Monday, 24 August 2015

NamaKu Bukan Flora...77



BAB 77

 “Haqem takkan mengalah. Dia tak pernah berputus asa. Dia tak pernah melupakan gadis itu. Saya tak boleh tunggu lama awak dan Haqem nak bernikah” luah Datin Sofen tidak senang.
“Apa yang perlu kita lakukan mama?” tanya Bella buntu.
“Kalau cara kekerasan ini tak buat Haqem berputus asa, kita buat pula cara lembut. Kita ubah teknik serangan kita” ujar Datin Sofea tersenyum sendiri. Di matanya terbayang wajah Aqel. Dia yakin Aqel tidak akan melepaskan gadis itu. Dia nampak sendiri kemesraan yang sudah terjalin antara mereka. Malahan tindakan Aqel sentiasa melindungi gadis itu menguatkan keyakinan dan kepercayaannya bahawa pemuda itu tidak akan mengalah kepada Haqem. Terasa akan wujud persaingan yang menarik.
“Maksud mama?” Bella semakin tertarik dengan buah fikiran Datin Sofea.
“Kita akan gunakan Lia. Sudah pasti Aqel takkan berdiam diri. Dalam masa yang sama Haqem juga takkan mengalah. Dia akan gunakan budak itu untuk dapatkan cintanya balik” ujar Datin Sofea tersenyum panjang.
“Gunakan budak itu akan melemahkan Lia. Lia akan dipaksa membuat pilihan. Maka keputusan drastik akan diambil” tambah Datin Sofea tersenyum-senyum sendiri.
“Saya kurang faham. Mama yakin cara ini boleh memberi manfaat kepada kita? Bagaimana kalau Aqel lepaskan Lia untuk hidup bersama Haqem?” ujar Bella mengutarakan persoalan. Bimbang Aqel akan bertindak seperti yang difikirkannya. Datin Sofea tergelak. Dia geleng-geleng kepala. Yakin sepenuh pada kata hatinya.
“Aqel takkan begitu mudah melepaskan Lia. Keluarga takkan biarkan mereka berpisah. Haqem hanya akan mengalah jika Lia sendiri yang menolak kehadirannya” ujar Datin Sofea lebih jelas. Dia akan memberikan tekanan demi tekanan kepada gadis itu. Lia harus mengambil keputusan mukatamad. Keputusan yang tidak akan berpihak kepada Haqem. Ini sahaja cara yang membuatkan Haqem patah hati pada cinta pertamanya. Semua ini akan dilakukan secara senyap.
“Yakinlah...Haqem dengan rela hati akan datang pada kita. Awak dan Haqem akan hidup bersama akhirnya...” ujar Datin Sofea tersenyum lebar membayangkan ketibaan hari tersebut. Hari kemenangan menyatukan Haqem dengan Bella. Bella turut tersenyum gembira. Persis Haqem telah menjadi milik mutlaknya. Rasa tidak sabar menanti detik itu.
“Boleh saya tanya mama sesuatu?” ujar Bella meminta keizinan. Bimbang membangkitkan kemarahan mahupun rasa kurang senang Datin Sofea.
“Ya... tanyalah” arah Datin Sofea. Senang hatinya kerana ada agenda baru yang mahu dilaksanakan. Serangan halus yang dirasakannya lebih berkesan.
“Mama dah buka sampul yang Idlan serahkan tempoh hari? Maksud saya... mama dah baca kad-kad yang arwah Kak Har tulis untuk mama” tanya Bella lebih memperincikan bicaranya. Senyap. Datin Sofea melontar pandangan jauh-jauh. Sampul itu masih tersimpan di dalam laci. Statik di situ.
“Saya hanya akan baca setelah Haqem bersedia menjadi suami kamu” ujar Datin Sofea nekad dengan kedegilannya. Bella terdiam. Terpegun dirinya melihat keteguhan hati perempuan ini.
“Mama tak kisah Haqem dan Aqel akan bermusuhan? Merekakan kawan baik sejak sekian lama” Bella melontar pertanyaan lagi. Datin Sofea melepaskan keluhan.
“Kalau kamu nak berjaya tak usah fikirkan hal lain. Lakukan saja perkara yang nak kamu capai” tegas Datin Sofea. Padanya motif yang hendak dicapai didahulukan tanpa mempertimbangkan perkara yang lain.
“Dan kamu harus ingat... lelaki boleh jatuh tersungkur kerana perempuan” tutur Datin Sofea memberi peringatan kepada Bella betapa hebatnya seorang perempuan. Motivsi buat gadis ini. Bella mengangguk-angguk faham. Satu nekad tersemat dalam hatinya. Dia mahu Haqem menjadi milik mutlaknya.
“Mama tak kisah kalau Haqem terluka dan kecewa sangat?” tanya Bella mahu mengetahui isi hati Datin Sofea. Haqem satu-satunya anak yang Datin Sofea ada di muka bumi ini setelah Harianie meninggal dunia. Datin Sofea tersenyum lebar.
“Itu yang kita harapkan berlaku pada Haqem. Keadaan ini akan memudahkan kita membuat keputusan untuk dirinya” ujar Datin Sofea.
“Oh...dah tak sabar saya nak tengok kamu dan Haqem bernikah” luah Datin Sofea tersenyum membayangkan detik itu. Bella turut tersenyum. Restu Datin Sofea sentiasa mengiringinya. Hatinya berbunga riang.

“Tunggu saya di sini. Kita balik sama nanti” pesan Aqel. Laju aku menggeleng.
“Tak nak. Saya nak balik sendiri” balasku berdegil. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Penantian itu satu penyeksaan. Aku bosan menanti kemunculan Aqel sedangkan dia bahagia memadu kasih asmara bersama Rania. Oh... tidak sanggup aku hendak menunggunya lagi!
“Geez...” Mendesis keluar dari mulut Aqel. Geram. Aku tersenyum.
“Kalau lebih sejam awak tak muncul, saya akan balik sendiri” ujarku memberi amaran. Aqel menatapku dengan wajah bersahaja membangkitkan rasa geramku.
“Kalau awak tak muncul tepat pada masanya, biar saya yang hantar Lia balik” suara lelaki mencelah di belakang kami. Aku dan Aqel serentak berpaling. Haqem tersenyum.
“Boleh juga” sahutku laju. Aku tersengih menatap Aqel. Sudah ada sukarelawan yang mahu menghantar aku balik. Tidak perlu menunggu Aqel lama-lama lagi.
“Habis waktu kerja nanti, boleh saya pinjam Lia?” tanya Haqem memohon keizinan Aqel. Aku mencebik. Tidak suka dengan perkataan pinjam itu. Persis barang pula hendak dipinjam-pinjam.
“Nak pergi mana?” laju aku bertanya. Aqel masih menyimpan suaranya.
“Idlan nak jumpa awak nanti” jelas Haqem. Aku tersenyum. Rindu kepada Idlan. Haqem menatap Aqel. Mahukan jawapan segera daripada Aqel.
“Awak tanya tuan punya badan sendiri” arah Aqel meminta aku yang membuat keputusan sendiri. Haqem dan Aqel menatapku. Aku tersenyum lebar. Kalau berkaitan Idlan pasti aku tidak akan menolaknya. Seronok menghabiskan masa bersama Idlan.
“Boleh... Saya tunggu awak di sini balik nanti” jawabku pantas. Haqem tersenyum. Aqel tetap dengan wajah kosongnya. Terasa rindu pula kepada Idlan. Sudah lama tidak bersua muka dengannya. Pasti banyak cerita yang akan disampaikannya kepadaku.
“Awak tak ikut sama?” tanya Haqem. Aqel menggeleng.
Sorry... saya tak berapa pandai nak layan budak. Rasanya Idlan takkan gembira tengok saya” tutur Aqel cepat membuat andaian sendiri. Aku mencebik ke arah Aqel. Alasan.
“Dia suka awaklah” tingkahku membetulkan tanggapan Aqel. Idlan dan Aqel berkongsi minat yang sama. Mereka boleh berbual panjang tentang buku kegemaran masing-masing.
“Cukuplah mamanya seorang yang datang menemani” balas Aqel tersenyum sinis kepadaku. Kuhadiahkan jelingan tajam kepada Aqel. Persis sangsi dengan kemampuanku memainkan peranana ibu kepada Idlan. Rasa tercabar. Aku akan jadi ibu yanng terbaik buat Idlan.
“Berbanding orang lain, awak lebih diperlukannya” tutur Haqem menyokong bicara Aqel. Aqel mengangkat keningnya kepadaku. Aku tersenyum lebar. Bangga.
“Haqem hantar awak balik nanti” putus Aqel mengubah perancangan awal. Aku mengangguk. Sudah tidak sabar-sabar hendak jumpa Idlan.
“Jumpa awak nanti” ujar Haqem lalu meneruskan hala tujunya. Aqel tanpa sebarang kata meneruskan langkahnya. Aku terus ke bilik operasi dan memulakan tugas harianku. Kemudian bergerak ke bilik penyimpanan kostum mahu mempastikan kostum-kostum dalam keadaan yang baik. Esok perlu ke CNF mendapatkan tandatangan Puan Rosie. Ada kesempatan berjumpa dengan Nana. Bolehlah makan tengah hari dengan Nana esok. Boleh jumpa kawan-kawan lama di CNF. Seronok.
iPhoneku berdering kuat. Aku tersentak. Namun tidak terus kuangkat. Sebaliknya menghantar lirikan mataku pada dada skrin. Nama Aqel terpamer di situ. Timbul rasa hairanku. Terlalu awal Aqel menghubungiku. Jarang dia akan berbuat demikian. Kucapai iPhone di atas meja ini. Lantas menekan punat panggilan diterima.
“Assalamualaikum... Apa hal?” tanyaku tidak mahu membuang masa terus pada tujuan panggilan ini. Kedengaran suara Aqel menyahut salamku.
“Awak di mana sekarang?” tanya Aqel. Berkerut dahiku ditanya sedemikian. Pelik. Pagi tadi kami sama-sama masuk kerja. Mustahil begitu cepat Aqel lupa. Baru sahaja beberapa jam berlalu. Aqel belum cukup umur hendak memasuki fasa nyanyok.
“Kat officelah” jawabku janggal. Aqel tidak memberi tindak balas.
“Awak ingat saya ponteng kerja?” dugaku sinis.
“Taklah... saja nak tahu” balasnya bersahaja.
“Geez...” Aku mendengus. Sudah dijangkiti tabiat Aqel. Geram mendengar nada suara Aqel. Turut terbayang wajah bersahajanya tika ini. Reaksi wajah yang menyakiti hati.
“Masih ada mata yang perhatikan awak di sana?” suara Aqel berbisik seram di telingaku.
“Aqel...!!!” Aku menjerit. Kedengaran suara tawa Aqel.
“Awak jangan nak takutkan saya. Saya mogok tak kerja nanti baru awak tau” gertakku.
“Awak tak bersendirian di situ. Tak payahlah takut” tambah Aqel menguji keberanianku. Liar anak mataku memandang sekeliling. Terasa kecut hatiku. Aqel telah membangkitkan rasa takut dalam diri ini. Apatah lagi bersendirian di bilik ini. Anak mataku melirik-lirik ke kiri ke kanan. Kata-kata Aqel telah mengacau-bilaukan ketenteramanku.
“Awak nikan... pandai sangat takutkan orang” rungutku geram. Aqel tergelak.
“Bukan nak takutkan awak...cuma nak ingatkan di sekeliling kita ni ada orang lain walaupun tak nampak dengan mata kasar” tambah suara Aqel berbisik perlahan. Sengaja mahu menghidupkan suasana seram. Aku mengetap bibir menahan geram. Kalau Aqel berada di depanku saat ini mahu aku cekik-cekik sahaja dirinya itu. Suka sangat takutkan orang.
“Awak nak dengan satu cerita tak?” tanya Aqel.
“Cerita apa?” tingkahku laju. Terasa berdebar-debar.
“Cerita bilik tempat awak sekarang dan bilik penyimpanan kostum tu. Ada sejarah hitamnya tu...Dulu...” jelas Aqel menambah rasa takutku.
“Tak payah cerita...” halangku memintas laju suara Aqel. Kedengaran gelak Aqel.
“Kalau awak takut seorang-seorang di sana, mari datang sini” arah Aqel.
“Atau berat hati nak tinggalkan kawan-kawan di sana” ujar Aqel menambah-nambah rasa takutku. Menerpalah cerita-cerita seram yang pernah aku tonton selama ini di benakku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba bertahan. Aqel sengaja mahu menguji keberaniaanku. Bertenang. Prannngggg...! Aku tersentak lantas berdiri tegak. Bunyi barang jatuh dari bilik penyimpanan kostum.
“Saya datang bilik awak sekarang...” ujarku lalu memutuskan talian tanpa sempat Aqel bersuara lagi. Bergegas aku melangkah ke pintu. Lampu tidak dimatikan dan daun pintu terus dikunci. Kalau benar ada makhluk lain dekat denganku sekarang, silalah pergi jauh-jauh. Jangan ganggu aku kerana aku tidak akan ganggu kalian. Aqel tersenyum-senyum menyambut kedatanganku. Persis sedang meraikan kemenangan setelah berjaya menakutkan aku.
“Duduk di situ” arahnya sambil menunding jari pada meja dan kerusi yang bertentangan dengan tempat duduknya di tepi sudut bilik ini. Aku patuh sambil menjelingnya tajam. Sakit hati sebab Aqel telah mengganggu ketenteramanku. Kulabuhkan duduk di kerusi ini sambil melontar pandangan keluar menembusi dinding kaca ini.
“Wah..., cantiknya pemandangan di sini!” ujarku kagum. Patutlah Aqel suka berdiri lama menghadap dinding kaca ini. Kelihatan bunga-bunga yang berwarna-warni sedang mekar. Barangkali persis inilah lanskap Taman Babylon iaitu taman tergantung di udara suatu waktu dahulu. Di belakang taman ini lautan terbentang luas. Air laut yang membiru menambah kedamaian. Tidak sangka bangunan mewah yang gah ini dibina berlanskapkan pemandangan yang sangat indah. Selama ini aku tidak menyedarinya. Lama aku menikmati keindahan ciptaan yang Maha Esa ini.
“Jangan tidur...” suara Aqel menegur memintas kelekaanku menikmati pemandangan indah di sebalik dinding kaca ini. Aku mendengus lantas berpaling ke arah Aqel.
“Saya tak tidur pun...” tingkahku.
“Letaklah di mana-mana awak boleh tidur” kutuk Aqel tersenyum sinis.
“Geez...” Aku menjeling Aqel. Aqel tersenyum sendiri. Kualih pandangan keluar semula. Belum puas menikmati pemandangan tadi.
“Taman bunga Babylon tu siapa punya?” pertanyaan kulontar kepada Aqel.
“Taman bunga Babylon?” Dahi Aqel berkerut. Aqel melontar pandangan keluar.
“Oh... taman tu. Sayalah pemiliknya” sahut Aqel bangga. Aku mencebik.
“Kaya awak...” sinis suaraku.
“Saya memang kaya” sahut Aqel angkuh. Aku mencebik.
“Awak bangga?” tanya Aqel.
“Bangga?” Berkerut dahiku. Apa kaitan denganku pula? Dia yang kaya-raya bukan aku.
“Sebab ada suami yang kaya dan tampa seperti saya” tutur Aqel tersenyum-senyum.
“OMG...” Aku mencebik ke arah Aqel. Aqel tergelak lagi.
“Cantik tak?” tanya Aqel. Pujian untuk apa?
“Apa yang cantik” tanyaku kurang faham.
“Lanskap di luar tulah. Takkan saya nak puji awak pula” tingkah Aqel menyakitkan hati.
“Geez...” Aku mendengus geram. Besar mataku menatap Aqel. Dia tersenyum-senyum sendiri. Suka sangat hendak mengenakan aku.
“Mestilah cantik dan pasti kosnya pun bukan murah” ujarku membuat penilaian. Aqel hanya senyum. Pasal duit tidak menjadi masalah buat Aqel. Kewangan Aqel sentiasa kukuh.
“Awak nak ke? Kalau tak saya boleh beri taman tu pada awak” ujar Aqel.
“Nak buat apa taman tu” sahutku. Aku bukannya mak yang sangat mencintai bunga-bungaan. Bimbang kalau di bawah penyeliaanku taman yang cantik ini akan terbiar. Paling gerun kalau bertukar wajah menjadi hutan belantara. Pasti siang malam Aqel akan membebal mengutuk aku yang tidak tahu menjaga keindahannya. Sekelip mata memusnahkan usaha Aqel. Aku menggeleng-geleng. Tidak sanggup memikul tanggungjawab besar itu.
“Tak pun beri nama taman itu sempena nama awak. Taman tu belum ada nama” ujar Aqel. Kupandang Aqel. Betulkah Aqel senekad itu? Kalaulah taman itu diberi nama sempena namaku, pasti hal ini menjadi sejarah hidupku. Aku tersenyum sendiri. Terasa diri ini orang penting pula persis tokoh-tokoh negara yang banyak berjasa.
“Taman Flora...” cadang Aqel. Aku mempamer wajah masam menatap Aqel. Hilang perasaan teruja sekejap tadi.
“Itu bukan nama saya” tingkahku.
“Nak saya letak nama Taman Dahlia... Tak sesuai pula sebab bukan bunga dahlia yang ditanam di sana” ujar Aqel membuat pertimbangan sendiri. Dia menggeleng-geleng.
“Letaklah nama Flora tu. Diakan kekasih awak” cadangku.
“Awak cemburu?” tanya Aqel menyakatku.
“Nak cemburu apa pula? Tolonglah...” tingkahku. Aqel senyum.
“Jauh sangat awak berimaginasi” kutukku tentang tanggapan Aqel yang mengatakan aku cemburu. Aqel buat-buat tidak mendengar. Nampak dia sedang serius memikirkan nama terindah dan terbaik untuk taman bunga miliknya itu.
“Kalau nama Cahaya Dahlia... okey juga” Aqel berbicara sendiri. Aku tidak mengendahkannya. Tidak mahu Aqel berimaginasi yang bukan-bukan lagi. Silap tingkah dia ingat aku mencemburui kekasih hatinya itu. Pelik perangai Aqel. Cintanya untuk Flora tetapi selalu bersama Rania dan sanggup menjadi suamiku. Siapakah cinta hati Aqel? Flora atau Rania? Aku melepaskan keluhan kecil. Tiada kesetiaan dalam diri Aqel.
Aku mengalih pandanganku pada sofa panjang di dalam bilik ini. Seronok juga kalau dapat berbaring dan tidur di situ memandangkan tiada kerja yang hendak aku buat di sini. Kupandang Aqel yang kelihatan leka dengan kerja-kerjanya. Kualih pandanganku keluar semula. Sudah puas aku memerhatikan lanskap taman bunga itu. Kemudian menikmati pula keindahan lautan membiru yang terbentang luas. Seronok juga kalau petang-petang dapat melihat matahari terbenam di sana.  
“Boleh nampak matahari terbenam dari pantai tu?” tanyaku sambil menunding jari keluar. Aqel hanya mengangguk. Tidak sempat hendak bersuara memberi jawapan. Sibuk dengan kerjanya yang tidak pernah habis-habis. Berbanding aku yang bersenang-lenang sekarang.   
“Ada kesempatan kita sama-sama tengok matahari terbenam di sana” ujar Aqel tanpa sempat menatapku. Aku diam. Kata-kata Aqel itu bukan janji. Kupandang sofa panjang yang kelihatan lembut dan empuk itu. Alangkah seronoknya kalau dapat berbaring-baring di situ melenakan diri buat seketika sementara aku punya masa terluang yang panjang hari ini. Perlukah aku meminta keizinan daripada Aqel bagi menunaikan hajat hatiku sekarang. Kupandang Aqel. Dia masih sibuk dengan urusan kerja yang perlu diselesaikan. Kupandang sofa panjang itu lagi.
“Awak tak boleh tidur di sofa itu” Niatku hendak bangkit dari kerusi ini terbantut. Aqel persis memahami isi hatiku. Aku mengeluh.
“Bosanlah hanya duduk macam ni saja” keluhku memandang Aqel. Aqel merenungku tajam. Benaknya ligat berfikir.
“Datang sini...” arahnya meminta aku mendekatinya. Berkerut dahiku.
“Buat apa nak datang situ?” tanyaku kurang senang. Tidak mahu dekat-dekat dengan Aqel. Janggal dan tidak selesa. Aqel terlalu harum mewangi hendak didekati. Senyuman Aqel terlalu indah hendak direnung dekat-dekat. Ketampanan Aqel sungguh menggoda mata hendak menghampiri dirinya. Bimbang hilang kawalan diri jika terlalu dekat dengan Aqel.
“Datang sini cepat...” ulang Aqel bertegas dengan arahannya. Aku menatapnya. Masih membuat pertimbangan.
“Jangan takutlah... saya takkan terkam awak” rungut Aqel hilang sabar melihat aku enggan dan masih statik duduk di kerusi ini. Tajam pandanganku menatap Aqel.
“Atau awak yang tak boleh kawal diri kalau dekat dengan saya” duga Aqel mengenakan aku. Aku mendengus kasar. Terasa tercabar diriku. Senang-senang sahaja Aqel hendak malukan aku.
“Jangan haraplah...” dengusku lantas bangkit dari kerusi ini. Aku melangkah mendekati Aqel. Sekarang sudah terpacak berdiri di sebelah Aqel. Cuba membuktikan keberanianku. Paling penting mahu menyatakan kepadanya bahawa aku tidak pernah gentarkan dirinya. Juga tidak tergoda pada ketampanannya. Mahu Aqel mengetahui dua perkara itu. Kupandang Aqel. Jangan-jangan dia perintahkan aku memicit-micit bahunya menghilangkan tekanan kerjanya?
“Hey... tak sanggup... janganlah...” bicaraku sendiri. Aku tidak mahu menyentuh tubuh Aqel. Kehangatan tubuh Aqel boleh menggoncang imanku.
“Apa yang awak tak sanggup...jangan apa?” Aku tersentak. Aqel sedang menatapku. Seketika kami beradu pandangan. Tidak mungkin aku akan memalukan diri sendiri. Aku tidak akan memberitahu Aqel tentang perkara yang baru sahaja terlintas di benakku.
“Takdelah...” balasku mengelak pertanyaan Aqel. Aqel tersenyum-senyum sendiri. Pasti perkara tidak elok sedang bermain di otaknya sekarang. Aku mencebik. Lelaki selalu fikir yang bukan-bukan.
“Awak nak saya peluk awak” ujar Aqel sambil mendepakan tangannya mahu memelukku. Laju kutepis tangan Aqel.
“Kalau awak berani buat saya patah-patah tangan awak ni” gertakku. Aqel tergelak-gelak.
“Ambil kerusi dan duduk di sini” arah Aqel masih tersenyum-senyum.
“Saya boleh duduk di sana. Duduk di sebelah awakpun belum pasti rasa mengantuk saya hilang” jelasku meningkah arahan Aqel.
“Geez...” Aqel mendengus. Tidak suka arahannya dibantah.
“Saya nak awak taip beberapa dokumen. Cepat ambil kerusi...” keluh Aqel.
“Kenapa tak cakap awal-awal” ujarku tersengih-sengih. Aqel menjelingku. Comel. Lantas kuangkat kerusi itu lalu meletakkannya di sebelah Aqel. Berkongsi meja dengan Aqel. Lantas aku duduk di kerusi ini. Aqel meletakkan sebuah fail di depanku. Besar mataku menatap Aqel. Biar betul.
“Awak suruh saya taip satu fail ini?” tanyaku bengang. Laju Aqel mengangguk.
“Ni nak membunuh...” keluhku tidak percaya. Kubuka fail lalu menyelak satu-persatu helaian kertas di dalam fail ini. Bukan beberapa dokumen sebaliknya satu fail dokumen setebal lima inci. Aku sempat mengukur ketebalan fail hitam ini. 
“Betul awak nak saya taip semua ni?” tanyaku masih tidak percaya. Tidak percaya Aqel akan menderaku sekejam ini. Aqel mengangguk. Arahannya tiada perubahan.
“Saya takkan beri awak makan gaji buta” ujar Aqel memberi peringatan. Aku menjelingnya.
“Ya... saya tahu” sahutku bersedia memulakan tugas yang Aqel berikan. Lantas kucapai laktop di penjuru meja ini. Kutekan ikon word di desktop. Bersedia memulakan tugasan baru hari ini.
“Awak sepatutnya ambil setiausaha macam Haqem. Lebih ringan bebanan kerja awak. Tak payahlah menyusahkan diri” nasihatku berjela. Aqel tidak memberikan sebarang reaksi. Persis tidak mendengar kata-kataku.
“Apa kata saya ambil awak jadi setiausaha saya” ujar Aqel bersahaja. Aku berpaling menatap Aqel. Ini permintaan atau cadangan Aqel?
“Apa? Jadi setiausaha awak?” tanyaku tidak percaya. Aqel mengangguk. Laju aku menggeleng-geleng. Tidak mungkin. Aku tidak mahu Aqel menderaku setiap hari menjadi orang suruhannya. Bukan kepakaranku. Aku juga tidak berminat dengan tugasan jurutaip.
“Tak mahu saya jadi setiausaha awak” ujarku terang-terangan menolak tawaran Aqel.
“Nanti saya tolong cari setiausaha yang terbaik untuk awak” janjiku. Aqel menggeleng. Awal-awal menolak cadanganku.
“Saya tak nak orang yang saya tak kenal kerja dengan saya” ujar Aqel memberi alasan atas penolakannya ini. Aku mencebik.
“Macamlah awak kenal sangat dengan saya” perliku. Aqel tersenyum.
“Kenal...” sahut Aqel meningkah bicaraku. Aku mencebik memperli Aqel.
“Awak suka sangat tidur. Suka menangis. Suka merajuk. Suka makan aiskrim vanila macam budak-budak” ujar Aqel mengutukku. Besar anak mataku menatap Aqel. Kurang senang mendengar kata-kata Aqel. Biarpun ini kebenarannya, tetapi tidak mampu aku hendak mendengarnya.
“Kalau saya letak awak di sini, saya akan lebih mengenali awak” tambah Aqel. Aku tidak menyahut bicara Aqel. Fokus sepenuhnya pada dokumen dan paparan di skrin laktop. Tidak mahu tersilap memindahkan butiran dari dokumen ini. Berlaku kesilapan pasti suara Aqel akan membingitkan telinga.
“Atau awak masih nak duduk seorang-seorang di bilik penyimpanan kostum tu. Awak nak dengar sejarah hitamnya?” Aku berpaling menatap Aqel. Aqel serius membalas pandanganku.
“Awak nak dengar ceritanya?” ulang Aqel masih dengan wajah seriusnya. Laju aku menggelang. Belum bersedia hendak mendengar Aqel bercerita tentang sejarah hitam bilik itu.
“Tak tahu pula awak ni penakut” kutuk Aqel tersenyum sinis menatapku.
“Buat hati-hati. Saya tak izinkan ada kesilapan walau hanya tanda noktah sekalipun” ujar Aqel memberi arahan tegas. Aku mengetap bibir. Salah satu sebabnya aku tidak mahu menjadi setiausaha Aqel kerana tidak mahu cepat tua. Hari-hari mendengar leteran Aqel boleh mematikan hormon muda. Aku tersenyum sendiri.
“Jangan buat salah” ujar Aqel mengulangi arahannya.
“Saya tahu buatlah. Awak ingat awak seorang saja yang bijak. Otak saya pun bergeliga” ujarku bangga diri. Tidak mahu kalah dari Aqel. Mahu Aqel segera mendiamkan diri. Sakit telinga banyak kali mendengar Aqel berleter. Senyap. Aqel fokus pada kerjanya kembali. Lega.    
“Kalau masa itu boleh diundur, apa yang awak nak buat?” tanya Aqel memecahan kesepian ini. Aku tersentak. Kupandang Aqel. Lama aku terdiam.
“Saya nak habiskan study saya. Saya pernah kecewakan mak dan nak tebus kesilapan itu” ujarku. Aqel mengangguk-angguk.
“Saya ingat awak nak bersama Haqem semula menentang Datin Sofea” duga Aqel tersenyum. Kupandang Aqel. Perkara itu yang ada dalam benaknya?
“Dulu awak pengajian apa?” tanya Aqel lagi.
“Ekonomik dan perniagaan” sahutku. Senyap. Kutatap wajah Aqel lagi.
“Kenapa awak nak tahu semua ni?” tanyaku sangsi.
“Saja nak tahu kisah lalu awak” balasnya bersahaja. Aku berfikir seketika. Tingkahlaku Aqel agak mencurigakan.
“Kalau masa boleh diundur semula, apa yang awak nak buat?” tanyaku memulangkan persoalan itu kepada Aqel. Aqel tersenyum.
“Takde perkara yang saya nak ulang. Saya dah sangat berpuas hati dengan kehidupan sekarang” sahut Aqel tenang.
“Biar betul...” balasku tidak percaya. Aqel mengangguk.
“Berlagaklah awak” kutukku. Tidak mudah terpedaya dengan kata-kata Aqel. Aqel pasti mengimpikan hidup bahagia bersama Flora. Kalau aku tidak bertemu dengan Aqel, sudah semestinya Aqel memiliki keluarga bahagia yang sempurna sekarang. Ada anak-anak comel penyeri hidupnya dengan Flora. Mak Long juga tidak kesunyian.
“Saya dah puas hati adanya awak di sisi saya sekarang” tutur Aqel. Laju aku berpaling menatap Aqel. Dia tersenyum panjang membuatkan matanya semakin mengecil. Aku mendengus.
“Ya... saya ada di sisi awak untuk dibuli” tingkahku geram. Aqel tergelak.
“Kita makan dulu. Jom...” ajak Aqel sudah bangkit dari kerusi. Aku terkebil-kebil menatap Aqel yang sudah melangkah ke muka pintu.
“Cepat...” ajaknya tidak sabar.
“Dah waktu makan?” tanyaku terpinga-pinga. Tidak percaya terlalu cepat masa berlalu. Aqel mengangguk.
“Nanti awak sambung kerja tu. Kalau tak siap juga hari ini, esok sambung lagi. Apapun mari makan. Saya belanja awak” tutur Aqel bermurah hati. Aku tersenyum gembira. Teruja mendengar Aqel akan bayar hidangan tengah hari ini. Maka bolehlah makan hidangan yang sedap-sedap yang mahal harganya. Aku dan Aqel beriringan melangkah keluar dari bilik ini.
“Awak perlukan tenaga yang banyak sebab dokumen tu tebal. Lama juga awak nak habiskan semua tu kecuali awak boleh menaip sepantas kilat” ujar Aqel sinis mempertikaikan keupayaanku. Aqel memang tidak pernah kagum kepadaku.
“Betul awak nak saya taip semua dokumen dalam fail tu?” tanyaku tidak percaya. Aqel mengangguk dan tersenyum lirih. Besar anak mataku menatap Aqel. Tugas yang sangat berat.
“Setahu saya awak pun tak boleh lapar. Risau juga awak akan menangis kalau lapar” ujar Aqel berbaur perlian. Aku mencebik. Terasa tersindir dengan bicara Aqel.  Tiba di restoran, aku tidak membuang masa. Bukan susah hendak memilih menu yang sedap-sedap. Harganya pun tidak perlu dipertimbangkan kerana Aqel akan membayar semuanya. Aku hanya perlu pilih dan makan sahaja. Perkara yang sangat mudah hendak dilakukan. Aqel juga tiada komen langsung terhadap menu yang kupilih. Nampak menu pilihanku ini memenuhi seleranya.
“Pastikan awak habiskan semua ni” arah Aqel sambil menatap makanan yang sudah terhidang di atas meja. Aku mengangguk dan tersenyum. Kalau aku tidak mampu hendak menghabiskan semua ini, Aqel ada bersamaku sekarang. Kantung perut Aqel lebih besar. Maka Aqellah yang akan menghabiskannya nanti. Jadi tidak menjadi masalah hendak pesan lebih makanan. Aku meletakkan sesudu sambal sotong di atas nasi dalam pingganku. Lantas dengan kalimah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku mulakan suapkan pertamaku. Begitu juga Aqel. Hidangan tengah hari ini dinikmati sepenuh hati. Aku dan Aqel lebih banyak berdiam. Selebihnya  fokus pada hidangan.
“Awak tolong habiskan ye...saya dah kenyang sangat ni” pintaku memujuk Aqel.
“Kan saya dah cakap tadi” rungut Aqel. Aku tersengih. Tahu salahku.
“Saya order semua ni sebab nak awak makan banyak-banyak. Awak perlukan lebih tenaga kerana kerja awak banyak” ujarku menangkis perasaan tidak puas hati Aqel. Aqel mendengus. Dia tiada pilihan selain menghabiskan makanan di pinggan. Alhamdulillah... 10 minit kemudian Aqel berjaya menghabiskan semua hidangan. Aku tersenyum puas hati.
“Bagus... bagus... Awak memang tak membazir” ujarku seraya menepuk-nepuk lembut bahu Aqel. Bangga dengan Aqel.
“Geez...” Aqel mendengus.
“Saya akan tolong awak taip dokumen-dokumen tadi... untuk hari ini” ujarku tersenyum. Timbal balik atas kemurahan hati Aqel belanja aku makan tengah hari ini.
“Saya dah naikkan pangkat awak jadi setiausaha saya” putus Aqel.
“Tak nak” tingkahku tidak bersetuju. Aku tidak mahu bekerja bersama Aqel. Aqel seorang yang sangat teliti. Nanti ada sahaja salahku di matanya. Tidak mahu membuang masa lama-lama di restoran ini. Usai makan Aqel membayar di kaunter. Kemudian kami kembali ke pejabat. Dokumen satu fail tebal sedang menungguku untuk tindakan selanjutnya.
“Hey... mana beg galas saya?” Aku garu-garu kepala yang tidak gatal. Kupandang atas dan di bawah kerusi. Kemudian beralih pada dinding kaca itu. Mana tahu tercicir di situ.
“Apa hal?” tanya Aqel hairan memerhatikan tingkahlaku.
“Awak ada nampak beg galas saya?” tanyaku. Aqel geleng kepala.
“Awak datang sini bawa iPhone dan kunci saja” jelas Aqel. Aku menepuk kepala. Sah beg galas itu tertinggal di dalam bilik tadi. Kupandang Aqel. Dia sudah mula menyibukkan diri dengan kerja-kerja yang belum selesai tadi. Benakku ligat berputar. Sudah tiada pilihan selain ke bilik itu kembali. Namun  aku tidak punya keberanian hendak ke bilik itu bersendirian. Kupandang Aqel.
“Aqel...” panggilku lembut dengan suara lunak. Cuba ambil hati Aqel. Sudah semestinya ada hajat di sebalik kelembutan suaraku.
“Saya tak nak temankan awak pergi sana” ujar Aqel faham hajat hatiku.
“Geez...” Aku mendengus. Tidak puas hati dengan penolakan Aqel ini.
“Awak mesti temankan saya pergi sana. Saya nak ambil beg saya” pintaku serius. Aqel menulikan telinga. Dia tetap fokus pada kerjanya. Aku mengetap bibir menahan geram.
“Aqel...” panggilku lagi. Melihat Aqel tidak mengendahkan panggilanku, lantas aku bangun. Kupaut lengan Aqel menariknya bangun.
“Apa ni?’ rungut Aqel tidak suka dirinya diperlakukan sedemikian.
“Awak mesti pergi bersama saya” gesaku memaksa Aqel. Sudah tiada pilihan. Aku tidak akan pergi sendirian ke bilik itu. Dia juga yang menimbulkan ketakutan ini. Jadi Aqel harus bertanggungjawab atas perbuatannya. Kutarik tangan Aqel bangun sekuat hatiku.
“Yah... yah...!!!” Aqel berpaut pada meja. Berkeras tidak mahu meninggalkan kerusi.
“Bangunlah... Saya janji akan tolong awak taip semua dokumen ni kalau awak temankan saya sekarang” pintaku sambil berjanji. Tangan Aqel masih kuat memaut meja.
“Tak nak...” Aqel masih tidak mahu mengalah. Kali ini kedua-dua tanganku memaut lengan Aqel. Mahu lebih tenaga. Akhirnya tindakan drastik kupaut pinggang Aqel menariknya bangun. Cuba menjejaki kelemahan Aqel.
“Hey... hey... jangan...” ternyata Aqel tidak boleh tahan pinggangnya disentuh. Lantas dia bangun. Aku tersenyum. Kutarik tangan Aqel memaksanya mengikut langkahku.
“Saya kata tak mahu...” rungut Aqel radang. Marah dirinya dipaksa-paksa.
“Awak yang mulakan... jadi awak mesti bertanggungjawab” gesaku memaut kemas tangan Aqel. Sama sekali aku tidak akan melepaskannya. Khuatir Aqel akan lari. Tiba di ambang pintu, Aqel sempat berpaut pada bingkai pintu. Namun aku tidak mudah mengalah. Walau apa keadaan sekalipun, Aqel wajib menemaniku ke bilik itu.
“Aduhhh...!” Aqel menjerit kesakitan. Aku tersenyum sinis. Puas hati setelah memijak kaki Aqel dengan kuat. Pautan tangan Aqel pada bingkai pintu terlepas.
“Kan saya dah beritahu awak...” ujarku memberi amaran. Aku tidak akan bertolak-ansur dengan Aqel. Hari ini aku akan memaksa Aqel. Kali ini Aqel tidak melawan lagi. Namun langkah Aqel terasa berat sahaja tatkala aku menarik tangannya mengekori langkahku.
“Masuk...” arahku tatkala daun pintu sudah terkuak.
“Geez...” Aqel mendengus geram. Dia melangkah masuk.
“Ambil beg galas saya di atas kerusi tu. Fail di atas meja tu bawa sekali” arahku dari ambang pintu ini. Hanya berdiri di sini memberi arahan kepada Aqel. Aqel mendengus geram. Tidak puas hati dirinya diperlakukan sedemikian.
“Nah...” Aqel menyangkutkan beg galas ini di bahuku. Fail ini diletak di tanganku. Daun pintu ditutup kembali. Aku masih memaut erat tangan Aqel agar dia tidak berlari meninggalkan aku sendirian di sini. Tatkala sudah jauh meninggalkan bilik itu  barulah aku melepaskan tangan Aqel. Oh... lega! Aku tersenyum menatap beg galas ini.
“Terima kasih Aqel...” ujarku tersenyum. Aqel menjelingku. Marah dia diperlakukan sedemikian. Tidak suka dirinya dipaksa-paksa sedemikian.
“Oh...ye...lupa nak beritahu awak tadi” ujar Aqel lalu berpaling ke arahku. Aku menatap Aqel. Dia mendekatiku.
“Menyeramkan sangat penunggu kat bilik awak tu” ujar Aqel berbisik di telingaku.
“Aqel...!” Aku terjerit. Kedengaran gelak Aqel. Puas hatinya dapat menakut-nakutkan aku. Gelak Aqel berpanjangan. Sampai di bilik ini Aqel masih tersenyum-senyum sendiri. Aku melabuhkan duduk di sebelah Aqel mula menghadap laktop mahu menyambung kerja yang belum selesai tadi. Malah sudah menjadi tanggungjawabku sekarang kerana aku telah berjanji kepada Aqel. Akhirnya Aqel juga yang dapat banyak manfaatnya walaupun dialah pencetus masalah ini. iPhone Aqel berdering. Sempat aku melirik ke arah skrin iPhone itu. Panggilan daripada Rania.
“Ya... saya jumpa awak habis kerja nanti” ujar Aqel. Bukan sengaja hendak mencuri mendengar perbualan mereka, namun kerana aku berada di sebelah Aqel semuanya jelas di telingaku.
“Ya... tunggu saya datang” arah Aqel. Hobi Aqel menyuruh orang menunggunya. Dia tidak tahu penantian itu menyeksakan. iPhone diletakkan di atas meja lalu memandangku.  
“Awak dan Haqem jadi keluar?” tanya Aqel.
“Ya... jadi” sahutku. Setakat ini tiada perubahan pada perancangan Haqem. Senyap. Aqel  menyambung kerjanya kembali.
“Kenapa awak tak boleh setia pada Flora ... kekasih awak?” tanyaku ingin tahu jawapan Aqel. Aqel berpaling menatapku. Sikap Aqel sukar hendak dimengertikan.
“Awak cintakan Flora tapi dalam masa yang sama awak keluar dengan Rania dan sanggup nikah dengan saya” jelasku berjela.
“Itulah kehidupan yang harus saya lalui” ujar Aqel bersahaja. Mudah sahaja prinsip hidup Aqel. Langsung tiada rasa bersalah kepada Flora, kekasih yang sungguh setia kepadanya. Aku melepaskan keluhan, menyesali sikapnya yang tidak bertanggungjawab. Mudah-mudahan Aqel akan berubah.



No comments:

Post a Comment