Wednesday 8 June 2011

GuruKu CintaKu.... Cikgu Itu Kekasihku....6

XIV.

Perlahan – lahan kubuka mataku. Rasa sakit kepala yang kutanggung sepanjang berada di sekolah tadi sudah lenyap. Mujur juga aku mampu bertahan. Kalau tidak tentu rugi besar kalau aku terpaksa menelan ubat sekaligus mewajibkan aku qadak puasa. Sesuatu yang agak mencabar apabila terpaksa menahan liur di saat orang lain boleh makan sepuas – puasnya.
Kedengaran bunyi barang – barang berlaga – laga di dapur. Kutoleh jam di meja tepi katilku. Agaknya Lina yang berada di dapur. Bingkas aku bangun lantas melangkah ke dapur. Aku melihat Lina sedang sibuk menyediakan jaudah untuk berbuka.
“Dah bangun kau, Nia” sapanya.
“Emm...”
Aku memandang ke meja. Ada pelbagai jenis bahan ada di situ. Macam banyak sangat menu yang hendak dimasak Lina kejap lagi. Sememangnya Lina pakar dalam bab masak memasak ini. Aku memang bukan tandingannya.
“Banyak kau masak hari ni”
Lina tersenyum lebar. Nampak gembira sangat dia hari ini. Memasak pun begitu bersemangat. Apa mimpi dia hari ini? Semalam aku tengok bukan main lagi lemahnya dia sampai terdampar di sofa di ruang tamu tidak menyempat untuk ke biliknya lagi. Di situlah dia mengalun dengkurannya dengan khusyuk. 
“Aku nak suruh budak hantar kat rumah Dennis dan Ustaz Firdaus nanti sebab tu masak lebih sikit” jelasnya tanpa berselindung.
“Emm..... sedekah bulan puasa ni besar pahalanya. Apatah lagi sedekah pada suadara baru” tuturku menyenangkan hati.
“Dennis tu sebut je saudara baru tapi sebenarnya dah lama juga dia Islam” tutur Lina cuba memberi lebih pengertian pada bicaraku sebentar tadi.
Aku terdiam panjang. Sememangnya Lina lebih mengetahui daripadaku. Bukan sesuatu yang aneh insan yang mempunyai hubungan istimewa saling mengetahui antara satu sama lain.
“Dennis pun cakap teringin nak makan semua ni. Kasihan juga dia kalau aku tak masakkan” tambah Lina lagi memanjangkan diamku.
Aku memerhatikan buat seketika gelagat Lina. Memang dia penuh kesungguhan melakukannya. Pasti saja dia mahu Dennis Lee menikmati hidangan yang lazat waktu berbuka nanti. Inilah salah satu cara untuk menambat hati si teruna. Seorang lelaki akan mencari seorang wanita yang pandai memasak untuk menjadi isterinya. Lina memiliki ciri – ciri itu.
“Aku masuk dulu nak solat asar” putusku lalu meninggalkan Lina yang langsung tidak sempat memberi reaksi ke atas bicaraku itu.
Ya Allah, janganlah kau mekarkan perasaan hasad dengki itu dalam diri ini. Kau berikanlah aku rasa keikhlasan dan keredhaan agar aku ikhlas dan redha melihat kebahagiaan orang lain dan tidak terdorang atas hasutan syaitan yang sentiasa mencari peluang memecah - belahkan manusia di muka bumi ini. Ya Allah hapuskanlah perasaan tamak dalam diri ini. Janganlah biarkan perasaanku mencelah antara mereka.Cukuplah hanya Amir Hamzah yang ada dihati ini. Maka dengan itu ya Allah, ya Rabbi engkau satukanlah Dennis Lee dan Lina andai itu jodoh terbaik buat mereka. Amin.
Dennis Lee sudah terpacak di depan pintu menanti kedatangan Lina  sambil tersenyum lebar. Nampak tidak sabar – sabar dia ingin berbicara dengan Lina. Sudah semestinya Linalah insan yang sentiasa dinanti – nantikannya.
“Thanks Lina. Sedap betul masakan kau” pujinya melangit membuatkan Lina tersenyum lebar.
Aku menumpang sama turut tersenyum lalu meneruskan langkahku meninggalkan mereka yang sedang berbual – bual. Kucapai buku aktiviti Sejarah Tingkatan 5. Menyelak – nyelak helaian demi helaian cuba mencari soalan yang sesuai dan terbaik untuk diberikan kepada pelajar – pelajar kelasku sebagai kerja rumah mereka cuti nanti.
“Awak nak beri homework kat budak – budak ke? Awak ni memang pandai dera orang, cuti singkat macam tu pun nak bebankan fikiran mereka. Dah ler cuti nak
raya” ada suara menegurku.
Aku mengangkat muka. Dennis Lee sudah terpacak di depan mejaku dengan senyumannya. Kutoleh kiri kanan. Rupanya tinggal kami berdua saja di sini.
“Aku tidak mahu mereka cuti sakan sampai lupakan pelajaran” balasku.
“Sebab itulah Cikgu Elvart Hee sayangkan awak. Awak rajin dan bertanggungjawab” ujarnya lagi.
Aku terdiam mendengar sebaris nama itu keluar dari mulut Dennis Lee. Terasa wajahku panas tiba – tiba. Rupanya dia tidak pernah melupakan Cikgu Elvart Hee. Pasti juga dia masih ingat cinta pertamaku. Dennis Lee juga mesti masih terasa peritnya tamparanku di wajahnya. Aku menatap wajah putih nan bersih itu. Lama.
“Jangan tenung aku macam tu, Deliya” tegurnya.
Aku tersentak lagi. Rasa segan, malu menyelubungi diriku.
“Dennis Lee, maafkan aku atas apa yang berlaku. Habis SPM aku cuba cari kau tapi gagal. Nombor telefon kau pun dah tak aktif. Aku simpati atas kejadian yang menimpa keluarga kau” kali ini baru aku berpeluang meluahkan kepadanya.
Dennis Lee tertawa kecil. Wajahnya nampak ceria.
“Tak sangka kau cari aku juga Deliya. Aku happy mendengarnya”
Diam seketika. Pandangan Dennis Lee tepat ke wajahku membuatkan aku gelisah. Rimas aku diperlakukan sedemikian. Dalam masa yang sama aku tidak mahu Lina fikir yang bukan – bukan. Aku mahu menjaga hati Lina, menjaga persahabatan kami. Aku tidak mahu kisahku dengan Dennis Lee berulang lagi kepadaku dan Lina.
“Tapi lepas tu awak tak cari aku lagi kan, sepertimana aku susah payah jejaki awak selama lapan tahun. Lastly aku temui awak di sini hidup penuh kegembiraan dan awak lupakan aku macam tu saja” tutur Dennis Lee dalam senyuman yang sukar untukku fahami.
Aku tergamam mendengar bicara Dennis Lee. Betulkah aku hidup penuh kegembiraan setelah cinta pertamaku musnah akibat tentangan hebat mama? Bahagiakah aku setelah terpisah dengannya? Selama itu juga aku menyesali dengan apa yang telah berlaku antara aku dengan dia. Aku selamanya dikejar rasa bersalah. Rasa bersalah memperlakukan Dennis Lee sedemikian rupa. Rasa bersalah kerana meminggirkannya semata – mata kerana aku jatuh dengan Cikgu Elvart Lee. Kemudian Amir Hamzah muncul dalam hidupku. Biarpun Amir Hamzah hanyalah cinta mayaku, tapi aku tetap rasa bahagia.Aku dapat rasakan Amir Hamzah sentiasa dekat denganku, setiap detik dia bersamaku.
Bicara Dennis Lee tadi aku lupakan saja dan aku tidak mahu memanjang – manjangkannya. Biarlah yang terjadi tetap berlalu. Aku tidak ingin mengungkitnya lagi.
 “Dennis Lee, terima kasih kerana menyelamatkan aku tempoh hari. Aku sering saja lupa untuk mengatakannya” luahku sedikit kesal atas kelewatan ini.
“Kan aku dah pernah cakap kasihmu diterima” balas Dennis Lee tersenyum lalu melangkah meninggalkan aku terpaku untuk sekian kalinya.
Bijak sungguh dia membuai perasaan seorang perempuan. Wahai Dennis Lee sebeginikah dirimu memerangkap perhatian dan menjerat perasaan halus setiap wanita lantas menjaja cintamu pada siapa saja yang ada di depan matamu. Janganlah kau gunakan kesempurnaan anugerah yang kau miliki ini untuk mencairkan hati wanita. Sungguh aku tidak mahu kau jadi sedemikian. Aku seakan tidak mengenali Dennis Lee lagi. Dia sudah tidak seperti dulu lagi.
Aku hanya mampu memerhatikan langkah Dannis Lee di depanku. Kulontarkan kata hatiku bersama aturan langkahnya. Namun tanpa kuduga tiba – tiba saja dia berpaling semula ke arahku. Mata kami bersatu.
“Aku dengar awak dah ada kekasih gelap. Awak masih juga tak berubah – ubah Deliya” suaranya agak sinis dipendengaranku.
Sekelip mata saja Dennis Lee telah mengubah moodku. Terasa panas hatiku mendengar bicaranya itu. Namun pantas saja kupujuk diri meminta diri bersabar saja. Walau apa saja yang difikirkannya sekarang aku langsung tidak peduli. Paling penting aku yakin dengan kata hatiku. Nama Amir Hamzah tidak akan berganjak walau seinci pun dari hatiku. Lantas saja aku mengangguk mengakui bicaranya. Dennis Lee geleng – geleng kepala lalu meninggalkan aku tanpa sebarang bicara lagi.   

***********************************************************
Aku sudah siap mengemaskan beberapa helai pakaian yang harus aku bawa balik nanti. Kuzip beg itu setelah tiada keperluan lain lagi yang harus aku simpan di situ lalu meletakkannya ke tepi. Petang ini mama sendiri yang akan datang menjemputku kerana  Pak Ali sudah balik kampung bercuti membuat persediaan sebelum kedatangan Aidilfitri. Semua orang akan balik ke tempat asal masing – masing untuk bersama keluarga bagi meraikan sambutan 1 Syawal hanya tinggal beberapa hari saja lagi.
Terdetik nama Dennis Lee difikiranku. Bagaimanakah Syawal yang disambutnya? Sendiriankah dia? Bukankah dia sudah ada Lina yang pasti setia menemaninya. Aku amat yakin Lina tidak akan membiarkannya keseorangan. Lina benar – benar mengambil berat terhadapnya. Dua hari lepas, mereka keluar ke bandar bersama –sama. Lina ada juga menyatakan kepadaku bahawa Dennis Lee telah membeli dua pasang baju melayu warna ungu gelap dan jingga terang. Kedua – dua warna kegemaranku selain warna merah. Ketika itu aku lihat betapa cerianya dia bercerita tentang kekasih hatinya itu. Betapa kacaknya Dennis memakai baju melayu itu nanti. Sayangnya aku tidak berpeluang menyaksikannya.
Daun pintu bilikku diketuk. Lina tersenyum terpacak di situ. Lantas saja aku memintanya melangkah masuk. Sudah lama juga kami tidak berbual panjang. Lina duduk di birai katilku lalu menatap wajahku. Aku dapat rasakan sedikit pelik perangai Lina tika ini.
“Raya dah nak dekat. Aku minta maaf banyak – banyak. Aku pasti sepanjang perkenalan kita aku telah banyak menyinggung perasaan kau. Tolong halalkan segala – galanya” tuturnya sedikit beremosi sambil menggenggam tanganku.
“Aku pun macam tu juga, Lina” pintaku.
Aku dan Lina berpelukan. Betapa banyak salahku pada Lina. Aku seringkali memikirkan tentang kekasihnya. Kalau Lina tahu pasti dia kecewa sangat dengan tindakanku ini. Justeru, aku terpaksa menyimpannya dihati ini. Biarlah menjadi rahsiaku.
Aku dan Lina tertawa sendiri melihat gelagat masing – masing. Terasa lucu pun ada. Pantas saja aku dan Lina mengesat air matanya yang keluar sebentar tadi. Kali ini Lina nampak lebih tenang dari tadi. Dia menatapku lagi. Lama. Sedikit mengundang rasa sangsiku. Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang terpendam dalam hati Lina, namun tidak terluah.
“Nia....” panggilnya perlahan.
“Kenapa Lina? Cakaplah....” pintaku.
Aku agak gelisah melihat tingkah Lina. Barangkali ada masalah berat yang terpaksa Lina tanggung.
“Apa hubungan kau dengan Dennis sebelum ni? Kamu memang dari dulu saling mengenalikan?” soalan Lina memaku mulutku.
Aku tergamam. Kiranya akulah yang menjadi punca masalah Lina. Berantakankah hubungan Lina dengan Dennis Lee kerana aku? Oh, sungguh aku tidak tega andai diri ini yang menjadi puncanya! Renungan Lina memerangkapku membuatkan aku tidak boleh lari lagi. Perlahan – lahan aku mengangguk.
“Nia, aku mahu kau ikhlas berbicara denganku. Betul ke kau langsung takde perasaan cemburu melihat kemesraan kami?” soal Lina lagi semakin sukar untukku jawab.
“Aku mahu hari ni kita berterus terang segalanya, Nia. Jangan ada apa – apa yang terpendam lagi” tegas Lina setelah melihat aku hanya berdiam.
Persoalannya tadi masih berlegar – legar di kepalaku. Sanggupkah aku menghancur – leburkan hati Lina? Lantas memusnahkan cinta suci Lina. Aku pernah mengalami saat – saat getir itu dan aku dapat rasakan bagaimana peritnya tatkala aku dapat tahu Cikgu Elvart Hee telah bertunang. Bukan mudah untuk aku melupakan keruntuhan cinta pertamaku itu. Mujur Amir Hamzah yang merawat kelukaanku itu. Aku menjalani penyembuhan melalui tinta Amir Hamzah.
“Aku mahu jawapan ikhlas dari hatimu. Aku takkan marah kalau kau berterus terang denganku, malah aku akan lebih menghargainya” pinta Lina memberi jaminan kepadaku.
Betulkah? Atau Lina sekadar berpura – pura saja. Lina memegang erat jari – jemariku. Jelasnya renungannya begitu ikhlas. Perlahan – lahan aku mengangguk. Lina tersenyum senang menatapku.
“Lepas ni pasti kau akan lebih cemburu lagi” ujarnya membuatkan aku tertanya – tanya.
“Nia, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Kejadian kemalangan yang menimpa kau dan Dennis telah membongkar segala – galanya. Ketika aku menguruskan keperluan Dennis di wad, aku dapat tahu tentang dirinya bukan setakat Dennis Lee bin Abdullah, aku juga ada nampak gambar kamu berdua dalam dompetnya, malah sebenarnya dialah Amir Hamzah, kekasih gelapmu”
“Amir Hamzah?” nama itu meniti di bibirku perlahan – lahan.
“Nia....”
Hampir – hampir saja aku rebah, namun pantas saja tangan Lina memaut tubuhku. Sungguh aku terkesima menerima kenyataan ini. Terasa lemah seluruh anggota badanku. Kenyataan yang benar – benar mengejutkan aku. Lina menyandarkan tubuhku di kepala katil. Segelas air sudah disuakan kepadaku. Aku terus saja meneguknya bersama kalimah bismillahirahmanirahim.
“Kenapa selama ni kau sembunyikan semua ni dari pengetahuanku?” soalku setelah diriku benar – benar tenang.
Lina tersenyum. Dipegangnya lagi tanganku.
“Aku mahu kepastian. Aku nak uji sama ada kau ada perasaan kepada dia” ujar Lina mengusikku.
“Walaupun Dennis tak pernah meluahkannya, tapi aku cukup yakin dia memang menyukai kau melebihi sebagai seorang sahabat. Dari reaksi dia merenung kau, aku dapat rasakan perasaannya. Lihat saja tindakannya tempoh hari. Mana ada orang bertindak sepantas itu kalau bukan didorong rasa sayang dan cinta yang mendalam. Dia memang mahu sentiasa melindungi kau dari sebarang kesakitan” tutur Lina lagi sekaligus membahagiakan hati dan perasaanku..
“Lina, kau tak marahkan aku?” soalku berhati – hati.
“Marah! Aku memang marah sebab kau merahsiakan perkenalan kau dengan Dennis. Sebab tu aku berlagak mesra dengan Dennis di depan kau. Aku nak tengok sejauhmana kau mampu bertahan. Tapi kau terlalu degil, Nia. Aku yang terpaksa mengalah” tuturnya tersenyum.
Aku juga turut senyum sama.
“Amir Hamzah sudah berada di depan matamu sekarang. Apa tunggu lagi. Kali ini kau tak boleh lepaskan dia” nasihat Lina.
Aku tersenyum lagi.
“Terima kasih, Lina”

Lina tersenyum. Dia bingkas bangun dari katilku lalu melangkah ke muka pintu meninggalkan aku sendirian. Seminit kemudian dia menjengukkan  semula kepalanya di muka pintu membuatkan aku kehairanan.
“Dennis Lee memang tahu kau adalah rakan facebooknya, tapi dia tidak tahu siapa kekasih gelapmu itu. Aku tak pernah beritahu dia” tambah Lina lagi menyampaikan maklumat yang belum habis diberitahunya tadi.

Kelibat Lina terus hilang. Hanya kedengaran suara kecilnya yang menyanyi – nyanyi riang. Aku tersenyum sendiri. Terima kasih Lina. Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Maha Berkuasa Allah menetapkan sesuatu kejadian. Ya Allah, sungguh indah suratan yang telah engkau tentukan buatku. Rupanya Amir Hamzah adalah Dennis Lee. Patutlah aku sentiasa merasakan Amir Hamzah sentiasa bersamaku, dekat denganku. Terima kasih Allah!



XV.

Aku melangkah ke dapur. Kelihatan mama sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka untuk puasa terakhir pada Ramadhan kali ini. Esok sudah menjelang 1 Syawal. Betapa seronoknya menanti kedatangan esok. Bulan kemenangan buat umat Islam setelah genap sebulan berpuasa.
Terlintas juga difikiranku tentang Amir Hamzah. Di manakah dia beraya pada tahun ini? Tidakkah mama mempelawanya untuk beraya bersama kami. Aku sudah tentu gembira dengan kehadirannya di rumah ini. Mama pun rasanya mengalu – alukan kedatangannya ke sini. 
Usai saja berbuka, aku dan mama melangkah ke masjid untuk bersama – sama penghuni taman ini bersolat terawih pada malam terakhir Ramadhan sekaligus bertakbir raya. Menitis lagi air mataku tatkala takbir raya bergema memenuhi ruang – ruang masjid ini. Betapa sedihnya aku melepaskan bulan Ramadhan pergi dan terharunya hatiku tatkala melafazkan takbir raya ini. Sekembalinya kami di rumah, aku menolong mama membuat persediaan terakhir bagi menyambut Aidilfitri. Menurut mama esok ada tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah ini.
Tetamu yang mama maksudkan adalah anak angkatnya. Lama juga aku berfikir, bila masa pula mama ada anak angkat. Penjelasan mama menerangkan segala – galanya. Sejak aku tinggal di asrama lapan tahun lalu. Kesunyian mama tinggal bersendirian yang membuatkan mama mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat itu. Pelik. Sebelum ini mama tidak pernah menceritakannya kepadaku mahupun memperkenalkan anak angkatnya itu kepadaku. Seorang lelaki tapi tidak tahu pula berapa usianya. Aku tidak mahu bertanya lebih – lebih. Sebenarnya rasa cemburu juga melihat kesungguhan mama bercerita tentang anak angkatnya itu. Betapa mama menyenangi anak angkatnya itu dengan kata lain mama juga menyayanginya. Rasa tercabar juga diriku. Kasih mama sudah terbahagi dua. Sebetulnya aku tidak pernah berkongsi kasih mama dengan orang lain.
Telefonku berkelip – kelip tanda ada mesej yang masuk. Mesej daripada Lina yang mendahului sebelum sempat aku menghantar mesej ucapan rayaku untuknya.

~ Biar Kulit Segelap Almond London, Asalkan Hati Sesuci Tat Nenas. Biar Iman Sekental Dodol, Jangan Senipis Rempeyek. Biar Jiwa Selembut Baulu, Asalkan Akhlak  Secantik Kek Lapis. Senyumlah Semanis Sirap Agar Lebaran Yang Disambut Lebih Bermakna. Selamat Hari Lebaran Minal Aidil Wal – Faizin. Maaf Zahir & Batin. Jemput ke rumah esok sahabatku! ~

Kemudian berderet – deret mesej masuk  ke dalam peti mesejku sampaikan tanganku alah membalasnya. Betul – betul hot line sekarang.Bila ingatkan Amir Hamzah, pantas saja tanganku membuka facebook ku. Aku tersenyum menatap ucapan yang disampaikan oleh Dennis Lee, dengan nama sinonimnya Amir Hamzah.

~ kIRANYA SEBENING AIR WUDHU, SESUCI aL – qURAN, SEMERDU ALUNAN ZIKIR, SEINDAH SOLAT 5 WAKTU, SETENANG HATI YANG TIADA RASA BENCI DAN DENDAM. jIKA TANGAN TIDAK SEMPAT BERJABAT, JIKA WAJAH TIDAK SEMPAT BERTATAP, JIKA KATA TERSALAH TUTUR, JIKA LAKU TERSALAH LAKSANA. bUKALAH PINTU AMPUN DAN MAAF. selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir & batin ~

“Nia buat apa tu?”
Mama sudah berada di ambang pintu lalu bergerak melangkah masuk ke bilikku. Mama duduk di birai katil.
“Baca mesej dari kawan – kawan” tuturku sambil mengalih pandanganku kepada mama.
“Boleh kita bincang kejap” pinta mama.
Aku mengangguk lantas kuletak ke tepi laktopku. Aku kembali menatap mama. Sudah bersedia untuk berbicara dengan mama.
“Tadi mama ada cerita tentang anak angkat mama pada Nia kan” ujar mama mengingatkanku.
Aku mengangguk. Namun pengetahuanku tentang dia sedikit sangat. Aku tidak tahu nama atau berapa umurnya selain jantinanya lelaki. Yang aku tahu juga esok dialah tetamu penting mama. Tetamu yang membuatkan mama begitu bersemangat menyediakan pelbagai jaudah.
“Mama suka sangat dan sayang dia sama seperti mama sayangkan Nia. Mama tak mahu kehilangan dia. Mama tahu dia seorang yang baik, yang boleh jaga Nia” tutur mama sedikit menimbulkan rasa iri hatiku.
Mama telah membahagikan kasihnya yang sebahagiannya telah diserahkan kepada anak angkatnya itu. Mama juga sudah menyamakan kasihnya terhadapku senilai kasihnya terhadap anak angkatnya itu.
“Mama ajaklah dia tinggal di sini” cadangku.
Mama tersenyum. Gembira dia mendengar bicaraku.
“Memang niat mama begitu tapi dari segi agama dan adat kita tak membenarkan bukan muhrim tinggal sebumbung. Jadi mama perlukan persetujuan Nia” bicara mama cukup teratur.
“Nia, takde apa – apa halangan. Ajaklah dia tinggal di sini. Kalau mama suka, Nia tak kisah” ulangku jujur.
Kalau sudah mama bahagia dengan kehadiran anak angkatnya itu, aku dengan rela hati mengenepikan perasaanku ini. Aku akan cuba menerima kewujudannya di astana mama ini.
“Betul ke Nia boleh terima dia sebagai jodoh Nia?”
Gedebup! Seakan jantungku terhenti berdegup. Berlawakkah mama? Adakah aku bermimpi? Logikkah bicara mama ini untukku terima? Mama menjodohkan aku dengan anak angkatnya itu. Kalau betul mama terlalu menyayanginya, kenapa bukan mama saja yang mengahwininya. Ingin saja aku luahkan sebegini kepada mama tapi mengingatkan aku adalah anaknya kupendamkan saja bicara itu. Aku tidak ralat menyinggung perasaan mama walaupun tindakan mama itu tidak munasabah.
“Mama tak paksa Nia kalau Nia tak suka. Tapi satu je harapan mama, Nia berkenalanlah dulu dengan dia. Mana tau lepas jumpa dia Nia akan berubah fikiran” cadang mama lebih berdiplomasi sedikit memberi kelegaan kepadaku.
Aku masih ada harapan untuk menolak calon pilihan mama lantas mengikut kehendak hatiku. Terasa lemah tatkala aku memaksa kepalaku mengangguk menyetujui cadangan mama. Mama tersenyum ceria dan berlalu pergi.
Aku menatap kembali ucapan Aidilfitri yang dikirimkan oleh Amir Hamzah di facebook ku. Maafkan aku mama, aku sudah menetapkan pilihan hatiku. Hanya Amir Hamzah saja yang ada di hati ini.
Awal pagi aku sudah bangun bersiap sedia untuk solat raya bersama mama di masjid yang berdekatan. Usai solat dan mengikuti khutbah Aidilfitri serta bertegur  sapa sekejap dengan jiran tetangga, mama bergegas balik ke rumah sedangkan aku di belakang mengekorinya dengan langkah longlai. Ringkasnya permintaan mama telah menjejaskan keseronokanku di pagi Syawal ini. Mama begitu beria – ia sangat mengarahkan aku menyiapkan diri. Kucapai baju kurung jingga berbunga putih halus sedondon dengan tudungku. Agaknya hari ini Amir Hamzah juga akan memakai baju melayu jingganya. Terbayang di mataku wajah tampan jejaka Tionghoa kacukan Minaci itu lengkap berbaju melayu memukau mata yang memandangnya.
Ketika aku menuruni anak tangga, mama sudah hampir siap menyusun hidangan di atas meja.
“Wah, cantiknya anak gadis mama!” pujinya ketika baru menyedari kehadiranku di situ.
Mama apa yang aku lakukan sekarang sekadar memenuhi cadangan mama tapi bukan untuk memenuhi permintaan mama, bisik hati kecilku tatkala menatap wajah mama yang sentiasa dihiasi senyuman indahnya. Mama nampak gembira sangat seakan dia sedang menyambut menantu kesayangannya. Betapa mama nampak yakin yang aku akan menerima tetamunya itu sebagai jodohku.
Aku bersandar di sofa. Langsung tidak teruja dengan kedatangan tetamu mama ini. Doa – doa dibatalkan kunjungannya hari ini. Tidak pun kereta dia rosakkah, atau paling mudah tayar kereta dia pancit. Nanti bolehlah aku melarikan diri buat seketika dengan alasan aku mahu beraya di rumah rakan – rakan. Kemudian dia tidak sempat bertemuku kerana adalah mustahil untuknya lama – lama menanti kepulanganku. Tidak pun aku langsung tidak balik kononnya mahu beraya sakan bersama Lina. Bila kufikir balik, alasanku itu kurang konkrit. Aku bukan remaja belasan tahun yang seronok beraya sampai lupa hendak balik rumah.   
“Nia, agaknya tetamu mama dah sampai. Tolong buka pintu”
Aku tersentak. Imaginasiku tadi terus lenyap. Mama sedang menatapku. Pantas saja jarinya menunding ke muka pintu. Lambat – lambat aku bangun. Dengan langkah malas dan cukup perlahan aku melangkah mendekati pintu. Berat hatiku mahu membuka pintu ini. Beberapa minit berlalu aku masih terpacak di depan pintu. Ingin saja rasanya aku berlari meninggalkan pintu ini lalu bersembunyi di bilikku.
“Buka ler pintu itu” suara mama mengarahkanku.
Agaknya dari tadi mama memerhatikan gelagatku. Aku tiada pilihan lain lagi selain menuruti perintah mama. Alangkah bahagianya jika yang berdiri di depanku sedetik lagi adalah Amir Hamzah. ‘Kun fayakun’! Apabila Allah mengkehendaki sesuatu, hanya dengan perintahnya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia. Sempat juga aku mengingat ayat 82 surah yasin. Bismillahirahmanirahim.... Dengan nama Allah yang Maha Pengasaih lagi Maha Pemurah. Daun pintu kutolak perlahan. Seraut wajah itu tersenyum menatapku. Aku tergamam. Mataku langsung tidak berkelip.
“Assalamualaikum.....”
Salam itu tidak bersambut. Aku masih terpacak di situ tanpa sedikit pun mahu berganjak. Kim Hyeonjung lengkap berbaju melayu jingga sedondon denganku  sedang terpacak di depanku saat ini.
“Salam orang kalau tak disambut berdosa”
Aku tersentak. Aku menepuk pipiku. Barulah aku tersedar rupanya yang ada di depanku ini adalah Amir Hamzah insan yang aku nanti – nantikan kehadirannya. Hampir – hampir saja aku melonjak keriangan namun suara mama menyedarkanku. Amir Hamzah melangkah masuk bersama sejambak mawar putih yang segar untukku.
“Terima kasih, Amir Hamzah” tuturku tersenyum bahagia.
Dia menatapku. Barangkali tidak menyangka bahawa aku telah mengetahui dirinya adalah Amir Hamzah.
“Dari awal dah aku beritahu awak, kasih awak diterima” balasnya seperti yang pernah diperkatakannya menambah kebahagiaanku.
Aku menatap wajah mama. Mahu saja aku memeluk mama lantas menyatakan persetujuanku untuk menjadi suri hidup Amir Hamzah. Dalam masa yang sama aku teringat kembali niatku untuk memadankan mama dengan anak angkatnya. Aku tidak rela Amir Hamzah menjadi bapa tiriku. Sungguh tidak rela. Amir Hamzah adalah kekasih akhirku.
Di balkoni ini, ditemani sapaan angin 1 Syawal yang mendamaikan.....
“ Deliya, aku tak kisah menjadi cinta kedua awak. Aku pasti cintaku pada awak melebihi cinta pertama awak. ketahuilah aku menjadi cikgu Sejarah adalah kerana awak” tuturnya serius.
Aku terharu mendengar bicaranya. Tidakkah dia tahu bahawa sedari dahulu sudah aku mencintai Amir Hamzah. Dia menatapku lagi.
“Sudikah awak menjadi suri hidup Dennis Lee bin Abdullah @ Amir Hamzah?” bicara yang kutunggu – tunggu selama ini.
Perlahan – lahan aku mengangguk. Dia tersenyum lantas menadah tangannya penuh kesyukuran.
“Tidakkah kau tahu kekasih gelapku selama ni adalah Amir Hamzah. Aku mencintai dia melebihi cinta pertamaku” kali ini giliranku pula membuat kejutan sekaligus meluahkan isi hatiku tanpa berselindung lagi.
Semakin lebar senyumannya. Dia memandangku dengan penuh kasih sayang. Pastinya hati Dennis Lee bahagia mendengar bicaraku ini. Sesungguhnya aku juga bahagia. Niat hatiku ingin membuat kejutan kepadanya, tapi tidak sangka mama terlebih dahulu membuat kejutan padaku.
“Jom...” ajaknya tiba – tiba.
“Nak ke mana?” soalku hairan.
“Pergi rumah Lina. Hari ni majlis pertunangan dia dengan Ustaz Firdaus” tutur Amir Hamzah mengejutkan aku sekali lagi.
“Sejak bila pula mereka ada hubungan?” soalku ingin tahu.
Amir Hamzah geleng kepala.
“Yang aku tahu Ustaz Firdaus dah terpikat dengan masakan Lina” tutur Amir Hamzah membuatkan kami sama – sama ketawa.

Ya Allah, inilah Syawal yang terindah dalam hidupku. Kau kembalikan Dennis Lee kepadaku. Kau temukan aku dengan Amir Hamzah, kekasih dambaan hatiku. Terima kasih Allah. Terima kasih kerana mencipta suratan terindah buatku. 

-          Tamat -

8 / 6 / 2011 : 12. 10 am















GuruKu CintaKu.... Cikgu Itu Kekasihku....5


XII

Aku tertawa sambil menekan – nekan perut. Rasa sakit perut bila banyak sangat ketawa. Hinggakan air mataku turut sama keluar. Tidak dapat kutahan rasa lucu melihat aksi pelajar – pelajarku melompat tinggi dengan pelbagai gaya tersendiri. Ada yang terbang macam superman malah ada yang melompat ala – ala main ‘zero point’ Bahkan ada juga yang beraksi macam mahu terjun dalam sungai saja.  Yang berlari kencang penuh semangat kemudian teragak – agak hendak melompat dan penyudahnya hanya mampu terbang di bawah kayu palang pun ramai. Walaupun nampak lawak – lawak, aku tetap bangga dengan mereka kerana mereka sentiasa bersemangat tinggi. Langsung tidak ada perasaan segan dan malu biarpun aksi mereka hari ini nampak sebagai pelawak yang membuatkan orang lain ketawa.
“Ni ler tugas guru sukan ajar budak – budak tu cara lompatan yang betul. Bukan nak jadikan mereka itu bahan ketawa” ada suara sinis menegurku dari belakang.

Pantas aku berpaling. Dennis Lee sudah berada di belakangku. Terasa membahang mukaku mendengar bicara serius itu. Lina datang sambil tersenyum lalu menghulurkan sebotol air mineral kepadaku. Aku terus saja meneguk air mineral itu dengan rakusnya. Mahu memadamkan bahang di wajahku. Selepas lapan tahun ditambah dengan 5 bulan bertugas di sekolah ini, inilah bicara pertama yang keluar dari mulut Dennis Lee. Betapa berbisanya bicara itu buat hatiku terguris. Ketawaku yang rancak tadi tiba – tiba saja lenyap.
“Kenapa tiba – tiba saja suasana kat sini nampak tegang?” bicara Lina menyentakkanku.
Dia menyedari perubahan suasana setelah beberapa minit berdiri di sini. Aku meneruskan diamku. Tidak berminat untuk meneruskan bicara bila hatiku telah terluka.
“Biasa ler cuaca panas sangat. Semua orang tak selesa” sahut Dennis Lee tanpa sedikit pun memandangku.
Bijak pula dia menyembunyikan keadaan sebenar. Kehadiran Lina cepat saja mengubah moodnya. Dia terus saja berbual panjang dengan Lina. Banyak sangat topik yang mereka bualkan sehinggakan sampai sekarang pun belum habis – habis lagi. Pantang bersama ada saja yang menjadi cerita. Ketawa mereka menambah duka hatiku. Tiba – tiba saja aku bangun lalu terpacak di depan mereka sekaligus mematikan perbualan rancak itu.
“Maaf. Lina kau tolong aku catat apa yang patut. Tenaga aku dah habis sebab banyak sangat ketawa tadi. Aku nak pergi bilik guru kejap” sindirku lalu terus saja melangkah pergi tanpa sempat menunggu persetujuan Lina terlebih dahulu.
Sebelum melangkah jauh sempat juga mataku melirik ke belakang. Kelihatan Dennis Lee yang duduk di kerusi itu mengambilalih tugas yang kutinggalkan. Aku tersenyum sendiri. Padan muka dia. Tadi komen aku lebih – lebih. Puas hatiku dapat menderanya kerana terpaksa mengambilalih tugasku dalam keadaan cuaca yang menguji tahap ketahanan fizikal seseorang. Kebetulan pula memang logik tugas ini dikendalikan oleh Dennis Lee. Biar kulit nan putih itu hangus terbakar. Tidak pun berbelang – belang. Jadilah si zebra ha... ha... ha..! Tika itu masihkah terserlah ketampanannya? Senyumanku kian lebar. Seronok berimaginasi sendiri.
Namun bila kufikir dari satu sudut yang lain,  perasaan lain pula yang timbul. Aku rasa cemburu kerana Dennis Lee langsung tidak mahu menyusahkan Lina. Buktinya dia yang bertugas di situ bukannya Lina. Dia yang dengan rela hati menawarkan diri duduk di kerusi itu menjadi pencatat sedangkan lama juga aku duduk di situ, tidak pula dia berhajat untuk menggantikan aku. Memang sedari tadi dia menahan diri melihat aku ketawa. Ketawaku yang menyakitkan hatinya. Lantas saja dia melangkah ke arahku lalu melontarkan bicara sinis padaku dengan tujuan memusnahkan hari ceriaku. Betapa kejamnya  manusia yang bernama Dennis Lee itu!  
Aku terus saja melangkah melayan perasaanku yang sedang berkecamuk. Hati kecilku tidak henti – henti berbicara sendiri. Rasa marah kepada Dennis Lee belum padam lagi tambahan pula rasa tidak puas hati atas bicara yang dilemparkannya kepadaku sebentar tadi. Mudah sangat tokmahan yang dilontarkannya kepadaku. Bicaranya terang – terangan menuduh aku yang tidak mengajar budak – budak itu melompat cara yang betul. Niat baikku telah disalahertikan. Aku sengaja memberi peluang kepada pelajar – pelajar yang mahu mencuba melompat biarpun tidak berpotensi menjadi atlet lompat tinggi. Jadi aku sanggup mengorbankan diri berpanas di bawah pancaran terik matahari untuk menghakimi barisan pelajar – pelajar yang bersemangat juang tinggi tetapi tidak berpotensi. Namun dia sewenang – wenangnya saja menyalahkan aku.
Sebetulnya aku boleh terus mencatat nama beberapa orang pelajar yang memang dikenal pasti berbakat dan berkecenderungan dalam acara ini. Kemudian terus saja melatih mereka. Kerjaku pun mudah dan senang. Tidak perlu bazir tenaga dan membakar diri dengan berpanas – panas di bawah bahang matahari. Namun aku tidak setuju cara itu. Langsung tidak memenuhi prosuder pemilihan yang sepatutnya. Bahkan tidak adil untuk semua pelajar. Dalam kalangan mereka ada juga yang ingin mencuba kelebihan diri. Mana tahu ada bakat yang terpendam.
Oh, barangkali yang salah adalah aku! Aku disalahkan kerana tidak boleh mengawal diri dari ketawa. Salahkah aku ketawa untuk bergembira. Mungkin hati Dennis Lee tidak senang melihat aku menghiburkan hatiku. Lantas mudah saja dia mematikan keriangan hatiku yang cuma seketika itu. Marahku tidak surut lagi bila aku masih terkenang – kenangkan bicaranya sebentar tadi itu. Tega juga dia berbicara sedemikian terhadapku. Memanglah Dennis Lee menaruh dendam terhadapku.
“Deliya hati – hati .....!!!!”
Aku terdengar namaku dilaung sekuatnya oleh suara Dennis Lee. Aku berpaling ke belakang. Kulihat dia sedang berlari pantas ke arahku. Beberapa minit kemudian aku sudah berada dalam rangkulannya. Kedua – dua belah tangannya melindungi kepalaku. Sepintas kilat kami tersungkur menyembah bumi. Tubuh Dennis Lee menimpaku. Dalam keadaan terhimpit begini nafasku tertahan – tahan. Aku kaget dan terkeliru. Apa yang telah terjadi? Terasa panas menitis ke wajahku. Darah. Kulihat Dennis Lee tidak bergerak – gerak lagi. Matanya tertutup rapat. Rupanya darah di dahinya yang menimpa wajahku ini. Di mulutnya juga ada darah yang keluar.
“Dennis Lee...” panggilku lemah dan perlahan.
“Cepat angkat sama – sama!” kedengaran suara Cikgu Razali menjerit.
Aku nampak banyak sangat orang yang menggerumuni kami memberikan pertolongan. Tiang – tiang besi dan bilah – bilah dawai rangka penghadang dibaling ke tepi. Pandanganku berpinar – pinar.
“Cepat angkat Cikgu Dennis bawa ke kereta” suara Cikgu Razali kedengaran lagi. Suasana agak cemas. Tubuh Dennis Lee dirangkul lalu diangkat dan dilarikan pantas oleh beberapa orang guru lelaki yang tidak berapa jelas di mataku. Lalu tubuhku dipeluk dan dibangunkan perlahan.
“Nia kau okey?”
Pandanganku kabur dan berpinar – pinar. Namun aku masih nampak wajah Lina yang tampak cemas mendekatiku. Puan Rosnah, Cikgu Ujie, Cikgu Murni, Pengetua, Cikgu Lily, Cikgu ..... Kedengaran namaku dipanggil – panggil. Semakin lama semakin hilang suara – suara itu. Hitam. Gelap.
“Nia....! Cikgu Nia!!!!”
Ada suara bersatu melaung nama itu. Tubuhnya sempat disambut sebelum jatuh menyembah bumi untuk kedua kalinya.
Terasa seluruh tubuhku sengal – sengal. Sana sini rasa sakit. Tiba – tiba wajah Dennis Lee menerpa diingatanku. Kejadian cemas itu berputar kembali. Aku kurang jelas apa sebenarnya yang telah berlaku. Tahu – tahu Dennis Lee sudah mendakap tubuhku lantas memalingkannya. Tubuhnya yang menggantikan posisi awal tubuhku telah menjadi mangsa. Sepatutnya tubuhku yang menjadi sasaran tiang – tiang besi itu, namun tindakan pantas Dennis Lee telah menyelamatkanku. Perlahan – lahan aku membuka mataku.
“Alhamdulillah, Nia dah sedar”
Mama sudah berada di sisiku. Aku terpandang beberapa orang jururawat lalu lalang di sekitarku. Rupanya aku berada di hospital sekarang. Tidak sedar berapa lama sudah aku terbaring sebegini. Tanganku berbalut. Mungkin luka tertikam bilah – bilah dawai rangka penghadang itu.
“Bagaimana Dennis Lee mama?” soalku sebaik saja teringatkan dia.
Risau aku dibuatnya. Dia telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan aku. Betapa kesalnya hatiku bila teringatkan bicaraku sebelum kejadian itu menimpa. Mulutku tidak henti – henti mengkritiknya.
“Dia masih belum sedar. Doktor kata tak de kecederaan yang serius. Dia selamat dan akan pulih seperti biasa. Cuma doktor beri suntikan suruh dia berehat. Beberapa jam lagi dia akan sedar. Nanti mama jenguk dia” jelas mama lengkap dan terperinci.
Kupanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana Dennis Lee selamat. Bagaimana dengan wajahnya? Ada calar – calar seriuskah? Aku tidak mahu mencacatkan kesempurnaan yang dimilikinya itu.
“Kawan Nia yang jaga dia sekarang” tambah mama.
Pasti Lina yang mama maksudkan. Biarlah Lina berada di sampingnya saat ini. Kasihan Dennis Lee, dia tiada sesiapa lagi di dunia ini. Dalam keadaan sekarang dia tidak boleh bersendirian.
Sekejap tadi ramai teman sekolah yang datang melawatku dan melawat  Dennis Lee. Sempat juga mereka membawa khabar bahawa Dennis Lee sudah sedar. Betapa aku bersyukur kerana tiada perkara yang serius telah menimpa dirinya. Kalau tidak pasti aku akan menyalahkan diriku seumur hidup ini. Lina yang datang menjengukku beberapa kali juga menceritakan tentang perkembangan kesihatan Dennis Lee yang tidak perlu aku dirisaukan. Sempat juga aku meminta tolong agar Lina menjaganya dengan alasan aku terhutang budi kepada Dennis Lee. Dia cedera kerana cuba melindungi aku. Mujur juga perbuatan Dennis Lee tidak mengundang persoalan dalam dirinya. Setakat ini Lina tidak pernah bertanyaka perkara yang berkaitan dengan Dennis Lee kepadaku. Mungkin melihat keadaanku sekarang Lina dapat merasa bukan masa yang sesuai untuk menghujuniku dengan pelbagai persoalan andai wujud kekeliruan dalam dirinya. Mustahil Lina tidak banyak berfikir tentang tindakan Dennis Lee itu. Barangkali Lina menunggu masanya.
Aku melangkah meninggalkan katilku. Hajat dihati ingin menjenguk Dennis Lee yang ditempatkan di wad lelaki yang betul – betul berhadapan dengan wad perempuan. Sepanjang mengatur langkah sempat juga aku bertukar senyuman dengan beberapa orang jururawat yang bertembung denganku. Senyuman yang bisa menjadi penawar kepada pesakit. Tatkala beberapa langkah lagi kakiku mendekati katil Dennis Lee, aku nampak dia sedang leka membaca sebuah buku. Sempat juga mataku menangkap judulnya ‘Keindahan Mencintai Allah’ buku yang berupa keagamaan. Sedikit tersentuh hatiku. Dalam hati sempat juga aku berharap dan bermunajat semoga Allah memberinya hidayah. Alangkah bahagianya andai Dennis Lee mendapat hidayah itu!
“Assalam.... Selamat pagi Dennis Lee” sapaku perlahan.
Dennis Lee menoleh. Pandangan kami bersatu. Lantas saja dia meletakkan buku ditangannya ke tepi. Terasa gementar juga untukku berhadapan dengan lelaki ini. Tidak dapat kujangka reaksi yang bakal ditunjukkannya. Sama ada dia menyukai kedatanganku ini atau sebaliknya. Aku sudah bersedia mengambil sebarang risiko. Sesungguhnya keyakinan dirilah yang mendorongku bertandang ke sini.
“Awak apa khabar?” sapaku memulakan bicara.
Dia senyum mendamaikan gemuruh hatiku. Kiranya kedatanganku ini disambut baik olehnya.
“Baik” balasnya pendek.
Senyap lagi. Agak janggal juga pertemuan ini. Antara aku dengan Dennis Lee sudah tidak wujud kemesraan. Tika ini orang yang paling rapat dengan dia adalah Lina. Aku tahu Lina sahajalah yang boleh membuatkan dia berbicara panjang dan ketawa ceria. Menyedari pertemuan ini lebih banyak diam, mahu saja kakiku melangkah pergi meninggalkan Dennis Lee di sini. Segala yang kuharapkan tidak berjalan lancar. Terasa keyakinan diriku sebentar tadi semakin berkurangan.            
“Awak nak beri salam tadikan. Waalaikumsalam.....”
Tersentak aku dengan bicaranya. Barangkali Dennis Lee sekadar ingin bergurau. Kalau tidak pun hanya untuk mengusir diam yang berpanjangan ini. Mungkin dia juga tidak selesa dalam situasi sekarang. Teringat juga aku pelajar – pelajarku yang bukan muslim pun ada yang pandai memberi salam sedemikian. Namun aku tidak berdaya untuk menyambutnya, sebaliknya membalas dengan seulas senyuman. Aku tidak rela menyumpah mereka, mahupun menyumpah Dennis Lee. Sungguh aku tidak tega. Aku tidak sanggup mendoa – doakan perkara tidak elok kepada mereka.
“ Kalau salam orang tak disambut berdosa” tuturnya lagi membuatkan aku tersenyum lagi. Dia juga turut tersenyum.
“Bila awak boleh keluar wad?” soalnya pula.
“Agaknya hari ni” jawabku.
Teringat aku bicara Doktor Kartina yang memeriksa aku semalam. Dia kata hari ini mungkin aku boleh keluar memandangkan aku sudah sihat sepenuhnya. Namun kenalah aku tunggu kedatangan doktor pagi ini sebelum keluar wad bagi mempastikan aku benar – benar sihat dan tidak perlukan rawatan lagi. Kebetulan juga aku akan diberikan cuti rehat beberapa hari lagi. Jadi dapatlah aku habiskan cuti itu di rumah nanti sebelum melangkah ke sekolah semula.
“Kau masih kena tinggal kat sini ke?” soalku pula.
Dennis Lee mengangguk.
“Agaknya macam tu ler” balasnya tenang.
Timbul rasa bersalahku. Semua ini angkaraku. Akulah penyebab yang membuatkan Dennis Lee terbaring di katil ini. Pasti dia rasa bosan tinggal lama – lama di sini. Aku dapat menyelami perasaan itu.
“Maafkan aku. Aku yang menyebabkan kau jadi macam ni” ujarku serius meluahkan apa yang terbuka dalam hatiku tika ini.
“Sebenarnya aku lebih seronok tinggal di sini, tidaklah sunyi bersendirian. Tengok ramai kawan - kawan kat sini” balasnya cuba berjenaka.
Aku senyum. Kasihan Dennis Lee, dia kesunyian rupanya. Aku dapat merasakannya. Dia kehilangan kasih sayang kedua ibu bapanya ketika zaman remajanya. Apatah lagi dia tinggal berjauhan daripada sanak saudaranya. Dennis Lee benar – benar bersendirian selama ini.
“Awak tengok aku macam tu, nak scan muka aku ke?”
Aku tersentak. Dennis Lee tersenyum menatapku. Segan pula aku diperlakukan begitu. Aku mengutuk diri kerana sempat berkhayal sebentar tadi. Apalah yang difikirkan oleh Dennis Lee melihat tingkahku sedemikian.
“Tengok takde kecederaan kat mukaku ni. Masih handsome lagi” lawaknya lagi membuatkan aku tertawa kecil.
“Nasib baik tak cedera, kalau tidak wajiblah awak kahwin dengan Dennis Lee” tuturnya bersahaja menyebut namanya sendiri sekaligus mematikan tawaku.
“Awak sedia bertanggungjawab Deliya?” soalnya.

Aku terdiam panjang. Soalan Dennis Lee berlegar – legar di kepalaku. Kedatangan Lina menyelamatkan keadaan. Aku menyaksikan betapa mesranya mereka. Jelas Dennis Lee lebih ceria dengan kehadiran Lina. Lina pun aku nampak begitu mengambil berat terhadap Dennis Lee. Mereka sememangnya bagai sepasang kekasih. Kekasih yang secocok. Suatu kenyataan yang tidak dapat kusangkal lagi. Bicara dan soalan Dennis Lee tidak membawa makna apa – apa. Dia sekadar bercanda denganku. Semoga kalian berbahagia. Alhamdullilah.... akhirnya Dennis Lee tidak bersendirian lagi. Tiba – tiba menjelma nama Amir Hamzah diingatanku. Adakah dia juga sudah memiliki cinta kekasih dambaan hatinya? Ketahuilah Amir Hamzah, aku di sini tetap setia menanti huluran cintamu! Aku akan setia menantimu!

XIII.

Lama aku duduk di depan laktop menghadap nukilan – nukilan yang dikirimkan oleh Amir Hamzah selama ini tanpa sebarang rasa jemu. Kiranya sepanjang cuti rehat ini aku hanya menghabiskan masaku bersama – sama cetusan mindanya. Aku rasa bahagia dengan menatap bait – bait bicara dan puisi yang ditulisnya itu penuh dengan keimanan dan keinsafan. Suatu penghijrahan diri dari dunia yang gelap ke suatu alam yang bercahaya bersinar – sinar dan terang benderang.  
 Ya Allah hatiku dimiliki lagi. Aku telah jatuh cinta kepada Amir Hamzah. Perasaan yang terlalu indah yang tidak pernah aku alami selama ini. Perasaan cinta yang tidak mampu ditandingi oleh rasa cintaku terhadap Cikgu Elvart Hee. Cinta dalam keimanan! Cinta dalam keinsafan! Bukan cinta yang berlandaskan nafsu! Bukan juga cinta yang bertunjangkan kesempurnaan dirinya! Sama sekali aku tidak pernah mengenali Amir Hamzah. Langsung tidak wujud pertemuan untuk aku bersemuka dengannya. Aku tidak pernah mendengar suaranya berbicara denganku. Amir Hamzah telah memikat hatiku dengan bakat tinta yang Allah anugerahkan kepadanya.
Ya Allah sekali pun aku tidak kisah andai aku kecewa untuk kedua kalinya kerana mencintai Amir Hamzah. Aku redha kalau begitu sudah suratan untukku. Keikhlasan hatiku mencintainya tidak mengharapkan sebarang balasan. Cukuplah aku bahagia kerana mencintainya.
“Cikgu Nia tolong saya angkat daging ni” pinta Cikgu Murni yang sudah memegang sebesen besar daging yang telah siap dipotong – potong nampak tidak terdaya diangkatnya. 
Aku mendekatinya. Baru saja tanganku hendak memegang besen itu, ada tangan yang lebih pantas mendarat di situ sekaligus mematikan hajatku untuk menolong Cikgu Murni sebentar tadi. Aku mendongak wajah itu. Dennis Lee sudah berada dekat denganku membuatkan aku berganjak sedikit. Kurang selesa dengan posisi tersebut.
“Biar saya yang angkat Cikgu Murni. Perempuan tak elok angkat berat – berat” tutur Dennis Lee seraya mengangkat sebesen daging itu.
“Sayang juga kau kat Cikgu Nia ni ye” usik Cikgu Murni sekaligus mengenakanku.
“Hish... Cikgu Murni takde ler macam tu” bantahku kurang senang.
Cikgu Murni hanya tersenyum. Begitu juga Dennis Lee.
“Terima kasih Dennis Lee” ujarku kepadanya.
“Kasih awak diterima” balasnya bersahaja cukup mengejutkanku.
Dia tersenyum meninggalkan aku yang terdiam. Kupandang ke arah Cikgu Murni. Dia tersenyum lebar menatapku. Terasa hangat membahang wajahku. Agaknya dia juga mendengar bicara Dennis Lee tadi. Malunya aku!
Hari ini merupakan hari Nuzul Al – Quran iaitu tanggal 17 Ramadhan,  penurunan Al – Quran dari Allah S.W. T kepada kekasihnya yang mulia Nabi Muhammad S.A.W. Pada setiap tahun sekolah akan mengadakan majlis bersempena Nuzul Al – Quran sebagai hari memperingati sekaligus menambah rasa ketakwaan kepada Allah S.W.T. Justeru tidak kira agama mahupun budaya, semua warga sekolah melibatkan diri bergotong – royong membuat persediaan. Walaupun mereka tidak terlibat dalam pengisian program, namun mereka tidak kedekut menawarkan tenaga mereka. Suatu keistimewaan sekolah ini yang menjadi kebangganku. Betul – betul mempamerkan Semangat 1 Malaysia seperti yang sering dilaung – laungkan oleh Perdana Menteri kita.
Kulihat Cikgu Robert sedang sibuk membantu sekumpulan guru lelaki membelah kayu api untuk digunakan memasak daging kawah nanti. Cikgu Lily dan Cikgu Sue Ling kelihatan sibuk membantu menyediakan bahan – bahan ramuan untuk masakan hari ini. Madam Choo dan Madam Ravina sedang membantu Puan Rosnah mengawasi pelajar – pelajar asrama menyusun atur Dewan Selara Danau lokasi majlis jamuan nanti. Begitu juga dengan Dennis Lee yang kulihat leka membantu Lina membelah buah timbikai sebagai pencuci mulut jamuan nanti.
Itu baru beberapa orang rakan guru yang tidak seagama yang sempat mataku memandangnya. Sebenarnya ramai lagi yang sedang bertungkus lumus di luar dewan, di dapur dan di sekitar sekolah ini. Bukan setakat kaki tangan sekolah malah pelajar – pelajar tidak seagama pun menolong sama. Jelas menunjukkan hubungan muhibah dalam kalangan warga sekolah.  Dalam sibuk – sibuk membuat persediaan kedengaran suara Cikgu Razali menyampaikan pesanan buat pelajar – pelajar asrama yang beragama Islam.
“Tepat pukul 6.00 semua pelajar sudah berada di dalam surau. Takde lagi yang berkeliaran mahu pun yang baru mahu ambil wudhu. Pastikan bersedia awal – awal” tuturnya memperingatkan mereka disambut dengan anggukan kepala tanda faham dengan arahan yang diberi.
Sebelum pukul 6.00 petang, aku sudah siap sedia berganjak meninggalkan quaters guru ini untuk bergerak ke Surau Al – Iman. Kucapai telengkungku. Aku harus datang lebih awal bagi mempastikan pelajar – pelajar asrama yang muslim sudah semua berkumpul di surau. Lina kebetulan tidak dapat solat. Jadi dia ditugaskan mempastikan kelancaran persediaan di dewan buat kali terakhir sebelum bergerak ke surau untuk menyertai yang lain. Beberapa orang pelajar perempuan yang juga bercuti solat ada bersama – samanya.
Tatkala aku sampai di perkarangan Surau Al – Iman, kebanyakan pelajar sudah berada di dalam surau. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan lengkap bertelekung berlari – lari anak memasuki perkarangan Surau Al – Iman. Masih boleh dikatakan belum terlewat kerana jam belum mencecah ke angka 6.00 petang seperti mana yang digariskan oleh Cikgu Razali tengah hari tadi. Kumpulan terakhir yang masuk adalah pengawas – pengawas sekolah.
“Assalamualikum cikgu” sapa Aida  ketua pengawas asrama perempuan.
Aku menyahut salamnya. Tanganku dikucup memohon restu guru. Guru ibarat ibu bapa. Di sekolah guru – guru adalah ibu dan bapa kepada pelajar – pelajarnya.
“Semua dah bergerak ke surau?” soalku.
Aida mengangguk. Pasti mereka sudah mempastikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan asrama tadi.
“Bagus. Cepat masuk” arahku pula.
Tanpa sebarang bantahan mereka patuh saja. Mereka adalah kumpulan pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Sebab itulah juga mereka dilantik menjadi pengawas.
“Wah, handsomenya Cikgu Dennis Lee!”
Suaraku dapat menangkap pujian yang keluar dari mulut salah seorang daripada mereka yang baru menapak di anak tangga pintu kawasan jemaah perempuan. Perlahan – perlahan aku berpaling. Aku terpukau seketika pada seraut wajah yang sedang tersenyum itu. Senyuman yang betul – betul indah. Tubuhnya dibaluti sepasang baju melayu merah lengkap bersamping hitam bersulam benang kuning keemasan. Satu kombinasi warna yang cukup menarik lagi menyerlahkan dirinya. Ada songkok di kepalanya. Lagaknya seperti seorang pengantin lelaki. Dennis Lee sedang melangkah bergerak masuk ke perkarangan Surau Al – Iman bersama Ustaz Firdaus. Pantas saja aku memalingkan pandanganku sebaik saja dia bergerak ke anak tangga menuju ke pintu di bahagian yang dikhaskan untuk jemaah lelaki. Aku pura – pura tidak menyedari akan kehadirannya. Sebetulnya juga dia tidak menyedari akan kewujudanku di situ yang terpaku memerhatikannya buat seketika tadi.
Pastinya Lina akan tersenyum bangga sebaik saja melihat betapa tampannya kekasih hatinya itu. Tidak menduga Dennis Lee akan bertandang ke majlis ini yang sememangnya bukan menjadi satu kesalahan. Islam itu mementingkan persaudaraan sesama manusia biarpun berbeza agama kerana manusia itu berasal dari keturunan Adam dan Hawa. Barangkali inilah persediaan awal Dennis Lee sebelum melamar Lina menjadi suri hidupnya. Hubungan Dennis Lee dan Lina benar – benar serius. Aku beristighfar beberapa kali. Bulan yang baik ini, di tempat yang suci ini tidak seharusnya  aku lalai memikirkan perkara yang bukan – bukan. Seharusnya aku memperbanyakkan amal ibadat dan melipat gandakan ketakwaan kepada Allah bagi mengisi bulan yang suci ini. Rugilah manusia yang lalai dan tidak tahu mengambil kesempatan atas kelebihan bulan Ramadhan bulan ibadat. Bulan inilah Allah akan melipat gandakan pahala bagi yang beramal dan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya. Allahuakhbar! Maha Agung Allah lagi Maha Mengasahi hambaNya!
Aku memejamkan mataku menjiwai kalimah – kalimah suci Allah yang dilaungkan oleh suara merdu itu. Hatiku bergetar setiap kali suara itu berkumandang. Suara yang memuji kekuasaan dan kebesaran Allah. Suara yang sudah bertapak dihatiku. Aku membuka mataku. Aida sedang menghulurkan buku program kepadaku tanpa bersuara tapi dengan senyuman yang cukup menyenangkan. Guru – guru lain sudah berada di sebelahku tanpa kusedari. Masing – masing hanya bertukar senyuman.  Tiada sepatahpun bicara yang keluar kecuali suara merdu itu masih melaung penghujung azan. Serasa mahu saja aku menegah agar suara merdu itu tidak berhenti sebaliknya terus mengalun azan sebanyak mungkin. Astaga!Aku beristighfar lagi. Betapa tipisnya imanku senipis kulit bawang. Aku seringkali tewas oleh kata hati. Ya Allah teguhkanlah hatiku seteguh hati Amir Hamzah yang begitu mencintaimu. Bicara Amir Hamzah hanya berlandaskan keranaMu Allah mahupun dengan izinMu Allah. Itulah kalimah keramat yang sering meniti di bibir Amir Hamzah. Mukadimah di setiap perbuatannya.   
“Betapa merdunya suara Cikgu Dennis Lee tu” suara pelajar di belakangku bagaikan magnet melekat ditelingaku. Dalam masa yang sama pandanganku jatuh pada sebaris nama yang tertera di helaian kertas buku program yang ada ditanganku ini. Dennis Lee bin Abdullah perlahan – lahan sebaris nama itu meniti di bibirku. Tanpa kupinta air mataku menitis ke pipi. Subahanallah! Ya Allah Maha Agung kuasaMu!
“Cikgu Nia silalah makan. Jangan ditenung je makanan yang ada kat sini” tegur Cikgu Michael mengejutkanku.
Aku mengangguk. Guru – guru bukan muslim juga dijemput menikmati jamuan setelah berpenat – lelah bergotong – royong menyediakan masakan siang tadi. Kupandang Dennis Lee lagi. Kelihatan dia sedang berbual – bual dengan teman – teman guru lelaki sambil menikmati hidangan di meja.
“Dia handsome kan. Boleh buat hati terpikat”
Kali ini Lina pula yang muncul tiba – tiba lalu berdiri di sebelahku. Dia juga turut melontar pandangan ke arah Dennis Lee.
“Er... tak de ler” nafiku.
Lina mengalih pandangannya kepadaku. Wajahku ditenung lama buat aku sedikit rasa rimas. Tidak selesa ditenung sedemikian rupa. Barangkali tanda protes atas tindakanku tadi. Sudah pasti Lina menyedari gelagatku yang memerhatikan buah hatinya sebentar tadi. Maafkan aku Lina semua itu di luar kawalanku. Aku tidak mampu menegah mataku dari memandang Dennis Lee. Sebetulnya fikiranku masih sarat dengan namanya. Sesungguhnya aku bahagia sangat malam ini.
Di kamarku ini, aku tidak putus – putus menadah kesyukuran kepada Allah yang telah  memberikannya hidayah yang terindah buat Dennis Lee bin Abdullah. Dialah insan yang terpilih untuk menerima penghijrahan yang paling besar dalam hidupnya. Aku bersujud di sejadah menyampaikan rasa kesyukuranku kepada Allah kerana menyayangi Dennis Lee lantas memberikan hidayahnya. Aku menangis lagi kerana harapan dan munajatku telah dikabulkan Allah.    
“Kalau kita berdua yang kahwin, baru mencerminkan 1 Malaysia, ada  darah Melayu, darah Cina dan darah India”
Dalam rasa menggantuk sangat suara Dennis Lee lapan tahun lalu tiba – tiba terngiang – ngiang ditelingaku. Akhirnya aku tertidur dalam senyuman.