Thursday 14 April 2016

NamaKu Bukan Flora....84





BAB 84

“Ke tepi...” Aku tidak sempat mengelak lagi, tangan Bella menolak kasar tubuhku. Aku hilang keseimbangan diri lalu tersungkur ke lantai simen. Lututku berlaga dengan lantai konkrit. Buku laliku terasa sakit. Mungkin terseliuh. Aku mengerang kesakitan. Kini banyak mata melontar pandangan ke arahku. Bella tersenyum sinis. Tiada simpati mahupun rasa bersalah.
“Lain kali kalau jalan tu guna mata. Jangan nak berkhayal saja” kutuknya lantas melangkah meninggalkan aku yang masih terduduk di lantai. Kugagahi bangun. Aku mengetap bibir menahan keperitan ini. Susah payah aku bangkit. Kuheret kaki yang sakit dengan langkah sumbang. Tatkala aku memijak pedal kereta, air mataku menitis. Perit. Senyuman sinis Bella terbayang di mata. Aku cuba berlaku baik dengannya namun dibalas dengan kejahatan. Gadis itu sentiasa mencabar kesabaranku.
“Aduh...aduh...!” Aku mengerang kesakitan tatkala jari mak mendarat di buku laliku. Dahi mak berkerut seribu. Mak mengeluh.
“Teruk juga kaki kamu ni. Macam mana boleh jadi macam ni?” rungut mak.
“Perlahan mak...” pintaku cuba bertahan. Tanganku menggenggam erat hujung baju yang kupakai. Cuba bertahan dari kesakitan ini. Sentuhan lembut tangan mak tidak mampu menghilangkan kesakitan ini.
“Lebam buku lali kamu ni. Macam mana boleh jatuh ni?” tanya mak lagi tidak berpuas hati. Aku diam. Tidak mahu berterus-terang mahupun mereka sebarang cerita untuk dijadikan jawapan bagi pertanyaan mak ini. Hanya mampu mempamer wajah yang berkerut menahan sakit.
“Aqel tahu tak?” Laju aku menggeleng.
“Sikit saja. Tak payahlah beritahu Aqel” ujarku tersengih. Mak menatapku.
“Jangan dibiarkan macam ni. Mana tahu ada tulang yang patah riuk” omel mak. Aku tergelak. Tidaklah serius sampai begitu. Kalaupun kaki ini patah pasti aku tidak mampu bergerak lagi. Hanya terseliuh sahaja. Buku lali ini yang tercedera.
“Nanti Lia pergi klinik” sahutku cuba menenangkan hati mak. Paling penting mak tidak membebankan Aqel dengan perkara ini. Aku mampu melakukan sendiri.
“Bila nak pergi? Biar mak teman” ujar mak tidak mahu aku berlengah lagi.
“Biar Lia berehat dulu” pintaku. Mak mengeluh.
“Esok Lia pergi klinik” janjiku memberi jaminan kepada mak. Aku senyum. Mak tidak teruja dengan janjiku. Pasti dia bimbang melihat keadaanku sekarang. Hati seorang ibu tidak pernah tenang apatah lagi melihat kesakitan anaknya.
“Sama ada atas kecuaian kamu sendiri atau perbuatan orang lain, lain kali jangan biarkan diri kamu disakiti” ujar mak serius. Aku tersentak. Persis mak dapat mengagak bencana yang menimpaku ini atas perbuatan jahat Bella. Kupandang mak.
“Mungkin Aqel belum pandai bertegas dengan kamu lagi menyebabkan orang lain tak yakin dengan kamu” ujar mak penuh makna tersirat. Aku terdiam mendengar bicara mak ini.
“Kamu pergilah berehat di bilik” suara mak mengarahkan aku beredar dari sini. Aku mengangguk. Berkerut dahiku memulakan langkah sumbang ini. Sungguh buku lali ini tercedera sekarang. Aku membaringkan tubuh di atas tilam. Terngiang-ngiang kembali kata-kata mak. Mak curiga. Aku melepaskan keluhan. Mahu sengketa berpanjangan ini segera sirna. Apa yang harus aku lakukan daripada terus menjadi kebencian Bella dan Datin Sofea? Aku mahukan hidup yang aman damai. Bimbang jua kesabaran yang kupertahankan selama ini akan hilang. Aku bukan malaikat yang tiada perasaan marah. Keluhanku berpanjangan.
Kupejamkan mata rapat-rapat. Tidak mahu rehatku terganggu. Teringat janjiku pada mak, laju kucapai iPhone dari saku beg galas ini. Kutekan nombor iPhone Marnie.
“Hello...” Laju pula Marnie menjawab panggilan ini.
“Assalamualaikum... Mar” sapaku.
“Waalaikumussalam” Salamku disambut.
Sorry mengganggu awak” tuturku kurang senang. Namun aku tidak mahu melambat-lambatkan perkara ini. Bimbang aku akan lupa.
“Eh...takdelah. Kenapa ye?” tanya Marnie.
“Esok saya nak ambil cuti sakit. Nak pergi klinik. Kalau ada orang cari saya tolong maklumkan ye” pintaku.
“Awak tak sihat? Demam?” tanya Marnie terkejut.
“Buku lali saya lebam, sakit bila nak jalan. Mungkin terkehel” ceritaku ringkas.
“Awak jatuh? Di mana?” tanya Marnie. Terbayang senyuman sinis Bella di mataku.
“Ya jatuh...tak serius pun” jelasku tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan. Aku tidak mahu memaklumkan kepada Marnie yang aku jatuh tersungkur di ruang lobi KDUT. Bimbang Marnie akan mengetehui cerita sebenar.
“Berat hati juga nak ambil cuti ni, banyak kerja yang nak disiapkan lagi” keluhku.
“Hey... awak ni pergilah berehat! Nak buat macam mana, sakit takde siapa-siapa minta” ujar Marnie meningkah bicaraku. Aku tergelak kecil. Memang semua orang berharap sentiasa sihat sejahtera sepanjang hayat.
 “Okey... awak berehatlah” arah Marnie sangat memahami keadaan.
“Terima kasih, Mar. Assalamualaikum” Kutamatkan perbualan ini. Suara Marnie tidak kedengaran lagi. Kuletakkan iPhone ini di atas tilam. Terhinjut-hinjut langkahku ke bilik mandi. Aku mahu menyegarkan diri dan berharap kesakitan ini cepat berkurangan.
Usai solat isyak, aku dan mak menikmati hidangan makan malam tanpa Aqel kerana dia berada di luar daerah atas urusan kerja. Aku dan mak tidak banyak berbual. Fokus pada hidangan malam. Masakan mak sentiasa menyelerakan.
“Sudah lama kita tak jumpa mak mertua kamu?” tutur mak mengenang Mak Long. Aku mengangguk. Bersetuju dengan bicara mak. Sejak kebelakangan ini persatuan naungan Mak Long kurang bergerak aktif. Salah satu sebab mak tidak dapat jumpa dengan Mak Long.
“Cubalah ambil masa sehari tidur di sana temankan mak mentua kamu. Kamupun jarang-jarang menjenguknya” komen mak. Aku memang jarang melawat Mak Long berbanding kekerapanku berkunjung ke rumah mak ini. Aku lebih selesa berada di rumah ini setiap kali Aqel ada kerja di luar daerah. Memang Aqel senang hati aku berada di sini. Tidak perlu bimbang kerana aku tidak bersendirian di rumah.
“Yalah mak...Lia akan cuba atur masa yang sesuai nanti” ujarku bersetuju. 
“Sejak kamu dan Aqel tak tinggal lagi di rumah ni, mak juga akan rasa sunyi macam tu” tutur mak beremosi. Kutatap wajah sugul mak. Mak nampak sedih. Tinggal sendirian di rumah besar ini memang sunyi. Mungkin kesunyian mak ini akan hilang apabila Izeq tidak tinggal di asrama lagi.
“Saya ajak Aqel pindah ke sini semula” saranku. Mak menjelingku.
“Jangan mengarutlah kamu. Aqel dah sediakan rumah lebih besar dan selesa untuk kamu” ujar mak mengingatkan aku. Aku mengeluh hampa.
“Mak boleh tinggal dengan kami” tegasku. Mak senyum lagi.
“Tak sampai hati nak tinggalkan rumah ni. Banyak kenangan mak dan arwah ayah kamu di sini” ujar mak menyentuh perasaanku. Kalau aku jadi mak, aku pun akan melakukan perkara yang sama. Tidak akan meninggalkan rumah yang pernah didiami bersama insan yang dikasihi dan dicintai. Kenangan yang sangat bernilai dan menyentuh jiwa. Di sinilah aku membesar bersama Izeq lambang penyatuan hidup mak dan arwah ayah.
“Tak payahlah sedih. Izeq akan tinggal bersama mak di rumah ni nanti” ujarku. Mak senyum. Izeq anak lelaki yang mempunyai lebih kuasa ke atas isteri selepas kahwin suatu hari nanti. Tanggungjawab Izeq menjaga mak. Izeq akan membina keluarganya di depan mak. Mudah-mudahan Izeq dipertemukan dengan jodoh yang baik dan juga menantu yang baik buat mak.
“Walaupun Lia dah jadi isteri, Lia ada jika mak perlukan Lia” ujarku tidak akan melepaskan tanggungjawab sebagai anak.
“Sudah cukup kamu datang menjenguk mak dan sekali-sekala tidur di sini. Mak faham situasi kamu sebagai isteri. Memang dah jadi tanggungjawab kamu lebih kepada suami” ujar mak mengerti tentang hakikat kehidupan seorang anak perempuan yang bergelar isteri.
“Mak suka kamu datang dan tidur di sini, tapi lain kali biarlah berlaku adil. Kamu kena biasakan diri dengan rumah mak mertua kamu. Kamu kena juga jaga hati Aqel dan mak mertua kamu” nasihat mak. Aku mengangguk. Setakat ini Aqel tidak pernah mempersoalkan kekerapanku bertandang dan tidur di rumah mak berbanding dengan rumah Mak Long. Namun aku juga tidak pernah menghalang Aqel tidur di situ tanpa aku. Kami saling memahami.
“Esok Lia ambil cuti, nak pergi klinik” ujarku memaklumkan perancangan esok kepada mak. Mak mengangguk.
“Baguslah. Nak mak temankan kamu?” tanya mak sekali lagi menawarkan kesudiannya hendak menemaniku ke klinik. Aku menggeleng. Tidak mahu menyusahkan mak.
“Takpe... Lia boleh pergi seorang” ujarku.
“Habis makan ni, kamu pergilah berehat. Biar mak yang kemas dapur dan cuci pinggan” ujar mak mahu mengambialih tugas rutinku setiap malam.
“Yang sakit buku lali bukan tangan. Lia boleh buat semua tulah mak” tingkahku tidak mahu mak melakukan semua kerja itu.
“Tak payah. Cepat habiskan nasi tu” tutur mak berkeras menolak permintaanku.
“Dah habis makan pergilah basuh tangan” arah mak. Aku mengangguk lantas bangkit dan melangkah ke sinki. Aku mencuci pinggan dan tangan.
“Tak payah cuci pinggan tu” tegah mak. Aku senyum. Sudah selesai membasuh pinggan ini lalu meletakkannya di rak pengeringan.
“Lia nak berehat di bilik sekarang” ujarku meminta diri. Mak mengangguk. Aku hanya mampu menatap mak dengan pandangan simpati dan rasa bersalah. Selalu sahaja menyusahkan mak.
“Jangan berjaga...terus tidur” pesan mak. Aku tersengih. Tidak berani memberi jaminan. Kalau hanya terbaring di atas katil dan berjaya mengosongkan fikiran pasti mudah sahaja hendak melelapkan mata. Aku merebahkan tubuh di atas tilam. Selesa. Kucapai iPhone yang masih berada di atas tilam di sebelahku. Beberapa kiriman informasi melalui kumpulan wa.... Tidak berminat aku hendak membaca. Kulepaskan iPhone dari tangan. Mula terasa bosan. Kuhidupkan lampu tidur lalu mematikan lampu yang menerangi bilik ini. Mata kupejamkan. Aku mahu tidur secepat mungkin.
Aku tersentak tatkala ada tangan menyentuh buku laliku. Mataku terbuka luas. Samar-samar aku nampak bayangan Aqel sedang duduk di birai katil. Tangannya mengusap lembut buku laliku. Bingkas aku bangkit dari perbaringan ini.
“Awak buat apa ni?” tanyaku. Segan dan kekok dengan perlakuan Aqel.
“Teruk buku lali awak ni. Lebam” suara Aqel sayup-sayup. Terang mata Aqel.
“Esok saya pergi klinik. Saya ambil cuti” jelasku mengambil kesempatan memaklumkan perkara itu kepada Aqel. Aqel menatapku. Dalam cahaya samar-samar ini jelas kelihatan wajah Aqel.
“Saya temankan awak” ujarnya. Aku menggeleng.
“Tak perlu. Saya boleh pergi sendiri” jelasku. Kedengaran keluhan Aqel.
“Awak orang penting KDUT yang sentiasa sibuk. Saya tak nak menambah kesibukan awak” ujarku tidak mahu Aqel ambil hati atas penolakanku ini. Aku sangat memahami rutin harian Aqel.
“Macam mana boleh jatuh ni? Awak jatuh di mana?” tanya Aqel mahu penjelasan lanjut. Aku terkedu. Buntu. Tidak tahu hendak menjawab pertanyaan ini. Sungguh membingungkan. Aqel masih menanti jawapanku.
“Jatuh di tempat kerja atas kecuaian saya sendiri” lambat-lambat aku menjawab. Kupandang Aqel. Tidak dapat mengagak sama ada Aqel mempercayai kata-kataku ini. Kedengaran keluhan kecil Aqel.
“Betul kamu boleh pergi sendiri?” tanya Aqel meminta kepastian.
“Ya... Awak tak payah risau” ujarku.
“Okeylah...” sahut Aqel. Lega. Mujur Aqel tidak berkeras mahu menemaniku ke klinik. Tiba-tiba sahaja Aqel merangkak naik ke atas katil. Lalu berbaring di sebelahku. Aku terkebil-kebil menatap Aqel. Perlakuannya di luar dugaanku.
“Boleh saya berbaring di sebelah awak sekejap?” tanyanya sambil tersenyum. Aku terdiam. Mataku masih menatap Aqel. Pemuda ini bagai biskut chipmore. Sekejap muncul sekejap hilang. Namun yang pasti Aqel akan muncul ketika aku ditimpa musibah.
“Huh...letih sangat. Selesa juga berbaring di sini” ujarnya tersenyum sendiri sambil menatap siling. Sentiasa kelihatan tenang. Pandai sungguh Aqel menyembunyikan masalah hidupnya.
“Awak tak nak baring? Tidurlah dan dapatkan rehat yang cukup” arahnya dan mula memejamkan mata. Senyap. Mudah sahaja Aqel tidur. Nampak dia sangat letih. Kupandang Aqel. Perasaan simpati terhadapnya masih belum terhakis. Lelaki sebaik Aqel tiada ketenangan. Patutkah aku menyalahkan Pak Long yang mencipta kesukaran buat Aqel? Haruskah aku bertegas kepada Aqel agar melupakan Flora? Serba salah aku jadinya. Betulkah Pak Long yang membuatkan cinta Flora beralih daripada Aqel? Aku keliru dan tertanya-tanya. Namun hatiku mengatakan kisah cinta Aqel sedemikian. Kedengaran dengkuran Aqel. Kurenung wajah tampan anak muda Mak Long ini. Dalam tidur pun dia masih nampak tampan. Sedihnya... jiwa Aqel tidak tenteram. Semoga kesukaran yang Aqel lalui ini cepat sirna. Aku merebahkan tubuh ke atas tilam lalu memalingkan muka ke arah Aqel yang sudah terlena. Lama kupandang wajah Aqel.
“Semoga awak bahagia...dan...cepat melupakan Flora” suara hatiku berbisik menitip doa buat Aqel. Perlahan-lahan aku melepaskan keluhan kecil. Aku memejamkan mata mahu mengiringi lena Aqel.

Setelah mendapatkan rawatan di klinik, aku tidak terus balik ke rumah. Sebaliknya mengubah haluan destinasiku memandangkan buku lali ini sudah mendapat rawatan daripada doktor pakar yang telah Aqel aturkan temu janjinya. Aku yakin sedikit masa lagi kecederaan ini akan sembuh. Kuparkir kereta di halaman letak kereta. Aku mahu menghabiskan kerja-kerja pejabat yang kutinggalkan semalam seberapa banyak yang termampu. Aku menarik nafas dalam-dalam lantas menolak daun pintu kereta. Berhati-hati aku melangkah keluar. Cuba mengimbangi rasa sakit ini. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menghala ke arah pintu utama bangunan KDUT.
“Hey..., perempuan! Jalan tak larat macam tu awak masih nak datang sini!”  tengking suara itu garang dan sarat dengan kemarahan dan dendam. Langkahkku mati. Aku sangat mengenali suara perempuan itu. Aku melangkah setapak lagi. Tidak mahu mempedulikannya. Tidak pernah mengharapkan Bella akan melayanku dengan baik.
“Berhenti...!!!” bentak Bella garang. Aku masih mahu meneruskan langkahku. Tidak akan patuh pada arahan gadis itu. Manusia yang tidak tahu bersopan dan beradap tidak harus mendapat layanan yang baik. Aku sudah tiada kekuatan hendak bersabar dengan sikap bongkaknya itu. Kedengaran langkah Bella mengejarku. Aku tidak mampu bergerak pantas hendak meninggalkannya. Kecederaan buku lali ini menghalang ketangkasan pergerakanku.
“Hey...hey...awak dengar tak!” Tubuhku terpaling. Tangan kasar Bella menarik tanganku. Hampir-hampir aku tersungkur kerana perbuatannya ini. Tajam mataku menatapnya.
“Awak ni memang tak tahu malukan. Kalau saya jadi awak, saya takkan jejakkan kaki ke sini lagi” lirih suara Bella memperliku. Buat apa aku hendak malu, aku tidak buat salah pun. Kedatanganku ke KDUT pun atas undangan syarikat tersebut.
“Dah ada suami tapi masih ada hati pada lelaki lain. Perempuan curang” tuduhnya pula. Aku menulikan telinga. Tidak mahu cepat melatah. Aku tersenyum.
“Kenapa senyum-senyum!” bentak Bella garang. Aku melebarkan senyuman.
“Kasihan awak” ujarku menambah bahang hatinya.
“Hush...kasihan?” Bella mendengus. Tidak suka mendengar bicaraku.
“Saya simpati pada awak. Sampai sekarang awak masih tak mampu berada di hati Haqem” Aku tersenyum sinis. Bella mengetap bibir menahan gelodak perasaannya.
“Sungguh saya simpati pada awak” Aku tersenyum.
“Berani awak...” Laju tanganku menangkap tangan kasar Bella sebelum sempat singgah di pipiku. Tidak sesekali aku akan biarkan dia menyentuhku sesuka hati.
“Awak perlu belajar nak memiliki hati Haqem. Nak saya ajar awak tawan hatinya?” tanyaku menyemarakkan kemarahan Bella. Bella mendengus kasar. Sengaja mahu menambah kemurkaan dirinya.
“Kalaupun awak nak ... rasanya dah terlambat. Haqem kekasih yang setia, takkan mudah  mengalih cinta pada perempuan lain. Oh...kasihannya awak!” Aku tersenyum sendiri.
“Awak...” Kutangkap tangan Bella kali kedua lalu kugenggam kuat.
“Aduh...lepaskan tangan saya!” bentaknya cuba melepaskan diri. Kupandang serius wajahnya. Cepat sahaja tangannya hendak mencederakan orang lain.
“Saya takkan biarkan awak sakiti saya lagi” tegasku memberi peringatan. Kulepaskan tangan Bella. Lantas aku memaling tubuhku mahu meneruskan langkahku.
“Aqel...” Aku tersentak. Hampir-hampir sahaja aku melanggar tubuh Aqel yang sedang terpacak di depanku kini. Tanpa bersuara Aqel terus mencapai tanganku lalu menggenggamnya erat. Aku terkedu. Tahu-tahu Aqel sudah memimpin tanganku beredar dari situ.
“Saya hantar awak balik sekarang” Kali ini baru Aqel bersuara. Tanganku masih berada dalam genggaman tangannya. Aqel menguak pintu kereta lalu meleraikan tautan tangan kami.
“Masuk...” arahnya. Aku patuh sahaja. Lantas duduk di kerusi penumpang ini. Enjin kereta dihidupkan. Kereta dipandu meninggalkan perkarangan KDUT. Aku membisu seribu bahasa. Sesekali melirik ke arah Aqel yang berdiam panjang. Tatkala aku terjaga subuh tadi, Aqel sudah tiada di sebelahku. Aku tidak menjangka akan bertemu dengan Aqel sekarang kerana aku mengandaikan dia kembali ke luar daerah. Sunyi sepi. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Aqel. Terasa janggal keadaan ini.
“Biar saja kereta Waja itu berada di laman parkir KDUT. Tak perlu risau kereta itu akan selamat” jelas Aqel sebelum sempat aku mengutarakan pertanyaan tentang kereta Waja yang ditinggalkan di laman parkir sekali gus memecah suasana sunyi sepi ini. Aku mengangguk. Teringat pada kejadian motorku yang pernah diangkat masuk ke dalam stor. Pada hari itu aku tidak dapat mengawal emosi lalu memarahi Aqel kerana menyangka motor itu telah dicuri. Kemudian aku bersusah payah memohon maaf kepada Aqel. Tersentuh dengan tindakan Aqel yang mengarah pengawal keselamatan KDUT menyimpan motor itu di dalam stor. Mahu keselamatan motor cabuk kesayanganku itu terjamin.
Senyap kembali. Aku melirik ke arah Aqel. Pasti Aqel telah mengikuti perbualanku dengan Bella tadi. Aqel telah mendengar semuanya. Perlukah aku memberi penjelasan agar Aqel tidak salah faham? Adakah penjelasan ini akan memberi makna kepada Aqel? Kereta memasuki perkarangan banglo milik Aqel. Aku tidak dihantar balik ke rumah mak. Aqel mendahuluiku keluar dari kereta ini lalu membuka pintu kereta untukku. Dia tidak bercakap apa-apa. Hanya memandangku sekilas lalu meninggalkan aku di situ. Perlahan-lahan aku mengatur langkah mengekori langkah Aqel ke muka pintu. Belum sampai langkah Aqel berhenti di depan pintu, tiba-tiba sahaja langkah Aqel mati. Laju Aqel berpaling ke arahku. Pandanganku dengan Aqel bersatu.
“Keyakinan kita sama... Haqem memang kekasih yang setia, takkan mudah mengalih cinta pada perempuan lain” ujar Aqel mengulangi kata-kata yang keluar dari mulutku tadi. Aku terkedu. Aqel kelihatan tenang. Renungan mata Aqel buat aku serba salah.
“Boleh tak awak lupakan Haqem dan minta Haqem lepaskan awak buat selama-lamanya” pinta Aqel. Aku tergamam. Sungguh tidak menduga bicara ini akan keluar dari mulut Aqel.
“Saya sungguh cemburu pada Haqem sebab dia menjadi cinta pertama awak” ujar Aqel tersenyum. Kemudian berpaling lantas menyambung langkahnya. Aku masih berdiri di situ memerhatikan langkah Aqel sehinggalah kelibatnya hilang di sebalik pintu.


“Saya ada jumpa dengan Profesor Kang Maru” cerita Aqel memulakan cerita pada pertemuan ini. Aku terselit antara tiga orang sahabat lama ini.
“Betulkah awak jumpa dia? Wow...bestnya!” sahut Rania teruja. Aqel mengangguk sambil tersenyum. Begitu juga Haqem tersenyum. Ternyata mereka berkongsi pengetahuan tentang lelaki itu. Hanya aku sahaja yang tidak mengenali siapa gerangan Profesor Kang Maru. Mungkin juga lelaki itu pensyarah mereka. Setahuku Aqel, Haqem dan Rania pernah belajar di universiti yang sama suatu waktu dahulu.
“Agaknya sampai tak jodohnya dengan Intan Zulaikha?” tanya Rania dengan mata yang bercahaya. Laju Aqel menggeleng. Besar anak mata Rania menatap Aqel. Tidak gembira menerima perkhabaran itu.
“Saya jumpa dia dengan perempuan Korea. Rasanya wifenya” jelas Aqel.
“Dia tak perkenalkan perempuan itu pada awak?” Haqem mula bersuara.
“Tak sempat... Saya mengejar masa dan hanya sempat bertanya khabar. Jumpa mereka pun di airport. Mereka nak honeymoon di Itali” cerita Aqel memberi sedikit informasi berkaitan lelaki itu. Haqem tersenyum.
“Wah... bestnya!” Rania semakin teruja.
“Apa khabar agaknya Intan Zulaikha? Di mana dia sekarang? Kenapa dia berpisah dengan Profesor Kang Maru? Cinta merekakan terlalu utuh” ujar Rania tidak puas hati.
“Soal jodoh adalah ketentuan Allah” sampuk Haqem sambil memandang ke arahku. Aku terdiam. Pandangan mata Haqem buat aku tidak selesa. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Kebetulan Aqel sedang menatapku. Rania pula sedang memandang Aqel. Semua terasa dengan bicara Haqem.
“Saya ambil makanan untuk awak. Awak nak makan apa?” suaraku memecah kesepian setelah lama mendiamkan diri. Pandanganku terikat pada Aqel.
“Takkan dah kahwin masih belum mengetahui cita rasa suami” lirih suara Rania mengutukku. Aku senyum. Kulihat Aqel juga tersenyum. Lantas aku bangun meninggalkan mereka. Tidak mahu menunggu jawapan Aqel lagi. Bukan susah pun hendak memenuhi selera Aqel. Pelbagai menu sedap terhidang di atas meja. Semuanya menyelerakan. Setahuku Aqel boleh makan apa sahaja makanan yang dihidangkan untuknya. Melilau mataku menatap makanan sambil menyimpan nasi di dalam pinggan. Aku masih membuat pilihan. Akhirnya, kucapai isi ketam masak pedas dengan daging cincang lada hitam. Hidangan istimewa untuk Aqel yang mampu membangkitkan seleranya.
“Saya percaya awak akan berselera dengan makanan pilihan saya. Silalah makan” jemputku sambil tersenyum lebar. Bangga dengan makanan pilihanku. Memang pilihan yang terbaik. Tidak bolehlah Rania memperkecilkan aku sesuka hatinya.
“Awak bagi Aqel makan makanan macam ni?” Laju tangan Rania merampas pinggan di depanku lalu meletakkannya di tepi meja. Aku terpana. Tindakan Rania mengejutkan aku. Matanya besar menatapku.
“Kenapa? Awak tak boleh makan ketam atau daging?” tanyaku terkejut. Rania tersenyum sinis. Aqel dan Haqem masih berdiam diri dan hanya jadi pemerhati.
“Awak nak bunuh Aqel?” keras suara Rania menegurku. Aku terkedu. Kupandang Aqel.
“Awak tak boleh makan ketam?” Aku meminta kepastian daripada Aqel. Perkara ini tidak kuketahui.
“Alergik...” sahut Aqel. Aku melepaskan keluhan.
Sorry...” ujarku rasa bersalah. Kesal.
“Macam mana ni dah jadi isterinya pun awak masih tak tahu tentang perkara ni” rungut Rania membidasku. Terasa mukaku panas membahang. Aku terasa dengan bicara  Rania. Sungguh cetek pengetahuanku tentang Aqel berbanding dengan Rania.
“Takpe...saya makan saja makanan yang awak ambil ni” ujar Aqel seraya mengambil pinggan itu. Dia tersenyum.
“Jangan...” tegahku.
“Aqel...” suara Rania melarang hampir serentak dengan tegahanku.
“Biar saya ambil makanan lain untuk awak” ujarku lantas bangun. Namun laju tangan Aqel memegang tanganku. Mahu menghalangku pergi.
“Tak payah... Duduk sekarang” pinta Aqel mengarah aku duduk. Kupandang Aqel. Aqel menganggukkan kepala.
“Kalau awak ambil makanan lain belum tentu awak tahu apa yang Aqel boleh makan dan tak boleh makan” ujar Rania sinis mempertikaikan tindakanku. Aku mengangguk.
“Ya...saya tak tahu” ujarku mengakui kebenaran kata-kata Rania dengan perasaan terkilan. Aqel tenang sahaja. Haqem menatapku dengan pandangan simpati.
“Biar saya ambil makanan untuk awak” ujar Rania lalu bangkit dari kerusi. Rania bergerak ke bahagian hidangan. Aqel tidak membantah. Sebaliknya dia menanti Rania datang membawa makanan untuknya. Aku memandang sayu makanan yang kuambil tadi masih di tepi meja ini. Baru aku tahu Aqel tidak boleh makan ketam. Seingatku memang aku tidak pernah memasak ketam untuk Aqel.
“Biar saya saja yang makan nasi ni. Saya memang suka sangat makan ketam” suara Haqem memecah kesepian. Lantas tangan Haqem mencapai pinggan itu.
“Silakan...saya pun tak suka membazir” ujar Aqel mempersilakan Haqem. Laju sahaja Haqem memulakan suapannya. Nampak berselera Haqem menikmati nasi dan lauk-pauk pilihanku itu. Aqel memandangku.
“Awak pun makanlah... tak payah tunggu saya” arah Aqel. Haqem mengangguk dan tersenyum kepadaku. Dia menyokong arahan Aqel itu.
“Makan banyak-banyak. Awak dah semakin kurus” komen Haqem. Aku tersenyum sekilas. Kemudian memulakan suapan pertamaku. Menu yang kunikmati sama seperti yang Haqem sedang makan.
“Nampaknya kamu punya selera sama” komen Rania sambil menatapku dengan Haqem silih berganti. Haqem tersenyum. Aku juga tersenyum. Pilihan sendiri mestilah aku menyukainya. Set daging panggang dan jejari kentang goreng serta sesudu salad diletak di depan Aqel. Aku menjeling set makanan pilihan Rania itu. Tidak kena dengan seleraku. Namun berbeza dengan Aqel. Dia berselera menikmati set makanan barat  untuk hidangan tengah hari ini.
“Jumpa esok...” ujar Aqel lalu bangkit dari kerusi. Bingkas aku bangun mengiringi Aqel. Singgah di kaunter pembayaran melangsaikan harga hidangan tengah hari ini. Aku melangkah ke pintu lantas menanti Aqel di sini.
“Mari...” ajak Aqel. Aku melangkah seiring langkah Aqel meninggalkan restoran itu. Rania balik bersama Haqem. Aku memasang tali pinggang. Enjin kereta dihidupkan. Aqel berpaling ke arahku. Terasa dia sedang memerhatikanku. Aku berpaling menatap Aqel.
“Kenapa?” tanyaku. Rasa kurang senang dengan pandangan mata Aqel. Dia tersenyum sendiri. Lantas memandu keretanya balik ke rumah. Sepanjang perjalanan ini aku dan Aqel hanya mendiamkan diri. Tiada perkara yang hendak dibicarakan. Sebaik sahaja kereta berhenti dan enjin dimatikan, aku mendahului langkah Aqel masuk ke rumah.
“Awak nak pergi mana?” suara Aqel melontar pertanyaan. Langkahku mati di anak tangga. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Nak berehat di bilik” jelasku merasa pelik dengan pertanyaan Aqel.
“Pergilah berehat. Jangan lupa masak nanti” pesan Aqel. Besar mataku menatap Aqel.
“Awakkan baru lepas makan, takkan nak makan lagi?” tanyaku bingung. Aqel tersenyum lebar. Senyuman terkandung hajat tersembunyi.
“Saya belum kenyang lagi” sahutnya tersengih. Aku mendengus. Geram mendengar jawapannya. Bicara yang ada makna.
“Itulah nak berlagak. Siapa suruh makan daging dan kentang saja. Awak ingat perut awak tu perut orang puteh” omelku geram. Aqel tergelak. Suka melihat aku berang.
“Apapun awak wajib masak kejap lagi” arah Aqel tidak mahu bertolak-ansur. Aku mengetap bibir. Lantas menyeru diri agar bersabar banyak-banyak. Kutip pahala berbakti pada suami.
“Dengar tak?” tanya Aqel.
“Dengar...” balasku lalu meneruskan langkah mendaki anak tangga meninggalkan Aqel tercengat di situ. Usai menukar pakaian, aku terus ke dapur mahu menjalankan misi resipi yang paling mudah. Tidak sempat hendak berbaring-baring di katil. Aku memilih menu yang paling ringkas. Hampir sejam kemudian, nasi, sup kentang dengan telur serta ikan dan daging goreng sudah terhidang di atas meja. Aku melangkah ke ruang tamu. Kelihatan Aqel sedang terbaring di atas sofa dengan senang-lenang persis raja.
“Tuanku... putera raja...santapan dah terhidang untuk dijamah” jemputku. Aqel tersenyum lebar lantas bangkit dari perbaringan. Seronok dirinya dipanggil sedemikan. Aku tersentak tatkala tangan Aqel mendarat di bahuku. Laju aku menepisnya. Tangan Aqel masih berada di bahuku.
“Alihkan tangan awak” arahku. Aqel langsung tidak mengendahkan arahanku. Dia tersenyum. Suka dengan tindakannya itu.
“Mari kita makan sama-sama” ajaknya sambil memaksa aku melangkah bersamanya. Aku mendengus. Tangan Aqel masih kemas di bahuku. Aku mengalah dan menurut sahaja langkah Aqel. Di meja makan ini aku menolak tangan Aqel. Kali ini dia tidak berkeras.
“Awak makan kenyang-kenyang supaya saya tak payah masak tengah malam nanti” ujarku mengutuknya. Aqel mempamer wajah bersahaja. Fokus pada hidangan di depannya. Dia begitu berselera makan.
“Saiz kantung perut awak xxxl ke?” tanyaku memperlinya. Makan beberapa kali masih belum kenyang. Aku memerhatikan Aqel makan.
“Awak tak nak makan?” Aku menggeleng.
“Kenyang lagi. Saya makan nasi. Bukan macam awak makan stik daging dan ubi kentang. Mana boleh kenyang makanan macam tu” kutukku tersenyum sinis memerli Aqel. Aqel menatapku.
“Awak terkilan dengan tindakan Rania tadi?” tanya Aqel. Aku tersentak.
“Bicaranya menyakitkan hati” ujarku jujur tidak berselindung.
“Nur Dahlia binti Sallehudin...Tak payah susah hati. Saya menyukai awak melebihi awak menyukai saya” ujar Aqel tersenyum. Besar mataku menatap Aqel. Aku terlopong. Aqel tidak pernah menyembunyikan perasaannya lagi.