Monday 22 August 2016

NamaKu Bukan Flora...! 85..new...






BAB 85


“Siapa ni mama?” tanya Haqem sambil memandang gadis yang berdiri di sebelah Datin Sofea itu. Gadis itu menundukkan kepala memberi hormat kepada Haqem.
“Gina... pekerja yang akan menggantikan tempat perempuan itu” tegas Datin Sofea serius. Berkerut dahi Haqem. Datin Sofea sentiasa mahu membuat kejutan padanya.
“Saya tak faham. Apa maksud mama?” tanya Haqem tidak mengerti dengan kunjungan Datin Sofea bersama gadis yang tidak dikenalinya ini. Bingung Haqem.
“Mama nak kamu ganti tempat perempuan itu dengan Gina. Mama tak suka dia bekerja di sini. Mama tengok sekarang dia dah semakin berani. Hari itu dia serang Bella. Mujur Bella tak cedera serius” Datin Sofea mendengus. Dia marah. Cereka telah diputar-belitkan. Kebenaran dikaburkan.
“Lia serang Bella? Saya tak percaya” tingkah Haqem. Datin Sofea mendengus lagi.
“Halau dia dari syarikat ini sekarang!” bentak Datin Sofea berang. Tidak suka dengan tindak-balas yang ditunjukkan oleh Haqem. Dia tahu Haqem sentiasa berpihak kepada gadis itu.
“Saya tak boleh pecat pekerja sesuka hati tanpa sebab. Apatah lagi Lia memang pekerja yang sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang baik. Rugi KDUT nak lepaskan Lia keluar dari syarikat ini” tutur Haqem membantah permintaan Datin Sofea. Tajam mata Datin Sofea menatap Haqem. Pujian itu menghangatkan hatinya.
“Kalau kamu perlukan sebab nak pecatnya, kamu serahkan saja pada mama. Tahulah mama nak buat macam mana nanti” ujar Datin Sofea bersungguh-sungguh. Sudah biasa mencipta sengketa. Bijak memutar-belitkan cerita dan keadaan.
“Apa yang mama nak buat?” Haqem diburu perasaan bimbang. Dia tahu Datin Sofea mampu melakukan banyak perkara tanpa belas kasihan. Nekadnya tiada batasan.
“Mama tak boleh sakiti Lia lagi” tegas Haqem. Datin Sofea mendengus kasar. Baran diberi peringatan sedemikian. Haqem tiada kuasa hendak menentukan tindakannya.
“Kalau Lia disakiti lagi saya takkan berdiam diri. Mama harus ingat Aqel juga takkan lepaskan orang yang menyakiti Lia” ujar Haqem bersungguh-sungguh memberi peringatan. Tiba-tiba sahaja Datin Sofea tergelak sendiri. Hatinya tercuit. Dia menggeleng-geleng kepala. Aqel dan Haqem telah diperdayakan oleh gadis itu.  
“Kamu berdua dah diguna-guna oleh perempuan itu. Nampak bodoh sangat. Dua orang lelaki bersahabat baik, seorang kekasih dan seorang lagi suami yang berkongsi perempuan yang sama” lirih suara Datin Sofea melontar kata-kata kesat itu. Dia tertawa. Gadis itu terpana menatap Haqem. Terkejut mendengar cerita itu. Haqem menelan liur pahit. Terasa maruahnya dirobek.
“Saya tak kisah apa mama nak kata. Saya tahu siapa Lia, dia seratus kali ganda lebih baik daripada Bella. Walau sepuluh kali Lia tinggalkan saya dan hidup dengan lelaki lain, perasaan saya padanya takkan berubah” tegas Haqem buat Gina terpaku. Kagum pada kesetiaan Haqem. Datin Sofea mendengus kuat. Wajahnya merah merona. Bicara Haqem menyakitkan hatinya.
“Teruslah hidup dengan perasaan kamu tu. Selagi mama hidup kamu takkan dapat bersama dengan perempuan itu biarpun Aqel lepaskannya” ujar Datin Sofea nekad.
“Boleh tak mama biarkan saya tentukan hidup saya sendiri?” pinta Haqem kesal. Datin Sofea menggeleng. Keputusannya muktamad. Tindakan dan kata-katanya pasti akan dikotakan.
“Kamu hanya akan bernikah dengan Bella. Bukan dengan perempuan lain!” tegas Datin Sofea tidak mengendahkan permintaan Haqem.
“Mama lahirkan dan besarkan kamu sebab nak jadikan Bella menantu” ujar Datin Sofea dengan bicara yang tersirat. Haqem tertunduk kecewa. Sedar dia dilahirkan dan dibesarkan hanya untuk memenuhi hajat hati Datin Sofea. Sejak kecil sudah ada perancangan terperinci untuknya.
“Kalaulah masa itu boleh diundur kembali, saya nak mama bunuh saja saya pada hari saya datang ke dunia yang kejam ni” ujar Haqem hampa. Dirinya dirundung kekecewaan. Gina memandang Haqem dengan perasaan simpati. Perasaan Haqem hancur. Dia tidak memiliki pengertian seorang ibu. Datin Sofea geleng kepala dan tersenyum.
“Mama nak kamu balas kesakitan yang mama tanggung selama sembilan bulan itu” pinta Datin Sofea tanpa berselindung sekali gus mempamer dendam kasumatnya.
“Layan Bella dengan baik. Dia akan jadi isteri kamu” arah Datin Sofea. Haqem terdiam.
“Mama akan sentiasa awasi perempuan itu. Hati-hati dengan tindakan kamu kalau tak mahu perempuan itu disakiti” ujar Datin Sofea memberi amaran keras. Haqem menelan liur pahit.
“Mari Gina...” ujarnya mengajak gadis itu meninggalkan Haqem di situ. Berdentum daun pintu bilik itu dilepaskan. Marnie menelan liur. Tahu keadaan berantakan di dalam bilik pejabat Haqem tadi. Kunjungan Datin Sofea pasti mengundang ketegangan.
Melihat Datin Sofea berjalan deras ke arahnya, cepat-cepat dia bangkit dari kerusi. Dia menundukkan kepala memberi hormat. Gentar hendak bertegur sapa dengan Datin Sofea yang nampak murka. Namun sempat bertukar senyuman dengan Gina. Hatinya tertanya-tanya tentang gerangan gadis yang nampak lebih bersopan-santun daripada Bella. Langkah Datin Sofea terhenti. Tiba-tiba sahaja dia berpatah balik ke arah Marnie yang masih berdiri sambil melontar pandangan ke arah Datin Sofea. Langkahnya terhenti tepat-tepat di depan Marnie. Marnie terpaku menatap wajah menyinga Datin Sofea.
“Kamu beritahu perempuan itu kalau dia nak hidup tenang cepat-cepat tinggalkan syarikat ini” ujar Datin Sofea meninggalkan pesanan peringatan keras kepada Marnie. Marnie tergamam.
“Kamu dengar tak?” lantang suara Datin Sofea menerpa halwa pendengarannya. Laju Marnie mengangguk. Terkejut diherdik oleh suara lantang Datin Sofea.
“Bagus...” Datin Sofea terus mendapatkan Gina yang sedang menanti di ambang pintu. Kedua-duanya melewati pintu meninggalkan Marnie bersendirian di situ. Marnie menghela nafas panjang lalu terduduk di kerusi itu. Baru boleh bernafas. Garang dan bengis Datin Sofea menggentar dirinya. Marnie mengomel sendirian tatkala teringat pada pesanan Datin Sofea. Dia tidak akan menyampaikan pesanan itu kepada Lia. Datin Sofea tiada kuasa hendak mencampuri urusan KDUT. Marnie tersenyum sendiri. Puas hati sebab diam-diam ingkar pada arahan Datin Sofea.
“Haqem ada?” suara lelaki menegur. Marnie tersentak disapa sedemikian.
“Oh... Encik Aqel. Kurrr... semangat. Terkejut saya” ujar Marnie sambil mengusap-usap dada. Dia tidak sedar akan kemunculan pemuda ini. Aqel tersengih.
“Jauh awak berangan” usik Aqel. Marnie hanya tersenyum. 
“Haqem ada?” Sekali lagi diaju pertanyaan itu. Laju Marnie mengangguk.
“Mungkin moodnya tak elok” ujar Marnie membuat andaian sebagai peringatan awal kepada Aqel. Dahi Aqel berkerut.
“Kenapa?” tanyanya mahu penjelasan lanjut. Marnie tersenyum tawar.
“Datin Sofea datang sini tadi” jelas Marnie pendek. Penjelasan yang sudah diketahui pengakhiran pertemuan itu. Aqel melepaskan keluhan kecil. Datin Sofea tidak pernah melayan Haqem dengan baik. Aqel tidak bertanya lagi. Dia terus menapak ke pintu bilik pejabat Haqem. Daun pintu diketuk.
“Saya nak masuk ni” ujarnya lantas menolak daun pintu. Haqem yang menundukkan muka, laju sahaja tangannya mengesat mata. Dia mengangkat muka lalu membalas pandangan Aqel.
“Awak okey...?” Aqel mahu mempastikan keadaan dirinya. Perlahan-lahan Haqem mengangguk. Dia tersenyum tawar.
“Okeylah kalau macam tu. Saya datang balik nanti” ujar Aqel masih mahu memberi Haqem peluang bersendirian. Dia perlukan masa untuk menenangkan diri. Haqem mengangguk lemah. Pengertian sahabatnya itu sangat dihargai. Daun pintu ditutup kembali.
“Encik Aqel dah jumpa Encik Haqem?” tanya Marnie bagai mahu mengetahui keadaan lelaki itu. Aqel mengangguk dan tersenyum.
“Tak payah risau... dia okey” jelas Aqel. Marnie menarik nafas lega.
“Beri dia masa bersendirian” arah Aqel. Marnie mengangguk. Kemudian Aqel melangkah ke pintu. Mahu beredar dari situ.
“Encik Aqel...” panggil Marnie. Tiba-tiba dia teringat tentang amaran Datin Sofea tadi. Langkah Aqel mati. Dia berpaling ke arah Marnie. Hairan.
“Datin Sofea nampak tak puas hati pada Lia tadi. Saya risau...” Bicara Marnie tergantung. Sekelip mata Aqel sudah meluru keluar melewati pintu. Bagai mengerti kebimbangan yang Marnie pamerkan. Dia turut merasa kebimbangan itu. Laju dia berlari. Mahu cepat sampai ke bilik itu.
“Lepaskan saya datin...” Aku meronta-ronta cuba membebaskan diri dari cengkaman kuat tangan kasar Datin Sofea. Hampir-hampir sahaja tudungku tercabut dari kepala. Sudah tidak tentu letakannya. Habis direnyuk-renyuk oleh tangan tangan kasar perempuan ini.
“Sabar datin...mengucap...” ujar gadis ini sambil menarik tubuh Datin Sofea. Ternyata dia juga tidak tega dengan tindakan kejam perempuan ini. Jelasnya gadis ini lebih berhati mulia berbanding dengan Datin Sofea dan Bella. Aku menolak tubuh Datin Sofea dan menepis tangannya sekuat tenagaku. Akhirnya aku terlepas daripada cengkaman Datin Sofea. Terasa pipiku pedih. Mungkin luka akibat cakaran kuku tajam perempuan ini. Tiba-tiba perasaan teramat marah menjalar dalam tubuhku. Aku memandang tajam ke arah Datin Sofea.
“Saya takkan lepas Haqem. Saya takkan biarkan Haqem menikahi Bella selagi datin tak dapat terima Idlan” ujarku memberi amaran.
“Berani kamu...!” Datin Sofea meluru ke arahku. Cuba menyerangku lagi. Namun kali ini aku telah bersiap sedia melawan tindakan kasarnya. Aku menangkis serangan Datin Sofea. Gadis itu hanya tergamam memerhatikan. Sudah kematian akal.
“Saya takkan biarkan Haqem bernikah dengan Bella. Haqem juga takkan tinggalkan saya” ulangku menghangatkan kemarahan Datin Sofea yang membuak-buak. Aku mahu Datin Sofea merasa penderaan jiwa raga. Biar hatinya sakit. Biar dirinya diselubungi kebimbangan.
“Cukup...!!!” Aku dan Datin Sofea berpaling. Aqel sudah berada di sini dengan wajah serius. Dia melangkah mendekatiku lalu menjadi benteng keselamatanku. Datin Sofea berundur setapak. Gerun juga dia dengan kedatangan Aqel ini. Dia tahu Aqel tidak akan tunduk kepadanya.
“Datin...sila tinggalkan tempat ini” arah Aqel serius. Datin Sofea mendengus. Tidak suka dia menerima arahan. Dia hanya suka memerintah. Semua orang patut patuh pada kemahuannya. Persis Datin Sofea memiliki kuasa veto yang tidak boleh ditingkah oleh sesiapapun.
“Gina...mari kita pergi” ajak Datin Sofea lantas melangkah ke muka pintu bersama gadis itu. Kelibatnya terus hilang di sebalik pintu. Aku dan Aqel berpandangan seketika dengan mulut terkunci. Pasti aku nampak teruk sekarang setelah diserang bertubi-tubi oleh Datin Sofea yang garang itu. Aku mendakap tangan ke pipi. Masih terasa pedih.
“Terima kasih kerana datang... Saya nak ke bilik air sekarang” ujarku meminta diri. Tiba-tiba tangan Aqel menarik tanganku membuatkan langkahku yang baru sahaja hendak bermula terhenti. Aku berpaling menatap Aqel. Aqel mengeluarkan sapu tangan dari saku seluarnya, lantas mengelap celitan darah di pipiku yang tercalar. Lembut gerakan tangannya. Aku menundukkan muka. Sebak.
“Biar saya hantar awak balik” suara Aqel lembut. Aku menggeleng.
“Saya nak terus berada di sini... banyak kerja yang perlu saya selesaikan. Saya nak ke bilik air” ujarku mengulangi kata-kataku tadi. Kutinggalkan Aqel di sini. Aku melangkah longlai ke bilik air. Berpasang-pasang mata mengarah pandangan ke arahku. Tampak hairan melihat keadaanku yang berserabut. Nampak sangat selepas bertempur di medan pergelutan.
“Lia...!”Aku berpaling. Marnie terkocoh-kocoh mendapatkanku.
“Ya...Allah... Lia. Awak nampak teruk macam ni” keluhnya dengan anak mata yang terbuka luas. Bagai tidak percaya akan melihat aku dalam keadaan sedemikian.
“Cepat masuk bilik air” ajaknya sambil menarik tanganku tatkala sedar banyak mata yang memandang ke arah kami. Aku berdiri di depan cermin menatap diri. Lia berdiri di sebelahku dengan wajah yang sedih. Simpati melihat diriku diperlakukan sedemikian.
“Awak okey?” tanya Marnie simpati. Aku mengangguk. Cuba tersenyum. Hambar.
“Pipi awak luka dicakar Datin Sofea. Perempuan itu memang macam hantu suka cakar-cakar orang” omel Marnie merungut. Kucapai tisu. Kulap perlahan calar panjang di pipiku. Aku mengetap bibir menahan sakit. Kemudian merapikan tudung dan pakaianku.
“Kasihan awak...” Tangan Marnie mengusap-usap bahuku.
“Biar saya cakap perkara ini pada Encik Haqem” ujar Marnie mahukan aku mendapat pembelaan. Aku menggeleng. Haqem bukan lawan Datin Sofea.
“Tak usah...” tegahku. Tidak mahu membuatkan Haqem serba salah. Haqem sudah cukup terseksa kerana sikap Datin Sofea selama ini.
“Saya ada cara sendiri nak selesaikan perkara ini” jelasku tidak mahu membabitkan Marnie mahupun sesiapa. Bukan mudah hendak menjadi musuh Datin Sofea. Wajib ada kekentalan jiwa raga. Tercengang-cengang Marnie menatapku.
“Awak nak buat apa? Jangan pula awak bunuh Datin Sofea” ujar Marnie bimbang. Aku tersenyum. Bicara Marnie mencuit hati.
“Rugi kalau nak terus bunuh Datin Sofea. Balasan yang terbaik pada musuh kita ialah seksa perlahan-lahan, buat dia menderita. Bila dia dah tak tahan, akhirnya dia akan bunuh diri” ujarku cuba membayangkan keadaan itu. Kejam. Marnie terkebil-kebil menatapku.
“Lia... awak biar betul!” Marnie terjerit sendiri.  Aku melangkah keluar dari bilik air sambil diekori oleh Marnie. Tika perasaan marah yang sedang membuak-buak pasti kata-kata juga tidak berperikemanusiaan.
“Awak takkan buat macam tu kan” Marnie masih mahu memperkatakan perkara itu. Gusar. Aku hanya senyum. Berjaya juga aku membuatkan Marnie rasa gerun. Pada Marnie, penyeksaan Datin Sofea selama ini akan membuatkan aku hilang pertimbangan waras. Lalu aku terdorong bertindak kejam membalas perbuatan Datin Sofea selama ini.
“Awak kena banyak-banyak bersabar, Lia. Saya tahu perbuatan Datin Sofea selama ini sangat melampau. Tak patut dia layan awak dengan teruk. Tak perlu awak hukumnya. Dia akan dapat pembalasan nanti. Doa orang yang teraniaya ialah doa yang didengar oleh Allah” nasihat Marnie panjang lebar. Cuba mendamaikan perasaanku.
“Awak doalah banyak-banyak nanti” arah Marnie memujukku. Bimbang aku akan mengotakan kata-kataku. Marnie tidak mahu aku menjadi sekejam Datin Sofea.
“Tak payahlah awak bimbang. Saya takkan apa-apakan Datin Sofea. Cuma saya nak berperang dengannya. Saya dah mula lancarkan serangan pertama” ujarku melenyapkan kerisauan Marnie. Aku masih waras dan tidak akan bertindak sesuka hati.
“Kalau macam itu baguslah...” Marnie menarik nafas lega. Dia tersenyum. Namun sekejap sahaja kelegaannya itu. Laju dia berpaling ke arahku. Wajahnya tegang kembali.
“Berperang? Awak dah lancarkan serangan pertama?” Besar anak matanya menatapku. Aku mengangguk. Membenarkan pertanyaannya itu. Marnie menepuk dahi.
“Nampaknya perang dunia ketiga dah meletus” keluh Marnie seakan tidak berdaya menghalangku. Aku dan Datin Sofea tidak mungkin dapat menjalin hubungan yang baik.
“Saya akan pujuk Encik Haqem agar cepat-cepat bernikah dengan Cik Bella. Baru Datin Sofea senang hati dan takkan ganggu hidup awak lagi” ujar Marnie bersungguh-sungguh.
“Bukan perkara itu yang saya sedang fikirankan” tingkahku. Tidak setuju dengan perancangan Marnie. Datin Sofea bukan manusia yang cepat berpuas hati. Ada hajat hati yang mahu aku tunaikan di sebalik tuntutan keinginan Datin Sofea. Aku akan tentang Datin Sofea dengan caraku sendiri.
“Awak nak buat apa?” tanya Marnie dengan mata yang terbuka luas. Aku tersenyum.
“Takkan begitu mudah saya nak lepaskan Haqem. Saya mahu Haqem bersama saya untuk...” bicaraku tergantung. Langkahku mati. Langkah Marnie juga terhenti. Aku terpana. Marnie tergamam.
“Encik Aqel...” perlahan-lahan nama itu meniti di bibir Marnie. Aqel sedang menantapku. Tangan Marnie sedang menguisku. Kupandang Marnie sekilas. Ada kerisauan terpamer di wajahnya.
“Encik Aqel pasti dengar...” suara Marnie sayup-sayup berbisik di telingaku namun masih kedengaran jelas. Kulawan renungan mata Aqel yang terikat padaku sedangkan mulut terkunci rapat. Aku dan Aqel sama-sama berdiam diri. Diam yang panjang

Aku mencuri pandang ke arah Aqel yang sedang leka mengunyah potongan daging goreng di dalam mulutnya. Begitu khusyuk dan tekun dia melumat daging itu sebelum menelan. Dilontar sepotong daging ke dalam mulut lagi. Nampak Aqel sedang menikmati daging itu persis seorang tukang masak sedang menghakimi pertandingan masakan. Teliti dia merasa daging itu. Suasana di meja makan ini sunyi sepi. Kemudian laju pula gerakan tangan Aqel melontar nasi sesudu demi sesudu masuk ke dalam mulut yang turut lincah mengunyah.
“Nak tambah nasi?” tanyaku setelah melihat pinggan Aqel kosong. Dia menggeleng kepala. Dicapai air kosong di dalam gelas kaca itu lalu meneguk dengan rakus. Sekali helaan nafas sahaja air kosong itu dihabiskan. Aqel bangun lalu meninggalkan ruang makan ini tanpa sepatah kata. Kali ini dia benar-benar menyepikan diri. Aqel yang pendiam sudah kembali.
Usai mengemas dapur dan mencuci pinggan, aku bergerak meninggalkan dapur. Aqel tidak menonton televisyen di ruang tamu. Aku melangkah ke bilik tidur. Aqel terbaring di atas sofa sedang tekun membaca buku. Aku membaringkan tubuh di atas tilam. Mahu tidur awal malam ini. Perlahan-lahan jariku meraba pipiku. Terasa calar panjang. Inilah hadiah yang kuterima daripada Datin Sofea siang tadi. Aku memejamkan mata.
Jam loceng berdering kuat. Mataku terbuka luas. Laju tanganku mematikannya. Bingkas aku bangun. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Kosong. Aqel tidak berada di situ lagi. Awal dia bangun hari ini. Aku mengatur langkah ke bilik air. Belum sampai di muka pintu, langkahku mati. Kutatap memo merah jambu yang tertampal di cermin meja solek. Kuubah haluan langkahku. Tulisan tangan Aqel yang kemas.
~Saya ada penerbangan tengah malam tadi. Jaga diri baik-baik sepanjang ketiadaan saya~ Terkelip-kelip mataku menatap pesanan Aqel itu. Pasti saat ini Aqel berada di dalam kapal terbang sekarang ke destinasi yang tidak kuketahui. Kubiarkan sahaja memo itu tertampal di situ. Aku menyambung langkahku ke bilik air.
“Awak dah buat penjelasan pada Encik Aqel?” tanya Marnie tidak sabar-sabar sebaik sahaja aku muncul di tempat kerja awal pagi ini.
“Penjelasan apa?” tanyaku buat-buat tidak mengerti. Kedengaran keluhan Marnie.
“Saya yakin Encik Aqel dengar cakap awak semalam” jelas Marnie. Bimbang.
“Dia hanya berdiam diri dan saya tak tahu nak mulakan cerita” ujarku.  Sedemikianlah keadaanku dengan Aqel semalam. Aqel tidak berkata sepatahpun. Dia hanya menggunakan bahasa isyarat. “Dia pasti kecewa dengan kata-kata awak. Oh...kasihan Encik Aqel!” Marnie dibuai emosi. Tiba-tiba sahaja kedua-dua tangan Marnie memegang bahuku. Mataku direnung dalam-dalam. Serius.
“Awak tak boleh terus biarkan Encik Aqel kecewa. Awak wajib jelaskan kata-kata awak semalam supaya Encik Aqel tak salah faham” gesa Marnie bersungguh-sungguh.
“Saya tak nak Encik Aqel bersedih” ujar Marnie dengan pandangan redup menatapku. Wajahnya mendung. Konon merasai kesedihan yang Aqel tanggung. Jangan-jangan nun jauh di sana Aqel sedang bergelak ketawa sekarang.
“Awak tak boleh terus buat Encik Aqel bersedih. Awak mesti jumpa dia sekarang” gesa Marnie. Aku menggeleng.
“Saya tak dapat jumpa Aqel” sahutku.
“Kenapa?” Serius muka Marnie menatapku.
“Saya tak tahu di mana Aqel berada sekarang” jelasku.
“Apa?” Marnie kurang senang mendengar bicaraku.
“Tengah malam tadi dia berangkat ke luar negara tanpa pengetahuan saya. Pagi ini saya baca memo yang ditampalnya di cermin meja solek” tambahku.
“Aduh...gawat!” Marnie mengeluh kecewa.
“Awak jangan risau. Saya tahu siapa Aqel. Dia tak pernah rasa sedih dan kecewa kerana saya” ujarku meredakan gelodok emosi Marnie. Marnie menggeleng.
“Awak belum cukup mengenali Encik Aqel” tingkah Marnie menolak kenyataanku. Kupandang Marnie.
“Awak tak tahu perasaannya” tambah Marnie.
“Okey... kata-kata awak mungkin betul. Awak lebih memahami Aqel daripada saya. Awak dah lama mengenalinya” ujarku menyokong kata-kata Marnie. Marnie mengangguk. Tidak meningkah kata-kataku. Kupandang Marnie. Mungkin Marnie mengetahui gadis itu.
“Siapa Flora, Mar? Awak pasti mengetahui siapa gadis ini. Dia kekasih Aqelkan?” tekaku lantas memohon penjelasan Marnie tentang gadis itu.
Sorry... saya memang tak tahu siapa Flora. Setahu saya...awaklah Flora” ujar Marnie serius. Laju aku menggeleng. Marnie silap.
“Saya bukan Flora” tegasku sekian kalinya. Tidak suka pada nama itu. Tidak logik juga jikalau aku terlupa nama sendiri melainkan memori lampauku telah terpadam. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Cuba menjelmakan wajah Aqel pada zaman lalu. Aku tidak pernah mengenali manusia yang bernama Aqel pada zaman kanak-kanakku mahupun zaman remajaku. Aku tiada kenangan membesar bersama pemuda ini. Aku mengeluh.
“Hanya Aqel saja yang tahu tentang gadis itu...” ujarku sendirian.
“Awak cemburu pada Flora?” tanya Marnie.
“Saya tak suka jadi Flora!” Besar suaraku membalas pertanyaan Marnie. Aku sakit hati tatkala Aqel menyamakan aku dengan Flora. Di mata Aqel aku ialah kekasih hati pujaan kalbunya. Selama ini Aqel hidup dengan imaginasinya.
“Awak cintakan Encik Aqelkan...” Marnie menatapku menanti jawapanku. Aku mengunci mulut. Belum bersedia menjawab pertanyaan itu. Sekarang bukan masa yang sesuai hendak membincangkan perkara ini. Belum ada keyakinan.
“Saya tak pasti...” lambat-lambat aku bersuara. Kedengaran keluhan kecil Marnie.
“Walau apapun perasaan awak terhadap Encik Haqem, awak telah ditakdirkan menjadi isteri Aqel. Sebelum mengenali awak, saya hanya pernah nampak Encik Aqel bersama Rania. Namun mereka bukanlah pasangan kekasih lagi. Saya langsung tak kenal siapa gadis yang bernama Flora itu. Saya tak pernah mendengar cerita tentangnya. Awak yakin gadis itu wujud?” Panjang lebar Marnie berbicara. Aku diam. Penjelasan Marnie tidak dapat mengubah keadaan. Misteri Aqel masih tidak mampu diungkai.
“Awak harus setia kepada Encik Aqel walaupun cinta Encik Haqem tak pernah berkurang. Hanya Encik Aqel yang mampu membahagiakan awak. Percayalah...” sungguh-sungguh  Marnie berbicara.
 “Tak semudahnya saya nak jadi Flora. Saya ada hati dan perasaan” sahutku kecewa. Aku melontar pandangan jauh-jauh. Tangan Marnie menepuk lembut bahuku.
“Saya faham...” ujar Marnie penuh pengertian.
“Kita sama-sama jejaki siapa Flora. Saya percaya Encik Aqel bukan seorang yang mudah jatuh cinta. Percayalah...” ujar Marnie memujukku. Keyakinan Marnie terhadap Aqel tidak pernah berkurangan. Sungguh sempurna Aqel di mata Marnie.
 

   Terasa sungguh sunyi malam ini. Aku melontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Buku tebal itu masih terletak di situ. Statik di atas meja kaca itu. Kupandang iPhone di atas tilam di sisiku. Senyap memanjang. Tiada panggilan mahupun mesej Aqel yang kuterima. Aqel menghilangkan diri seketika. Namun aku yakin Mak Long dan mak pasti mengetahui arah tuju Aqel. Aku bangkit dari tilam empuk ini. Kutarik laci almari solek ini lalu mengeluarkan buku catatanku. Kucapai memo merah jambu yang masih tertampal di dada cermin solek ini lantas melekatnya pada buku catatan ini. Kutulis sebaris ayat di bawah memo ini.
Bunyi deringan iPhone mengejutkan aku. Bingkas aku bangun. Panggilan daripada mak. Kucapai iPhone. “Assalamualaikum...mak” sapaku mendahului. Kedengaran suara mak menyahut salamku. Kutatap jam. Sudah melangkaui pukul 10.30 malam. Lewat begini mak belum tidur lagi.
“Kamu tak nak datang sini?” tanya mak. Sudah rutin aku akan pindah sementara ke rumah mak setiap kali Aqel berada di luar kawasan.
“Emm... nak tinggal di rumah ni saja. Banyak kerja nak buat” jelasku.
“Aqel tak suka kamu tinggal sendirian di rumah tu. Risau dia nanti” tutur mak meningkah. Pasti Aqel sudah menyampaikan permintaannya kepada mak sebelum keberangkatannya meninggalkan negara ini buat sementara waktu.
“Lia boleh jaga dirilah... mak” ujarku cuba menyenangkan hati mak. Kali ini rasa malas pula hendak pindah ke rumah mak. Bukan tidak mahu tinggal dengan mak. Tika ini aku ingin bersendirian.
“Kamu tak takut tinggal sendirian di sana malam ini?” tanya mak.
“Lia tinggal di dalam rumah, pintu dan tingkap berkunci. Selamatlah tinggal di rumah ni mak” jelasku meyakinkan mak. Kedengaran keluhan kecil mak.
“Aqel pasti tak sedap hati kalau tahu kamu bersendirian di rumah tu” keluh mak persis tidak mampu memaksa aku meninggalkan rumah ini.
“Tak sedap hati apa pula. Dia yang sengaja tinggalkan Lia sendirian di rumah ni” ujarku.
“Apa?” Aku ternganga. Laju tanganku menutup mulut.
“Tak delah mak. Esok Lia datang jenguk mak” ujarku cuba menyenangkan hati mak. Mak tidak patut bimbang kerana Aqel telah melengkapi banglo mewah ini dengan alat kawalan keselamatan yang canggih. Kalau Aqel belum yakin lagi, dia boleh mengambil pengawal untuk berkawal di sekitar banglo ini.
“Tidurlah sekarang. Jangan berjaga jauh malam” arah mak mengakhiri perbualan ini. Aku senyum sendiri. Tidak mampu berjanji. Bimbang aku tidak dapat tidur. 
“Assalamualaikum mak...” ujarku. Kedengaran suara mak menyahut salamku. Kemudian terus hilang dari pendengaran. Aku merebahkan tubuh di atas tilam lalu meletakkan iPhone ini di sisi perbaringanku. Kupejamkan mata. Seminit kemudian kelopak mataku terangkat kembali. Kupandang iPhone di sisiku yang menyepi. Aqel masih tidak mendiamkan diri. Tiada panggilan mahupun mesej yang dihantarnya. Barangkali Aqel sedang sibuk dengan urusan perniagaannya. Dia seorang yang kuat bekerja. Aku tersentak dengan deringan iPhone yang memecah kesepian ini. Mungkin panggilan daripada Aqel. Baru sekarang dia ada masa hendak menghubungiku. Laju tanganku mencapai iPhone di sisiku. Tidak sempat mengamati skrin iPhone bagi mempastikan gerangan yang berada di talian sekarang.
 “Assalamualaikum...” sapaku. Salamku disambut. Bukan suara Aqel.
“Buat apa sekarang?”
“Sedang baring-baring” jelasku.
“Maaf... saya baru dapat tahu mama serang awak beberapa hari yang lalu. Saya sungguh kesal dengan kejadian ni. Maafkan saya, Lia” Permohonan maaf yang berulangkali keluar daripada mulut Haqem.
“Bukan salah awak, tak perlu minta maaf” tingkahku tidak bersetuju. Haqem tidak ada kena-mengena dengan tindakan Datin Sofea menyerangku.
“Awak tak apa-apa?” tanya Haqem bimbang.
“Saya okey saja. Awak tak perlu risau. Maaf... Haqem, saya mengantuk sekarang.  Assalamualaikum...” Aku terus sahaja menamatkan perbualan ini. Tidak berhasrat hendak berbual panjang Haqem. Kuletakkan iPhone ini di atas tilam. Masih tidak berjauhan denganku. Mudah sahaja aku hendak mencapainya kalaulah Aqel menghubungiku nanti. Kupandang lama iPhone ini. Masih senyap. Ada keyakinan tinggi iPhone ini tidak akan berdering lagi pada lewat malam begini. Aku memejamkan mata. Mahu tidur sekarang.

Di banglo... di pinggir hutan itu,
“Jemput minum...” jemput Pak Shuib mesra. Aqel dan gadis itu tersenyum.
“Terima kasih, pak cik” ujarnya mesra. Pak Shuib meninggalkan Aqel bersama gadis itu di ruang tamu kerana hendak menyambung tugas di dapur. Perlahan-lahan air kopi panas dihirup. Kemudian diletakkan di atas meja.
“Kenapa tak bawa isteri datang sini” tanya Dr. Fiona Nabila. Aqel hanya mengukir senyuman. Perkara itu masih dalam pertimbangan. Dia masih perlukan masa. Aqel mahu Lia masih beranggapan bahawa dia berada di luar negara sekarang atas urusan perniagaan.   
“Saya ingin bertemu dan berkenalan dengannya” tambah Dr. Fiona Nabila berharap.
“Insya-Allah, kalian akan berkenalan juga suatu hari nanti” ujar Aqel tersenyum.
“Saya anggap itu janji awak ye...” ujar Dr. Fiona Nabila memberi peringatan. Aqel mengangguk dan tergelak kecil.
“Saya tak nak rahsiakan perkara ini daripada pengetahuannya” ujar Aqel.
“Memang patut dia mengetahui perkara ini. Jangan lupa dia isteri awak” ujar Dr. Fiona Nabila. Aqel tersenyum. Dia tidak pernah lupa tentang kenyataan itu.
“Okeylah... dah lewat ni. Pasti awak nak berbual-bual dengannya melepaskan kerinduan berjauhan” ujarnya mengusik Aqel. Aqel senyum. Sempat jam di dinding dipandang sekilas. Pasti Lia sudah tidur sekarang.
“Saya balik dulu. Jangan lupa ambil ubat kerana suhu badan awak agak panas. Awak di ambang demam” nasihat Dr. Fiona Nabila setia menjaga pesakitnya. Aqel mengangguk lalu menghantar kepulangan gadis ini sehingga ke halaman rumah.
“Terima kasih. Jumpa lagi” ujar Aqel sambil tersenyum.
“Sudah semestinya kita akan bertemu lagi. Saya hanya akan bebaskan awak setelah yakin awak betul-betul sihat” ujar Dr. Fiona Nabila membalas bicara Aqel. Aqel tergelak kecil.
“Saya balik dulu. Assalamualaikum...” ujar Dr. Fiona Nabila meminta diri.
“Hati-hati perjalanan balik. Bye...” ujar Aqel memperingatkannya. Gadis ini hanya mengangguk sambil melambaikan tangan. Kereta BMW yang dipandu oleh gadis itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan banglo itu. Angin malam yang mendinginkan. Cepat Aqel meninggalkan halaman sambil memeluk tubuh. Dia terbatuk-batuk kecil. Aqel melontar pandangan ke arah Pak Shuib yang sedang mengemas meja ruang tamu.
“Saya dah tak mengalami mimpi buruk lagi. Saya juga dah tak dengar suara kanak-kanak perempuan menangis. Tidur saya lena sekarang” jelas Aqel seraya melontar pandangan ke arah Pak Shuib. Wajahnya bercahaya. Nampak kegirangan terpancar dari raut wajah Aqel.
“Alhamdulillah.... petanda yang baik. Kamu dah sembuh” ujar Pak Shuib tersenyum. Hatinya gembira mendengar bicara Aqel ini. Munajatnya selama ini telah didengar oleh Yang Maha Esa. Rasa syukur dipanjatkan kepada Ilahi. Aqel tersenyum panjang.