Sunday, 14 December 2014

NamaKu Bukan Flora....! 64




 



BAB 64


 “Idlan tunggu Mak Usu datang nanti” suara anak kecil ini mengundang ketidakselesaan ditambah dengan rasa hairanku. Terasa asing panggilan itu buat diriku.
“Panggil saya auntie Lia” tuturku membetulkan kesalahfahaman anak kecil ini.
“Tak nak” sahut Idlan berdegil. Kedengaran gelaknya.
“Nanti auntie Bella tunang Pak Usu Idlan marah” ujarku memberi amaran. Bellalah orang yang sepatutnya dipanggil sedemikian. Gadis itu bakal menjadi Mak Usu Idlan setelah bergelar isteri Haqem nanti. Sebetulnya aku kurang selesa tatkala Idlan memanggilku dengan panggilan itu. Nanti apa pula yang Haqem fikirkan. Aku tidak mahu Haqem salah faham. Bimbang juga orang lain turut silap membuat tafsiran. Kesilapan kecil yang tidak dibendung boleh menjadi perkara yang serius dan memudaratkan. Perkara inilah yang perlu dielak.
“Tak suka jadi Mak Usu Idlan?” soal budak lelaki yang bijak ini buat aku serba salah.
“Bukan macam tu. Idlan dah ada Mak Usu tapi bukan auntie Lia yang akan jadi Mak Usu, Idlan” tegasku berharap Idlan mengerti. Senyap. Tersinggungkah Idlan dengan bicaraku?
“Tapi Pak Usu kata.....” Tiba – tiba sahaja Idlan senyap. Bicaranya tergantung.
“Apa yang Pak Usu Idlan kata?” soalku ingin tahu perkara yang telah Haqem katakan kepada budak pintar ini. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang telah Haqem beritahu kepada Idlan sehingga Idlan salah faham. Idlan membisu. Aku mengetap bibir. Tidak patut Haqem buat Idlan keliru.
“Auntie Lia dengan Pak Usu Idlan hanyalah kawan biasa” jelasku menjernihkan kekeliruan Idlan. Senyap. Mulut comel yang petah berceloteh ini tiba – tiba sahaja kehilangan suara.
“Hello.... Idlan masih ada di situ?” soalku memintanya bersuara.
“Ya....” sahutnya pendek. Aku tersenyum sendiri. Mujur juga dia tidak terus membisu.
“Auntie Lia pasti datang ke majlis itu nanti. Uncle Aqel dijemput sama jugakan?” ujarku dengan suara lembut cuba melenyapkan ketegangan. Idlan masih tidak bersuara. Pertanyaanku tidak dijawab. Nampaknya budak lelaki pintar ini sudah tidak teruja hendak berbual – bual denganku. Penjelasanku memanjangkan diamnya. Betulkah Idlan berharap sangat aku akan menjadi Mak Usunya? Sebanyak itukah dia menyukaiku? Sungguh bertuah rasanya andai benar Idlan berperasaan demikian. Bahagia hati jika budak lelaki cerdik itu menyayangiku.
“Mengapa tak boleh panggil Mak Usu?” Idlan bersuara kembali. Dia masih mahu membicarakan perkara ini. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Sebab auntie Lia bukan Mak Usu Idlan” jawapan mudah kuberikan pada pertanyaannya.
“Auntie Lia tak boleh jadi Mak Usu Idlan sebab Uncle Aqelkah?” tanya Idlan menuntut penjelasan lanjut. Aku terkedu. Sungguh aku tidak menduga Idlan mampu berkata – kata sedemikian. Bicaranya nampak matang berbanding usianya.
“Idlan boleh minta kebenaran Uncle Aqel supaya benarkan auntie Lia, jadi Mak Usu Idlan” jelas Idlan tidak mahu berputus asa. Masih mahu memanggilku dengan gelaran itu.
“Mana boleh macam tu” tingkahku. Selagi aku bukan bergelar isteri Haqem, selagi itu aku tidak berhak menjadi Mak Usu kepada budak lelaki ini. Perkara yang sangat mustahil akan berlaku. Sekalipun Aqel akan melepaskan aku tidak semestinya aku akan kembali kepada Haqem. Jodohku belum tentu dengan Haqem meskipun dia ialah kekasih pertamaku. Biarpun pada Haqem, aku adalah kekasih pertama dan kekasih terakhirnya. Soal jodoh sudah menjadi ketetapan Allah.
“Kenapa tak boleh?” soal Idlan menuntut penjelasan lanjut.
“Sebab Auntie Lia dah ada Uncle Aqel” sahutku tidak berlengah. Aku berharap kebijaksanaan budak ini akan mendorongnya mengerti tentang hubunganku dengan Aqel. Andai  pengakuaanku ini menimbulkan pertanyaan dalam dirinya, biarlah kemusykilan itu disirnakan oleh Haqem sendiri. Haqem mesti bertanggungjawab pada kenyataan yang keluar dari mulutnya. Tidak patut dia mengelirukan budak lelaki ini.
“Uncle Aqel tak suka auntie Lia lagi” ujar Idlan buat aku terkedu. Aku terdiam panjang.
“Siapa cakap? Pak Usu Idlankah?” soalku memohon penjelasan lanjut. Tiada suara yang menyahut. Idlan berdiam diri. Mungkin baru sedar bahawasanya dia telah tersilap tingkah. Rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi. Maklumat yang diperoleh daripada Haqem telah dikongsi bersamaku tanpa sengaja.
“Uncle Aqel memang tak pernah suka auntie Lia pun” ujarku lirih diiringi dengan senyuman sendiri. Kebenaran yang tidak sukar diterima. Langsung tiada rasa terkejut. Jauh sekali rasa terkilan. Masing – masing ada perasaan sendiri. Perasaan yang menjadi hak milik sendiri. Aku bukannya Flora, gadis pujaan hati Aqel. Namun yang sukar kuterima, Aqel melihat bayangan diri Flora ada padaku. Dia memanggilku dengan nama gadis itu. Mengecewakan tatkala aku gagal menghalangnya. Namaku bukan Flora! Sekian kalinya aku bertegas. Mudah – mudahan Aqel mendengarkannya dari kejauhan ini.


Aku meletakkan buku motivasi garapan minda seorang pakar motivasi tanah air di atas meja sisi katil. Kutarik selimut menutupi bahagian kakiku sehingga ke paras lutut. Kedinginan penyaman udara mula terasa. Aku melontar pandangan ke arah Aqel yang berada di sofa. Dia begitu khusyuk membaca isu semasa yang ditulis di dada akhbar. Sebagai manusia bermaklumat, Aqel memang sentiasa mengikuti perkembangan semasa di dalam dan di luar negara. Pengetahuannya sangat meluas. Aku kagum kepada Aqel.
“Puan Harianie jemput awak ke majlis doa selamat hari jadi Idlan petang lusa” ujarku menyampaikan jemputan Harianie. Aku menatap Aqel. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkannya. Dia masih leka dengan akhbar di tangannya.
“Awak akan pergi ke majlis itu kan? Apa kata kalau kita sama – sama beli hadiah untuk Idlan” saranku dan yakin Aqel dapat  memenuhi jemputan tersebut memandangkan hubungan akrabnya dengan Haqem sekeluarga. Tambahan pula majlis itu berlangsung pada hujung minggu di luar waktu kerja. Bermakna waktu senggang Aqel. Tiada halangan untuk Aqel menghadiri majlis itu.
 “Saya tak dapat pergi ke majlis tu” Aqel bersuara tanpa sempat menatapku. Aku terdiam. Tidak menyangka itu yang kudengar dari mulut Aqel. Kupandang Aqel. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan.
“Kalau macam tu awak kirim saja hadiah untuk Idlan. Nanti kita sama – sama beli hadiah” ajakku mengulangi cadanganku tadi. Aqel kembali menatap akhbar tadi. Nampak dia kurang berminat pada ajakanku. Sedetik aku menantikan kata putus daripada Aqel.
“Esok saya nak pergi beli hadiah tu” ujarku masih mahu membicarakan tentang hadiah itu. Dalam masa yang sama mahukan jawapan yang jelas berkaitan dengan pelawaanku tadi. Nun jauh di sudut hatiku, aku mengharapkan kesudian Aqel meluangkan sedikit masanya bersamaku membeli hadiah buat Idlan. Keikhlasan Aqel menghadiahkan sesuatu buat Idlan akan menambah keriangan budak lelaki itu. Pasti Idlan girang menerima banyak hadiah pada hari ulang tahun kelahirannya. Besar maknanya tatkala kita menghiburkan hati si kecil yang telah kehilangan sebahagian ahli keluarganya. Kuharap fikiran Aqel akan terarah ke situ.
“Pergilah beli. Saya tak dapat ikut awak” sahut Aqel setelah berdiam seketika tanpa sebarang penjelasan. Aku mengangguk. Sedikit kecewa dengan keputusan Aqel. Namun aku tidak berhak memaksa Aqel mengubah keputusannya. Mungkin ada perkara yang lebih mustahak yang perlu Aqel uruskan. Tidak mahu prasangka buruk. Aqel meletakkan akhbar di atas meja lantas bangkit dari sofa itu. Aku menatapnya.
“Saya nak keluar ni. Nanti tak balik ke sini. Saya tidur rumah mama” ujar Aqel dingin lalu mengatur langkah ke muka pintu. Sempat mataku melirik ke arah jam. Pukul 11.50 minit malam.  Hampir – hampir melengkapkan putaran waktu sehari. Boleh dikatakan agak lewat untuk bertemujanji dengan kawan – kawan. Aku memerhatikan sahaja langkah Aqel melewati pintu. Tidak berapa lama kemudian, sayup – sayup kedengaran bunyi deruan enjin kereta keluar meninggalkan halaman rumah. Harap – harap tidur mak tidak terganggu. Paling penting mak tidak menyedari Aqel telah meninggalkan rumah selewat begini. Bahkan tidak mengganggu lena Mak Long dengan kedatangannya nanti. Mudah – mudahan juga Aqel selamat sampai ke destinasinya. Kubaringkan tubuhku di atas katil. Kupejamkan rapat mataku lantas mengundang lena yang panjang.


“Betul awak tak nak ikut saya?” tanyaku masih mahu menggantung sisa harapan kepada Aqel. Laju Aqel menggeleng. Malah dengan menggunakan bahasa isyarat dia mengarahkan aku cepat keluar dari kereta. Aku terus bangkit dari kerusi penumpang ini lantas bergegas meninggalkan Aqel yang hanya mahu menungguku di dalam kereta. Keputusan Aqel muktamad. Ternyata aku gagal mengajak Aqel menyertaiku.
Aku mempercepatkan langkahku kerana tidak mahu Aqel menungguku lama. Singgah di premis pertama yang kutemui menjual alat permainan kanak - kanak. Terlalu banyak alatan permainan kanak – kanak yang dijual di sini sehingga aku tidak tahu hendak membuat pilihan. Fikiranku buntu. Berfikir sejenak. Idlan sangat meminati kereta kawalan jauh. Dari kotak lutsinar ini terpamer sebuah model kereta ferarri yang mewah. Warna merah yang menyerlah pasti akan membuatkan Idlan menyukainya. Kucapai kotak kereta ferarri ini. Berfikir lagi. Kuletak kotak ini di atas rak semula. Tempoh hari Idlan telah memilih sendiri kereta kawalan jauh. Hadiah daripada Haqem. Dia sangat berpuas hati dan seronok memiliki hadiah itu. Maka pada pendapatku, Idlan tidak memerlukan hadiah sebegini lagi. Hadiah yang serupa akan menghilangkan keterujaannya. Aku harus memilih hadiah yang lain. Keseronokan dan kegembiraan Idlan menjadi keutamaanku.
Pelbagai jenis peralatan permainan yang ada di sini tidak memikat hatiku hendak dijadikan hadiah buat Idlan. Lantas aku bergerak ke bahagian lain. Langkahku membawa aku ke bahagian bahan – bahan bacaan yang sesuai mengikut peringkat perkembangan umur kanak – kanak. Kali ini aku mengikut gerak hatiku. Dipengaruhi atas pertimbangan akalku, maka aku mengambil keputusan membeli kamus elektronik yang serba canggih ini. Boleh menjadi panduan dan rujukan yang menarik dan sangat berguna. Kamus ini lebih bermanfaat daripada barangan mainan yang lain. Aku mahu Idlan menjadi manusia yang berpengetahuan luas persis Aqel. Kamus ini juga akan menambah perbendaharaan kata Idlan. Budak bijak seperti Idlan pasti mencintai ilmu. Kubawa kamus elektronik ini ke kaunter pembayaran. Berbaris bersama – sama pelanggan lain menunggu giliran hendak berurusan dengan juruwang. Waktu – waktu begini ramai pula pelanggan yang berkunjung ke sini. Terpaksalah aku menanti giliranku dengan sabar. Harap – harap Aqel juga akan sabar menungguku.
Nama Aqel terlintas di benakku. Walaupun Aqel tidak dapat menghadirkan diri ke majlis hari jadi Idlan, tetapi sekurang – kurangnya Aqel perlu menyediakan hadiah buat Idlan. Aku wajib membeli sesuatu untuk Aqel hadiahkan kepada Idlan nanti. Aku berhajat kembali ke bahagian peralatan mainan tadi. Namun belum sampai menjejakkan kaki ke situ, langkahku terhenti di bahagian peralatan sukan ini. Mengimbas deretan alatan sukan yang ada di sini. Laju tanganku mencapai bola ragbi yang nampak unik dengan corak yang terlukis. Lain daripada bola ragbi biasa. Aku tersenyum. Muktamad bola ragbi ini adalah hadiah daripada Aqel buat Idlan. Aku kembali ke kaunter pembayaran. Kuhulurkan kad kredit visa kepada juruwang kerana bimbang jika wang tunai dalam dompetku tidak mencukupi.
“Sekejap ye cik....” pinta gadis ini. Aku terkebil – kebil menatapnya. Risau jika ada masalah timbul. Bimbang juga andai kad kredit ini tidak boleh digunakan. Seingatku dalam bulan ini kad kredit ini tiada hutang di bank.
“Ada masalah dengan kad visa ni?”soalku keresahan. Janganlah sampai aku terpaksa menghubungi Aqel memintanya datang ke sini bagi melangsaikan kos barangan yang kubeli ini. Sungguh mengaibkan jika itu yang berlaku. Nauzubillahminzalik. Jauh – jauhkan perkara yang tidak diingini berlaku. Lega rasanya tatkala melihat gelengan kepala gadis ini. Seorang pemuda bersama beberapa biji bola berlari anak ke kaunter pembayaran ini. Tiga biji bola yang dibawa oleh pemuda ini diletakkan di atas meja kaunter di depan gadis yang bertugas sebagai juruwang ini. Bola sepak, bola keranjang dan bola tampar. Aku kehairanan menatap gadis ini, memohan penjelasan lanjut.
“Ini kawan - kawan bola ragbi yang cik nak beli ni” jelas gadis ini sambil sempat berlawak denganku.
“Oh...... semua bola ini dijual dalam satu set” tekaku membuat andaian. Gadis ini mengangguk. Yang ada sekarang bola sepak, bola keranjang, bola tampar dan ditambah dengan bola ragbi. Aku tersenyum gembira. Berbaloi dengan harganya. Sudah terbayang senyuman Idlan di mataku. Senyuman yang begitu menyenangkan. Senyuman kedua yang mempesonakan selepas senyuman Aqel. Sejujurnya senyuman Aqel memang meruntun kalbu.
“Terima kasih. Sila datang lagi” tutur gadis juruwang ini. Aku tersenyum dan mengangguk. Barangan berkualiti, harga yang berpatutan serta layanan yang mesra pasti mengundang kunjunganku ke premis ini lagi. Aku membimbit dua buah beg plastik yang berisi sebuah kamus elektronik dan empat biji bola yang memenuhi tanganku tatkala keluar meninggalkan premis ‘Dunia Riang Si Kecil’ ini. Baru aku sempat menatap nama yang tertera pada papan tanda perniagaan di atas muka pintu utama premis ini. Tidak dapat meneka reaksi yang bakal Aqel tunjukkan tatkala melihat kemunculanku bersama barang – barang ini. Dapat aku rasakan Aqel akan berbesar hati dengan tindakanku. Dia juga tidak akan merungut dengan kelewatanku ini. Rasanya aku telah menghabiskan masa yang lama di premis itu tadi. Lantas mencabar kesabaran Aqel menunggu kemunculanku.
Aku berlari – lari anak ke laman tempat letak kereta. Mahu segera menamatkan penantian Aqel. Nafasku tercungap – cungap tiba di laman ini. Tersentak tatkala menatap kereta Peugeot RCZ Sports Coupe tiada berpenghuni. Aqel menghilang diri. Dia sudah tidak berada di sini lagi. Liar mataku menjejaki kelibat Aqel di sekitar kawasan ini. Mungkin Aqel bosan menunggu lama di dalam kereta lantas berlegar – legar di sekitar kawasan ini menghirup udara segar. Maklumlah kami berada di kompleks membeli – belah yang terbina dalam taman. Rekaan yang sungguh sempurna. Pokok – pokok menghijau dan bunga – bungaan pelbagai warna menghiasi lanskap indah kompleks ini. Hembusan wangian haruman bunga – bungaan memberikan ketenangan. Aku cuba menjejaki kelibat Aqel namun gagal kutemui. Aqel tidak berada di luar kawasan kompleks ini. Barangkali Aqel berada di dalam kompleks mahu menjejakiku lantaran sudah terlalu lama menanti kemunculanku.
Berhati – hati aku menyusun langkah mendaki permukaan tanah yang bertangga – tangga. Kali ini baru teringat hendak berhati – hati. Permukaan tanah yang tidak rata jika kurang waspada pasti membahayakan diri. Aku melangkah mendekati pintu utama masuk ke kompleks ini lalu berdiri di sini. Mudah hendak nampak kelibat Aqel nanti. Senang juga Aqel nampak aku yang sedang terpacak berdekatan dengan pintu utama ini laksana pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Banyak juga mata yang memandangku dan memerhatikan barangan yang kubawa ini. Tidak mustahil ada yang beranggapan aku penjual jualan langsung. Ada juga yang nampak takut – takut hendak melewatiku. Bimbang ditahan oleh penjual untuk mendengar promosi barangan yang dijual. Pastinya promosi yang tidak mahu didengar. Selalunya banyak sangat penipuan. Lembut gigi daripada lidah. Bijak berbicara, manis senyuman. Wajib berjaga – jaga agar tidak mudah tertipu.
“Awak nak jadi guru sukan ke?” suara lelaki singgah di halwa pendengaranku. Laju aku berpaling. Aqel sedang melewati muka pintu. Langkahnya tidak berhenti. Sebaliknya terus laju ke hadapan tanpa menoleh – noleh lagi. Aku bergegas memulakan langkah dengan membimbit dua buah beg plastik pada kedua – dua tanganku. Terkocoh – kocoh aku mengejar langkah Aqel.
“Ya Allah....!” Buppp....! Aku terduduk di permukaan lantai bersimen ini. Beg plastik di tangan kiriku terlepas dan terpelanting jauh. Semua bola itu terkeluar lalu bergolek – golek laju menuruni cerun – cerun membawa haluan sendiri. Mujur juga kamus elektronik ini selamat kerana berada dalam pelukanku. Aku terkial – kial hendak bangun kerana sebelah kasut tumitku ini tersepit di lubang kecil pada simen konkrit ini. Aku cuba menariknya namun bagaikan sudah dipaku di situ. Aqel hanya memerhatikan aku dengan pandangan kosong. Langsung dia tidak bergerak mendekatiku hendak menghulurkan bantuan. Persis aku orang asing padanya. Barangkali dia berasa malu mahu memperlihatkan bahawa kami saling mengenali kerana ramai yang sedang menyaksikan kejadian malang yang menimpaku ketika ini. Maka Aqel berpura – pura tidak mengenaliku. Malah tiada sesiapapun yang mengetahui aku dan Aqel saling mengenali dan sebetulnya berkongsi kereta.
Timbul perasaan marah dan rasa terkilan dengan perlakuaan Aqel yang hanya membiarkan aku bersendirian menghadapi kesulitan ini. Malu juga kerana menjadi perhatian banyak mata. Namun tiada sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan kepadaku. Kukumpul kekuatan diri ditambah dengan perasaan geram kepada Aqel, sekuat tenaga aku menarik kasut ini. Aku berjaya melakukannya, namun malang sekali lagi tumit kasut ini tercabut. Aku tidak boleh memakainya lagi. Dengan perasaan marah kutanggalkan kasut yang masih tersarung di sebelah kakiku ini lalu melontarnya ke dalam tong sampah bersama – sama kasut yang telah tercabut tumitnya ini. Aku terhinjut – hinjut menuruni cerun yang bertangga – tangga ini cuba menjejaki empat biji bola yang bergolek – golek tadi. Berkerut dahiku menahan kesakitan dan rasa ngilu tatkala memijakkan sebelah kaki kananku. Kaki ini pasti telah terseliuh. Sudah menampakkan lebam di bahagian buku laliku.
“Semua ni bola awak?” suara lelaki melontar pertanyaan kepadaku. Aku berpaling. Terkedu. Saling beradu pandangan. Pertemuan yang tidak diduga.
“Cikgu Firdaus.....” Sebaris nama ini meniti di bibirku. Dia tersenyum. Empat biji bola itu sudah berada dalam rangkulan tangannya. Lantas kuhulurkan beg plastik yang baru sahaja kukutip kepada Cikgu Firdaus. Cikgu Firdaus memasukkan semua bola itu ke dalam beg plastik lalu mengikat kemas tangkai beg plastik ini sebelum menyerahkan semula kepadaku. Andai sekali lagi beg plastik ini terlepas dari tanganku pasti semua bola di dalamnya tidak akan terkeluar.
“Awak boleh angkat?” soal Cikgu Firdaus sangsi. Laju aku mengangguk.
“Kaki awak cedera” ujar Cikgu Firdaus memaklumkan kepadaku. Cepat dia menyedari kecederaan pada kakiku.
“Tak serius” sahutku cuba berlagak biasa. Sebetulnya terasa sakit yang menyucuk – nyucuk. Ngilu. Berkerut juga dahiku menahan kesakitan ini.
“Awak datang seorang ke?” Pertanyaan Cikgu Firdaus mengingatkan aku kepada Aqel. Hatiku membara kembali. Kulontar pandangan ke arah Peugeot RCZ Sports Coupe. Aqel sudah duduk di kerusi pemandu. Bila – bila masa sahaja akan bergerak meninggalkan kawasan ini.
“Saya datang dengan Aqel. Terima kasih tolong saya kutip semua bola ni. Saya pergi dulu” ujarku meminta diri kerana khuatir Aqel akan meninggalkan aku di sini jika berlengah lagi. Sesungguhnya, Aqel boleh bertindak di luar dugaan. Tindakannya tidak dapat difikirkan. Cikgu Firdaus mengangguk dan tersenyum. Baru beberapa langkah aku meninggalkan Cikgu Firdaus, aku berpaling semula ke arahnya.
“Ada kelapangan datanglah rumah dengan mak cikgu ye. Boleh kita dengan Izeq pergi memancing lagi” ujarku mengimbau kenangan lalu. Cikgu Firdaus tersenyum dan mengangguk lagi.
“Kirim salam pada mak cikgu. Assalamualaikum....” ujarku lantas menyambung langkah kembali. Kedengaran suara Cikgu Firdaus menyahut salamku. Risau ditinggalkan Aqel dan kerana berkaki ayam sahaja,  tidak tertahan dengan kepanasan simen, maka aku berlari ke arah kereta Aqel. Lantas menyelinap masuk dan duduk di sebelah Aqel yang masih nampak bersahaja. Senyap. Aqel berpaling ke arahku.
“Takkan awak nak pegang beg plastik tu. Letaklah di bonet atau di kerusi penumpang belakang ni” omel Aqel tatkala melihat aku tidak mahu melepaskan beg plastik yang berisi bola dan kamus elektronik ini. Aku mematungkan diri. Juga menulikan telingaku. Tidak mengendahkan bicara Aqel.
“Bola tu takde kaki nak lari dari awak” ujar Aqel sinis. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Menyakitkan hati mendengar bicara Aqel persis sindiran buatku. Memanglah terasa selepas bersusah payah mengejar bola – bola ini. Yang Aqel tahu memerhatikan sahaja. Sebenarnya aku tidak sempat pun mengejarnya. Mujur Cikgu Firdaus muncul. Dialah yang berjasa menolongku mendapatkan kesemua bola ini. Bahkan hanya dialah yang sudi bertanyakan keadaanku sementara yang lain hanya menjadi pemerhati pada babak yang mengaibkan aku. Tersentuh hatiku dengan keprihatinan Cikgu Firdaus itu. Tapak kakiku terasa pedih – pedih. Pasti luka dicucuk serpihan batu – batu kecil yang tajam.
“Diam saja awak” komen Aqel memanjangkan bicaranya. Aku pula memanjangkan diamku. Masih terkilan dengan Aqel.
“Awak marahkan saya?” soal Aqel lagi. Aku masih mengunci mulut. Tidak mahu berbual – bual dengan Aqel buat sementara waktu. Apatah saat ini hati masih membara.
“Bukan salah saya tak tolong awak tadi. Awak yang nak hidup berdikari dan mahu menjaga diri sendiri” jelas Aqel bersahaja. Kutatap Aqel. Kemudian aku terus sahaja meraung. Dalam situasi sekarang bukan masa sesuai untuk Aqel berlawak. Aqel terkebil – kebil menatapku.
“Flora..... kenapa ni?” soal Aqel cemas.
“Saya bukan Flora” sahutku dalam tangisan. Raunganku semakin besar. Persis anak kecil yang sedang melempiaskan ketidakpuasan hatinya melalui tangisan. Senjata berkesan dan berharga bagi orang yang tidak berdaya.
“Kenapa ni? Janganlah menangis” pujuk Aqel cuba meredakan tangisanku. Aqel kematian akal. Air mata bercucuran di pipiku. Aku menangis semahu – mahunya tanpa secebis perasaan malu kepada Aqel yang sedang menyaksikan deraian air mata ini.
“Flora.... kenapa ni?” Aqel masih mengulangi pertanyaannya. Kali ini bahuku digoncang. Mahu segera melenyapkan tangisanku.
“Okey....okey.... saya minta maaf. Salah saya sebab tak pedulikan awak tadi. Awak hukumlah saya” ujar Aqel berjanji. Dia juga menyedari perbuatannya yang tidak patut.
“Saya akan terima apa saja hukuman awak. Saya takkan bantah” ujar Aqel menambah janjinya. Wajahnya serius menatapku. Cuba memujukku.
“Tapi awak mesti berhenti menangis sekarang” pintanya memberi syarat. Aku mengesat sisa – sisa air mata sambil menahan esakanku.
“Janji?” soalku meminta kepastian. Aqel mengangguk seraya mengangkat tangan kanan menunjukkan ikrar sumpah janjinya.
“Saya akan menurut perintah awak.....” ujar Aqel melafazkan ikrar. Dia bersungguh – sungguh. Aku yakin Aqel akan mengotakan perkara yang dijanjikannya.
“Kalau awak nak saya beli hadiah hari jadi budak itu, saya akan beli. Awak cakap saja nak hadiah apa” ujar Aqel menyambung bicaranya.
 “Kalau awak nak saya hadir ke majlis hari jadi budak itu saya akan pergi. Awak beritahu saya bila dan di mana majlisnya” bicaranya lagi. Aku mengetap bibir. Perkara itu yang berada dalam benaknya.
“Boleh tak kalau awak diam” perintahku garang. Aqel terkebil – kebil menatapku. Terkejut mendengar nada suaraku yang sedikit tinggi.
“Banyak sangat cakap” keluhku berbicara sendiri. Aqel masih menatapku.
“Awak ingat saya sekejam awak” ujarku melempiaskan amarahku. Membutang mataku menatap Aqel.
“Saya takkan suruh awak buat perkara yang awak tak suka” tegasku. Senyap.
“Apa nak tunggu lagi, kita baliklah” arahku sedikit radang. Aqel menjelingku. Lantas menghidupkan enjin kereta. Kemudian memulakan perjalanan. Rasa pedih semakin terasa. Aku menatap tapak kakiku. Ada luka – luka kecil.
“Aduhhhh.....” Aku mengerang kecil. Mujur kaki di sebelah kiri ini sahaja yang luka. Namun yang malangnya kaki kanan pula yang terseliuh. Pasti menyukarkan aku bergerak pantas nanti. Bertimpa – timpa malang mendatangiku. Kereta yang Aqel pandu berhenti. Kutatap Aqel.
“Kita nak pergi mana ni?” soalku hairan.
“Singgah sekejap di sini” sahut Aqel.
“Nak buat apa kat sini?” soalku binggung. Aku melontar pandangan keluar. Sebuah taman rekreasi yang diwartakan sebagai hutan simpan. Maklumat yang tertulis pada papan tanda yang terpacak berdekatan dengan pintu gerbang. Tampak sunyi dan mendamaikan. Hanya kelihatan beberapa orang sedang berjalan menerokai keindahan taman ini.
“Cepatlah keluar” arah Aqel. Aku berpaling. Aqel sedang berdiri di tepi kereta.
“Nak buat apa kat sini?” soalku mengulangi pertanyaan yang belum Aqel jawab lagi.
“Kita rehat kat pondok tu” jelas Aqel sambil menunding jari ke arah pondok kayu yang hanya beratap tetapi tidak bertiang dan berdinding itu. Ada meja dan bangku batu di situ. Pondok yang cantik untuk beristerehat sambil menghirup udara segar. Namun perlukan banyak langkah untuk datang ke situ. Aku menggeleng. Rasanya aku tidak mampu pergi sejauh itu. Bimbang kecederaan yang menimpaku menjadi serius.
“Saya tak nak pergi ke pondok tu” ujarku sambil menatap kakiku. Sekarang pergerakanku agak terbatas. Pasti sukar aku hendak sampai ke situ.
“Tunggu sekejap” arah Aqel. Dia bergerak ke belakang, membuka bonet lalu mengeluarkan sesuatu dari bonet kereta. Pintu kereta dikuak dari luar. Sekelip mata Aqel sudah berdiri di sebelahku. Berada di tangannya kotak set ubat – ubatan. Mengertilah aku tentang hajat hati Aqel. Cuba menembus kesalahan dirinya dengan berbuat baik kepadaku.
“Keluarlah sekarang. Biar saya bubuh ubat luka di kaki awak tu” jelas Aqel. Laju aku menggeleng.
“Tak nak... nanti pedih” tingkahku seperti budak kecil.
“Saya tak tahan sakit” tambahku memberi alasan. Aqel tersenyum sinis memerliku.
“Manja sangat macam budak kecil” kutuk Aqel. Kutulikan telinga.
“Cepat keluar....” arah Aqel tidak mengendahkan bicaraku. Tidak mudah Aqel akan mengalah. Sikap degilnya setanding denganku. Aku mendengus geram. Tidak suka dipaksa – paksa.  
“Tak nak. Saya nak balik ke rumah sekarang” tegasku. Tidak mudah patuh pada arahan Aqel. Nampak sangat dirinya bukanlah seorang yang prihatin. Aku sakit – sakit begini disuruh lagi jalan jauh – jauh. Sudahlah hanya berkaki ayam sahaja. Memang Aqel manusia yang tiada belas kasihan kepada orang lain.
“Mari....” Aqel sudah menguak luas pintu kereta lalu membengkok mendekatkan dirinya denganku. Aku tersentak dan tergamam. Tidak selesa dalam posisi sekarang. Aqel terlalu dekat denganku. Wangian Aqel harum semerbak memenuhi rongga hidungku.
“Awak nak buat apa ni?” tanyaku cemas.
“Nak bawa awak keluarlah” jelasnya.
“Saya nak balik rumah” tingkahku berkeras. Aqel masih tidak berganjak. Mungkin dia mahu mengangkatku keluar dari kereta ini. Nampak Aqel bersungguh – sungguh hendak melakukannya.
“Okey.....okey.... saya keluar sendiri” ujarku mengalah. Aqel tersengih. Bahagia hatinya setelah kemenangan berpihak kepadanya. Dia menjarakkan dirinya daripadaku. Berdiri di sebelahku menunggu aku keluar dari kereta ini. Aku mendengus. Geram kepada Aqel. Perlahan – lahan kuletak kakiku ke bumi. Berkerut dahiku menahan sakit.
“Aduhhh....” Aku mengerang kecil. Pandangan Aqel tidak menjauhiku. Bagaikan dia sedang mengawasiku.
“Macam mana saya nak jalan ni, kan saya tak pakai kasut” ujarku melenting.
“Itu perkara mudah saja. Mari saya dukung awak” sahut Aqel bersahaja. Aku menjelingnya. Cadangan yang tidak masuk akal. Pasti dia mahu mengambil kesempatan ke atasku.
“Nah.... pakai kasut saya ni” Aqel memberikan pilihan kedua. Kasutnya diletakkan di hadapanku. Kutenung seketika kasut kulit hitam yang berkilat ini.
“Pakailah....” arah Aqel tatkala melihat aku belum berbuat apa – apa lagi. Kupandang Aqel. Mula berfikiran jahat. Kupandang sekeliling. Tiada manusia yang berdekatan sekarang. Situasi yang sangat sesuai. Aku ada agenda mahu mengenakan Aqel. Aku tersenyum sendiri.  
“Tak payah fikir lama – lama pakai saja kasut tu. Kaki saya bersih dan suci. Langsung takde kurap atau kudis malah sentiasa harum dan wangi” leter Aqel panjang lebar. Sempat juga dia membangga diri. Aku mencebik ke arahnya.
“Saya tak nak pakai kasut awak” ujarku. Tajam mata Aqel menatapku.
“Saya nak awak dukung saya...” cepat aku menyambung bicara sebelum sempat Aqel melenting. Berkerut dahi Aqel menatapku. Sudah semestinya permintaanku di luar jangkaannya. Aqel tersenyum lebar. Nampak menakutkan.
“Lagilah mudah...” ujarnya senang sambil memakai kasutnya semula.
“Mari......” Aqel membongkokkan sedikit tubuhnya sambil mendepakan tangan. Mula mengarahkan aku berbaring di tangannya.
“Saya tak nak posisi macam tu” tingkahku.
“Awak ni banyak sangat songehnya” leter Aqel geram. Aku tersengih.
“Saya nak bergayut di belakang awak” ujarku tersengih lagi.
“Awak ingat saya ni pohon pokok dan awak tu monyet” kutuk Aqel. Aku tersenyum. Aqel membongkokkan tubuhnya di depanku. Sudah bersedia mahu menampung berat tubuhku. 
“Awak jangan bangun dulu tau” ujarku memberi peringatan kepadanya.
“Dukung saya hati – hati. Jangan jatuhkan saya tau” ujarku berpesan.
“Ye..... saya tahulah. Cepat naik....” sahut Aqel geram.
“Sedia....”Aku melingkarkan tanganku di leher Aqel. Kemudian memanjat tubuh Aqel. Sekelip mata aku sudah bergayut di tubuh Aqel.
“Aa....awak ....nak bunuh saya ....” suara Aqel tersekat – sekat. Dia batuk – batuk. Kuketatkan lagi lingkaran tanganku di leher Aqel. Persis sedang mencekik leher Aqel sekarang.
“Aa....aa..wak..ce...kik.. le...her....sa...yaaa” suara Aqel terputus – putus. Aku tersenyum sendiri. Padan mukanya. Seronok dapat mempermainkan Aqel.
“Tak...saya takut jatuh” sahutku buat – buat cemas. Batuk – batuk Aqel masih kedengaran. Semakin lebar pula senyumanku.
“Cepatlah jalan....cepat....” Aku mula bergoyang – goyang bagai ditiup angin di belakang Aqel menambah kesukaran anak muda Mak Long ini. Detik penyeksaan ke atas Aqel telah bermula.
“Diam – diamlah...!” arah Aqel melenting. Aku tersenyum lagi. Aqel mula mengatur langkah. Aturan langkah Aqel tidak kemas. Sedikit terumbang – ambing. Pautan tanganku di leher Aqel masih ketat. Sengaja mahu menyukarkannya bernafas. Batuk Aqel masih kedengaran. Dengan penyeksaan ini sudah semestinya perjalanan ini terasa panjang buat Aqel.   
“Long...garkan....longgarkan ta...tangan...aa...awak....” Sukar Aqel hendak berbicara. Saluran pernafasannya tersekat dan terhalang oleh kuncian padu tanganku. Deruan nafas Aqel tercungap – cungap. Tidak lancar. Berat tubuhku menjadi beban yang terpaksa Aqel pikul. Berkesan juga teknik yang kupilih ini bagi memberi kesengsaraan seketika kepada Aqel. Aku memang mahu mendera Aqel ketika ini.
“Cepat turun.....!” arah Aqel melontar suaranya sedikit lantang. Sudah tidak tertanggung dirinya dengan penderaanku. Aku tersenyum sendiri.
“Hati – hati nanti saya jatuh” ujarku melambat – lambatkan permintaannya. .Cuba berlagak berwaspada demi keselamatan diri. Kakiku tetap tergantung. Bebanan berat badanku masih terpikul di bahu Aqel. Tatkala aku meleraikan pautan tanganku di leher Aqel kedengaran helaan nafas leganya. Baru terlepas daripada bebanan yang menyeksakan. Wajah Aqel yang nan putih merah merona. Kekurangan oksigen. Ditambah lagi berat badanku yang terpaksa dipikulnya.
“Awak kena kurangkan berat badan awak” kutuk Aqel disambut dengan sengihanku. Langsung tiada amarah mendengar perlian Aqel. Sebaliknya kepuasan hati setelah berjaya mendera Aqel. Sudah tertebus rasa terkilanku sebentar tadi.
“Duduk dan lunjurkan kaki awak” arah Aqel dengan garangnya. Aku menurut sahaja arahannya masih dengan sengihan. Betapa seronok memperdayakan Aqel. Aqel terus sahaja menggunakan kepakarannya merawat luka – luka kecil di telapak kakiku mengikut prosuder rawatan kecederaan ringan.
“Aduh.....” Aku mengerang menahan pedih. Mukaku berkerut.
“Sakit?” soal Aqel.
“Memanglah sakit...” sahutku kasar.
“Luka – luka kecil saja” sinis sahaja suara Aqel mengulas kecederaan yang kualami. Aku mengetap bibir. Cuba bertahan dan bersabar dengan kepedihan luka ini. Silap – silap boleh melayang kaki ini menghadiahkan tendangan kepada Aqel. Aqel membalut kemas telapak kakiku. Kemudian beralih pada kaki kananku. Berkerut dahiku menahan sakit.
“Perlahan....” pintaku. Kaki kanan ini lebih sakit daripada luka – luka di tapak kaki kiri.
“Jangan berkuat. Kaki awak terseliuh ni” ujar Aqel persis yang kurasakan. Aku manggigit bibir menahan sakit tatkala tangan Aqel menyentuhnya.
“Saya bawa awak ke klinik” saran Aqel. Laju aku menggeleng. Kecederaan kecil. Aku hanya perlukan kepakaran mak untuk memulihkan. Selepas mak mengurutnya nanti kesakitan ini akan hilang.
“Kalau macam tu biar saya yang betulkan urat – urat awak....” ujar Aqel menawarkan jasanya. Bulat anak mataku menatap Aqel.
“Awak boleh buat ke?” tanyaku kurang yakin dengan kebolehannya. Aqel tersenyum.
“Kita boleh cuba....” jawabnya bersahaja. Tangan Aqel sudah memegang pergelangan kaki kananku. Sudah bersedia melakukannya.
“Tunggu.....” pintaku cuba melengahkan Aqel. Tidak dapat aku bayangkan kesakitan yang bakal aku rasa.
“Buat perlahan – lahan....” pintaku sambil membayangkan kesakitan luar biasa. Aqel mengangguk.
“Sedia...” arah Aqel. Aku mengangguk. Kupejamkan mataku. Tidak sanggup menyaksikan tangan Aqel menyentap kuat kakiku.
“Bismillahnirahmanirahim.......” suara Aqel melafazkan kalimah Allah.
“Aaahhhhhhhh......!!!... Aaahhhhhhhhhh!!!” suaraku dengan suara Aqel bersatu lantas bergema dengan kuatnya. Tatkala tangan Aqel memusing dan menarik kakiku dengan kuatnya, sepantas kilat tanganku hinggap di bahu Aqel. Kukuku yang sedikit tajam telah mencengkam isi hingga ke tulang Aqel membuatkannya separuh mati menjerit. Kedengaran bunyi tulang kakiku.
“Lepaskan cengkaman awak....” pinta Aqel dengan dahi berkerut menahan sakit. Baru aku tersedar. Laju sahaja aku menarik tanganku. Nampak bahu Aqel merah dan bercalar.
“Awak ni harimau ke?” lirih suara Aqel dengan wajah kelatnya. Aku tergelak kecil.           
“Ohh....sorry.... di luar kawalan saya tadi” ujarku rasa bersalah. Aqel menjelingku tajam. Tangannya mengusap – usap lembut bahunya yang calar.
“Cuba awak berdiri....” arah Aqel. Kupandang Aqel. Kurang yakin hendak menuruti arahannya. Bimbang sakit lagi.
“Cepat....” gesa Aqel. Lambat – lambat aku bangun dengan menggantung kaki kananku. Masih takut – takut mahu memijakkannya. Aqel geleng kepala.
“Pijakkanlah kaki kanan awak tu” arah Aqel melenting. Sedikit demi sedikit kuturunkan kaki kanan ini sehinggalah mencecah ke simen. Perlahan – lahan kupijakkan. Sedikit – sedikit kupindahkan berat badanku. Ternyata kaki kananku sudah mampu menampung bahagiannya tanpa rasa sakit. Kupandang Aqel.
“Dah tak sakit” ujarku teruja dan lebih aktif menggerakkan kaki kanan ini. Kakiku yang terseliuh sudah pulih sepenuhnya.Aqel tersenyum. Dia telah berjaya membuktikan keupayaan dirinya.
“Terima kasih, Aqel” ujarku gembira kerana kaki kananku sudah pulih. Aqel senyum lagi. Lantas tangannya mula membalut kaki kananku ini persis kaki kiriku.
“Kenapa nak dibalut? Kaki ni kan dah tak sakit lagi” ujarku binggung. Aqel tidak mempedulikan bicaraku. Tangannya masih melingkarkan kain pembalut itu di kakiku.
“Saya dah tak mampu nak dukung awak untuk hari ini. Lepas ini awak jalan sendiri” jelas Aqel buat aku tertawa. Mengertilah aku bahawa Aqel telah menyiapkan alas kakiku bagi memudahkan aku bergerak. Dalam masa yang sama Aqel tidak perlu mendukungku lagi. Kutatap Aqel yang sedang fokus membalut kaki kananku. Timbul perasaan bersalahku kepadanya. Tidak patut aku bersikap keanak – anakan tadi.
“Terima kasih, Aqel dan maafkan saya....” ujarku kesal. Aqel hanya senyum. Kupandang kedua – dua kakiku yang sudah dibalut kemas dengan perasaan sayu. Rawan dan terkilan berpadu menjadi satu. Rawan kerana menerima kebaikan Aqel dan terkilan kerana telah kehilangan kasut kesayanganku. Ada kenangan tersimpan di sebalik sepasang kasut tumit itu. Kasut tumit pertama yang aku miliki setelah diarahkan oleh Puan Rosie bertugas di KDUT sebagai menebus kecuaianku. Kasut pertama yang aku pakai ketika pertama kali memijakkan kaki ke KDUT. Kasut tumit yang aku pakai ketika dinobatkan dengan Aqel sebagai pasangan yang ideal pada majlis makan malam KDUT malah aku memakai kasut ini ketika Aqel menjemputku naik ke atas pentas lantas memperkenalkan aku sebagai tunangnya di depan warga KDUT. Maka bermula dari detik itu terciptalah kisah baru hidupku. Sesungguhnya, kasut tumit yang banyak menyaksikan kisah suka dukaku di KDUT. Kalaulah aku tidak terlalu mengikut perasaan pasti kasut tumit itu masih menjadi milikku. Aku boleh menghantarnya kepada tukang kasut untuk dibaikpulih. Oh.... mengapalah aku tidak berfikir panjang tadi! Aku melepaskan keluhan kecilku. Menyesali tindakan terburu – buruku.
“Awak nampak sedih” komen Aqel. Aku tersenyum sekilas.
“Teringat pada kasut saya tadi” jelasku.
“Belilah kasut yang baru” saran Aqel. Aku menggeleng.
“Yang baru takkan sama dengan yang lama” balasku berkias – kias. Aqel tersenyum.
“Banyak sangat perkara yang menyentuh jiwa awak” lirih sahaja suara Aqel.
“Sudah ditakdirkan saya jadi begini” ujarku memberikan jawapan yang mudah dan tidak perlu dipersoalkan oleh Aqel lagi. Orang yang pernah kecewa dan dilukai memang mudah terusik nalurinya. Sangat sensitif.
“Penting sangat ke hadiah tu sampai awak sanggup cedera” duga Aqel.
“Saya tak nak biarkan bola tu lari jauh” sahutku membela diri.
“Biarkan bola itu pergi sejauh yang boleh” balas Aqel. Aku menggeleng.
“Saya takkan biarkan semua itu berlaku” tegasku meningkah bicara Aqel.
“Kenapa?” tanya Aqel.
“Saya beli semua bola itu untuk awak berikan kepada Idlan. Itu hadiah awak. Saya tak nak sia – siakan usaha saya” tegasku. Aqel menatapku.
“Berikan semua bola itu kepada saya nanti” arah Aqel.
“Untuk apa?” tanyaku binggung.
“Sebab itu hadiah saya” jawab Aqel. Aqel sudah salah faham.
“Hadiah daripada awak untuk Idlan. Bukan hadiah untuk awak” ujarku menjelaskan lebih terperinci. Cuba membetulkan kesalahfahaman Aqel. Aqel senyum.
“Berikan saja semua bola itu kepada saya. Biar saya sendiri yang belikan Idlan hadiah nanti” jelas Aqel memecahkan kebinggunganku.
“Idlan tak suka bola?” tanyaku. Aqel menggeleng.
“Saya yang suka sangat dengan bola yang awak beli tu. Saya tak boleh berikan barang yang saya suka pada orang lain” jelas Aqel tersenyum.
“Awak suka bola?” tanyaku dengan mata yang membutang. Terkejut mendengar pengakuan Aqel ini. Aqel mengangguk dan tersenyum lebar.
“Pelik....macam budak – budak....” perliku sukar mahu menerima kenyataan Aqel.
“Awak memang tak memahami saya” ujar Aqel tergelak.
“Pelik lelaki dewasa meminati permainan budak – budak” tingkahku cuba menyatakan kepada Aqel bahawa sikapnya agak luar biasa daripada kebiasaan. Kuperhalusi sikap Aqel yang kuketahui, memang tiada yang mustahil. Aqel memang seorang yang aneh.
“Mari balik....” ajak Aqel menyentakkanku.
“Saya ada perkara lain nak buat lagi” jelas Aqel lalu bangkit dari duduknya lantas memulakan langkah mendahuluiku. Aku mengekori langkah Aqel dengan kaki yang terjengket – jengket. Aku tidak mahu alas kaki yang Aqel buat ini kotor. Aqel menghantarku balik ke rumah mak. Setelah mengambil semua bola itu daripadaku dan tanpa sebarang bicara Aqel terus pergi meninggalkan aku yang terkebil – kebil kehairanan. Tidak tahu ke mana destinasi seterusnya. Jelasnya Aqel mengejar masa.

Dia melangkah ke arah tong sampah itu. Jelas pada penglihatannya tadi kasut tumit itu dibaling ke dalam tong sampah itu dengan perasaan marah. Hampa. Sepasang kasut itu tidak ditemui di situ. Aqel melangkah menyusuri jalan kecil itu. Mana tahu sepasang kasut tumit itu telah tersasar ke situ. Hampir ke penghujung jalan dia masih tidak menemui sepasang kasut itu. Rasa kecewa yang tidak dapat dibendung. Dia melontar pandangan jauh – jauh. Masih berharap sepasang kasut tumit itu akan ditemuinya jua.
“Assalamualaikum..... Awak sedang cari ni?” ada suara lelaki menyapanya dari belakang. Aqel berpaling. Bertaut pandangan dengan pemuda ini. Terbit rasa hairannya tatkala pemuda ini masih berada di sini. Kemudian pandangannya beralih pada kasut tumit di tangan pemuda ini. Lantas hatinya berbisik meluahkan rasa kecewa kerana gagal menemui sepasang kasut tumit itu mendahului pemuda ini.


Friday, 14 November 2014

NamaKu Bukan Flora..! 63





BAB 63

“Saya tinggalkan Flora dengan awak di sini ye. Saya ada hal sekejap lagi” tutur Aqel mengejutkan aku. Haqem mengangguk dan tersenyum. Tanpa sebarang bicara Aqel meninggalkan aku yang terkebil – kebil memerhatikan langkahnya ke kaunter pembayaran kemudian berlalu ke pintu utama. Langsung tidak menoleh – noleh lagi. Sungguh terasa diri ini tidak bernilai kepada Aqel. Sedikit rasa terkilan menyelinap dalam diri.
“Lepas ni nak pergi mana?” ujar Haqem mengajukan pertanyaan.
“Balik office” jawabku ringkas dan padat. Tempat itulah yang sepatutnya dituju sebaik sahaja usai menikmati hidangan tengah hari ini. Lagipun tidak selesa berdua – duaan dengan Haqem tika ini biarpun dengan izin Aqel dan berada di tempat umum. Laju Haqem menggeleng. Dia tersenyum lagi. Sudah ada agenda tersendiri yang dirancangnya.
“Kita nak jumpa seseorang” tutur Haqem berahsia. Kupandang Haqem. Sedikit mendebarkanku. Mustahil Haqem akan mempertemukan aku dengan Datin Sofea. Tidak mungkin juga Haqem mahu aku bersua muka dan beramah mesra dengan Bella. Semua itu tidak akan berlaku.
“Dah habis makan?” soal Haqem tatkala melihat aku termenung jauh dan tidak menyentuh hidangan di atas meja lagi. Aku mengangguk.
“Mari....” ajak Haqem mendahului langkahku. Aku bangkit dari kerusi ini dengan hati yang berat. Timbul pula rasa marah kepada Aqel. Tidak patut dia meninggalkan aku bersama Haqem. Rasa menyesal pula kerana begitu mudah menerima pelawaan Aqel makan tengah hari bersama mereka. Salahku juga. Aku melepaskan keluhan kecil. Memaksa diri ikut serta dengan agenda yang telah dirancang oleh Haqem.
Haqem menguak pintu kereta mempersilakan aku masuk. Memang sudah menjadi tabiatnya. Berbeza dengan Aqel yang lebih banyak membiarkan aku melakukannya sendiri. Aqel hanya akan melakukannya jika aku enggan menjadi penumpangnya. Pasti saat itu aku dengan Aqel sedang bergaduh. Aqel bukan lelaki romantik. Aku tersenyum sendiri. Duduk di sebelah Haqem di dalam kereta ini terasa kaku pula. Janggal hendak berbual panjang dengan Haqem. Maka aku hanya mendiamkan diri.  Pandanganku terarah pada buku di atas dashboard di depan pemandu. Bermakna buku itu statik di depan mata Haqem.
“Patutlah setiap hari Haqem tengok buku itu. Ke mana – mana saja dia bawa buku itu. Dia langsung tak mahu berenggang dengan buku itu. Bermakna Haqem sentiasa merindui dan mengingati awak. Mungkin sebab ini juga hati awak tak pernah tenang” suara Aqel berbisik di telingaku.
 “Awak mahu berpisah dengan Haqem, tapi dalam masa yang sama awak berikan harapan padanya. Haqem tak pernah berputus asa nak dapatkan awak kembali” suara Aqel masih kedengaran di telingaku.
“Awak tahu sebab Haqem masih menaruh harapan pada awak?” suara Aqel lagi.
“Dalam hati awak masih ada Haqem. Bayangan Haqem sentiasa bersama awak” suara Aqel bermain – main di halwa pendengaranku. Pandanganku masih terikat pada buku itu. Maka kenangan lalu bertandang di benakku.
 “Awak tulis sesuatu untuk saya” pintaku sambil membuka halaman kosong untuk diisi oleh Haqem. Haqem tersenyum, lantas mencoret sesuatu.
“Awak sentiasa dalam ingatan saya” Aku membunyikan tulisan tangan Haqem itu. Tersentuh hatiku. Kalimah yang sangat bermakna buatku.
“Hey.... Macam tak sesuai saja... rasa macam nak berpisah pula” ujar Haqem.
“Awak tulis sesuatu untuk saya pula” pinta Haqem.
“Bersama awak adalah memori terindah saya” suara Haqem membunyikan ayat yang kutulis.
“Saya tak nak jadi memori awak. Saya nak bersama awak sepanjang hayat saya. Awak tulis semula” pinta Haqem. Aku enggan dan menolak permintaan Haqem tika itu. Memang itu kalimah yang paling sesuai kucoretkan buat Haqem. Hari terakhir aku bersama Haqem sebelum berpisah dengannya. Kali ini aku yang meninggalkan Haqem.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini. Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” pesanku memaksa diri tersenyum.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini. Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” suara Aqel mencelah lamunanku. Aku tersentak.
“Kenapa Lia?” Aku berpaling. Aqel tidak berada di sini. Haqem memandangku sekilas. Kemudian fokus pada pemanduannya. Aku masih diam.
“Saya masih simpan dengan baik buku yang awak hadiahkan kepada saya dulu” suara Haqem memberi penjelasan. Dia seakan mengerti dengan pandangan mataku.
“Malah buku ini sentiasa bersama saya” tambah Haqem berbicara. Senyap lagi. Aku kematian akal. Tidak tahu apa yang harus aku tuturkan kepada Haqem.
“Saya tak nak jadi memori awak. Saya nak bersama awak sepanjang hayat saya” Haqem mengulangi bicaranya itu. Kutatap Haqem.
“Saya benar – benar serius” tegas Haqem. Aku terkedu. Haqem seakan sudah lupa yang dia sedang meluahkan perasaannya kepada isteri sahabat baiknya.
“Aqel bukan penghalang untuk kita bersama semula. Aqel begitu pentingkan kebahagiaan awak” tutur Haqem begitu yakin. Aku masih membisu. Berdosalah aku jika memberikan harapan kepada Haqem. Namun bicara Haqem ini membuatkan aku berfikir panjang.
“Mari....” Aku tersentak. Haqem sedang membongkokkan tubuhnya menjenguk aku yang masih duduk di kerusi penumpang ini. Lamanya aku berfikir. Langsung tidak menyedari kereta ini sudah sampai ke destinasinya. Aku bergegas keluar dari kereta. Kemudian berdiri di sebelah Haqem.
“Kita masuk dalam” ajak Haqem. Aku mengiringi langkah Haqem memasuki pusat membeli belah ini. Sedikit debaran kurasakan tatkala mengingati gerangan insan yang bakal dipertemukan denganku. Akalku tidak dapat meneka siapakah gerangannya. Namun aku begitu yakin bukan Datin Sofea mahupun Bella yang mahu kami temui. Langkah kami mati di ruang legar ini. Mata Haqem melilau – lilau persis sedang mencari insan yang mahu dipertemukan denganku. Haqem mengeluarkan iPhone dari saku seluarnya. Lantas membuat panggilan. Aku masih setia berdiri di sisinya sambil memerhatikan manusia yang lalu – lalang di pusat membeli – belah mewah ini tanpa menghiraukan dengan siapa Haqem berbual sekarang.
“Kita duduk di situ” ajak Haqem sambil menunding jari ke arah bangku kayu di tepi dinding itu. Bangku khas yang disediakan oleh pemilik premis ini buat para pengunjung beristerehat menghilangkan kepenatan dan tempat seseorang bersantai menantikan temujanjinya berlangsung. Aku mengekori langkah Haqem lalu melabuhkan duduk di bangku kayu ini dengan menjarakkan diri daripada Haqem. Membiarkan ruang di tengah – tengah kerusi ini kosong. Biarlah menjadi sempadan antara aku dengan Haqem.
“Awak tak selesa bersama saya?” soal Haqem sambil berpaling ke arahku. Aku menatap Haqem sekilas. Kemudian mengalih pandanganku ke hadapan, memerhatikan manusia yang lalu – lalang dengan pelbagai ragam dan kerenah.
“Mengapa Aqel tinggalkan saya dengan awak?” meluncur laju pertanyaan ini terbit dari mulutku. Kupandang Haqem. Tiada tanda – tanda Haqem mahu membuka mulut hendak menjawab pertanyaanku ini.
“Mengapa Aqel begitu yakin awak akan membahagiakan saya?” satu pertanyaan lagi kulontar kepada Haqem.
“Sebab saya sangat mencintai awak. Awak ialah kekasih pertama dan kekasih terakhir saya. Tidak akan ada yang lain” sahut Haqem serius. 
“Walau banyak sangat halangan yang saya tempuhi selama ini tapi saya yakin kita masih ada jodoh hidup bersama” tambah Haqem berbicara. Keyakinan Haqem begitu tinggi. Mesti Aqel telah menjanjikan sesuatu kepadanya.
“Setelah Aqel lepaskan awak.... awak sudi menerima saya kembali?” soal Haqem. Aku terkedu. Kali ini Haqem berbicara dengan jelas tanpa sebarang sekatan dan halangan. Haqem menatapku menanti jawapanku. Aku hanya mampu membalas pandangan Haqem dengan mulut yang terkunci.
“Pak Usu.....!” Ada suara kecil melaung. Serentak aku dan Haqem mengalih pandangan ke arah suara itu. Seorang budak lelaki lingkungan usia 4 tahun sedang berlari ke arah kami. Bingkas Haqem bangun dengan senyuman lebar menyambut kedatangan budak lelaki itu. Sekelip mata sahaja budak kecil itu sudah berada dalam pelukan Haqem. Seketika budak kecil itu dengan manjanya berada dalam pelukan Haqem. Beberapa kucupan singgah di pipi Haqem. Betapa dia menyayangi Haqem. Haqem bakal menjadi ayah yang penyayang.
“Maaf. Dah lama tunggu?” Aku menggeleng. Bingkas aku bangun lalu menghulurkan tangan. Tanganku dengan tangan Harianie bertaut seketika.
“Idlan.... mari sini” panggil Harianie kepada budak lelaki yang masih berpegangan tangan dengan Haqem. Dia mendekati ibunya.
“Salam dengan auntie Lia” arah Harianie. Dia patuh pada bicara ibunya biarpun nampak malu – malu. Tangan comelnya memaut tanganku lantas menciumnya.
“Nama adik siapa?” soalku ingin tahu.
“Idlan Raid bin Adam Shahrulnizam” sahutnya petah membentangkan nama penuhnya.
“Wah, cantiknya nama secomel orangnya!” pujiku mengusiknya sambil mencuit pipi gebunya. Idlan tersenyum suka mendengar pujianku. Anak buah Haqem sungguh comel. Dewasa kelak akan menyaingi ketampanan bapa saudaranya ini. Harianie dan Haqem hanya tersenyum memerhatikan perkenalan kami.
“Apa plan seterusnya?” soal Harianie sambil menatap Haqem.
“Kita serahkan kepada Tuan Muda yang diraikan” balas Haqem buat aku tercengang – cengang. Idlan tersenyum – senyum.
“Nak tengok animasi” ujar Idlan. Haqem mengangguk. Harianie geleng – geleng kepala. Namun senyuman terukir di bibirnya. Sukar hendak menolak permintaan permata hatinya.
“Hari ini hari jadi Idlan?” soalku menuntut penjelasan lanjut. Laju Idlan mengangguk.
“Oh..... sorry auntie Lia tak tahupun. Auntie Lia tak ada hadiah untuk Idlan sekarang” ujarku kesal kerana terlewat mengetahuinya. Timbul rasa bersalah. Sempat juga aku menjeling Haqem kerana tidak memaklumkan perkara ini kepadaku. Kalau tidak pasti aku akan membelikan sesuatu buat Idlan. Haqem tersenyum menerima jelinganku. Pasti dia mengerti.
“Tapi auntie Lia janji akan belikan Idlan hadiah nanti. Happy brithday Idlan. Semoga menjadi anak yang soleh dan sentiasa diberkati Allah, panjang umur dan dimurahkan rezeki. Semoga juga bertambah – tambah comel” doaku sambil sempat mengusiknya. Idlan tertawa kecil.
“Terima kasih, auntie Lia” balas Idlan menambah kecomelan dirinya buat aku bertambah geram menatapnya dan iri hati kepada Haqem kerana memiliki anak buah secomel ini. Betapa bertuahnya Harianie dianugerahkan Allah permata hati sesempurna ciptaNya.
“Comelnya awak...” tanganku terus sahaja mendarat di pipi gebu Idlan. Mencuit lembut pipinya, melepaskan perasaan geram melihat kepetahannya berbicara. Idlan memang anak yang pintar dan bijak.
Perkara yang dijanjikan, kami menemani Idlan menonton tayangan animasi di pawagam setelah sekian lama aku tidak menjejakkan kaki ke tempat seperti ini. Terimbau kenangan lalu. Ketika di universiti, aku dan Haqem akan mengisi hujung minggu kami dengan menonton tayangan filem di pawagam. Cara mudah hendak mensirnakan tekanan belajar. Sudah pasti filem komedi yang menjadi pilihan. Gelak ketawa terbukti mujarab menghilangkan stress itu. Seingatku tidak pernah aku dan Haqem menonton tayangan pawagam yang berunsurkan percintaan sang kekasih. Tidak berminat cerita sedemikian. Yang mencuit hatiku, Haqem tidak mahu perwatakan hero mempengaruhinya. Maka semula jadinya Haqem telah menjadi kekasih yang romantik.
Kulontar pandangan ke arah Haqem. Dia begitu setia melayan kerenah Idlan. Nampak budak itu begitu manja dengannya. Terlintas di benakku, di mana ayah Idlan? Sudah berpisahkah Harianie dengan suaminya? Sungguh menghairankan lelaki itu tidak bersama Harianie dan Idlan pada hari yang istimewa ini. Mana anak – anak yang lain? Adakah Idlan putera tunggal Harianie? Banyak sangat persoalan yang bermain di benakku. Aku musykil.
“Akak nak keluar. Nak ikut tak?” bisik Harianie sambil mencuitku. Aku tersentak. Laju aku menggangguk. Sebelum pergi Harianie mencuit lengan Haqem pula lantas menggunakan bahasa isyarat memaklumkan tentang keberangkatan kami. Haqem mengangguk dan membiarkan aku pergi bersama Harianie.
“Akak tak tahan sejuk” keluh Harianie sambil menemukan telapak tangan kanan dengan telapak tangan kirinya. Bibirnya bergetar.
“Eeee..... sejuknya...” keluh Harianie dengan suara yang bergetar. Harianie mengajak aku minum kopi panas di kafeteria bersebelahan dengan pawagam ini.
“Oh.... nikmatnya” tutur Harianie selepas menyedut perlahan – lahan air kopi berasap di cawan. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya yang bersahaja ini. Sikapnya sangat berbeza dengan kebanyakan perempuan kaya yang terlalu beretika.
“Walaupun akak dah lama tinggal di luar negara tapi masih juga tak tahan dengan sejuk” tuturnya tanpa berselindung. Aku tersenyum mendengarnya dan mengharapkan Harianie akan terus bercerita panjang.
“Akak terhutang budi pada Lia” tutur Harianie sambil menatapku. Dahiku berkerut. Tidak mengerti maksud bicaranya ini. Tiada budi dan jasa yang aku taburkan buat keluarganya, jauh sekali untuk dirinya sehingga membuatkan Harianie berperasaan sedemikian.
“Kehadiran kamu hari ini lebih menggembirakan Idlan. Dia nampak seronok sangat berkenalan dengan kamu. Akak benar – benar menghargainya” tutur Harianie bersungguh – sungguh. Seolah – olah ada kedukaan yang terselindung di sebalik keceriaan Harianie.
“Apa yang telah berlaku kak?” soalku sudah bersedia mahu berkongsi cerita duka dengannya. Mungkin Harianie perlu seseorang untuk berkongsi kedukaan dan kesedihan yang tersimpan dalam dirinya selama ini.
“Idlan sangat perlukan Haqem sebagai tempat bermanja menggantikan ayahnya” jelas Harianie. Senyap. Harianie persis sedang mengumpul kekuatan diri. Apa yang telah berlaku? Harianie telah berpisah dengan suaminya? Pasti perpisahan ini membahagiakan Datin Sofea lantaran pilihan hati Harianie tidak direstuinya. Bertambah berkuasa Datin Sofea merasakan dirinya. Datin Sofea pasti memperli Harianie dengan sinis. Perempuan itu tidak akan ada belas kasihan kepada sesiapa yang menentang keinginannya biarpun Harianie ialah zuriatnya sendiri. Aku berisytigfar beberapa kali. Cuba tidak bersyakwasangka buruk kepada Datin Sofea.
“Ayah Idlan mana kak?” soalku berhati – hati. Keinginan memecahkan kemusykilan diri tidak mampu menahan aku daripada mengutarakan pertanyaan ini.
“Setahun lalu terlibat dalam kemalangan maut” jelas Harianie. Senyap. Wajah Harianie mendung. Jelasnya firasatku tidak tepat. Maut telah memisahkan Harianie dengan suaminya.
“Maafkan saya kak....” ujarku rasa bersalah kerana telah membangkitkan kesedihannya. Harianie menggeleng – geleng. Dia senyum. Namun senyuman itu tampak hambar.
“Menambah kepiluan akak bila dua orang anak perempuan akak terlibat dalam kemalangan itu. Suami dan anak – anak meninggal di tempat kejadian. Sungguh besar ujian yang Allah berikan kepada akak” tutur Harianie dengan anak mata yang berkaca – kaca. Aku merasakan kepiluan yang ditanggungnya itu. Betapa tabahnya perempuan ini. Kuusap lembut bahu Harianie.
“Allah sangat menyayangi akak sebab itu Dia uji akak sedemikian. Sesungguhnya, Allah tak akan menguji di luar kemampuan hambaNya” pujukku. Harnianie mengangguk dan tersenyum.
“Berbekalkan keyakinan itulah akak meneruskan hidup ini. Idlan perlukan akak. Akak mesti tabah. Keinginan memulakan hidup baru menyebabkan akak kembali ke negara ini. Akak ada keluarga dan kawan – kawan di sini yang sentiasa memberi sokongan. Idlan pun nampak lebih seronok dan gembira tinggal di sini dengan adanya Haqem” jelas Harianie menerima qada dan qadar Allah dengan tenang. Alhamdulillah. Harianie berjaya melepasi ujian Ilahi. ‘Ya Allah berikanlah aku kekuatan yang luar biasa persis Harianie agar aku mampu harungi setiap rintangan yang mendatang.’
“Maaf kak, boleh saya tanya sesuatu?” tanyaku meminta keizinan. Harianie tersenyum dan mengangguk.
“Bagaimana penerimaan Datin Sofea?” soalku berhati – hati. Harianie terus sahaja tergelak. Pertanyaanku ini mencuit hatinya. Wajahnya kembali ceria.
“Nama Datin Sofea pasti telah menjadi mimpi ngeri awak. Dia memang tiada belas kasihan kepada orang yang tak disukainya. Awak jangan pula ambil hati dengan kata – kata akak” tutur Harianie tanpa berselindung. Aku menggeleng. Memang itulah kebenarannya. Datin Sofea tidak pernah menyukai aku. Dia tidak akan berbaik – baik denganku.
“Walaupun akak tak pernah menjejakkan kaki ke rumah itu lagi namun pertalian darah ini  takkan dapat dibohongi. Walau sekeras manapun hatinya dan seberapa banyak dia menafikan pertalian darah yang wujud, Datin Sofea tetap ibu kandung akak. Fakta ini takkan dapat diubah” ujar Harianie tenang menimbulkan kekagumanku kepadanya. Sungguh murni hati Harianie.
“Saya betul – betul kagum dengan ketabahan akak” pujiku jujur. Harianie tersenyum.
“Dugaan dan ujian hidup akan membina kekuatan diri seseorang” ujar Harianie merendah diri. Mudah –mudahan aku setabah Harianie. Dia mampu hidup bahagia biarpun insan yang dicintai sudah tiada di sisinya lagi. Satu peringatan penting buatku, usah meletakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Allah.
“Mana Aqel? Mengapa dia tak ikut sama?”Dua persoalan ini mengunci mulutku. Pertama, aku tidak tahu di mana Aqel berada sekarang. Kedua, sungguh aku tidak mengetahui urusan apa yang mahu Aqel bereskan persis yang dibicarakan tadi. Aqel ada urusan lalu meninggalkan aku bersama Haqem.
“Aqel amanahkan Lia pada saya” satu suara mencelah. Serentak aku dan Harianie berpaling. Haqem dan Idlan sedang tersenyum.
“Oh.... anak comel mama dah datang! Seronok?” tanya Harianie. Idlan tersenyum lebar dan mengangguk. Kepuasan terpamer di wajahnya.
“So dah boleh balik sekarang. Dah lewat ni. Kasihan auntie Lia, mesti keletihan temankan Idlan” tutur Harianie. Aku hanya senyum.
“Kita belum pergi kedai buku lagi, nak beli buku. Nak makan aiskrim dan gula – gula kapas.... nak beli kereta lumba. Lepas tu nak pergi taman tema, nak main puas – puas” ujar Idlan lancar menyenaraikan agenda selanjutnya.
“Aduhai...... banyaknya!” Besar anak mata Harnianie menatap wajah puteranya. Aku dan Haqem tergelak. Idlan tersengih panjang.
“Siapa nak bayar semua ni?” soal Harianie mengusik anaknya.
“Pak Usu dah janji tadi nak belanja Idlan” sahut Idlan petah. Sekali lagi aku dan Haqem tergelak. Harianie geleng kepala. Kemudian turut tersenyum.
“Jangan manjakan sangat budak tu” tegur Harianie memberi peringatan kepada Haqem. Haqem hanya tersenyum.
“Auntie Lia mesti ikut sama tau” tutur Idlan memberi peringatan kepadaku. Aku jadi serba salah. Tidak sampai hati hendak menghampakan permintaannya. Apatah lagi hari ini merupakan hari istimewa buat Idlan. Mungkin juga hari jadi pertamanya tanpa kehadiran ayah dan kakak – kakak yang disayanginya. Kasihan Idlan. Pasti anak kecil ini kesunyian. Sayu dan pilu menyelubungiku. Nampaknya aku dan Idlan mengalami nasib yang sama tidak berayah.
“Auntie Lia bolehlah.....” rayunya sambil menatap sayu wajahku.
“Auntie Lia dah letih ni. Lagipun auntie Lia tak boleh balik lewat. Nanti Uncle Aqel marah” ujar Harianie mencelah dan cuba memujuk Idlan agar mengerti.
“Uncle Aqel?” Terpamer persoalan di wajah Idlan. Sebaris nama lelaki ini pasti mengundang kehairanan dirinya. Idlan berpaling menatap Haqem. Seketika kedua – duanya saling berpandangan. Berkomunikasi tanpa suara. Aku dan Harianie sekadar memerhati. Terdetik kehairanan melihat reaksi kedua – dua lelaki ini. Bagai ada perkongsian maklumat antara mereka. Persis aku pula yang tersilap bicara.
“Apa halnya?” soal Harianie turut berasa aneh dengan perlakuan Haqem dengan Idlan. Laju Haqem meletakkan jari telunjuknya di bibir, memberi isyarat agar Idlan berdiam. Ada perkara yang mereka rahsiakan.
“Takde.....” sahut Idlan sambil tersengih panjang. Harianie mencebik bibir.
“Nak tunggu apa lagi..... marilah.......” ajak Haqem mencapai tangan anak buah kesayangannya lantas memulakan langkah. Aku dan Harianie belum berganjak lagi. Hanya memerhatikan gelagat mereka. Langkah Haqem dan Idlan terhenti. Mereka berpaling. Idlan terus sahaja meleraikan pautan tangannya daripada tangan Haqem. Dia melangkah ke arahku.
 “Mak Usu mari kita pergi.....” ajak Idlan. Aku terkedu. Tanganku dipaut lantas menarikku mengiringi langkahnya. Aku hanya terkebil – kebil mengikut gerak langkah Idlan mendapatkan Haqem. Lantas menghulurkan tangan kanannya kepada Haqem sementara tangan kirinya masih berpaut di tanganku.
“Mari.......” ajak Idlan dengan senyuman yang lebar. Aku dan Haqem berpandangan. Ada senyuman terukir di bibir Haqem. Idlan mengorak langkahnya sambil berpegangan tangan denganku dan dengan Haqem. Nampak dia sungguh gembira. Harianie berjalan di belakang mengekori langkah kami dengan senyuman.
“Keluarga sempurna......kalaulah mama merestui hubungan kalian....” bisik suara hati Harianie. Keluhannya tercetus. Betapa dia bersimpati kepada Haqem.   

Usai mengunjungi kedai buku dan mendapatkan beberapa buah buku untuk Idlan,  kami bergerak ke Snow Sweet mahu menikmati aiskrim. Idlan dan Harianie sepakat memilih aiskrim perisa coklat. Aku belum sempat membuka mulut, aiskrim vanila sudah diletakkan di depanku. Kali ini pilihan Haqem tepat. Dia mula ingat yang aku memang sukakan aiskrim vanila. Sementara Haqem hanya jadi pemerhati kerana dia tidak gemar makan aiskrim. Hajat Idlan seterusnya adalah mendapatkan gula – gula kapas. Berpusing – pusing di pusat membeli belah ini namun tidak ditemui benda yang dihajati. Akhirnya Haqem mengarahkan aku, Harianie dan Idlan duduk di bangku kayu ini menunggu kemunculannya kembali. Haqem menghilang seketika.
Masa yang terluang bersama Harianie dengan Idlan, memberi kesempatan kepadaku untuk lebih mengenali dua beranak ini. Idlan sudah tidak malu – malu denganku lagi. Banyak cerita juga yang dikongsinya bersamaku. Harianie hanya tersenyum panjang menyaksikan gelagat dan telatah anaknya ini. Tatkala teringat pada gula –gula kapas, Idlan terus muram. Bimbang hajat hati tidak tertunai. Aku dan Harianie cuba memujuknya. Namun Idlan tidak mudah termakan pujukan.  Tidak dapat aku bayangkan betapa kecewanya Idlan jika Haqem gagal mendapatkan gula – gula kapas tersebut. Naluri anak kecil memang mudah terusik. Mudah – mudahan Haqem berjaya mendapatkannya. Tidak tega melihat Idlan kecewa. Setelah hampir setengah jam menunggu Haqem, akhirnya Haqem muncul dengan senyuman. Lega rasanya tatkala menatap gula – gula kapas biru berada di tangan Haqem. Kali ini barulah dapat melihat senyuman Idlan.
Destinasi seterusnya, kami singgah di premis CahayamataKu. Di sini ada pelbagai jenis barangan mainan kanak – kanak lelaki dan perempuan mengikut kesesuaian umur. Terpikat pada barangan mainan kanak – kanak perempuan yang tampak comel – comel belaka. Set alat dapur, set alat persolekan, set barbie dengan pakaian pelbagai fesyen yang berwarna warni dan bermacam – macam alat permainan kanak – kanak perempuan dijual di sini. Semuanya memikat pandangan mata pengunjung. Kulihat Haqem begitu setia dan sabar melayan kerenah Idlan. Mereka bersama –sama memilih model kereta kawalan jauh ditemani oleh Harianie. Nampak mereka sangat rapat. Aku masih berlegar – legar di bahagian alat permainan kanak – kanak perempuan ini. Alat permainan yang comel – comel ini buat aku leka seketika.
“Pasti seronok kalau dapat anak perempuankan” tegur suara lelaki. Aku berpaling. Haqem sudah berada di sebelahku sedang tersenyum. Aku mengangguk.
“Nanti awak belilah set alat solek ini untuk anak perempuan awak” ujarku. Haqem tersenyum lagi.
“Tak payah ajar dia guna alat solek sebab dia dah cantik semula jadi macam awak” sahut Haqem buat aku terkedu. Kupandang Haqem. Mohon penjelasan lebih terperinci pada bicaranya yang penuh tersirat itu. Namun Haqem hanya tersenyum. Tidak mahu berdua – duaan dengan Haqem, aku mendapatkan Harianie dan Idlan. Haqem mengiringi langkahku. Nampaknya Idlan belum mahu meninggalkan premis ini. Belum puas. Barangkali juga mahu menambah belian. Aku tersenyum sendiri. Nampaknya hari ini Haqem berbelanja besar. Kesimpulannya, banyak masa dihabiskan di CahayamataKu.
“Dah lewat ni. Kita balik sekarang” ajak Harianie.
“Tapi Idlan belum pergi taman tema lagi” sahut Idlan dengan wajah yang masam. Harianie menggeleng kepala.
“Auntie Lia dah penat. Auntie Lia mesti balik rumah sekarang” jelas Harianie memberi penjelasan. Nampak dia rasa bersalah kepadaku lantas memberi isyarat agar aku menyokong bicaranya itu. Aku mengangguk mengiyakan bicara Harianie.
“Kita balik rumah ye..... Hari lain kita pergi taman tema. Sekarang dah lewat” ujarku memujuk Idlan. Idlan menatapku.  
“Tapi Mak Usu janji akan temankan Idlan pergi taman tema dengan Pak Usu dan mama” pinta Idlan memberi syarat.
“Mak Usu?” Berkerut dahi Harianie. Kupandang Haqem yang hanya bersahaja. Tidak selesa aku dipanggil sedemikian.
“Janji ye.....” pinta Idlan mahukan kepastian daripadaku. Aku mengangguk. Idlan senyum. Begitu juga dengan Haqem. Harianie geleng kepala lagi.
“Kita balik sekarang.....” ajak Idlan seraya menarik tangan Haqem memulakan langkah. Harianie menatapku. Aku hanya senyum.
“Minta maaflah menyusahkan kamu, Lia” ujar Harianie rasa bersalah. Aku geleng kepala.
“Seronok juga hari ini dapat temankan Idlan” ujarku jujur. Dapat menggembirakan anak kecil itu sudah cukup memuaskan hatiku. Aku dan Idlan senasib. Kami sama – sama tidak berayah.
‘Mari....” Harianie mengajakku mengekori Idlan dan Haqem yang sudah jauh berada di depan. Tiada lagi perbualan antara aku dengan Harianie. Senyap sahaja. Keadaan ini berlanjutan sepanjang perjalanan pulang. Mungkin juga disebabkan tiada suara kecil yang petah berceloteh kerana Idlan sudah terlena dalam dakapan ibunya. Tambahan pula masing – masing sudah keletihan. Kereta BMW Haqem memasuki perkarangan rumah mak. Aku nampak ada kereta Peugeot RCZ Sports Coupe berada di garaj. Sah Aqel berada di rumah sekarang. Mesti sudah lama Aqel menunggu kepulanganku. Betulkah Aqel menunggu kepulanganku? Entahlah...... Aku sendiri tidak pasti.
“Lia......” Aku berpaling ke arah Harianie.
“Terima kasih sebab habiskan masa bersama kami hari ini. Idlan sangat seronok bersama Lia” ujar Harianie. Aku tersenyum. Hanya sedikit perkara yang aku lakukan buat Idlan.
“Minta maaflah menyusahkan kamu. Aqel pasti tertunggu – tunggu kepulangan kamu. Akak minta maaf kepadanya juga. Kamu cakap pada dia nanti ye....” pesan Harianie. Aku hanya senyum. Rasanya Aqel tidak akan kisah semua ini.
“Tak payah risaulah. Aqel dah amanahkan Lia pada saya” Haqem yang sedang menguak pintu kereta untukku mencelah. Bicara itu Haqem ulangi lagi. Aku terdiam. Begitu juga dengan Harianie.  
“Saya pergi dulu kak” ujarku meminta diri.
“Thanks Lia” tutur Haqem. Aku mengangguk. Aku melangkah masuk ke dalam rumah setelah kereta Haqem beredar meninggalkan halaman rumah. Sempat juga berbalas lambaian tangan dengan Harianie.
“Ke mana kamu pergi sepanjang hari ni? Aqel dari tengah hari tadi ada kat rumah ni tak pergi mana – mana” suara mak sedikit tinggi menyambut kepulanganku. Aku menatap mak yang sedang mempamerkan wajah seriusnya. Pasti mak sedang marahkan aku sekarang.
“Maaf mak.....” tuturku lemah.
“Aqel ada di bilik kamu. Pergilah naik....” arah mak. Aku melangkah longlai mendaki anak tangga dengan kehairanan yang bersarang di benakku. Sungguh menghairankan Aqel berada di rumah sepanjang hari ini. Usai menikmati hidangan makan tengah hari tadi, Aqel meninggalkan aku bersama Haqem kerana ada perkara yang perlu dibereskan. Malah Aqel telah mengamanahkan aku kepada Haqem. Itu yang Haqem nyatakan tadi. Tatkala aku melewati muka pintu, terpandang Aqel sedang berlentang di atas sofa. Leka dia membaca majalah.
“Apa niat awak buat saya begini?” soalku tidak mahu melengahkan masa. Aqel berpaling ke arahku. Dia menatapku.
“Awak kata ada hal tadi” lirih sahaja suaraku.
“Temu janji dibatalkan” sahut Aqel bersahaja buat aku kehilangan kata – kata. Aku duduk di birai katil dengan mulut yang terkunci. Keletihan menguasai diri. Andai Aqel tidak berada di bilik ini sudah pasti aku akan merebahkan tubuhku di atas tilam ini. Teringin juga mahu melelapkan mata seketika. Aku melirik ke arah Aqel. Dia leka dengan majalah di tangannya. Rasa mengantukku sudah tidak dapat ditahan – tahan lagi. Lambat – lambat aku merebahkan tubuhku di atas tilam. Sudah tidak mengendahkan kewujudan Aqel di bilik ini.
“Saya tunggu lama awak di airport tadi tapi awak tak muncul – muncul” sayup – sayup kedengaran suara Aqel berbisik – bisik.
“Jaga diri awak baik – baik. Saya sentiasa ada di sini untuk awak” pesan Aqel. Aku memejamkan mataku rapat – rapat. Tidak mahu Aqel menyedari yang aku belum lena sepenuhnya. Bimbang juga andai Aqel ingat aku tumpang mendengar perbualan mereka. Senyap. Suara Aqel tidak kedengaran lagi.
“Saya sentiasa ada di sini untuk awak” hati kecilku mengulangi bicara Aqel. Aqel berbicara dengan siapa? Flora atau Rania? Aku tidak mampu meneka gerangannya. Temu janji itu bukan dibatalkan. Sebaliknya orang yang Aqel setia tunggu tidak muncul – muncul. Pasti saat ini Aqel kecewa.
“Seronok awak menghabiskan masa bersama Haqem tadi?” Aqel melontar suara ke arahku. Kuangkat kelopak mataku. Aqel sedang menatapku. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Pertanyaan Aqel kubiarkan berlalu.
“Awak amanahkan saya pada Haqem?” meluncur laju pertanyaan ini tanpa sekatan dan halangan. Kutenung Aqel. Aqel membisu seribu bahasa. Dia membiarkan pertanyaanku berlalu persis diriku. Peliknya aku terdengar suaraku berbisik di telingaku.
 “Mengapa Aqel begitu yakin awak akan membahagiakan saya?”
“Sebab saya sangat mencintai awak. Awak ialah kekasih pertama dan kekasih terakhir saya. Tidak akan ada yang lain” suara Haqem menjelma kembali.