Friday, 24 March 2017

Awaklah Sonataku......Saranghae....3



BAB 3
           
                        “Betul awak jumpa pemuda Korea itu?” tanya Suzan teruja. Aku mengangguk. Masih jelas pertemuan kami pada malam tadi. Wajahnya langsung tidak serupa dengan Datuk Kamarudin. Mungkin seiras wajah ibunya. Aku juga dapat merasakan bahawa hubungannya dengan Datuk Kamarudin kurang akrab. Tampak dia lebih banyak mendiamkan diri malah sentiasa dalam dunia sendiri. Dia tidak mesra dengan Datuk Kamarudin malah tidak mesra dengan semua orang. 
                        “Awak berbual dengannya?” tanya Suzan lagi. Aku diam. Seingat aku tiada. Lantas aku geleng kepala. Cuma sesekali bertukar pandangan dengannya.
                        “Dia seorang yang cool, tak banyak cakap dan nampak seolah-olah dia hidup dalam dunia sendiri” tuturku membentang tafsiranku terhadap pemuda itu. Aku nampak dia menyendiri walaupun di sekeliling ada perbualan rancak. Bidang perniagaan bukan minatnya. Dia langsung tiada pendapat hendak mencelah perbincangan Datuk Kamrudin dengan Encik Rizal. Dia hanya menjadi pendengar yang tidak mesra. Kedekut dengan senyuman. Sesekali dia menatapku dengan eksperi wajah yang sukar ditafsir.
“Hidup dunia sendiri? Maksud awak? Suzan keliru.
“Susah saya nak jelaskan tentang pemuda itu. Dia langsung tak terganggu dengan dunia sekeliling. Cool guy” ujarku tidak dapat memberi gambaran yang jelas.
What name that guy?” tanya Suzan berminta hendak mengetahui lebih banyak tentang pemuda Korea itu.
“Tak silap dengar...Yen. Saya tak berkenalan pun dengannya” jelasku. Aku dengan pemuda itu saling tidak mengetahui nama masing-masing. Tidak bertukar senyuman. Hanya sesekali bertukar pandangan.
“Alah ...rugilah awak!” rungut Suzan tidak puas hati. Sebenarnya masih ada sisa marahku kepadanya. Pertama, sewenang dia menyentuhku. Kedua, dia melarikan dvd cerita Korea yang sepatutnya menjadi milikku. Andai semalam itu hanya kami berdua sudah pasti akan aku luahkan kemarahanku ini kepadanya.


DATIN Sodiah menatap wajah dalam gambar yang berada di tangan tika ini. Ditenung lama. Ada perasaan sedih dan risau bercampur-baur. Ditatap lama wajah comel si kecil itu lagi. Dia tersenyum sendiri tatkala mendengar rungutan si kecil yang sering kali mempersoalkan wajahnya. Kenapa dia tidak sama seperti kawan-kawan yang lain? Berkulit sowa matang seperti ayahnya? Kenapa matanya tidak sebesar mata neneknya? Kenapa namanya pelik tidak seperti nama kawan-kawannya yang lain? Terlalu banyak persoalan yang diajukan. Kini si kecil comel ini telah dewasa dan menjadi pemuda tampan yang berdikari. Sikap yang terlalu berdikari membuatkannya semakin menjauh daripada keluarga ini. Datin Sodiah mengeluh berat. Ditatap dada akhbar yang dibaca pagi tadi. Cerita yang tidak menyenangkan berulang lagi. Pening kepala memikirkan hal ini.
                        “Bila Yen nak datang sini, Kamarul?” tanyanya sebaik sahaja anak lelaki tunggalnya itu muncul di ruang tamu.
                        “Semalam saya pesan suruhnya datang hari ini. Cucu kesayangan mak itu betul-betul memeningkan saya mak” keluh Datuk Kamarudin. Kesal. Masih tergambar reaksi Encik Rizal dan gadis itu tatkala anak muda itu muncul dengan penampilan sedemikian. Tersasar daripada jangkaan mereka.
                        Skandal Cinta Anak Tokoh Usahawan Terulung Undang Pergaduhan Di Kelab Malam...” mulutnya menyebut sebaris ayat itu. Datuk Kamarudin membaca paparan berita hari ini. Dia mengeluh lagi. Akhbar di tangannya diletak di tepi. Tidak berminat hendak membaca artikel itu. Perkara itu telah diselesaikan sendiri oleh anak muda itu tanpa campur tangannya.
                        “Bila dia akan jadi lebih matang” keluhnya lagi. Kesal.
                        “Mak tak berkenan dengan Velviana” keluh Datin Sodiah. Gadis kacukan Serani-Melayu itu terlalu sosial dan kasar. Bukan menantu pilihan keluarga ini.
“Tengoklah agresifnya dia” keluh Datin Sodiah. Tidak puas hati dengan tindakan supermodel itu.
                        “Kalau kita terus biarkan Yen hidup macam sekarang, dia takkan dapat jodoh yang baik. Dia takkan berubah kalau hidup dengan perempuan macam tu” keluh Datin Sodiah risau.
                        “Terlalu awal Yen nak beristeri, mak” keluh Datuk Kamarudin berat hati. Datuk Kamarudin pening kepala. Anak tunggalnya masih muda. Bimbang dia kalau anak muda itu tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Khuatir niat mahu memberi kehidupan yang lebih baik akan menimbulkan masalah pula kepada pemuda pewaris tunggal keluarga ini. Bagaikan satu percaturan terpaksa dibuat. Risau gagal.
                        “Dia bukan jahatpun, kita saja yang tak faham perangainya. Jadi janganlah kamu risau sangat Kamarul” luah Datin Sodiah memujuk. Dia tahu cucunya itu masih memiliki hati yang mulia.
                        “Kamu dah cari di mana Mukhriz sekeluarga tinggal?” tanya Datin Sodiah. Ada bebanan yang terpaksa dipikulnya. Wasiat suaminya 20 tahun lalu sudah sampai masa hendak ditunaikan.
                        “Saya dah arahkan beberapa orang cari mereka di seluruh Malaysia ini. Insya-Allah sedikit masa lagi kita akan dapat menjejaki mereka” sahutnya yakin. Bukan calang-calang orang yang diupahnya menyiasat perkara ini.
                        “Bila dah wasiat ayah kamu ditunaikan nanti, maka pengurusan Daejeon Legend Hotel akan diserahkan kepada Yen” tambah Datin Sodiah. Datuk Kamarudin mengangguk. Sudah sekian lama dia menunggu dan mengharap agar anak muda itu mengambilalih pengurusan Daejeon Legend Hotel. Namun hampa apabila pemuda itu lebih suka membawa haluan hidup sendiri. Datuk Kamarudin dapat merasakan bahawa anak muda itu masih menyalahkannya atas peristiwa yang berlaku dalam keluarganya.
                

“Assalamualaikum... ANYONGHASEYO...” sapanya mesra.
                        “Waalaikumussalam...Oh... my handsome hero. Come here...” Dipeluknya tubuh anak muda itu. Pipi putih bersih itu dikucup manja. Betapa sarat rindunya kepada pemuda ini.
                        How are you my dear?” tanyanya sambil mengusup lembut pipi pemuda itu. Yen tersenyum. Kasih sayang perempuan ini tidak pernah surut.
                        “Baik-baik saja” balasnya tersenyum.
                        “Dah berbulan tinggal di sini, kenapa baru sekarang datang menjenguk nenek?” tutur Datin Sodiah buat-buat merajuk. Yen tersenyum. Dipeluk tubuh Datin Sodiah. Mesra.
                        “Yen busy settle beberapa perkara. Sorry ...” Datin Sodiah tersenyum lagi. Terubat rajuk tatkala melihat senyuman indah pemuda itu. Bangga dengan ketampanan cucu tunggalnya ini. Tidak bimbang juga mahu menyatukan Yen dengan anak gadis Mukhriz. Dia yakin gadis itu akan terpikat kepada Yen.
                        “Sejak kebelakangan ini nenek tengok banyak sangat girlfriend kamu. Mana satu bakal jadi isteri nanti?” duga Datin Sodiah. Yen tertawa mendengar bicara neneknya itu. Pertanyaan yang cuba memerangkapnya.
                        “Kamu tak nak kahwin suatu hari nanti?” duga Datin Sodiah lagi.
                        “Yen masih mudalah, nek” balasnya. Perkahwinan sesuatu yang tidak pernah difikirkannya. Dia tidak percaya ikatan tersebut mampu membahagiakan. Ketika usia genap 4 tahun, ibu bapanya berpisah mencari haluan hidup sendiri. Dia kesunyian dan keseorangan.
                        “Umur kamu 24 tahun sekarang, masa inilah nenek lahirkan ayah kamu. Ketika umur ini juga kamu lahir” cerita Datin Sodiah tidak bersetuju dengan pendapat Yen.
                        “Nenek nak suruh Yen kahwin ni, nenek ada calon ke?” tanyanya menguji. Datin Sodiah teruja mendengar pertanyaan itu. Pertanyaan yang dinanti-nantikan keluar dari mulut anak muda ini. Masanya sudah sampai.
“Kamu takde calon ke?” tanya Datin Sodiah menguji. Yen tersenyum.
                        “Yen ada banyak girlfriend. Tak tahu nak pilih yang mana satu”sahutnya berseloroh. Walaupun ini gurauan, tetapi bicara itu benar. Kemunculan Datuk Kamarudin mematikan perbualan rancak mereka. Wajah Yen bertukar serius. Dia sedikit menundukkan kepala kepada Datuk Kamarudin sebagai sapaan hormat. Sedikit budaya Korea meresap dalam diri. Bertahun-tahun dia tinggal di negara itu.
                        “Ayah ada perkara penting nak cakap dengan kamu. Datang bilik bacaan sekarang” arah Datuk Kamarudin kepada pemuda itu. Tegas. Datuk Kamarudin berlalu. Ditatap wajah neneknya. Datin Sodiah mengangguk.
                        “Pergilah jumpa ayah kamu” arah Datin Sodiah. Dia akur lalu melangkah meninggalkan Datin Sodiah. Daun pintu bilik itu diketuk. Kedengaran suara Datuk Kamarudin mengarahkan masuk. Kedatangannya memang dinantikan. Yen melabuhkan duduk di sofa berhadapan dengan Datuk Kamarudin. Bersedia mendengar perkara yang mahu dibincangkan bersamanya.
                        “Bila kamu nak berpakaian lebih elok?” teguran pertama Datuk Kamarudin. Tidak senang hati melihat penampilan anak mudanya sebegini. Senyap. Yen membisukan diri. Datuk Kamarudin tahu pertanyaan itu tidak akan dijawab.
“Selalulah luangkan masa datang ke sini jenguk nenek kamu. Sejak dari dahulu dia memang sering fikirkan kamu. Betapa dia risaukan kamu” ujar Datuk Kamarudin dengan keluhan kecil. Wajah anak muda ini dipandang.
“Apatah lagi sejak kebelakangan ini nenek kamu sering sakit. Dia memang perlukan perhatian kita” tambah Datuk Kamarudin. Yen kaget. Wajah Datuk Kamarudin dipandang serius.
“Nenak sakit? Sakit apa? Serius?” bertalu-talu pertanyaan diajukan kepada ayahnya. Datuk Kamarudin menarik nafas dalam-dalam. 
“Doktor sahkan nenek kamu ada masalah jantung. Dia tak boleh menerima tekanan. Kamu boleh buatkan dia sentiasa gembira. Dia sungguh menyayangi kamu. Luangkanlah masa bersamanya” pinta Datuk Kamarudin. Yen terpana. Hatinya dipagut pilu. Berita ini sungguh menyedihkannya.
“Hidup baik-baik. Nenek kamu akan gembira dan senang hati” nasihat Datuk Kamarudin. Yen masih terdiam panjang. Perasaannya terusik. Dia bersedih.
“Sakit nenek serius?” baru Yen bersuara sambil menatap lelaki itu. Perlahan-lahan Datuk Kamarudin mengangguk. Yen meraup kedua-dua belah tangan ke muka. Dia memejamkan mata seketika. Hatinya bergetar. Tidak tega menerima perkhabaran buruk itu.
“Kesempatan yang ada... kita bahagiakannya” pinta Datuk Kamarudin mengharap. Dia tahu anak muda ini mengerti akan bicaranya itu. Lantas diserahkan sahaja sampul itu kepada Yen. Ditenung seketika sampul coklat yang pudar warna itu. Kemudian mengalih pandangan ke arah Datuk Kamarudin.
                        “Ayah dah dapat cari keluarga Encik Mukhriz” tutur Datuk Kamarudin  perlahan. Dua hari yang lalu, dia telah ke kampung Encik Mukhriz berdasarkan alamat yang diberikan kepadanya. Betapa dia sedih setelah mengetahui bahawa Encik Mukhriz dan isterinya meninggal dunia 18 tahun lalu setelah terlibat dalam kemalangan ngeri. Dalam sedih, ada terselit kegembiraan. Dia terkejut apabila Encik Musa menunjukkan gambar seorang gadis yang merupakan zuriat tunggal arwah Encik Mukhriz. Dia kenal dengan gadis itu, malah cukup menyenanginya. Patutlah ketika dia bertemu dengan gadis itu bagai ada sesuatu yang dirasakan.
                        Datin Sodiah yang sedang leka berdiri memerhatikan bunga orkid di halaman rumah tersentak tatkala ada tangan singgah di bahunya. Dia berpaling. Kemudian saling tersenyum. Yen memeluk bahunya. Manja.
                        “Hari ini Yen bermurah hati nak beri nenek hadiah” ujar Yen ceria masih memeluk bahu Datin Sodiah. Datin Sodiah tergelak. Gembira.
                        “Betul ke?” tanya Datin Sodiah teruja sambil berpaling ke arah Yen. Pemuda ini mengangguk-angguk dengan senyuman.
                        “Nenek boleh minta apa saja? Pasti ditunaikan?” tanya Datin Sodiah tidak mahu melepaskan peluang. Yen mengangguk. Tidak akan mengecewakan perempuan ini.
                        “Apa permintaan nenek?” tanya Yen. Ada perkara yang sedang bermain dalam benaknya.
                        “Nenek nak kamu kahwin” pinta Datin Sodiah sambil memandang cucu kesayangannya ini. Yen tersenyum. Kata-kata Datin Sodiah tidak mengejutkannya.
                        “Sungguh nenek nak kamu kahwin...bukan dengan Velviana. Sorry...nenek tak berkenan dengan gadis itu. Dia ada rupa tapi takkan mampu mengubah hidup kamu. Nenek nak kamu bahagia” jelas Datin Sodiah berjela.
                        “Nenek dah ada calon pilihan ke?” tanya Yen mengusik.
                        “Ada...ada...ada...” Laju sahaja Datin Sodiah menyahut. Yen kelihatan tenang. Langsung dia tidak terkejut. Sampul coklat itu sudah memberikan penjelasan kepadanya.
                        “Gadis dari keluarga yang baik. Cantik dan bersopan-santun. Ayah kamu dah pernah jumpa dengannya. Kamu setuju?” tanya Datin Sodiah memandang Yen dengan harapan yang menggunung. Yen senyum. Ditatap wajah Datin Sodiah dengan pandangan kasih-sayang. Dia mengangguk-angguk.
                        “Betul kamu setuju nikah dengan gadis itu?” tanya Datin Sodiah tersentak. Semudah itu? Persis tidak percaya. Anggukan kepala Yen seakan tidak memuaskan hatinya.
                        “Betul kamu terima gadis pilihan keluarga untuk jadi isteri kamu?” tanya Datin Sodiah kurang yakin. Tidak percaya semudah ini jawapan yang diberikan oleh anak muda ini. Yen mengangguk.
                        “Ye nek... Kan Yen dah janji tadi” ujar Yen bersuara memberi jawapan.
                        “Oh...syukur...alhamdulillah. Terima kasih cucu kesayangan nenek” Datin Sodiah mendepakan tangan lantas memeluk tubuh pemuda ini. Tidak menduga semudah ini persetujuan itu diperoleh. Dia seakan tidak percaya. Hari ini Yen berlembut hati menimbulkan kehairanannya. Keputusan ini tidak akan dipersoalkan. Bimbang pemuda itu akan mengubah persetujuan itu.  
                        “Terima kasih... nenek sungguh gembira. Inilah hadiah yang paling berharga nenek dapat dari kamu” tutur Datin Sodiah dengan sebak. Air mata menitis. Laju jarinya mengesat. Dipeluk erat tubuh Yen. Hati lapang. Lega. Amanat suami sudah tertunai. 20 tahun lalu, Datuk Kamal Eiusof  telah melamar seorang gadis hendak dijadikan suri hidup pemuda ini.
                        “Ingat... kamu dah janji dengan  nenek. Kamu wajib tunaikan permintaan nenek” gesa Datin Sodiah memberi peringatan. Yen mengangguk. Dia tersenyum lagi. Wajahnya tenang.
                        “Cuma Yen ada beberapa permintaan...” sahut Yen.
                        “Mintalah banyak-banyak...nenek tak kisah janji kamu mahu kahwin dengan gadis itu” ujar Datin Sodiah teruja. Yen tergelak. Hatinya tercuit.
                        “Nanti beritahu permintaan kamu tu” tambah Datin Sodiah lalu memeluk Yen sekali lagi. Yen memejamkan mata. Sebak. “Ya Allah, Engkau panjangkan usia nenek dan berikan kesihatan agar aku dapat terus bersamanya. Andai pernikahan itu sudah ditakdirkan buatku dan boleh membahagiakan nenek serta memberikan kehidupan yang lebih baik kepadanya, aku akur menerima gadis itu sebagai jodohku” bisik hati kecil Yen penuh hiba. Dia tidak sanggup kehilangan Datin Sodiah. Perempuan ini telah menggantikan tempat ibunya. Dia memperoleh kasih sayang dan perhatian ibu daripada neneknya. Terlalu menggunung kasihnya kepada perempuan itu. Yen sanggup mengorbankan hidup demi kebahagiaan Datin Sodiah.
                        Datuk Kamarudin yang berada di balkoni tersenyum panjang melontar pandangan ke arah Datin Sodiah dan Yen yang sedang berpelukan. Pertanyaan tadi sudah ada jawapan. Yakin ada berita gembira. Wajah ibunya berseri-seri.
                       

                        AKU menatap sawah yang terbentang luas menguning. Sudah tiba musim menuai sekarang. Pemandangan indah sedemikian tidak bisa mengundang ketenanganku. Fikiranku sarat dengan persoalan. Ada keresahan bermain dalam diri. Malam tadi tiba-tiba sahaja Pak Long menelefonku meminta aku segera balik ke kampung kerana ada hal mustahak yang perlu dibincangkan. Mujur juga Encik Rizal bermurah hati membenarkan aku cuti.
                        Ketika teksi yang kutumpangi menghala ke rumah Pak Long, kelihatan Nana dan Adie sedang bermain di halaman. Jantungku berdegup kencang. Tatkala teksi berhenti di halaman mahu sahaja aku terus meluru mendapatkan Pak Long bertanya hal sebenar. Namun aku sabarkan hati risau menjadi kemarahan Mak Long. Aku tidak pernah lupa yang Mak Long kurang senang akan kewujudanku dalam keluarganya. Suatu kenyataan yang terpaksa aku terima walaupun perit. Jauh di sudut hati, aku tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Mak Long kerana masih sudi menjagaku sejak pemergian nenek.
                        “Mak cik Iman... Mak cik Iman datang!” Nana dan Adie meluru mendapatkanku. Kupeluk kedua-dua tubuh kecil ini.
                        “Atuk dan nenek mana?” tanyaku sambil menyambut salam anak-anak Lili yang manja dan comel-comel ini. Mereka geleng kepala. Tidak tahu.
                        “Ibu, mak cik Iman dah sampai!” jerit Nana di depan pintu yang mendahului langkahku.
                        “Masuklah Iman” sapa Lili mesra. Kutatap wajahnya. Setiap kali aku menatap wajah Lili rasa bersalahku semakin menebal. Lili mendakap tubuhku mesra. Hubunganku dengan Lili memang akrab. Tidak seperti hubungan aku dengan Mak Long. Bukan aku tidak pernah mencuba memperbaiki hubungan itu, tetapi Mak Long tetap dingin denganku.
                        “Awak semakin kurus” luah Lili sebaik sahaja melepaskan tubuhku dari dakapannya. Aku tersenyum. Aku cukup makan dan cukup rehat, namun isi tubuhku masih tidak bertambah lagi.
                        “Susah kehidupan di bandar? Kalau susah sangat tinggal saja di  kampung” cadang Lili. Aku tersenyum lagi.
                        “Tapi mak tu ... kesiannya awak” keluh Lili bersimpati.
                        “Takpelah Lili. Saya masih kuat menghadapi dugaan hidup ini” balasku jujur cuba menyenangkan hatinya. Tidak mahu pertemuan ini penuh emosi.
                        “Mana Pak Long dan Mak Long?” tanyaku mengubah topik perbualan.
                        “Pergi ke kebun tadi. Kejap lagi baliklah tu. Awak rehatlah dulu di bilik” pintanya lembut. Lili tetap tidak berubah persis yang aku kenali 18 tahun lalu. Lembut dan sopan tingkahnya yang lebih menyerupai Pak Long. Aku melangkah ke bilik. Kutatap sekeliling. Tidak banyak yang berubah. Sudah agak lama juga aku meninggalkan bilik ini. Namun bilik ini tetap bersih dan terjaga. Aku tersenyum sendiri. Pasti Lili yang bersusah payah melakukan semua itu. Aku tahu betapa rajin ibu muda itu. Kubuka daun jendela luas-luas. Aku menjengukkan kepala keluar lalu menghirup udara segar. Kudongak ke dada langit. Bulan masih belum kelihatan kerana malam belum menjelma. Di sinilah aku berdiri dan berbicara pada bulan meluahkan isi hatiku. Aku akan minta pada bulan agar menyampaikan rinduku pada ibu, ayah dan nenek setiap kali aku merindui mereka. Tentunya bulan sudah puas menyaksikan deraian air mataku tika itu.


                        IMAN, ayah dan mak tunggu di ruang tamu. Pergilah biar saya yang kemaskan semua ini” ujar Lili. Hidangan malam baru usai dinikmati. Hatiku kembali gelisah. Sejak tadi aku lihat Pak Long kurang berbicara. Mak Long pula melayanku lebih baik dari biasa. Semua nampak pelik. Kuatur langkah ke ruang tamu meninggalkan Lili di dapur. Aku duduk bertentangan dengan Pak Long suami isteri. Kedengaran suara Lili mengarahkan anak-anaknya masuk ke billik untuk tidur. Maka tinggallah kami bertiga sahaja. Pasti Lili tidak mahu perbincangan malam ini terganggu dengan kerenah anak-anaknya sekali gus menyatakan kepadaku bahawa ada perkara serius yang bakal aku dengar daripada Pak Long. Pak Long menatapku. Lama juga dia berdiam. Mak Long pula nampak tidak sabar-sabar hendak bersuara. Aku menatap wajah mereka silih berganti. Kukumpul kekuatan yang ada. Chaiyok...! Chaiyok...! Iman! Cuba menyuntik semangat diri.
                        “Hal apa yang Pak Long nak bincangkan dengan Iman ni? Nampak serius saja” tuturku memulakan bicara setelah lama menunggu Pak Long bersuara. Kedengaran keluhan Pak Long. Berat hati hendak memulakan. Pak Long menarik nafas dalam-dalam. Wajahku ditenung lama.
                        “Ada orang pinang kamu, keluarga kawan baik arwah ayah kamu” tutur Pak Long cukup berhati-hati. Bagaikan tangkai jantungku disentap kuat. Aku terkedu. Bermimpikah aku saat ini?
                        “Mereka tu orang senang, ada hotel besar” tambah Mak Long cuba memancingku dengan kemewahan dunia.
                        “Bagaimana keputusan kamu?Fikirkanlah baik-baik” nasihat Pak Long lebih bertimbang rasa. Aku masih tidak bersuara. Masih terkejut dengan lamaran itu.
                        “Nak fikirkan apa lagi bang. Kamu terima saja lamaran itu. Bukan mudah nak dapat suami orang kaya kerana kita bukan setaraf mereka. Ini kiralah rezeki kamu” tutur Mak Long. Aku tetap membisu. Bukan kepalang terkejut mendengar perkara yang Pak Long sampaikan sebentar tadi.
                        “Kamu tiada pilihan lain, kecuali menerima lamaran itu. Hutang Pak Long kamu bertimbun, anak-anak Lili perlu bersekolah. Semua perlukan duit. Hanya kamu saja yang boleh menyelesaikan masalah ini dengan syarat kamu terima lamaran itu. Sudah sampai masa kamu membalas jasa kami” pinta Mak Long tanpa berselindung. Baru nampak sikap sebenar Mak Long. Bukan salah Mak Long meminta-minta, tetapi salahku kerana terlalu banyak terhutang budi kepada keluarga ini.
                        “Timah....” kedengaran suara Pak Long menegur isterinya. Nafasku sesak. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan saat ini.
                        “Dulu Lili berkorban demi kamu. Sekarang apa salahnya kamu pula yang berkorban demi anak-anak Lili dan Pak Long kamu” tambah Mak Long mengungkit sekali gus menuntut balasan dariku.      
                        “Duit yang kamu kirim setiap bulan itu tak cukup. Bukan banyak sangat pun. Kalau kamu kahwin dengan anak kawan arwah ayah kamu tu, mereka janji akan selesaikan segala hutang-piutang Pak Long kamu ni malah mereka akan biayai perbelanjaan persekolahan anak-anak Lili” ulang Mak Long lagi. Aku mengetap bibir. Terasa dengan bicara Mak Long. Memang aku tidak mampu memberikan duit yang banyak kepada keluarga ini. Lumrah dunia. Manusia tidak pernah ikhlas menabur budi. Semua mengharapkan balasan. Kutatap wajah Pak Long. Dia diam dan sugul. Aku tahu dia tidak tega memaksaku namun Pak Long tiada pilihan lain. Seperti selalu Pak Long akan sentiasa tunduk pada kemahuan Mak Long.
                        “Bagaimana Iman?” tanya Mak Long tidak sabar-sabar mahu mengetahui keputusanku. Aku menarik nafas dalam-dalam.
                        “Semua ini berlaku mengejut. Beri saya masa fikirkannya” tuturku setelah lama berdiam.
                        “Tak payah fikir lama-lama Iman, terima saja” gesa Mak Long lagi.
                        “Timah beri Iman masa buat keputusan. Itu haknya” tegah Pak Long. Mak Long menarik muka masam. Kedengaran rungutannya.
                        “Kalau takde apa-apa lagi, saya nak masuk bilik dulu” pintaku. Pak Long mengangguk. Kutinggalkan mereka di ruang tamu. Lama aku termenung di birai katil memikirkan lamaran itu silih berganti dengan permintaan Mak Long. Buntu. Apa yang harus aku lakukan? Kalau aku terima lamaran itu bererti aku tidak berpeluang menemui cinta pertamaku dan barangkali juga melukai perasaanku sendiri. Jika aku tolak lamaran itu bermakna aku melukai hati Mak Long dan masalah kewangan tetap membelenggu keluarga ini. Mungkin juga anak-anak Lili tidak akan mendapat pendidikan yang sempurna. Aku jadi serba salah. Sekarang aku berdiri antara kepentingan sendiri atau kepentingan keluarga. Aku harus bijak memilih kerana perkara ini berkaitan masa depanku. Silap pilihan aku akan merana seumur hidup. Namun aku mahu membahagiakan keluarga Pak Long.
                        Aku mendekati jendela lalu membuka seluas-luasnya. Kudongak ke dada langit. Kelihatan bulan terang benderang tidak seperti hatiku yang suram dan kelam.
                        “ Ibu, ayah, nenek, apa yang harus Iman buat? Iman dalam delima sekarang” bisikku. Air mata mengalir di pipi. Terasa pilu hati ini. Sebenarnya aku turut tersinggung dengan bicara Mak Long tadi. Namun ada juga benarnya. Keluarga ini sudah banyak berkorban untukku. Mungkin sudah sampai masa aku membalas pengorbanan mereka. Keluhan berat tercetus lagi. Aku tidak boleh tidur sepanjang malam ini. Sungguh berat ujian yang kuterima ini.
                        “Inilah keputusan yang paling tepat Iman” Pertama kali Mak Long memujiku sebaik sahaja aku memaklumkan kepada mereka untuk menerima lamaran itu. Wajah Lili tampak sedih. Begitu juga Pak Long. Mereka mengerti akan perasaanku tika ini.
                        “Maafkan Pak Long, Iman” tutur Pak Long rasa bersalah.
                        “Anggaplah semua ini sudah takdir dan jodoh buat saya. Saya tak pernah salahkan Pak Long. Memang betul kata Mak Long” balasku cuba menyenangkan hati Pak Long walaupun hatiku tidak sepenuh mengatakan sedemikian. Sekeping kad dihulurkan kepadaku. Aku menatap sebaris nama Yen Aieqal Shuein yang tertera di situ. Agak pelik sedikit nama ini.
                        “Kalau ada masa hubunginya. Mungkin banyak perkara yang perlu kamu bincang nanti” ujar Pak Long. Aku hanya mengangguk. Lalu kuselitkan kad ini ke dalam beg.
                        “Iman...” Aku menoleh. Lili sedang bergerak ke arahku. Kami berpelukan seketika. Ada tangisan yang bersatu.
                        “Tak payah terima lamaran itu kalau awak tak suka. Awak nak cari cinta pertama awak. Awak dah lupa?” bisik Lili sekali gus mengingatkan aku tentang perkara itu. Hatiku dipagut pilu. Dahulu ketika zaman sekolah, aku selalu memberitahu Lili bahawa aku akan mencari cinta pertamaku itu. Malah, aku tidak setuju apabila Lili dijodohkan dengan pilihan Mak Long. Ternyata jodoh mereka tidak panjang. Lili ditinggalkan bersama sepasang cahaya mata yang comel. Ridzuan, entah di mana sekarang lelaki kaya yang suatu masa dahulu diagung-agungkan oleh Mak Long.
                       
“Siapa tahu jikalau dia ialah cinta pertama saya, Lili” pujukku. Aku melepaskan pelukan tubuh Lili. Sebenarnya aku begitu sedih. Laju aku menyembunyikan diri di dalam teksi. Aku tidak mahu Pak Long dan Lili menyaksikan deraian air mataku. Aku menangis lagi. 




No comments:

Post a Comment