Monday, 24 December 2012

NamaKu Bukan Flora .... 35



BAB 35

Aku menatap tajam wajah Aqel. Tidak menyangka Aqel akan bertindak sejauh ini. Akhirnya Aqel membabitkan aku juga. Ternyata Aqel langsung tidak mahu melepaskan aku begitu saja. Aku harus bertanggungjawab dengan tindakanku. Justeru, aku tidak akan menyalahkan Aqel biarpun perasaan terkilan menyelubungiku.

“Kenapa awak buat saya begini?” soalku agak kecewa dengan tindakan Aqel. Aqel tetap berwajah tenang.

“Hanya ini saja caranya yang saya terfikir dalam masa suntuk ni” sahut Aqel.
“Awak tahu apa yang bakal saya hadapi selepas ini? Rania pasti tidak akan lepaskan saya” ujarku serius. Aqel terdiam. Senyap.

“Awak juga boleh jadikan perkara ini untuk menghalang Haqem mendekati awak. Bukankah awak selalu menggunakan saya untuk mengelakkan diri daripada Haqem” tutur Aqel. Kutatap Aqel. Kreatif sungguh fikirannya. Tidakkan dia bertindak serius begini hanya semata – mata perkara ini. Aku melepaskan keluhan. Binggung dan kematian akal aku dibuatnya.

“Tinggalkan saya di sini. Saya ingin bersendirian sekarang” pintaku. Majlis itu baru saja berakhir. Aku meminta Aqel menemuiku di sini. Aqel akur dengan permintaanku. Dia terus saja melangkah meninggalkan aku.

“Aqel...!” panggilku. Langkah Aqel yang baru saja hendak bermula terus saja terhenti. Dia berpalinng ke arahku.

“Tolong beritahu Mak Long saya tak balik malam ini. Nanti saya tidur rumah Nana” tuturku. Aqel menatapku seketika. Kemudian dia mengangguk dan menyambung langkah semula. Sudah setengah jam aku duduk termenung di dalam kereta Waja mak ini. Berfikir panjang. Terasa bodoh pula tindakanku dan Aqel. Kami telah membohongi semua warga KDUT. Perlukah aku hentikan semua ini? Telefon bimbitku berdering. Nama Marnie terpamer di dada skrin telefon. Kubiarkan saja. Senyap. Telefon bimbitku berdering lagi. Kali ini bukan nama Marnie tapi nama Haqem. Aku menulikan telingaku. Sebarang panggilan tidak akan aku jawab. Aku mahu bersendirian tika ini. Kedengaran bunyi mesej yang masuk. Aku tidak berminat untuk membacanya. Mungkin mesej daripada Haqem. Kuhidupkan enjin kereta lalu memandu kereta Waja mak kembali ke rumah kami. Aku menghabiskan masa sejam berada di rumah ini, menukar pakaian dan menenangkan diri seketika. Kemudian menghantar mesej pada Nana memaklumkan hajatku mahu menumpang tidur di rumahnya. Seperti biasa Nana mengalu – alukan kedatanganku ke rumah mereka. Kemudian teringat pada Mak Long. Mungkin Mak Long risaukan aku sekarang. Lantas kuhantar mesej kepada Mak Long.

~ Terima kasih banyak – banyak sebab buat Lia tampak luar biasa malam ini. Memang ramai yang terpegun menatap Lia termasuklah anak teruna Mak Long. Malam ini Lia tidur rumah Nana. Rindu pula nak jumpa Nana. Esok kita jumpa Mak Long ~  Panjang mesej yang kuhantar pada Mak Long. Harap – harap kedatangan mesejku ini akan menghilangkan kerisauan mahupun tidak menimbulkan apa – apa syak Mak Long terhadapku. Tiba – tiba saja aku rasa sebak. Rasa bersalah pada Mak Long. Mak Long bersusah payah menjadikan aku persis seorang puteri agar aku bergembira sepanjang malam ini dan rasa bangga setelah berjaya memukau pandangan warga KDUT. Namun tidak sangka akan jadi begini. Aku jadi sugul. Fikiranku buntu. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan semua warga KDUT esok? Apa tindakan Rania terhadapku? Kedengaran bunyi mesej di telefon bimbitku. Mungkin mesej balasan daripada Mak Long. Tepat sangkaanku. Lantas kupamerkan mesej daripada Mak Long.

~ Jaga diri baik – baik. Jangan lupa esok balik sini ~ Sedikit lega hatiku menerima mesej daripada Mak Long yang penuh pengertian itu. Adakah Aqel telah menceritakan segalanya pada Mak Long? Tidak mungkin! Aqel tidak akan berani menimbulkan kemarahan Mak Long. Kutatap skrin telefonku. Mesej Haqem belum kubaca lagi. Aku terus saja mempamerkannya.

~ Lia, kita perlu berbincang. Saya nak jumpa awak bila – bila masa saja ~ Aku mendengus kasar. Apa lagi yang Haqem inginkan daripadaku? Antara aku dengan dirinya segalanya telah selesai. Aku terus teringat pada bicara Aqel. Barangkali bicara Aqel ada benarnya. Inilah cara yang boleh aku gunakan untuk menghalang Haqem daripada mendekatiku lagi. Jadi aku perlu menggunakan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Namun hatiku tidak tenang dengan pembohongan besar ini. Apatah lagi mangsanya adalah warga KDUT.

“Bagaimana majlis tadi?” soal Nana lalu berbaring di sebelahku.
“Okey...” sahutku pendek.
“Okey je...” tutur Nana tidak puas hati. Senyap.
“Nana.......” panggilku.
“Ya...” Cepat saja Nana menyahutnya.

“Kau percaya tak kalau aku cakap beberapa jam yang lalu aku telah bertunang” tuturku. Sudah tidak tertahan rasanya untuk terus berahsia dengan Nana.
“What...!!” tinggi suara Nana menyahut bicaraku malah dia sudah tegak duduk di katil. Laju jarinya menekan suis lampu. Wajahku direnung.

“Kau biar betul Lia. Apa yang telah berlaku?” soal Nana tampak cemas.
“Aku tak sangka malam ini Aqel menjadikan aku tunang dia di depan warga KDUT” tuturku sudah tidak sanggup menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan Nana. Terasa diriku terbeban sangat.

“ Semua ini ada kaitan dengan perancangan kitakan?” teka Nana. Cepat Nana berfikir. Sekelip mata saja dia boleh mengaitkan semua itu. Aku diam. Tidak sanggup mengakuinya di depan Nana. Sesungguhnya Nana sudah dapat menekanya dengan tepat. Kedengaran keluhan Nana.

“Minta maaflah Lia, tak sangka akan jadi begini. Aku tak patut beri cadangan yang bakal menyusahkan kau” keluh Nana mula menyalahkan diri. Aku tersenyum.

“Jangan risaulah. Ini hanya pertunangan olok – olok saja” jelasku cuba mengusir rasa bersalah Nana. Kedengaran keluhan Nana. Tidak mudah untuk menghilangkan kerisauan Nana.

“Masalah besar juga sebab melibatkan warga KDUT” tingkah Nana. Betul kata Nana. Senyap. Perkara ini bukan hal kecil lagi lantaran membabitkan banyak orang malah majlis meraikannya juga telah berlangsung dengan meriahnya. Terbayang keriangan wajah Marnie dan Reka ketika mengucapkan tahniah kepadaku dan Aqel. Banyak sangat ucapan tahniah yang kami terima daripada warga KDUT. Malah Haqem juga turut melafazkan tahniah biarpun wajahnya tampak sugul. Masih terbayang betapa bengisnya pandangan Rania menatapku. Bagaikan dia menunggu masa yang sesuai untuk menyerangku melempiaskan kemarahan yang membuak – buak dalam dirinya. Mesti dia rasa tertipu dan diperbodohkan olehku. Maafkan aku Rania, sesungguhnya perancanganku sudah jauh tersasar daripada yang sepatutnya. Ketahuilah aku tidak pernah merampas Aqel darimu.

“Kita akan sama – sama selesaikan perkara ini” tutur Nana memintas imbasan memoriku terhadap majlis tadi.

“Terima kasih Nana” tuturku sebak. Aku tahu Nana tidak akan membiarkan aku sendiri menghadapi sebarang masalah yang mendatangiku.

“Tidurlah sekarang. Esok awak perlukan lebih banyak tenaga” tutur Nana mengingatkan aku. Aku tergelak. Memang aku perlukan tenaga yang banyak untuk esok. Yang pastinya Rania sudah menungguku. Tentunya dia tidak sabar – sabar untuk bersemuka denganku. Kupejamkan mataku. Cuba melenakan diri. Namun sukar untukku melelapkan mata. Aku gagal mengosongkan fikiranku. Aku masih memikirkan majlis itu. Nana di sebelahku juga tidak dapat melelapkan mata. Dia nampak sedang berfikir. Kasihan Nana terpaksa memerah otaknya. Tidak sedar pukul berapa aku terlena.
 
AKU melangkah ke bilik operasiku. Ada sesuatu di atas mejaku. Coklat Codbury dan sekeping memo merah jambu. Tulisan tangan Aqel. Aku tersenyum melihat muka muram yang dilukis dalam memo ini. Ini mungkin simbol yang menggambarkan perasaan sedih dan kesal Aqel atas tindakannya semalam.
~ Sorry...                           ~

Aku memulakan tugas rutinku. Segalanya berjalan seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku semalam. Lega rasanya. Tiada sesiapa mengunjungiku ketika aku berada di bilik ini. Kelibat Reka dan Marnie juga tidak kelihatan. Namun aku sentiasa berhati – hati memandangkan Rania bila – bila saja akan muncul. Aku yakin Rania tidak akan menunggu masa yang lama untuk menemuiku. Pasti hari ini dia akan muncul di depanku. Waktu rehat tengah hari sudah tiba. Aku mencapai beg galasku lalu melangkah meninggalkan bilik ini. Melalui ruang legar lobi ini aku melihat beberapa orang lelaki sedang sibuk melakukan kerja pembersihan. Segala kelengkapan dan peralatan yang disewa untuk majlis malam tadi sudah diangkat oleh pemiliknya. Yang tinggal sekarang adalah kerja – kerja susun atur perhiasan milik KDUT kembali pada kedudukan asalnya.

Aku menyeberangi jalan untuk ke sebuah restoran yang bertentangan dengan bangunan syarikat KDUT ini. Nasi ayam bersama milo ais yang kupesan sebagai hidangan tengah hari ini. Lantas aku mengambil tempat duduk di tepi sekali agak tersorok daripada pengunjung yang lain. Lebih selesa makan bersendirian jauh daripada kebisingan. Usai menikmati hidangan tengah hari aku kembali ke tempat kerjaku. Kerja – kerja di ruang lobi ini sudah selesai semuanya. Sekarang ruang legar lobi KDUT sudah kembali pada wajah asalnya. Cepat dan cekap mereka melaksanakan kerja mereka.  Aku melangkah ke bilik operasiku. Ada sesuatu lagi di atas mejaku. Lantas kubuka beg plastik hitam ini. Aiskrim Cornetto perisa vanila bersama memo yang ditulis pada kertas merah jambu. Masih tulis tangan Aqel.

~ Jangan lupa balik ke rumah hari ini ~

Memang aku akan balik ke banglo Mak Long hari ini. Aku sudah berjanji dengan Mak Long malam tadi. Kutatap aiskrim Cornetto vanila ini. Ini perisa kegemaranku. Laju tanganku mengeluarkannya dari beg plastik ini lalu menggoyakkan kertas pembalutnya. Aku mula menikmatinya sepenuh perasaan. Emm... sedapnya. Pasti belum lama Aqel datang sini kerana aiskrim ini belum cair lagi. Usai menikmati aiskrim vanila ini, aku bingkas bangun. Kutukar kasutku dengan selipar. Lalu melangkah ke bilik air. Mahu mengambil air wuduk. Sekejap lagi mahu solat Zuhur. Bertembung dengan rakan – rakan perempuan di bilik air ini sambil saling bertukar senyuman.

“Tahniah Cik Lia...” Aku mengangguk memberi tindak balas terhadap ucapan tahniah mereka. Biarpun bukan perkara bahagia buatku tapi sekurang – kurangnya aku tidak dikatakan sombong oleh mereka. Sejak majlis malam tadi juga aku mulai dikenali oleh warga KDUT.

“Bila majlisnya Cik Lia?” soal salah seorang daripada mereka. Aku jadi serba salah ditanya sedemikian.

“Kenalah tanya sendiri pada Encik Aqel” sahutku mengelak untuk menjawabnya. Mereka tersenyum. Sebetulnya tidak suka aku hendak menjawab soalan sebegini. Mereka berlalu meninggalkan aku bersendirian di sini. Lega rasanya tidak perlu menjawab pelbagai persoalan yang tidak munasabah. Aku menyelesaikan air wudukku. Kemudian bergerak ke muka pintu. Baru selangkah kakiku menapak  langkahku terus terhenti. Rania tiba – tiba saja muncul. Pintu berdentum ditutupnya. Lantas dikunci. Aku menatap wajah menyinga Rania. Sedikit menggerunkan aku.

“Senang – senang awak nak mempermainkan saya hah...!!!” lantang suara Rania. Dia mendekatiku. Tubuhku ditolak – tolak dengan kasar. Aku tersandar ke bingkai sinki.

“Bertenang Cik Rania” tuturku cuba menenangkan dirinya. Rania mendengus kasar. Tajam pandangannya menatapku.

“Awak masih boleh kata begini pada saya...!” tengking Rania kasar. Tubuhku ditolak – tolak lagi. Aku cuba menepis serangan bertubi – tubi tangan Rania.

“Senang – senang awak bodohkan saya ya!” herdik Rania garang.

“Saya minta maaf dengan bicara saya tempoh hari” tuturku. Aku menarik nafas panjang. Terbayang kesungguhan Aqel tika ini. Aku tidak akan menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada Rania. Aqel sudah bersusah payah melakukannya maka tidak semudahnya aku akan menggagalkan usaha Aqel ini. Nekad.

“Tapi saya takkan menjelaskan apa yang telah berlaku” tegasku serius.


“Apa...!!! Berani awak cakap begini pada saya! Nah, rasakan!” Pupp...! Tangan kasar Rania singgah di pipiku dah tubuhku ditolak kuat sehingga dahiku berpadu dengan dinding konkrit ini. Aku terduduk di lantai. Pandanganku berpinar – pinar. Terasa panas mengalir di daguku. Tanganku mengesatnya. Darah dari bibirku. Rania menatapku dengan hati yang puas.

“Ini peringatan awal untuk awak. Tinggalkan Aqel sekarang” arah Rania mengancamku. Laju saja tangan Rania mencapai bekas yang berisi air itu lalu mencurah ke arahku. Aku tidak sempat mengelaknya. Sebahagian depan kemeja yang kupakai basah. Melekat dan menampakkan susuk tubuhku. Rania berlalu meninggalkan aku tanpa sekelumit pun rasa simpati. Terbongkok – bongkok aku bangun lalu berpaut pada tepi bingkai sinki. Kutatap wajahku di cermin. Bibirku pecah dan masih berdarah. Kupusing pili paip lalu perlahan – lahan mengelapnya dengan air. Pedih. Aku menggerang kesakitan. Kutatap dahiku yang lebam dan luka akibat terhantuk kuat dengan dinding batu tadi. Aku menggerang lagi. Pilu hatiku mengenang keadaanku sekarang. Timbul perasaan geramku pada Rania. Lantaran seorang lelaki dia sanggup menyakiti dan menyeksa kaum sejenisnya.

“Cik Lia tak apa – apa?” soal satu suara. Aku berpaling. Laju tanganku memeluk tubuhku. Cuba melindungi susuk tubuhku dari pandangan mata gadis ini. Gadis ini menatapku dengan wajah cemas dan simpati. Aku cuba tersenyum.

“Biar saya tolong cik” ujarnya. Aku geleng kepala.

“Takpe” tuturku sambil mula mengibas – ngibas bahagian kemejaku yang sudah basah. Gadis ini hanya memerhatikan gelagatku.

“Betulkah ni? Nampak teruk saja Cik Lia” tutur gadis ini. Aku tersenyum lalu melangkah ke muka pintu. Daun pintu kukuak. Aku melangkah keluar. Seketika aku terpaku mematungkan diri di situ. Bagaimana aku hendak mengelak daripada bertembung dengan orang lain? Pasti keadaanku sekarang mengundang rasa hairan mata yang memandangku. Kuamati keadaan diriku tika ini. Tiba – tiba saja aku rasa sebak sangat. Perlahan – lahan air mataku mengalir di pipi.

“Lia, apa hal ni?” suara Haqem kedengaran cemas singgah di telingaku. Haqem yang baru saja keluar dari tandas lelaki sekelip mata sudah berada di depanku sambil menatapku. Laju tanganku mengesat air mata di pipiku lalu kedua – dua tanganku melindungi tubuhku. Segan pada Haqem yang sudah berdiri di depanku. Aku cuba berlagak biasa.

“Awak cedera” tutur Haqem. Dalam beberapa minit saja aku sudah menjadi tontonan banyak mata. Timbul rasa malu yang menebal dalam diriku. Haqem terus saja menanggalkan kotnya lalu menyarungkan di tubuhku. Lantas menarik tanganku membawa aku beredar dari situ.

“Biar saya bawa awak pergi klinik” tutur Haqem. Aku menurut saja langkah Haqem tanpa sebarang bantahan. Haqem terus saja membawa aku berjumpa dengan doktor. Dahiku ditampal dengan kapas dan darah di bibirku dibersihkan serta cuba diberhentikan dari terus keluar.

“Awak duduk di sini. Saya nak ambil ubat” tutur Haqem. Aku akur lagi dan masih mendiamkan diri. Haqem berlalu ke kaunter mendapatkan ubat untukku seterusnya melangsaikan bil rawatanku. Kemudian Aqel kembali mendapatkanku.

“Saya tak bawa dompet sekarang. Esok saya bayar kos rawatan dan ubat itu. Berapa jumlah semua?” soalku mula bersuara. Haqem tersenyum.

“Tak perlu bayar” sahut Haqem. Aku diam kembali.
“Bagaimana sakit lagikah?” soal Haqem. Aku geleng kepala.

“Mari kita pergi sekarang” ajak Haqem. Bingkas aku bangun lalu mengekori langkah Haqem. Sehingga ke hari ini aku masih tidak mampu berjalan seiringan dengan Haqem. Haqem menguak pintu keretanya untukku. Sekali lagi aku duduk di sebelah Haqem. Haqem terus saja menghidupkan enjin kereta. Beberapa minit kemudian kereta Haqem terus saja bergerak meluncur laju di jalan raya.

“Siapa yang cederakan awak, Lia” soal Haqem. Senyap. Aku membisukan diri. Bukan bertujuan untuk melindungi Rania. Sebetulnya aku tidak mahu perkara ini dibesar – besarkan. Lantas aku menerima semua ini sebagai hukuman atas tindakanku berbohong pada Rania dan pada warga KDUT termasuk Haqem. Kedengaran keluhan Haqem.

“Raniakah yang lakukannya?” teka Haqem. Aku masih membisukan diri. Kereta Haqem memasuki satu lorong. Kemudian berhenti di depan deretan premis yang menjual pakaian berjenama.

“Awak tunggu di sini sekejap” arah Haqem lalu keluar dari keretanya. Aku mematungkan diri di dalam kereta ini menunggu kedatangan Haqem. Kira – kira sepuluh minit berlalu, Haqem muncul bersama beg kertas di tangannya. Daun pintu kereta dikuak. Haqem terus saja menyerahkan beg kertas itu kepadaku. Aku menatap Haqem.

“Dalam ni ada pakaian perempuan untuk awak. Pergilah tukar pakaian awak sekarang” arah Haqem. Kupandang ruangan kereta ini. Kemudian beralih ke wajah Haqem. Tiba – tiba saja Haqem tergelak.
“Awak tukar pakaian awak di fitting room butik yang saya pergi tadi. Saya dah maklumkan kepada mereka” jelas Haqem mengerti dengan pandangan mataku.

“Saya tunggu awak di sini” ujar Haqem lagi. Aku menggangguk lalu meninggalkan Haqem di sini. Berpandukan nama yang tertera pada beg kertas ini mudah saja aku mencari butik tersebut. Kedatanganku disambut mesra oleh pemilik butik ini. Aku masuk ke bilik persalinan pakaian lantas menukar pakaianku yang sebahagiannya sudah basah angkara perbuatan Rania. Kupandang diriku di dalam cermin. Kemeja putih berbunga ros merah kecil dipadankan dengan seluar kain gelap memang bersesuaian malah ukuran yang sempurna untukku. Materialnya lembut membuatkan aku terasa begitu selesa. Mesti mahal harga kemeja dan seluar ini.

“Wah, cantiknya cik! Memang kekasih cik bijak membuat pilihan untuk cik” puji gadis yang duduk di kaunter ini. Aku hanya tersenyum. Gadis ini sudah salah faham terhadap hubunganku dengan Haqem.

“Terima kasih ya” tuturku atas kesudian mereka memberi keizinan untuk aku menggunakan bilik persalinan pakaian mereka. Gadis itu mengangguk sambil tersenyum. Langkahku yang baru saja bermula mati di muka pintu. Tidak jadi terus keluar. Aku berpatah balik menemui gadis yang duduk di kaunter ini. Dia kehairanan menatapku.

“Maaf.... Boleh beri saya resit untuk pakaian ini” pintaku merujuk kemeja dan seluar yang sudah tersarung di tubuhku. Gadis itu mengangguk dan tersenyum. Lega hatiku. Tidak kisahlah apa tanggapan gadis ini terhadap permintaanku ini. Paling penting aku tidak mahu berhutang dengan Haqem. Aku mahu melangsaikan segera kos pakaian dan kos rawatan yang kuterima tadi. Aku menyambut resit yang dihulurkan kepadaku. Hampir mencecah RM 200 yang Haqem belanjakan untuk membeli sepasang pakaian ini. Memang sikap orang kaya suka membazir. Perlahan – lahan keluhanku tercetus.

“Lelaki tadi bukan kekasih saya. Terima kasih” tuturku membetulkan bicara gadis ini tadi. Dia nampak kehairanan. Kuakui sesuatu yang luar biasa andai seorang lelaki yang tiada hubungan istimewa dengan seorang gadis namun sanggup berbelanja besar untuk gadis itu. Logikkah? Resit bayaran pakaian di tubuhku ini kusimpan kemas dalam poket seluar ini. Tidak mahu Haqem melihatnya. Aku terus bergerak ke muka pintu dan melangkah mendapatkan Haqem kembali. Haqem tersenyum menyambut kedatanganku. Namun aku masih tidak mampu membalas senyuman itu. Kereta dipandu kembali ke pejabat. Aku mendiamkan diri lagi. Terasa jauh sangat perjalanan yang hanya memakan masa lima belas minit ini. Memang aku tidak selesa berada di sisi Haqem saat ini. Namun aku sudah terhutang budi atas pertolongan dan keprihatinan Haqem kepadaku. Tidak sangka Haqem masih bersikap baik denganku walaupun layananku terhadap dirinya begitu dingin. Ternyata Haqem tidak pernah mendendami tindakanku. Malangnya aku yang masih menyimpan dendam pada Haqem. Dendam yang begitu mendalam sehingga sukar untukku melepaskannya.

“Terima kasih atas bantuan awak hari ini. Saya pergi dulu” tuturku lalu bergerak meninggalkan Haqem di laman parkir kereta.

“Lia...!” Langkahku terhenti. Aku berpaling menatap Haqem.

“Terima kasih juga kepada awak” tutur Haqem sukar untuk aku mengerti. Terima kasih untuk apa? Namun hatiku berkeras tidak mahu meminta penjelasan. Haqem hanya tersenyum. Kusambung langkahku kembali.

“Terima kasih sebab awak sudi bersama saya tadi” tutur Haqem menyambung bicaranya sebentar tadi. Haqem tersenyum lagi. Sungguh riang hatinya hari ini.  

“Flora....” Langkahku terhenti. Aqel sudah tercengat di depanku. Pandangannya menatap dahiku kemudian beralih di bibirku. Tampak dia terkejut.

“Kenapa dengan dahi dan bibir awak tu?” soalnya hairan. Laju aku geleng kepala.
“Saya baru lepas bawa Lia jumpa doktor” tutur Haqem yang sudah berdiri di sebelahku. Kedengaran keluhan Aqel.

“Thanks Haqem” ujar Aqel.

“Awak okeykah ni?” soal Aqel. Wajahku direnung. Laju aku mengangguk.

“Mungkin awak perlu berehat di rumah Lia” cadang Haqem. Aqel mengangguk menyokong bicara Haqem ini.

“Mari saya hantar awak balik” ajak Aqel. Aku geleng kepala.
“Maaf saya ada kerja nak buat” tuturku meminta diri lalu melangkah meninggalkan Aqel dan Haqem terpacak di situ.


“LIA kenapa ni?” soal Mak Long sambil menilik – nilik mukaku. Aku tersenyum.

“Ada kemalangan kecil di tempat kerja tadi. Lia tergelincir di bilik air” jelasku terpaksa berbohong kepada Mak Long. Andai aku bercakap benar pasti membabitkan Aqel dan Rania malah akan menyulitkan keadaan lagi. Mak Long mengeluh sambil geleng kepala.

“Mesti cakap pada Hyeon dan Haqem kena pastikan bilik air di situ sentiasa dipantau supaya selamat digunakan. Pembersih yang ada sekarang harus dipecat sebab tak buat kerja dengan baik” tutur Mak Long bersungguh - sungguh.

“Lia yang tak berhati – hati, Mak Long” tuturku lagi.

“Baru semalam Lia tinggalkan rumah dah jadi macam ni” keluh Mak Long susah hati. Aku terharu dengan perhatian Mak Long terhadapku.

“Lia masuk bilik dulu nak solat Asar” ujarku meminta diri.

“Pergilah berehat” arah Mak Long melepaskan aku pergi. Kutolak daun pintu bilik perlahan. Aku melangkah masuk. Anak mataku menatap memo merah jambu yang melekat di cermin solek ini. Hari ini sudah tiga kali aku menerima memo bertulis daripada Aqel.

~ Jangan lupa sapu ubat di dahi dan di bibir awak ~ Ada anak panah panjang menjunam ke bawah. Aku tersenyum. Anak panah yang menunjukkan letaknya ubat tersebut. Awal Aqel balik hari ini tetapi kenapa aku tidak nampak Peugeot RCZ Sports Coupe di garaj. Mungkin dia sudah keluar semula. Barangkali juga dia berpesan pada Mak Long untuk memberi ubat ini padaku. Mustahil pula sebab memo ini ditulis oleh Aqel sendiri. Aku cukup kenal dengan tulisan tangan Aqel.

“Terima kasih Aqel” tuturku. Kutarik laci almari solek ini. Lantas kukeluarkan diariku. Kutarik zip beg galasku. Lalu kucapai buku catatan kerjaku. Kuselak helaian catatan terakhir. Dua keping memo merah jambu yang kuterima di pejabat tadi kutanggalkan. Kubuka helaian diariku. Maka untuk tarikh hari ini kulekatkan tiga memo merah jambu yang ditulis oleh Aqel pada dada helaian diariku. Kemudian menulis sebaris ayat sebagai catatan ringkas untuk interaksi pada memo tersebut. Kututup diari ini. Lalu menyimpannya di dalam laci semula. Aku bergegas ke bilik air mengambil wuduk seterusnya mengerjakan solat Asar. Terasa tenang saja.  Seusai solat aku berbaring di atas tilam empuk ini. Dahiku berdenyut – denyut dan bibirku terasa pedih. Aku terbayang kembali wajah garang Rania.

Kedengaran bunyi deringan telefon bimbitku. Aku terus saja bangkit lalu mencapai telefon bimbitku yang terletak di atas meja solek ini. Selalunya jam begini mak atau Aziq yang menelefonku. Aku tersenyum lebar menatap barisan nombor telefon yang terlalu asing tertera di skrin. Memang tepat tekaan.

“Assalamualaikum mak. Apa khabar?” soalku mendahului menyapa mak. Aku tersenyum bahagia mendengar suara mak. Alhamdulillah mak dan Aziq sihat sejahtera.

“Lia rindulah dengan mak dan Aziq” tuturku meluahkan perasaanku.

“Aziq pun rindu juga dengan Along” Kedengaran suara laungan Aziq di belakang mak. Aku tersenyum sendiri. Sebak hatiku.

“Lia tak payah risau segalanya berjalan lancar di sini. Mak dan Aziq pun sihat walfiat” tutur mak mengulangi perkhabaran mereka.

“Syukurlah mak. Lia pun sihat juga cuma...” bicaraku tergantung. Hampir terlajak aku berbicara tentang nasib malangku hari ini. Mujur aku cepat sedar sebelum menghabiskan bicaraku. Aku tidak patut menceritakan kejadian itu pada mak. Tidak mahu mak risau.

“Cuma apa bendanya?” cepat mak bertanya.

“Cuma Aqel tulah selalu sangat buli Lia” tuturku memesongkan cerita. Kedengaran gelak tawa mak. Mak bukan hendak menyebelahiku sebaliknya mentertawakan aku.

“Mesti kamu tu tak dengar cakap dia. Mak bukan tak tahu kedegilan kamu tu” kutuk mak. Mak suka menyebelahi Aqel. Aku mencebik.

“Alah... mak ni” rengekku. Mama tertawa.

“ Dah dekat nak Raya Aidiladha tak seronaklah mak dan Aziq takde” keluhku.

“Kan Mak Long dan Aqel ada tu” sahut mak.

“Memanglah mak tapi kalau mak dan Aziq ada lagilah seronok” tuturku.

“Jangan lupa tolong Mak Long kamu di dapur tu. Jangan malas” ujar mak memperingatkan aku.

“Lia tahulah mak. Kan Lia selalu tolong mak buat kerja rumah” tuturku.

“Baguslah kalau macam tu. Jangan lupa kirim salam pada mereka nanti” pesan mak.

“Ya kejap lagi Lia sampaikan” sahutku berjanji.

“Mak tak boleh cakap lama – lama ni. Nanti mak telefon kamu lagi. Jangan lupa jenguk – jenguk rumah kita tapi jangan pula kamu tidur sana” tutur mak memperingatkanku.

“Lia ajak Nana. Boleh kami tidur rumah kita?” soalku mengusik mak.

“Tak boleh!” tegas mak buat aku tersenyum. Mak masih dengan pendiriannya melarangku tidur di rumah kami seperti sebelum keberangkatannya ke Tanah Suci Mekah. Terasa rindu sangat hendak kembali ke rumah sendiri dan berbaring di atas katil sendiri serta berangan – angan panjang di bilik sendiri. Oh… seronoknya!

“Mak nak letak telefon sekarang. Jaga diri baik – baik. Assalamualaikum…”

“Mak dan Aziq pun jaga diri baik – baik” ujarku turut berpesan. Salam mak kusambut. Sekelip mata saja suara mak lenyap buat aku kembali merindui mak dan Aziq. Sedihnya berjauhan dengan mereka. Tidak sabar – sabar aku hendak bertemu dengan mereka. Memandangkan bersendirian ini membuatkan hatiku bertambah sayu lantas aku melangkah keluar dari bilik untuk bersama Mak Long. Aku melewati ruang tamu yang sunyi menandakan Aqel belum balik lagi. Aku melangkah ke dapur menjenguk Mak Long.

“Lia mari minum petang” ajak Mak Long. Cucur udang Mak Long sudah tersusun cantik di dalam pinggan. Aku membantu Mak Long menatang dulang yang berisi seteko air teh panas dan dua biji cawan yang Mak Long sudah sediakan.

“Mana sebiji cawannya lagi, Mak Long?” soalku. Setahuku bila – bila masa saja Aqel akan muncul. Mak Long berpaling ke arahku.

“Kita berdua saja di rumah ini sekarang. Hyeon keluar daerah lagi” jelas Mak Long. Patutlah kelibat Aqel tidak kelihatan sampai sekarang. Aku menghela nafas lega. Ada juga baiknya Aqel tidak ada di sini ketika perasaan terkilan padanya masih belum padam lagi. Aku meletakkan dulang di atas meja di ruangan santai di beranda banglo Mak Long ini. Minum sambil menghirup udara petang. Kutuang air teh panas ke dalam cawan.

“Sila minum Mak Long” pelawaku. 

“Aa..Lia minumlah sekali” ajak Mak Long.

“Mak kirim salam pada Mak Long dan Aqel” tuturku menyampaikan pesanan mak. Terkumat – kamit mulut Mak Long menyambut salam mak.

“Mereka sihat?” soal Mak Long. Aku mengangguk.

“Alhamdulillah... sihat Mak Long” sahutku. 
 
“Mak Long memang dah tak sabar – sabar nak jumpa Aziq dan mak Lia. Mak Long ada hajat besar nak cakap pada mak Lia” tutur Mak Long berteka – teki. Aku diam mendengar bicara Mak Long. Kemudian mula memikirkannya. Mungkin Mak Long dan mak ada perancangan hendak jadi rakan kongsi perniagaan. Rasanyalah.... 

13 comments:

  1. Permata Nilam

    Nothing here to read.... Pls load again. Thx my dear. :)

    ReplyDelete
  2. akh gak ad bcaan na:(
    sista, aq suka bgt bacana:)

    ReplyDelete
  3. ohh... sorry semua line tak ok sehari dua nie. bumi gambang resort disimbahi hujan.... hr ni sy try n3 lg ye... tqvm

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. bertemu lagi saluja. ingat tak akan ketemu saluja selepas endingnya saranghae... tqvm

      Delete
    2. Hi permata nilam

      No no I wil be sincere reading ur stories my dear..... :)

      Delete
    3. Happy New Year 2013 my dear Permata Nilam!

      Delete
    4. happy new year 2 you. tqsm. happy new year kpd suma rakan blog saya n pembaca suma. bz buka sek ni terlewat nak smbg novel. apapun sy akan cb cr masa utk trskn kesinambungannya... tungguuuuuuu

      Delete
  5. thanks sist, slm kenal dari aku di indonesia. Aku pembaca setia na. Makasih dah buat cerita yang best:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. slm perkenalan asih euorora... mcm nama laksana puteri pula. tqvm sbb jd pembaca setia blog sy. gembira ada peminat dr luar ng yg serumpun. dah bc novel saranghae? ada jg pembaca dr sn yg pernah mesej sy maklumkan pd sy suka novel ni. hrp2 asih tetap setia bersama permata nilam

      Delete
  6. dah baca, waktu itu saya baca dah sampai bab 48. Dari bab 1 sampai bab 47 aq baca dlm wktu 5hari. :)
    thanks sebab dah bkin novel yang best.
    Tak sabar untuk menanti kelanjutan novel Namaku Bukan Flora ini.(◑‿◐)

    ReplyDelete