Thursday 23 February 2012

Milik Siapakah Hati Ini? 7



Bab 7

Sepanjang perjalanan balik sehinggalah aku sampai di rumah sewa kami, aku masih memikirkan tentang pemuda tadi. Terkeliru dan terkejut. Itulah yang menyerang diriku saat ini. Terkeliru kerana dia seakan tidak mengenaliku dan terkejut kerana aku dipertemukan dengannya pada saat aku belum cukup bersedia.

Aku langsung tidak menjangka akan berhadapan dengan wajah itu lagi setelah aku meluputkan dari ingatanku. Pada pendapatanku, aku hanya berhadapan dengan  wajah itu pada hari pertama ketika aku menyerangnya dan pada hari itu juga merupakan pertemuan terakhir kami secara bersemuka. Selepas itu aku tidak akan menemuinya lagi setelah seminggu aku mempersiapkan diri menunggu kemunculannya. Kata hatiku telah memutuskan bahawa itulah pertemuan pertama dan terakhir antara aku dengannya.

Namun hari ini, tiba-tiba saja dia terpacak depanku malah turut mencelah perbualanku dengan Anie. Sesuatu yang cukup memeranjatkanku. Mujur juga dia tidak berkasar denganku. Barangkali dia sudah lupa tentang pertemuan pertama kami yang penuh dengan trajedi. Seperkara lagi yang memusykilkanku tentang identiti dirinya. Betulkah dia pemuda Cina itu? Atau jangkaanku yang silap? Maksudku orang yang serupa tetapi aku tersilap meletakkan identiti sebenar dirinya. Mana mungkin Kak Sofea dan Anie bersahabat dengan ahli kongsi gelap jikalah benar telaahku padanya.

Semuanya berlegar-legar di ruang kepalaku. Buntu. Aku gagal menemui jawapan yang sejelas-jelasnya. Apakah dia pura-pura tidak mengenaliku? Kemudian akan muncul semula membinasakan nasib baikku. Ahh....! Logik kata Lina. Andai pemuda itu di kalangan ahli kongsi gelap, dia tidak perlu memanjangkan waktu untuk memberi pengajaran kepadaku. Ibarat si harimau buas yang akan terus menerkam mangsanya.

Aku meletakkan kepalaku di sofa, mendongak hamparan siling yang putih ceria. Mataku langsung tidak berkedip-kedip. Aku nampak bayangan wajahnya di mataku. Aku melihat senyumannya. Lagaknya ibarat seorang kawan. Datang dan pergi dengan penuh santun. Kenapa sebentar tadi dia tidak berdiri di depanku sebagai musuh? Sakit kepalaku memikirkannya.

Entah kenapa aku terlalu serius dengan perkara ini. Mungkin Anie boleh memberikan jawapan yang terbaik buatku. Anie? Ohh... pasti dia akan mempersoalkan refleksiku terhadap pemuda itu. Dijangka Anie akan menghujaniku dengan pelbagai persoalan selaras dengan bidang kewartawanan yang dituntutnya. Anie tolong jangan soal aku tapi berilah aku jawapannya! Jerit hati kecilku.

“Nitie.... bangun” sayup-sayup ada suara lembut berbisik di cuping telingaku. Perlahan-lahan kuangkat kedua-dua belah kelopak mataku. Lina sedang menunduki aku yang terbaring di sofa. Rupanya aku tertidur tadi. Terasa lenguh-lenguh seluruh anggota badanku.

“Dah dekat nak Maghrib” beritahunya sambil berganjak menjauhiku.

Aku bangun dan tersandar di sofa. Belum berniat untuk meninggalkan ruang tamu. Lina kembali dari dapur dan terus melabuhkan punggung berhadapan denganku.

“Kau tak sihat ke?” soalnya sambil menatapku.Aku hanya geleng kepala.
“Rasa letih sangat hari nie” tuturku perlahan.Yalah setalah memerah otak sehabisnya. Aku rasa lesu sangat sehingga akhirnya aku terlelap di sofa ini. Kutatap wajah Lina.

“Kenapa? Kau nak cakap sesuatu ke?” duganya. Barangkali dia menyedari sikapku sedikit ganjil hari ini. Pantas aku geleng kepala. Bingkas aku bangun dan berniat untuk masuk ke bilik. Aku ingin segera mandi agar aku dapat menyegarkan kembali diriku. Sekurang-kurangnya air adalah penawar kesegaran tubuh badan yang paling mudah ditemui.

“Nitie, kau ada masalah ke?” Langkahku terhenti. Aku berpaling semula menatap Lina. Hanya gelengan kepala yang mampu aku berikan sebagai jawapan atas persoalannya itu.

“Orang baru bangun tidur memang tak banyak cakap” luahku bersuara cuba mengusir kebimbangan Lina padaku. Lina ketawa. Sudah cukup aku menyakinkan Lina bahawa aku tidak menghadapi sebarang kesulitan. Tiada perkara yang serius menimpaku. Lantas kusambung kembali langkahku. Aku mandi sepuasnya. Lama juga aku berada di bilik air. Bila terasa tubuh mula menggigil barulah aku berhenti.

“Nitie... jom makan” laung Lina memanggil namaku. Aku bergegas keluar. Kulihat Lina sudah menantiku di meja makan. Aku duduk bertentangan dengannya.

Sorrylah aku tak sempat tolong kau masak” ujarku serba salah.
“Takpe masih ada kerja lain aku tinggal untuk kau” Aku tersenyum. Seketika sepi. Sesekali kedengaran sudu dan pinggan berlaga.

“Emm.. sedap” pujiku sambil melumat sambal tumis udang yang Lina masak. Lina tersenyum bangga mendengar pujianku.

“Lain kali kau masak lagi untuk aku ye” sakatku.
“Banyak cantik muka” cemuh Lina. Aku tertawa. Kuceduk lagi sambal tumis udang dan sayur campur. Malam ini memang menyelerakan.

“Tengok aku banyak makan” Lina tersenyum.

“Kau tu dah kereping kenalah ambik lebih sedikit” perlinya. Sekali lagi aku ketawa. Lucu aku mendengar gelaran yang Lina berikan kepadaku itu.

“Lelaki tak suka kalau kurus sangat” ujarnya memperingatkanku. Aku hanya tersengih. Barangkali satu hakikat yang harus aku terima.

“Kau tahu pagi tadi siapa yang aku jumpa” tuturku berteka-teki. Lina menatapku.

“Siapa?” soalnya pantas.

“Pemuda Cina yang kotorkan bajuku tu”

“Kat mana kau jumpa dia? Dia ada buat apa-apa tak?” soalnya Lina bertimpa-timpa. Aku tersenyum melihat sikap Lina yang tidak pernah berubah. Sering saja pertanyaannya berlumba-lumba tanpa mempastikan yang mana satu harus didahulukan. Pandangan Lina masih padaku.

“Kat kedai bunga tadi. Siap sekali bercakap denganku. Aku rasa dia tak cam muka aku”ceritaku.

“Betul ke dia tu ahli kongsi gelap?” soal Lina lagi. Aku angkat bahu. Tidak dapat kupastikan kenyataan itu. Yang jelas pada pandangan mataku aku melihat ada tali hitam halus merantaii lehernya, sesuatu yang tidak terlalu asing buat pemuda-pemuda Cina. Barangkali dia menggantungkan azimat di situ. Entah kenapa perkara remah itu pula yang menarik perhatianku.

“Aku rasa dia tu taklah bahaya sangat” komenku sebegitu yakin. Tiba-tiba saja aku dapat rasakan bahawa dia bukanlah seorang yang samseng. Mungkin tepat pemuda itu bukanlah seorang ahli kongsi gelap. Adalah sesuatu yang mustahil kalau Kak Sofea dan Anie mempunyai hubungan baik dengan kumpulan sebegitu.

“Okeylah kalau kau rasa macam tu” sokong Lina menyedapkan hatiku.

“Yang lawaknya aku betul-betul terkejut dengan kemunculannya di depanku itu. Langsung satu perkataan pun tak keluar dari mulutku” ceritaku disusuli gelak mentertawakan diriku sendiri.

Lina turut tertawa. Agak melucukan juga bila aku yang rancak berbual dengan Anie tiba-tiba saja kehilangan suara untuk terus berbicara. Apatah lagi gambaran wajahku tika itu. Kemunculannya itu benar-benar mengundang seribu rasa dihatiku. Tergamam, terkejut, takut, semuanya berbaur menjadi satu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Aku tercengat di luar berdekatan dengan kelas menanti kedatangan Adie. Petang tadi dia sudah menyatakan akan datang menjemputku sebaik saja kelas tamat. Walaupun pada mulanya aku keberatan kerana takut menyusahkannya, namun setelah dia menyatakan kedatangan semata-mata ingin melepaskan kerinduan kepadaku, aku tiada alasan lain untuk menghalangnya menjemputku. Nun jauh di sudut hati aku pun merinduinya malah aku cukup gembira menerima kehadiran Adie.

“Nitie tak balik lagi?” tegur Noni kawan sekelasku.

“Tunggu kawan ambik” balasku tersenyum.

Okay see you tomorrow” ujarnya lalu bergerak meninggalkan aku. Beberapa minit selepas Noni berlalu meninggalkan aku, Adie pun muncul tepat-tepat di depanku. Aku segera memasuki kereta lalu duduk di sisinya. Adie tersenyum menatapku.

“Lama tunggu?” soalnya bersuara.

“Tak, kelas baru je habis” terangku. Adie terus saja memandu kereta ke jalan utama. Lagu When Will I See You Again yang disampaikan melalui petikan piano beralun merdu memenuhi ruang sepi. Aku sudah cukup hafal dengan lagu-lagu yang terdapat dalam koleksi Romantic Piano milik Adie ini. Sungguh aku menyukai petikan piano yang dimainkan oleh Richard, seorang pemain piano profesional.

“Dah makan?” soal Adie sambil menoleh kepadaku.

“Belum. Jom kita makan” ajakku tanpa segan silu.

Adie mengangguk dan tersenyum. Kami makan di sebuah restoran yang menyediakan makanan laut. Seperti biasa aku menyerahkan sepenuhnya kepada Adie untuk menentukan menu. Adie sudah arif benar tentang seleraku. Dia mengetahui jenis masakan apa yang aku gemar makan atau masakan apa yang akan ditolak oleh tekakku. Kiranya aku ini agak cerewet jugalah dalam pemilihan makanan. Namun dalam bab ini Adie tidak menghadapi masalah tika melayani seleraku. Tahu apa sebabnya? Kerana Adie adalah aku dan aku adalah Adie.

Aku dan Adie memiliki citarasa yang sama. Sesuatu yang amat menarik dan jarang sekali ditemui pada orang lain biarpun pasangan yang tengah hangat bercinta. Maka dengan itu juga aku tidak perlu bersuara setiap kali makan di luar bersama Adie. 

 “Makan banyak sikit” arahnya seperti selalu. Aku menatap udang galah bakar di depanku. Tampak menyelerakan. Pantas saja aku mencapai pisau dan gerpu. Perlahan-lahan kuletak ke dalam mulut kerana bahangnya masih terasa. Sedap.

“Macam mana dengan kelas?” soal Adie mematikan tumpuanku sepenuhnya pada hidangan di depan ini.

“Okey. Cuma busy sikit” jawabku ringkas. Adie tersenyum. Tanpa aku cerita pun Adie sudah tahu sebab dia juga pernah melalui saat-saat itu malah lebih hebat lagi terutama tika dia melanjutkan pelajaran di over sea. Bukan setakat tekanan pelajaran malah keadaan hidup di negara asing juga turut memberikan tekanan hebat padanya. Pada yang lemah pasti akan tersungkur.

“Tapi lama lagi nak real exam, kan” tuturnya cuba menenangkanku. Aku mengangguk.

However, aku kena prepared awal” balasku masih ada sisa-sisa kerisauan. Aku tidak mahu gagal dalam erti kata sebenar. Kalau boleh masa dan tenaga yang kukorbankan selama ini akan membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

“Jangan risau, aku yakin kau mampu lakukan yang terbaik. You are strong person” tutur Adie membuatkan aku tertawa.

Wajahku kembali ceria. Harap-harap aku tidak akan menghampakan diriku sendiri. Jauh sekali menayangkan wajah murung pada Adie, Lina dan Kak Sofea. Kalau boleh aku ingin menghadiahkan kejayaanku kepada mereka yang selama ini memberikan sokongan padu padaku.

“Nitie, aku nak jumpa kawanku kejap” suara Adie mengejutkanku. Kulihat Adie sudah bangun dan bergerak mendapatkan kawannya. Tanpa pedulikan orang di sekelilingku yang semakin ramai, aku terus melayan seleraku. Sesekali memandang ke arah Adie yang sedang berbual-bual dengan kawannya itu.

“Fan..., give me five minute” pintanya sambil sempat tersenyum pada Adie yang baru saja dikenalinya itu. Gadis berambut perang itu terus saja bangun tanpa memberitahu tujuan sejelas-jelasnya. Dari jauh nampak dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Rupanya dia ingin membuat panggilan.

“Kat mana kau jumpa gadis mat salleh tu?” Fandi tersenyum lebar. Baginya bukan sesuatu yang sukar untuk mengajak gadis-gadis cantik menemaninya ke mana saja.

Mix, Eurasian and Chinese” ujarnya memperbetulkan tanpa menjawab persoalan tadi. Adie hanya tertawa menyedari akan kesilapannya itu. Gadis yang dikenalinya sebagai Clarissa itu nampak up to date sangat tidak kira sama ada dari segi penampilan mahupun sikapnya.

“Aku dah accept. Thanks kerana tolong aku” Fandi hanya senyum. Dia tahu sudah menjadi kewajipannya untuk menghulurkan bantuan kepada sahabat karibnya itu. Mana tahu suatu hari nanti dia juga perlukan pertolongan daripada sahabatnya itu.

“Clarissa dah habis berbual tu, aku pergi dulu” ujar Adie seraya bangun ingin meninggalkan Fandi bersama gadis itu.

“Jumpa kat office esok” Adie hanya mengangguk lalu meninggalkan Fandi yang ditemani gadis cantik itu. Dia tidak mahu kewujudannya di situ akan mengganggu special night mereka. Sudah cukup dia menegur sapa sahabatnya itu. Kebetulan pula ada seseorang yang sedang bersendirian menanti akan kedatangannya. Itu lebih penting lagi.

Sorry lambat sikit”Adie kembali mendapatkan tempat duduknya.

“Aku jumpa kawan satu kerja tadi” ceritanya tanpa kupinta.

“Boleh berkenalan?” dugaku.

“Tak boleh. Bahaya” halangnya.

“Kenapa?” soalku hairan.

“Dia mata keranjang. Kebetulan dia very handsome and can get anyone” terang Adie bersungguh -sungguh sekaligus membuatkan aku tertawa panjang.

You not trust me?” soalku meminta kepastian.

“Bukan aku takut kau terpikat kat dia tapi aku takut dia terpikat kat kau” usik Adie sambil tersenyum lebar. Aku mencebik bosan. Pandai pula dia mengambil hati. Lebih sejam kami menghabiskan masa di situ. Kira-kira dalam pukul 11.20 malam aku sudah tiba di perkarangan rumah sewa kami.

Thanks” ujarku sambil tersenyum pada Adie.

“Tidur awal sikit ye” nasihatnya. Aku hanya mengangguk.

If you have any problem, don’t forget call me. Okay” ujarnya memperingatkanku untuk kesekian kalinya. Aku mengangguk lagi. Keprihatinan Adie kepadaku sememangnya tidak pernah luak.

“Jaga diri baik-baik” pesanku. Aku memerhatikan Adie berlalu sambil membalas lambaian tangannya. Perlahan-lahan aku mengatur langkah memasuki rumah. Tatkala daun pintu terkuak, aku nampak Lina sedang leka menonton tv. Aku bergerak mendekatinya.

“Hai... baru balik” sapanya tersenyum mendahuluiku. Aku mengangguk lalu singgah di situ untuk berbual seketika dengannya.

“Kau dah lama sampai?” soalku pula.

“Adalah dalam 30 minit. Bagaimana dengan date malam nie?” soalnya tersenyum.

“Okey” balasku ringkas. Pandangan kami sama-sama tertumpu pada kaca tv. Tiba-tiba saja ketawaku dan Lina berpadu. Aksi pelawak itu betul-betul melucukan hati. Aku menguap beberapa kali.

“Aku masuk dulu” beritahuku seraya melangkah meninggalkan Lina di ruang tamu.

“Nitie, aku ada letak buku yang kau nak kat atas meja study kau” beritahunya sekaligus mematikan langkahku. Pantas aku berpaling menatap Lina semula.

“Terima kasih Lina” tuturku gembira.

“Jangan lupa bayar tau” guraunya. Aku mengangguk dan tersenyum. Pantas kusambung kembali langkahku. A History of Education Before The Middle Ages, tulisan F.P. Graves menyambut kedatanganku. Aku tersenyum puas. Dengan adanya buku ini melengkapkan lagi reference collectionku.

Setelah siap membersihkan diri serta menukar pakaian, aku segera berbaring ke tilam dan buku tebal tadi sudah berada di tanganku. Kelazimannya sebelum aku melelapkan mata, sudah semestinya aku akan membaca sebarang buku untuk mengisi ruang yang ada sehinggalah aku rasa mengantuk.

Aku memulakan bacaanku pada muka surat pertama. Tanpa aku sedari rupanya jam sudah hampir-hampir mencecah ke pukul 1.00 pagi. Sungguh aku leka dengan ilmu baru yang kutimba. Mahu tidak mahu aku terpaksa menamatkan pembacaanku setakat itu dahulu walaupun keseronokan sudah mula terasa.

Aku harus tidur sekarang kerana esok aku perlukan tenaga untuk meneruskan rutin kehidupanku. Kuletakkan buku itu di meja di sisi katil lalu mematikan suis lampu. Aku membaringkan tubuhku semula. Kurapatkan kelopak mataku.

Monday 20 February 2012

'143......Tiada Penghujungnya' 21


 BAB 21

Anak mataku tidak lari – lari dari menatap jam di dinding. Menghitung detik berlalu. Betapa terasa lambatnya masa bergerak. Ya Allah, Engkau berilah perlindungan kepada Daniel. Engkau berikan kesempatan untuknya terus bernafas untuk meneruskan kehidupannya di alam fana ini. Doaku dari tadi tidak putus – putus. Betapa mesej yang kuterima dua jam lalu begitu mengejutkan aku. 

“Ayah tengok Liya nie nampak gelisah je dari tadi” tegur ayah yang baharu saja melangkah ke ruang tamu sebaik saja selesai menikmati makan tengah hari. Ayah terus saja melabuhkan punggungnya di sofa bertentangan denganku.

“Liya, ada masalah ke?” soal ayah sambil menatapku. Aku geleng kepala. Ternyata aku tidak mampu menyembunyikan gelodak perasaanku. Pandangan ayah buat aku tidak keruan.

“Kawan Liya cedera. Nie yang Liya risau ayah. Liya belum tahu lagi bagaimana keadaan dia sekarang” jelasku.

“Antara yang bertiga tu yang mana satu cedera tu?” soal ayah bertanya lanjut. Pasti difikiran ayah sekarang antara Zatul, Umie ataupun Fatin. Setahu ayah hanya merekalah sahabat akrabku. Aku geleng kepala.

“Bukan mereka ler ayah” sahutku.
“Budak lelaki yang hantar Liya balik rumah dulu tu ke?” soal ayah fokus pada Daniel pula. Tepat tekaan ayah. Aku mengangguk.

“Kenapa dengan dia? Teruk ke cedera dia?” soal ayah bertubi – tubi. Aku geleng kepala. Pertanyaan ayah tidak mampu kujawab. Sebenarnya persoalan ayah itu juga sedang bermain di kepalaku. Aku berharap sangat kalau Zatul, Umie mahupun Fatin akan menghubungiku untuk menjelaskan perkara ini lebih lanjut. Risau hatiku bila memikirkan keadaan Daniel sekarang. Simpati juga pada Nek Jah. Aku teringin juga berada di sisi Nek Jah dalam situasi cemas sekarang. Namun keadaanku sekarang tidak mengizinkan aku untuk bergerak jauh.

“Liya cuba tekan nombor telefon dia, mana tahu ahli keluarga dia akan jawab” cadang ayah cuba melenyapkan kebuntuanku. Kupertimbangkan bicara ayah sedalamnya. Wajarkah aku menghubungi Daniel ketika hubunganku dengan dirinya berantakan? Tambahan pula aku yang meminta dirinya menjauhiku. Andai kata aku menelefonnya, sudikah Daneil menjawabnya nanti?  Aku mengeluh kecil. Sungguh aku dalam delima sekarang. Perasaanku berbelah bahagi. Kupandang telefonku yang masih terletak di atas meja.

“Liya tak boleh ler telefon dia sekarang takut mengganggu” putusku memberi alasan. Ayah mengangguk.

“Kalau macam tu tak payah ler Liya telefon dulu. Rasanya tak ler serius sangat cedera dia tu” ujar ayah. Kali ini ayah cuba pula menenangkanku. Aku pun berharap sangat kecederaan Daniel tidaklah teruk.

“Siapa nama budak tu?” soal ayah.
“Daniel” balasku ringkas. Ayah tersenyum sendiri. Tidak tahu apa yang ada dalam fikiran ayah sekarang.

“Ayah nak siap sedia sekarang. Kejap lagi nak kerja balik” tutur ayah lalu bangkit dari duduknya. Aku mengangguk sambil menyoroti langkah ayah. Melihat ayah aku rasa terharu pula. Kalau aku sudah bekerja nanti, aku tidak akan benarkan ayah bersusah payah mencari rezeki untuk kami lagi. Biarlah aku yang menyara hidup ayah sepanjang hayatnya. Aku mahu membahagiakan hidup ayah. Tiba – tiba saja nadi dering telefonku berkumandang. Bicara hatiku terus padam. Laju tanganku mencapai telefonku di atas meja ini. Nama Zatul terpamer pada skrin. Panggilan yang betul – betul kuharapkan tika ini. Tidak sabar rasanya untuk aku berbual dengan Zatul. Gadis yang penuh informasi tentang Daniel. Zatul sentiasa saja ada cerita berkaitan Daniel. Justeru, dia mampu memberikan pengetahuan atau keterangan tentang diri Daniel. Jatuh hatikah Zatul pada Daniel pemuda yang selalu saja diagung – agungkannya itu?

“Assalamualaikum, Liya. Kau sihat hari nie?” suara Zatul menyapaku.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah ada kurang sikit sakitnya tapi pergerakanku masih terbatas” jelasku.

“Kejap lagi sihat ler tu” tutur Zatul cuba melapangkan dadaku.

“Insya – Allah" balasku redha dengan ketentuan Allah. Semua ini adalah ujian Allah buatku. Ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan dugaan yang diberikan kepada hambaNya yang lain. Namun semua ini  memerlukan kesabaran dan ketabahanku untuk mengharunginya.

“Kau dah dengarkan apa yang berlaku pada Daniel” teka Liya.

“Aku hanya tahu dia cedera. Kenapa dengan dia Zatul?” soalku. Senyap. Kedengaran keluhan kecil Zatul. Nampak dia kurang selesa untuk bercerita tentang hal ini sedangkan hatiku melonjak – lonjak ingin mengetahui cerita sebenarnya.

“Tangan Daniel kena tujuh jahitan. Teruk juga lukanya. Mujur luka tu bukan kat pergelangan tangan” cerita Zatul. Kali ini giliranku pula yang mengeluh.  Aku membayangkan nadi nyawa manusia di kawasan pergelangan tangan. Bukankah sudah menghampiri pusat pergerakan nadi.  

“Macam mana tangan dia boleh luka? Dia bergaduh ke?” soalku bertubi – tubi. Zatul senyap lagi. Kali ini dia tidak teruja bercerita tentang Daniel tidak seperti selalu. Mungkinkah dia cukup berhati – hati untuk memperkatakan tentang Daniel di depanku memandangkan hubunganku dengan Daniel tegang sekarang.

“Tak tahu apa pasalnya dia tumbuk cermin muka kat bilik air di sekolah waktu rehat tadi” jelas Zatul.

“Apa!” Aku terlopong mendengar cerita Zatul tu. Daniel memang manusia yang tidak tahu untuk merasa sakit. Bahkah dia juga tidak terlalu sayang dengan nyawanya. Seringkali tindakannya membahayakan dirinya. Bilakah agaknya dia akan berubah sikap dan hidup lebih berhati – hati?

“Tapi aku rasa ......” bicara Zatul tergantung.
“Apa yang kau rasa?” cepat saja aku menyoal Zatul.
“Kalau aku cakap kau jangan marah ye, Liya” pinta Zatul.
“Ya, cakap ler” gesaku. Zatul menghela nafas panjang.

“Aku rasa hal nie ada kaitan dengan kau ler Liya. Sejak kau minta Daniel menjauhkan dirinya dari kau, nampak sangat emosinya tak stabil. Farhan kata, sebelum kejadian tu, dia dan Boney ada cakap pasal kau. Mereka setuju ler kau dan dia tak rapat lagi memandangkan Sara selalu membahayakan kau. Lepas tu Daniel terus saja   pergi tanpa sebarang kata meninggalkan Boney dan Farhan. Tup – tup... dengar Daniel cedera parah di bilik air” jelas Zatul panjang lebar.

“Mungkin dia marah sebab Boney dan Farhan mengaitkan Sara dalam hal nie” ujarku  berandaian sendiri sekaligus cuba mententeramkan gelodak perasaanku tika ini. Sukar untukku terima kalau tindakan Daniel itu berpunca daripadaku.

“Kau masih mahu menafikannya, Liya” keluh Zatul. Aku diam. Tidak tahu
apa yang harus aku perkatakan pada Zatul. Fikiranku buntu.

“Perasaan Daniel pada kau memang ikhlas. Dia betul – betul sukakan kau, Liya” suara Zatul ditekan. Betapa Zatul ingin memberitahu padaku bahawa seriusnya dia mengatakan semua itu. Aku terdiam panjang. Tiada tindak balas yang aku berikan pada bicaranya itu. Kedengaran keluhan kecil Zatul. Barangkali dia kecewa dengan sikapku yang hanya membisukan diri.

“Okey ler Liya, aku tak nak ganggu kau. Berehat ler ye. Assalamualaikum...” Klik. Suara Zatul sudah tidak kedengaran lagi. Lagak Zatul persis orang yang sedang merajuk. Mungkin betul Zatul sedang merajuk denganku. Kuletakkan telefonku di atas meja semula lalu aku membaringkan tubuhku di sofa ini. Cuba berlagak tenang sedangkan fikiranku berkecamuk. Dalam masa yang sama aku turut risau pada Daniel. 

Kupandang lagi telefon di atas meja ini. Mula membuat pertimbangan yang tidak sudah – sudah. Banyak kali aku berfikir namun satu keputusan muktamad belum aku temui. Patutkah aku menghubungi mahupun mengirim mesej kepada Daniel untuk bertanyakan keadaan dirinya? Haruskah aku tunjukkan rasa simpati dan kerisauanku ini kepadanya? Nanti bagaimana pula penerimaan Daniel? Bersediakah aku andai Daniel terus mengguris perasaanku ini? Ohh, banyaknya persoalan yang bercambah di kepalaku. Pening! Pening! Aku benci situasi yang aku alami sekarang. Barangkali kerana keletihan berfikir, akhirnya aku tertidur di sofa ini. Lupa seketika tentang Daniel dan lupa tentang segala – galanya.

“Liya bangun! Bangun Liya dah nak Maghrib nie. Astagfirullah budak nie waktu Maghrib macam nie masih tidur” sayup – sayup kedengaran suara ayah mengomel menusuk pendengaranku. Perlahan – lahan aku membuka mata. Ayah sedang menatapku di ambang pintu. Rupanya ayah baharu saja sampai rumah.

“Cepat pergi mandi. Kejap lagi kita solat Maghrib berjemaah” tutur ayah seperti selalu. Aku mengangguk. Namun belum berganjak lagi. Masih terasa mamai selepas lena yang panjang. Tidak pernah – pernah aku tertidur lama begini. Sebetulnya kalau aku sihat jarang sangat aku berada di rumah. Hanya kerana aku dan Daniel ada masalah, tambahan pula kecederaan di buku laliku yang membuatkan aku jadi penunggu setia rumah ini. Melihat ayah masih menatapku, perlahan – lahan aku bangkit dari sofa. Niat mahu ke bilik air untuk mandi membersihkan diri sebelum menghadap Allah yang Maha Esa.

“Hati – hati” pesan ayah tatkala melihat aku mula bergerak meninggalkan ruang tamu. Aku mengangguk dan sempat mengukir senyuman pada ayah.

Usai memanjatkan doa solat Maghrib, aku dan ayah membaca surah yasin sebagai pengisian waktu menantinya solat Isyak. Aku terus saja mencium naskhah yasin setelah selesai membacanya bersama ayah. Terasa diriku begitu tenang. Sesungguhnya Allah mendengar suara hatiku yang memohon kelapangan dada sepanjang hayatku. Aku juga meminta pada Allah agar membimbing setiap tindakanku agar aku tidak terpesong dalam melayari bahtera hidup ini. Usai solat Isyak, aku memohon pada ayah untuk berehat di bilik. Aku ingin sekali berbaring – baring sekarang.

Sudah berkali – kali aku menatap telefon di depanku ini. Sikap was – was sangat disukai oleh syaitan. Lantaran itu, aku nekadkan diriku untuk menghantar mesej pada Daniel. Tidak peduli sama ada dia menerima baik mesej yang aku hantar ataupun terus dingin padaku. Aku sudah bersedia menerima sebarang reaksi Daniel padaku. Niatku cuma satu. Aku ikhlas untuk mengetahui keadaan dirinya. Lantas laju saja jari – jemariku menekan huruf – huruf lalu membina ayat yang bertanyakan keadaan dirinya serta doa pengharapan agar dia pulih seperti sediakala. Kemudian aku terus saja menghantar mesej itu pada Daniel. Betapa leganya hatiku bila saja akhirnya aku mampu berkomunikasi tanpa lisan dengan Daniel.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi mesej yang kuterima. Aku tersenyum dan teruja dengan kedatangan mesej itu. Barangkali mesej balasan daripada Daniel. Laju saja jari – jemariku membuka kotak mesej. Senyumanku terus saja lenyap tatkala menatap sebaris nombor yang tertera pada mesej yang belum dibaca sepenuhnya. Nombor ini bukan milik Daniel. Nombor yang aku nampak siang tadi mengunjungiku lagi. Timbul persoalan gerangan siapakah pemilik nombor ini? Mengapa dia menghantar bait – bait puitis ini kepadaku? Adakah aku mengenali dirinya? Ada bicara indah lagi dikirimkan padaku. Betulkah bait – bait indah ini untukku?    
       ~ If I could choose only one person in this world with whom I could live.... That  would be YOU! ~ 

 Lantas kuhantar mesej balasan.

~ Who are you? ~ 

Nada dering mesej yang baru masuk kedengaran lagi. Tetap nombor yang sama. Masih juga bait – bait indah dan puitis. Persoalanku tidak dijawab.

~ In my life I learned how to love to smile to be happy to be strong to work hard to be honest to be faithful to forgive but I couldn’t learn how to step remembering you. MISS YOU! ~

Mesej kedua yang dihantar lebih panjang lagi. Tiba – tiba aku rasa mahu marah saja pada si pengirimnya. Sungguh aku tidak menyenangi diperlakukan begini! Manakala mesej yang kuhantar pada Daniel belum dibalaslagi. Mungkin  Daniel tidak mahu membalas mesejku itu. Aku pasrah.

Sunday 19 February 2012

Milik Siapakah Hati Ini? 6



Bab 6

“Selamat pagi Tuan” sapaan yang bertali arus daripada orang bawahannya.

“Selamat pagi” balas Tun Adam sambil mengangguk dan tersenyum mesra. Dia melangkah penuh berkrisma. Hari ini bermula lagi rutin kehidupannya di tempat kerja.

Good morning sir” sapa Liza setiausahanya.

Good morning” balasnya tersenyum mesra. Tun Adam sudah terpacak di depan wanita itu.

“Kalau Encik Fandi dah sampai nanti, bagitau saya nak jumpa dia” pesannya. Liza mengangguk. Tun Adam kembali menyusun langkahnya.

Sir” panggilnya lagi membuatkan langkah Tun Adam terhenti. Dia menoleh menatap wajah setiausahanya itu.

Sorry sir, forgot is tell you, the fax has arrived from London” ujarnya memaklumkan.

Okay..send to me” arahnya dan terus melangkah. Tun Adam menyandarkan tubuhnya pada kerusi itu. Ada beberapa buah fail di depannya yang perlu diteliti. Dia menyambung kembali kerja-kerjanya semalam sambil menanti kedatangan Fandi.

Dari malam semalam dia tidak nampak cucu kesayangannya itu. Apatah lagi pagi ini Fandi keluar awal sedikit kerana hari ini dia ada urusan kerja di branch office di pinggir bandar ini. Ada perkara yang perlu dibincangkannya yang sejak semalam tertangguh. Sejam sudah berlalu Fandi belum juga muncul. Akhirnya Tun Adam terus alpa dengan penantiannya lantaran mula leka dengan kerja-kerjanya. Tiba-tiba saja daun pintu diketuk.

“Masuk” arahnya tanpa sempat memandang ke muka pintu.

“Atuk nak jumpa Fandi?” soalnya satu suara yang cukup dikenalinya. Pantas Tun Adam mengangkat mukanya beralih daripada fail tadi. Anak muda itu sudah terpacak berdiri di depannya.

“Ha... Fandi. Duduk” arahnya. Fandi menurut saja arahan atuknya. Dia sudah pun duduk kemas tepat-tepat di hadapan Tun Adam malah sudah bersiap sedia untuk mengadakan sebarang perbincangan. Seketika wajahnya ditatap buat Fandi tersengih panjang. Apa tidaknya dia rasa lawak apabila diperhatikan sedemikian rupanya oleh atuknya.

“Macam mana dengan branch office kita kat Anggerik town tu?” soalnya memulakan bicara.

So far everything okay” balasnya tenang. Tun Adam berdehem-dehem kecil beberapa kali. Fandi tahu kedatangannya ke situ bukan sekadar untuk menjawab persoalan itu malah ada perkara yang lebih penting lagi yang ingin Tun Adam bincangkan dengannya. Sepasang mata tua atuknya masih setia menjamah setiap inci wajahnya.

Bagi Tun Adam pula berhadapan dengan wajah itu sedikit sebanyak akan mengingatkannya kembali pada Farid Yusyairie yang sudah 20 tahun meninggalkannya. Biar pun tampak sepenuhnya fizikal sebelah ibu yang diwarisi oleh Fandi namun Tun Adam dapat melihat masih ada bayangan anak tunggalnya yang ditinggalkan pada wajah itu. Senyuman dan yang sentiasa menyenangkan itulah senyuman Farid Khusyaini suatu tika dulu.

Kini dia telah kehilangan tempat yang pernah disandarkan harapan yang tinggi. Dalam masa yang sama juga Tun Adam benar-benar rasa kehilangan keprihatinan dan kasih sayang seorang menantu yang terlalu baik pada mereka sepasang suami isteri. Hatinya dipagut pilu.  

“Atuk nak bincang perkara apa nie?” suara Fandi memecah kesepian. Tun Adam tersentak mematikan lamunannya. Perlahan-lahan keluhan beratnya tercetus.

“Tiba-tiba saja atuk terkenangkan abah dan mama kamu” luahnya berterus terang sambil tersenyum lesu. Fandi tertunduk diam. Dia mengerti apa yang dialaminya turut dirasakan oleh atuk dan neneknya. Bukan sesuatu yang mudah untuk melupakan insan yang disayangi biarpun telah bertahun-tahun perkara itu berlaku. Tiba-tiba hatinya dipalu sayu.

“Atuk rindukan mereka” luah Tun Adam lagi. Sekali lagi ditatapnya lama wajah itu. Tun Adam menarik nafas perlahan-lahan.

“Sekarang atuk dan nenek hanya ada kamu seorang je. Hanya pada kamulah tempat atuk dan nenek bergantung harapan sepenuhnya. Baik buruk pada masa depan semuanya terletak di tangan kamu” tutur Tun Adam penuh makna.

Fandi dapat merasakan satu tanggungjawab berat bakal diletakkan di bahunya. Dia akan memikul segala-galanya. Malah dialah yang akan mencorak keluarga Tun Adam untuk generasi seterusnya. Terasa ada peranan penting yang bakal dilaksanakannya.

 “Sekarang Fandi kena belajar lebih bertanggungjawab sikit. Suatu hari nanti kamu akan jadi ketua keluarga. Cepat atau lambat cuma masa je yang menentukannya. Tengok cara hidup kamu sekarang, atuk dan nenek tak boleh nak elakkan daripada rasa risau sangat. Lebih-lebih lagi nenek kamu tu, dia langsung tak berkenan tengok kamu ramai sangat kawan pempuan. Kamu tahu-tahulah dia tu kan pempuan” ujarnya dengan tenang. Fandi tersenyum.

“Tak de yang kamu berkenan lagi ke dekat kawan-kawan pempuan kamu tu?” soal Tun Adam membuatkan Fandi tersengih panjang. Tepat jangkaanya. Ini perkara utama yang ingin dibincangkan dengannya.

“Dulu masa muda-muda atuk dan ayah kamu handsome juga tapi taklah playboy macam kamu” seloroh Tun Adam disambut dengan gelak ketawa Fandi. Tun Adam turut sama tersenyum.

“Kamu belum jawab soalan atuk tadi tu?” pintanya mengingatkan cucunya itu.

“Susahlah nak cakap tuk” keluhnya.

“Susah apa pulak? Kamu tak tahu nak pilih yang mana satu ke? Atau kamu nak atuk dan nenek cari untuk kamu?” soalnya bertalu-talu. Cemas Fandi mendengar soalan terakhir itu.

“Fandi still nak hidup macam nie ler tuk” balasnya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Atuk dan nenek dah tua, umur Fandi pun dah layak untuk kahwin. Kedudukan kamu dah stabil malah kalau nak pasang empat pun kamu masih mampu lagi” tambahnya berseloroh. Fandi ketawa lagi.

“Masalahnya sekarang Fandi belum bersedia lagilah tuk” luahnya berterus terang.

“Fandi tu dah tak muda lagi tau” ujarnya memperingatkan. Fandi senyum.

“Umur 27 tahun bukanlah tua sangat tuk. Belum cukup matang pun bagi lelaki. Atuk janganlah risau, esok lusa kahwinlah Fandi tu nanti” balasnya tenang.

“Kalau macam tu terpulanglah pada kamu tapi kalau nenek terus desak kamu, atuk tak boleh buat apa-apa” jelasnya. Fandi tersenyum senang. Bukan satu yang sukar baginya untuk berbincang dengan atuknya.

“Tapi kamu harus ingat apa yang bakal nenek kamu lakukan adalah demi kebaikan kamu sendiri” nasihatnya lagi.

“Apa yang nenek nak buat tuk?” soalnya gusar. Tun Adam hanya geleng kepala. Perbualan dengan Nek Gayah semalam masih berlegar di kepalanya. Dia sekadar memberikan peringatan awal andai ada sesuatu yang bakal terjadi nanti.

“Nenek kamu tu degil macam kamu. Okeylah kamu sambung kerja sekarang. After lunch nanti ada meeting. Don’t forget” ujarnya memperingatkan. Fandi mengangguk faham.

“Fandi keluar dulu tuk” ujarnya meminta diri. Tun Adam hanya memerhatikan langkah anak muda itu. Perlahan-lahan keluhannya tercetus. Terbayang wajah isteri tercinta. Dia dapat merasakan pasti isterinya itu akan bising-bising lagi kerana dia gagal memujuk Fandi mengikut perancangan mereka.

“Fandi....” panggilnya semula. Belum sampai langkahnya ke muka pintu, Fandi berpaling semula. Wajah Tun Adam dipandang.

“Ya tuk?” soalnya.

Lunch kat rumah nanti” Fandi tersengih panjang seraya mengaru-garu kepalanya.

Sorry tuk, Fandi ada lunch dengan Ika” terangnya serba salah sambil garu – garu kepala. Tun Adam mengeluh dan geleng kepala. Fandi sudah melangkah keluar dengan senyuman. Terasa lucu juga hatinya. Sebantar tadi atuknya beriya-iya menegur tentang kegemarannya menjalin hubungan yang melebihi seorang gadis dalam satu masa. Dalam masa beberapa minit saja nasihat itu dilafazkan, dia sudah menyatakan akan keluar dengan seorang gadis pada tengahari itu.

“Hai bos tersenyum panjang nampak” tegur Liza setiausaha Tun Adam.

I want to wed, Liza” selorohnya disusuli dengan gelak kecilnya. Terlopong mulut gadis itu mendengarnya. Berita yang betul-betul membuatkan dia tergamam. Namun yang pasti hatinya menolak akan kebenaran bicara itu.

“Tak de angin, takde ribut, tiba-tiba je nak kahwin apa mimpi dia” bicaranya sendirian. Dia bukan tidak kenal akan bos mudanya yang menyandang pelbagai title itu. Bos yang paling mudalah, bos yang macho, handsome, kaya. Segala-gala gelaran yang dia sandang, dari yang terbaik sampailah yang terburuk. Apalagi skandal perempuan. Satu syarikat tahu yang dia punya koleksi teman wanita yang cantik-cantik. Ramai juga staff lelaki yang berangan hendak menjadi dia!

“Hai lama dah tunggu?” sapanya sebaik saja melihat sahabatnya itu sudah berada di biliknya. Adie meletakkan New Streets Times yang hampir semua helaian sudah diselaknya. Dia tersenyum menyambut kedatangan sahabatnya itu.

“Kau pergi mana tadi? Kau jumpa special person ke?” usiknya. Fandi tertawa.

Come on ler Adie. Aku belum jumpa lagi my charming princess. Aku tak loyal seperti kau. I never falling in love with anyone” akuinya jujur. Adie tertawa. Apa yang dikatakan oleh sahabatnya itu adalah satu kenyataan yang turut diakuinya.

“Kau tahu tadi terlopong mulut setiausaha atuk aku bila aku cakap aku nak kahwin” Adie turut tersenyum mendengarkan cerita sahabatnya itu.

“Pelik sangat ke kalau aku nak kahwin?” soalnya semula. Adie tergelak besar. Lucu hatinya melihat reaksi muka sahabatnya itu.

“Selagi kau tak bersanding atas pelamin selagi tu orang takkan percaya”

Very severe” luah Fandi disusuli dengan gelak ketawanya yang berpanjangan.

“Macam mana dengan pejabat baru kau?” soalnya memulakan topik baru.

“Fan, aku datang sini nak minta tolong kau sikit” terang Adie. Ditatapnya wajah sahabat karibnya itu.

Boleh. Apa dia?” soalnya.

“Aku lapar tak sempat breakfast tadi. Kita discuss kat kafe” pintanya.

Okay. Let’s go” ajaknya. Dua sahabat karib itu melangkah beriringan ke destinasi yang dituju sambil rancak berbual. Tampak sungguh akrab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Anie tersenyum panjang di depanku. Nampak dia berminat sangat memerhatikan aku mengubah setiap jambangan bunga yang terdiri daripada pelbagai bunga. 

“Seronok tengok Kak Nitie gubah, nampak macam mudah je” komennya sambil tetap memerhatikan setiap gerak tanganku.

“Memang pun mudah asalkan Anie tak rasa takut-taku nak buat. Paling penting Anie mesti confident” terangku.

“Anie nak cuba ke?” tanyaku mempelawa. Pantas dia menggeleng.

“Anie tak confident boleh buat. Nanti tak pasal-pasal habis rosak bunga nie Anie kerjakan” luahnya tersenyum.

“Rugilah kalau adik tauke bunga sendiri tak pandai buat” usikku. Anie tersenyum lagi sambil terus memerhatikan aku melakukan kerja-kerjaku. Aku pula sedikit sebanyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Akak dah biasa sangat gubah bunga, mestilah akak boleh buat” tambahnya. Aku hanya senyum.

“Anie tahu setiap bunga nie serta harumannya ada makna tersendiri tau. Malah boleh serlahkan personaliti seseorang” ceritaku.

“Betul ke kak? Akak boleh cerita semua tu kat Anie” pintanya. Aku mengangguk.

“Anie suka bunga apa?” soalku.

Carnation” Bulat anak matanya menatapku. Nampak dia sudah tidak sabar menunggu aku bersuara.

“Personaliti pengemar bunga ini dikatakan seorang yang kuat, bertenaga dan tabah menghadapi cabaran hidup. Tidak suka berbohong walaupun dalam keadaan yang mengizinkan. Benci kepada sikap hipokrit, rajin bekerja atau belajar dan tidak peduli soal cinta sebab merasakan belum waktunya lagi” terangku panjang lebar.

“Oo...Great” Anie tersenyum puas.

“Selain tu kak?” soalnya lagi.

“Kalau nak tahu lagi Anie kenalah belanja akak makan” usikku.

“Bolehlah kak” rayunya.

“Anie nak tahu pasal pasangan yang ideal untuk penggemar Carnation nie?” Pantas dia mengangguk.

“Tertarik pada kekasih yang suka low profile dan tidak suka pada pasangan gila-gila” terangku disambut gelak ketawa Anie.

“Nanti Anie kenalah cari jejaka yang berzodiak Gemini sebab itulah pasangan yang paling ideal untuk Anie” tambahku membuatkan senyuman Anie bertambah lebar.

“Manakala perfume yang ideal untuk Si Carnation adalah Lauren, Opium, Tuscany, Fracas, Escape, atau L’Eau d” Issey” tokokku lagi.

“Wow... hebatlah akak, like professional. Mana akak tahu semua nie? Akak buat research ke?” soalnya bertalu-talu. Aku tertawa. Nyata aku telah berjaya menarik minat Anie sepenuhnya.

“Semua nie hasil pembacaan akak” jelasku berterus terang.

“Lagipun dunia akak kan dengan bunga, so sedikit sebanyak akak wajib tahu perihal bunga” tambahku lagi.

“Akak suka bunga apa?” soalnya pula.

“Tu rahsia akak mana boleh cakap kat Anie” balasku berahsia.

“Alaa... akak nie dengan Anie pun nak berahsia” rungutnya. Aku hanya tertawa kecil. Sengaja mengusik dirinya.

“ Yang nie bunga apa kak?” soalnya tiba-tiba sambil menayangkan sejambak bunga kepadaku.

“Lavender. Bau-bauan bunga tu dapat beri kesan ketenangan kepada  si penghidunya” Pantas saja Anie medekatkan bunga itu ke hidungnya. Wajahnya berkerut.

“Yang Anie hidu tu buat apa, kan tu bunga plastik mana ada bau” tegurku tersenyum.

“Ada kak tapi bau plastik” balasnya berjenaka.

“Untuk pengetahuan Anie, hasil research mengesahkan bau lavender tu dapat meningkatkan aktiviti gelombang bahagian otak untuk tujuan meditasi. Kalau Anie suka bersendirian untuk menikmati kehijauan alam bau-bauan nie memang sesuai” terangku lagi.

Perfume yang sesuai kak?”

“Antaranya Ice Cool, Oscar, Cristalle, Racket for Women

Bestlah, banyak ilmu yang Anie dapat hari nie” luahnya gembira. Aku dan Anie yang berada di bahagian belakang kedai semakin rancak berbual tanpa rasa terganggu dengan kemunculan setiap pelanggan yang silih berganti. Kak Sofealah yang paling sibuk melayan mereka tanpa memerlukan pertolongan kami. Dia sengaja memberi kesempatan untukku dengan Anie beramah mesra.

“Hey...Fandi lama tak nampak muka” tegurnya menyambut kedatangan seorang pemuda yang baru saja menapak masuk.

Busy sikit dengan kerja kak” balasnya tersenyum. Diangkatnya kaca mata hitam itu ke atas menyonsong rambutnya. Tampak bergaya.

“Biasalah kalau dah jadi bos. Kamu nak tempah 99 kuntum mawar lagi ke?” usiknya. Anak muda itu tersenyum lebar. Kring....kring! Kring...kring...! Telefon di kaunter berdering mematikan perbualan yang baru saja hendak berputik.

“Kamu tengok-tengoklah mana bunga yang kamu berkenan” Dia hanya mengangguk lalu bergerak di sekitar kedai itu memerhatikan bunga-bunga yang ada di situ. Sayup-sayup dia mendengar suara-suara gadis yang sedang rancak berbual. Diamatinya.

“Macam mana pula dengan pasangan ideal untuk pengemar bunga lavender kak?”

“Anie nie banyak soallah” rungutku mengusik. Dia tertawa kecil. Pandangan matanya tidak beralih menatapku. Dia inginkan jawapan dariku.

“Penggemar lavender perlukan seorang yang cergas dan bijak. Tak payah susah nak cari yang genius, asalkan yang sederhana dah cukup. Bagi si penggemar lavender yang kesepian, inilah masa yang paling sesuai untuk menjalin perhubungan yang serius. Pasangan ideal ialah jejaka Leo dan gadis Capricorn” terangku bersungguh-sungguh.

“Banyak lagi bunga yang perlu akak tafsir nie. Bunga ros, melur, kenanga...”

“Dah...dah.. Nanti tak habis kerja akak nie” pintasku.

“Sekali je lagi kak, lepas nie Anie janji takkan tanya lagi” jaminnya. Aku meneruskan kerja-kerjaku yang sedikit tergendala gara-gara terlalu asyik berbual dengan gadis ini.

“Kak Nitie bolehlah...” rayunya sambil buat-buat muka kesian.

“Nak tanya personaliti bunga apa?” soalku mengalah. Dia tersenyum panjang.

“Kenanga?”

“Kat Utara India bunga tu digunakan untuk merawat demam dan malaria sebab bau dan kandungan herbanya berupaya menyembuhkan penyakit tersebut” terangku perlahan-lahan.

“Personaliti dan pasangannya yang ideal?” soalnya lagi.

“Lain kalilah akak jawab” balasku.

“Akak nie...” keluhnya. Anie memasamkan mukanya buat aku tersenyum panjang. Ternyata ada orang lain yang turut memasang telinga mendengar suara-suara itu berbicara. Dia begitu tertarik dengan fakta-fakta yang telah dihuraikan malah membuatkan dia tersenyum sendiri.

“Esok lusa Anie datang lagi kat sini, nanti akak ceritalah” janjiku.

“Akak janji tau”Aku mengangguk.

“Akak kenalah bersedia nanti sebab banyak Anie nak tanya nie” pesannya mengingatkan aku. Aku hanya mengangguk sambil meneruskan kerja-kerja tadi ditemani Anie. Dia masih tidak mahu berganjak meninggalkan aku.

“Boleh cerita tentang personaliti penggemar bunga ros?” sapa satu suara. Aku mendongak. Tergamam dan terkesima. Serasa jantungku berhenti berdegup melihat wajah yang masih tersenyum menatapku itu. 

“Hey.... abang Fan” sayup-sayup aku dengar suara riang Anie singgah di pendengaranku. Ternyata Anie cukup mengenalinya. Tiba-tiba saja aku kehilangan suara dan kepalaku ligat berputar kembali kepada peristiwa yang berlaku dua minggu yang lalu.