa renjatan tangan Idlan. Aku menatap wajah anak kecil ini. Dia terkedu.
“Siapa budak lelaki ini? Saya tak mengenalinya dan saya tak ingin mengenalinya” tegas Datin Sofea garang. Kugenggam erat tangan Idlan. Cuba memberi kekuatan pada dirinya agar tabah menerima kata-kata kesat Datin Sofea. Anak mata Idlan berkaca-kaca. Aku tahu hatinya hancur saat ini. Bicara Datin Sofea melukai perasaannya.
“Sampai hati datin cakap macam tu. Kasihan Idlan” keluhku kecewa. Hiba hatiku menatap kesayuan di wajah Idlan. Datin Sofea mendengus kasar. Langsung tidak terusik hatinya menatap kesedihan Idlan tika ini.
“Saya datang di sini sebab saya nak beri peringatan kepada kamu. Kalau kamu tak nak budak ni terluka lagi, berhentilah mengejar saya. Kalau kamu masih berdegil juga... kamu tanggunglah akibatnya nanti. Saya jamin budak ni akan lebih terluka. Tolong nasihatinya agar jangan berangan-angan lagi. Perkara yang terjadi akan tetap terjadi dan takkan berubah sama sekali” tegas Datin Sofea tanpa belas kasihan. Keangkuhan yang menggunung. Keegoan yang tinggi. Dia sejelas-jelasnya menyatakan bahawasanya dirinya tidak memerlukan kehadiran Idlan dalam hidupnya.
“Datin...” Aku terkedu. Tidak menduga Datin Sofea sanggup mengeluarkan bicara sedemikian di depan Idlan, anak kecil yang mengharapkan kasih-sayangnya selama ini. Cucu yang mendambakan kasih-sayang ahli keluarganya. Oh... kejam sungguh perempuan ini! Syukurlah Allah berikan aku seorang ibu yang terbaik di dunia ini! Ibu yang tidak pernah surut kasih-sayangnya pada anak-anaknya. Ibu yang sentiasa mencurah perhatian pada anak-anaknya. Hidup tabah demi zuriatnya. Tidak pernah mengalah walau dihujani pelbagai rintangan. Tetap menjadikan kehidupan yang membahagiakan bersama anak-anak.
“Ingat baik-baik apa yang saya katakan tadi” tegas Datin Sofea memberi peringatan. Lantas melewati aku dan Idlan yang terkesima mendengar bicaranya. Datin Sofea tiada kesudian memandang Idlan sedangkan pandangan mata anak kecil ini tidak beralih menatapnya. Lambat-lambat aku berpaling ke arah Idlan. Bagaikan tiada kekuatan hendak memandangnya. Aku tahu Idlan terkilan dengan sikap Datin Sofea. Cerita-cerita indah yang keluar dari mulut Idlan sepanjang perjalanan tadi hancur lebur. Tiada yang benarnya. Semuanya hanyalah impian yang tidak terlaksana.
“Kamu okey?” tanyaku dengan berat hati. Idlan menatapku dengan mulut terkunci.
“Jangan ambil hati akan kata-kata nenek kamu tadi. Dia perlukan masa. Kamu mesti sabar menunggu” ujarku menyuntik semangatnya. Aku masih memberi harapan pada Idlan. Betulkah tindakanku ini? Perasaanku berbelah-bahagi. Aku sama sekali tidak akan mengajar Idlan membenci Datin Sofea.
“Mak Usu...kejamnya nenek... Dia buat saya terluka” luah Idlan bersama deraian air matanya yang mengalir perlahan-lahan. Dia tidak mampu membendung air mata itu lagi. Aku terus sahaja memeluk tubuh Idlan cuba mendamaikan perasaannya. Namun tidak mampu menghalang tangisan Idlan yang kian kuat. Sekelip mata sahaja aku pun turut menangis.
“Maafkan... Mak Usu. Semua ini salah Mak Usu. Mak Usu tak mampu pujuk dan lembutkan hati nenek kamu. Datin Sofea memang tak sukakan Mak Usu...” tuturku dalam tangis. Aku merasakan kedegilan Datin Sofea ada kaitan denganku. Jikalau dia mudah menerima Idlan persis dia fikir dirinya tunduk padaku. Mengapalah aku tidak berfikir panjang tentang perkara ini? Bukan aku yang layak mempertemukan Idlan dengan Datin Sofea. Haqem yang harus melakukan semua ini. Sepatutnya aku menolak permintaan Idlan itu. Sepatutnya juga Idlan tidak bergantung harapan kepadaku. Sekarang semuanya telah musnah. Aku bersalah kepada Idlan.
“Memang salah awak...!” suara tegas lelaki mencelah. Serentak aku dan Idlan mendongak. Aqel serius menatap kami.
“Berhenti menangis sekarang...!” suara Aqel garang. Aku dan Idlan terkedu.
“Cepat bangun...!” arah Aqel lantang. Pelukanku pada Idlan terlerai. Aku mengetap bibir. Cuba menahan gelodak perasaan. Cukuplah dengan kemarahan Datin Sofea. Tidak sanggup lagi berhadapan dengan kemarahan Aqel pula.
“Sapu air mata tu...” arah Aqel. Aku dan Idlan patuh sahaja.  
“Sudah lewat ni. Awak hantar Idlan balik sekarang” arah Aqel lagi. Aku mengangguk. Kutarik tangan Idlan meninggalkan taman kecil di atas bumbung bangunan KDUT ini sambil diperhatikan oleh Aqel yang masih berdiri di situ. Aqel menghela nafas lega. Tiada perkara yang membimbangkan berlaku. Kemudian dia menyusuli langkah Lia dan Idlan.
Dari cermin pandang belakang ini, aku menatap kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang dipandu Aqel masih mengekori rapat kereta Waja ini. Mungkinkah Aqel meraguiku sehingga memaksa dirinya mengiringi perjalanan ini. Mak cik Tijah keluar menjemput Idlan. Tidak sempat aku hendak bertegur-sapa dengannya tatkala memandang wajah sugul Idlan. Sekadar bahasa isyarat yang kuhantar kepadanya. Mak cik Tijah mengangguk faham dan sekilas senyuman terukir di bibirnya. Aku meneruskan pemanduan balik ke rumah. Seperti tadi, Aqel masih mengekoriku. Memang Aqel mahu pulang bersamaku. Aku langsung tidak terlepas daripada pengawasan matanya.
Kupandang wajahku di cermin. Kusapu sisa-sisa air mata. Namun jelas bebola mataku kemerahan selepas berpadu tangis dengan Idlan tadi. Tidak mahu menimbulkan persoalan mak. Hatiku tersentuh lagi tatkala teringat pada Idlan. Dia memang bersedih dengan kedinginan Datin Sofea. Aku tersentak dengan ketukan jari Aqel di cermin tingkap ini. Kuturunkan cermin kereta.
“Awak tak nak keluar?” tanyanya dengan pandangan tajam merenungku. Aku terkedu.
“Suka sangat buat orang risau” ujar Aqel geram lantas meninggalkan aku menghala langkahnya ke pintu. Aku melepaskan keluhan berat. Tiada yang dapat disembunyikan daripada Aqel. Aku menolak daun pintu perlahan. Langkahku longlai. Kedengaran suara mak dan Aqel berbual-bual di dapur.
“Lia, mari minum” panggil mak mempelawa.
“Maaf... Lia nak solat dulu” sahutku menolak ajakan mak. Aku melangkah ke tangga. Mahu segera ke bilik. Lemah seluruh tubuhku. Aku melempar tubuh ke tilam. Mahu merehatkan diri seketika. Kupandang hamparan siling yang memutih. Kepiluan masih mencengkam hati.
“Saya tak perlukan semua itu. Hidup saya tenang tanpa memikirkan orang lain. Saya tak nak hidup saya terganggu dengan adanya orang asing bersama saya. Rimas...!” suara Datin Sofea mendatangiku kembali. Dia anggap Idlan orang asing. Sungguh memilukan.
“Siapa budak lelaki ini? Saya tak mengenalinya dan saya tak ingin mengenalinya” suara Datin Sofea bertindih-tindih mendatangiku. Terbayang deraian air mata Idlan yang menyayat hati. Bicara Datin Sofea melukai perasaannya. Aku memejamkan mata. Terasa hangat mengalir di pipiku. Mendengar bunyi derap langkah, pantas aku bangkit meninggalkan perbaringanku. Aku ke bilik air mengambil wuduk lalu mengerjakan solat asar. Usai melafaz salam kedua, kutadah tangan mohon hajat kepada Ilahi. Kupanjat kebahagiaan buat Idlan. Mudah-mudahan impiannya diperkenan yang Maha Esa. Aku menangis lagi. Tidak mampu membendung rawan hatiku.
“Belum cukup awak menangis tadi?” suara sinis Aqel menegur. Aqel tiba-tiba sahaja muncul di bilik ini. Dia sudah berdiri di sebelahku sedang menatapku. Aku  mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Pandangan Aqel janggal.
“Suka hati saya nak tumpahkan air mata ini sebanyak mana pun” sahut suara kecilku namun tidak mampu aku luahkan. Tersekat di kerongkong. Aqel tidak sedar betapa aku kecewa dengan sikap Datin Sofea yang terlalu kejam melayan Idlan sedemikian. Kalaupun ada dendamnya kepada arwah suami-isteri tidak bermakna dia harus melempiaskan kepada Idlan. Idlan hanyalah anak kecil yang berjiwa kental dan berhati mulia. Bersemangat waja merealisasikan impian bonda yang dikasihi. Nun jauh di sudut hatinya, Idlan hanyalah anak kecil yang manja yang dahagakan kasih- sayang dan perhatian ibu bapa dan keluarganya. Kasihan Idlan.
Kukesat sisa-sisa air mata di pipi. Kupandang Aqel. Kebetulan Aqel sedang menghala pandangan ke arahku memerhatikan tingkahlakuku. Beradu pandangan seketika. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Aqel...saya dah bersedia jadi ibu Idlan. Saya akan jaga dan layan dia seperti anak saya sendiri. Saya akan curahkan seberapa banyak kasih-sayang yang diperlukannya dan akan sentiasa berada di sisinya” tegasku. Aqel menatapku dengan pandangan kosong. Mulutnya terkunci. Tiada  kata-kata yang keluar dari mulut Aqel lagi. Keputusanku ini pasti telah mengejutkan Aqel.

Terjaga sahaja dari tidur subuh ini, Aqel tiada di sebelahku. Cadar masih kemas. Bantal tersusun. Bantal peluk statik di tengah-tengah katil. Langsung tidak bergerak dari sempadan yang ditetapkan. Barangkali Aqel tidak tidur di katil ini. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang di sudut bilik ini. Kosong. Aqel tidak berbaring di situ. Namun buku yang Aqel baca semalam masih berada di atas meja. Ke mana Aqel menghilang subuh-subuh ini? Aku tertanya-tanya. Mungkin juga sedang menemani mak di dapur menyediakan sarapan seusai solat tadi. Bingkas aku bangun mahu segera mengerjakan solat subuh.
Usai solat subuh, aku melangkah ke dapur. Kelihatan mak bersendirian di sini. Sudah menjadi rutin mak menyiapkan sarapan untuk keluarga ini sebelum kami keluar ke tempat kerja. Kuperhatikan mak yang sedang membelakangiku. Kupanjatkan kesyukuran yang berpanjangan lantaran aku dianugerahkan Allah seorang ibu mithali yang sangat hebat. Dalam banyak keadaan Haqem nampak sangat sempurna kerana memiliki segala-galanya. Namun dari kasih-sayang seorang ibu Haqem tidak seberuntung aku. Aku melepaskan keluhan berat. Simpati kepada Haqem, arwah Harianie dan Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea akan berubah menjadi ibu yang baik sebelum terlewat.
“Hey... awal kamu bangun” suara mak menyentakkanku. Kusambung langkah ke dapur.  Aku tersenyum menatap mak.
“Mak... Lia nak cakap sesuatu pada mak” tuturku buat dahi mak berkerut. Nampak pelik perangaiku awal pagi ini. Aku mendekati mak. Lantas berdiri di depan mak. Kupegang kedua-dua tangan mak erat. Cuba memindahkan kekuatan mak pada diri ini. 
“Kenapa ni?” tanya mak hairan.
“Terima kasih sebab jadi ibu Lia. Lia bersyukur kerana memiliki ibu yang penyayang seperti mak. Mak tabah dan sabar membesarkan kami bersendirian. Mak ialah ibu yang terbaik yang tiada tandingan di dunia ini. Lia sayang mak” luahku serius lantas memeluk tubuh mak. Mak mengusap-usap lembut belakangku. Sebak kurasakan tika ini.
“Suatu hari nanti saya ingin jadi ibu sebaik mak” bisikku. Mak mengangguk-angguk.
“Lia akan jadi ibu yang lebih baik dari mak” ujar mak merendah diri. Pelukanku dengan mak terpisah. Tangan mak membelai lembut rambutku. Mak tersenyum.
“Kenapa ni?” tanya mak sangsi dengan tingkahlaku. Aku senyum dan geleng kepala.
“Ada yang tak kena?” duga mak.
“Di luar sana ramai anak yang tak dapat kasih sayang ibunya. Betapa beruntung hidup Lia yang dilimpahi kasih sayang mak dan ada keluarga yang prihatin, sentiasa memberi sokongan” tuturku jujur.
 “Alhamdulillah... keluarga kita dilimpahi kasih sayang” tutur mak tersenyum.
“Syukur...” tambahku. Harta kekayaan tidak menjamin kebahagiaan di dunia. Sebaliknya kasih sayang memberi kekuatan kepada kita untuk hidup lebih senang dan bahagia.

*****************************************************

“Last minute saya tempahan tiket Encik Aqel ke Paris. Mujur juga sempat” ujar Marnie berkongsi cerita. Aku hanya mendengarkannya. Maklumat daripada Marnie ini telah menjelaskan kehilangan Aqel subuh tadi. Ada masanya Aqel bagai biskut chipmore. Sekejap ada sekejap hilang. Tiada yang menghairankan perkara ini.
“Awak janganlah marah sebab ditinggalkan Encik Aqel. Jangan manja sangat. Aqel pergi sekejap saja” ujar Marnie tersengih mengusikku. Aku mempamerkan wajah kosongku.
“Semuanya tak dirancang. Encik Aqel terpaksa menggantikan Encik Haqem yang ada hal kecemasan. Dengar-dengar anak arwah kakaknya yang di bawah jagaannya sakit” jelas Marnie panjang lebar. Aku tersentak. Mula tidak tenteram.
“Idlan sakit?” tanyaku meminta penjelasan. Marnie mengangguk.
“Oh... baru saya ingat. Budak tu manja dengan awakkan” tambah Marnie.
“Serius ke?” tanyaku cemas.
“Kalau Encik Haqem dah batal perjalanan dia pasti demam budak tu teruk” ujar Marnie membuat tafsiran sekali gus menambah kerisauanku. Aku terpaku. Benakku menerawang memikirkan Idlan. Aku rasa bersalah. Idlan sakit kerana kegagalanku. Hasrat Idlan tidak tercapai. Kecewa yang mendalam yang tidak mampu ditanggungnya. Akhirnya Idlan jatuh sakit. Laju sahaja tanganku mencapai iPhone lantas membuat panggilan. Marnie hanya memerhatikan gelagatku.
“Assalamualaikum...” sapaku tatkala mendengar suara Haqem menjawab panggilan. Salamku bersambut.
“Apa hal, Lia?” tanya Haqem. Mudah sahaja Haqem mengenali suaraku. Mungkin juga nombor telefonku tidak pernah dipadamkan oleh Haqem.
“Bagaimana keadaan Idlan sekarang? Serius ke?” tanyaku cemas.
“Idlan dirawat di Hospital Damai sekarang” jelas Haqem. Aku terpana. Rawan hatiku mendengarkannya. Kasihan Idlan.
“Saya pergi ke sana sekarang” jelasku lantas bangkit dari kerusi ini. Marnie terkebil-kebil menatapku. Kumatikan perbualanku dengan Haqem. Tidak mahu berlengah lagi.
“Nak pergi mana?” tanyanya hairan.
“Ke hospital jenguk Idlan. Saya ambil cuti hari ni” jelasku. Aku mahu bersama Idlan.
“Awak nak ikut sekali?” tanyaku. Marnie menggeleng.
“Saya kena jaga office ni.Takde sesiapa di sini sekarang” jelas Marnie.
“Okey... awak tunggu di sini. Biar saya seorang yang pergi” ujarku bersetuju dengan bicara Marnie. Marnie mengangguk.
“Saya pergi dulu” ujarku lalu mempercepatkan langkah ke pintu. Mahu segera sampai ke Hospital Damai. Tidak sabar-sabar hendak mengetahui keadaan Idlan. Mudah-mudahan demam Idlan tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Alhamdulillah...perjalanan ke hospital lancar. Tiada berlaku kesesakan di jalan raya kerana waktu pejabat sudah bermula. Seusai memakir kereta, aku terus menuju ke lif. Tidak perlu ke kaunter pertanyaan lagi kerana Haqem telah memberikan maklumat lengkap daripada whatsApp yang kuterima dalam perjalanan ke sini. Aku terus mengunjungi bilik yang menempatkan Idlan menerima rawatan. Kutolak daun pintu perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu Idlan berehat. Idlan perlukan rehat yang cukup. Tatkala aku melangkah masuk, Haqem ada di sini menjaga Idlan. Dia tersenyum.
“Bagaimana keadaan Idlan?” tanyaku berbisik.
“Deman panas yang serius. Suhu badan masih membimbangkan” jelas Haqem. Wajahnya muram. Keadaan Idlan merisaukan dirinya.
“Idlan akan cepat sembuh. Dia cukup kuat melawan setiap dugaan. Awak janganlah susah hati” ujarku menenangkan hati Haqem. Haqem mengangguk.
“Awak dah letih...berehatlah. Biar saya yang tolong jaga Idlan. Hari ini saya ambil cuti” jelasku. Haqem menatapku. Aku senyum. Sekurang-kurangnya senyuman ini boleh mengurangkan ketegangan saat ini. Berharap Haqem akan tenang setenangnya.
“Saya tak sedap hati kalau tak nampak sendiri keadaan Idlan” ujarku tidak mahu Haqem salah tafsiran. Idlan sakit kerana terpukul dengan sikap Datin Sofea. Aku tidak mampu menawan hati Datin Sofea. Kebencian Datin Sofea kepadaku begitu tebal. Aku bertanggungjawab dalam hal ini.
“Terima kasih kerana datang” ujar Haqem.
“Saya takkan biarkan awak bersendirian menghadapi kesukaran ni. Idlan perlukan sokongan” jelasku. Aku mengerti. Selain rapat dengan Haqem dan Mak Tijah, Idlan juga rapat denganku. Aku mahu menyembuhkan Haqem dengan keprihatinanku.
“Awak baliklah ke rumah berehat. Biar saya yang jaga Idlan di sini. Kita boleh bergilir-gilir jaga Idlan” ujarku. Aku bangkit lalu berdiri di sebelah Haqem. Sudah bersedia hendak mengambil alih posisi Haqem di sisi katil dekat dengan Idlan. Mahu mengawasi perkembangan Idlan.
“Okey... saya ke pejabat dulu. Balik dari sana saya akan terus singgah di sini” ujar Haqem tidak bertenaga. Kupandang Haqem.
“Awak tak nak balik rumah berehat?” tanyaku. Haqem perlukan rehat setelah sepanjang malam berjaga mengawasi Idlan. Dia juga perlu menjaga kesihatannya demi Idlan. Dalam usia kecil sekarang Idlan bergantung hidup sepenuhnya kepada Haqem.
 “Ada dokumen yang perlukan tindakan segera” jelas Haqem. Aku mengangguk. Tiada hak aku hendak menghalangnya ke pejabat jika sedemikian sudah keputusan Haqem. Haqem mahupun Aqel, kedua-duanya memberikan komitmen yang tinggi pada kerjaya mereka. Aqel... sudah sampaikah dia ke destinasi yang dituju? Fikiranku melayang mengingati Aqel.
“Saya pergi dulu...” Aku sedikit tersentak. Namun cepat aku mengangguk.
“Kalau ada apa-apa yang membimbangkan jangan lupa call saya” pesan Haqem. Aku mengangguk berjanji.
“Awak selesaikanlah kerja awak. Awak tak payah risau, saya akan jaga Idlan sebaik mungkin” janjiku cuba menghilangkan kerisauan Haqem. Dia menggangguk dan tersenyum.
“Saya tak pernah meragui awak. Saya tahu awak akan buat lebih baik daripada saya” tutur Haqem yakin. Aku hanya senyum. Keyakinan dan kepercayaan Haqem kepadaku sangat aku hargai.
“Saya pergi sekarang” jelas Haqem.
“Ya...hati-hati” pesanku mengingatkan dirinya. Haqem mengangguk dan tersenyum. Dia terus melangkah ke pintu. Sekejap sahaja kelibat Haqem hilang dari pandangan mata.
Kini... tinggallah aku dengan Idlan berdua di bilik ini. Sunyi dan sepi. Kupandang lama wajah Idlan. Pucat lesu. Idlan mengerang. Nampak dia sedang menanggung kesakitan. Hiba dan sebak kurasa tika ini. Kudakap tanganku di dahi Idlan. Panas membahang. Kucapai besen kecil berdekatan denganku. Masih ada tuala kecil bersama air yang sudah dingin. Lantas kuangkat ke sink. Kubilas bersih-bersih tuala kecil ini. Kumasukkan air ke dalam besen lalu mendapatkan air panas pada bekas air di atas meja kecil ini. Kucampur air di dalam besan dengan air panas mendidih dari bekas ini. Mahu menjadikan air suam untuk mengelap dahi Idlan. Kekerapan mengelap akan mengurangkan suhu panas badan Idlan.
Setelah berpuas hati dengan tahap suhu air yang kucampur di dalam besen kecil ini, aku mendekati Idlan yang terlantar di katil ini. Kuletak besen ini di sebelah Idlan. Tidak mahu berlengah, aku terus mengelap dahi Idlan. Berulang-ulang. Akhirnya kuletakkan tuala kecil yang basah ini di dahi Idlan. Kini baru nampak Idlan selesa. Kuusap-usap lembut kepalanya.
“Ya...Allah, Engkau sejahterakanlah kehidupan budak lelaki ini. Perkenankanlah hasratnya untuk menjadi cucu yang terbaik” bisikku melafaz munajat. Kulepaskan keluhan. Aku memang berharap hati Datin Sofea akan terbuka untuk menerima kehadiran Idlan dalam hidupnya. Kurenung lama wajah Idlan. Terasa panas mengalir di pipiku. Cepat kukesat. Terlalu hebat ujian hidup Idlan dalam usia sekecil ini. Sungguh Allah sangat mengasihinya sehingga sedemikian berat ujian yang diberikanNya.
Kedengaran bunyi daun pintu ditolak perlahan. Laju aku berpaling ke pintu. Mak Tijah melangkah masuk sambil melempar senyuman kepadaku. Aku menyalami Mak Tijah yang sudah berdiri di sebelahku.
“Bagaimana dengan Idlan?” tanyanya dengan suara perlahan.
“Sejak tadi belum bangun-bangun lagi” jelasku. Mak Tijah meletakkan tangannya ke atas dahi Idlan. Menyukat suhu badan Idlan.
“Dah kurang sedikit berbanding semalam” ceritanya.
“Kamu lap tubuhnya tadi?” tanya Mak Tijah. Aku mengangguk.
“Patutlah ada kurang panasnya. Kamu memang baik hati, Lia. Terima kasih” ujar Mak Tijah menyanjungiku. Aku menggeleng.
“Ubat yang doktor beri itu juga berkesan” tingkahku. Bimbang tafsiran Mak Tijah silap. Mak Tijah tersenyum.
“Kamu memang baik hati. Sentiasa merendah diri” sanjung Mak Tijah lagi. Segan mendengar bicara Mak Tijah sedemikian.
“Kamu pergilah berehat. Biar mak cik yang jaga Idlan” arah Mak Tijah. Kutatap jam tanganku. Sudah menghampiri ke pukul 1.00 petang. Masa terlalu cepat berlalu. Bagaikan baru sekejap sahaja aku berada di bilik ini.
“Okeylah... mak cik, saya balik dulu. Dah masuk waktu zuhur. Insyaallah malam nanti biar saya yang jaga Idlan. Mak cik baliklah berehat di rumah” ujarku.
“Tak membebankan kamu ke?” tanya Mak Tijah kurang senang. Aku menggeleng dan tersenyum.
“Siang biar mak cik yang jaga Idlan. Malamnya pula giliran saya yang jaga” cadangku.
“Mak cik tak boleh berjaga malam. Kena banyak berehat” tambahku. Kudrat tua Mak Tijah tidak sekuatku. Usianya tidak mampu berjaga sepanjang malam.
“Tanggungjawab mak cik berat. Mak cik kena jaga dua orang” ujarku membicarakan tanggungjawabnya terhadap Haqem dan Idlan seterusnya memancing persetujuan Mak Tijah terhadap cadanganku tadi. Mak Tijah tersenyum. Tandanya cadanganku diterima.
“Terima kasih, Lia. Keluarga ni memang banyak terhutang budi pada kamu” ujar Mak Tijah meluahkan isi hatinya. Aku menggeleng.
“Saya ikhlas membantu mak cik. Idlan dah saya anggap ahli keluarga saya sendiri. Haqem pun kawan saya dan kawan karib Aqel. Memang patut saya bantu mereka” tegasku berpaksikan prinsip diri.
“Terima kasih, Lia” Sekali lagi Mak Tijah melafazkan kalimah ini.
“Saya balik dululah, mak cik” ujarku mengundur diri.
“Hati-hati dalam perjalanan” pesan Mak Tijah. Aku mengangguk. Bangun dari duduk lantas mengatur langkah ke pintu. Kutinggalkan Idlan bersama Mak Tijah buat sementara waktu. Dalam perjalanan balik, aku singgah di Pasar Ria. Hanya sekadar membeli ayam daging segar hendak dibuat sup untuk Idlan. Sup memang sesuai untuk orang sakit.
Kepulanganku mengundang kehairan mak. Sebaik sahaja aku menceritakan tentang Idlan, wajah mak muram. Aku berkongsi kesedihan dengan mak mengenangkan nasib Idlan. Lantas kesempatan yang ada kumaklumkan kepada mak tentang hasratku mahu membantu Haqem menjaga Idlan di hospital pada sebelah malamnya. Lalu mak mengingatkan aku agar memohon keizinan daripada Aqel. Aqel lebih berhak ke atas diriku. Aku berjanji akan menghubungi Aqel.
Melangkah ke bilik ini, kulontar pandanganku ke segenap ruang dan sudut. Mencari-cari jikalau Aqel ada meninggalkan pesanan. Selalunya Aqel akan mencoret pada sekeping memo merah jambu lalu menampalnya di cermin meja solek. Laju aku mengalih pandangan ke situ. Kosong. Tiada sebarang kertas ditampal di situ. Aqel tidak mahu berkongsi perjalanannya denganku. Kuseluk poket beg sandangku. Kukeluarkan iPhone. Laju telunjukku bergerak pada skrin. Tiada panggilan daripada Aqel. Tiada mesej mahupun whatsApp daripada Aqel. Jauh sekali Aqel hendak berkongsi pemandangan Kota Paris ketika ini. Mungkinkah dia kecewa dengan keputusanku? Sebelum melangkah ke bilik air, kuhantar sebaris ayat kepada Aqel.

~Saya harap awak selamat menjejakkan kaki ke Kota Paris~ Kulepaskan iPhone ke atas tilam. Aku terus melangkah ke bilik air. 


Wednesday, 24 June 2015

Namaku Bukan Flora....bab 72


BAB 72

Aku mengemas meja sambil pandangan mata memerhatikan jam di dinding. Tinggal beberapa minit sahaja lagi tamat waktu bekerja hari ini. Idlan sudah bersiap-sedia menunggu kedatanganku menjemputnya. Baru sebentar tadi dia menelefonku. Bimbang aku terlupa tentang agenda kami hari ini. Kasihan Idlan. Tidak sabar-sabar dia hendak bertemu dengan Datin Sofea. Pukul 05.05 petang. Aku bergegas meninggalkan bilik ini. Setibanya di kawasan perumahan elit ini, pintu pagar sudah tersedia terkuak menjemputku masuk. Idlan yang sedang tercengat di muka pintu terus sahaja meluru ke arahku sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Nampak teruja sangat dirinya. Mak cik Tijah berlari-lari anak mengejar Idlan. Tidak sempat aku hendak keluar, Idlan terlebih dahulu membuka daun pintu kereta. Pantas sahaja duduk di sebelahku.
“Haqem tahukan Idlan keluar dengan saya?” kulontar pertanyaan kepada Mak cik Tijah. Dia mengangguk dan tersenyum.
“Tak payah risau. Idlan memang dah maklumkan perkara ni pada Encik Haqem” jelasnya.
“Saya akan jaga Idlan dengan baik” janjiku. Mak cik Tijah mengangguk dan tersenyum lagi. Mak cik Tijah mahupun Haqem mahukan jaminan keselamatan Idlan.
“Kami pergi dulu mak cik” ujarku meminta diri. Tidak sempat hendak berbual panjang dengannya. Nampak sangat Idlan sudah tidak sabar-sabar dengan agenda hari ini.
“Hati-hati” balasnya memberi peringatan. Aku mengangguk. Idlan dan Mak cik Tijah saling bertukar lambaian tangan. Kereta kupandu perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman banglo ini ke destinasi yang telah dirancang dengan misi yang besar. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan ini. Aku sangat mengharapkan layanan baik daripada Datin Sofea pada pertemuan pertamanya dengan Idlan. Aku melirik ke arah Idlan yang masih mengunci mulut. Mungkin dia berdebar-debar hendak bertemu dengan neneknya. Barangkali juga sedang membayangkan pertemuan itu. Ada sampul besar didakapnya kemas. Mungkin juga buah tangan untuk Datin Sofea.
“Sampul apa tu?” tanyaku mengajak Idlan berbicara. Cuba menghilangkan gemuruhnya. Idlan berpaling ke arahku. Dia tersenyum. Senyuman indah untuk dipamerkan kepada Datin Sofea. Mudah-mudahan hati Datin Sofea akan lembut menatap senyuman ini.
“Dalam ni semua kad yang mama tulis untuk nenek. Saya nak bagi pada nenek” ujarnya teruja. Aku terkedu. Rawan hati mendengar bicara Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea gembira menerimanya.
“Mesti nenek kamu gembira menerimanya nanti” ujarku menambah keriangan hati Idlan. Bertambah lebar senyuman yang terukir di bibirnya. Sekejap sahaja timbul rasa bersalahku. Tidak patut aku memberi harapan yang indah kepada Idlan. Kedinginan Datin Sofea tidak pernah menjanjikan kebahagiaan buat orang lain. Bimbang Idlan akan terluka nanti.
“Kita nak ke mana ni Mak Usu? Bukan pergi rumah nenek?” tanya Idlan bertalu-talu.
“Kita jumpa Datin Sofea di Kelab Bukit Kota. Nenek kamu suka main golf di situ” jelasku. Idlan mengangguk. Aku telah menyiasat jadual pergerakan Datin Sofea. Setiap hari Isnin Datin Sofea dan kawan-kawannya akan bermain golf di situ.
“Kamu boleh janji dengan auntie? Walau apa yang berlaku hari ini kamu takkan bersedih” pintaku. Aku mahu memberi peringatan awal kepada Idlan. Pertemuan yang tidak dirancang ini mungkin tidak seindah yang difikirkannya. Idlan mengangguk dan tersenyum.
“Saya takkan marah pada nenek kalau nenek tak suka saya” sahutnya tenang. Aku terkedu. Pilu hatiku menatap ketabahan budak lelaki ini. Dia ada keberanian yang luar biasa.
“Saya hanya nak jumpa nenek nak serahkan kad-kad yang mama tulis ni. Saya nak gembirakan mama di sana” jelas Idlan menambah hiba hatiku. Mahu sahaja menitis air mataku namun segera kutahan. Sungguh suci murni hatinya.
“Auntie janji akan pastikan semua kad itu akan sampai di tangan nenek kamu” nekadku berjanji. Idlan tersenyum lebar. Dia menarik nafas lega.
“Terima kasih Mak Usu” ujarnya persis terhutang budi kepadaku. Aku tersenyum. Apa yang bakal berlaku sebentar nanti aku akan hadapinya. Aku tidak akan mengalah pada Datin Sofea demi Idlan. Walau apapun yang berlaku misi ini mesti berjaya. Pertemuan Idlan dengan Datin Sofea mesti berlangsung hari ini. Aku memakir kereta. Lantas melontar pandangan ke arah barisan kereta mewah yang tersadai di laman pakir. Cuba menjejaki kereta Datin Sofea. Lega. Aku nampak kereta BMW milik Datin Sofea ada di situ. Tidak jauh daripada kereta Waja mak ini.
“Kita tak boleh masuk ke dalam sebab kita bukan ahli kelab ini. Kita tunggu saja dalam kereta ye...” jelasku. Idlan mengangguk faham. Maka aku dan Idlan hanya mematungkan diri di dalam kereta Waja ini menanti kemunculan Datin Sofea. Pandanganku tidak menjauhi pintu utama itu. Tidak mahu terlepas pandang kelibat Datin Sofea. Kami begitu setia menanti kemunculan Datin Sofea. Sesekali aku melirik ke arah Idlan. Jemarinya memegang kemas sampul  itu. Dia seperti sedang berfikir.
“Fikirkan apa?” suaraku memecah kesepian. Idlan tersenyum.
“Nak cakap apa bila jumpa nenek nanti ye...” Aku terdiam. Perkara itu yang sedang difikirkannya. Kucapai jemari Idlan lalu menggenggamnya.
“Cakaplah apa yang kamu nak cakap...” arahku.
“Nenek pasti sebaik ibu... Mak Usukan” ujar Idlan membandingkan mak dengan Datin Sofea. Aku mengangguk. Idlan ialah darah daging Datin Sofea dan zuriat tunggal Harianie yang ada di muka bumi ini. Pasti Datin Sofea akan berlembut dengan Idlan. ‘Ya Allah... permudahkanlah urusan ini. Lembutkanlah hati Datin Sofea untuk melimpahi Idlan dengan kasih-sayangnya. Amin’. Berkali-kali aku bermunajat agar pertemuan ini membahagiakan Idlan.
“Kamu tunggu kat sini ye...” arahku lantas menolak daun pintu kereta. Idlan mengangguk. Aku mempercepatkan langkah mendekati Datin Sofea yang bersama Bella sedang melewati pintu utama. Kehadiranku langsung tidak disedari mereka.
“Datin.... datin...Datin Sofea..!” panggilku separuh melaung kerana suaraku tidak didengarnya. Langkah Datin Sofea dan Bella terhenti. Serentak mereka berpaling ke arahku.
“Hey... perempuan berani kamu muncul di depan saya!” garang suara Datin Sofea menyapaku. Mata Bella tajam menatapku. Sejak pertemuan pertama dia memang dingin denganku.   
“Saya ada hal penting nak cakap dengan datin” ujarku bertenang.
“Kenapa? Haqem dah buat kamu mengandung ke?” tanyanya sinis. Aku berisytigfar beberapa kali. Sekejam itu tudahan dilemparkan kepadaku. Tebal sangat kebencian Datin Sofea kepadaku.
“Perempuan macam kamu ni memang tak boleh dipercayai. Ada laki tapi boleh curang lagi. Perempuan yang tak tahu malu. Memang patut saya halang kamu dengan Haqem hidup bersama. Sekarang kamu nak saya nikahkan kamu dengan Haqem” lancang mulut Datin Sofea melancarkan serangannya. Bertubi – tubi bagai peluru pandu. Aku menarik nafas panjang. Berisytigfar banyak – banyak. Nauzubillahminzalik. Hina sangat aku di mata perempuan ini.
“Suruhlah suami kamu yang bodoh itu jaga kamu sampai bersalin. Saya tak nak cucu. Berambus sekarang...!!!” tengking Datin Sofea angkuh.  
“Saya tak mengandung datin...!” tinggi suaraku menepis tuduhan kejam Datin Sofea. Terancam kesabaranku mendengar Aqel turut menerima penghinaannya.
“Saya datang sini nak datin jumpa cucu datin. Idlan Raid... anak tunggal arwah Harianie” tegasku. Datin Sofea dan Bella terdiam menatapku. Mereka terpana seketika.
“Idlan nak jumpa datin” jelasku mengharapkan persetujuan Datin Sofea.
“Saya tak nak jumpa budak tu. Bawa dia berambus dari sini!” bentak Datin Sofea.
“Mari kita balik, Bella” Datin Sofea sudah memulakan langkahnya.
“Datin....tolonglah jumpa Idlan sekejap saja. Dia nak jumpa sangat dengan datin” rayuku tidak mahu cepat mengalah. Kucapai tangan Datin Sofea. Cuba menghalangnya pergi.
“Sekarang kamu nak gunakan budak itu pula untuk kepentingan kamu..!” bentak Datin Sofea menyinga. Aku menggeleng beberapa kali. Langsung aku tidak pernah terfikir ke arah itu.
“Bukan datin. Percayalah... Idlan nak jumpa datin. Dia nak serahkan barang peninggalan arwah untuk datin” ujarku cuba memujuknya.
“Saya tak nak. Tak naklah..! Lepaskan tangan saya..!!!” bentak Datin Sofea bertambah garang. Sekuat tenaganya tubuhku ditolak. Aku jatuh terjelompok di atas jalan. Aduh..., sikuku luka!
“Datin tak boleh pergi...” Aku bingkas bangun lalu menerpa ke arah Datin Sofea. Kupaut lengan Datin Sofea menghalangnya pergi. Datin Sofea tidak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Aku nekad. Bella cuba menarikku. Namun tidak mudah aku melepaskan lengan Datin Sofea. Kukunci mati pautan tanganku pada lengan Datin Sofea. Bella menarik tudungku. Terasa kuat cengkaman tangannya menarik rambutku. Aku bertahan. Tidak akan aku lepaskan Datin Sofea pergi selagi pertemuaan itu tidak berlangsung. Datin Sofea dan Idlan mesti bertemu.
“Lepaslah..!!!!” tengking Datin Sofea dengan murka. Dia tidak berdaya bergerak lagi.
“Maafkan saya datin. Saya tak boleh biarkan datin pergi selagi datin tak jumpa Idlan. Kasihan budak tu datin. Dia bersedih atas kepergian ibunya” rayuku cuba memujuk Datin Sofea.
“Saya kata tak nak...! Kamu faham tak...!!!” tengking Datin Sofea.
“Bella... pergi panggil pangawal sekarang...!” jerit Datin Sofea mengarah bakal menantu pilihannya. Jodoh Haqem sudah ditetapkan dengan gadis ini. Bella lahir dari keluarga yang ada darjat, pangkat dan harta kekayaan. Memang padan dengan Haqem.
“Pengawal ... datang sini cepat...!!! Ada perempuan gila di sini buat kacau...!!!” suara Bella bergema. Bunyi derap langkah berlari semakin dekat. Aku ditarik oleh tangan sasa dua orang lelaki ini. Berusaha bertahan. Tenaga kuat lelaki ini bukan tandinganku. Mudah sahaja mereka memisahkan aku dengan Datin Sofea. Datin Sofea terlepas dari pautanku. Dia mendengus kasar. Marah diperlakukan sedemikian.
“Jangan pergi datin... tolonglah...” rayuku tidak mampu menghalangnya pergi. Tanganku dipegang oleh dua orang pengawal yang bertubuh sasa ini. Aku dikawal rapi.
“Datin tak boleh buat macam ni pada Idlan...” rayuku lagi. Tetiba sahaja langkah Datin Sofea terhenti. Dia berpaling ke arahku. Aku sudah berjaya menghalang Datin Sofea meninggalkan tempat ini sebelum menemui Idlan? Datin Sofea melangkah mendekatiku. Tanpa kuduga tangan Datin Sofea melayang di awangan lalu hinggap di pipiku dan turut mengena bibirku. Perit. Mukaku terpaling. Terasa panas mengalir di bibirku. Darah.
“Ini balasan untuk kamu yang sentiasa mahu menyusahkan saya!” bentak Datin Sofea penuh dendam. Laju tanganku mengelap darah yang keluar dari celah bibir yang pecah ini. Datin Sofea tersenyum sinis.
“Datin tak boleh pergi...” pintaku tidak berdaya. Aku dikawal ketat. Tidak mampu mendekati Datin Sofea. Bella sudah menghidupkan enjin kereta BMW itu.
“Datin tak boleh pergi begitu saja...!!!” bentakku meronta – ronta cuba melepaskan diri. Aku mahu menghalang Datin Sofea meninggalkan tempat ini selagi tidak bertemu dengan Idlan. Datin Sofea tidak mengendahkannya.
“Lepaskan saya... Saya tak boleh biarkan dia pergi” tegasku meminta lelaki ini membebaskan aku daripada kawalan ketat mereka. Aku meronta-ronta berusaha melepaskan diri.
“Baliklah cik... cik cedera ni” ujar lelaki ini. Aku menggeleng.
“Saya tak boleh biarkan perempuan itu pergi” tegasku berdegil.
“Tak boleh cik... Baliklah...” arah seorang lelaki ini pula.
“Lepaskan saya...” Aku meronta masih cuba melepaskan diri. Masih berpeluang menghalang kepergian Datin Sofea bersama Bella. Ada kesempatan juga Idlan bertemu dengan Datin Sofea. Aku tidak boleh mengalah dengan mudah.
“Encik tolong lepaskan saya. Saya mesti halang Datin Sofea pergi...” rayuku meminta belas kasihan kedua-dua lelaki ini.
“Cik... janganlah berdegil. Kalau cik masih juga begini kami tak akan teragak-agak hantar cik ke balai” gertak lelaki ini. Balai polis? Penjenayahkah aku? Aku tersenyum sinis. Tercuit hatiku mendengar kenyataan yang tidak masuk akal ini.
“Salah ke saya nak temukan anak yatim piatu dengan neneknya? Jahat ke saya nak temukan cucu dengan neneknya..!” bentakku kesal. Sungguh terkilan.
“Patut ke encik nak humban saya ke lokap kerana saya orang miskin yang tak setaraf dengan perempuan yang kaya tu...!” bentakku melempiaskan kekecewaanku.
“Sabar... cik...” pujuk lelaki ini.
“Lepaskan saya...!” bentakku radang.
“Mak Usu...” Serentak aku dan dua orang lelaki ini berpaling ke arah Idlan yang terkebil-kebil menatapku. Tanganku dilepaskan. Idlan meluru ke arahku.
“Mak Usu takpe?” tanya Idlan. Aku mengangguk. Kutatap sampul yang masih berada dalam dakapan kemas Idlan. Hatiku pilu.
“Maafkan auntie...” ujarku terkilan. Idlan senyum dan geleng kepala. Lantas kupeluk tubuh Idlan. Aku menangis teresak-esak dan terduduk di jalan sambil diperhatikan oleh dua orang lelaki ini. Terasa longlai seluruh tubuhku. Aku telah mengecewakan Idlan.
“Maaf... Saya tak boleh menangis sama Mak Usu. Saya dah janji takkan menangis” ujar Idlan menambah derita hatiku. Tangisanku kian kuat. Kupeluk erat tubuh Idlan. Aku tidak mempedulikan kewujudan dua orang lelaki ini.
“Kamu memang anak yang baik” ujarku tersedu-sedan.
“Kamu berdua memang suka buli perempuan?” suara garang lelaki menerpa telingaku. Aku dan Idlan mendongak.
 “Aqel... uncle Aqel...” suaraku dengan Idlan bersatu menyebut nama ini.
“Maaf encik.... ini tugas kami” sahut lelaki ini.
“Kamu boleh pergi dari sini” arah Aqel. Mereka mengangguk lantas beredar pergi. Aqel menghulurkan tangannya kepadaku. Cuba membantuku bangun. Kupandang Aqel. Berat hati mahu menyambut tangannya. Tiba-tiba sahaja Idlan mencapai tanganku lalu menyatukannya dengan tangan Aqel. Aku terkedu dengan tindakan Idlan ini. Aqel memaut kemas tanganku lalu membantuku berdiri. Kini aku sudah berdiri di sebelah Aqel. Diapit oleh dua orang lelaki ini.
“Kamu dah menyerah kalah?” tanya Aqel sambil tersenyum menatap Idlan. Laju Idlan menggeleng. Aku tidak mengerti. Rahsia Aqel dan Idlan tetap menjadi rahsia.
“Saya budak lagi... tak cukup kuat nak bantu Mak Usu bangun” tingkah Idlan tidak bersetuju dengan kata-kata Aqel. Aqel tersenyum lebar. Bicara Idlan mencuit hatinya.
“Masuk kereta saya” arah Aqel. Kupandang Aqel.
“Kereta Waja?” tanyaku. Tidak mungkin aku meninggalkannya di sini sahaja.
“Siku awak luka. Bibir awak pun pecah dan kemarahan awak membuak-buak sekarang. Awak tiada tumpuan nak drive sendiri” jelas Aqel panjang lebar. Aku mengetap bibir. Bicara Aqel ada benarnya. Memang ada kemarahan yang membahang membakar hatiku saat ini. Rasa tidak puas hati dengan keangkuhan Datin Sofea.
“Tapi... takkan saya nak tinggalkan Waja tu kat sini” tingkahku berat hati. Aku tidak akan meninggalkan kereta mak di sini. Biarlah aku menanggung kesakitan asalkan Waja itu sampai di halaman rumah mak. Kereta mak tidak akan sewenang kutinggalkan di sini sahaja. Aku mesti menjadi peminjam yang bertanggungjawab.
“Waja tu dah selamat sampai di garaj rumah. Kalau awak tak caya call mak” ujar Aqel membuat kejutan kepadaku. Aku terlopong. Lantas aku melangkah laju ke laman pakir mahu mempastikan kesahihan bicara Aqel. Bulat anak mataku menatap laman letaknya kereta Waja tadi yang sudah kosong. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Kalau awak masih sangsi... awak tanya mak sekarang” ujar Aqel lantas mengeluarkan iPhonenya. Mahu menghubungi mak. Mengarahkan aku sendiri bertanya perkara ini kepada mak.
“Eh... tak payah call mak. Saya percaya awak kali ini” jelasku segera mematikan hasrat Aqel. Aqel tersenyum. iPhone di tangan dimasukkan ke dalam saku seluar kembali. Bimbang mak akan mengetahui kejadian petang ini. Aku mesti berbincang dengan Aqel agar perkara ini tidak sampai ke pengetahuan mak. Tidak mahu membabitkan Idlan dalam perkara ini. Mak pasti tidak senang dengan permintaan Idlan ini.
“Mari Idlan...” Aqel sudah memaut tangan Idlan mengubah haluan langkah ke arah keretanya yang pakir tidak jauh dari situ. Aku mengekori mereka dengan langkah longlai. Rasa hampa yang mendalam. Terkilan tidak dapat mempertemukan Idlan dengan Datin Sofea. Rasa sedih sebab Datin Sofea langsung tiada keinginan mahu bertemu dan berkenalan dengan cucunya. Sungguh menyedihkan. Aku berpaling ke arah Idlan yang sudah tersandar di kerusi penumpang belakang sambil termenung jauh. Dia masih mendakap kemas sampul itu.
“Kita hantar Idlan balik dulu. Lepas tu saya bawa awak ke klinik” suara Aqel memecah kesepian. Laju aku berpaling ke arah Aqel.
“Tak perlu ke klinik. Kita balik saja” tingkahku. Berkerut dahi Aqel. Kurang senang mendengar bicaraku. Aqel menghidupkan enjin kereta.
“Saya minta awak rahsiakan perkara ini dari mak” ujarku menokok bicara.
“Luka siku awak tu macam mana nak rahsiakan?” tanya Aqel bernada sinis.
“Tahulah saya nak cakap apa nanti. Ataupun saya masuk sembunyi-sembunyi... cuba mengelak bertembung dengan mak” jelasku memaklumkan perancanganku. Kedengaran keluhan Aqel. Sudah semestinya Aqel tidak suka dengan perancanganku ini.
“Berhentilah menyakiti diri sendiri” tegas Aqel.
“Aqel...” Laju aku meletakkan jari telunjuk ke bibir. Mohon Aqel memperlahankan suara kerana Idlan ada bersama kami sekarang. Idlan akan rasa bersalah kalau Aqel marahkan aku kerana perkara ini.
“Awak tak perlu lakukan semua ni. Haqemkan ada” ujar Aqel masih tidak berpuas hati. Laju tanganku hinggap di lengan Aqel. Aku menggeleng – geleng. Berharap sangat Aqel tidak akan bersuara tentang perkara ini lagi. Perlahan – lahan kereta ini meninggalkan laman pakir.
“Awak ni baik sangat sampai memakan diri sendiri” keluh Aqel. Nada suaranya sudah perlahan. Aku mengetap bibir menahan perasaan. Hampa dan terguris sudah bersatu.
“Sorry ... semua ini salah saya. Saya yang minta Mak Usu aturkan pertemuan ini. Sebab Idlanlah Mak Usu tercedera” suara Idlan mencelah perbualan ini.
“Bukan salah Idlan” tingkahku tidak sanggup melihat Idlan menyalahkan diri. Kecewanya akan bertambah.
“Penting sangat ke pertemuan ni?” Aqel bersuara lagi. Tidak tahu bicaranya mahu ditujukan kepada siapa. Namun Idlanlah yang paling terasa dengan bicara Aqel ini. Tidak patut Aqel mempersoalkannya.
“Ye... sangat penting” sahutku geram. Laju aku berpaling ke tingkap tatkala terpandang kereta Datin Sofea yang berhenti di situ. Rupa-rupanya mereka belum meninggalkan kawasan ini. Aku masih berpeluang mempertemukan Datin Sofea dengan Idlan. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke hujung lengan. Alang-alang sudah buat biarlah sampai ke penghujungnya. Aku nampak Datin Sofea dan Bella baru sahaja menyelinap masuk ke dalam kereta itu. Tiba-tiba sahaja kereta ini berhenti. Aku terdorong ke hadapan. Begitu juga Idlan yang berada di belakang.
“Kenapa ni?” Aku berpaling ke arah Aqel. Aqel memberhentikan kereta secara mengejut. Tangan Aqel menolak daun pintu kereta.
“Tunggu di sini...” arahnya tidak sempat memandangku. Lantas mengunjurkan kakinya keluar. Aqel bangun dari kerusi pemandu lalu meninggalkan aku dan Idlan di dalam kereta ini. Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang sedang mengorak langkah ke arah Datin Sofea dan Bella yang sudah berada di dalam kereta.
“Kenapa Mak Usu?” tanya Idlan yang sudah bangun menjenguk ke arahku. Pertanyaan ini tidak terjawab. Pandanganku terikat kepada Aqel. Bingung dengan tindakan drastik Aqel. Idlan turut sama melontar pandangan ke situ. Nampak mereka sedang berbincang. Belum habis perbincangan itu, kereta yang dipandu Bella bergerak. Aku nampak Aqel berlari pantas menggunakan jalan pintas. Cuba mendahului kereta itu. Aqel berjaya melakukannya. Tanpa kuduga Aqel berdiri di tengah – tengah jalan kecil itu sambil mendepakan tangan. Cuba menjadi penghadang jalan. Kereta yang dipandu Bella laju. Aqel boleh kehilangan nyawa jikalau dia tidak berganjak dari kedudukannya itu dan jikalau Bella tidak memberhentikan kereta itu. Kutolak pintu kereta ini. Aku keluar.
“Aqel... jangan lakukannya...!” jeritku sekuat hati. Aqel nekad. Dia langsung tidak berganjak. Statik di situ. Bila-bila masa sahaja dia akan dirempuh kereta yang dipandu Bella.
“Aqel...tidaaakkkk...!” Aku menjerit lagi. Langkahku terhenti di tengah jalan. Aku tidak sempat menghalang Aqel. Kututup mukaku. Tidak sanggup melihat tubuh Aqel dirempuh. ‘Mak Long, maafkan Lia. Lia tak mampu menghalang tindakan Aqel’ suara hatiku berkata-kata. Nama Mak Long menerpa benakku. Wajah sedih Mak Long terbayang di mataku. Kemudian tangisan pilu Mak Long terngiang-terngiang di telingaku.
“Semua ini salah awak...! Awak yang buat Aqel tiada lagi di dunia ni...!” suara Flora menjerit garang. Kemudian dia menangis teresak-esak. Perpisahan yang menyakitkan. Aqel telah meninggalkan dirinya. Salahku kerana menjebakkan Aqel. Aqel tidak patut terlibat dalam persengketaanku dengan Datin Sofea. Kebencian Datin Sofea kepadaku telah mengorbankan Aqel.
“Mak tak patut suruh Aqel jaga kamu dengan baik. Tengoklah apa yang Aqel telah buat”
Mak menyalahkan diri. Air mata berlinangan di pipi mak. Tangisan mak, Mak Long dan Flora bersatu. Tangisan yang meruntun jiwa. Sayu dan hiba. Sungguh menyayat hati. Semua ini salahku. Aqel sepatutnya tidak mengenaliku. Jikalau tiada pertemuanku dengan Aqel, kami tidak akan nikah. Maka pengakhiran hidup Aqel tidak akan jadi begini. Bagaimana Mak Long dan Flora menjalani kehidupan ini tanpa Aqel?
“Flora... bawa Idlan datang sini...!” suara Aqel melaung. Aku tersentak.Aqel masih hidup. Laju kuangkat kelopak mataku. Aqel masih terpacak di tengah – tengah jalan itu berhadapan dengan kereta Datin Sofea. Terlalu dekat. Aku menghela nafas lega. Lapang dada.
Idlan berlari laju melewatiku. Aku terpana tidak mampu berganjak lagi. Bagai kakiku sudah dipaku di sini. Idlan bersama Aqel sekarang. Tangannya dipaut erat lalu mendekati Datin Sofea. Mereka bertentangan mata. Wajah Idlan direnung lama. Aku menyaksikan pertemuan itu. Aku nampak hanya Aqel yang berbicara. Idlan mengucup tangan Datin Sofea. Air mataku menitis ke pipi. Sebak dan terharu. Datin Sofea menyambut sampul yang dihulurkan Idlan. Idlan tersenyum lebar. Idlan berpaling ke arah Aqel. Mereka bertukar senyuman. Tangan Aqel dipautnya lantas memulakan langkah meninggalkan Datin Sofea yang membisu panjang. Pandangan Datin Sofea menyoroti langkah Idlan. Kereta Datin Sofea tidak berganjak dari situ.
 “Mari...kita balik. Misi awak dah berjaya” tutur Aqel bersahaja bagai tiada perkara yang mencemaskan telah berlaku. Senyumannya dengan Idlan bersatu. Ada kepuasan yang terpancar di wajah Idlan. Aku rasa tidak puas hati dengan tindakan berani Aqel. Sedetik tadi terasa bagai nyawaku melayang. Roh terpisah dari jasadku. Denyutan nadiku terhenti. Semangatku punah. Kiranya aku tidak akan mendengar suara Aqel lagi. Kugigit bibir sehingga berbekas menahan gelodak perasaan ini. Syukur... syukur... syukur... Aqel masih bernafas.
“Flora...” sayup – sayup suara Aqel lembut memanggilku. Terasa aku masih di awangan.
“Flora... kenapa ni?” suara cemas Aqel menegurku. Aqel dan Idlan terkebil – kebil menatapku. Aku masih terpana di depan Aqel dan Idlan. Kelu lidah hendak bersuara. Semangatku masih bertebaran. Terasa hangat mengalir di pipiku.   
“Awak okey ke ni?” Terasa bumi ini bergoncang persis berlaku gempa bumi. Bukan. Tangan Aqel berpaut di bahuku lalu menggoncang tubuhku. Laju sahaja tanganku menyapu deraian air mata ini.
“Awak ni kan... Arrggghhhhh...! Arggghhhh...!!!” Aku menangis sekuat hati melempiaskan rasa ketakutan yang mendalam. Longlai kaki ini hendak berdiri gagah, lalu aku bertelaku di atas jalan raya ini. Tidak mampu berganjak lagi. Membutang pandangan Aqel dan Idlan menatapku. Terkejut melihat deraian deras air mataku tika ini.
“Saya tak apa-apalah. Saya masih hidup lagi ni” Aqel bersuara melawan raunganku sambil garu-garu kepala. Mati akal dengan tindakanku. Idlan masih terkebil-kebil menatapku. Kedua-duanya tidak tahu hendak berbuat apa. Masing-masing melopong melihat aku menangis. Lama juga Aqel dan Idlan menemaniku di sini sehinggalah tangisan ini tidak berlagu lagi. Begitu setia mereka berada di sisiku sambil menongkat dagu menyaksikan aku menangis. Terhinjut-hinjut bahuku menahan sisa-sisa tangisan yang kian reda.
“Dah puas awak menangis...” tegur Aqel berhati-hati.
“Otak awak ni kan dah tak betul...!!! Selalu buat perkara tak masuk akal...!” lantang suaraku memarahi Aqel. Aqel terkejut. Tangannya mmengurut-urut dada. Terkejut disergah sedemikian. Membutang matanya menatapku.
“Saya boleh mati terkejut mendengar jeritan awak” rungut Aqel geram. Bingkas aku bangun. Kupandang Aqel dan Idlan silih berganti. Kedua-duanya tidak boleh diharap. Sepatutnya mereka memujukku agar berhenti menangis bukannya terpinga-pinga menyaksikan deraian air mataku. Bukan juga duduk lama bersamaku menanti air mata ini kering. Tidak tahu hendak berbuat apa. Bingkas aku berdiri.
“Saya nak balik sekarang” rungutku lalu mengorak langkah ke kereta. Aqel dan Idlan mengekori langkahku. Aku terus duduk di kerusi penumpang di depan. Cuba tidak mengendahkan Aqel dan Idlan. Langkah berjaga-jaga mengelak diri daripada dikutuk Aqel.
“Nah... lap air mata dan hingus awak tu. Nampak comot sangat” kutuk Aqel sambil menghulurkan tisu kepadaku. Kusentap kasar tisu di tangan Aqel. Kusapu bersih mukaku. Tidak lagi mengendahkan bedak di muka. Aqel di sebelahku tersenyum-senyum sendiri. Pasti suara hatinya sedang mengutuk aku sepuas-puasnya.
“Sayang juga awak kat saya kan” suara Aqel memberhentikan gerakan tanganku. Aku berpaling menatap Aqel.
“What?” Berkerut dahiku menatap Aqel. Lelaki ini perlukan penjelasan terperinci. Di sebalik deraian air mata ini ada maksud tersendiri.  
“Saya akan menyalahkan diri seumur hidup jika kereta yang Bella pandu betul-betul merempuh tubuh awak tadi. Nyawa awak terlalu berharga nak disia-siakan begitu saja. Paling saya khuatiri mak, Mak Long dan kekasih awak akan menyalahkan saya sepanjang hayat mereka” ujarku berjela dengan nada serius. Aqel masih tersenyum-senyum. Penjelasanku mungkin tidak memberi makna kepadanya. Lantas kupejamkan mata tanda mahu menyendiri. Paling tenang mahu menenangkan gelodak emosiku. Aku tiada keinginan hendak berbual-bual ketika ini. Mujur juga Aqel memahami diamku. Dia tidak bersuara lagi dan hanya fokus pada pemanduannya.
“Kita dah sampai. Mari Idlan” Aku tersentak. Idlan...! Baru teringat budak lelaki ini bersamaku tadi. Aku berpaling ke belakang. Sebahagian tubuhnya sudah berada di luar.
“Tak payah keluar. Awak duduk sini saja” arah Aqel mematikan hasratku hendak mengiringi Idlan hingga ke muka pintu. Aku terpana di kerusi penumpang ini dengan fikiran yang kosong. Seketika tadi aku melupakan kewujudan Idlan. Rasa bersalah membebani diri. Kupicit-picit dahiku. Bergantung pada sisa-sisa tenaga yang tinggal. Kulontar pandangan keluar melalui cermin jendela ini. Langkah Idlan seiringan langkah Aqel.
“Uncle ada kekasih?” tanya Idlan setelah menahan diri dengan persoalan ini sepanjang perjalanan tadi.  Memang tidak sabar-sabar dia hendak mengemukakan pertanyaan ini. Namun ini urusan lelaki. Perkara ini hanya perlu dibincangkan antara mereka berdua. Aqel menatap Idlan.
“Tak baik curi dengar perbualan orang dewasa” tegur Aqel mengusik Idlan. Cuba buat-buat wajah serius. Ketika zaman kecil itulah peringatan yang selalu diperdengarkan kepadanya. Aqel tidak akan mudah lupa pada ajaran ibu bapanya. Semua ajaran itu tersemat dalam dirinya.
“Sorry... uncle. Tapi boleh tak uncle cakap jujur” pinta Idlan berharap. Aqel tersenyum. Tercuit hatinya melihat kesungguhan budak lelaki ini. Namun turut kagum. Idlan ada keinginan yang tidak dapat dibendung. Sudah tersemat ciri-ciri lelaki sejati yang gemarkan persaingan dalam dirinya.
“Kamu... nampak bersungguh-sungguh nak mengalahkan uncle” tutur Aqel mengulas sikap Idlan. Idlan mengangguk tanpa ragu-ragu. Telus. Langsung tidak mahu menidakkannya.
“Keberanian uncle merisaukan saya” luah Idlan tidak bersembunyi. Aqel terus sahaja tergelak. Tindakannya sering mendahului pertimbangannya. Lakukan dahulu barulah difikirkan.
“Tapi...  saya tak mudah mengalah” ujar Idlan memberi peringatan kepada Aqel.
“Pantang mengalah sebelum bertarung berhabis-habisan. Itulah yang diperlukan orang lelaki” ujar Aqel menyahut bicara Idlan, budak lelaki yang bersemangat tinggi. Aqel langsung tidak tergugat melihat kesungguhan budak lelaki ini.
“Beruntunglah Pak Usu kamu” tutur Aqel mematikan langkah Idlan. Dia berpaling menatap Aqel. Aqel tersenyum.
“Sebenarnya.... uncle jealous pada Pak Usu, kamu. Beruntunglah dia sebab ada orang yang membantu menyatukan cinta lalu mereka” tutur Aqel berkias-kias.
“Uncle kan dah ada kekasih. Uncle bagilah Mak Usu jaga saya. Pak Usu boleh jaga Mak Usu dengan baik” pinta Idlan tidak berselindung lagi. Semakin mekar senyuman yang terukir di bibir Aqel. Nampak kesungguhan Idlan mahu merencana kesinambungan kisah lalu itu.
“Kalau macam tu mintalah Datin Sofea terima Mak Usu menjadi ahli keluarga Idlan” saran Aqel. Laju sahaja Idlan mengangguk. Yakin dia mampu melakukannya. Aqel hanya tersenyum. Hatinya terdetik kekaguman pada kesungguhan budak lelaki yang bercita-cita tinggi ini.
“Kamu ingat lagi tak...pertarungan ini mesti dilakukan dengan adil” ujar Aqel mengungkit perkara itu. Idlan mengangguk.
“Pergilah masuk sekarang. Berehat dan tidur awal malam ini. Apa yang berlaku hari ini tak perlu difikirkan lagi dan jangan sesekali cerita kepada orang lain. Ini rahsia kita bertiga. Orang lelaki mesti kuat. Kamu mesti ingat perkara ini tau” nasihat Aqel menyuntik semangat. Idlan mengangguk. Dia  mengerti. Cerita ini yang berlaku hari ini tidak akan dikongsi dengan Haqem. Berpegang pada prinsip persaingan yang adil, maka dia terpaksa berkongsi maklumat tentang perkara yang direncana. Kemunculan Aqel buat dia rasa terhutang budi.
“Kamu perlu kuat juga jika mahu mengalahkan uncle” ujar Aqel bergurau. Sekadar mahu menceriakan budak lelaki ini. Dia sedang reaksi yang ditunjukkan oleh Datin Sofea tadi kurang menyenangkan. Idlan tersenyum manis. Mak cik Tijah yang berdiri di ambang pintu menyambut kepulangan Idlan sambil tersenyum.
“Terima kasih, Encik Aqel...” ujar Mak cik Tijah sambil menyambut beg pakaian Idlan yang dihulurkan Aqel. Aqel senyum.
“Tak nak masuk dulu? Encik Haqem dah sampai tapi keluar kejap” ujar Mak cik Tijah mempelawa Aqel masuk ke rumah. Idlan tersenyum dan menggeleng.
“Terima kasih, mak cik. Maaflah saya nak balik cepat... ada hal” ujar Aqel bersopan menolak pelawaan perempuan ini. Mak cik Tijah mengangguk dan tersenyum. Dia mengerti kesibukan anak muda ini. Aqel dan Haqem serupa sahaja. Kesibukan mereka tidak pernah berkurangan.
“Saya balik dululah mak cik” Aqel memohon diri. Mak cik Tijah menggangguk dan tersenyum lagi. Mata terpegun pada ketampanan wajah pemuda ini, manakala hati terpaut pada budi bahasa pemuda ini. Teringin memiliki menantu seperti Aqel. Namun dia tetap tumpang gembira kerana Aqel memiliki isteri yang sangat padan dengan dirinya. Lia begitu disenanginya.
“Uncle Aqel...” panggilan Idlan mematikan langkah Aqel. Dia berpaling. Idlan berlari anak ke arahnya lalu memeluknya. Aqel terkedu. Mak cik Tijah kehairanan.
“Terima kasih kerana buatkan saya gembira sangat hari ini. Walaupun tak sempat berbual dengan nenek, saya dah berpuas hati sangat dapat tengok orangnya. Mama pasti turut gembira juga sebab saya dah tunaikan hasrat hatinya” jelas Idlan dengan suara separuh berbisik sambil mendongak wajah Aqel. Tidak mahu Mak cik Tijah mendengarkannya. Aqel mengangguk. Diusap-usap kepala Idlan. Tumpang gembira. Kesal Datin Sofea tidak teruja dengan pertemuan itu. Sepatutnya perempuan itu memeluk Idlan dalam tangisan. Pertemuan yang membangkitkan rasa terharu.
“Tak payah risau. Saya takkan bersedih. Orang lelaki mesti kuat” tutur Idlan mengulangi kenyataan itu. Aqel tersenyum. Kata yang pasti akan dikotakan. Terbit simpati di hatinya. Usia sekecil ini memaksa diri menjadi kental. Terasa kejam dirinya kerana telah mengeluarkan kenyataan itu. Namun jika difikirkan sedalamnya ada kebaikan jikalau Idlan menjadi budak lelaki yang matang. Jiwa yang kental dan hati yang cekal. Dia pernah memaksa dirinya menjadi sedemikian. Zaman kecilnya tidak dinikmati persis kebanyakan kanak-kanak yang lain. Perpisahan itu telah merubah kehidupannya. Aqel melepaskan keluhan berat. Enggan mahu mengenang kisah lalu. Bagai ada sembilu yang menghiris perasaannya.
 “Uncle lakukannya kerana Mak Usu kan...” duga Idlan menyentakkan Aqel. Terkebil – kebil Aqel menatap Idlan yang tersenyum sendiri.
 “Uncle ... sayangkan Mak Usu” Idlan berbicara sendiri. Aqel hanya mematungkan diri. Jiwanya terusik dek kenangan lalu yang menghiris perasaan.
“Persaingan semakin sengit” tutur Idlan memberi reaksi pada bicaranya sendiri.
“Uncle cepatlah balik rumah, Mak Usu mesti keletihan sekarang. Jangan lupa rawat siku Mak Usu yang luka tu. Malam nanti saya call Mak Usu” petah sahaja Idlan berbicara.
“Assalamualaikum...” Ditinggalkan Aqel yang terdiam panjang.
“Uncle... cepat balik...!!!” laungan Idlan dari ambang pintu menyentakkan Aqel. Idlan menunding jari ke arah kereta sebagai syarat mengarah Aqel cepat beredar. Bukan niat budak lelaki itu mahu menghalau. Sebaliknya memikirkan demi keselesaan penumpang yang masih berada di dalam Peugeot RCZ Sports Coupe itu. Kasih Idlan kepada gadis itu tidak terhitung banyaknya. Mungkin juga menyamai kasihnya kepada ibu kandung sendiri.
Aqel melangkah ke kereta. Dipandang gadis yang sedang tersandar lena di kerusi itu. Nampak sangat letihnya. Perlahan-lahan daun pintu kereta dikuak lalu ditutup. Tidak mahu mengganggu lena gadis ini. Kereta dihidupkan lalu meninggalkan perkarangan banglo. Gadis ini menikmati tidur yang nyenyak dan langsung tidak terganggu sepanjang perjalanan ini. Aqel memandang sekilas. Dia melepaskan keluhan kecil tatkala menatap luka kecil pada siku lengan gadis itu. Walaupun dia fokus pada pemanduaannya namun benaknya ligat berfikir. Cuba mencari jalan penyelesaian.
“Bagaimana awak boleh muncul di Kelab Bukit Kota? Rasanya bukan secara kebetulan” suaraku memecah kesunyian sekali gus mengejutkan Aqel. Dia memandangku sekilas dengan pandangan yang kurang senang. Mungkin tidak suka dirinya dikejutkan sedemikian.
“Saya dapat maklumat dari Idlan” jelas Aqel tidak berselindung. Bijak pula Aqel menilik perbincanganku dengan Idlan. Lantas membangkitkan perkara itu kepada Idlan. Suka sangat Aqel membebankan diri dengan hal yang tiada kaitan dengannya.
“Sorry ler... saya memang suka menyibuk hal awak” ujar Aqel tersengih persis mendengar suara hatiku yang sedang berbicara. Aku diam. Kulontar pandangan jauh-jauh. Masih tidak puas hati dengan tindakan berani Aqel tadi. Persis nyawanya tidak bernilai. Aku melepaskan keluhan kecil. Takut dan kesal bercampur-baur. Sungguh menggerunkan hendak membayangkan kembali detik cemas. Nyawa Aqel persis telur di hujung tanduk. Sedetik nafasku seakan terhenti. Semangatku terpisah dari jasadku. Aku sungguh-sungguh ketakutan dengan tindakan berani Aqel.
“Terima kasih sebab awak buat Idlan gembira” aku bersuara semula. Aqel tersenyum. Tindakannya menyuntik sedikit kegembiraan budak lelaki itu. Aqel telah menyampaikan hajat Idlan.
“Boleh tak awak janji lain kali jangan pertaruhkan nyawa awak” permintaanku menyusul. Aqel memandangku sekilas.
“Tak kisahpun...” sahut Aqel bersahaja. Mudah sangat. Aku menjelingnya. Geram.
“Kenapa?” tanyaku janggal. Aqel bukan hero drama cinta yang bertindak melulu sehingga membuai perasaan penonton.
“Sebab saya suka tengok awak menangis” jelasnya bersahaja buat aku bertambah geram.
“Memang sah awak ni kaki buli. Suka melihat orang perempuan menangis” dengusku marah. Tidak patut Aqel berbicara begini. Perkara serius bukan boleh dibuat main-main. Mak Long tidak akan dapat menerima kenyataan jikalau sesuatu yang buruk menimpa Aqel. Nauzubillahminzalik. Mak juga akan bersedih. Aku akan menyalahkan diri sepanjang hayatku. Senyap. Bagaikan aku sudah tidak berminat menyambung bicara dengan Aqel. Tidak suka lagaknya yang tidak serius.
“Berhenti membebankan diri awak dengan masalah orang lain. Maka barulah saya boleh hidup tenang” Aku berpaling menatap Aqel.
“Hidup awak tak tenang sekarang?” tanyaku melontar suara kepada Aqel. Aqel memandangku sekilas. Kemudian mengarah pandangannya ke jalan raya kembali. Seminit kemudian aku menyaksikan anggukan kepala Aqel yang panjang.

“Minta maaf banyak-banyak sebab buat hidup awak tak tenang. Saya tak berniat nak bebankan awak” ujarku rasa bersalah yang menggunung. Senyap. Tiada suara Aqel yang menyahut memberi reaksi pada bicaraku. Mahupun menyangkal bicaraku demi mententeramkan gelodak perasaanku tika ini sekali gus menambah rasa bersalahku. Sungguh aku rasa bersalah kepada Aqel.