Wednesday 7 September 2016

Namaku BukanFlora...86





BAB 86

Mataku terikat pada tarikh yang tertulis di dada helaian kertas ini. Aku tersenyum sendiri. Sudah tidak sabar hendak menunggu ketibaan detik itu. Tanggal 31 Ogos 2016 yang kutunggu-tunggu selama ini bakal menjelma. Bukan setakat kemerdekaan buat negara Malaysia, malah kemerdekaan buat diriku sendiri. Selamat tinggal KDUT dengan warganya yang pelbagai ragam dan sering memeningkan kepala. Lega. Kucapai iPhoneku.
“Assalamualaikum... awak di mana sekarang? Sudah minum?” tanyaku ceria.
“Kedengaran suara awak riang gembira. Ada berita bahagia yang mahu dikongsi? Betul ke saya bakal jadi mak cik?” tanya Marnie berangan-angan jauh.
“Hush... jauhnya awak berfikir!” rungutku geram. Terselit rasa segan.  
“Saya nak belanja awak makan. Tak sudi?” tanyaku mengusik Marnie.
“Hoi...hoi...kecil telapak tangan, Lautan Pasifik saya tadahkan! Cepatlah pergi kafe. Saya dah lapar ni” ujar Marnie tidak menyabar. Aku tergelak. Perbandingan yang dahsyat.
“Tunggu di lobi. Kejap lagi saya datang” arahku.
“Okey...saya gerak sekarang” sahut Marnie bertindak pantas.
“Hoi.. kebuluran sungguh awak!” ujarku menyakatnya. Marnie tergelak.
“Nak order pelbagai menu ni. Sedia duit banyak-banyak tau” Marnie sempat memberi amaran sebelum menamatkan perbualan ini. Aku tersenyum sendiri. Kucapai beg galas di atas meja lantas melangkah ke pintu. Tidak mahu Marnie menunggu lama. Dari kejauhan kelihatan Marnie tersengih di ruang lobi menanti kedatanganku. Kami terus bergerak ke kaferia.
“Wah...cerianya awak! Pasti hati awak berbunga-bunga sekarang. Apa cerita?” tanya Marnie tidak mahu menunggu lama lagi. Aku tersenyum lebar.
“Kita order dulu” arahku sengaja mahu melambat-lambatkan dan menyakatnya. Seronok melihat Marnie tertanya-tanya. Aku dan Marnie memesan makanan dan minuman mengikut selera masing-masing. Tidaklah banyak makanan yang Marnie pesan. Tidak lama kemudian, pelayan kafeteria datang menghidang makanan dan minuman yang dipesan. Cepat dan pantas perkhidmatan yang diberikan. Kupandang Marnie.
“Cukup ke ni?” tanyaku sambil menatap makanan terhidang di atas meja.
“Kalau belum kenyang, esok awak belanja saya lagi. Hari-hari pun boleh” ujar Marnie tersengih. Besar mataku menatapnya sambil mengetap bibir.
“Belanja makan hanya untuk hari ini saja” ujarku mengingatkannya.
“Makanan dan air dah terhidang. Ceritalah sekarang” pinta Marnie. Aku menggeleng.
“Belum lagi. Kita makan dulu...” arahku. Marnie mencebik. Geram.
“Silakan menjamu selera” ujarku mempersilakan Marnie menjamah hidangan. Aku dan Marnie terus menikmati makanan dan air yang terhidang.
“Awak ingat apa yang berlaku pada hujung bulan ini?” tanyaku setelah menyelesaikan beberapa suapan. Mahu menguji memori Marnie. Dahinya berkerut.
“Mestilah hari merdeka Malaysia” ujar Marnie setelah berfikir sejenak. Aku tersenyum.
“Betul... Pada hari tersebut juga merupakan hari kebebasan saya” ujarku teruja. Marnie menatapku. Masih tidak dapat menjangkau benakku.
“Jaga diri baik-baik. Pastikan awak makan dan tidur yang cukup. Tidak lama lagi kita akan berpisah” ujarku tersenyum riang.
“Hey...hey...awak nak pergi mana? Bersara awal? Awak nak jadi suri rumah sepenuh masa?” Berjela-jela pertanyaan Marnie menghujuniku. Matanya besar menatapku.
“Tinggal tujuh hari saja lagi awak akan nampak saya di sini. Selepas itu, sayonara Marnie...sayonara KDUT! Panjang umur kita bertemu lagi” ujarku tersenyum. Perpisahan yang menggembirakan dan buat aku teruja.
“Bencilah awak berahsia ni. Awak nak pergi mana?” rungut Marnie geram. Bosan sudah berteka-teki dan bersoal-jawab denganku.
“Tanggal 31 Ogos hari terakhir saya berkhidmat di sini. Saya akan kembali ke LCNF. Seminggu lagi kontrak usahasama antara KDUT dengan LCNF akan berakhir. Saya gembira meninggalkan awak di sini” jelasku melenyapkan persoalan di benak Marnie. Aku tergelak. Marnie nampak tersentak. Kemudian menarik muka masam.
“Sampai hati awak” Marnie buat-buat aksi merajuk, kecewa dan bersedih. Aku senyum. Kuusap lembut tangan Marnie. Teringat pada pertemuan pertama kami tiga tahun yang lalu. Dialah orang pertama yang mengalu-alukan kedatanganku ke sini. Kemudian menjadi sumber rujukan dan pembimbing di tempat kerja baruku. Lama-kelamaan kami menjadi sahabat yang akrab. Boleh berkongsi cerita tanpa syarat.
“Jutaan terima kasih kepada awak kerana telah banyak berjasa kepada saya selama ini. Sesungguhnya... saya tak mampu membalasnya” luahku ikhlas. Marnie tersenyum.
“Awak boleh membalasnya... pada hari awak disahkan hamil anak Encik Aqel” sahut Marnie meningkah bicara.
“Awak...!” Aku terjerit kecil. Laju tanganku menepuk tangan Marnie. Marnie tergelak-gelak. Gembira mengusik aku. Kupandang Marnie yang masih tersenyum-senyum.
“Awak betul-betul menyukai Encik Aqelkan” Marnie mengangguk. Dalam keadaan apa sekalipun dia tetap berpihak kepada Aqel. Aku tidak mencemburuinya.
“Beruntung Aqel dapat pekerja setia macam awak” pujiku ikhlas.
“Beruntung lagi awak dapat suami yang baik dan tampan macam Encik Aqel” balas Marnie menyanjung Aqel. Aku tersenyum sekilas.
“Ye... Dia memang terlalu baik. Kalau ada kehidupan lain pada masa akan datang sudah pasti saya tak mahu dia ada pertalian darah dengan saya” ujarku mula berimaginasi. Marnie tergelak.
“Awak dah terikut-ikut drama tv... tapi malangnya tiada kehidupan lain di dunia ini selepas kematian. Rasanya kalau awak jumpa Encik Aqel pada kehidupan lain sudah semestinya awak berharap dia menjadi first love awak” teka Marnie. Aku tersenyum. Barangkali.
“Percaya tak... sebenarnya awak dah jatuh cinta kepada Encik Aqel. Cepatlah awak meninggalkan KDUT agar kewujudan Encik Haqem di depan mata awak tak jadi penghalang” ujar Marnie meluahkan isi hatinya tanpa sempandan dan halangan. Kubiarkan kata-kata itu berlalu.
“Cepat habiskan nasi dan air awak. Lepas ini boleh solat zohor sama-sama” ajakku. Marnie mengangguk. Cuba hendak meluangkan hari-hari terakhir ini bersama Marnie.
“Gembira sungguh awak nak tinggalkan KDUT kan” komen Marnie tatkala menatap senyuman yang sentiasa terukir di bibirku. Aku mengangguk. Terasa rindu juga akan kemurkaan dan leteran Puan Rosie. Namun Puan Rosie telah berubah menjadi seorang yang lebih bertimbang rasa dan prihatin. Rindu untuk bergelak ketawa dan bergurau senda dengan kawan-kawan di CNFL.
“Nana dan kawan-kawan CNFL... tunggu kedatangan saya!” bisik hatiku. Aku tersenyum sendiri. Tidak sabar hendak bekerja sebumbung dengan mereka kembali.

Aku melewati pintu yang sudah terkuak dengan langkah longlai. Letih. Banyak kerja pejabat yang perlu aku bereskan sebelum menamatkan khidmatku di KDUT pada hujung bulan ini. Balik ke rumah benakku masih memikirkan tentang tugasan yang belum aku selesaikan. Bimbang tidak sempat siap mengikut perancangan. Tidak mahu terbeban dengan kerja-kerja yang tertangguh. Wajib semuanya beres sebelum meninggalkan KDUT.
“Awak dah balik?” suara Aqel menyapaku buat aku tersentak. Aku melontar pandangan ke arah sofa panjang di ruang tamu. Aqel terbaring di situ dengan senang-lenang.
“Kereta awak mana? Saya tak nampak di luar” jelasku.
“Kawan pinjam...” ujar Aqel bersahaja.
“Baiknya hati awak” pujiku menyanjung kemurahan hatinya. Setahuku Aqel sangat menyayangi Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 itu. Dia akan menarik muka masam dan mulutnya akan bising-bising tatkala tangan kasarku melepaskan daun pintu kereta itu setiap kali timbul pertelingkahan kecil antara kami.
“Mesti kawan awak itu orang yang sangat awak percayai...” tekaku berandaian sendiri. Kawannya itu mampu menjaga kereta itu dengan baik. Aqel tidak mengendahkan bicaraku. Memang orang yang meminjam kereta itu mendapat kepercayaan penuh daripada Aqel.
“Mari makan. Laparlah...” ajak Aqel sambil bangkit dari perbaringannya.
“Nak makan apa? Saya belum masak lagilah” ujarku meningkah ajakan Aqel. Laju tangan Aqel menangkap tanganku lantas menarikku menuruti langkahnya ke dapur. Aku tergamam menatap hidangan yang sudah tersedia di atas meja.
“Duduklah...” arah Aqel. Aku patuh pada arahan Aqel. Kutarik kerusi lalu melabuhkan duduk bertentangan dengan Aqel. Kaget menatap hidangan di atas meja. Bukan hidangan ringkas.
“Siapa yang masak ini?” tanyaku musykil. Aqel baru balik dari perjalanan yang jauh. Betulkah dia cukup masa dan masih bertenaga hendak menyediakan beberapa menu. Namun Aqel manusia luar biasa. Dia ada kemampuan untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.
“Awak baru saja balik kerja. Sudah semestinya saya yang masak sebab hanya kita berdua saja tinggal di rumah ni” ujar Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir menatapnya. Kedengaran gelak kecil Aqel. Nasi di dalam pinggan disuakan kepadaku. Kemudian diletakkan pula sayur dan lauk-pauk ke dalam pinggan ini. Berlebih-lebih pula layanan Aqel. Persis aku ialah tetamunya.
“Makanlah banyak-banyak agar awak sentiasa kuat dan bertenaga” ujar Aqel sambil memandang calar di mukaku. Aku terdiam. Mesti Aqel mahukan aku ada kekuatan untuk menentang sesiapa yang berniat hendak menyakitiku. Tidak mudah tercedera.
“Awak tak payah susah hati. Sekarang saya takkan mengalah lagi” ujarku menyahut bicara Aqel. Aku dan Aqel beradu pandangan seketika.
 “Arwah Kak Harnie telah mengamanahkan saya untuk tolong dia jaga Idlan. Sejak kebelakangan ini pula saya banyak berfikir. Saya takkan biarkan Datin Sofea terus sakiti saya. Dalam hal ini saya memang perlukan Haqem” ujarku menyusun kata-kata menambah bicara.
“Susah ke awak nak tinggalkan Haqem?” tanya Aqel serius.
“Saya dah berpisah dengan Haqem. Awak tak nampak ke?” tanyaku janggal.
“Bohong...! Jasad awak saja yang tinggalkan Haqem tapi hati dan fikiran awak masih ada Haqem” tegas Aqel menyangkal kata-kataku.
“Saya tak tahu apa yang ada dalam fikiran awak tapi saya tahu perkara yang sedang saya lakukan” tegasku tidak mengalih pandanganku daripada wajah Aqel. Aqel tergelak.
“Wah, hebat awak!” sanjungnya dengan senyuman sinis.
“Mungkin pernikahan kita tak bererti buat awak. Ada perlunya saya lebih tegas dengan awak” ujar Aqel dengan senyuman yang terukir di bibir. Sukar hendak dimengertikan.
“Awak nak buat apa?” Aku mengharapkan penjelasan lanjut keluar dari mulut Aqel.
“Saya tak nak bergaduh dengan awak sekarang” jelasku. Tidak mahu menambah bebanan fikiran. Aqel masih mempamer senyuman yang menguji kesabaranku.
“Buatlah perkara yang awak inginkan tanpa sebarang keraguan. Saya beri awak peluang” tutur Aqel cuba mengingatkan tentang kekuasaannya. Kehendakku dikawal oleh Aqel.
“Terima kasih. Awak nak tahu salah satu perkara yang saya inginkan?” tanyaku. Aqel tersenyum lirih. Dia dapat merasakan penghargaanku itu tidak ikhlas.
“Saya tentu sekali teruja nak mendengarnya” sahut Aqel mengarah aku menyatakan perkara itu. Tiada halangan daripada Aqel. Dia bersedia hendak mendengar.
“Saya ingin mengetahui dan mengenali Flora. Kan lebih baik jikalau awak berterus-terang tentang gadis itu” ujarku mengutarakan permintaan. Riak wajah Aqel berubah.
“Saya tak nak berkongsi cerita sedih dengan awak” ujar Aqel setelah berdiam diri seketika. Flora adalah kesedihan Aqel? Kesedihan yang mahu dipendam selama-lamanya. Jikalau sungguh Aqel mahu melupakannya, mengapa nama gadis itu diberi kepadaku? Setiap hari dia menyebut nama itu di depanku.
“Saya dapat rasakan kisah sedih awak dengan gadis itu. Namun saya tak rela awak samakan saya dengan Flora. Saya bukan jelmaan kekasih awak” tegasku. Aqel menatapku. Kali ini tiada senyuman lagi.
“Saya tak pernah samakan awak dengan Flora. Jikalau saya berbuat demikian berdosalah saya dan saya tak layak menikahi awak. Namun kenyataannya awak memang mirip Flora. Rasanya kalau diberi waktu yang lebih panjang untuk kami bersama mungkin saya boleh nilai sikap awak dengannya ada persamaan. Allah ambil Flora, kemudian diganti dengan awak yang seiras dirinya” ujar Aqel tenang. Aku terdiam. Ada kesedihan terpancar di wajah Aqel.
“Allah ambil Flora...maksud awak... dia dah takde di dunia ini lagi?” tanyaku cuba menterjemah kata-kata Aqel dengan jangkauan benakku. Aku mahukan penjelasan lanjut. Bosan terus berteka-teki tentang gadis ini.
“Habiskan makanan awak. Nanti awak tolong kemas dapur ini” ujar Aqel lantas bangkit dari kerusi. Aku terkedu menatap Aqel bergerak ke pintu. Tiba-tiba sahaja Aqel meninggalkan aku bersendirian di sini.
“Awak nak ke mana?” tanyaku separuh melaung. Tersentak dengan tindakan Aqel. Perbualan ini belum sampai ke penghujung lagi. Banyak yang belum jelas.
“Saya nak jumpa Rania. Ada perkara yang perlu saya selesaikan dengannya” suara Aqel menyahut sedangkan kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi. Tiba-tiba sahaja Aqel berperangai pelik. Tidak lama kemudian, kedengaran deruan kereta meninggalkan halaman rumah ini. Aqel sudah pergi. Kupandang pinggan di depanku ini. Aqel tidak sempat menghabiskan nasi dan lauk-pauk itu. Lewat malam nanti pasti Aqel kelaparan. Belum banyak yang Aqel makan tadi. Kesal. 

Jarum jam sudah bergerak ke angka 12 tengah malam. Sudah lewat malam. Namun Aqel belum balik lagi. Kerap juga aku menguap. Kelopak mataku terasa berat. Sudah sampai masa aku hendak menidurkan diri. Aku tidak mampu bertahan hendak menunggu kepulangan Aqel lagi. Mungkin juga Aqel sengaja melambatkan kepulangannya. Tidak mahu bertentang mata denganku bagi mengelak kesinambungan perbualan di meja makan petang tadi. Barangkali juga Aqel sedang bersedih sekarang tatkala terkenangkan Flora. Kisah duka yang kujelmakan kembali. Kasihan Aqel.


“Awak bergaduh dengan Encik Aqel lagi?” Aku berpaling ke pintu. Marnie bergerak masuk melewati muka pintu. Awal pagi dia menjengah aku. Aku menatapnya.
“Encik Aqel awal pagi dah nampak kelibatnya di office sedangkan awak baru saja sampai. Kamu bergaduh?” tanya Marnie mengulangi pertanyaannya tadi. Aku menatap Marnie. Tersentak juga mendengar kenyataan Marnie. Aku menyangka Aqel masih ada urusan kerja di luar. Barangkali juga Aqel berada di sini sepanjang malam tadi.
“Awak diam...sahlah kamu bergaduh ni” ujar Marnie membuat kesimpulan sendiri.
“Kami tak bergaduhlah” tingkahku tidak mahu Marnie cepat membuat andaian. Marnie tersenyum. Dia terus sahaja melabuhkan duduk di sofa lantas melontar pandangan ke arahku.
“Apa hajat di hati awal pagi awak muncul di sini?” tanyaku kehairanan. Kedatangan Marnie bukan setakat hendak bertanya sama ada aku dengan Aqel bergaduh. Mesti ada perkara penting yang membuatkan dia menjejakkan kaki ke sini. Urusan kerja yang tidak pernah selesai. Ada-ada sahaja yang perlu segera dibereskan.
iPhone awak tinggal di rumah ke? Banyak kali call awak tak diangkat” keluh Marnie. Laju tanganku menyelak poket beg galas ini. Mujur ada di sini. Aku memeriksa. Rupa-rupanya iPhone ini berada dalam mod senyap sepanjang malam tadi sehinnggalah ke pagi ini.
Sorry...mod senyap” jelasku tersengih kepada Marnie.
“Awak nak larikan diri daripada siapa?”
“Apa?” Berkerut dahiku menatap Marnie. Kurang faham dengan pertanyaannya itu.
“Awak senyapkan iPhone bermakna awak tak nak jawab call seseorang. Itulah saya tanya siapa orangnya. Encik Aqel atau Encik Haqem?” tanya Marnie semakin lancang mulutnya berbicara.
“Merepeklah awak ni” rungutku tidak suka pada andaiannya itu.
“Kalau betul jangkaan saya itu, bermakna saya tak boleh tolong awak lari. Awak terpaksalah bertemu dengan kedua-dua jejaka tampan itu nanti. Tepat pada pukul 10.00 pagi ada meeting. Jangan lupa datang ke bilik mesyuarat tau” pesan Marnie bingkas bangun dari sofa lantas bergerak ke muka pintu. Aku terkebil-kebil menatap Marnie. Datang tidak disangka-sangka, kepergiannya juga tanpa diduga. Selamba rock sungguh gadis ini.

Aku berlari anak ke billik mesyuarat. Sedikit terlewat gara-gara khusyuk menyiapkan laporan bulanan yang hendak aku hantar kepada Puan Rosie esok. Aku sudah memaklumkan perkara ini kepada Puan Rosie bahawa aku akan bertemu dengannya. Tatkala aku menolak perlahan-lahan daun pintu, aku tersentak menatap pandangan tajam Datin Sofea menyambut kedatanganku. Semua sudah sampai dan mesyuarat hampir-hampir hendak bermula. Segan dan rasa bersalah atas kelewatanku ini. Liar mataku mencari kerusi kosong yang boleh memberi keselesaan kepadaku sepanjang berlangsung mesyuarat ini. Marnie melambai-lambai tangan ke arahku meminta aku duduk di sebelahnya. Laju kakiku melangkah ke arah Marnie.
“Kenapa lambat...” keluh Marnie.
Sorry...” ujarku rasa bersalah. Lega setelah duduk di kerusi. Tatkala aku mengangkat muka, pandanganku dengan Aqel bersatu. Tiada senyuman. Tampak serius wajah Aqel. Di sebelahnya pula Haqem yang turut memandangku dengan senyuman. Aku dan Haqem saling bertukar senyuman. Sekejap sahaja senyuman itu tatkala aku menyedari mata garang Datin Sofea dan gadis di sebelahnya yang kurang senang sedang memerhatikanku.
“Untuk makluman semua, kerjasama KDUT dengan CNFL akan tamat pada hujung bulan ini. Kita tidak akan memperbaharui kontrak ini. Kebetulan pula, Encik Mukhriz dan Puan Rosie, pemilik CNFL juga tak berhasrat hendak meneruskan kerjasama ini atas sebab-sebab tertentu” suara pengerusi jelas di telingaku. Aku tersenyum sendiri. Muktamad habis bulan ini, aku akan kembali bersama ralan-rakan di CNFL. Wah..., seronoknya! Aku tersenyum lagi.
“Memandangkan bahagian pengurusan kostum ini juga penting dan bagi mengelakkan berlaku kes kehilangan dan kecurian, Lembaga Pengarah bersetuju melantik pihak luar untuk mengurus dan mengendalikan bahagian ini seperti yang ada sekarang” jelas pengerusi.
“Saya berbesar hati memperkenalkan pengurus Ihtilzam Sdn. Bhd. yang akan bekerjasama dengan pihak KDUT. Dipersilakan Datin Sofea berucap sebagai salam perkenalan” jemput pengerusi diiringi dengan tepukan tangan yang lain. Aku menatap Datin Sofea yang nampak megah dan berkeyakinan tinggi bergerak ke hadapan diiringi gadis yang begitu setia kepadanya. Bella! Aku terpana. Kini baru jelas wajahnya. Sebentar tadi kelibatnya terlindung di sebalik tubuh-tubuh sasa lelaki. Apakah ada agenda besar yang dirancang oleh Datin Sofea untuk mempermainkan nasib hidupku? Biarlah Datin Sofea dengan agendanya sendiri. Aku tidak peduli kerana aku akan meninggalkan KDUT. Aku melontar pandangan ke arah Aqel yang sedang bertepuk tangan sambil tersenyum. Jalinan kerjasama yang menggembirakan hatinya. Kualih pandangan ke arah Haqem, wajahnya tidak seceria wajah Aqel. Dia seolah-olah tidak gembira dengan kerjasama antara pihak KDUT dengan Ihtilzam Sdn. Bhd. ini. Sesungguhnya, Haqem lebih mengenali Datin Sofea yang sentiasa ada agenda tersendiri.
“ Di sini saya memperkenalkan Cik Bella yang saya beri kuasa penuh menguruskan bahagian ini. Atas nasihat pihak KDUT dan persetujuan Puan Rosie juga, saya bersetuju akan mengekalkan Puan Nur Dahlia menjadi pembantu Cik Bella memandangkan Puan Nur Dahlia lebih berpengalaman dan mengetahui selok-belok bidang kerja ini” jelas Datin Sofea mengejutkan aku. Bella mengangguk-angguk menyokong kata-kata Datin Sofea. Mereka telah mencapai persetujuan sebelum pertemuan ini berlangsung.
“Saya pasti Puan Nur Dahlia tiada bantahan. Saya juga telah berbincang dengan Encik Aqel tentang perkara ini. Encik Aqel menyokong sepenuhnya jikalau Puan Nur Dahlia terus kekal di bahagian ini” ujar Datin Sofea berlagak mesra. Sekilas pandang dilontar ke arahku. Aku tersentak mendengar nama Aqel disebut. Aqel lebih awal mengetahui perkara ini. Namun dia tidak pernah memaklumkannya kepadaku. Tiba-tiba Haqem mengangkat tangan. Semua mata beralih ke arah Haqem. Ada perkara yang Haqem mahu perkatakan.
“Maaf... Saya rasa perkara ini terlalu mendadak. Pasti Puan Nur Dahlia belum bersedia memberikan kata putus. Lebih elok jikalau pihak Ihtilzam Sdn. Bhd. berbincang dahulu dengan Puan Nur Dahlia.” saran Haqem. Sebenarnya dia sendiri turut terkejut dengan perkara ini. Bimbang ada agenda tersembunyi di sebalik kerjasama ini.
“Saya harap Puan Nur Dahlia takkan menolak tawaran ini. Cik Bella memang perlukan orang berpengalaman menjadi pembantunya” ujar Datin Sofea mempamer kepercayaan pada kebolehan dan kemampuanku. Aku sangsi. Bekerjasama dengan Bella? Mampukah aku? Sekali lagi Bella mengangguk-angguk membenarkan kenyataan Datin Sofea. Mereka tidak pernah menyanjungiku.
“Bagaimana Puan Nur Dahlia?” suara pengerusi mengaju pertanyaan hendak mengetahui kata putusku. Semua melontar pandangan ke arahku. Aku sedikit gugup. Tidak biasa dipandang banyak mata sedemikian. Mereka menunggu jawapanku.
“Mohon beri saya masa memikirkan perkara ini. Insya-Allah... saya akan segera memaklumkan keputusan saya kepada pihak Ihtilzam Sdn. Bhd.” janjiku.
“Baiklah... saya akan tunggu jawapan itu” sahut Datin Sofea lantas bergerak ke tempat duduknya semula bersama Bella. Marnie menatapku. Jelas terpamer kerisauan di wajahnya. Aku hanya senyum. Mungkin Marnie meragui tawaran ini.
“Ini kad saya. Jikalau kamu dah ada jawapannya, call saya” pesan Datin Sofea lalu menghulurkan sekeping kad perniagaan kepadaku sebaik sahaja pertemuan ini selesai.
“Terima kasih...” Aku menyambut huluran kad itu. Datin Sofea dan Bella beredar pergi.
“Awak nak bekerjasama dengan Datin Sofea dan Cik Bella?” tanya Marnie. Kupandang Marnie.
“Saya perlukan masa berfikir” jelasku menjawab pertanyaan Marnie.
“Kalau awak minta pendapat saya, pasti saya akan halang awak bekerjasama dengan mereka. Awak duduk rumah sajalah. Jadi suri rumah sepenuh masa. Encik Aqel mampu memberi kemewahan kepada awak” nasihat Marnie yang tidak dapat disangkal. Bukan setakat mampu menyara aku seorang malah tambahan menyara tiga orang isteri pun Aqel masih mampu. Harta dan wang simpanan Aqel banyak. Jika betul pengurusannya tidak habis digunakan oleh tujuh keturunan.
“Tak payah terima tawaran itu” suara Haqem mencelah. Aku dan Marnie berpaling ke arah Haqem. Haqem sudah berdiri di sebelah kami.
“Mereka pasti ada agenda tersendiri nak susahkan awak” tambah Haqem begitu yakin. Dia tidak pernah mempercayai kebaikan Datin Sofea dan Bella. Ada hasrat tersirat di sebalik tindakan mereka.
“Saya akan memikirkannya” ujarku tidak mahu bertindak terburu-buru. Ada masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.
“Kalau perkara ini sebahagian daripada keinginan awak, kenapa awak tak terima saja. Rasanya awak ada agenda sendiri terhadap Datin Sofea” suara Aqel mencelah. Serentak aku dan Marnie berpaling ke arah Aqel yang baru sahaja mendekati kami. Lain sahaja bunyi nada suaranya itu.
“Encik Aqel tak bimbang Datin Sofea dan Cik Bella buli Lia? Err...maaf Encik Haqem” tanya Marnie mendahuluiku bersuara sambil tersenyum tawar. Dia garu-garu kepala yang tidak gatal. Baru sedar dirinya tersilap tingkah. Aqel tergelak. Pertanyaan Marnie mencuit hatinya.
“Dia dah bersiap sedia dengan perisainya” sinis suara Aqel sambil melirik ke arahku. Aku mengetap bibir. Terasa Aqel sedang menyindir dan memperlekehkan kemampuanku.
“Tak payah terima tawaran itu. Awak takkan tahan dengan perangai mereka” nasihat Haqem. Aqel menatapku. Mahu melihat reaksiku terhadap larangan Haqem itu.
“Saya akan bekerjasama dengan Datin Sofea dan Cik Bella” Cepat aku membuat keputusan.
“Lia...” Marnie memegang tanganku. Cuba menyedarkan bahawa pilihanku ini bukan perkara yang mahu didengarnya. Haqem dan Aqel menatapku. Kedua-duanya terdiam.
“Saya perluan awak. Saya harap awak akan terus bersama saya” pintaku sambil menatap Haqem mengharapkan pertolongannya.
“Lia...” Tangan  Marnie menggoncang tanganku. Kata-kataku mengejutkannya. Dia berpaling ke arah Aqel. Mereka saling berpandangan. Mungkin Marnie mengharapkan Aqel menghalangku.
“Walau apa keadaan sekalipun, saya takkan biarkan awak bersendirian menempuhnya...” bersungguh-sungguh Haqem berjanji. Marnie terlopong. Haqem sudah mengikat janji padaku.
“Terima kasih...” ujarku berbesar hati dengan kesanggupan Haqem.
“Saya pergi dulu” ujarku meminta diri lantas mengorak langkah meninggallkan mereka.
“Lia... tunggu!” Kedengaran suara Marnie melaung dengan bunyi derap langkahnya mengejarku. Tanganku dipaut.
“Patut ke awak cakap macam tu pada Encik Haqem di depan Encik Aqel. Awak tak rasa kata-kata awak tu akan menyebabkan Encik Aqel kecewa?” Marnie mengulas semula kata-kataku tadi. Kupandang Marnie. Kutarik nafas panjang. Aku sedang berhadapan dengan peminat tegar Aqel.
“Dia takkan apa-apa kerana dia menyokong sepenuhnya tawaran ini. Saya nak kata apa lagi” jelasku cuba menyedarkan Marnie. Dia sendiri turut mendengar kenyataan ini. Marnie terlopong menatapku. Tangannya memegang tanganku.
“Awak kecewa, Lia?” tanyanya. Aku dan Marnie beradu pandangan seketika.
“Ada perkara yang perlu saya selesaikan dengan Datin Sofea dan Bella. Saya tak boleh biarkan hidup Haqem begini selama-lamanya” tegasku.
“Lia...Berhentilah fikirkan tentang Encik Haqem. Awak dah lama jadi isteri Encik Aqel” tegur Marnie kecewa. Kedengaran keluhannya. Kupandang Marnie. Sungguh aku tidak mampu meluahkan isi hatiku.
“Maaf... saya nak balik sekarang” pintaku lantas menarik tanganku dari pautan tangan Marnie. Aku terus mengatur langkah ke pintu utama KDUT mahu segera beredar dari sini. Kupandu kereta tanpa perancangan. Tidak tahu arah hendak dituju ketika ini. Akhirnya aku mematikan kereta ini di halaman banglo Mak Long. Terasa rindu pula kepada Mak Long.
“Lia... Lama tak jumpa. Rindu sungguh dengan kamu” ujar Mak Long teruja tatkala daun pintu terkuak. Tubuhku terus dipeluk erat.
“Maaf... lama tak jenguk Mak Long” ujarku rasa bersalah.
“Takpe...Mari...mari... masuk” Mak Long menarik tanganku mengajak masuk ke dalam banglo ini. Aku menurut langkah Mak Long dengan tangan yang masih berpaut pada tangan Mak Long. Mak Long tidak mahu melepaskannya.
“Mari kita minum” ajak Mak Long. Laju aku menggeleng. Tekakku tidak perlu dibasahi. Aku tidak dahaga sekarang.
“Kamu tak nak minum?” tanya Mak Long. Mak Long nampak terkejut dengan penolakanku ini. Tidak pernah aku menolak ajakan Mak Long. Selalu memang aku sentiasa teruja hendak minum bersama Mak Long.
“Lia rasa lapar sekarang. Boleh Lia makan nasi bersama Mak Long?” tanyaku. Mak Long terus tergelak.
“Kamu ni ... Apa yang tak bolehnya. Marilah kita makan sekarang. Mama baru saja siap masak tadi tapi masakan ringkas sajalah ye...” ujar Mak Long. Aku senyum. Lantas aku dan Mak Long melangkah ke dapur.
“Biar kita hidang sama-sama ye” pintaku. Mak Long mengangguk. Aku mengangkat pinggan-pinggan yang sudah diisi dengan sayur dan lauk-pauk oleh Mak Long. Kemudian kuangkat semangkuk nasi. Akhirnya, kuletakkan pinggan dan gelas di atas meja. Mak Long pula meletakkan balang kaca berisi air kosong dan sebalang kaca jus oren. Lengkaplah menu hidangan malam seawal jam 6.00 petang.
“Maaf... buat Mak Long makan malam seawal begini” ujarku sambil menatap Mak Long. Mak Long geleng kepala. Dia sentiasa sahaja tersenyum.
“Seronok ada kamu menemani mama makan sekarang” ujar Mak Long masih dalam senyuman. Kasihan Mak Long. Kalaulah Aqel tinggal di sini pasti Mak Long tidak akan kesunyian. Ada orang yang menemaninya makan dan bergurau-senda. Mak Long boleh bercerita dengan Aqel tentang perkara yang berlaku seharian sambil menonton televisyen. Jikalau semua ini dapat dilakukan pasti Mak Long gembira.
“Lain kali kalau nak makan sini, beritahu awal-awal. Nanti boleh masak macam-macam” ujar Mak Long tidak berpuas hati dengan hidangan di atas meja ini.
“Semua ini dah cukup menyelerakan Mak Long” ujarku jujur.
“Belum cukup ni. Apa makanan kesukaan kamu?” tanya Mak Long.
“Semua yang Mak Long masak saya suka” sahutku menyanjung kemahiran Mak Long.
“Kamu ni...” Mak Long yang sentiasa merendah diri.
“Makanlah...” arah Mak Long. Aku mencapai pinggan kosong. Menyeduk nasi, lauk-pauk dan sayur lalu keletakkan pinggan ini di depan Mak Long.
“Makan Mak Long” jemputku. Mak Long senyum.
“Terima kasih. Mari kita makan sama-sama” ujar Mak Long. Aku mengangguk. Lantas aku dan Mak Long memulakan suapan.
“Emm...sedapnya!” pujiku tatkala menghirup kuah sup ubi kentang dibubuh dengan cendawan dan ikan bilis ini. Secukup rasa. Mak Long tersenyum-senyum menatapku. Nampak dia gembira dan berpuas hati melihat aku sungguh berselera menikmati hidangan yang dimasaknya.
“Kamu boleh makan di sini setiap hari. Biar mama masak sedap-sedap untuk kamu” ujar Mak Long memanjakanku.
“Wah...seronoknya!” ujarku teruja.
“Makan banyak-banyak” arah Mak Long. Aku mengangguk. Aku berhenti menyuap. Kupandang Mak Long.
“Kenapa? Dah kenyang?” tanya Mak Long. Aku geleng dan senyum.
“Mak Long tak nak ajak Aqel makan di sini?” tanyaku.
“Tak payah. Mama nak bersama kamu saja sekarang” sahut Mak Long. Aku tersenyum.
“Kalau Aqel tengok Lia ada di sini, pasti dia cemburu sebab Mak Long beri layanan istimewa pada Lia” ujarku. Mak Long tergelak.
“Mak Long nak berterima kasih pada kamu sebab ceriakan hidup Aqel. Aqel dah  berubah. Dia dah banyak cakap daripada dahulu” jelas Mak Long. Aku terdiam. Rasa bersalah menyelubungi diri. Pandai Aqel berlakon di depan Mak Long. Aqel tidak bahagia hidup denganku.
“Terima kasih sebab kamu sudi hidup bersama Aqel selama ini” ujar Mak Long lantas memegang tanganku. Aku terkedu.
“Maaf... Mak Long. Lia bukan isteri yang baik. Lia tak pernah layan Aqel dengan baik” ujarku jujur. Mak Long menggeleng. Tidak setuju dengan kata-kataku.
“Kamu telah berusaha melakukan yang terbaik” tingkah Mak Long.
“Mak Long percayakan Lia?” tanyaku. Mak Long mengangguk.
“Percaya sungguh!” sahut Mak Long yakin.
“Terima kasih, Mak Long. Apa yang bakal Lia lakukan mungkin akan mengecewakan dan buat Mak Long bersedih” tutur berhati-hati. Mak Long senyum dan geleng kepala lagi.
“Mak Long percayakan Lia” tegas Mak Long tidak berkurang keyakinannya kepadaku. Aku mengetap bibir, menahan gelodak perasaan ini. Tidak mampu aku meneruskan kata-kata yang keluar dari mulutku. Terasa sebak.

Langkah Aqel terpaku di depan pintu itu. Tidak mahu meneruskan langkahnya. Hasrat hendak membuat kejutan akan kedatangannya senyap-senyap itu terus lenyap. Aqel memejamkan mata dengan tangan yang tergenggam kuat. Cuba mengumpul kekuatan diri. Kemudian Aqel memaling tubuhnya lantas melangkah ke pintu meninggalkan banglo itu. Tiada sesiapa menyedari akan kedatangan dan kepergiannya. Aqel terus melangkah dan melangkah sejauh mungkin. Dia mahu bersendirian tika ini.
Ketika kereta yang kupandu memasuki perkarangan rumah, kelihatan Aqel tercengat di halaman sedang leka berbual-bual di talian. Kereta memasuki garaj yang kosong. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 belum kembali lagi. Barangkali kawan Aqel masih memerlukannya. Aku menolak daun pintu kereta. Aqel memasukkan iPhone ke dalam saku seluarnya, kemudian mengalih pandangannya ke arahku.
“Nak ke mana?” tanyaku mendahului bersuara menyapanya.
“Nak keluar sekejap dengan kawan” jelasnya.
“Kereta awak...” Bicaraku tergantung. Laju aku berpaling ke arah pintu pagar. Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 sedang bergerak melewati pintu itu. Kawan yang Aqel tunggu sudah datang. Pertanyaanku juga sudah terjawab. Daun pintu kereta ditolak. Aku sedikit tersentak tatkala menatap Rania yang tersenyum melontar pandangan ke arah Aqel. Aqel terus mengatur langkah ke arah Rania tanpa sempat meninggalkan pesanan kepadaku. Dia duduk di kerusi pemandu lalu Rania duduk di sebelahnya. Aku menatap Rania dengan Aqel yang sedang tersenyum. Ada cerita yang mereka bualkan. Mereka memang pasangan kekasih yang sepadan dan sempurna. Lantas aku memaling tubuh menyambung langkah ke pintu. Pintu tertutup rapat lalu kukunci.
“Terima kasih sebab kamu sudi hidup bersama Aqel selama ini” suara Mak Long tiba-tiba sahaja menerpa halwa telingaku. Pandanganku terus melekat pada gambar persandingan itu. Kutenung lama wajah Aqel.
“Kesepuluh, mengetahui Cikgu Firdaus jatuh cinta pada awak membuatkan saya tak tenteram. Sakit hati saya melihat awak begitu baik dan mesra dengan cikgu itu. Hati tak tenang apabila Aziq berharap Cikgu Firdaus menjadi abang iparnya. Tika itu barulah saya sedar bahawa saya telah jatuh cinta pada awak. Paling menyakitkan apabila saya tak mampu meluahkan perasaan saya pada awak” suara Aqel berbisik di telingaku. Bukan sekali tetapi berulang-ulang kali.