Sunday 16 September 2012

NamaKu Bukan Flora!...26




BAB 26

“Awak tak tahu apa yang saya tanggung selama ni. Hati saya hancur. Seluruh kepercayaan yang pernah saya berikan kepadanya musnah. Saya dipermainkan sesuka hati. Kalau awak di tempat saya adakah semudah itu awak akan memaafkannya” suara gadis itu bermain – main di telinganya. 

“Salahkah saya bertegas dengan dia....” bisik hati kecil Aqel. Berfikir lagi. Pandangannya seolah – olah sudah menembusi skrin laptop di depannya itu. Padahal tiada satupun yang singgah dipandangan matanya. Hatinya tidak tenteram. Apatah lagi mengingati bicaranya itu telah menambah bebanan yang ditanggung oleh gadis itu.

“Keterlaluankah bicara saya tu” keluh Aqel berbicara sendiri. Marnie yang berada di situ berpaling ke arahnya. Dia geleng kepala.

“Apa yang Encik Aqel menungkan tu?” tegur Marnie yang sejak dari tadi memerhatikan gelagat Aqel.

“Awak cuba call Flora kalau dia belum balik lagi...” arah Aqel.

“Flora....?” Berkerut dahi Marnie mendengar nama itu.

Oh..., Lia....” baru Marnie teringatkan nama itu. Dalam diserbu rasa hairan laju juga jari – jemarinya menekan nama gadis itu di bahagian senarai nombor telefon yang disimpan di dalam memori telefon bimbitnya. Nombor itu tidak dapat dihubungi. Dicubanya sekali lagi. Masih gagal.

“Tak dapat dihubungilah Encik Aqel” ujar Marnie.

“Dia masih matikan telefon dia tu” keluh Aqel membuatkan Marnie bertambah hairan. Lantas memaksa dirinya terus berfikir.

“Awak pergi tengok dia kat bilik dia tu and then jangan lupa call saya” arah Aqel membuatkan Marnie semakin tidak mengerti. Namun dia tidak sempat meminta penjelasan lebih lanjut.

Marnie patuh saja dengan arahan Aqel. Lantas dia mengorak langkah ke bahagian pengurusan kostum sambil terus – terusan berfikir. Kekeliruan yang menyelubungi dirinya sudah pasti akan dituntut penjelasannya daripada gadis itu. Langkah Marnie mati tepat – tepat di depan pintu itu. Laju saja tangannya mengetuk daun piintu lalu menolaknya. Berkunci. Diketuk lagi. Sunyi sepi. Bilik ini memang tidak ada penghuni sekarang. Ditekannya nombor telefon itu.

“Hello..., Encik Aqel, Lia takde kat bilik dia sekarang. Mungkin dia dah balik” ujar Marnie memaklumkan perkara itu. Kedengaran keluhan berat lelaki itu.

“Okey ....tak pe... Thanks... Kejap lagi saya nak balik. Esok je awak sambung kerja kat bilik saya ye... Bye...” Tiba – tiba saja Aqel tergesa – gesa hendak balik menambah kekeliruan Marnie.

“Perlakuan Encik Aqel dan Lia nampak pelik je hari nie...” tutur Marnie sangsi. Tercetus keluhan panjang Marnie tatkala dia gagal mengungkai persoalan yang sedang bermain di kepalanya tika ini.

“Flora.... awak selalu bertindak sesuka hati...” keluh Aqel. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe itu terus saja meninggalkan perkarangan KDUT. Dalam perjalanan Aqel singgah di sebuah kedai serbaneka. Laju saja tangannya mencapai ais krim vanila lantas ke kaunter pembayaran. Kemudian meneruskan perjalanannya.

“Harap – harap ais krim vanila ni boleh padamkan rasa marah awak pada saya” bisiknya sambil menatap ais krim vanila yang berada di sebelahnya itu. Aqel tersenyum sendiri. Dicapainya ais krim vanila itu lalu menolak daun pintu kereta Peugeot RCZ Sports Coupe itu. Aqel melangkah masuk ke dalam banglo itu dengan satu harapan yang tersemat di dalam hatinya.

“Assalamualaikum....” sapanya sambil memunculkan diri di sebalik daun pintu itu. Puan Helda tersenyum lebar menyambut kepulangan anak muda kesayangannya itu. Terbit perasaan hairan di hatinya tatkala Aqel muncul lebih awal daripada kebiasaanya.

“Awal kamu balik hari ni” tegur Puan Helda meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Aqel tersenyum. Langkah di atur ke dapur lalu memasukkan ais krim vanila tersebut di dalam frizer. Kemudian melangkah ke ruang tamu untuk bersama Puan Helda. Aqel terus duduk di sebelah Puan Helda yang sedang menatapnya masih dalam senyuman. Suka benar hatinya Aqel muncul di rumah itu lebih awal.

“Apa yang kamu simpan di dapur tu?” soal Puan Helda.

“Ais krim vanila” sahut Aqel pendek. Puan Helda hairan menatapnya. Setahunya Aqel tidak gemar makan ais krim. Aqel seorang yang begitu menitik beratkan kesihatan diri. Makanan manis terlalu jarang dimakannya.

“Sejak bila pula kamu suka makan ais krim nie?” soal Puan Helda.

“Aqel beli untuk anak buah kesayangan mama tu” sahut Aqel mencebik bibir tatkala mengingati emosi gadis itu tidak stabil sekarang.

“Lia suka makan ais krim vanila ke?” soal Puan Helda lagi. Aqel mengangguk.

“Macam mana Aqel tahu Lia suka makan ais krim vanila?” soal Puan Helda teruja. Teruja sebab anak mudanya itu mula ambil tahu tentang hal – hal kegemaran gadis itu. Perkara itu amat mustahak malah begitu menyenangkan hati Puan Helda. Aqel nampak berfikir.

“Tengok dia asyik makan ais krim vanila” jawab Aqel menggunakan akal logiknya. Malas dia mahu membincangkan perkara itu lebih lanjut. Sekurang – kurangnya jawapan yang diberikan cukup lengkap.

“Nampaknya esok lusa barulah Lia dapat makan ais krim vanila tu” ujar Puan Helda. Laju saja Aqel berpaling menatap Puan Helda.

“Dia belum balik lagi ke?” soalnya terkejut.

“Hari nie Lia tak balik sini” tutur Puan Helda.

“Dia pergi mana?” soal Aqel tidak menyabar – nyabar ingin tahu. Puan Helda tersenyum sendiri. Melihat senyuman Puan Helda itu buat Aqel tersedar.

“Mama jangan pula salah faham...” tegurnya.

“Tak salah faham pun...” sahut Puan Helda masih dalam senyuman.

“Dia pergi mana?” soal Aqel mengulangi pertanyaannya yang belum dijawab itu.

“Malam nie Lia tidur rumah kawan dia Nana di Taman Selasih” sahut Puan Helda. Kira – kira sejam yang lalu dia menerima panggilan telefon daripada Lia untuk memaklumkan perkara itu kepadanya.

“Mama yakin ke dia pergi rumah kawan dia?” soal Aqel sangsi sekaligus membuatkan hati Puan Helda tidak tenteram melihat perlakuan cemas anak terunanya itu.

“Habis tu takkan Lia nak bohong dengan mama. Lia nak pergi mana pula?” soal Puan Helda turut cemas melihat reaksi yang ditunjukkan oleh anak terunanya itu. Aqel diam.

“Apa yang berlaku Aqel? Kamu bergaduh dengan Lia ke sampai dia tak nak balik sini” soal Puan Helda gusar. Aqel diam. Tiba – tiba saja Aqel bangun.

“Aqel akan bawa dia balik ke rumah ni” tutur Aqel seakan berjanji. Puan Helda mengeluh. Sungguh hatinya tidak tenang tika ini. Aqel sudah melangkah keluar. Kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman banglo itu.
 
AKU yang terbaring di katilku ini, bingkas bangun tatkala menatap jam sudah hampir – hampir mencecah ke pukul 06.00 petang. Tadi aku berjanji dengan Nana akan sampai di rumahnya sebelum Maghrib. Nanti bolehlah bersama – sama keluarganya solat Maghrib berjemaah. Lantas bergegas aku melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Usai mandi aku menyiapkan diri sebelum melangkah keluar meninggalkan rumah ini. Terasa berat saja langkahku hendak keluar dari rumah mak ini. Namun mengingati janjiku dengan mak tidak akan tidur di rumah ini sepanjang ketiadaannya, aku terpaksa juga menguburkan keinginanku untuk bermalam di sini. Sungguh menggunung kerinduanku untuk berada di sini. Terasa rindu juga kepada mak dan Aziq. Sebak dadaku mengingati mak dan Aziq yang kini berada di Tanah Suci Mekah. Semoga kalian sihat walfiat serta dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna. Aku bergerak ke pintu. Kukeluarkan kunci dari poket beg galasku lalu mula mengunci.

“Awak buat apa kat sini...” Opocot!!! Kur semangat.... Aku terkejut sangat mendengar suara lelaki yang menegurku. Laju aku berpaling. Terkejut sekali lagi tatkala bertembung pandangan dengan Aqel. Aqel sedang terpacak beberapa langkah dariku.

“Buat apa awak datang sini?” soalku memulangkan pertanyaannya yang belum kujawab itu. Rasanya tidak perlu aku menjawab pertanyaannya itu memandangkan rumah ini adalah milik keluargaku. Aku tidak perlukan sebab untuk bertandang di rumah sendiri.

“Saya datang nak bawa awak balik rumah” ujar Aqel dengan wajah bersahajanya.

“Malam nie saya nak tidur rumah Nana” sahutku menolak bicaranya itu. Aku kembali mengunci pintu rumah yang tergendala sebentar tadi. Aqel masih terpacak di belakangku. Aku berpaling semula ke arah Aqel.

“Saya dah cakap kat Mak Long perkara ni. Awak baliklah sekarang” arahku. Namun Aqel masih terpacak di situ. Langsung tidak bergerak – gerak.

“Awak tunggu apa lagi. Cepat ler pergi...” gesaku. Aqel langsung tidak menunjukkan sebarang reaksinya. Dia masih tidak mahu berganjak daripada posisinya itu. Aku mengeluh. Boleh tahan juga degilnya anak muda Mak Long ini.

“Suka hati awak ler kalau nak jadi jaga kat sini. Tapi kalau awak sayangkan nyawa baik awak ke tepi saya nak keluarkan kereta ni” pintaku berputus asa setelah Aqel langsung tidak mempedulikan arahanku. Pintu kereta Waja mama sudah kukuak. Aku menoleh ke arah Aqel. Dia masih statik di situ. Rasa geramku kian membuak – buak. Kuhidupkan enjin kereta. Kuturunkan cermin kereta lalu menjengukkan kepalaku.

“Awak nak mati ke? Saya nak undur kereta ni tau. Cepat ler berganjak dari situ” radangku. Bengangnya dengan perangai degil pemuda dingin membeku ini. Malah buat aku sakit jiwa raga.

“Aqel... saya serius ni tau...!” laungku melempiaskan kemarahanku.

Aqel masih berada dalam posisinya tadi. Dia memang mahu mencabar kesabaranku. Aku mengetap bibir. Geram sangat dengan perangai Aqel. Ego melangit. Ternyata tidak semudahnya dia mahu menyerah kalah kepadaku. Orang seperti dia ini harus diajar. Aku memandang cermin pandang belakang. Aqel masih berdiri di situ. Lalu kulepaskan brek tangan dan menukar gear untuk berundur. Perlahan – lahan. Ternyata Aqel tidak mempedulikannya membuatkan aku terpaksa menekan brek mengejut. Kutukar gear satu lalu kembali memandu keretaku ke depan. Tidak jadi berundur.

“Awak betul – betul nak mati ke...!!!” teriakku marah. Aqel masih tenang berdiri di situ. Tiba – tiba saja aku rasa marah sangat. Kali ini aku mesti buat lebih serius. Barulah Aqel mahu berganjak dari situ.

“Kalau awak cedera jangan salahkan saya tau. Saya nak undur kereta sekarang” ujarku memberi peringatan kepada Aqel sambil menjengukkan kepala di tingkap. Aku menarik nafas dalam – dalam.

“Mak Long, Lia takkan cederakan anak Mak Long tapi Lia harus beri pengajaran kepada dia. Andai Aqel tercedera tolong jangan salahkan Lia Mak Long” bisik hatiku.


“Flora.... awak takkan sampai hati nak langgar saya. Awak takkan sekejam itu....” bisik hati Aqel penuh yakin. Dia sudah nekad dengan tindakannya. Sekarang dia hanya bertawakal. Ditariknya nafas dalam – dalam. Kedengaran bunyi ngauman ganas enjin kereta Waja yang dipandu oleh gadis itu.

“Awak betul – betul nak uji saya ye.... Kejap ye...” tuturku geram. Aku melepaskan keluhanku sekuat – kuatnya. Bismillahirahmanirahim.... semoga tidak akan berlaku perkara yang serius. Kupandang cermin pandang belakang. Cuba membuat anggaran antara kedudukan Aqel dengan titik harus aku berhenti. Mesti tepat – tepat di depan Aqel. Biar bersentuhan sedikit dengan tubuh Aqel asalkan Aqel tidak cedera. Kupijak pedal minyak lalu kutekan sehingga mencapai kelajuan 40. Aqel menatap kereta itu meluncur laju ke arahnya. Dia mula memejamkan matanya.  

“Flora... awak takkan cederakan saya....” bisiknya. Waja yang kuundur dari kelajuan 40 turun ke 20. Semakin mendekati Aqel. Kira – kira sampai ke titik perhentian aku menekan pedal brek. Tiba – tiba....pupp...!!!! Subhahanallah....!!!

“Flora...!!!!” Aku mendengar suara jeritan Aqel. Kakiku yang berada di pedal minyak terus beralih ke pedal brek. Tanganku terketar – ketar mengangkat brek tangan dan terkial – kial mencari kunci untuk mematikan enjin. Dadaku berombak kencang. Laju aku menolak pintu kereta lalu berlari ke belakang. Aku tergamam melihat Aqel sudah terbaring di atas simen. Mujur juga tayar tidak mengilis kaki mahupun tubuhnya.

“Flora.... kejamnya awak....” samar – samar Aqel bersuara. Nampak dia sedang kesakitan sekarang.

“Ampun... ampun.... ampun.... saya tak berniat nak cederakan awak. Saya hanya nak takut – takutkan awak. Tak sangka saya tersilap pijak pedal minyak tadi...” tuturku menggelabah dengan wajah yang pucat. Aku cuba membantu Aqel bangun.

“Aduuuuhhhh....” Aqel sudah pasti jatuh terhentak kuat tadi. Pinggangnya sakit. Aku semakin tidak keruan tatkala melihat siku Aqel luka. Mesti bersentuhan dengan simen tadi. Aqel mula terhinjut – hinjut. Melihat keadaan Aqel saat ini aku semakin cemas. Seluruh tubuhku terasa dingin dan menggeletar. Aku seakan mahu pengsan. Dadaku berombak kencang. Aku diserang pening tiba – tiba.

“Flora.... awak okey ke ni?” soal Aqel dengan wajahnya berkerut - kerut menahan sakit. Aku mengangguk. Aku mesti kuat sekarang. Aqel perlukan pertolongan dan rawatan segera. Apapun terjadi Aqel harus diselamatkan dulu. Aku memapah tubuh Aqel lalu menolong dia duduk di atas buaian besi di laman rumah ini.

“Awak okey lagi?” soalku. Aqel mengangguk. Pandanganku berpinar – pinar. Terasa peluh dingin membasahi dahiku.

“Flora... awak okey ke ni....?” soal Aqel. Tidak sempat memberikan sebarang reaksi, aku terus berlari ke longkang lalu muntah di situ. Terasa isi – isi dalam perutku semua terkeluar sehinggakan sukar untuk aku bernafas. Mahu mati ketakutan aku rasa saat ini. Aku benar – benar terkejut dengan kejadian sebentar tadi. Setelah semuanya terkeluar barulah aku rasa lega dan boleh bernafas. Kubuka pili air lalu membasuh mukaku. Kemudian mendekati Aqel.

 “Awak okey ke ni?” soal Aqel kerisauan. Aku mengangguk.

“Siku awak luka.... maaf. Saya memang tak berniat nak cederakan awak tadi” ujarku kesal. Tiba – tiba saja aku menangis teresak – esak membuatkan Aqel terkejut. Terkebil – kebil Aqel menatapku. Aqel garu – garu kepala. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya demi memberhentikan tangisan gadis itu.  

“Sumpah saya tak berniat nak langgar awak. Saya cuma nak takutkan awak tadi. Tak sangka saya tersilap pijak pedal minyak pula tadi” tuturku kesal. Betapa aku telah melakukan gurauan paling bodoh selama hidupku ini. Kedengaran Aqel mengerang kesakitan. Dia hanya mengangguk – angguk.

“Mari kita balik...” ajak Aqel lalu cuba berdiri. Duduk kembali. Aqel tidak mampu berdiri sendiri. Kakinya sakit. Mungkin terkehel. Sikunya juga masih berdarah.

“Mari saya tolong awak...” ujarku lalu memapah tubuh Aqel. Langkahku yang baru menapak beberapa langkah terhenti. Aku menatap kereta Peugeot RCZ Sports Coupe Aqel. Kemudian pandanganku beralih pada kereta Waja mama. Perlukah aku tinggalkan kereta mewah Aqel di sini sedangkan rumah ini tiada penghuni sekarang. Risau dengan adanya kereta mewah di garaj rumah yang tiada penghuni akan mengundang musibah pula. Namun adakah Aqel memberi keizinan untukku memandu kereta kesayangannya itu? Aku masih membuat pertimbangan.

“Awak pandu je kereta saya” ujar Aqel memecah kebuntuan. Tidak sangka Aqel mengerti apa yang sedang aku fikirkan tika ini. Rasa simpati dan belas kasihan terhadap Aqel. Ya Allah semoga tiada kecederaan yang serius menimpa Aqel. Sungguh aku takut sekarang. Takut yang tidak pernah aku rasa selama ini. Aqel masih mengerang – ngerang kesakitan. Air mataku menitis lagi. Rasa bersalah sangat kepada Aqel dan Mak Long. Pasti Mak Long akan bersedih melihat keadaan Aqel begini. Aku menangis teresak – esak. Sungguh aku tidak dapat mengawal emosiku.

“Flora.... kenapa dengan awak? Awak sakit?” samar – samar suara Aqel singgah di telingaku. Aku geleng kepala.

“Saya tak nak awak cedera. Saya tak nak masuk penjara...” luahku buat Aqel tersenyum sekilas. Sudah menjadi kesalahan melanggar orang lain.

“Saya jamin awak takkan masuk penjara” ujar Aqel cuba menenangkan aku. Kusapu air mata yang membasahi wajahku,

“Betul?” soalku. Aqel mengangguk.

“Walaupun saya cedera serius dan hilang keupayaan seumur hidup, saya takkan dakwa awak” tutur Aqel buat aku terdiam. Begitu sucinya hati Aqel. Sebak dan terharu aku mendengar bicaranya ini.

“Mana ada orang sanggup sakiti saudara sendiri” tutur Aqel buat aku terasa. Hakikatnya Aqel cedera sekarang disebabkan aku.

“Saya...”

“Awak tak sengajakan....” tingkah Aqel memintas bicaraku. Aku mengangguk. Sumpah aku tidak pernah berniat untuk melanggar Aqel tadi.

“Saya percayakan awak. Tak payah susah hatilah” pujuk Aqel lalu memejamkan matanya semula. Aku berpaling ke arah Aqel,

“I’m sorry... Aqel...” bisik hatiku tidak mahu mengganggu Aqel berehat.

Tiba di Klinik Saujana ini, Aqel terus mendapat rawatan daripada doktor. Kaki Aqel terkehel dan kedua – dua sikunya luka. Sedikit melegakan aku apabila kecederaan Aqel sudah dirawat. Aku yang setia bersama Aqel di bilik ini segera bangkit lalu mendekati Aqel sebaik saja doktor itu selesai melakukan tugasnya.

“Puan ambil ubat di kaunter depan ye. Pastkan suami puan mengambil ubat mengikut masa yang teratur” nasihat doktor itu.

“Aaa...” Aku tidak tercakap apabila doktor ini sudah tersalah anggap terhadap hubunganku dengan Aqel. Aqel tersenyum.

“Thanks....” ujar Aqel menyampaikan penghargaannya atas rawatan yang diterimanya itu. Doktor itu mengangguk dan tersenyum.

“Terima kasih doktor” ujarku turut menyampaikan penghargaanku kerana telah memberikan rawatan terbaik kepada Aqel. Kupapah Aqel keluar dari bilik ini. Lalu kuhantar dia duduk di kerusi sementara aku mengambil ubat dan menguruskan pembayaran. Kemudian aku kembali mendapatkan Aqel.

“Mari kita balik...” ajakku lalu memapah Aqel bangun dan seterusnya mengatur langkah meninggalkan klinik ini. 

Kemunculanku bersama Aqel dalam keadaan dirinya yang dipapah dan siku berbalut membuatkan Mak Long tergamam dan mengurut dada beberapa kali. Betapa Mak Long terkejut melihat kecederaan anak tunggal kesayangannya ini. Maka aku rasa bersalah sangat kepada Mak Long. Akulah punca kecederaan anak mudanya ini. 

“Maafkan Lia Mak Long. Semua ni salah Lia...” luahku kesal. 

“Apa yang berlaku Lia, Aqel...?” soal Mak Long ingin tahu perkara sebenarnya. Apa reaksi yang bakal Mak Long tunjukkan tatkala dia mengetahui cerita sebenarnya. Adakah Mak Long akan marahkan aku lalu menghalau aku keluar dari banglonya ini lantaran aku telah mencederakan anaknya.

“Sebenarnya Lia yang salah sebab.....” 

“Salah Aqel sebab cuai tadi...” laju saja Aqel memintas bicaraku. Kupandang Aqel. Aqel menjadi penyelamatku untuk sekian kalinya. Niatku untuk berterus – terang terus saja tergendala. Jelasnya Aqel tidak mahu aku menjelaskan perkara yang berlaku kepada Mak Long. 

“Lia pun nampak teruk...” komen Mak Long. Sudah semestinya. Hari ini aku ketakutan sangat sehingga menangis berulang – ulang kali. 

“Mari kita hantar Aqel di biliknya” tutur Mak Long sudah berdiri di sebelah Aqel. Sekarang Aqel diapit olehku dan Mak Long. Kami sama – sama memapah Aqel ke biliknya. Perlahan – lahan tubuh Aqel dibaringkan di katil. 

“Kejap lagi mama lap tubuh dan tukar pakaian Aqel” tutur Mak Long.

“Mama tak payah risaulah, Aqel cedera ringgan je. Aqel boleh tukar pakaian sendiri” sahut Aqel tersenyum. Dalam kesakitan Aqel cuba berlagak biasa. Betapa dia cuba menenangkan hati Mak Long. Aqel seorang anak yang baik.

“Lia pun pergi ler mandi dan berehat. Mak Long tengok Lia tu nampak keletihan sangat” tutur Mak Long mengarahkan aku.

“Ubat nie Mak Long...” Aku menayangkan ubat di tanganku kepada Mak Long. Masih ingat dengan pesanan doktor kepadaku sebentar tadi. Amanah telah dipertanggungjawabkan kepadaku. Maka aku berkewajipan melaksanakan amanah itu. Tambahan pula Aqel jadi begini adalah disebabkan aku.

“Biar Mak Long yang bagi Aqel nanti. Lia berehatlah ye...” ulang Mak Long. Aku melepaskan keluhan kecilku. Betapa malangnya nasibku hari ini. Malah Aqel turut menerima tempias malang itu.

“Awak  pergilah berehat” suara Aqel mencelah turut mengulangi arahan Mak Long sebentar tadi. Aku mengangguk.

“Kalau Mak Long perlukan apa – apa, Mak Long panggil Lia ye. Biar kita sama – sama jaga Aqel” ujarku ikhlas. Mak Long mengangguk dan tersenyum. Aqel juga turut tersenyum. Lantas aku memulakan langkah meninggalkan Mak Long dan Aqel di bilik ini. Aku membaling tubuhku ke tilam. Sungguh aku merasakan keletihan yang panjang. Bahkan ketakutan yang luar biasa. Kedengaran nada bunyi telefon bimbitku. Kucapai beg galasku lalu menatap telefon bimbit yang sudah berada di tanganku. Nama Nana terpamer di dada skrin. Baru aku teringat janjiku pada Nana. Pasti dia lama menunggu kedatanganku.

“Assalamualaikum.... Nana aku tak jadi pergi rumah kau. Tadi berlaku perkara buruk” jelasku.

“Apa yang berlaku?” soal Nana cemas.

“Aqel tercedera kerana aku...” sahutku tanpa mahu berselindung.

“Mengapa dengan dia?” soal Nana semakin cemas.

“Sorry Nana, aku letih sangat sekarang. Esok aku cerita ye...” ujarku. Kedengaran keluhan Nana. Pasti hatinya tidak tenteram selagi tidak mengetahui perkara sebenarnya.

“Kau okey ke nie?” soal Nana risau.

“Okey... Cuma letih sangat” sahutku.

“Kau berehatlah ye...” arah Nana begitu bertimbang rasa.

“Thanks Nana..... Assalamuaikum...” ujarku menghargai sikap timbang rasanya itu. Kuletakkan telefon bimbit ini di sebelahku. Aku masih terbaring di tilam ini. Cuba menggembalikan semangat diri yang hilang sebentar tadi. Kedengaran ketukan di muka pintu bilik ini. Laju aku bangun lalu menguak daun pintu. Mak Long tersenyum kepadaku.

“Ni ais krim vanila untuk Lia. Aqel beli tadi dan suruh Mak Long hantar untuk Lia. Mana tahu kejadian yang berlaku sebab kempunan nak bagi Lia makan ais krim ni” ujar Mak Long bercanda sambil tersenyum. Aku turut tersenyum.

“Makanlah cepat nanti cair pula” arah Mak Long. Aku mengangguk.

“Mak Long nak pergi dulu” ujar Mak Long memohon diri lalu meninggalkan aku yang masih terpacak di depan pintu buat seketika. Kelibat Mak Long sudah tidak kelihatan lagi. Kututup daun pintu bilik. Aku duduk di birai katil sambil memerhatikan ais krim vanila yang berada di tanganku sekarang.

“Dia ada beli aiskrim vanila kegemaran kamu. Kalau nak makan ada dalam frizer tu” suara mak terngiang – ngiang di telingaku.

“Dia pesan kat mak suruh beritahu kamu, kalau makan aiskrim cepat padamkan hati yang panas” ujar mak menyampaikan bicara Aqel kepadaku. Cerita ais krim vanila terakam kembali. Aku melepaskan keluhan panjangku. Hatiku sebak dan terharu. Rasa bersalahku kepada Aqel berganda – ganda. Laju saja aku menyudu ais krim vanila yang mula mencair ini lalu satu – persatu kulontar ke dalam mulutku tanpa putus – putus. Aku tidak akan mensia – siakan perkara yang telah Aqel lakukan untukku hari ini. Terima kasih Aqel.

“Saya akan cuba jadi sepupu terbaik awak, Aqel” ujarku berikrar. Semoga hubunganku dengan pemuda dingin membeku ini akan lebih baik daripada semalam. Amin.



Saturday 15 September 2012

NamaKu Bukan Flora!...........25



 BAB 25
Aku duduk kaku di sebelah Aqel. Pergerakanku terbatas bersama lelaki dingin membeku yang mempunyai beberapa perwatakan ini. Kalau kena pada masanya dia akan jadi seorang yang begitu mudah untuk diajak berbicara. Namun setakat ini diamnya lebih banyak daripada bicaranya. Sesekali aku melirik ke arah Aqel. Tidak selesa aku sepanjang perjalanan ini hanya membisukan diri. 

“Bagaimana keadaan awak hari nie?” suara Aqel memecah kesepian. Syukur Aqel sudah mula bersuara. Tidak juga aku mati kebosanan dengan sikap dingin membekunya ini.

“Alhamdulillah sihat. Mujarab betul petua awak tu ye. Terima kasih” sahutku terhutang budi pada Aqel. Aqel menerima penghargaanku dengan wajah bersahaja. Anak teruna Mak Long ini memang ketandusan emosi. Ekspresi wajahnya sudah cukup menggambarkan betapa kosong dirinya.  

“Belanja saya makan tengah hari nie” pinta Aqel sedikit mengejutkan aku. Satu tindakan Aqel di luar jangkaanku. Kupandang Aqel.

“Setengah hari saya jaga awak, jadi hari nie awak mesti belanja saya makan” ujar Aqel mengulangi permintaannya.

“Awak nie tolong orang tak ikhlas” kutukku. Aqel tersenyum sendiri.

“Yang awak tu kedekut” kutuknya balik.

“Okey.... okey.... saya belanja awak. Makan ler puas – puas nanti sampai awak kekenyangan tak leh gerak – gerak lagi” kutukku lagi.

“Tengok tu awak pun tak ikhlas” balas Aqel mengenakan aku.

“Perangai kita serupa ler...” balasku tersengih.

“Memang pun sepupu sepapat” sahut Aqel buat aku tergelak. Aqel turut sama tergelak. Senyap tiba – tiba.

“Beberapa perwatakan ada dalam diri awakkan” komenku.

“What!” Aqel serius menatapku.

“Yeler awak macam cuaca. Banyak masanya jadi salji nampak dingin membeku. Kadangkala jadi macam angin sepoi bahasa, nampak tenang dan bersahaja. Bahkan ada kalanya jadi ribut taufan yang mengganas. Sukar untuk diramal sikap awak” komenku. Aqel diam. 

“Salji kan ramai orang suka. Beruntung ler saya macam salji” sahut Aqel menguntum senyum. Laju aku geleng kepala. Tidak setuju dengan pendapatnya itu. Aku maksudkan sikap dia persis salji. Bukan salji tempat orang meluncur itu. Hish.. hish... hish! Mesti anak muda Mak Long ini tidak faham bahasa simbolikku.

“Kenapa?” soal Aqel menuntut penjelasan lanjut.

“Ingat seronok ke berdepan dengan manusia yang bersikap salji nie? Apa yang saya rasa betul – betul menguji kesabaran malah kadangkala rasa membosankan” luahku tanpa berselindung. Yen menghadiah jelingan tajamnya padaku membuatkan aku tersenyum sendiri. Mesti dia kurang senang mendengar bicaraku tadi. Aku ikhlas meluahkan pendapatku.

“Jadi awak suka ler lelaki romantik seperti Haqem” balas Aqel menyebut sebaris nama lelaki itu. Senyumanku terus saja padam. Sudah tiada keinginan untukku berbual dengan Aqel lagi. Mujur juga kereta ini sudah memasuki perkarangan Syarikat KDUT. Jadi tidak perlu aku berbicara tentang lelaki itu. Setelah kereta memasuki parking dan berhenti, aku terus saja keluar mendahului langkah Aqel. Mahu menjarakkan diri daripadanya. Tidak mahu mengundang kontroversi mahupun menimbulkan kemarahan Rania.

“Flora...!” panggil Aqel. Langkahku terhenti. Nama itu sudah sebati dengan diri Aqel. Aku pula sudah tidak mampu menghalang Aqel dari terus memanggilku dengan nama itu biarpun hakikatnya tidak kusenangi.

“Awak tak letih ke asyik lari dari Haqem? Sejauh manapun awak nak bawa diri, awak takkan dapat lari dari Haqem. Awak tahu apa sebab? Bayangan Haqem masih membelenggu awak sebab awak sendiri yang tak nak melepaskannya” tutur Aqel tanpa kuduga. Buat pertama kali Aqel berbicara sejelasnya tentang halku dengan Haqem. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Tiba – tiba saja aku rasa marah kepada Aqel kerana telah merasakan dia telah mencampuri urusan peribadiku.

“Flora...!” Sekali lagi Aqel melaung nama itu. Kali ini aku sudah nekad tidak akan memberhentikan langkahku.

“Jangan lupa tengah hari nanti tunaikan janji awak” laung Aqel memperingatkan aku. Aku hanya memasang telinga pada laungan Aqel itu. Langkahku terus saja diatur memasuki ruangan lobi dan seterusya ke bilik operasiku. Kubaling beg galasku ke meja lalu menyandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Kulepaskan keluhan beratku. Bicara Aqel menghantuiku.

Tepat pada masa yang dijanjikan aku menanti Aqel di depan pintu utama KDUT. Walaupun tiada keseronokan untuk keluar bersama Aqel, namun aku  mesti menunaikan janjiku kepada pemuda dingin membeku itu. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling. Risau juga kalau Rania ternampak aku bersama Aqel. Lima minit berlalu, kelibat Aqel belum kelihatan lagi. Harap – harap Aqel terlupa untuk makan bersamaku. Alangkah baiknya kalau tiba – tiba saja dia ada hal penting yang harus tindakan segera lalu membatalkan saja rancangan hari ini. Kemudian meminta aku membelikan makanan tengah hari untuknya. Aku pasti dengan senang hati akan melakukannya. Harapanku terus saja musnah tatkala ternampak Aqel sedang mengatur langkah ke arahku.

“Mengapa? Awak tak gembira jumpa saya ke?” soalnya dengan wajah bersahajanya tatkala melihat reaksi yang terpamer di wajahku.

“Memang pun” sahutku tidak mahu menafikannya. Perasaan marahku padanya belum padam lagi.

“Malanglah kerana selamanya awak terpaksa berdepan dengan saya nanti” tutur Yen tersengih memperliku.

“Apa...” Aku tidak mengerti dengan bicara Aqel. Tamatnya kerjasama KDUT dengan CNF maka aku tidak perlu bekerja di sini lagi. Setibanya mak dan Aziq dari Mekah nanti, aku juga tidak perlu tinggal sebumbung dengan Aqel lagi. Maka tidak selamanya aku berdepan dengan dirinya.

“Mari .....” ajak Aqel melangkah ke kereta kesayangannya itu. Aku mengekori langkah Aqel. Sedikit menjarakkan diri darinya sebagai langkah keselamatan untuk melindungi diri. Andai tiba – tiba saja Rania muncul aku ada ruang untuk memberi alasan kepada gadis itu bahawa aku tidak bersama dengan Aqel ketika ini. 

“Awak duduk belakang ye....” arah Aqel yang begitu aku senangi. Aku dengan gembiranya dan bersenang lenang akan duduk sendirian di kerusi penumpang  belakang. Tanpa mempersoalkan arahannya itu, aku terus saja masuk ke dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe kebanggaan Yen ini. Lalu bersandar. Oh..., selesanya. Apatah lagi hembusan penghawa dingin yang baru dihidupkan menambah keselesaan yang berganda – ganda. Inilah nikmati memiliki barang mewah. Orang kata alah membeli menang memakai. Walaupun harga mahal namun memberi kepuasan yang maksimum.

Kira – kira lima minit sudah berlalu namun Peugeot RCZ Sports Coupe belum ada tanda – tanda mahu bergerak. Aqel belum mahu memulakan pemanduannya. Sesekali nampak dia melontar pandangan keluar. Lagaknya bagai sedang menantikan seseorang.

“Awak ada tunggu orang ke?” soalku setelah letih mentafsir gerak gerinya itu. Aqel memandangku melalui cermin belakang. Dia mengangguk.

“Siapa?” soalku ingin tahu.

“Awak tunggu sajalah siapa yang datang” sahutnya mahu berahsia. Aku mengeluh. Bosan bersoal – jawab sendiri. Lantas aku lupakan saja keinginanku hendak mengetahui gerangan orang yang membuatkan aku dan Aqel terpaksa menunggu akan kedatangannya ini. 

“Itu dia dah sampai....” tutur Aqel sekaligus mengarah aku berpaling ke cermin tingkap kereta ini. Maka ternampaklah aku susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berlari – lari anak ke arah kami. Aku tergamam.

“Aqel, mengapa awak ajak dia sekali?” soalku kurang senang dengan kehadiran Haqem. Sungguh aku tidak pernah mengalu – alukan kedatangannya ini. Kalau aku tahu Haqem akan turut serta pasti awal – awal lagi aku sudah membatalkan perjanjian ini. Aku lebih rela dituduh oleh Aqel sebagai penipu daripada duduk semeja dengan Haqem.

“Saya tak ajak, dia yang nak ikut” jawab Aqel cuba melindungi diri daripada disalahkan olehku.

“Tapi awak yang cakap nak makan dengan saya kan” dugaku. Aqel mengangguk disambut dengan keluhanku. Sungguh sikap Aqel membinggungkan aku. Dia langsung tiada pertimbangan. Sepatutnya Aqel lebih memahami keadaanku dengan Haqem sekarang.

“Anggap ler semua ni ujian untuk awak” ujar Aqel bersahaja sekaligus membangkitkan rasa marahku. Aku terus saja mempamerkan wajah masamku. Tatkala Haqem duduk di sebelah Aqel, laju saja aku mengalih pandanganku keluar. Statik di situ sehinggalah kereta ini mula bergerak dan tiba ke destinasinya. Sepanjang perjalanan tadi aku juga membisukan diri. Langsung tidak berminat mencelah perbualan Aqel dan Haqem walaupun kadangkala perbualan mereka perlukan respon daripadaku. 

Aqel sudah memilih untuk makan di sebuah restoran mewah. Timbul kerisauan di hatiku tatkala memikirkan harga makanan yang disediakan di sini. Mesti mahal harganya. Namun sedikit memberi kelegaan padaku tatkala mengingati aku memiliki kad kredit sebagai langkah berjaga – jaga. Kalau terdesak nanti bolehlah aku menggunakan. Sekurang – kurangnya tidaklah aku dimalukan oleh Aqel di depan Haqem nanti. 

Di restoran ini, aku diapit oleh dua orang jejaka tampan bergaya. Malah bertaraf jutawan. Banyak juga pandangan yang dilontarkan ke arah kami. Mesti ada yang memuji – muji kehebatan dua orang jejaka yang bersamaku tika ini. Dalam diam aku tumpang bangga. Makanan yang dipesan oleh Aqel dan Haqem sudah terhidang untuk dinikmati. Aqel tanpa sebarang bicara terus saja menikmati. Lagaknya bagaikan orang yang sedang kebuluran sangat. Anak muda Mak Long ini memang sikapnya sentiasa bersahaja.

“Lia, makan ler....” pelawa Haqem sebaik saja aku masih belum memulakan suapanku sebaliknya hanya memerhatikan gelagat Aqel. Aqel berpaling ke arahku. Mulutnya berhenti mengunyah. 

“Awak tak nak makan ke?” soal Aqel tercengang. Aku masih mendiamkan diri. Kewujudan Haqem bersama kami tika ini tidak memberi keselesaan kepadaku. 

“Nah, makan sayur nie. Baby corn nie macam bertih juga boleh buat orang cakap banyak” ujar Aqel lalu meletakkan hirisan jagung muda di pingganku sambil diperhatikan oleh Haqem. Aku menjeling Aqel. Terasa bicaranya itu sedang memerliku. Haqem pula merasakan ada kemesraan yang terjalin antara Aqel dengan Lia. Hatinya mula tidak tenteram. Dia cemburu.

Sepanjang sesi menjamu selera ini berlangsung aku tetap mendiamkan diri. Tidak berminat untuk mencelah perbualan Aqel dan Haqem selain menjadi pendengar setia. Perbualan Aqel dan Haqem terhenti tatkala telefon bimbitnya berdering. Aqel berbual – bual seketika dengan si pemanggil yang tidak aku ketahui gerangannya itu. Namun tampak mesra. Tiba – tiba saja Aqel berdiri menyentakkanku. Adakah Aqel berniat hendak meninggalkan aku bersama dengan Haqem di sini? Oh..., aku tidak sanggup berdua – duaan dengan Haqem tika ini! Sungguh...!!!

“Awak nak pergi mana?” soalku pada Aqel yang sudah terpacak bila – bila saja akan memulakan langkahnya. 

“Kamu berdua tinggal sini kejap ye... Saya hal sikit” tutur Aqel seraya menatapku dan Haqem. 

“Saya ikut awak” pintaku seraya berdiri di sebelah Aqel. Aku menatap Aqel memohon belas kasihannya agar membawaku pergi bersamanya. Lama Aqel
menatapku. Barangkali dia sedang membuat pertimbangan.

“Please....” rayuku sambil mempamerkan wajahku yang menagih simpatinya. Saat ini aku terpaksa melupakan keegoan diriku. 

“Tak pe.... awak bawalah Lia pergi sama” arah Haqem mencelah. Aqel menatap Haqem. 

“Kalau macam tu kau pergilah sekali” pelawa Aqel. Kupandang Aqel. Aku cuba memprotes tindakannya itu melalui pandangan mataku. Tidak suka kalau Haqem ada bersama kami.

“Saya tunggu kat sini je” sahut Haqem melegakanku. Sememangnya Haqem cukup sedar bahawa aku tidak menyenangi kehadirannya.

“Okeylah... kau tunggu kejap kat sini ye...”arah Aqel. Haqem mengangguk. Lantas Aqel memulakan langkahnya. Aku apa lagi terkejar – kejar langkah laju Aqel yang meninggalkan aku sambil diperhatikan oleh Haqem.

“Aqel ... tunggulah saya..” pintaku sambil cuba beriringan dengan langkah Aqel. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling menatapku.

“Awak nie macam budak –budak. Langsung tak matang” ujarnya sinis sambil serius menatapku. Aku hanya mendiamkan diri. Cukup mengerti maksud di sebalik bicaranya itu. Aku tahu Aqel tidak suka dengan tindakanku sekarang. Apatah lagi perkara ini melibatkan sahabat baiknya.

“Cubalah matang dan berani. Bukan jadi pengecut begini” tutur Aqel memarahiku. Aku tetap mendiamkan diri.

“Sampai bila awak nak melarikan diri daripada Haqem?” suara Aqel
masih sinis. Aku tetap mengunci mulutku.

“Saya benar – benar tak suka dengan tindakan awak ni. Sebagai kawan dan sepupu awak, saya malu dengan sikap awak ni” tegas Aqel berterus – terang. Terguris hatiku mendengar bicara Aqel ini. Lantas aku hanya mampu menundukkan kepalaku.

“Saya tunggu awak kat sini” tuturku memecah kebisuanku. Aqel menatapku. Lantas melepaskan keluhannya. Kemudian Aqel terus saja meninggalkan aku tanpa sebarang bicara lagi. Aku membawa diri duduk di bangku yang terlindung daripada pandangan orang ramai. Suara Aqel yang marahkan aku masih terngiang – ngiang di telingaku. Aku menundukkan wajahku. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Sesungguhnya, aku terluka dengan sikap Aqel. Apa yang aku rasa selama ini tidak semudah dia melontarkan kata – kata kesatnya itu. Ternyata Aqel langsung tidak memahami dan mengendahkan perasaanku. Kucapai telefon bimbitku. Aku terus saja menulis mesej lalu kuhantar kepada Aqel. Mesej itu selamat dihantar. Terus saja aku matikan telefon bimbitku. Aku bangun lalu mengatur langkah meninggalkan bangunan ini. Di luar aku segera mendapatkan teksi. Mujur juga tidak perlu menunggu lama. Teksi yang kutumpangi mula bergerak ke destinasi pilihanku. Untuk sekian kalinya aku menjauhkan diri daripada Aqel lagi.

“Mana Lia?” soal Haqem hairan tatkala melihat Aqel muncul sendirian. Aqel melepaskan keluhannya. Sudah banyak kali dia cuba menghubungi gadis itu. Namun telefon bimbit itu telah dimatikan buat seketika. Aqel tahu gadis itu tidak mahu menerima panggilannya.

“Dia dah pergi...” sahut Aqel. 

“Mengapa?” soal Haqem yang nampak tersentak. Aqel geleng kepala. Dia terus saja ke kaunter melangsaikan bayaran hidangan makan tengah hari mereka tadi.

“Kita balik office sekarang” ajak Aqel. Bingkas Haqem bangun lalu mengekori langkah sahabatnya itu. Sepanjang perjalanan itu Aqel dan Haqem hanya mendiamkan diri. Masing – masing berbicara dengan diri sendiri. Namun yang pasti kedua – duanya sedang memikirkan gadis itu. Aqel terasa bersalah terhadap gadis itu. Haqem pula terus terluka dengan sikap Lia yang masih mahu meminggirkan dirinya.

Aku memaksa diri melupakan kejadian sebentar tadi. Lantas aku mula menyibukkan diri dengan mengemaskini rekod – rekod yang lepas. Hujung bulan ini aku perlu menghantar laporan kepada Puan Rosie dan pihak KDUT.

“Awak pergi mana tadi?” Aku tersentak lantas mengangkat mukaku lalu melontar pandangan ke muka pintu. Aqel sedang melangkah mendekatiku. Aku meneruskan kerjaku tanpa mempedulikan kehadiran Aqel.

“Flora....!” Aqel nampak hilang sabar tatkala kehadirannya langsung tidak diendahkan olehku. Tiada moodku hendak bertikam lidah dengannya setelah dia menghujani aku dengan bicara kesatnya. Sakit hatiku kepada dirinya belum lenyap lagi.

“Saya cakap dengan awak nie... Kenapa awak balik sendiri tadi?” soal Aqel pantas merampas fail yang ingin aku capai. Aku kaget dengan tindakan Aqel.

“Nak tunggu awak terus sakiti perasaan saya...” lirih saja suaraku.

“Siapa yang sebenarnya sakiti perasaan awak?” soal Aqel sinis. Aku mendengus kasar. Aqel benar – benar telah menguji tembok kesabaranku.

“Rupanya awak masih tak sedar lagi...” bidas Aqel masih mahu menyucuk api kemarahanku. Tajam pandanganku menatap Aqel.

“Tinggalkan saya sendirian di sini...” pintaku.

“Ni ler perangai awak suka lari dari kenyataan” tegas Aqel serius.

“Cukup...!!!” jeritku penuh emosi. Senyap. Aqel nampak terkejut dengan tindakanku. Aku melepaskan keluhan panjangku.

“Awak tak tahu apa yang saya tanggung selama ni. Hati saya hancur. Seluruh kepercayaan yang pernah saya berikan kepadanya musnah. Saya dipermainkan sesuka hati. Kalau awak di tempat saya adakah semudah itu awak akan memaafkannya” tuturku perlahan. Setitis air mataku gugur ke pipi. Laju saja tanganku mengesatnya.

“Silapnya saya sangat mencintainya sebab itu luka saya dalam” keluhku tertunduk. Aqel menatapku. Mulutnya sudah terkunci.

“Jangan pedulikan saya.... Saya akan lari selagi saya termampu. Saya turut kesal kerana awak ada sepupu seperti saya yang sangat lemah. Jadi untuk menyenangkan perasaan awak, awak boleh anggap saya tak pernah wujud dalam keluarga awak. Maaf....” Aku terus saja melangkah meninggalkan Aqel terpacak di situ. Langkahku diatur ke bilik air. Di bilik air ini aku melempiaskan tangisanku. Setelah puas menangis barulah aku memunculkan diriku di bilik ini semula. Aqel sudah tidak berada di sini. Kucapai telefon bimbitku lalu menekan nombor telefon bimbit Nana.

“Assalamualaikum ...... Nana malam ni saya tumpang tidur rumah awak” tuturku perlahan.

“Terima kasih, Nana. Assalamualaikum....” Kusimpan kembali telefon bimbitku di dalam beg galasku. Aku melepaskan keluhan beratku.

  “Aku akan lari selagi aku termampu....” ujarku sendirian lalu memejamkan mataku.