Monday 3 July 2017

NamaKu Bukan Flora....94




BAB 94
       

“Assalamualaikum...” Laju aku berpaling. Aku terkedu menatap gadis ini. Cantik dan berketerampilan. Wajah yang aku nampak bersama Aqel pada malam itu. Dialah Flora. Kekasih yang bertakhta di hati Aqel. Memang padan dengan Aqel.
“Awak... Liakan?” tekanya meminta kepastian. Aku mengangguk lantas menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Kami saling bertukar senyuman.
“Gembira dapat jumpa awak. Maaf mengganggu masa awak” ujarku. Dia menggeleng.
“Saya memang dah lama nak jumpa awak tapi takde kesempatan. Aqel pun mahu sembunyikan awak” ujarnya berseloroh. Dia tersenyum. Menawan senyumannya. Persis senyuman Aqel. Mereka memang pasangan kekasih yang sempurna. Terasa sudah sampai masa dia menuntut Aqel  dilepaskan. Detik penyatuan Aqel dan Flora sudah tiba.
“Saya pernah nampak awak di majlis hari jadi Idlan tapi kita tak sempat berkenalan sebab Aqel cepat sangat bawa awak pergi” jelasku mengimbau perkara yang terjadi pada malam itu.
“Oh...ye ke... Tak tahu pula saya awak ada di majlis tu. Aqel tak cakappun” cerita gadis ini ceria. Tiada keperluan Aqel hendak memperkenalkan aku kepada kekasihnya. Kekasih yang begitu tabah dan setia. Tidak menyerangku persis Bella yang sentiasa rasa terancam. Gadis ini tenang sahaja. Dia tahu hati Aqel telah dimiliki sepenuhnya. Tiada gadis yang mampu mengancamnya sebagai buah hati pengarang jantung Aqel. Mereka pasangan kekasih yang setia. Beruntunglah mereka. Aku mencemburui percintaan mereka. Syukurlah... Aqel dipertemukan dengan gadis yang baik.
“Sebenarnya malam itu saya dan Aqel ada janji temu” jelasnya. Aku menatap tanpa perasaan terkejut. Lumrah pasangan kekasih bertemu melepas rindu.   
“Jangan salah faham. Janji temu antara doktor dengan pesakit” jelasnya. Kali ini aku tersentak. Flora seorang doktor? Kebetulankah ini? Fikiranku menerjah pada perbualan kami semalam. Aku yang mengatur pertemuan hari ini. Namun aku tidak mengetahui doktor ini ialah Flora kekasih Aqel. Tidak perlu dia memberi alasan hendak berjumpa kekasihnya. Tidak perlu dia menafikan status diri mereka. Aku sangsi.
“Awak Florakan?” tekaku mahu dia berterus-terang sahaja.
“Hey... bukan! Saya Fiona Nabila. Awak dah lupa nama saya? Saya yang berhubung dengan awak semalam di talian” tingkahnya. Aku terkedu mendengar penjelasan ini.
“Oh...saya silap. Maaf ye...” ujarku bersalah. Segan. Aku tersilap orang. Gadis ini ialah Dr. Fiona Nabila, pakar kaunseling. Nama dan nombor telefon tertera pada kad yang kujumpa di dalam almari Aqel. Aku mengambil tanpa pengetahuan Aqel.
“Jadi benarlah Aqel pesakit awak?” tanyaku mengungkit kenyataan tadi. Dr. Fiona Nabila mengangguk. Aku melepaskan keluhan berat. Hati dipagut kerisauan. Kasihan Aqel.
“Kira-kira sudah lima tahun Aqel menjadi pesakit saya” ujarnya menjelaskan. Aku terpukul. Kenyataan yang membimbangkan. Pandai Aqel berahsia. Dia yang tampak sihat sejahtera rupa-rupanya sakit.       
“Sudah lima tahun Aqel jadi pesakit awak?” tanyaku. Kenyataan yang mengejutkan. Aqel sakit selama bertahun-tahun tanpa pengetahuanku. Dr. Fiona Nabila mengangguk.
“Boleh saya tahu Aqel sakit apa? Serius ke? Kenapa Aqel tak buat rawatan lanjut di hospital? Awak tak boleh ke pujuk Aqel?” bertalu-talu pertanyaan kuajukan kepada Dr. Fiona Nabila. Cemas. Dia tersenyum.
“Bertenang... Lia” pintanya menyedarkan aku. Emosiku terganggu mendengar kenyataan Dr. Fiona Nabila. Aqel tidak pernah berterus-terang padaku. Banyak perkara tentang Aqel tidak kuketahui.
“Aqel dah sihat sekarang. Sejak awak muncul dalam hidup Aqel kesakitannya bagai dah terubat. Awak penawar mujarab buat dirinya” tutur Dr. Fiona Nabila tersenyum. Aku terkedu. Lantas memanjat kesyukuran. Alhamdulillah Aqel sudah sembuh. Kenyataan Dr. Fiona Nabila melegakanku. Aqel begitu penting buat keluarga kami.
“Sebagai doktor dan sebagai sahabat karib Aqel, saya nak berterima kasih kepada awak. Awak memudahkan kerja saya” tutur Dr. Fiona Nabila terhutang budi. Aku geleng kepala. Bukan aku yang menyembuhkan Aqel. Sebaliknya aku yang sering membebankan Aqel.
“Pastinya saya gembira Aqel dah pulih” tambah Dr. Fiona Nabila buat aku tertanya-tanya.
“Awak pun pasti gembira juga” ujar Dr. Fiona Nabila lagi.
“Ya dah semestinya saya sangat gembira dan bersyukur. Saya sangat berharap Aqel akan sentiasa hidup baik-baik saja” ujarku jujur. Dr. Fiona Nabila tersenyum.
“Aqel saudara saya. Dia sangat penting buat keluarga kami” ujarku memberi penegasan.
“Dia juga suami awak” tokok Dr. Fiona Nabila buat aku terdiam. Aku mengangguk.
“Ya... Aqel suami saya. Saya tak pernah lupa hubungan ini” sahutku serius.
“Maka sebagai isteri saya berhak tahu penyakit Aqel. Awak boleh jelaskan kepada saya?” tanyaku. Aku dan Dr. Fiona Nabila beradu pandangan.
“Aqel mengalami trauma yang serius setelah kehilangan orang yang disayanginya” jelas Dr. Fiona Nabila. Aku terpana. Aqel kehilangan orang yang tersayang? Flora tidak bersama Aqel lagi? Aqel telah berpisah dengan Flora? Mengapa perkara ini berlaku? Oh...pasti akulah punca perpisahan itu! Tidak mungkin! Kronologi masa yang berbeza. Aqel sakit sebelum aku mengenalinya iaitu lima tahun yang lalu. Apa yang berlaku? Aku keliru. Perasaan ingin tahu melonjak-lonjak.
“Masalah emosi dan mental?” tekaku. Sukar aku hendak mengungkapkan ayat ini. Aqel terlalu sempurna hendak menjadi manusia yang tidak waras. Perkara ini sungguh serius. Oh...kasihan Aqel! Hatiku bergetar. Kupandang Dr. Fiona Nabila. Kami berpandangan dengan mulut yang terkunci. Berdebar-debar menanti Dr. Fiona Nabila melanjutkan bicara.
“Awak jangan susah hati. Aqel telah berjaya melepasi segala kesukaran itu dengan ada awak di sisinya” ujar Dr. Fiona Nabila serius.
“Saya risau kalau Aqel belum sembuh sepenuhnya. Sungguh... sungguh... risau” ujarku meluahkan isi hati. Cuba bertahan. Tidak mahu air mata ini menitis di depan Dr. Fiona Nabila. Tidak mampu aku memohon penjelasan lanjut tentang perkara ini. Sukar aku hendak mendamaikan gelodak hati ini. Bimbang aku tidak boleh mengawal diri lagi. Aku tidak mahu ada kekurangan pada Aqel. Selama ini aku bangga kerana Aqel sungguh sempurna. Tiada jejaka lain yang kukenali mampu menandingi kehebatan Aqel. Meskipun Haqem sendiri. Haqem tidak sekuat Aqel yang mampu melindungiku dalam apa keadaan sekalipun. Itu kelebihan Aqel yang tidak ada pada Haqem. Beruntung Mak Long melahirkan Aqel. Kami sekeluarga turut merasa tempias keberuntungan itu. Pertemuan singkatku dengan Dr. Fiona Nabila menyingkap sedikit rahsia hidup Aqel. Terbit perasaan sedih mengenangkan nasib Aqel. Aqel menyembunyikan rahsia ini daripada semua orang termasuk ibu bapanya sendiri. Kalau Mak Long mengetahui keadaan Aqel selama ini pasti Mak Long bersedih. Kuakhiri pertemuanku dengan Dr. Fiona Nabila dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan gadis ini. Tetiba terlintas di benakku. Aku pernah mendengar suara Flora di talian. Dia meminta aku melepaskan Aqel. Jikalau benar Flora masih bernafas di alam fana ini, mengapa Dr. Fiona Nabila kata Aqel trauma setelah kehilangan orang yang disayanginya? Bukahkah Flora itu insan yang Aqel sayangi? Nampak fakta ini bercanggah sekarang.  Kalut benakku memikirkan perkara ini.

Tatkala aku berdiri di ambang pintu bilik ini, kelihatan Aqel sedang membaca buku berbaring di sofa. Begitu khusyuk sehingga kehadiranku tidak disedari. Leka dia menyelami makna baris demi baris ayat yang terkandung dalam buku itu. Kupandang wajah Aqel lama-lama. Tanpa kupinta terasa hangat perlahan-lahan mengalir di pipiku. Menatap Aqel simpatiku kepadanya bertambah-tambah. Bagai tidak kuat sahaja aku hendak berhadapan dengan Aqel.
“Kenapa tercengat saja di pintu tu?Awak nak jadi pengawal?” Aku tersentak mendengar teguran Aqel. Cepat kukesat air mata ini. Tidak mahu Aqel melihat. Cuba tersenyum dan melangkah masuk mendekati Aqel. Aqel menatapku buat aku serba salah. Bimbang Aqel menyedari tingkahlakuku. Rasa aneh.
“Awak menangis?” Mudah sahaja Aqel mengesan. Laju aku menggeleng. Cuba menafikan. Kuukir senyuman. Berusaha menutup hiba hati di saat ini.
“Kenapa awak menangis?” tanya Aqel tidak puas hati. Aku menggeleng.
“Awak sakit lagi?” tanyaku. Aqel menggeleng dan tersenyum. Sebenarnya pertanyaanku ini mahukan jawapan yang lebih mendalam. Bukan sekadar sembuh daripada demam semalam. Aku mahu Aqel menjeleskan lebih terperinci tentang kesihatannya. Adakah Aqel boleh tidur nyenyak? Adakah Flora masih membelenggu hidup Aqel? Ternyata Aqel merana kehilangan gadis itu.
“Wah, awak ambil berat terhadap sayalah!” ujar Aqel tersenyum. Masih mahu bergurau denganku.
“Ya... Awak sakit sebab nak selamatkan saya” sahutku tidak menafikan. Lebar senyuman Aqel. Lantas Aqel bangun dan berdiri di depanku. Dekat denganku. Tanpa kuduga Aqel terus memelukku. Aku terkedu dan hanya mematungkan diri. Tidak bergerak-gerak lagi.
“Terima kasih ... sebab saya masih berpeluang mengganggu hidup awak. Terima kasih banyak-banyak sebab saya masih dapat tengok awak” tutur Aqel serius. Begitu dalam makna bicara Aqel ini. Terasa dakapan Aqel kian erat. Aku terpaku. Tiada bicara yang terluah. Namun hatiku terusik. Benakku masih memikirkan kesihatan Aqel. Sesungguhnya, aku mahukan Aqel hidup sihat sejahtera sepanjang hayat. Hidup bahagia selagi nyawa dan jasad tidak terpisah. Hanya mahu menatap senyuman Aqel yang menawan. Aku mahukan semua itu berpanjangan.

 

“Saya minta maaf. Perkara yang menimpa Datin Sofea dan Bella buat awak tak selesa” ujar Aqel serba salah. Haqem tersenyum. 
“Mereka mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka. Itu dah pilihan mereka, saya nak kata apa lagi. Sekurang-kurangnya mama akan sedar tak semua perkara boleh dikawal dengan wang ringgit dan kuasa yang dia ada” keluh Haqem kecewa.
“Awak tak payah rasa bersalah pada saya” ujar Haqem mengingatkan. Aqel senyum.
“Terima kasih” Pengertian Haqem menyenangkan Aqel.
“Terima kasih juga pada awak...” ujar Haqem membalas penghargaan itu.
“Huh...” Aqel kehairanan. Wajah Haqem dipandang.
“Terima kasih membebaskan Lia daripada tuduhan itu. Saya tak mampu melakukan apa-apa walaupun saya dah melutut merayu di depan mama. Saya tahu Lia tak bersalah” keluh Haqem tidak berdaya. Dia menangis di depan Datin Sofea merayu untuk kebebasan gadis itu. Namun air matanya tidak berharga di depan Datin Sofea. Dia gagal melindungi gadis itu. Hati Datin Sofea sungguh keras. Wanita itu nekad hendak menyumbat Lia ke dalam penjara.
“Awak tahu apa beza kita berdua?” tanya Aqel serius. Haqem menatapnya.
“Saya harus hidup dengan baik. Hidup baik sehingga ke hari ini untuk melindunginya” tegas Aqel. Haqem terdiam. Terpukul dengan bicara Aqel. Sedar bahawa dia tidak sekuat Aqel yang mampu melindungi gadis itu dalam apa keadaan sekalipun. Itu perbezaan mereka.
“Saya takkan biarkan dia hidup dengan caranya sendiri. Sudah sampai masa saya lebih bertegas dengan Flora demi kebaikannya. Saya nak dia hidup untuk kepentingan diri sendiri. Sampai suatu masa nanti saya risau saya tak mampu melindunginya lagi” ujar Aqel bersungguh-sungguh. Haqem terpana. Cemburu melihat kesungguhan dan kemampuan pemuda ini.


“Tengok apa?” Aku berpaling. Aqel sedang tersenyum melangkah ke arahku. Kemudian berdiri di sisiku sambil mendongak ke langit. Sama-sama memerhatikan bintang di langit.
“Memerhatikan bintang yang paling bersinar” ujarku tersenyum sendiri. Aqel dan Haqem juga pencinta bintang. Aku mengetahui perkara ini tatkala mengenali kedua-dua orang pemuda ini. Banyak persamaan telah menyatukan persahabatan mereka. Ditakdirkan juga Aqel dan Haqem ada kaitan dengan kehidupanku. Haqem masa laluku manakala Aqel kehidupanku sekarang. Adakah aku akan terus bersama Aqel untuk masa depanku? Tidak berani meramal.  
“Itu bintang sirius. Bintang yang paling bersinar dan paling terang di langit” jelas Aqel sambil menunding jari. Aku menatap bintang yang berkelip-kelip itu. Semoga kehidupan ini akan bersinar persis bintang sirius tersebut.
“Sirius berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud terik atau membakar” tambah Aqel berkongsi maklumat tentang bintang. Aku kagum. Aqel mempunyai pengetahuan tentang bintang.
“Awak suka bintang” komenku. Aqel mengangguk.
“Haqem pun suka bintang. Masa belajar dulu kami ambil kursus minor astronomi... kaji bintang. Saja nak tambah pengetahuan tentang bintang” tambah Aqel bercerita. Aku tersenyum.
“Kejora Di Ufuk Timur...” Akronim KDUT meniti di bibirku. Menunjukkan Aqel dan Haqem memang menyukai bintang.
“Kejora bukan bintang tapi Planet Zuhrah atau Venus yang akan muncul dua kali di  langit dalam sehari” jelas Aqel.
“Betul ke?” tanyaku. Aqel mengangguk. Aku baru mengetahui perkara ini.
“Kebanyakan orang salah faham perkara ini. Pertama Planet Zuhrah akan muncul di sebelah timur sewaktu subuh. Kedua, muncul di sebelah barat sewaktu senja dan selalu hilang daripada pandangan menjelang waktu Isyak. Cuba perhatikan di dada langit, saat matahari mulai terbenam akan muncul cahaya Planet Zuhrah cahaya  paling terang di langit. Cahayanya seperti bintang tetapi tidak berkelip seperti bintang yang lain” tambah Aqel panjang lebar menambah kekagumanku terhadapnya.
“Saya pun ingat macam itu” ujarku tidak menafikan bicara Aqel.
“Kalau ada orang cakap kejora itu bintang awak mesti betulkan tanggapan itu” pesan Aqel. Aku mengangguk. Kejora ialah Planet Zuhrah. Aku akan ingat perkara ini sampai bila-bila agar pengajaran Aqel tidak sia-sia. Aqel menghela nafas panjang. Dia tersenyum ceria.
“Lega sekarang setelah masalah awak selesai. Malam ini bolehlah tidur lena” ujar Aqel masih dalam senyuman. Aku berpaling menatap Aqel. Bicara Aqel menarik perhatianku.
“Awak tak boleh tidur dan berperangai pelik ada kaitan dengan perkara yang menimpa saya?” tanyaku tatkala terkenang perubahan sikap Aqel yang aneh. Dia tidak tidur sepanjang malam sebaliknya duduk di sofa itu memerhatikan aku. Tingkahlaku Aqel sungguh mencurigakan. Persis Aqel dapat menjangka perkara buruk yang akan berlaku.
“Saya tak boleh tidur sebab memikirkan tentang awak. Saya risau saya tak mampu melindungi awak” jelas Aqel berterus-terang. Aku terpaku menatap Aqel. Hatiku sayu. Sebak dan terharu mendengar pengakuan Aqel.
 “Sebenarnya awak tahu musibah yang bakal menimpa saya?” tanyaku. Kupandang Aqel.
“Saya tak pasti...cuma sentiasa berhati-hati” sahut Aqel tiada kepastian.
“Sebab itu awak terdorong menjadi Detektif Conan” dugaku tatkala teringat kemunculan Aqel di tempat kerjaku. Kemudian memperkenalkan diri sebagai Detektif Conan apabila mengajukan banyak pertanyaan dan melakukan pemantauan di sekeliling bilik itu. Tingkahlaku Aqel pada hari itu sungguh mencurigakan. Aqel tergelak.
“Awak masih ingat saya jadi Detektif Conan pada hari itu.” sahut Aqel tercuit dengan tindakan sendiri. Aku mengangguk.
“Awak tidur ketika saya makan tengah hari. Sekembalinya saya dari restoran saya tengok awak dah takde di bilik pada hari itu. Saya ada beli makanan untuk awak.” ceritaku. Malam itu aku masak pelbagai makanan untuk Aqel namun dia tidak muncul sehingga lewat malam. Sedar-sedar di subuh dinihari Aqel sedang memerhatikan aku tidur. Pandangannya tidak beralih daripadaku sehingga kali kedua aku bangun Aqel masih dalam keadaan sedemikian. Puas dia memerhatikan aku tidur. Tidak tahu penilaian Aqel terhadapku tika. 
“Oh..., saya terharu mendengar awak beli makanan untuk saya!” sahut Aqel teruja. Aku mencebik.  Pandai Aqel berlakon.
“Terima kasih. Lain kali awak layan saya dengan lebih baik lagi” pinta Aqel.
“Jadi selama ini saya tak pernah layan awak dengan baik? Basuh pakaian awak, masak untuk awak, bersihkan rumah awak dan jaga awak sakit, itu tak cukup baik ke?” tanyaku menyenaraikan perkara yang telah aku lakukan. Sengaja hendak mengusik Aqel. Aqel tergelak.
“Awak tak ikhlas melakukannya.” tingkah Aqel memerliku kerana telah mengungkit semua khidmat tenaga yang kucurahkan selama kami hidup sebumbung. Aku tergelak.
“Saya saja nak ingatkan awak.” jelasku tersenyum. Semua itu tidak setanding dengan perkara yang telah Aqel lakukan untukku. Banyak kebaikan yang Aqel curahkan kepadaku tanpa rungutan dan keluhan.
“Aqel...terima kasih sebab terus melindungi saya. Banyak yang telah awak lakukan untuk saya tapi saya tak mampu membalas. Andai awak perlukan pertolongan saya akan lakukan apa saja untuk awak.” janjiku. Aqel senyum. Indah sekali.
“Sampai masa nanti saya akan menagih janji awak.” balas Aqel tersenyum lagi.
“Awak mesti percaya dan yakin pada saya. Ingat kata-kata saya ini.” ujar Aqel mengingatkan aku. Aku mengangguk. Lama kupandang Aqel.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?” tanya Aqel janggal diperhatikan sedemikian. Aku menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana aku hendak mengatakan perkara ini kepada Aqel? Bimbang akan menyinggung perasaan Aqel.
“Aqel...” panggilku perlahan.
“Ya...” Aqel menyahut. Dia menatapku.
“Maafkan saya...” pintaku. Dahi Aqel berkerut. Tidak mengerti maaf yang kupohon.
“Saya ada call...Dr. Fiona Nabila” ujarku berhati-hati. Tidak yakin pada diri sendiri.
What!” Aqel tersentak. Matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Aku tersengih. Mudah-mudahan tidak akan mengundang kemarahan Aqel.
“Saya pun ada ... jumpa dia.” ujarku menambah bicara.
What!” Kali ini suara Aqel lebih kuat. Matanya membutang menatapku. Tindakanku mengejutkan Aqel. Siaplah aku dimarahi oleh Aqel sekejap lagi.
“Saya perlu tahu kesihatan awak ... sebab saya isteri awak. Saya nak jaga awak dengan baik.” pujukku berharap Aqel tidak akan murka. Aqel melepaskan keluhan. Tindakanku tidak menyenangkan hatinya.
“Apa yang doktor itu cakap pada awak?” tanya Aqel hendak mengetahui dapatan pertemuan itu. Aku mengeluh kecil. Pertemuan yang sedikit mengecewakan.
“Tak banyak yang dia boleh cakap. Dia nak saya tanya awak. Biar awak sendiri yang jawab.” ujarku menyatakan arahan Dr. Fiona Nabila. Kedengaran keluhan Aqel lagi.
  “Awak tak boleh menghukum diri selama-lamanya. Tak baik untuk kesihatan awak. Sekalipun awak menyayangi dan mencintainya, awak mesti lepaskannya pergi. Reda dengan ketentuanNya.” nasihatku tidak melepaskan kesempatan yang ada. Aqel mengalami trauma yang serius setelah kehilangan orang yang disayangi. Tidak pasti sama ada dia kehilangan Flora disebabkan cinta mereka tidak kesampaian ataupun jemputan Ilahi. Dr. Fiona Nabila mahu aku mendapat penjelasan daripada mulut Aqel sendiri.
“Siapa Flora, Aqel?” tanyaku. Aqel diam. Matanya menatapku.
“Awaklah Flora...” balas Aqel. Aku tersentak. Namun tidak mudah percaya pada kata-kata Aqel. Aqel bergurau sekarang.
“Awak jangan main-main. Saya serius ni.” tegasku tidak senang dengan gurauan Aqel.
“Awaklah Flora...cinta pertama saya.” ulang Aqel lagi. Mukanya serius. Aku terkedu. Aqel bersungguh-sungguh menuturkan kalimah itu.
“Awak lupakan saya setelah jumpa Haqem.” tambah Aqel. Aku tersentak. Tidak percaya. Mustahil aku lupa tentang diri sendiri kecuali memori laluku sudah terhapus.
“Tak mungkin saya hilang ingatan. Saya tak pernah jumpa awak sebelum ni.” tegasku bersungguh-sungguh. Aqel sengaja mahu menipuku. Kami saling beradu pandangan seketika. Persis pertarungan sedang berlangsung. Siapa yang mampu bertahan ialah pemenang dan siapa yang lebih awal mengalih pandangan ialah orang yang tewas. Tiba-tiba deringan iPhone memecah kesunyian ini dan menyentakkanku.
“Saya belum habis cakap dengan awak lagi. Kejap lagi kita sambung balik.” ujarku lalu melangkah masuk meninggalkan Aqel bersendirian di balkoni. Laju tanganku mematikan jeritan iPhone ini.
“Assalamualaikum mak...” sapaku menjawab panggilan mak.
“Perkara serius macam tu kamu masih sembunyikan daripada pengetahuan mak.” suara mak dalam tangisan kedengaran di telingaku. Salamku tidak bersambut. Aku terkedu.
“Mak...kejap lagi saya pergi sana.” jelasku lalu mematikan iPhone.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan.
“Saya nak ke rumah mak. Mungkin tak balik malam ni.” jelasku sambil menyiapkan diri. Kucapai kunci kereta di atas meja solek.
“Biar saya temankan awak.” pinta Aqel tidak mahu aku bersendirian ke rumah mak.
“Tak perlu. Rehat dan tidur puas-puas malam ni. Saya pergi dulu.” Aku bergegas melangkah ke pintu meninggalkan Aqel terpinga-pinga. Musibah yang menimpa beberapa hari lalu telah sampai ke pengetahuan mak. Angkara siapa? Aqel? Dia sudah berjanji akan merahsiakan perkara ini daripada mak. Aku cuba mengawal emosi dan menenangkan diri. Kupandu kereta dengan berhati-hati ke rumah mak. Perkara itu sudah selesai. Jadi aku mampu bertenang.  
“Assalamualaikum...mak.” Aku melangkah masuk dan terkesima menatap mak yang sedang menangis di ruang tamu. Lantas kudekati mak lalu kupeluk tubuh mak. Sebak melihat keadaan mak sekarang. Matanya merah dan membengkak. Terlalu lama menangis.
“Maafkan saya...Saya tak mahu mak susah hati.” pujukku. Kupandang wajah mak. Lembut tanganku menyapu air mata di pipi mak. Mak menghentikan tangisan. Namun sendu masih kedengaran. Wajahku ditatap lama.
“Kasihannya anak gadis mak...” Mak mengusap-usap lembut kepalaku. Hiba dan rawan dengan perlakuan mak. Cepat kukesat air mata menitis dari birai mataku.
“Saya okey...mak tak perlu risau. Semua dah selesai dengan baik.” ujarku cuba menenangkan hati mak.
“Alhamdulillah...” Mak melafaz kesyukuran dan lega. Aku senyum.
“Aqel telah selesaikan perkara ini. Jadi mak tak perlu risau lagi.” ujarku mengulangi permintaanku tadi. Mak pasti gembira mendengar perkara ini.
“Mak tahu Aqel akan sentiasa melindungi kamu. Hanya dia yang mampu berbuat demikian.” tegas mak. Aku mengangguk. Kata-kata mak memang benar.
“Haqem banyak kali mohon maaf pada mak. Dia rasa bersalah pada kamu dan keluarga kita.” Aku terkedu. Ternyata Haqemlah orangnya. Perkara ini mak dengar daripada mulut Haqem. Pasti Haqem terbeban dengan perbuatan Datin Sofea dan Bella. Mak melepaskan keluhan kecil.
“Mak tak salahkan Haqem. Mak juga tak benci Haqem mahupun tak suka pada budak lelaki itu. Mulai sekarang jangan dekat dengan mereka. Jangan jumpa budak itu lagi. Hiduplah baik-baik dengan Aqel.” ujar mak serius. Aku terdiam. Permintaan mak menyentakkanku.
“Selagi kamu mengambil berat terhadap mereka selagi itu Datin Sofea takkan biarkan kamu hidup tenang. Mak juga tak mampu bersabar kalau banyak kali tengok kamu diperlakukan sesuka hati mereka. Kamu bukan hidup bersendirian. Kamu masih ada keluarga yang mampu melindungi kamu” jelas mak berjela. Bicara mak terselit amaran.
“Jikalau Datin Sofea masih mahu sakiti kamu, kali ini mak takkan berdiam diri lagi” tegas mak bersungguh-sungguh. Aku terpana menatap kesungguhan mak.
“Dia takkan berani apa-apakan Lia mak. Aqel dah bertegas dengan mereka” ujarku cuba menenangkan hati mak.
“Kalau macam tu ingat baik-baik kata-kata mak tadi. Jangan dekati mereka lagi” ujar mak mengulangi peringatan itu. Aku terdiam. Kali ini nampak mak sungguh serius terhadap permintaannya. Jauhi Haqem dan Idlan. Jangan pedulikan mereka.
“Kali ini mak mesti bertegas dengan kamu” ujar mak serius. Aku terdiam.
“Kamu dah makan?” tanya mak mengejutkan aku. Kupandang wajah mak. Mak sudah tenang seperti biasa. Aku menggeleng menjawab pertanyaan mak.
“Marilah ke dapur. Mak sediakan makanan untuk kamu” ujar mak prihatin. Aku tersenyum. Bingkas bangkit dari sofa lalu mengekori langkah mak ke dapur. Kasih sayang mak terhadap anak-anak melimpah-ruah. Kupanjat kesyukuran kerana memiliki seorang ibu yang sungguh penyayang. Nasi, sup tulang, ikan goreng dan sayur kacang bersama udang sudah terhidang di depanku.
“Wah..., sedapnya!” Aku teruja menatap hidangan malam yang mak sediakan. Rezeki aku datang sini dapat makan masakan sedap mak.
“Banyak mak masak” komenku sambil tersenyum panjang menatap hidangan di depanku.
“Makanlah. Mak masak semua ini untuk kamu. Kamu telah melalui hari yang sukar jadi kenalah makan lebih” ujar mak buat hatiku tersentuh. Sudah beberapa hari aku tiada selera hendak makan. Memikirkan hukuman yang bakal aku terima mematikan seleraku.
“Terima kasih mak...Saya sayang mak” Kuusap lembut jemari mak. Mak senyum.
“Mak pun sayang kamu. Kamu dan Aziqlah harta mak yang paling berharga di dunia ini. Jadi kamu mesti dengar kata-kata mak dan hiduplah baik-baik” nasihat mak.
“Insya-Allah mak” sahutku sambil mengangguk. Hiba mendengar bicara mak. Pasti mak menyiapkan hidangan malam ini dalam tangisan. Mak menangis mengenang kesukaran yang kulalui.
“Kenapa Aqel tak datang sama?” tanya mak mula teringat pada menantunya.
“Saya suruh dia berehat dan tidur puas-puas. Beberapa hari ini dia tak cukup tidur” jelasku. Muka mak terpamer kerisauan. Bimbang Aqel akan jatuh sakit.
“Dia dah makan?” tanya mak. Kupandang mak. Aku tersengih. Belum sempat bertanya perkara itu kepada Aqel kerana di rumah tadi aku belum masak lagi. Mahu mengajak Aqel makan di luar sahaja. Mungkin juga Aqel sudah makan tadi kerana dia balik lewat. Mak mengeluh.
“Bawa makanan ini nanti untuk Aqel” arah mak mengerti di sebalik senyumanku.
“Saya nak tidur sini temankan mak” tingkahku memaklumkan hajat hati.
“Tak payah. Balik nanti” balas mak menolak hasratku hendak bermalam di sini.
“Betul?” tanyaku meminta kepastian. Mak mengangguk.
“Tak payah risaulah. Mak okey...” jelas mak tidak mahu aku berat hati meninggalkannya bersendirian di rumah ini. Perkara biasa yang dilalui mak dan Mak Long. Setelah aku bernikah dengan Aqel, mereka tinggal bersendirian. Sebulan sekali sahaja Aziq akan balik menemani mak.   
“Makanlah...” arah mak. Aku memulakan suapan pertamaku setelah memuji kebesaran Allah. Rezeki yang terhidang di depanku ini adalah datang daripadaNya. Kita patut bersyukur.
“Sedap...” pujiku membuatkan mak tersenyum. Aku menyuap beberapa kali tanpa berhenti. Tiada sesiapa mampu menyaingi kelazatan masakan mak walaupun serba ringkas. Itulah air tangan seorang ibu. Mak hanya memerhatikan aku makan. Dia tersenyum tatkala melihat aku makan dengan berselera.
“Oh...ye...ada perkara saya nak tanya pada mak” ujarku. Kupandang mak.
“Tanya apa?” tanya mak. Kuteguk air kosong di dalam gelas. Aku menarik nafas. Berat juga perkara ini hendak diutarakan. Bimbang aku tidak bersedia menerima kejutan.
“Saya...ada nama lain?” tanyaku berhati-hati. Dahi mak berkerut.
“Flora... Ada ke ini nama Lia?” tanyaku sambil menatap mak. Senyap. Mak masih tidak bersuara. Pada masa lalu mungkin nama itu milikku. Hanya Aqel yang masih setia menyebut nama itu. Mungkin Aqel berusaha hendak mengembalikan ingatanku sedangkan orang lain sudah berputus-asa. Tidak mungkin. Mustahil aku hilang ingatan.
“Aqel kata... Saya ialah Flora... cinta pertamanya” ujarku mengulangi bicara Aqel. Mak menatapku. Mulutnya terkunci.
“Saya lupakan dia sebab jumpa Haqem” tambahku. Mak masih menatapku. Diam. Nampak mak sedang berfikir panjang.
“Betullah kata Aqel itu. Kamu hidup macam ini sekarang kerana Haqem” tegas mak tidak menyangkal. Aku terpana. Kata-kata mak sukar difahami.
“Apa yang betul? Saya ialah Flora atau saya... cinta pertama Aqel?” tanyaku bingung.
“Kamu cinta pertama Aqel” jelas mak menyokong kata-kata Aqel. Aku terdiam. Mak tidak menyangkal kenyataan ini. Mak lebih mengerti akan perasaan Aqel.
“Bagi Aqel... kamulah Flora miliknya...persis bunga yang sedang mekar di hatinya” ujar mak berpuitis. Aku terkedu. Kata-kata mak serupa seperti bicara Aqel. Aku memejamkan mata. Memaksa diri kembali ke masa lalu. Namun tiada kenangan bersama Aqel yang masih melekat di ingatanku. Kalaulah benar aku ialah Flora, bagaimana aku boleh hilang ingatan?
“Mak tahu Aqel sakit?” tanyaku. Mak terdiam.
“Tunggungjawab kamu sekarang jaga Aqel dengan baik. Beri lebih perhatian kepadanya” nasihat mak terlewat sedikit menjawab pertanyaanku. Aku mengangguk.
Saya akan jaga Aqel” janjiku di depan mak. Mak mengangguk bersetuju.
“Cepatlah habiskan makanan kamu tu. Nanti kelaparan pula Aqel di rumah tu” ujar mak menyentakkanku. Mak sudah bangun lalu bergerak meninggalkan aku. Kabinet dibuka. Beberapa bekas kosong dikeluarkan dari kabinet. Mak sudah bersedia memasukkan makanan untuk Aqel di dalam bekas itu. Kemudian memasukkan bekas yang berisi makanan ke dalam bakul.
“Jangan lupa bawa balik nanti” pesan mak lalu meletakkan bakul di depanku. Aku masih terpaku di atas kerusi ini. Perbualanku dengan mak belum selesai lagi. Namun mak sudah meninggalkan ruangan makan ini. Mak perlu rehat setelah mengeluarkan air mata begitu banyak. Lama aku duduk bersendirian di sini memikirkan kata-kata mak dan Aqel. Namun aku gagal mencari jawapan. 
“Mak...saya balik dulu” laungku memaklumkan perkara ini kepada mak. Mak sudah berada di dalam bilik. Mungkin sedang solat Isyak.
“Pandu kereta hati-hati” sayup-sayup suara mak menyahut.
“Okey...” sahutku lantas melangkah longlai ke pintu sambil membimbit bakul yang berisi makanan yang dibekalkan oleh mak untuk Aqel. Pintu rumah kukunci.

Aku melangkah ke halaman lantas masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan. Beberapa minit kemudian kereta kupandu bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah mak. Perjalanan yang lancar. Sekejap sahaja aku kembali semula ke banglo milik Aqel. Aku menapak di muka pintu bilik ini. Kelihatan Aqel sedang leka membaca buku sehingga tidak menyedari kemunculanku.

“Aqel... jikalau benar saya ialah Flora kekasih awak, bagaimana saya boleh lupa tentang awak?” tanyaku. Aqel berpaling. Aku dan Aqel beradu pandangan. Mulut sama-sama terkunci. Jika Aqel berkata benar dia ada penjelasan terbaik.
  

No comments:

Post a Comment