Tuesday, 9 May 2017

Awaklah Sonataku....Saranghae...4




BAB 4
              Aku menatap tv di depanku tanpa berkelip. Seakan cereka yang ditayang ini begitu menarik perhatianku. Namun aku langsung tidak faham plot ceritanya. Jasadku sahaja yang wujud di sini, tetapi jiwa dan rohku telah terbang jauh bergelut dengan pelbagai persoalan.
                        Best cerita ni?” tanya Linda lalu duduk di sebelahku. Aku langsung tidak menghiraukan kehadirannya. Persis aku sungguh tertarik dengan cereka ini sehingga memberi tumpuan sepenuhnya.
                        “Awak dengar tak?” suara lantang Linda serta tamparan tangannya di pahaku mengejutkan aku. Aku bagaikan baru terjaga.
                        “Apa hal ni?” rungutku. Anak mata Linda besar menatapku.
                        “Awak ada masalah? Sejak balik dari kampung saya tengok perangai awak pelik” komen Linda. Aku dan Linda berpandangan. Bijak pula dia membaca perlakuan orang.
                        “Apa yang telah berlaku?” duganya cuba mencungkil sesuatu. Kupegang tangannya. Erat.
                        “Kenapa ni? Awak jangan cuba nak takutkan saya. Cakaplah cepat” gesanya.
                        “Saya dilamar orang yang saya tak kenali” tuturku perlahan.
                        “What!” Besar mata Linda menatapku. Dia terkejut.
                        “Awak terima lamaran itu?” tanyanya. Aku mengangguk.
                        “Kenapa? Ini mesti kerja Mak Long awakkan” tekaan Linda tepat. Linda memang mengetahui betapa dingin hubunganku dengan Mak Long.
                        “Pak Long kata pemuda itu sendiri nak nikah dengan saya” tuturku lemah. Linda mengeluh. Jelas dia tidak puas hati.
                        “Langsung tak masuk akal. Bagaimana dia boleh begitu mudah nak jadi suami awak sedangkan kalian tak mengenali dan tak pernah jumpapun. Ini bukan drama cinta dalam tv tapi hakikat kehidupan sebenar” tegas Linda tidak bersetuju.
“Dia suka saya” tambahku. Besar mata Linda menatapku.
“Itu yang Pak Long cakap” tuturku memberi penjelasan. Tidak mahu Linda menuduhku dibuai perasaan gara-gara dilamar oleh pemuda elit.
“Dia suka awak...” Linda tergelak sendiri. Tersenyum sinis. Tidak percaya.
                        “Awak dah jumpa lelaki itu?” tanyanya ingin tahu lebih lanjut. Aku gelang kepala. Aku belum cukup bersedia mahu menemui pemuda itu. Sebenarnya aku masih keliru dengan tindakanku. Mulutku menyatakan persetujuan dengan jodoh yang ditetapkan sebaliknya hatiku berbelah bahagi.
                        “Pergi jumpa lelaki itu. Cakap awak tak nak nikah dengannya. Awak tak suka dia” tutur Linda mengajarku. Dia tidak mahu aku patuh pada wasiat tersebut. Soal jodoh adalah hakku. Pada Linda aku ada kuasa  menentukan dan memilih jodoh yang terbaik. Teman hidup sepanjang hayat.
                        “Tapi saya dah janji dengan Pak Long dan Mak Long akan terima lamaran itu. Mana mungkin saya mungkir janji dan hampakan harapan Mak Long” balasku hiba. Aku tiada pilihan.
“Lagipun pernikahan ini akan menyelesaikan masalah keluarga di kampung. Orang kaya itu dah janji akan membantu Pak Long” tuturku tanpa berselindung. Linda mendengus.
                        “Pedulikan orang lain. Ini soal masa depan awak, Iman” tutur Linda mengingatkan aku. Terasa sesak nafasku. Dadaku sakit. Hatiku hiba. Memang aku tiada pilihan lain. Hutang budi yang kuterima daripada Pak Long sekeluarga sudah sampai masa kubalas.
                        “Saya perlu berkorban demi Pak Long sekeluarga. Sudah sampai masa saya balas budi mereka. Mak Long kata kalau saya nikah dengan lelaki itu, masalah kewangan keluarga Pak Long akan selesai. Semua ini demi Pak Long dan Lili. Saya dah letih diburu rasa bersalah dengan apa yang menimpa Lili selama ini. Saya dapat rasakan semua itu berpunca dari saya” tuturku berjela. Terasa anak mataku berkaca. Linda menatapku dengan pandangan sayu.
                        “Kasihannya awak...” bisiknya pilu. Aku dan Linda terus berpelukan. Air mataku berderai di pipi. Begitu juga dengan Linda. Aku dan Linda sama-sama menangis. Terasa dunia ini begitu kejam terhadapku.
PEMUDA  itu menatap wajah Datin Sodiah dan Datuk Kamarudin silih berganti. Suasana sepi itu berlanjutan. Dia menarik nafas panjang.
                        “Yen akan nikah dengan gadis itu tapi dengan beberapa syarat. Jika nenek dan ayah bersetuju, Yen akan jumpa gadis itu secepat mungkin” tuturnya memberi pilihan.
                        “Apa  syaratnya?” tanya Datuk Kamarudin.
                        “Pertama, Yen hanya mahu pernikahan dilangsungkan di pejabat kadi, tak perlu majlis besar-besaran. Kita buat yang wajib saja” pintanya mengutarakan syarat pertama.
                        “Pernikahan tanpa majlis?” Datin Sodiah tersentak. Pemuda itu mengangguk. Kedengaran keluhan Datin Sodiah. Impiannya mahu mengadakan majlis yang gilang-gemilang untuk pewaris tunggal keluarga ini.
                        “Dalam pernikahan perkara yang paling penting ialah niat dan akadnya. Pernikahan kerana wasiat bukan sesuatu yang mudah. Beri kami masa mengenali hati budi masing-masing” pintanya serius.
                        “Syarat yang lain?” tanya Datuk Kamarudin lagi.
                        “Usai nikah, Yen takkan terus mengendalikan pengurusan DLH. Yen hanya akan lakukannya apabila betul-betul dah bersedia” jelasnya. Datuk Kamarudin dan Datin Sodiah saling berpandangan.
                        “Itu saja syaratnya. Very simple. Bagaimana?” tanyanya.
                        “Kalau itu syarat kamu, kami setuju” balas Datin Sodiah penuh yakin.
                        “Ini nombor iPhone gadis itu. Kamu takkan rugi memperisterikannya. Percayalah, dia pilihan terbaik buat kamu” tutur Datuk Kamarudin yakin.
                        “Kita tengok nanti...” balasnya tidak yakin.


SELAMAT pagi dan selamat datang ke Rozana Cupcake Conner. Puan nak makan di sini atau take away?” tanyaku sopan.

                   Saya nak makan di sini. Saya nak order set Cheese Cupcakes, Velvet Cupcakes, Marshmallow Cupcakes, Chocolate Brownie Cupcakes serta lima cawan milo panas” tutur perempuan itu sambil menatap paparan menu di depannya. Laju jemariku membuat perkiraan di papan kekunci mesin kira-kira ini.

                        “Okey, order puan ialah set Cheese Cupcakes, Velvet Cupcakes, Marshmallow Cupcakes, Chocolate Brownie Cupcakes serta lima cawan milo panas. Semuanya RM26. 00. Terima kasih. Sebentar lagi kami akan hantar order puan dan sila ambil tempat duduk tuturku ramah. Perempuan itu mengangguk dan beredar.
                        “Awak macam tak bersemangat saja. Are you okay?” tanya Suzan. Aku tersentak. Nampak sangatkah aku ini bermasalah sehingga semua orang di sekeliling menyedarinya. Pertanyaan Suzan tidak kujawab.
                        “Iman, Encik Rizal suruh awak bersiap. Dia nak ajak awak pergi DLH tengok kerja-kerja penyelenggaraan kafe” suara Arlen memecah kesepian.
                        “Wow... Emmm...”Ada suara-suara sumbang menyahut. Kutulikan telinga. Suzan tersenyum menatapku.
                        “Patutlah awak pakai baju cantik hari ini, rupa-rupanya ada date dengan bos” bisik Suzan mengusikku.
                        What!” Besar mataku menatap Suzan. Dia tertawa besar.
                        “Nampaknya hari ini saya kena balik sorang lagilah” tuturnya persis orang yang merajuk.
                        “Padan muka ” balasku. Suzan tergelak. Semalam aku bersama Encik Rizal ke DLH untuk memantau kerja-kerja pengubahsuaian bertepatan dengan kehendak hati Encik Rizal. Dia telah mendapat kepercayaan daripada Datuk Kamarudin untuk membuka cawangan baru Rozana Cupcake Conner di DLH. Aku beriringan dengan Encik Rizal melangkah masuk ke DLH. Kedatangan kami tetap disambut dengan senyuman mesra oleh dua orang gadis Korea yang cantik lengkap berpakaian hanbok.
                        Anyonghaseyo. Welcome to DLH ” sapaan mereka mesra seraya menundukkan sedikit kepala. Tanda hormat kepada tetamu.
                        Gamsahamnida (terima kasih)” balasku tersenyum membuatkan Encik Rizal menoleh ke arahku. Dia tersenyum.
                        “Awak boleh cakap Korea?” tanyanya.
                        “Takdelah, Encik Rizal. Saya suka tengok cerita Korea. Saya belajar perkataan mudah dari drama Korea” jelasku.
“Oh... macam tu” Langkahku terhenti. Aku menatap pemuda yang bersandar pada dinding sedang memandang ke arah kami. Tiada senyuman terukir di bibirnya. Begitu juga aku. Walaupun ini merupakan pertemuan ketiga antara aku dengannya.
“Kenapa?” tanya Encik Rizal setelah menyedari langkahku tertinggal sedikit di belakang. Aku geleng kepala. Aku mendekati Encik Rizal lalu menyambung langkah seiringan dengannya. Aku menoleh semula ke arah pemuda tadi.  Nampak seorang gadis berlari ke arahnya lalu memaut bahunya. Mesra. Mereka beriringan melangkah pergi. Aku pernah nampak gadis itu. Ya, gadis yang aku jumpa di kedai dvd.              

              AKU menatap skrin iPhone ini. Ada beberapa panggilan yang tidak dijawab. Aku memeriksa nombor yang tertera. Semua panggilan daripada nombor yang sama. Nombor yang terlalu asing buatku. Entah, siapakah pemilik nombor ini! Tidak pula aku berminat mahu menghubunginya kembali. Kuletakkan iPhone ini di tepi katil. Aku segera berbaring cuba menghilangkan keletihan setelah seharian bekerja.  Kupejamkan mata. Tiba-tiba iPhone ini berdering lagi. Kubiarkan seketika. Masih juga berdering. Dengan malas tanganku mencapai lalu kudakap di telinga.
“Susah sangat nak call awak. Saya tunang awak. Saya nak jumpa awak di DLH tepat pukul 8.00 malam ini” kedengaran suara lelaki yang tidak kukenali. Tut... tut...panggilan telah diputuskan. Aku terkedu. Panggilan yang sungguh mengejutkan. Tiada salam, tiada perkenalan, hanyalah sebuah rungutan. Kalau ikutkan hati, tidak mahu aku menemuinya. Namun aku terbayang wajah Pak Long dan Lili. Mahu tidak mahu aku terpaksa juga pergi menemui lelaki itu.
Langkahku longlai memasuki ruang legar DLH. Anak mataku liar mencari pemuda itu. Sukar aku hendak mencari kelibat pemuda itu kerana aku tidak mengenalinya. Baru sahaja aku bercadang hendak menghubunginya, datang seorang lelaki mendekatiku.
“Cik Iman?” tanyanya meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Sila ikut saya” pinta lelaki itu dengan sopan. Aku  mengekori langkah lelaki ini. Dia menunjukkan aku tempat pertemuan malam ini. Beberapa minit berlalu, belum nampak bayangan seseorang yang datang mendekatiku. Kuteguk air kosong di dalam gelas. Kukeluarkan iPhone dari beg galasku. Tiada panggilan mahupun mesej yang kuterima. Aku bosan sendirian begini. Sudah habis memerhatikan sekitar ruangan ini. Tiba-tiba kedengaran bunyi derap langkah yang semakin dekat. Aku berpaling. Mata bertentang mata.
“Awak?”...”Awak...” serentak perkataan ini keluar dari mulutku dan mulut pemuda ini. Dia terus duduk bertentangan denganku. Senyap. Tiada siapa yang membuka mulut memulakan bicara. Pandangan kami bersatu.
                        Hipo (cantik) ...” Perkataan yang  aku tidak tahu maknanya itu tiba-tiba meluncur keluar dari mulutnya. Dia mengatakan sesuatu yang tidak kufahami. Mungkin dia sedang mengutukku.
“Apa?” Dia tersenyum memukauku. Ada lesung pipit. ‘Iman, berhati-hati berhadapan dengan lelaki buaya ini’. Suara hati kecilku berbisik memberi peringatan.
                        “Saya Yen. Nama awak?” tanyanya bersahaja.
                        “Iman” balasku pendek.
                        Very nice. Maksud saya nama awak” ujarnya memberi penjelasan.
                        “Saya tahu” balasku agar dia tidak salah pengertian fahamanku terhadap pujiannya itu. Senyap seketika.
“Aaa.....” Sukar dia hendak memulakan perbualan ini. Kedengaran keluhan kecilnya. Dia kematian akal mahu berbicara denganku. Aku pun begitu juga tidak tahu hendak memulakan bicara dari mana.
“Sekejap lagi saya ada hal. Saya rasa baik kita berterus-terang saja” luahnya menyusun bicara. Aku mengangguk setuju. Walaupun seraut wajah ini begitu menyenangkan mata memandang, namun aku tidak terfikir hendak duduk lama-lama bersamanya. Kekok.
                        “Hati atuk dah terpaut pada awak. Kalau atuk masih hidup hingga ke hari ini saya yakin dia dah lamar awak jadi isteri nombor dua” sinis sahaja suara pemuda ini. Aku menelan liur pahit. Aku sedang berdepan dengan pemuda yang ketandusan kesopanan dan kesusilaan. Prinsip kelima rukun negara. Dia tidak patut mengutuk orang yang sudah tiada. Apatah lagi datuknya sendiri. Dia sewajarnya berterus-terang sahaja kepada keluarganya menolak ketetapan itu. Aku mengetap bibir. Cuba membina tembok kesabaran seutuhnya. Kupandang muka pemuda angkuh ini. Konon dia sendiri yang mahu bernikah denganku. Dia suka aku. Tipu.
“Kita takde pilihan. Kita akan jadi suami isteri. So untuk meneruskan kebebasan hidup kita sekarang, apa kata kalau kita nikah olok-olok” Cadangan ini cukup mengejutkanku. Terbeliak mataku menatapnya.
                        What? Nikah olok-olok?” ulangku semula. Tidak percaya.
                        “Ya. Saya dah ada insan yang saya cintai. Dia sungguh jelita.Tak mungkin saya akan mengalih cinta saya” tuturnya angkuh. Serta merta terbayang wajah gadis cantik itu. Agaknya kalau dia tahu kekasih hatinya ini akan bernikah dengan gadis lain, pasti dia mengamuk. Mahunya tercetus Perang Dunia ke-3.
                        “Kita tinggal bersama tanpa jadi suami isteri. Awak buat hal awak sendiri dan saya buat hal saya sendiri.  Kita teruskan kehidupan sendiri seperti yang ada sekarang” cadangnya tidak waras.
                        What!” Aku tersentak. Terkejut mendengar bicara yang tidak pernah aku duga sedemikian. Walaupun kami saling tidak menyukai, apatah lagi tidak mengenali antara satu sama lain, namun aku tidak pernah terfikir hendak melakukan perkara terkutuk itu. Aku menatapnya dengan perasaan marah. Cuba kukawal rasa sakit hati ini.
“Tinggal bersama akan buat family kita tak curiga perkara ini” tambahnya menjengkelkan aku. Aku mendengus kasar. ‘Ya...Allah, mengapa aku dipertemukan dengan pemuda ini?’

                        “Awak tak takut dosa?” tingkahku. Mana mungkin aku tinggal bersekedudukan dengan lelaki ini. Walaupun tiada cinta antara kami, namun aku tidak pernah terfikir akan tinggal bersamanya tanpa sebarang ikatan yang sah. Aku tidak akan melakukan perkara mungkar itu. Meskipun aku bukan seorang yang warak.
                        “Awak tak perlu risau. Takkan berlaku apa-apa antara kita” balasnya penuh makna tersirat. Dia cukup yakin imannya tidak akan tergoyah keranaku. Cabaran buatku.
                        “Saya takkan tertarik dengan awak” tuturnya tanpa berselindung sekali gus menambah sakit hatiku. Dia persis kekasihnya, riak dan bongkak. Suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka memang pasangan kekasih yang secocok dan sepadan.
                        “Saya juga takkan tertarik dengan lelaki jahat seperti awak! Awak ingat awak orang kaya, ada segalanya boleh buat sesuka hati! Walaupun saya miskin tapi saya masih ada maruah diri. Pergilah jahanam dengan rancangan dan kesombongan awak itu!” lantang aku mengeluarkan kata-kataku.
                        “Yah...!” Dia membentak. Hatinya sakit. Bingkas aku bangun lalu meninggalkannya. Tampak wajah pemuda ini merah merona menahan marah mendengar bicaraku sedemikian.
                        “Kita belum habis bincang lagi!” laungnya dengan suara sedikit lantang. Aku tidak pedulikan laungan itu. Kuteruskan langkah meninggalkannya. Tiba-tiba aku teringat pada peristiwa lalu. Aku berpatah balik melangkah ke arahnya lalu berhadapan. Terkebil-kebil matanya menatapku. Laju sahaja tanganku mencapai gelas yang berisi air itu lalu menyimbah ke arahnya.
                        “Shit!” Dia terkebil-kebil bangun sambil mengibas-ngibas bajunya yang terkena air. Aku  puas hati sekarang.
                        “Apa yang awak buat ini!” tengkingnya. Terkejut dengan tindakan drastikku. Tidak sempat hendak menangkis seranganku. Wajahnya bercelaru menatap bahagian hadapan pakaiannya yang basah. Sedikit seksi tatkala bahagian hadapan baju kemeja putih itu basah akibat curahan air tadi.
                        “Ini balasan atas tindakan awak yang merampas dvd dari saya tempoh hari. Nah, ambik balik wang awak! Lelaki tak sopan!” kutukku dengan perasaan marah lalu meletakkan not RM100 di depannya. Aku sudah memulangkan wang itu kepadanya.
                        “Yah...!” Aku melangkah meninggalkan pemuda ini. Gentar juga melihat kemarahannya. Bimbang dia akan bertindak di luar jangkaan. Tidak kupedulikan beberapa pasang mata yang menatap kejadian sebentar tadi. Aku terus melangkah dan melangkah meninggalkan DLH. Seiringan langkahku, mulutku terus berbicara melempiaskan kemarahan yang terbuku dalam hati ini. Aku menyalahkan diri kerana mudah menerima pelawaan pemuda yang tidak tahu bersopan itu. Malam ini merupakan malam terburuk buatku. Langkahku terhenti. Terasa letih. Sudah jauh aku meninggalkan bangunan DLH itu. Kudongak ke dada langit. Tampak bulan sedang menyinar.
                        “Ibu... sakitnya hati ini...” bisikku. Perlahan-lahan air mataku menitis menuruni cerun pipiku. Aku terduduk di situ lalu menangis sepuas-puas hatiku. Sungguh perasaanku terbeban ketika ini. Aku tidak mahu pemuda itu muncul dalam hidupku. Aku berharap tidak akan bertemu dengannya lagi. Namun tatkala terbayang wajah Pak Long dan Mak Long, terasa aku tidak berdaya.                    
“Lelaki jahat! Lelaki ego! Aku benci dia!” tuturku dalam tangisan. Esakanku sukar dihentikan. Aku cuba diam namun senduku masih kedengaran. Cuba berdiri tetapi kakiku terasa begitu lemah. Aku terduduk semula.                        
“Iman...” Sayup-sayup ada suara memanggil namaku. Aku mendongak. Seorang pemuda sedang menatapku. Aku terkedu dan tersentak. Bermimpikah aku sekarang? Betulkah gerangan yang berada di depan mataku? Jang Geun Suk sedang berdiri menatapku dengan wajah simpati. Barangkali dia simpati melihat aku yang sedang menangis ini. Dihulurkan tangan kepadaku mahu membantuku berdiri. Aku menyambut huluran tangan itu lalu berdiri di depannya. Samar-samar aku memerhatikan wajah kacak Jang Geun Suk itu. Tiba-tiba ... Aku terpana.
“Are you okay?” Langkahku sedikit ke belakang menjauhinya.
                        “Awak...” hanya itu yang mampu keluar dari mulutku.
                        Sorry. Biar saya hantar awak balik. Mari” suaranya lembut tidak seperti pada pertemuan tadi. Dihulurkan sapu tangan kepadaku. Dia tersenyum.
                        “Lap air mata awak. Awak menangis seperti anak kecil” usiknya. Laju tanganku mengelap pipiku yang sudah dibasahi air mata. Segan juga mendengar kata-katanya itu.
                        “Awak tinggal di mana? Biar saya hantar awak balik”Aku diam  lagi. Kutatap wajahnya mencari kebenaran. Dia seakan mempunyai dua personaliti yang berbeza. Ada dua watak yang bertentangan. Antagonis dengan protagonis.
                        “Awak suka sangat pandang saya macam tu. Ada yang pelik di muka saya ini? Rasanya hidung saya masih terletak di tempat yang betul” ujarnya bercanda. Aku tersentak dan tersenyum sendiri. Cepat-cepat aku melarikan muka dari pandangannya. Dia tersenyum.
                        “Awak tak boleh jatuh cinta pada saya tau” tuturnya.  Aku menatapnya. Dia tersenyum lagi. Akhirnya aku pun turut tersenyum.

LINDA dan Kak Leha silih berganti memeluk tubuhku. Begitu juga dengan Lili. Dia dari semalam tidak jemu-jemu menitiskan air mata. Suasana yang sepatutnya meriah menjadi hiba. Aku sudah nekad tidak akan menangis lagi. Usai  majlis akad nikah, Yen terus membawa aku balik ke banglo mewah ini. Mujur juga dia tidak tinggal bersama keluarganya. Kalau tidak pasti akan mengundang kesukaran buat kami merencana kehidupan sendiri.
                        “Bilik awak di hujung sana” Yen menunding jari ke arah bilik itu. Aku mengangguk faham. Persiapan yang rapi. Sudah tersedia bilik untukku. Lega. Aku tidak perlu berkongsi bilik dengan pemuda ini. Lebih selamat. Dia juga kekasih yang setia.
                        “Pergilah rehat dulu. Nanti ada hal saya nak bincang dengan awak”  Aku patuh pada arahannya. Kutolak daun pintu. Aku terpegun melihat bilik ini. Cukup sempurna persis kamar beradu tuan puteri. Kubuka almari, pakaian sudah tersedia di situ. Di atas meja solek, sudah menunggu set barangan kosmetik penghias diri. Di hujung sana, ada berpasang-pasang kasut perempuan menunggu hendak dipakai. Persiapannya rapi. Lelaki yang sentiasa di kelilingi oleh perempuan memang bijak mengetahui keperluan kaum perempuan. Barangkali juga barang-barang ini milik kekasihnya. Tidak mustahil banglo ini menjadi persinggahan gadis-gadis yang memujanya. Nauzubillahminzalik. Aku menggeleng. Tidak patut aku prasangka buruk kepadanya.
                        Aku membaringkan tubuh di atas tilam empuk ini. Anak mataku masih liar memerhatikan sekitar bilik ini. Masih ada yang kurang. Aku menguap beberapa kali. Lebih baik aku tidur sekarang. Rasa mengantuk yang tidak dapat ditahan-tahan kerana semalaman aku tidak dapat tidur lena memikirkan perkara yang berlaku hari ini. Syukurlah segala berjalan lancar seperti yang telah kami rancang.
Aku terjaga setelah hampir dua jam tidur. Kupandang jam di dada iPhone. Hampir-hampir ke pukul 6.00 petang. Bingkas aku bangun mengerjakan solat asar. Usai solat, aku terus mandi dan menyiapkan diri. Aku keluar bilik lalu menuruni anak tangga. Kemudian terpacak di ruang pemisah antara ruang tamu dengan ruang dapur. Aku memerhatikan  sekeliling. Terasa begitu sunyi. Kekok juga berada di banglo mewah ini. Apa yang patut aku lakukan sekarang? Tidak tahu hendak berbuat apa-apa di rumah yang terlalu asing ini. Perut berkeroncong. Baru teringat belum makan lagi.
                        “Awak dah bangun...” Aku melontar pandangan mencari suara itu. Dia berada di sebalik sofa di ruang tamu sedang membaca. Aku melangkah mendekatinya.
                        “Boleh tidur lena di bilik itu?” tanyanya. Aku mengangguk. Bilik yang selesa. Dia sedang tekun membaca buku tebal di tangannya. Tidak sangka dia mempunyai hobi sedemikian. Kiranya dia lelaki kacak yang berilmu pengetahuan. Aku  sedikit kagum padanya.
                        “Laparlah. Kita nak makan apa malam ini?” tanyaku cuba membiasakan diri. Dia mengalih pandangan ke arahku.
                        “Awak pandai masak?” pertanyaan itu meluncur dari mulutnya.
                        “Bolehlah... yang simple. Awak nak makan apa?” tanyaku pula. Dia tersenyum. Mungkin lucu mendengar pertanyaanku ini.
                        “Pertama kali ada orang tanya saya nak makan apa” jelasnya.
                        Really?” Aku meminta kepastian. Dia mengangguk. Dialah manusia yang paling menyedihkan. Aku simpati.
                        “Kasihan awak. Takpe saya akan masak untuk awak hari ini” ujarku jujur turut bersimpati kepadanya. Dia terdiam seketika.
                        “Awak boleh masak lemak cili api?”tanyanya.
                        “Orang Korea boleh makan yang pedas-pedas ke?” tanyaku musykil. Dahiku berkerut. Dia tergelak. Kemudian masih tersenyum-senyum. Manis senyumannya.
“Saya orang Malaysialah” tingkahnya menolak kenyataanku.
“Bolehlah... Malaysia celup...” sokongku. Dia tersengih.
“Boleh tak awak masak?” tanyanya.
                        “Yang tu... Oh... mudah saja. Kejap lagi saya masak. Tunggu ye” pesanku lalu bergerak ke dapur hendak memulakan tugasku. Pertama kali aku perlu rendam ikan dan menyiangnya. Dalam menunggu ikan membeku cair, aku terus menanak nasi. Kemudian menyiapkan bahan-bahan masakan termasuk sayur. Kacang goreng bercampur bilis tumbuk menjadi pilihan sayur untuk hidangan malam ini. Mudah sahaja hendak menetapkan menu apa yang harus dimasak memandangkan bahan-bahan masakan lengkap di rumah ini. Peti sejuk penuh dengan bahan mentah. Suatu yang hebat bagi rumah orang bujang. Aku memotong sedikit daging untuk dimasak goreng sizziling. Isi ayam ini pula aku masak halia. Kira cukuplah sayur kacang goreng, ikan masak lemak cili api, daging goreng sizziling dan ayam halia. Aku meletakkan jus oren di atas meja. Sekarang semuanya sudah sedia dinikmati.
                        “Kita dah boleh makan sekarang. Mari...” ajakku dari ruang makan. Dia muncul di depanku. Ditatap makanan yang terhidang di atas meja.
                        “Awak masak semua ini?” Dia seakan tidak percaya. Aku mengangguk dan tersenyum bangga. Baru dia tahu akan kebolehanku. Dia terus  duduk menghadap hidangan. Perlahan-lahan dia menghirup kuah ikan lemak cili api. Penuh teliti. Aku menanti reaksinya. Mahu mendengar komennya.
                        “Ooo...sedapnya...” Dia terus menghirup kuah gulai ikan ini kesekian kali. Aku tersenyum puas. Syukurlah air tanganku menepati seleranya.
                        “Betul-betul sedap. Awak pandai masak ye...” pujinya.  Aku tersenyum menerima pujian Yen. Bukan mudah hendak mendengar pemuda ego ini mahu menyanjungi orang lain. Aku percaya sedemikian sikapnya.
                        “Masa sekolah rendah saya dah belajar masak. Sudah menjadi kewajipan saya berada di dapur”ceritaku mengenang kisah lalu. Aku mengeluh kecil. Sedih mengenangkan perkara lalu.
                        “Awak bercita-cita nak jadi tukang masak?” Aku tertawa mendengar pertanyaannya itu. Tidak sangka sedemikian yang difikirkannya. Sedap sungguhkah aku masak?
                        “Ibu awak yang ajar?” tekanya. Aku geleng kepala. Seraut wajah sedih tidak dapat aku bendung. Aku begitu sensitif  tatkala ada yang menyebut tentang ibu. Mudah terusik perasaan ini jika dikaitkan dengan ibu.
                        “Ibu bapa saya meninggal ketika saya masih kecil lagi” luahku.
                        Sorry...” Reaksi wajahnya turut berubah mendung.
                        “Siapa yang jaga awak?” tanyanya semakin berminat hendak mengetahui perihal diriku.
                        “Nenek. Kemudian nenek meninggal, saya tinggal dengan Pak Long. Merekalah yang telah bersusah payah memberikan kehidupan kepada saya” ceritaku. Tidak akan aku lupakan jasa Pak Long sekeluarga. Sekarang aku cuba membalas jasa mereka.
                        “Sebab itu juga awak terpaksa nikah dengan saya. Keluarga saya berjanji akan memberikan kehidupan yang lebih baik kalau wasiat itu dipenuhi” duga pemuda ini langsung tidak berselindung. Aku terkedu mendengar bicaranya. Senyap. Hanya kedengaran sekali bunyi sudu yang berlaga dengan pinggan. Pemuda ini tidak berbicara lagi, sebaliknya fokus menikmati hidangan malam tanpa sebarang gangguan. Tampak dingin. Dia kembali ke dunia ciptaannya sendiri. Tidak mengendahkan aku yang berada di sini ketika ini. Usai sahaja mengemas dapur dan mencuci pinggan-mangkuk, aku bercadang kembali ke bilik. Mahu mengurung diri di bilik kerana tidak mahu mengganggunya. Janggal tinggal berdua-duaan bersama seorang pemuda yang baru kukenali ini.
“Iman, saya ada perkara nak bincang dengan awak” Langkahku mati. Aku berpatah balik dan melangkah ke ruang tamu.
“Duduk....” arahnya. Terasa kerdil tatkala sepasang mata itu merenungku sedemikian. Setiap kali pemuda ini menatapku pasti hatiku tidak jemu-jemu memuji kesempurnaan wajahnya. Apatah lagi aku memang fanatik dengan wajah Korea.
                        “Awak dah puas tengok saya?” tanyanya.
                        “Aa...” Aku tersentak dan menyumpah diri atas ketelanjuran tingkahlaku . Dia tersenyum. Cukup mempesonakan. Mahu sahaja aku menyatakan kepadanya agar menyimpan senyuman itu. Aku tidak mahu senyuman itu mengikat pandanganku pada seraut wajah putih bersih itu. Aku risau dia akan salah faham nanti.
                        “Pernikahan ini harus kita rahsiakan agar kita boleh hidup seperti biasa. Saya tahu bukan mudah kita nak melalui semua ini, so kita perlu bekerjasama agar semua berjalan lancar” tuturnya memulakan bicara. Nampak serius. Aku mengangguk. Kenyataan yang tepat.
                        “Saya setuju” balasku.
                        “Keluarga kita tak boleh tahu kehidupan sebenar kita terutama nenek saya. Dia tak boleh susah hati mahupun menerima sebarang kejutan kerana dia menghidap masalah jantung yang serius. Saya mohon di depan keluarga, kita cuba jadi suami isteri yang bahagia” pintanya. Aku mengangguk  lagi. Rupa-rupanya Datin Sodiah yang baik hati itu ada penyakit jantung yang serius. Kasihan dia.
                        “Sekarang rumah ini adalah milik kita bersama. Buatlah apa yang awak nak buat saya tak kisah. Memandangkan milik bersama, maka kita juga kena bersama-sama menjaganya. Awak faham maksud saya?” tanyanya. Murah hati pula Yen hendak berkongsi harta miliknya denganku.
                        “Ya saya faham. Saya kenalah buat kerja-kerja rumah. Itu tak jadi masalah” balasku lagi. Tugas yang mudah dilaksanakan. Aku biasa melakukan semua kerja rumah.
                        “Bagus. Lagi satu perkara,  sebelum ini menyediakan sarapan, hidangan malam, semua kerja rumah termasuk mengemas bilik tidur dan mencuci pakaian saya dilakukan oleh orang gaji yang akan setiap hari. Mulai esok orang gaji takkan datang bagi mengelak sebarang kekeliruan, curiga dan mengelakkan rahsia kita akan terbongkar. Awak boleh ambilalih semua kerja itu?” tanyanya lagi.
                        “Jadi saya kena masuk bilik awak?” tanyaku meminta kepastian sebelum menjawab pertanyaannya. Setahuku bilik tidur merupakan tempat yang privasi. Tidak semua orang boleh masuk sesuka hati tanpa kebenaran. Dia mengangguk.
                        “Ada masalah? Tiada halangan untuk kita keluar masuk mana-mana bilik di rumah ini kerana kita suami isteri. Awak perlu ingat perkara ini” tegasnya. Betul juga. Bukan jadi kesalahanpun. Dalam masa yang sama aku mesti berhati-hati. Lelaki kaki perempuan sepertinya tidak boleh dipercayai. Aku mesti sentiasa berwaspada.
“Ya saya akan buat sehabis baik” janjiku. Itu bukan perkara yang sukar aku hendak lakukan. Sudah menjadi rutin hidupku semua itu sejak di bangku sekolah lagi. Sekurang-kurangnya aku berterima kasih kepada Mak Long kerana telah melatihku dengan baik. Pengalaman hidup yang sangat berguna.
                        “Awak ada apa-apa perkara nak cakap?” tanyanya menatapku. Aku menarik nafas panjang. Sudah sampai giliranku mengutarakan permintaan dan menambah syarat dalam perjanjian ini.
                        “Walaupun gaji yang saya dapat tak seberapa tapi saya mahu terus bekerja” terus-terangku. Aku perlu menyimpan wang untuk kegunaan sendiri dan untuk Pak Long sekeluarga. Aku juga mesti terus menabung untuk masa depan anak-anak Lili. Walaupun keluarga Yen akan membantu, namun aku tetap mahu meneruskan rutin bulanan ini. Tidak mungkin aku akan lepas tangan begitu sahaja.
                        “Tak jadi masalah. Awak buatlah apa yang awak fikir nak buat. Saya takkan halang. Ikatan yang ada sekarang hanya pada kertas, takkan bagi makna apa-apa dan takkan mengubah kehidupan kita yang sedia ada” balasnya berjela. Aku mengangguk cukup mengerti. Iman tetap akan jadi Iman. Begitu juga dengan pemuda ini. Gelaran isteri hanya pada kertas. Dia juga hanya jadi suamiku pada kertas bukan di alam realiti.
                        “Itu saja?” tanyanya.
                        “Hey... ada lagi!” Dia menatapku. Menanti bicaraku seterusnya.
                        “Saya ini fanatik dengan aktor Korea” tuturku lambat-lambat cukup berhati-hati. Risau ditertawakannya.
                        So...” tanyanya. Mujur tabiatku ini tidak menjadi kutukannya.
                        “Bilik tidur saya sekarang memang cantik dan begitu selesa tapi ada satu yang kurang. Boleh tak kalau saya tampal poster-poster aktor Korea di bilik itu. Saya tak boleh tidur lena kalau poster-poster itu takde” tuturku cuba memberanikan diri.
                        “ Macam budak kecil ....” kutuknya. Aku tersengih.
                        “ Boleh tak?” ulangku lagi tanpa mempedulikan kutukannya itu.
                        “ Suka hati awak” Jawapan yang menggembirakan aku.
                        Gamsahamnida (terima kasih)” tuturku tersenyum gembira.
                        “Itu saja?” Aku mengangguk. Dia menatapku seketika. Tanpa kuduga tiba-tiba sahaja dia menghulurkan tangan kepadaku.
                        “Semoga kita dapat bekerjasama dengan baik. Just a friend” Lambat-lambat aku menyambut tangan yang dihulurkan. Tidak haram bersentuhan tangan dengannya. Kami sudah menjadi suami-isteri. Dia menggerak-gerakkan tangan kami yang bersatu.
                        “Chaiyok! Chaiyok!” laungku memotivasikan diri sambil mengangkat genggaman tangan kami. Yen terkebil-kebil menyaksikan gelagatku. Seminit kemudian dia tertawa. Barangkali dia terasa lucu dengan tingkahlakuku.
“Saya akan jadi sahabat baik awak dan demi keluarga saya, saya akan melindungi awak” tuturnya lagi buat aku sedikit teruja.
“Saya juga akan jadi sahabat yang boleh menggembirakan dan memeningkan awak, sebagai sahabat saya akan menjaga awak dan adakalanya akan menyusahkan awak juga” balasku berjenaka disambut dengan gelak tawa kami yang bersatu. Walaupun tampak jenaka namun itulah sebenarnya kata hati yang ingin aku luahkan. Duniaku dengan dunia pemuda ini terlalu berbeza. Latar belakang hidup kami tidak sama. Pasti semua ini bakal menjadi ujian buat kami. Namun, kami sudah berjanji akan menjadi sahabat baik. Sahabat baiki ialah sahabat yang sanggup susah dan senang bersama-sama. Ya Allah semoga semuanya Engkau permudahkan buatku dan buat pemuda ini. Amin! 



No comments:

Post a Comment